Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Geely Preface — gambar sedan produksi mula ditunjuk

    Geely Preface — gambar sedan produksi mula ditunjuk

    Tahun lalu, Geely ada tunjukkan model konsep Preface, yang khabarnya akan menampilkan rekaan dan penawaran yang premium serta sporty bagi barisan kenderaan yang akan dikeluarkan oleh syarikat itu nanti. Dan yang menariknya, 16 bulan selepas itu, sedan berkenaan sudah tersedia untuk dikilangkan, dan ini imej terawalnya yang mula didedahkan.

    Dari luaran, Preface nampak masih mengekalkan penampilan yang pernah ditunjukkan pada model konsepnya. Di depan masih ada gril Expanding Cosmos yang menonjol, kini dengan garis lintang yang menjadikannya ada kelainan. Ini dilengkapi dengan rekaan lampu utama yang nipis, dengan dua projektor pada setiap sisi.

    Di bawah sedikit, tiga bukaan udara masih dikekalkan. Bagaimanapun rekaan inlet di bucunya kini lebih besar dengan tambahan dua kemasan melintang. Bahagian fender juga tampil agak berisi, pendekatan yang sama ditunjukkan pada barisan kenderaan keluaran Geely ketika ini, dengan garis yang dari bahagian lampu utama hingga ke bahagian tingkap sisi.

    Geely Preface — gambar sedan produksi mula ditunjuk

    Garis pada badan juga tampil ketara dan memberikan imej keyakinan pada kereta ini, misalnya garis dari fender depan yang ditarik hingga ke belakang. Bampar belakang juga menampilkan sentuhan rekaan yang sporty dan dalam masa yang sama, kemas. Perhatikan rekaan lampu belakangnya yang tirus, serta muncung spoiler yang bersekali dengan pintu ruang barangan.

    Antara bahagian yang menampilkan rekaan yang sedikit berbeza daripada model konsep terdahulu ialah cermin sisi pada pintu yang lebih besar, pemegang pintu yang lebih kelihatan, dan rekaan pintunya sendiri bukan lagi jenis suicide door yang panjang. Apa pun, keseluruhannya, ia masih nampak seperti Preface konsep yang tidak banyak berubah.

    Geely Preface — gambar sedan produksi mula ditunjuk

    Tiada gambar bagi bahagian dalamannya yang ditunjuk setakat ini. Namun, jika berpandukan kepada model konsepnya, ia mungkin akan mengekalkan pendekatan yang sama juga ; rekaan papan pemuka yang minimalis dengan paparan terapung dan konsol tengah yang lebih merangkum.

    Preface menggunakan platform Compact Modular Architecture, yang dibangun bersama Volvo serta digunakan pada model XC40. Maklumat lain berkaitan model ini akan didedahkan sebaik sahaja ia dilancarkan untuk pasaran China nanti, dijangka pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Kapcai Aveta 2020 kini di Malaysia — dari RM2,880

    Kapcai Aveta 2020 kini di Malaysia — dari RM2,880

    Ada khabar baru berkaitan pasaran kapcai di Malaysia; jenama motosikal Aveta – yang telah mula bertapak diam-diam di sini sejak November tahun lalu – akan memperkenalkan model kapcainya menjelang hujung tahun ini. Sebagai jenama Malaysia sepenuhnya dan dimiliki oleh Aveta Global Marketing, Aveta mensasarkan produk-produk motosikal yang mesra harga, dengan model-model seperti DY90 (RM2,888) dan RX110 (RM4,039).

    Sumber industri memaklumkan kepada kami bahawa jualannya telah bermula sejak Mac 2020, dan setakat ini sejumlah 2,000 unit bagi kedua-dua model telah terjual. Nampak rekaannya macam kenal? Memang, kerana kedua-dua model ini sebenarnya adalah model rebadge daripada motosikal Demak, yang kini tidak lagi beroperasi dan menamatkan perniagaan mereka.

    Kapcai Aveta 2020 kini di Malaysia — dari RM2,880

    DY90 meminjam rekaan yang tak jauh lari dari Honda EX5 Dream. Ia menggunakan enjin 90 cc empat-lejang, silinder tunggal sejukan udara yang menghasilkan 6.14 hp pada 8,000 rpm dan 5.7 Nm tork antara 5,500 rpm hingga 6,000 rpm.

    Kotak gear empat-kelajuan menghantar kuasa pacuannya. Tangki minyak pula mempunyai kapasiti 3.5 liter dan beratnya didakwa 103 kg. DY90 menggunakan rim aloi 17-inci. RX110 pula, sebuah kapcai yang sedikit lebih sporty, menggunakan enjin 110 cc. Kuasa yang dijana ialah 7.8 hp pada 7,800 rpm dan 7.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia mempunyai berat 123 kg, dengan tangki minyak berkapasiti 4.2 liter.

    Aveta ketika ini merancang untuk menjual tiga model baru di Malaysia, dijadualkan dalam tempoh empat atau lima bulan akan datang. Jika tak ramai yang tahu tentang jenama ini, hal itu adalah kerana syarikat berkenaan memang lebih selesa untuk bergerak secara diam-diam dan membiarkan produk-produknya bergerak dahulu dalam pasaran.

