Biodiesel B15 jimatkan 23.62 juta liter diesel sebulan, kadar campuran lebih tinggi sedang dikaji – KPK

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penggunaan biodiesel B15 telah menjimatkan purata 23.62 juta liter diesel sebulan sejak pelaksanaannya pada Jun hingga Ogos lalu – lapor Bernama. Menurut beliau, penggunaan biodiesel keluaran tempatan turut dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap turun naik harga diesel global, khususnya ketika berlaku ketegangan geopolitik.

Beliau berkata perkara itu berpotensi membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan subsidi diesel dengan lebih berkesan. Pada masa sama, kerajaan sedang mengkaji penggunaan kadar campuran biodiesel yang lebih tinggi, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat mengikut tahap kesediaan, termasuk keperluan menaik taraf sistem logistik bagi menyokong peningkatan tersebut.

Menurut Noraini, pendekatan berperingkat itu turut mengambil kira beberapa faktor seperti harga komoditi, kesan terhadap subsidi serta kelestarian alam sekitar. Penggunaan biodiesel pada kadar lebih tinggi juga dijangka memberi manfaat dari segi pengurangan pelepasan gas rumah hijau, selain mengurangkan penggunaan diesel petroleum dalam sektor pengangkutan.

Biodiesel B15 jimatkan 23.62 juta liter diesel sebulan, kadar campuran lebih tinggi sedang dikaji – KPK

Pada Julai lalu, kementerian memaklumkan analisis kos dan manfaat mendapati peningkatan campuran biodiesel daripada B10 kepada B12 atau B15 di Semenanjung Malaysia dan Sabah berpotensi mengurangkan penggunaan diesel sebanyak 334,139 tan setahun. Jumlah itu bersamaan kira-kira 386.73 juta liter diesel setahun dan boleh memanjangkan bekalan diesel negara sehingga 20 hari.

B15 terdiri daripada 15% metil ester sawit (PME) dan 85% diesel petroleum, menggantikan campuran B10 sebelum ini tanpa kos tambahan kepada pengguna akhir. Kerajaan juga mempunyai perancangan untuk meningkatkan kadar campuran kepada B20 dan B30, malah B50 turut berpotensi diperkenalkan pada masa akan datang, bergantung kepada tahap kesediaan serta keperluan semasa.

Bagi pemilik kenderaan diesel, peningkatan kadar campuran ini tentunya menimbulkan persoalan mengenai kesesuaiannya terhadap enjin sedia ada. Beberapa pengeluar seperti Isuzu, Mazda, Hyundai, Kia, Ford dan Mitsubishi sebelum ini telah menjelaskan pendirian masing-masing mengenai penggunaan B15 untuk kenderaan diesel mereka, termasuk aspek keserasian enjin dan sistem bahan api.