GWM Malaysia rasmi buka pusat 3S baru di Skudai, Johor dan fasiliti 1S+2S di Seri Kembangan Selangor

GWM Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia secara rasmi telah membuka dua fasiliti jaringan pengedaran terbaharunya iaitu GWM Skudai di Johor Bahru yang bertaraf 3S (jualan, servis dan alat ganti) dan GWM Equine Park di Seri Kembangan, Selangor iaitu fasiliti 1S+2S.

Bagi GWM Skudai, ia dioperasikan oleh Auto Elegance dengan fasiliti berkeluasan 22,006 kaki persegi, terletak di 197 & 199, Batu 4 1/2, Lebuhraya Skudai, Kampung Skudai Kiri, Johor Bahru. Ia beroperasi dengan sekitar 40 kakitangan bagi melayan pelanggan di kawasan Skudai, Iskandar Puteri dan sekitarnya.

Bilik pameran GWM Skudai ini dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang. Ia mampu untuk mempamerkan sebanyak lima kenderaan baharu serentak, dan turut menyediakan ruang istirehat pelanggan dan juga ruang khas untuk penyerahan kereta baharu kepada pelanggan. Juga terdapat pengecas EV di tempatkan di fasiliti ini.

Manakala untuk pusat servis, ia menyediakan tiga ruang kerja, dan mampu untuk menerima sehinga 150 kenderaan setiap bulan. Ia beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang untuk hari Isnin hingga Jumaat, dan 9 pagi hingga 1 petang pada hari Sabtu. Pusat servis ini ditutup pada hari Ahad.

Untuk GWM Equine Park pula, ia dioperasikan oleh Golden Admiral Motors, di mana bilik pameran 1S dan pusat servis 2S terletak di lokasi berbeza dengan keluasan gandingan kedua-duanya adalah sekitar 9,431 kaki persegi. Bilik pameran GWM Equine Park ini terletak di Zeva Boulevard, ZV-10-G, ZV-11-G & ZV-12-G, Persiaran Pinggiran Putra, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, di buka dari pukul 9 pagi hingga 7 petang pada Isnin hingga Sabtu, dan bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang pada Ahad.

GWM Malaysia rasmi buka pusat 3S baru di Skudai, Johor dan fasiliti 1S+2S di Seri Kembangan Selangor

Ia berkeluasan sekitar 5,770 kaki persegi dan mampu untuk mempamerkan tujuh kenderaan baharu serentak, serta turut menampilkan ruang penyerahan kenderaan baharu kepada pelanggan, ruang menunggu untuk pelanggan dan ruang pameran tambahan di kawasan terbuka untuk pandu uji.

Bagi pusat service 2S GWM Equine Park ini, ia dibina dengan keluasan 3,661 kaki di 2-1, Jalan Equine 10B, Taman Equine, Seri Kembangan. Ia menampilkan empat ruang kerja lengkap dengan pengangkat kenderaan, fasiliti untuk kerja-kerja penjajaran serta imbangan roda, serta dilengkapi dengan peralatan untuk kerja-kerja diagnostik. Pusat servis ini beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat, dan dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 petang pada hari Sabtu.

Dengan tambahan dua lagi fasiliti baharu ini, GWM kini mempunyai lebih dari 40 outlet rangkaian pengedarannya di seluruh Malaysia. Syarikat tersebut turut memaklumkan bahawa setakat penghujung suku ketiga tahun ini, ia telah merekodkan penghantaran sebanyak 5,165 buah kenderaan, yang mewakili peningkatan tahun ke tahun sebanyak 33%.

“Memandangkan GWM terus berkembang di Malaysia, keutamaan kami bukan sekadar menambah lebih banyak lokasi, malah menjadikan produk dan perkhidmatan kami lebih mudah diakses di samping memberikan pengalaman yang konsisten pada setiap titik interaksi pelanggan. Rakan kongsi pengedar yang kukuh adalah penting bagi pertumbuhan ini; mereka menghubungkan kami dengan lebih rapat kepada pelanggan serta menyokong pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka,” kata Pengarah Urusan GWM Malaysia, Stan Li Hao.

GWM Skudai, Johor

GWM Equine Park Seri Kembangan, Selangor