     
     
  • BMW panggil semula 4,460 unit model plug-in hybrid berisiko untuk berlaku litar pintas – 11 model terlibat

    BMW panggil semula 4,460 unit model plug-in hybrid berisiko untuk berlaku litar pintas – 11 model terlibat

    BMW telah mengeluarkan notis panggilan semula untuk model-model hybrid mereka yang berpotensi untuk berlaku litar pintas dalam bateri bervoltan tinggi kereta-kereta berkenaan, lapor Auto Motor und Sport. Panggilan semula ini akan melibatkan 4,460 unit kenderaan dari seluruh dunia, di mana sekitar 1,000 daripadanya berada di Jerman. Penghantaran kepada pelanggan untuk model-model terlibat juga telah ditangguh terlebih dahulu.

    Sebanyak 11 model plug-in hybrid terlibat dalam panggilan semula tersebut, terdiri dari BMW 3 Series G20, 3 Series Touring G21, 2 Series Active Tourer F45, 7 Series G11/G12, 5 Series G30, 5 Series Touring G31, model-model X (F48 X1, F39 X2, G01 X3, G05 X5) serta MINI Countryman – kesemuanya dilengkapi dengan unit bateri bervoltan tinggi diproduksi bermula 13 Mac hingga 6 Ogos tahun ini.

    Menurut BMW, menerusi pemeriksaan yang dilakukan oleh unit dalaman mereka menemui sisa kimpalan pada tangki simpanan bateri bervoltan tinggi tersebut tidak dibersihkan sepenuhnya ketika proses produksi. “Dalam kes terpencil, bergantung pada bentuk, saiz dan posisi sisa kimpalan tersebut, pencemaran ketika proses caj awalan mungkin boleh menyebabkan kegagalan fungsi, seperti litar pintas dalam memori voltan tinggi,” jelas BMW.

    Jenama automotif tersebut mengesahkan masalah ini kepada Auto Motor und Sport, dan turut menyatakan bahawa pemilik kenderaan terjejas kini sedang dihubungi secara peribadi. Dalam masa yang sama, pemilik-pemilik model yang terjejas berkenaan agar tidak mengecaj kereta mereka menggunakan wallbox atau di stesen pengecaj sehingga kereta tersebut di periksa.

    BMW turut memberitahu bahawa tindakan teknikal akan dimulakan secepat mungkin dan ia akan melibatkan pemeriksaan pada simpanan voltan tinggi untuk kereta yang telah pun diserahkan pada pelanggan dengan rekod caj semula, dan jika perlu, langkah selanjutnya akan diambil.

    Dalam masa yang sama, Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Jerman (KBA) turut telah diberitahu berkenaan perkara ini dan mereka sedang merancang untuk membuat panggilan semula secara rasmi.

    Untuk pemilik model-model dinyatakan di atas yang berada di Malaysia, anda tidak perlu risau kerana BMW Malaysia telah memberitahu kami bahawa model-model plug-in hybrid di sini adalah versi pemasangan tempatan (CKD) dan tidak terlibat langsung dengan panggilan semula tersebut.

     
     
  • VIDEO: Geely CMA Super Factory — tinjau dari dekat

    Geely telah mengeluarkan video jelajah fasiliti kilang pemasangan CMA Super Factory syarikat itu yang terletak di Luqiao, Taizhou di mana model-model seperti Lynk & Co 01, Polestar 2 dan the Volvo XC40 untuk pasaran China dikeluarkan. Klip videonya ringkas, membawa penonton ke beberapa bahagian dan kawasan dalam kilang berkenaan, meninjau proses pemasangan kenderaan yang dijalankan.

    Dipenghujung video, dapat dilihat beberapa model berbeza berkongsi ruang lantai yang sama, menandakan perkongsian platform CMA pada model-model terbabit – melibatkan tiga model semuanya – dari jenama yang berlainan di bawah pengurusan kumpulan Geely. Disebabkan itulah fasiliti berkenaan dikenali sebagai CMA Super Factory.

    Pada Ogos, Geely mengumumkan syarikat itu telah mengeluarkan dalam jumlah terkumpul sebanyak 600,000 unit kenderaan berasaskan platform CMA bagi tempoh sepanjang Julai lalu, bagi kedua-dua kumpulan Geely dan Volvo. Model seterusnya yang bakal muncul dengan binaan CMA ini ialah versi produksi bagi model Geely Preface, yang dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

    Lagi model yang menggunakan platform CMA ialah Geely FY11, yang akan dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder dengan janaan 235 hp dan 350 Nm tork. Sama seperti Volvo XC40 pula, FY11 dijangka akan ditawarkan dalam versi pacuan depan dan juga semua roda, dengan reka bentuk yang mengambil rupa dari BMW X4 dan Mercedes-Benz GLC Coupe.

    Pengeluaran Volvo XC40 di kilang Luqiao ini bermula pada April 2019, menjadi kilang pengeluaran kedua bagi SUV kompak itu selepas fasiliti Volvo di Ghent, Belgium. Volvo juga telah menjual lebih daripada 100,000 unit XC40 setakat ini.

