Search in Bahasa Malaysia:

  • Renault Megane RS Trophy-R leburkan rekod Honda Civic Type-R di Nürburgring – 3 saat lebih pantas!

    Seperti dijangka, Renault tidak akan membiarkan sahaja rekod yang dicatatkan oleh Honda Civic Type R FK8 di Nürburgring dua tahun lalu. Bersama dengan rakaman video, Renault Megane RS dari versi hardcore Trophy-R kini sah sebagai kereta pacuan hadapan produksi terpantas di litar ‘The Green Hell’ berkenaan dengan catatan masa 7 minit 40.1 saat, berbanding 7 minit 43.8 saat yang dicatatkan oleh Civic-R.

    Walau bagaimanapun, Megane RS Trophy-R ini hanya akan ditawarkan ke pasaran dengan jumlah terhad, hanya berberapa ratus unit akan dihasilkan, menurut Renault. Kereta berkenaan dijana oleh enjin 1.8 liter turbo dengan talaan kuasa yang sama seperti Megane RS Trophy standard iaitu 296 hp dan tork maksima 400 Nm, bersama kotak gear manual enam-kelajuan (model EDC automatik ditala dengan tork 420 Nm).

    Apa yang berbeza, Trophy-R dihasilkan 130 kilogram lebih ringan, dan cermin tingkapnya juga digantikan dengan material plexiglass. Kereta ini juga mempunyai badan yang lebih tegar menerusi rollcage yang dipadankan secara standard. Menurut Renault Sport lagi, aspek aerodinamik juga telah dirombak bersama pembangunan gandar pacuan yang lebih radikal.

    Perang kereta produksi pacuan hadapan terpantas di Nürburgring ini telah bermula pada Jun 2014, ketika itu Renault Megane RS Trophy-R generasi sebelum ini telah mencatatkan masa 7 minit 54.36 saat. Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan pula oleh Honda Civic Type-R FK2 dengan catatan masa 7 minit 50.63 saat, sebelum kedudukan nombor satu berkenaan dirampas oleh Volkswagen Golf GTI Clubsport S dengan masa 7 minit 47.19 saat pada Disember 2016.

    Honda kembali untuk merampas gelaran tersebut pada April 2017 menerusi model generasi baharu Civic Type-R FK8, dan seperti yang diumumkan hari ini, takhta Raja Pacuan Roda Hadapan di Nürburgring kini telah diambil semula oleh Renault Megane RS Trophy-R. Adakah Honda akan melihat sahaja atau akan mula melakukan sesuatu?

     
     
  • Ford bakal kurangkan 7,000 pekerja sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula

    Ford bakal mengurangkan 7,000 pekerjanya – atau 10% daripada tenaga kerjanya di seluruh dunia – menjelang akhir Ogos ini sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula, yang dijalankan sejak tahun lalu. Syarikat berkenaan berkata, langkah tersebut bakal memberikan penjimatan sekitar US$600 juta (RM2.5 bilion) setahun.

    Keputusan itu didedahkan menerusi kiriman e-mel yang dihantar oleh CEO Gord Jim Hackett kepada semua pekerjanya. Pengurangan tenaga kerja itu melibatkan banyak sektor, termasuk kejuruteraan, pembangunan produk, pemasaran, kewangan, logistik dan IT. Seramai 2,300 pekerja di Amerika Syarikat terlibat dengan langkah tersebut, menurut Reuters.

    “Untuk berjaya dalam industri yang kompetitif ini dan demi kedudukan Ford dalam perubahan masa depan yang pantas ini, kita mestilah mengurangkan birokrasi, memperkukuhkan pengurusan, membuat keputusan yang lebih pantas, memberi tumpuan terhadap kerja dan mengurangkan kos,” ujar Hackett menerusi e-mel berkenaan.

    Malah pengurangan tenaga kerja ini juga disasarkan mampu meningkatkan penjimatan. Hackett berkata, langkah tersebut melibatkan hampir 20% bagi peringkat tertinggi iaitu pengurus, serta mengurangkan birokrasi dan juga mempercepatkan dalam membuat keputusan.

