Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Pos Malaysia menerima penghantaran 553 unit trak pikap Tata Xenon untuk perkhidmatan Pos Laju

    pos-malaysia-tata_BM

    Pos Malaysia telah menerima penghantaran sejumlah 553 unit trak pikap Tata Xenon. Trak-trak pikap tersebut bakal digunakan untuk operasi penghantaran kurier, ekpress dan bungkusan Poslaju syarikat tersebut.

    Tata Xenon cab tunggal 4×2 dikuasakan dengan enjin turbodiesel 2.2 liter berkuasa 140 PS dan tork maksima 320 Nm bermula pada 1,700 rpm hingga 2,700 rpm. Trak pikap dengan badan kotak binaan khas ini dilengkapi dengan kamera undur dan akses pada bahagian belakang dan kedua belah bahagian tepi untuk memenuhi keperluan pengunaan pihak Pos Malaysia.

    pos-malaysia-tata-2_BM

    Perjanjian yang dilakukan pada November 2015 menyaksikan Pos Malaysia mengambil keputusan untuk menyewa trak pikap menerusi fasiliti DRB-Hicom EZ-Drive. Tempoh sewaan ditetapkan dalam masa 36 bulan, dengan pilihan sambungan sewaan untuk 24 bulan berikutnya.

    Kenderaan komersial Tata Motors diedarkan di Malaysia oleh DRB-Hicom Commercial Vehicles, dan Pos Malaysia juga adalah syarikat di bawah naungan DRB-Hicom. Penghantaran kesemua unit trak pikap ini disempurnakan oleh bekas CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah yang kini merupakan Ketua Pegawai Operasi edaran automotif dan pertahanan di DRB-Hicom.

    GALERI: Trak pikap Tata Xenon

     
     
  • Bas percuma dikembangkan ke Sepang dan Selayang

    selangor smart bus

    Bermula bulan hadapan, perkhidmatan bas percuma kerajaan negeri Selangor akan dikembangkan ke Sepang dan Selayang, menurut laporan The Sun. Laluan baharu ini akan meluaskan kawasan yang diliputi oleh perkhidmatan bas percuma tersebut. Perkhidmatan yang dikenali sebagai Bas Selangorku ini diperkenalkan buat pertama kali pada Januari lalu di Subang Jaya, Shah Alam dan Kajang dan kemudiannya dikembangkan ke Ampang dan Kajang.

    Perkhidmatan di laluan Sepang akan dimulakan pada minggu ketiga bulan Mei. Dua buah bas yang setiap satunya boleh membawa 40 penumpang dalam satu-satu masa akan digunakan pada laluan sejauh 58.4 km, bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) menuju ke KLIA 2, ERL Salak Tinggi, Sungai Pelek dan berakhir di Tanjung Sepat, dengan kekerapan setiap setengah jam.

    Menurut presiden Majlis Perbandaran Sepang Datuk Puasa Md Taib, kerajaan negeri telah memberikan sejumlah RM600,000 untuk tujuan pengurusan perkhidmatan bas percuma ini. “Perkhidmatan sebegini memang diperlukan, tetapi kami hanya menyediakan dua buah bas setakat ini untuk laluan tersebut. Jika maklum balas yang diterima adalah baik, kami akan menulis kepada kerajaan negeri untuk meminta lagi bas tambahan,” kata beliau.

    Di Selayang, perkhidmatan bas percuma akan bermula pada 1 Mei, dan akan melalui laluan tunggal 30 km. Servis tersebut akan bermula dari Stadium Selayang di Bandar Baru Selayang dan berakhir di Terminal Putra, Gombak, melalui balai polis Gombak, Hospital Selayang, Selayang Baru, Batu Caves, Greenwood dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

    “Kami telah mencadangkan empat buah bas dengan kadar kekerapan setiap 30 minit,” kata presiden Majlis Perbandaran Selayang Suliman Abd Rahman. Dijangkakan seramai 20,000 penumpang yang terdiri dari pelajar dan warga emas akan menggunakan perkhidmatan bas percuma ini.

     
     
  • Naza Kia Malaysia hantar juara kejohanan futsal Kia Champ Into The Arena ke peringkat global di Perancis

    Naza-Kia-Futsal-Winners_BM

    Kejohanan futsal Kia Champ Into The Arena yang dianjurkan oleh Naza Kia Malaysia (NKM) berakhir setelah pasukan yang menjuarai kejohanan tersebut diumumkan.