     
     
  • JPJ kutip RM3.85j hasil diskaun kompaun 70% setakat 15 Ogos – 2.4j saman tertunggak, 1.7j disenaraihitam

    JPJ kutip RM3.85j  hasil diskaun kompaun 70% setakat 15 Ogos – 2.4j saman tertunggak, 1.7j disenaraihitam

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip pembayaran saman sebanyak RM3,852,118 hasil kempen pengurangan saman kompaun 70% yang dilaksanakan mulai 1 Ogos lalu.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, kutipan berkenaan adalah hasil transaksi melibatkan sebanyak 51,178 saman yang diselesaikan melalui pelbagai saluran antaranya kaunter JPJ, kaunter bergerak JPJ serta portal dan kios JPJ. Di mana JPJ Selangor merupakan yang tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman telah diselesaikan.

    Menurut JPJ lagi, sehingga kini, jumlah saman yang tertunggak dan masih belum dijelaskan adalah sebanyak 2,404,353 dengan anggaran kutipan selepas pengurangan adalah RM170 juta. Bagi saman yang telah disenarai hitamkan pula adalah sebanyak 1,794,700.

    Justeru, JPJ mengingatkan orang ramai agar merebut peluang bagi mendapatkan pengurangan saman kompaun sebanyak 70& berkenaan dan tidak menunggu sehingga saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini.

    Seperti yang telah diketahui umum, saman yang yang tidak dibayar akan disenaraihitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor, proses tukar hak milik serta lain-lain lagi.

    Pengurangan saman kompaun JPJ yang akan berakhir pada 31 Ogos ini adalah bersempena dengan bulan kebangsaan dan selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2020 iaitu “Malaysia Prihatin”.

    Ia hanya diberikan kepada semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

     
     
  • GALERI: BMW X5 xDrive45e G05 — RM441k, PHEV dengan enjin 3.0L dan aksesori BMW bernilai RM43k

    GALERI: BMW X5 xDrive45e G05 — RM441k, PHEV dengan enjin 3.0L dan aksesori BMW bernilai RM43k

    SUV yang sedang anda tatap ini ialah BMW X5 xDrive40e G05, versi pemasangan tempatan yang diperkenalkan oleh BMW Malaysia dan dijual pada harga RM440,745 dan baru saja dilancarkan bulan Jun lalu.

    Apa yang lebih menarik ialah model berkenaan kini datang dengan enjin yang lebih besar, unit B58 3.0 liter enam-silinder sebaris (model terdahulu menggunakan enjin 2.0L PHEV) dan dibantu oleh motor elektrik untuk memberikan janaan akhir 394 PS dan 600 Nm. Ini merupakan talaan bagi PHEV yang paling berkuasa pernah ditawarkan oleh BMW setakat ini, dan sistem jana kuasa itu dikongsi bersama model 740Le dan 545 xDrive terbaru.

    GALERI: BMW X5 xDrive45e G05 — RM441k, PHEV dengan enjin 3.0L dan aksesori BMW bernilai RM43k

    Unit enjin berkenaan dipadankan pula dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF dan sistem pacuan semua roda xDrive (dengan differential lock bahagian belakang), X5 generasi baru ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat. Laju maksimum ialah 235 km/j, dan kadar penggunaan minyak didakwa pada 9.2 liter bagi setiap 100 km.

    Kapasiti bateri lithium-ion juga lebih tinggi dengan 24 kWh juga merupakan pertambahan terbaru, memberikan hingga 77 km jarak elektrik sepenuhnya dengan cas penuh (terdahulu hanya 30 km). Namun, ini mengabikatkan ruang but menjadi lebih kecil – X5 biasa menyediakan 650 liter ruang, tetapi X5 xDrive45e ini hanya memberikan 500 liter (kurang 150 liter) ruang untuk barangan.

    GALERI: BMW X5 xDrive45e G05 — RM441k, PHEV dengan enjin 3.0L dan aksesori BMW bernilai RM43k

    Untuk mengecas baterinya, sambungan Type 2 digunakan. Jika disambung pada plag tiga-pin pada soket 240-volt domestik, tempoh mengecasnya memerlukan 10 jam dan 30 minit. Ini boleh dipendekkan dengan penggunaan BMW iWallbox 3.7 kWh, yang hanya memerlukan enam jam dan 50 minit untuk satu cas penuh.

     
     
  • HLYM panggil balik NVX untuk tukar suis lampu brek

    HLYM panggil balik NVX untuk tukar suis lampu brek

    Pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd telah mengeluarkan notis panggilan balik untuk skuter NVX 155, bagi menggantikan suis lampu brek di bahagian hadapan. Aktiviti ini akan dimulakan di beberapa buah negeri, secara berperingkat.

    Motosikal yang terlibat adalah yang mempunyai nombor kerangka seperti yang dilampirkan di bawah, dan HLYM akan menghantar notis kepada pemilik bermula pertengahan bulan Ogos. Setelah mendapat notis tersebut, pemilik boleh menghubungi pengedar motosikal Yamaha yang berdaftar untuk proses penukaran alat yang terlibat. Mereka juga boleh melayari laman web rasmi HLYM atau aplikasi Yamaha Motor Malaysia untuk maklumat lanjut.

