Wing Hin Motorsport lancarkan barisan alat ganti aftermarket T’Selection – dibangunkan oleh TCD Asia

Pengedar peralatan prestasi rasmi untuk jenama Toyota di Malaysia termasuk GR Parts, TRD dan Modelista iaitu Wing Hin Motorsports hari ini secara rasmi melancarkan barisan alat ganti aftermarket jenama T’Selection ke pasaran tempatan. Pelancaran ini dibuat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS) Malaysia bermula hari ini 2 Oktober 2026, sehingga 4 Oktober.

T’Selection merupakan jenama yang dibangunkan oleh TCD Asia, iaitu subsidiari Toyota Customizing & Development yang merupakan turut bernaung di bawah Kumpulan Toyota. Barisan alat ganti yang diperkenalkan ini direka untuk kenderaan-kenderaan yang tidak lagi dilindungi oleh waranti pengeluar.

Wing Hin bukan sahaja mendapat hak pengedaran T’Selection di Malaysia, malah ia turut diberikan hak pengedaran global. Menurut Wing Hin lagi barisan alat ganti T’Selection ini dikilangkan dengan memenuhi standard kualiti yang ketat, perlindungan dan prestasi, serta menerima kelulusan dari SIRIM di Malaysia.

Antara alat ganti yang tersedia dalam barisan jenama T’Selection ini termasuk minyak enjin gred sintetik penuh dan separa sintetik, penapis minyak enjin, penapis udara, bendalir brek, cecair penyejuk enjin, pembersih penyuntik bahan api, cecair pembersih cermin hadapan, dan pelbagai produk penyelenggaraan automotif yang lain.

“Kami amat berbesar hati dilantik sebagai Pengedar Global bagi T’Selection dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh TCD Asia. Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan 52 tahun Kumpulan Syarikat Wing Hin dalam industri automotif Malaysia,” kata pengerusi kumpulan Wing Hin, Loh Tuck Sum.

Beliau menambah bahawa T’Selection berhasrat menyediakan akses yang lebih baik kepada pemilik untuk mendapatkan produk pasaran selepas jualan yang berkualiti bagi tujuan penyelenggaraan kenderaan yang berterusan walaupun ia tidak lagi dilindungi oleh waranti pengeluar.

“Baik TCD Asia mahupun Kumpulan Wing Hin berkongsi falsafah yang sama – bahawa kepercayaan dan kepuasan pelanggan harus memacu kemajuan perniagaan. Bagi mencapai matlamat ini, kedua-dua produk dan perkhidmatan mestilah berkualiti tinggi, demi memelihara kepentingan pelanggan,” kata presiden TCD Asia, Hiromu Ishizawa pula.