    Pertandingan yang menyaksikan 64 pasukan bertarung merebut kejuaraan tersebut tamat setelah pasukan Puchong Fuerza A dinobatkan sebagai juara dan akan mewakili Malaysia pada kejuaraan Kia Champ Into Arena peringkat global yang akan dilangsungkan di Bordeux Julai ini. Pasukan yang terdiri dari enam orang pemain itu juga menerima tajaan sepenuhnya dari Kia perjalanan ke Perancis, wang tunai berjumlah RM6000, trofi, medal, dan juga tiket untuk menyaksikan perlawanan suku akhir kejuaraan Euro 2016. NKM juga telah memberikan sejumlah RM19,000 dalam bentuk tunai kepada pemenang-pemenang lain.

    “Cinta rakyat Malaysia kepada futsal dan bola sepak tidak boleh disangkal. Sukan ini menyatukan rakyat Malaysia dan mengispirasikan semangat, ketangkasan, dan juga keazaman. Ini jelas ditunjukkan dalam Kia Champ into Arena dan menjadi sebab utama mengapa pasukan yang menang layak untuk bertanding dalam kejohanan futsal yang diadakan sempena Euro 2016 di Perancis,” kata Datuk Samson Anand George, Ketua Pegawai Operasi kumpulan Naza.

    Selain dari Kia Champ Into the Arena, NKM turut memberikan peluang kepada seorang rakyat Malaysia yang bertuah untuk memenangi perjalan yang ditaja sepenuhnya ke Perancis untuk menonton perlawanan pembukaan Euro 2016. Pelanggan yang memandu uji mana-mana model Kia akan menerima sekeping kupon cabutan bertuah yang terus melayakkan mereka untuk menyertai peraduan tersebut. Pemenang bagi cabutan bertuah ini akan diumumkan Mei nanti.

     
     
  • Mazda MX-5 RF bakal mendarat di Malaysia

    MX-5 RF coming soon

    Posted by Mazda Malaysia on Wednesday, 27 April 2016

    Laman facebook ‘Mazda Malaysia’ yang diselia oleh salah sebuah pengedar sah Mazda di Malaysia – Thrive Glory, mengumumkan Mazda MX-5 RF akan tiba ke pasaran tempatan pada masa akan datang.

    Walaubagaimana pun agak sukar untuk dijangka bila MX-5 RF ini akan mendarat di Malaysia kerana perkataan ‘akan datang’ tersebut tidak membayangkan berapa lama lagi masa yang perlu ditunggu. Versi RF ini baru sahaja membuat kemunculan sulung di peringkat globalnya Mac lalu ketika berlangsungya New York International Auto Show (NYIAS) 2016, dan kebanyakkan pasaran utama dunia belum lagi menerima MX-5 ini. MX-5 varian soft-top sudahpun dilancarkan di Malaysia oleh pihak Bermaz, jadi kehadiran varian RF ini semestinya tidak akan berdepan dengan apa-apa masalah.

    RF adalah akronim kepada’Retractable Fastback‘. Ia adalah rekaan pertama seumpamanya dan berbeza sedikit dari cabriolet atau convertible biasa. Jika bumbung kereta ini terpasang, bentuk keseluruhan MX-5 RF adalah hampir kepada bentuk Fastback (seperti Ford Mustang Fastback atau Toyota Celica Fastback generasi pertama) dan tidak seperti Roadster hardtop lain. Selepas bumbung dibuka dan dilipat kedalam pula, penampilan RF ini lebih kepada sebuah kereta sport ‘Targa Top‘ (seperti Toyota Supra Targa Top atau Porsche 911 Targa), dan tidak kelihatan seperti Roadster.

    Bumbung kereta ini menampilkan panel sisi yang berbentuk curam sehingga kebahagian belakang. Jika dilihat dari profil sisi, garisan bahagian bumbung yang bermula dari tiang-A hingga kebahagian panel sisi belakang bergabung dengan garisan badan yang beralun bermula dari bahagian muncung hingga ke but belakang, menghasilkan bentuk badan yang begitu unik dan mirip kepada sebuah fastback.

    Apabila bumbung MX-5 ini dilipat, panel sisi belakang masih kekal ditempatnya dan jika dilihat lagi dari profil sisi, ia kini kelihatan lebih mirip kepada sebuah Targa Top berbanding sebuah Roadster. Walaupun mekanisma antara varian RF dan varian soft-top standard agak berbeza, ruang but belakang adalah kekal dengan kapasiti 130 liter.

    Mazda tidak mengumumkan apa-apa perubahan dari segi sistem dan komponen mekanikal. MX-5 RF masih lagi dikuasakan dengan pilihan enjin petrol SkyActiv-G sama ada dengan kapasiti 1.5 liter atau 2.0 liter. Enjin tersebut juga dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada enam-kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual. Walaubagaimana pun, setakat ini untuk MX-5 soft-top pasaran Malaysia hanya boleh didapati dengan kotak gear automatik.