    Panggilan berkenaan masalah ini bukan sahaja melibatkan Malaysia malah sebelum ini di Indonesia juga panggilan balik yang sama telah dilakukan pada awal tahun ini. Sebelum barang tersebut ditukar, HLYM menyatakan pemilik masih boleh menunggang motosikal mereka dan ikuti arahan dalam buku manual seperti biasa.

    HLYM panggil balik NVX untuk tukar suis lampu brek

    Mengikut pemahaman kami, suis ini adalah suis untuk menyalakan dan mematikan lampu brek belakang apabila tuil brek hadapan ditarik untuk membrek dan ia tidak akan memberi kesan secara langsung kepada prestasi brek itu sendiri.

    Terdapat ketikanya suis itu tidak berfungsi dengan baik dan apabila tuil ditarik lampu brek sama ada akan menyala terus ataupun tidak menyala. Penukaran dilakukan bagi memastikan lampu tersebut boleh menyala dan padam mengikut cara yang sepatutnya.

     
     
  • SPYSHOT: Volvo S90 facelift mula dilihat di Malaysia

    SPYSHOT: Volvo S90 <em>facelift</em> mula dilihat di Malaysia

    Volvo S90 facelift kini sudah dilihat sedang diuji di Malaysia. Unit contoh yang dilihat ini menggunakan lencana T8 AWD Recharge pada bahagian but belakang, yang merupakan penjenamaan semula model-model plug-in hybrid oleh pengeluarnya, menggantikan nama Twin Engine yang digunakan sebelum ini. Sama seperti S90 sebelum ini, ia merupakan unit CKD untuk pasaran tempatan.

    Jika diperhatikan pada penampilan sulung model facelift ini untuk pasaran global, ia mengenakan bampar yang direka semula dan kemasan krom yang ketara pada bahagian depan dan juga belakang, seperti yang dapat dilihat pada gambar yang ada ini. Kemaskini terbaru ini juga melibatkan rekaan lampu belakang baru, tiada lagi outlet untuk ekzos pada bahagian bawah bampar (sebelum ini kemasan krom trapezoid).

    Sistem janaan kuasanya dijangka akan diteruskan dengan sistem dua desakan (supercas dan turbocas) pada unit 2.0 liter empat-silinder petrol dengan janaan output keseluruhan 407 hp dan 640 Nm tork. Daripada angka-angka ini, 320 hp dan 400 Nm dihasilkan oleh enjin, dan 87 hp dan 240 Nm dari motor elektrik yang terletak di gandar belakang.

    SPYSHOT: Volvo S90 <em>facelift</em> mula dilihat di Malaysia

    Di dalam juga perubahan yang dilakukan tidak terlalu ketara. Bagi tingkat kemasan Inscription, ia akan menerima tombol gear Orrefors yang direka bentuk semula, Advanced Air Cleaner dengan penapis udara PM2.5 serta sistem bunyi dipertingkat Bowers & Wilkins dengan amplifier baru dan ciri active noise cancellation.

    Di Malaysia, model Volvo S90 semasa ketika ini terdiri daripada versi T8 Twin Engine dan versi T5 yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas Drive-E empat-silinder dengan 254 PS dan 350 Nm dari 1,500 hingga 4,800 rpm. Model facelift ini nanti akan mengikut arah tuju global bagi semua varian elektrifikasi Volvo keseluruhannya dengan sistem 48-volt mild-hybrid, yang datang dalam bentuk B5 250 hp/350 Nm dan B6 300 hp/420 Nm ketika pelancarannya.

    Walaupun sudah kelihatan diuji atas jalan raya Malaysia, Volvo S90 facelift ini bagaimanapun khabarnya tidak akan dilancarkan tahun ini, disebabkan segala perancangan telah terkesan oleh pandemik Covid-19. Kemungkinannnya, pada 2021 barulah pasaran tempatan akan menerima model ini.

     
     
  • Audi RS6 Avant dan RS7 Sportback tiba di Malaysia – enjin V8 4.0 liter bi-turbo 600 hp, harga dari RM976k

    Audi RS6 Avant dan RS7 Sportback tiba di Malaysia – enjin V8 4.0 liter bi-turbo 600 hp, harga dari RM976k

    Bagi sesiapa yang rasa Audi RS4 Avant dan RS5 Sportback tidak cukup untuk menggerakkan jiwa mereka, dua lagi model yang lebih besar dan berkuasa ini mungkin boleh dijadikan pilihan. Ia adalah RS6 Avant dan RS7 Sportback, dan kini sudah pun dijual di Malaysia pada harga masing-masing RM976,309 dan RM988,544.

    Untuk penggerak, kedua-dua model menggunakan enjin V8 4.0 liter TFSI biturbo, berkemampuan 600 hp pada 6,000 rpm dan 800 Nm tork pada antara 2,050 hingga 4,500 rpm. Transmisi automatik lapan kelajuan digunakan untuk menyampaikan kuasa kepada semua roda, bersama sistem pacuan Quattro dan differential boleh kunci sendiri.

