Setelah imej awalannya didedahkan awal minggu ini, hari ini secara rasmi versi facelift bagi Geely Galaxy E5 dilancarkan di China. Model yang dikenali sebagai Geely EX5 di pasaran global serta kembar kepada Proton eMas 7 di Malaysia ini diberikan penyegaran rupa yang minimal, tetapi hadir dengan rombakan konfigurasi unit rangkaian kuasa yang agak menyeluruh.
Pertama sekali, Galaxy E5 facelift ini menerima unit motor pacuan Geely baharu yang dikenali sebagai Thunder 16-dalam-1, dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 333 PS dan tork maksima 320 Nm, atau 115 PS lebih berkuasa dari versi sebelumnya. Motor berkenaan juga kini telah dialihkan dari gandar hadapan ke gandar belakang, bermaksud Galaxy E5 facelift ini merupakan SUV pacuan roda belakang, berbanding pacuan roda hadapan sebelum ini.
Ini membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat, sekitar lebih 1 saat lebih pantas berbanding versi sebelum facelift yang mencatatkan masa 6.9 saat dalam pecutan sama. Kelajuan maksimanya juga kini meningkat kepada 201 km/j.
Bukan itu sahaja, asas elektrikal versi facelift ini juga kini telah menggunakan platform 800-volt berbanding 400-volt sebelum ini. Untuk menggerakkan motor elektrik, ia menerima kuasa dari bateri LFP bilah-pendek generasi kedua dengan pilihan kapasiti 61.52 kWj dan 70.01 kW, memberikan jarak gerak masing-masing 550 km dan 635 km dalam kitaran ujian CLTC, atau sekitar 450 km dan 520 km dalam kitaran WLTP. Sebagai perbandingan, varian Long Range bagi versi sebelum facelift (atau Proton eMas 7 Premium Plus di Malaysia) yang dibekalkan dengan bateri 68.39 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 610 km CLTC atau 475 km WLTP.
Dengan asas elektrikal 800-volt membolehkan bateri berkenaan dicas semula dengan lebih laju. Ia boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 560 kW. Geely belum mengumumkan perincian penuh berkenaan pengecasan DC Galaxy E5 facelift ini, namun dengan kebolehan yang disebut, tak mustahil cas dari 10% hingga 80% boleh dipenuhnya dalam masa tidak sampai 20 minit.
Bagi pengecasan AC, ia masih kekal dengan 6.6 kW. Fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk mengoperasi peralatan elektrik lain pula kini berkemampuan untuk mengalirkan elektrik pada kadar 6 kW. Manakala di bahagian bawah bateri, ia telah disalut dengan polyurea yang didakwa “kalis peluru”.
Perubahan-perubahan ini nampaknya disasarkan untuk berhadapan terus dengan BYD Atto 3 (atau dikenali sebagai Yuan Plus di China) baharu, yang turut telah menggunakan asas elektrikal 800-volt serta motor elektrik lebih berkuasa dan dialihkan ke belakang.
Geely Galaxy E5 facelift ini masih menampilkan bentuk badan dengan pelindung-pelindung plastik pada setiap ruang roda, lampu hadapan dan belakang serta bampar belakang yang nampak sama seperti model sedia ada. Perubahan ketara di lihat adalah pada bahagian bampar hadapan di mana ia diberikan lebih banyak perapi plastik, terutamanya pada bahagian tirai udara kedua-dua sisi, dan ia bercantum menerusi jalur nipis merentangi bampar berkenaan.
Manakala gril hadapan kini diberikan penutup aktif bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik. Model facelift ini juga ditawarkan dengan pilihan rim aloi baharu dengan saiz 18- dan 19-inci.
Walaupun perubahan luaran pada Galaxy E5 facelift ini tidak besar, ia sebenarnya turut mempengaruhi dimensinya – model ini tampil dengan ukuran panjang 4,630 mm, lebar 1,920 mm atau 21 mm lebih panjang dan 19 mm lebih lebar berbanding model sebelumnya.
Jarak roda versi facelift ini pula adalah 5 mm lebih jauh, mungkin kerana motor elektrik telah dialihkan ke gandar belakang, dan ia kini menerima sistem suspensi belakang jenis lima-hubungan, berbanding empat-hunbungan sebelum ini. Tetapan baharu ini juga menyebabkan ruang but belakang mengecil sebanyak 39 liter kepada 1,838 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Walau bagaimanapun dengan gandar hadapan kini tiada lagi motor elektrik, ruang but hadapan (frunk) kini dapat dibesarkan sehingga 160 liter, dan ia kini direka mempunyai lubang untuk mengeluarkan air pada ruang tersebut.
Juga tiada perubahan besar dibuat pada sebelah dalam di mana ia masih diberikan papan pemuka dengan rekaan yang sama. Apa yang berbeza adalah roda sterengnya yang sebelum ini berbentuk oblong telah ditukar kepada roda stereng rata di bawah dengan tiga jejari yang nampak lebih normal. Selain itu model facelift ini juga menerima corak rekaan upholsteri tempat duduk yang berbeza.
Geely Galaxy E5 ini nampaknya masih menerima tempat duduk penumpang hadapan “graviti sifar” dengan ottoman bersepadu yang boleh dibaringkan hanya dengan sentuhan satu butang, bumbung suria dengan pelindung matahari bina dalam, paparan instrumen digital dengan skrin 10.2 -inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci, paparan head-up, pengecas telefon tanpa wayar serta suis putar kawalan pelbagai fungsi.
Antara perincian lain yang ditingkap taraf adalah termasuk cermin tingkap hadapan yang kini menggunakan dua lapisan kaca, sistem bunyi Flyme Audio dengan 23-pembesar suara (‘hanya’ 16 sebelum ini), cermin solek yang lebih besar bersama penutup magnetik, permukaan yang mempunyai magnet di hadapan dan belakang bagi memudahkan pemasangan aksesori dan pintu tailgate belakang bantuan kuasa kini diberikan penderia kaki untuk membuka/menutup. Ia juga kini diberikan tema warna beige dan merah jambu pada bahagian luaran dan dalaman.