    GALERI: Mazda MX-5 2.0

     
     
  • Persimpangan bertingkat di Seksyen 7 Shah Alam dibuka hari ini – dapat kurangkan 43% kesesakan

    icity-flyover

    Mulai 3 petang hari ini, persimpangan bertingkat di Seksyen 7, Shah Alam, dibuka pada lalu lintas. Menurut Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah, pembukaan persimpangan sepanjang 5km berkenaan akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 kenderaan di kawasan sekitar dan mengurangkan kesesakan di Seksyen 7.

    Dengan adanya persimpangan bertingkat ini, ia dikatakan mampu menyuraikan kepadatan trafik antaranya di Persiaran Kayangan, Lorong Keluli, Persiaran Bistari dan Padang Jawa terutamanya pada waktu puncak sebanyak 43%, laporan Bernama.

    Majlis perasmian persimpangan ini telah disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Tambah Azlan, pembinaan persimpangan berkenaan bermula dari Lebuhraya Persekutuan di Plaza Tol Sungai Rasah ke Kawasan Pembangunan Seksyen 7 merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Menteri Besar Diperbadankan (MBI) yang PKNS sebagai pengurus projek.

    Dengan kos pembinaan sebanyak RM50 juta, ia mula dibina sejak tahun 2012, dan telah pun siap pada tahun lalu turut dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

     
     
  • Kerajaan terus didesak haramkan Uber dan GrabCar

    Taxi protest KL 8 April 2016 feat 1

    Kemelut yang melanda perkhidmatan teksi kian parah selagi tiada keputusan daripada pihak kerajaan dalam menangani isu ini. Terbaru, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin, menyeru agak kerajaan mengharamkan perkhidmatan Uber dan Grabcar yang didakwa beroperasi tanpa undang-undang sah.

    Katanya, perkhidmatan terbabit menyebabkan pendapatan lebih 70,000 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang terjejas, laporan Berita Harian. Justeru, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didesak untuk menguatkuasakan undang-undang seperti termaktub di bawah kedua-dua agensi itu.

    “Sudah termaktub dalam undang-undang yang tidak tidak membenarkan kenderaan persendirian yang tiada lesen mengendali, beroperasi sebagai kenderaan awam. Tapi bagaimana SPAD dan JPJ boleh membenarkan Uber dan Grabcar beroperasi, sedangkan pemandu teksi mempunyai syarat yang perlu dipatuhi untuk mengendali kenderaan awam,” katanya.

    Pagi ini, kira-kira 100 pemandu teksi berhimpun secara aman di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini bagi menyokong permohonan injuksi untuk menghalang perkhidmatan Uber dan Grabcar. Mereka bagaimanapun bersurai kira-kira jam 11 pagi.

    Pada penghujung Mac lalu, sekumpulan pemandu teksi berkumpul dan memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang, sebagai tanda protes terhadap Uber dan GrabCar.

     
     
  • Sistem aliran bebas pelbagai lorong di lebuhraya bakal dilaksana menjelang 2020 – Kementerian Kerja Raya

    toll booth

    Malaysia dijangka akan melaksanakan sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) di lebuhraya menjelang tahun 2020.

    Ia dikatakan akan memudahkan pengguna jalan raya yang tidak perlu beratur panjang serta mengelak kesesakan untuk membayar tol. Di mana, pengguna tidak perlu memperlahankan kenderaan apabila melalui lorong MLFF kerana sistem itu akan terus merakam kenderaan yang melaluinya dan bayaran ditolak pada akaun pengguna, laporan The News Strait Times.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sistem ini akan membolehkan pembayaran tanpa tunai yang lebih pantas di lebuhraya. “Sistem transaksi tol secara elektronik (ETC) yang telah diimplementasikan setakat ini di di 51 dari 177 plaza tol di seluruh negara telah menunjukkan keberkesannnya. Bayaran tunai di plaza tol akan dihentikan sepenuhnya pada tahun 2018.

    Katanya lagi, selepas semua plaza tol mengimplementasi sistem ETC, barulah akan diperkenalkan aliran bebas lorong tunggal pada tahun 2019 dan aliran bebas pelbagai lorong pula pada 2020.

    “Kita akan menggunakan pelekat yang dipasang di kenderaan (yang menyimpan nilai bagi pembayaran tol). Sistem ini akan dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan seperti yang ditawarkan oleh Touch ‘N Go. Dengan MLFF ini, bayaran tanpa tunai boleh dilakukan secara lebih pantas,” jelasnya.

    Rosnah turut berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Lmebaga Lebuhraya Malaysia, sistem ETC berjaya mengurangkan kesesakan antara 30% hingga 50% di plaza tol.

    “Manakala kadar penggunaan di kalangan pemandu turut meningkat dari 65% jke 85% selepas ETC diimplementasikan, di mana ia telah mengurangkan masa mereka. Dianggarkan enam saat diperlukan untuk bayaran di laluan Touch ‘N Go, tiga saat di laluan Smart Tag, berbanding waktu menunggu sekurang-kurangnya 15 saat di lorong tunai,” ujarnya lagi.