    Melalui enjin ini, kedua-dua model boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat, dan mencecah kelajuan maksimum 280 km/j. Antara barangan prestasi yang diberi adalah sistem ekzos sport RS, stereng progresif, suspensi sport RS dan Dynamic Ride Control.

    Pada bahagian luar, RS6 Avant mendapat pakej kemasan hitam berkilat dan gentian karbon secara standard, bersama lampu utama HD Matrix LED dan Audi Laser Light, lampu belakang LED, lampu penunjuk arah dinamik, rim 22 inci dibalut tayar 285/30 serta cakera brek besi RS dengan angkup berwarna merah.

    Model RS7 Sportback pula mendapat pakej luaran yang lebih sporty, dengan kemasan gentian karbon pada beberapa bahagian termasuk pelindung cermin sisi. Selain daripada warna asal, kedua-dua model juga boleh didapati dengan pilihan warna luar Audi Exclusive dengan kos tambahan, serta bumbung panoramik.

    Pada bahagian dalam, kedua-dua model diberikan terus dengan kawalan pendingin hawa automatik empat zon, pelaras stereng elektrik, tempat duduk Audi Sports Plus dengan sistem pemanas dan penyejuk, kemasan dalam “aluminium race“, pedal kaki stainless steel, plet tepi pintu RS, roda stereng rata di bawah dan tempat duduk yang dibalut kulit Valcona.

    Audi RS6 Avant dan RS7 Sportback tiba di Malaysia – enjin V8 4.0 liter bi-turbo 600 hp, harga dari RM976k

    Sistem infotainmen terdiri daripada MMI Navigation Plus dengan MMI Touch. Model RS7 mendapat sistem bunyi premium Bang & Olufsen secara terus sementara untuk RS6, ia datang sebagai pilihan tambahan yang memerlukan kos tambahan.

    Akhir sekali untuk sistem keselamatan, RS6 Avant dan RS7 Sportback datang dengan sistem Pre Sense depan dan belakang, Front Cross Traffic Assist, Lane Change Assist dengan amaran keluar, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, Park Assist dengan Parking Aid Plus, kamera 360 darjah serta cagak ISOFIX.

    GALERI: Audi RS6 Avant 2020

    GALERI: Audi RS7 Sportback 2020

     
     
  • Laluan maut sepanjang 14 km di Parit Sempadan-Ayer Hitam dinaiktaraf dengan kos RM250j tahun depan

    Laluan maut sepanjang 14 km di Parit Sempadan-Ayer Hitam dinaiktaraf dengan kos RM250j tahun depan

    Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Dr Wee Ka Siong telah memaklumkan laluan sepanjang 14 kilometer antara Parit Sempadan hingga ke persimpangan Tol Ayer Hitam akan dinaik taraf bermula pertengahan tahun hadapan.

    Jelasnya, untuk itu, peruntukan sebanyak RM250 juta disalurkan bagi kerja naik taraf membabitkan pembinaan laluan empat lorong, pembahagi jalan, empat kawasan pusingan U dan enam jejantas untuk pejalan kaki dan motosikal.

    “Buat masa ini, kerja mengukur jalan dan perancangan awal projek sudah dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diharapkan semuanya berjalan lancar. Dengan pelaksanaan naik taraf ini, ia akan memberikan manfaat kepada keseluruhan penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Semarang seramai 50,000 orang,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Menurut Dr. Wee, laluan berkenaan telah dikategorikan sebagai 10 jalan raya paling bahaya di negara ini. Di mana rekod kemalangan maut telah mencatatkan sebanyak 554 kes dalam tempoh 10 tahun perlu diatasi segera.

     
     
  • Ford GT Heritage Edition 2021 – inspirasi dari GT40 Ken Miles pada perlumbaan Daytona 24 Jam 1966

    Ford GT Heritage Edition 2021 – inspirasi dari GT40 Ken Miles pada perlumbaan Daytona 24 Jam 1966

    Sebelum ini, sejarah perseteruan antara Ford dan Ferrari mungkin hanya diketahui oleh peminat-peminat sukan permotoran. Namun setelah cerita tersebut diangkat ke layar perak dengan tajuk Ford v Ferrari tahun lalu, sejarah berkenaan mula diketahui umum.

    Perlumbaan Daytona 24 Jam 1966 adalah salah satu kemenangan bersejarah yang dicatatkan Ken Miles dari pasukan Ford kelolaan Caroll Shelby sebelum mereka mencipta sejarah di Le Mans 24 Jam tahun yang sama. Bagi meraikan ulangtahun ke-55 kemenangan tersebut, jenama dari Detroit berkenaan telah menghasilkan Ford GT Heritage Edition 2021 yang diinspirasikan dari Ford GT40 Ken Miles di Daytona 1966.

    Oleh itu, Ford GT Heritage Edition ini diberikan livery yang sama seperti jentera lumba GT40 MkII Ken Miles dan Lloyd Ruby di Daytona – warna badan putih, grafik badan hitam-merah lengkap dengan nombor “98” pada pintu.

