Puspakom buka pusat pemeriksaan baharu di Kajang – cawangan terbesar di M’sia, 800 kenderaan sehari

Puspakom telah mengumumkan pembukaan pusat pemeriksaan terbaharu dan terbesar miliknya yang terletak di Bandar Teknologi Kajang. Pembukaan ini susulan penutupan cawangan Pandan Mewah yang menamatkan operasi pada penghujung September lalu.

Menurut syarikat itu, cawangan Kajang ini beroperasi mengikut fasa, iaitu fasa satu melibatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan persendirian yang telah pun bermula semalam, 5 Oktober. Diikuti pemeriksaan berkala dan pemeriksaan ulangan bagi kenderaan perdagangan ringan bermula 28 Oktober. Mulai 23 November, pemeriksaan awal dan pemeriksaan ulangan awal pula akan disediakan.

Pada ketika itu, rangkaian perkhidmatan penuh yang ditawarkan akan merangkumi pemeriksaan awal dan pemeriksaan berkala bagi kenderaan ringan, pemeriksaan khas, pemeriksaan pertukaran milikan (MV15), pemeriksaan sewa beli (B7) serta pemeriksaan kenderaan secara sukarela (B2).

“Cawangan Kajang juga akan menjadi platform penting bagi inisiatif teknologi Puspakom pada masa hadapan, dengan keupayaan pemeriksaan dibantu AI yang meliputi pemeriksaan bahagian bawah dan atas kenderaan, yang dijadual bakal dilaksanakan mulai November 2026.

“Pelaksanaan awal akan memberi tumpuan kepada pengumpulan data dan peningkatan keupayaan, sementara kami terus memperkukuh dan mematangkan teknologi pemeriksaan AI kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Puspakom, Mahmood Razak Bahman.

Dengan kapasiti dianggarkan sehingga 800 kenderaan sehari, Puspakom Kajang mempunyai 10 lorong pemeriksaan yang dibahagikan sama rata untuk kenderaan perdagangan dan kenderaan persendirian. Syarikat itu berkata kemudahan baharu berkenaan terletak di lokasi strategik bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan dari Kajang, Semenyih, Beranang, Bangi dan kawasan sekitarnya.

Puspakom Kajang terletak di Lot 1A & 1B, Jalan P4/13, Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor, dan beroperasi dari 8 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat. Pelanggan boleh membuat tempahan pemeriksaan melalui platform tempahan dalam talian GiCheck.