     
     
  • Hennessey rancang pakej talaan Honda NSX 2017

    2017 Acura NSX

    Hennessey Performance, jenama yang sinonim dengan dunia talaan Muscle Car Amerika, akan menala supercar baharu dari Jepun – Honda NSX, atau lebih dikenali sebagai Acura NSX untuk pasaran Amerika.

    Seperti yang diumumkan di laman web mereka, Hennesey akan menawarkan banyak peralatan prestasi tinggi untuk talaan enjin 3.5 V6 twin turbo Honda NSX termasuk komponen untuk sistem turbo, ekzos keluli tahan karat, intercooler, roda aloi lebih ringan dan pelbagai lagi. Tetapi, setakat ini pengumuman tersebut belum lagi disertakan dengan perincian menyeluruh berkenaan komponen-komponen tersebut.

    Dalam keadaan standard, Acura NSX dijual pada harga bermula USD$156,000 (RM609,927) untuk pasaran Amerika Syarikat. Ia dijana oleh enjin V6 3.5 liter turbo berkembar berkuasa 500 hp dan tork maksima 550 Nm dan digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 47 hp dan tork maksima 148 Nm. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik sembilan-kelajuan. Bukan itu sahaja, sepasang motor elektrik berkuasa 72 hp/146 Nm dipadankan pada kedua-dua roda hadapan, menjadikan NSX supercar pacuan semua roda dengan jumlah kuasa terkumpul 573 hp dan tork maksima 645 Nm.

    Produksi NSX telah pun bermula April ini di kilang khas yang dibina di Marysville, Ohio. Dibina secara ekslusif sepenuhnya di dalam fasiliti tersebut, NSX menampilkan pelbagai teknologi terkini termasuk kerangka badan aluminium diperkuat yang dibina dengan pelbagai material.

    GALERI: Honda NSX di Tokyo 2015

     
     
  • GALERI: Mazda 2 dan Mazda CX-3 2016 dengan pilihan warna tambahan baharu, tiada penambahan harga


    Deep Crystal Blue Mica (kiri), Smokey Rose Mica (kanan)

    Sebelum ini kami telah melaporkan Mazda 2 2016 yang kini dilengkapi dengan lampu hadapan LED, turut ditawarkan dengan empat warna tambahan. Begitu juga dengan crossover CX-3, ia turut menerima dua pilihan warna baharu. Jadi, kami telah ke bilik pameran untuk memberikan anda gambaran sebenar model-model yang menerima pilihan warna-warna baharu ini.

    Kerana jumlah stok yang terhad buat masa sekarang, kami hanya memperolehi gambar dua daripada empat pilihan warna untuk Mazda 2 iaitu Smokey Rose Mica dan Deep Crystal Blue Mica (dua lagi warna ialah Dynamic Blue Mica dan Black Mica). Kedua-dua buah Mazda 2 dengan warna baharu ini turut dilengkapi dengan pakej ‘sports kit’ iaitu kit badan yang merangkumi lips bampar depan dan belakang, skirt sisi dan juga spoiler belakang.

    Kit tersebut boleh diperolehi dengan tmabahan kos RM2,300 untuk sedan dan RM2,370 untuk hatchback. Harga Mazda 2 untuk varian sedan dan hatchback ini pula adalah sama iaitu RM90,766.30 (atas jalan tanpa insuran). Tiada penambahan harga untuk warna-warna baharu tadi tetapi untuk warna signatur Soul Red, tambahan RM530 masih lagi dikenakan.

    Tiada apa-apa perubahan ditampilkan pada sistem mekanikal. Mazda 2 kekal dikuasakan dengan enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat silinder dengan sistem pancitan bahan-api terus menjana 114 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 148Nm pada 4,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan denga kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive memacu roda hadapan.


    Ceramic Metallic (kiri), Dynamic Blue Mica (kanan)

    Untuk CX-3, kedua-dua warna baharu – Ceramic Metallic dan Dynamic Blue Mica – telahpun berada di bilik pameran. Seperti juga Mazda 2, tiada peningkatan harga disaksikan pada CX-3, ia kekal dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM131,218.

    CX-3 dikuasakan dengan enjin 2.0 liter SkyActiv-G empat silinder dengan sistem pancitan bahan api terus, berupaya menjana 154 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 204 Nm pada 2,800 rpm. Kesemua kuasa dari enjin disalurkan sepenuhnya ke roda hadapan menerusi kotak gear SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik.

    Mazda 2 dan CX-3 didatangkan secara standard dengan lampu hadapan LED, roda aloi, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci, Commander Control, paparan head-up, penghawa dingin automatik dan penukar gear.