    Ford GT Heritage Edition 2021 – inspirasi dari GT40 Ken Miles pada perlumbaan Daytona 24 Jam 1966

    “Miles dan Ruby mendahului perlumbaan hampir pada setiap lap dalam perlumbaan 24-jam berkenaan dan meninggalkan pesaing lain dalam jarak 30 batu. Kemenangan tersebut merupakan kali pertama dominasi Ferrari terancam dalam perlumbaan dan detik permulaan perubahan dalam program perlumbaan Ford GT,” kata pengurus program Ford GT, Mike Severson.

    Dalam Daytona 24-jam 1966 berkenaan, Miles dan Ruby serta enam lagi pemandu Ford GT40 yang lain mendominasi perlumbaan tersebut dengan kemenangan 1-2-3-5, manakala sasaran mereka iaitu Ferrari 365 P2 hanya berjaya menduduki tempat keempat.

    Untuk lebih spesifik, Ford GT Heritage Edition ini diberikan warna badan Frozen White, manakala warna hitam pula sebenarnya adalah komponen gentian karbon yang tidak diberikan sebarang warna – termasuk ruang nombor “98” pada pintu.

    Ford GT Heritage Edition 2021 – inspirasi dari GT40 Ken Miles pada perlumbaan Daytona 24 Jam 1966

    Serlahan Race Red pula diberikan pada bahagian bawah muka hadapan, hujung bumbung, pintu sebelah pemandu dan juga di bawah sayap belakang. Penampilan luaran model ini dilengkapkan dengan rim aluminium forged 20-inci dalam kemasan Heritage Gold, bersama angkup brek monoblok dari Brembo yang diberi kemasan merah.

    Manakala pada bahagian kabin, ia menerima balutan Alcantara hitam pada panel instrumen, pelapik bumbung dan roda stereng. Tempat duduk pula menerima upholsteri Alcantara merah, diserasikan dengan pedal penukar gear juga berwarna merah.

    Jika pelanggan mahukan ciri lebih eksklusif, ciri opsyen lain turut ditawarkan seperti rim 20-inci gentian karbon tanpa warna dan diberikan serlahan merah, angkup brek hitam dengan tulisan berwarna merah, dan juga nombor “98” yang kelihatan samar-samar pada panel pintu sebelah dalam.

    Selain dari GT Heritage Edition ini, Ford turut memperkenalkan siri Studio Collection baharu, yang menawarkan pelbagai pakej grafik kepada pelanggan yang menyerlahkan elemen rekaan utama kereta tersebut. Hanya 40 unit Ford GT boleh dipilih dengan pakej ini untuk model tahun 2021 dan tahun terakhir produksi kereta sport ini iaitu 2022, dengan tujuh warna standard dan pilihan yang diperluaskan bergantung kepada permintaan pelanggan.

     
     
  • UMobile jalin kerjasama dengan Waze untuk ketersambungan GPS dalam Terowong SMART

    UMobile jalin kerjasama dengan Waze untuk ketersambungan GPS dalam Terowong SMART

    U Mobile menjadi syarikat telekomunikasi pertama yang mempelopori navigasi GPS Waze dalam Terowong SMART untuk menyediakan ketersambungan GPS bagi pemandu yang melalui terowong dwifungsi yang terpanjang di dunia.

    Menerusi ketersambungan GPS ini, pengguna Terowong SMART tidak lagi perlu bimbang jika tersesat jalan atau tersilap susur keluar di kawasan tersebut dengan adanya peranti mudah alih Waze Beacons yang dipacu Bluetooth®. Peranti ini menjamin ketersambungan yang lancar dan navigasi berterusan walaupun ketika penerimaan isyarat GPS yang lemah, menerusi penyebaran isyarat tanpa wayar yang menyokong aplikasi navigasi.

    Bagi menjamin navigasi yang berterusan di dalam terowong SMART, para pemandu hanya perlu mengaktifkan sambungan Bluetooth® pada peranti mereka. Setakat ini, hampir 240 Waze Beacons telah berjaya dipasangkan di sepanjang terowong 5.2km tersebut.

    Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee berkata ciri baharu yang telah dipasangkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa akan memudahkan lagi pemanduan di dalam terowong.

    UMobile jalin kerjasama dengan Waze untuk ketersambungan GPS dalam Terowong SMART

    “U Mobile berpegang teguh kepada pendirian untuk menyerlahkan potensi tanpa had teknologi yang terbaik untuk kes kegunaan 5G, perluasan rangkaian 4G, mahupun inovasi perkhidmatan. Kerjasama terbaharu dengan pihak Waze dan Terowong SMART akan menjadikan U Mobile sebagai syarikat telekomonunikasi pertama di dunia menyokong navigasi GPS yang berterusan di dalam terowong.

    Berbekalkan teknologi Waze Beacons, semua pengguna peranti mudah alih, tanpa mengira penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang dilanggani mereka, kini mampu memanfaatkan sepenuhnya ciri-ciri Waze secara berterusan sepanjang berada di dalam terowong SMART.”

    Ketua Pegawai Operasi SMART, Mohd Noor Mohd Ali pula berkata, “Pemasangan Waze Beacons dalam Terowong SMART akan menjadikan pengalaman perjalanan pengguna kami lebih lancar dan mudah. Ia akan berkongsi maklumat dalam masa sebenar akan situasi keadaan lalu lintas serta saranan navigasi.

