Elfyn Evans juara WRC 2026 – Toyota sekali lagi sapu bersih gelaran pemandu dan pengeluar tahun ini

2026 FIA World Rally Championship / Round 13 / Rally Sardegna 2026 / 1st – 4th Oct 2026 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein

Selepas lima kali bergelar naib juara Kejohanan Rali Dunia (WRC), pelumba Wales yang memandu untuk pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) akhirnya bergelar juara dunia selepas tamatnya Rally Italia Sardegna 2026 hujung minggu lalu. Ini merupakan pusingan terakhir bagi WRC tahun ini selepas Rally Saudi Arabia yang sepatutnya berlangsung pada November nanti telah pun dibatalkan kerana krisis di Timur Tengah yang masih belum reda.

Walaupun Evans memulakan Rally Sardegna ini sebagai pendahulu kejuaraan, kedudukannya nampak tergugat apabila Oliver Solberg menang SS1 pada hari pertama. Namun masuk hari kedua, rali ini dikuasai oleh dua pelumba Hyundai iaitu Theirry Neuville dan Adrian Fourmaux yang bersaing sesama mereka untuk berada di tempat pertama dan kedua.

Namun pada SS8, tayar Hyundai i20 N Rally1 yang dipandu Fourmaux telah pecah, menyebabkan dia jatuh ke kedudukan ke lima keseluruhan. Manakala Neuville menamatkan hari kedua rali ini di kedudukan pertama.

Oliver Solberg mula bangkit pada hari terakhir rali ini iaitu pada hari Ahad dengan merampas kedudukan pendahulu perlumbaan pada SS10, dan pada SS11 Thierry Neuville pula terlibat dalam kemalangan dan terkeluar dari saingan.

Oliver Solberg terus memimpin perlumbaan sehingga ke SS kedua terakhir, manakala Evans terus terperangkap di kedudukan keempat – jadi gelaran juara dunia hanya dapat di tentukan pada SS terakhir iaitu Powerstage, di mana pemenang SS ini yang menerima lima mata tambahan dan akan mendahului carta pungutan mata.

Namun malang bagi Oliver Solberg kerana terbabas di selekoh kedua terakhir sebelum tiba di garisan penamat Powerstage membolehkan Evans sah dinobatkan sebagai juara dunia dengan pungutan mata keseluruhan 243 mata, hanya lima mata di hadapan Oliver Solberg. Walau bagaimanapun, Oliver Solberg masih menjuarai Rally Italia Sardegna 2026.

Bagi kategori pengeluar, Toyota telahpun disahkan sebagai juara lebih awal iaitu di Rally Chile yang berlangsung bulan lalu. Ini merupakan gelaran juara Pengeluar WRC kali keenam berturut-turut yang dirangkul oleh Toyota sejak 2021. Secara keseluruhan Toyota kini telah merangkul sebanyak 10 gelaran juara Pengeluar WRC (termasuk 1993,1994,1999 dan 2018), menyamai rekod pasukan paling berjaya dalam kejohanan tersebut iaitu Lancia.