    GALERI: Mazda 2 2016 Deep Crystal Blue Mica

    GALERI: Mazda 2 2016 Smokey Rose Mica

    GALERI: Mazda CX-3 2016 Ceramic Metallic

    GALERI: Mazda CX-3 2016 Dynamic Blue Mica

     
     
  • C205 Mercedes-Benz C-Class Coupe dilihat di Malaysia

    Mercedes-Benz-C-Class-Coupe-spotted-in-Malaysia-2-e1461758792488

    Ketika Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan prestasi suku pertama 2016 baru-baru ini, mereka juga mendedahkan model C-Class Coupe baharu bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Dan kelihatannya model tersebut sudah pun tiba di Malaysia, terima kasih kepada William Low yang memaparkan foto ini menerusi Facebook Malaysia Exotic Car Spotters.

    Menerusi foto ini, C-Class Coupe ini kelihatan diparkir di luar bilik pameran Mercedes-Benz. Ia dilengkapi dengan pakej AMG Line dengan menampilkan gril radiator berlian bersama bampar dan skirt sisi yang sporty.

    Dikhabarkan, ia bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu C 200 Coupe dan C 300 Coupe (turut menunjukkan bahawa varian C 250 AMG Line juga akan ditawarkan). Model asas C 200 Coupe menerima rim aloi lima-jejari rekaan AMG 18-inci yang sama seperti C 250 AMG Line sedan. Sementara C 300 AMG pula dipadankan dengan rim pelbagai-jejari 19-inci seperti mana model C 300 Coupe.

    Bagi C 300 Coupe, ia turut dilengkapi dengan lampu utama Sistem Pencahayaan Pintar LED sepenuhnya. Lain-lain perincian masih belum dikenalpasti, namun dijangka agak sama dengan barisan sedan C-Class lain. Manakala C 200 Coupe pula mungkin ikut C 200 Avantgarde, dan C 300 Coupe pula kebarangkalian mempunyai persamaan dengan C 300 Line sedan.

    Jika ya, C 300 Coupe mungkin dipadankan dengan papan pemuka balutan kulit, unit hiburan COMAND Online 8-4-inci dan bumbung panoramik. Manakala C 200 Coupe pula dengan sistem hiburan Audio 20 CD dengan skrin paparan tujuh-inci.

    Bagi C 200, ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo dengan kuasa 184 hp dan tork 300 Nm (0-100 km/j dalam 7.3 saat). Sementara C 300 pula dengan kuasa 245 hp//370 Nm (6.0 saat). Ia juga dijangka dipadankan dengan transmisi 7G-Tronic, dengan pacuan roda-belakang. Tetapi tiada logo 4Matic tertera pada model ini.

    GALERI: C205 Mercedes-Benz C-Class Coupe

     
     
  • Projek sambungan LRT siap sepenuhnya tahun ini

    liow tiong lai

    Projek sambungan laluan LRT yang merupakan sebahagian daripada projek utama dalam proses transformasi dan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam dijangka akan siap sepenuhnya hujung tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    “Ini akan membantu untuk memberikan pengangkutan awam yang cekap, selesa, dan boleh diharap menjelang 2020, khususnya untuk 10 juta penduduk yang dianggarkan tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” kata beliau pada laporan tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015.

    “Sistem Hab Pemantauan Prestasi dan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat yang akan siap hujung tahun ini juga akan menjadi platform untuk memantau perkhidmatan bas henti-henti dan teksi di dalam Kuala Lumpur dan Lembah Klang.”

    LRV-1

    “Juga termasuk dalam senarai adalah projek laluan MRT Sungai Buloh-Semantan dan sambungan kapasiti KL Monorail menjelang 2017, serta Sistem Tanpa Tunai Bersepadu untuk menyelaraskan sistem tiket menjelang 2018,” ujar beliau, dan turut menyatakan Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi pemangkin dan merubah perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

    Projek sambungan laluan LRT melibatkan dua laluan iaitu laluan Ampang dan laluan Kelana Jaya. Sambungan untuk laluan Ampang dengan jarak 18.1 km di bina dengan menempatkan 11 stesen baharu bermula dari stesen Sri Petaling dan melalui Kinrara, Puchong dan berakhir di Putra Heights. Empat stesen baharu yang akan dibuka pada 31 Mac ialah IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri. Pembinaan stesen Puchong Perdana, Puchong Prima, dan Putra Heights masih lagi berjalan.

    LRT-Extension-Map

    Sambungan pada laluan Kelana Jaya pula melibatkan jarak 17.4 km dengan 13 stesen baharu dan akan menghubungkan stesen Kelana Jaya sedia ada ke Putra Heights, yang kemudiannya boleh dihubungkan ke laluan Ampang. Prasarana telah mengumumkan laluan Kelana Jaya berkenaan akan mula beroperasi pada 30 Jun tahun ini. Tren Bombadier Innovia Metro 300 baharu juga telah tiba di Malaysia, dan akan memulakan khidmatnya selepas laluan-laluan baharu ini mula dibuka.

