Chery Malaysia hari ini secara rasmi telahpun melancarkan SUV kompak Chery Tiggo Cross Sport Edition, iaitu versi dengan rupa lebih garang bagi Tiggo Cross turbo yang telah berada di pasaran tempatan sejak Julai tahun lalu. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM91,800, namun sempena pelancarannya ia ditawarkan dengan harga promosi RM83,800.
Sebagai perbandingan, Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo biasa dijual pada harga RM89,000, dan ketika dilancarkan ia ditawarkan dengan harga promosi RM81,000. Bagi Tiggo Cross Sport Edition, ia menerima tambahan kit aero kemasan hitam berkilat merangkumi spoiler bawah bampar hadapan, serta bampar belakang dengan kemasan diffuser bawah yang lebih agresif menampilkan dua perumah tip ekzos krom empat segi bersaiz besar, serta lencana ‘sport’ ditampal pada gril hadapan dan pintu but belakang.
Perincian lain seperti rel bumbung, spoiler bumbung, rim aloi 18-inci, angkup brek berwarna merah serta lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan lampu kabus belakang, pada varian Sport ini nampak masih sama seperti Tiggo Cross Turbo biasa.
Juga tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana ia digerakkan dengan enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.
Kelengakpan dalaman untuk Sport Edition ini nampaknya juga masih sama dengan versi Turbo biasa dengan diberikan perincian seperti skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen, kamera panaromik 540 darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, enam pembesar suara serta tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala tanpa sokongan lumbar.
Selain itu Tiggo Cross Sport ini turut diberikan roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, penghawa dingin dua zon dengan liang udara kabin belakang, pengidup enjin jarak jauh, sistem start-stop 12V, pengelap cermin automatik dan lain-lain.
Untuk keselamatan pula, Tiggo Cross Sport ini menerima enam beg udara, bantuan mula mendaki, sistem pemantau angin tayar dan pengingat had laju. Ia juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang datang dengan fungsi brek kecemasan automatik bersama amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau titik buta.
Chery Tiggo Cross Sport Edition ini ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White. Chery Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km bersama khidmat trak tunda percuma 24/7, dan juga pakej servis yang menampilkan kos upah percuma selama lima tahun untuk Tiggo Cross ini.
GALERI: Chery Tiggo Cross Sport Edition
GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo



Chery Tiggo Cross
dari RM88,800
Chery Tiggo 9
dari RM166,800
Chery Tiggo 8
dari RM159,800
Chery Tiggo 7
dari RM129,400
Chery O5
dari RM116,800
Chery Omoda E5
dari RM146,800