MyEG gagal serahkan RM314j hasil kerajaan dari Mei-Sep 2026; JPJ, MoT ambil tindakan undang-undang- Loke

Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula keseluruhan jumlah hasil kerajaan yang masih tertunggak daripada My E.G Sdn Bhd dan Zetrix AI, iaitu kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MYEG, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan New Straits Times.

Kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MYEG itu gagal menyerahkan RM314 juta hasil kerajaan yang dikutip antara 19 Mei hingga 30 September tahun ini, kata Menteri Pengangkutan.

“Dari 19 Mei hingga 30 September, jumlah tuntutan terhadap syarikat-syarikat ini mencecah RM314 juta, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Malaysia memandang serius sebarang kegagalan mengurus dan menyerahkan hasil awam dengan sewajarnya, dan tidak akan bertolak ansur terhadap ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak yang diberi amanah untuk mengendalikan dana kerajaan.

MyEG gagal serahkan RM314j hasil kerajaan dari Mei-Sep 2026; JPJ, MoT ambil tindakan undang-undang- Loke

“Pihak kementerian dan JPJ juga akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan jumlah kutipan hasil kerajaan yang masih tertunggak daripada MyEG,” kata Menteri Pengangkutan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan dan JPJ akan terus menjaga kepentingan awam serta memastikan penggantungan perkhidmatan pembayaran melalui MyEG dan Zetrix AI tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Urus niaga berkaitan masih boleh dilakukan melalui saluran alternatif, termasuk aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, kaunter dan kiosk JPJ, serta saluran lain yang ditetapkan oleh jabatan,” kata Loke.

Pada Jumaat lalu, JPJ mengumumkan bahawa perkhidmatan My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan digantung berkuat kuasa 5 Oktober (hari ini) berikutan pematuhan yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh kedua-dua syarikat berkenaan.