    Sebelum ini, kepuasan orang awam terhadap pengangkutan awam negara dilaporkan meningkat dari 48% pada 2010 hingga 74% pada 2015 melalui Tinjauan Kepuasan Pelanggan (CSS) yang di lakukan setiap tahun. Angka tersebut dijangka akan meningkat setelah kesemua projek tambahan ini siap sepenuhnya kelak.

     
     
  • Ford Everest 2016 – 2.2L Trend 4×2 dan 3.2L Titanium 4×4 dipamerkan di siri jelajah Ford Go Further, 1Utama

    Ford-Everest-3.2-Titanium-preview-BM-37

    Nampak gayanya Ford Everest generasi ketiga semakin menghampiri detik pelancarannya. SUV yang pernah diperkenalkan di Beijing pada akhir 2014 ini, sedang dipamerkan di siri jelajah Ford Go Further di pusat membeli-belah 1Utama sehingga 2 Mei ini.

    Kedua-dua varian adalah dibangunkan/direka oleh Australia, merupakan SUV tujuh-tempat duduk yang akan ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu 2.2L Trend 4×2 dan spesifikasi tertinggi 3.2L Titanium 4×4. Minggu lalu, kami telah mendedahkan spesifikasi bagi varian untuk pasaran Malaysia, yang menampilkan penjana kuasa yang sama dengan model Ranger T6 facelift.

    Bagi varian Trend, ia dipadankan dengan enjin ZSD-422 2.2 liter empat-silinder Duratorq TDCI, yang mampu memberikannya kuasa sehingga 158 hp pada 3,200 rpm dan tork 385 Nm antara 1,600 hingga 2,500 rpm. Manakala varian Titanium pula, dikuasakan oleh enjin P5AT 3.2 liter empat-silinder Duratork dengan output 197 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm.

    Bagi transmisi, hanya ada satu pilihan sahaja iaitu kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan (berbanding Australia yang menerima pilihan manual enam-kelajuan).

    Untuk elemen yang ditampilkan pula, terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua varian. Elemen yang sama termasuk penghawa dingin dua-zon, kawalan kelajuan, lampu kabus depan dan belakang, rel bumbung bercat dan tempat duduk penumpang hadapan dengan dua cara larasan-manual.

    Bagi varian Trend, ia tidak didatangkan dengan Terrain Management System (TMS) dan locking rear differential. Walau bagaimana pun, kedua-dua elemen tersebut ada pada varian Titanium, sekali gus memberikan kawalan yang lebih padu ketika mengharungi laluan off-road. TMS juga memiliki empat mod berbeza iaitu Road, Sand, Snow dan Rock, yang dikawal dengan butang pilihan kawalan di sebelah tuil gear.

    Bagi imej luaran, Titanium tampil lebih banyak perbezaan berbanding Trend. Di mana model spesifikasi tertinggi Everest ini dipadankan dengan roda bersaiz 20-inci (Trend hanya 18-inci). Manakala mengenai pencahayaan, Titanium tampil dengan lampu utama projektor xenon bersama pelarasan auto dan lampu nyalaan siang LED. Manakala Trend hanya dengan unit projektor halogen. Lain-lain perbezaan termasuklah cermin sisi krom untuk Titanium (Trend sama dengan warna badan) dan bilah pengilap cermin auto.

    Bagi bahagian kabin pula, Titanium menerima lebih banyak elemen menarik termasuk corong penghawa dingin bagi tempat duduk barisan kedua dan soket kuasa tiga-pin 230 V.

    Selain itu, ia turut menampilkan pencahayaan ambien, cermin pandang belakang electrochromic, roda stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan skrin sesentuh lapan-inci, sistem hiburan SYNC 2 (dengan 10-pembesar suara), tempat duduk balutan kulit (lapan-cara larasan berkuasa untuk pemandu, dua-cara larasan berkuasa untuk penumpang hadapan) dan butang berkuasa untuk membaringkan tempat duduk barisan ketiga.

    Kesemua elemen tersebut tidak terdapat pada Trend. Ia hanya menampilkan skrin paparan berwarna 4.2-inci dan sistem multimedia standard (dengan lapan-pembesar suara), tempat duduk fabrik (empat-cara larasan manual untuk pemandu, dua-cara larasan manual untuk tempat duduk penumpang hadapan) dan tempat duduk barisan ketiga yang boleh dibaringkan secara manual.

