Selain Y16ZR-R dan XSR155, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) juga melancarkan XMax 300 Tech Max untuk pasaran Malaysia semasa Karnival GenBlu semalam. Skuter ini dijual pada harga RM28,499 tidak termasuk insurans, dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Crystal Graphite.
Dari segi penampilan, reka bentuk varian paling tinggi ini sama sahaja dengan XMax 250 yang dilancarkan Mei tahun lalu, cuma ia mendapat sentuhan premium pada beberapa bahagian termasuk pemegang (throttle grip) kemasan pemijak kaki serta tempat duduk, yang juga mempunyai sokongan belakang untuk bahagian penunggang.
Seperti yang boleh dilihat pada namanya, XMax 300 ini menggunakan enjin satu silinder SOHC berkapasiti lebih tinggi, iaitu 292.3 cc, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 28 hp pada 7,250 rpm dan tork 29 Nm pada 5,750 rpm. Transmisi masih lagi automatik CVT dengan pacuan tali sawat.
Pada bahagian meter, skuter ini menggunakan unit gabungan TFT 4.2 inci dengan digital seperti XMax 250, dan ia boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk akses kepada notifikasi telefon, navigasi serta kawalan muzik.
Kelengkapan lain kebanyakannya sama sahaja seperti XMax 250, termasuk padanan rim 15 inci dengan tayar 120/70 yang dipegang oleh fork teleskopik di hadapan, 14 inci dengan 140/70 di belakang, dipegang oleh dua penyerap hentak di belakang serta brek cakera dengan ABS dual-channel.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk sistem kawalan cengkaman, penghadang angin boleh laras secara elektronik, kunci pintar, soket pengecas USB-C serta tangki bahan api 13 liter. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.


































