    UMobile jalin kerjasama dengan Waze untuk ketersambungan GPS dalam Terowong SMART

    “Menerusi ciri baharu ini, para pengguna juga akan menerima notifikasi berkaitan kesesakan lalu lintas, penutupan jalan serta kemalangan yang berlaku dalam terowong dan kawasan di sekitarnya, lalu. Ia akan mempertingkatkan lagi keselamatan pengguna kami.”

    Untuk menggunakan perkhidmatan ini, para pengguna Waze di dalam Terowong SMART akan diingatkan untuk mengaktifkan Bluetooth bagi menikmati navigasi GPS secara berterusan.

    “Waze bukan sekadar memberikan panduan navigasi kepada pemandu tetapi juga membantu di dalam menyelesaikan cabaran pengangkutan serta berganding bahu di dalam meningkatkan kualiti perjalanan di atas jalan raya. Dengan 30,000 pemandu menggunakan Terowong SMART setiap hari, kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan U Mobile dan SMART bagi meringankan kesesakan lalu lintas, serta mengurangkan kekeliruan yang diakibatkan oleh kehilangan isyarat GPS,” kata Pengurus Negara Waze, Kelvin Sim.

     
     
  • Hyundai bakal pasang EV di Singapura menjelang 2022

    Hyundai bakal pasang EV di Singapura menjelang 2022

    Hyundai dilaporkan bakal memulakan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di bawah sub-jenama Ioniq di Singapura bermula 2022, menurut The Straits Times. Akhbar itu melaporkan pengeluar kenderaan Korea itu akan membina 30,000 EV setahun di sana, dengan satu perlima daripada jumlah itu disasarkan untuk jualan domestik.

    Kereta berkenaan akan dipasang di kilang – yang belum didirikan – berkeluasan 28,000 meter persegi di Jurong. Pembinaan fasiliti berkenaan sepatutnya dimulakan pada Mei lalu, tetapi telah ditangguh ke Oktober akibat pandemik Covid-19.

    Laporan itu juga ada menyebut bahawa model EV pertama yang akan dipasang di kilang berkenaan ialah sebuah crossover kompak dengan nama Ioniq 3. Ini merupakan sebuah model baru yang belum pernah disebut sebelum ini, tetapi mengikut kaedah penamaan terbaru syarikat dengan menggunakan angka ganjil untuk nama barisan SUV Ioniq ini nanti, sementara sedan akan menggunakan angka genap.

    Hyundai bakal pasang EV di Singapura menjelang 2022

    Minggu lalu, syarikat itu mendedahkan ia akan menjadikan nama Ioniq sebagai sebuah sub-jenama yang akan dikhususkan kepada kenderaan bateri dan elektrik. Tiga model pertamanya telah diumumkan, terdiri daripada Ioniq 5, sebuah crossover dijangka diperkenalkan pada 2021; Ioniq 6, sebuah sedan dijangka dikeluarkan pada 2022; dan Ioniq 7, sebuah SUV besar untuk tahun 2024.

    Hyundai sebelum ini juga telah memaklumkan perancangan untuk memperkenalkan 13 model elektrikasi menjelang 2022, dan pengumuman terbaru ini berkaitan Ioniq telah meletakkan sasaran jualan satu juta kenderaan tersebut menjelang 2025. Awal tahun ini pula, Hyundai mendedahkan syarikat itu akan membuka pusat inovasi di Singapura menjelang 2022.

    Operasi pengeluaran kendearan EV di Singapuran dilihat sebagai lanjutan kepada perancangan EV Hyundai untuk Asia Tenggara. November tahun lalu, syarikat itu mengumumkan akan melabur sebanyak US$1.55 bilion untuk membuka kilang pemasangan di Indonesia.

     
     
  • Audi RS4 Avant, RS5 Sportback 2020 kini tiba di M’sia – enjin V6 2.9L biturbo 450 hp, harga dari RM712k

    Audi RS4 Avant, RS5 Sportback 2020 kini tiba di M’sia – enjin V6 2.9L biturbo 450 hp, harga dari RM712k

    Beberapa model Audi Sport baru telah mula dijual di Malaysia termasuk RS4 Avant dan RS5 Sportback, pada harga masing-masing RM712,399 dan RM726,863. RS6 Avant dan RS7 Sportback juga sudah berada dalam pasaran, dengan harga masing-masing RM976k dan RM989k.

    Bermula dengan RS4 Avant, ini adalah model facelift terbaru yang menggunakan enjin V6 biturbo 2.9 liter berkuasa 450 hp pada 5,700 hingga 6,700 rpm dan tork maksimum 600 Nm dari 1,900 hingga 5,000 rpm. Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik tiptronik lapan kelajuan, serta sistem Quattro dengan differential sports.

    Melalui tetapan seperti ini, RS4 Avant boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, sebelum mencapai laju maksimum 280 km/j. Turut disediakan adalah pilihan mod pemanduan Audi Drive Select, sistem ekzos sport RS, suspensi sport RS serta kawalan pemanduan dinamik.