    Bagi aspek keselamatan, Titanium menerima tujuh beg udara (pemandu, tempat duduk penumpang hadapan, sisi, tirai, lutut), sementara Trend tidak disertakan beg udara sisi dan tirai. Namun elemen keselamatan standard bagi Everest termasuklah Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, pengingat tali pinggang kaledar dan cagak Isofix, yang membuatkan ia menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP. Selain itu, bagi Titanium, ia turut menerima pengesan bantuan parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan Ford MyKey.

    Terdapat empat warna luaran yang ditawar, dengan dua warna biasa bagi kedua-dua varian iaitu Aluminium Metallic dan Black Mica Metallic. Manakala tambahan warna bagi Trend ialah Cool White dan Sunset Metallic untuk Titanium. Buat masa ini, harganya masih belum diumumkan, namun mungkin dijangka sekitar RM200k bagi Trend, dan Titanium sedikit mahal dari itu.

    GALERI: Ford Everest 3.2L Titanium 4×4

    GALERI: Ford Everest 2.2L Trend 4×2

     
     
  • LEKAS ditutup sempena RHB Shimano Highway Ride

    RHB-Shimano-Highway-Ride

    Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) akan ditutup sementara kepada pengguna bermula pukul 5 petang 30 April hingga 3 pagi 1 Mei untuk memberi laluan kepada acara berbasikal malam RHB Shimano Highway Ride @ LEKAS 2016.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi LEKAS Sdn Bhd Wan Salwani Wan Yusoff, kira-kira 19 persimpangan akan ditutup iaitu dari Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi bagi memastikan kelancaran perlumbaan dan keselamatan peserta

    Beliau berkata anggaran jumlah trafik yang akan terjejas oleh penutupan itu ialah kira-kira 50,000 kenderaan.

    “Laluan alternatif telah dikenal pasti dan sebaik sahaja penutupan bermula, pengguna yang ingin menuju ke selatan seperti Seremban, Senawang dan Kuala Pilah dinasihati menggunakan Laluan Persekutuan 1 atau Lebuh Raya PLUS untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

    “Bagi mendapatkan maklumat terkini dan bantuan mengenai penutupan lebuh raya itu, pengguna boleh menghubungi kami melalui Twitter @LEKAStrafik, Facebook Fan Page, LEKAS Highway atau infoline 1-800-88-8021,” katanya kepada Bernama.

     
     
  • SPAD gesa pengendali operasi teksi kaji dahulu model perniagaan Uber dan Grab sebelum menggunakannya

    Syed-Hamid-Albar

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggesa pengendali operasi teksi untuk melakukan kajian yang menyeluruh sebelum menggunakan model perniagaan yang sama seperti servis perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab. Menurut laporan The Star, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata model perniagaan yang bagus sahaja tidak mencukupi.

    Sebaliknya, pengendali operasi teksi perlu memastikan model perniagaan tersebut boleh diadaptasikan kepada operasi berkonsepkan jualan besar-besaran. “Contohnya, pemandu servis aplikasi perkongsian kenderaan perlu menyelenggara kenderaan mereka dengan baik kerana kenderaan tersebut adalah milik mereka dan atas tanggungan mereka sendiri. Pengendali operasi teksi tidak berkemampuan untuk menyelenggara dengan sepenuhnya sebuah teksi sahaja. Mereka perlu menyelenggara keseluruhan teksi milik mereka, jadi mereka tidak boleh menggunakan kaedah ini,” kata beliau.

    Syed Hamid turut mendedahkan dianggarkan 80% pengguna pengangkutan awam lebih gemar untuk menggunakan servis perkongsian kenderaan berbanding teksi tradisional, bukti populariti yang diraih mereka. Walaupun begitu, Pengerusi SPAD itu menyatakan ini bukan bermaksud servis teksi akan berkubur sepenuhnya. “Kita perlu melihat kepada penyelesaian yang membolehkan kedua-dua servis teksi dan aplikasi perkongsian kenderaan ini beroperasi bersama,” tambah beliau.

    Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan mengumumkan pemandu Grab dan Uber perlu untuk memiliki lesen vokasional PSV sebagai satu langkah yang diambil untuk mengawal selia perkhidmatan tersebut dalam negara. Walaubagaimana pun, implementasinya hanya akan berjalan setelah SPAD mengumpulkan maklum balas dari orang ramai.

    Beberapa kumpulan yang mewakili pemandu teksi dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa, termasuk SPAD, kerana gagal untuk mengambil tindakan terhadap pengendali servis perkongsian kenderaan tersebut di Malaysia. Dengan menegaskan servis aplikasi tersebut beroperasi secara haram tanpa lesen yang sah, mereka mengambil beberapa tindakan agar suara mereka kedengaran termasuk membuat beberapa protes jalanan sehingga menyebabkan beberapa laluan di Bandaraya Kuala Lumpur ditutup.

     
     
  • Ford perkenal enjin EcoBlue turbodiesel 2.0 liter serba baharu ganti enjin Duratorq 2.2 liter, 13% lebih efisien

    Ford telah mendedahkan siri enjin turbodiesel baharu dikenali sebagai Ford EcoBlue. Untuk peringkat permulaan, enjin baharu ini hadir dalam varian 2.0 liter pancitan bahan api terus, menggantikan enjin 2.2 liter Duratorq TDCi (yang diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2005), dengan beberapa talaan dan akan memenuhi undang-undang Euro 6 yang akan diperkenalkan pada September 2016 nanti.

    Enjin ini dijadualkan akan memasuki produksi dan menjana van Ford Transit dan Ford Transit Custom terbaharu dengan tiga pilihan talaan iaitu 105 PS, 130 PS dan 170 PS untuk kegunaan komersil. Ford juga mendakwa enjin baharu ini menawarkan 20% lebih tork (sehingga 340 Nm) yang hadir seawal 1,250 rpm berbanding enjin 2.2L TDCi.

    Untuk masa hadapan, barisan enjin diesel EcoBlue akan diperkembangkan termasuk varian 1.5 liter untuk digunakan pada kenderaan yang lebih kecil seperti Focus, C-Max, B-Max dan Fiesta. Menurut Ford, enjin-enjin tersebut berkemampuan menjana kuasa dari 100 PS hingga 240 PS. Enjin 2.2L TDCi terdahulu berkemampuan menjana 160 PS/400 Nm dan boleh ditemui pada Ranger, Everest dan Mazda BT-50.

    Ford-EcoBlue-2.0L-1-e1461741586376_BM

    Untuk mendapatkan tahap kecekapan yang lebih tinggi, Ford telah menggabungkan banyak teknologi dalam rekaan enjin EcoBlue ini. Enjin baharu ini menampilkan rekaan manifold kemasukan udara yang dibina sekali dengan kepala silinder enjin. Ia menggunakan rekaan liang kemasukan imej-cermin yang dapat mengawal jumlah kemasukan udara ke kebuk pembakaran dengan lebih tepat.

    Unit pemancit bahan api piezoelektrik baharu juga turut dipadankan pada enjin baharu ini. Nozel pemancit tersebut berupaya untuk memberikan sehingga enam suntikan untuk setiap proses pembakaran, dengan sesi suntikan berlaku sepantas 250 mikro saat (0.00025 saat) dan memberikan kapasiti suntikan diesel sebanyak 0.8 mg, menerusi lapan lubang halus berdiameter 120 mikron. Ini membolehkan penghantaran bahan api ke kebuk pembakaran dilakukan dengan lebih tepat dan terkawal.

    Antara rekaan terkini pada enjin EcoBlue ini termasuk rekaan aci engkol yang dibina dengan ukuran offset 10 mm untuk mengurangkan geseran di dinding silinder pada blok besi, diameter galas aci engkol yang dikecilkan, sistem pelinciran tali sawat basah untuk aci sesondol dan pam minyak pelincir, dan juga rekaan injap yang memberikan prestasi optimum dengan modul aci sesondol tunggal serba baharu. Inovasi-inovasi ini akan mengurangkan geseran di dalam enjin dan membawa kepada peningkatan kecekapan bahan api sehingga 13%.

    Ford-EcoBlue-2.0L-2-e1461741703715_BM

    Roda turbin aloi inkonel yang mampu berfungsi dalam suhu yang sangat tinggi pada unit pengecas turbo enjin ini juga dikecilkan diameternya sehingga hampir 10% bagi membolehkan ia memberikan lebih udara pada kelajuan enjin yang lebih rendah. Roda unit pemampat pada pengecas turbo tersebut turut dikecilkan sehingga 15%. Bagi membolehkan masa tindak balas yang diambil lebih pendek sehingga 110 milisaat, unit penggerak (actuator) pada pengecas turbo tersebut turut ditukar daripada jenis gear ulir kepada gear bergigi.

    Selain dari peningkatan dari segi kecekapan, operasi enjin EcoBlue baharu ini turut diperhalusi. Kepala silinder, blok, pam pelincir dan takungan minyak pelincir direka bagi membolehkan enjin tersebut beroperasi dengan lebih senyap – didakwa lebih senyap 50% dari enjin 2.2L TDCi ketika dalam kelajuan melahu. Permukaan yang tidak rata juga memastikan bunyi di dalam enjin terperangkap dengan kemas semasa beroperasi.

    Untuk memastikan ketahanan enjin ini, Ford telah mengujinya dalam ujian pemanduan di dunia sebenar, beberapa ujian analisa makmal, tapak ujian persendirian Ford dan juga penilaian CAE sejauh 402,336 km. Ford mendakwa, hasil ujian tersebut jelas menunjukkan enjin EcoBlue baharu ini berupaya untuk menghadapi permintaan yang ekstrim dalam pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan China.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025