    Pada bahagian kelengkapan, model ini mendapat lampu utama Matrix LED, lampu penunjuk arah LED dinamik, pakej kemasan luar hitam berkilat (untuk cermin sisi, rel bumbung, lencana, logo dan gril), serta rim 20 inci warna titanium matte. Cakera brek jenis besi biasa bersama angkup yang diwarnakan merah diberi secara standard tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada unit cakera seramik.

    Beberapa pilihan warna luar disediakan untuk model ini dan pelanggan boleh memilih pelbagai lagi aksesori tambahan dari katalog Audi Exclusive. Antara kelengkapan tambahan yang disediakan adalah seperti bumbung panoramik dan tiga variasi bentuk rim 20 inci.

    Pada bahagian dalam, RS4 mendapat Audi Virtual Cockpit Plus khas untuk model RS, head-up display, MMI Navigation Plus dengan MMI Touch, sistem bunyi Bang & Olufsen serta bunyi 3D, kawalan pendingin hawa tiga zon, pedal kaki aluminium, Audi Smartphone Interface, Audi Connect dan tempat duduk yang dibalut kulit Nappa.

    Audi RS4 Avant, RS5 Sportback 2020 kini tiba di M’sia – enjin V6 2.9L biturbo 450 hp, harga dari RM712k

    Model RS5 Sportback juga menggunakan enjin yang sama, iaitu unit V6 TFSI 2.9 liter yang berkuasa 450 hp dan 600 Nm tork, tetapi ia lebih pantas melakukan pecutan 0-100 km/j, iaitu dalam masa 3.9 saat. Laju maksimum masih lagi 280 km/j.

    Keadaan bahagian luar dan dalam model ini sama seperti RS4 Avant, iaitu untuk bahagian luar ia mendapat pakej kemasan hitam, rim 20 inci, lampu utama Matrix LED dengan penunjuk arah dinamik, spoiler belakang dan sistem ekzos sport RS.

    Pada bahagian keselamatan, kedua-dua model RS ini mendapat Audi Active Lane Assist, Audi Pre Sense (boleh menutup tingkap dan mengetatkan tali pinggang keledar dalam keadaan kecemasan), Lane Change Assistant dengan sistem amaran, Rear Cross Traffic Alert dan Parking Aid Plus dengan kamera 360 darjah. Walaubagaimanapun, model ini tidak mempunyai AEB dan Adaptive Cruise Control.

    GALERI: Audi RS4 Avant 2020

    GALERI: Audi RS5 Sportback 2020

     
     
  • Petronas Setel-Mesra Bonanza tawar ganjaran sehingga RM50,000 mulai 15 Ogos-15 Okt 2020

    Petronas Setel-Mesra Bonanza tawar ganjaran sehingga RM50,000 mulai 15 Ogos-15 Okt 2020

    PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) telah melancarkan kempen PETRONAS Setel-Mesra Bonanza, sebagai usaha yang berterusan untuk memberikan penghargaan kepada pelanggan setia. Sebanyak 992 pemenang yang bakal dicari bagi membawa pulang wang tunai dan baucer bahan api bermula 15 Ogos sehinggalah 15 Oktober 2020.

    Di mana setiap minggu seramai 10 pemenang pertama berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM3,000, manakala 100 pemenang kedua pula bakal membawa pulang baucer Setel bernilai RM50 yang boleh ditebus untuk pembelian bahan api. Sebagai tambahan, dua pemenang utama juga akan dipilih bagi menerima ganjaran bernilai RM50,000 setiap seorang sepanjang tempoh kempen berkenaan.

    Ketua Perniagaan Peruncitan PDB, Khalil Muri, berkata, “Kempen Mesra Bonanza ini telah pun bermula sejak 2018 lalu dan merupakan kempen yang paling tinggi menerima penyertaan di kalangan para pelanggan kami. Bagi tahun ini, kami turut memperbanyakkan lagi tawaran termasuklah baucer Setel.”

    Petronas Setel-Mesra Bonanza tawar ganjaran sehingga RM50,000 mulai 15 Ogos-15 Okt 2020

    Untuk mengambil bahagian dalam kempen ini, pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM30 bagi mengisi bahan api atau membeli apa jua barangan di Kedai Mesra di seluruh stesen Petronas di Malaysia. Penggunaan Kad Mesra bagi tujuan berkenaan memberikan peluang kepada pelanggan untuk satu penyertaan.

    Bagi mempromosi keselamatan dan penjarakan sosial, pelanggan yang membuat transaksi pembayaran menerusi aplikasi mobiliti Setel, memiliki lebih banyak peluang dengan melibatkan lima penyertaan sekaligus.

    Setel merupakan aplikasi mudah alih pembayaran elektronik pertama di Asia Tenggara membolehkan pengguna membuat pembelian bahan api dari kenderaan mereka sendiri. Menerusi aplikasi itu, pengguna tidak perlu turun dari kenderaan untuk pembelian bahan api sebaik tiba di stesen Petronas sebaliknya hanya melakukan pembayaran menggunakan aplikasi terbabit yang menghubungkan terus dengan pam minyak di stesen terbabit.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025