    Ford telah menyusun semula operasinya di seluruh dunia dalam usaha untuk meningkatkan keuntungan dan perkembangan produk. Malah syarikat ini juga telah mengumumkan langkah tersebut turut melibatkan Eropah, Amerika Selatan dan Rusia. Hackett berkata langkah penstrukturan semula ini berterusan di pasaran global, dengan prosesnya dijangka selesai menjelang akhir bulan Ogos ini.

    Pada Mac lalu, Ford telah mengumumkan untuk mengurangkan lebih 5,000 tenaga kerja di Jerman, dan turut mensasarkan bagi mengurangkannya pekerja di UK, dengan menawarkan program pengurangan secara sukarela kepada pekerjanya di kedua-dua negara berkenaan.

     
     
  • VIDEO: HKS bersama Max Orido uji suspensi dan ekzos Toyota GR Supra A90 di Gunsai Touge

    Dunia automotif Jepun buat masa ini tidak semeriah era 90’an dahulu. Pasaran JDM sekarang sedikit bosan kerana kurangnya model-model prestasi tinggi yang dihasilkan jenama-jenama tempatan. Jadi, jika ada satu model sport baharu keluar dalam pasaran, syarikat-syarikat tuner akan bergembira, dan mula melakukan pelbagai ujian dan talaan bagi menghasilkan pelbagai produk aftermarket.

    Ramai yang mempersoalkan kenapa Toyota menggunakan platform yang sama dengan BMW Z4 (padahal telah berkali-kali diterangkan oleh ketua Jurutera, Tetsuya Tada) untuk projek Supra generasi baharu ini. Namun saya percaya, dunia tuner Jepun tentunya menganggap Supra berkenaan sebagai rahmat, membolehkan mereka terus berkarya menghasilkan produk-produk prestasi tinggi baharu.

    Toyota Supra A90 ini sebenarnya baharu sahaja dilancarkan untuk pasaran Jepun minggu lalu, namun pada awal tahun ini, dua buah Supra telahpun dihasilkan untuk kejohanan drift D1GP oleh tuner-tuner bebas. Dan seperti anda boleh lihat dalam video di atas, HKS dengan bantuan drifter serta pemandu Super GT yang sinonim dengan Supra, Manabu ‘Max’ Orido kini sedang menguji berberapa kelengkapan baharu untuk Supra A90 berkenaan.

    Ujian ini dilakukan di Gunma Cycle Sports Center atau Gunsai Touge, menandakan kelengkapan yang dibangunkan ini turut boleh digunakan di jalan raya biasa. Komponen yang diuji adalah muffler prototaip HKS untuk sistem ekzos, dan juga set suspensi boleh laras HKS yang dibangunkan bagi membolehkan ia berfungsi dengan sistem suspensi adaptif Supra.

    Selain dari dua komponen tersebut, Supra yang diuji ini turut menampilkan rim Advan GT berdiameter 19-inci berwarna putih, dibaluti tayar Advan Neova AD08R.

    Berdasarkan kabin yang menerima upholsteri kulit merah, model yang diuji ini adalah dari versi tertinggi Supra RZ. Dalam keadaan standard, varian ini dijana oleh enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris yang menghasilkan 340 PS dan tork maksima 500 Nm. Kuasa dihantar sepenuhnya ke roda belakang menerusi kotak gear lapan kelajuan automatik, lengkap dengan LSD adaptif diberikan pada gandar belakang.

    Pasaran Jepun turut menerima dua model Supra yang ‘lebih murah’ yang dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo. Model paling asas Supra SZ menjana 197 PS/320 Nm, manakala versi pertengahan Supra SZ-R dibekalkan dengan kuasa 258 PS/400 Nm dari enjin yang sama.

     
     
  • Suzuki Gixxer SF 250 baru diperkenal di India – RM10k

    Segmen motosikal 250 cc semakin meriah dengan kini Suzuki juga menyertainya dengan pelancaran model generasi baru Gixxer SF 250 di India. Ia dijual pada harga bermula 170,655 rupee (RM10,248) dan ditawarkan dalam dua warna iaitu perak dan hitam.

    Gixxer SF 250 dikuasakan oleh enjin empat strok satu silinder SOHC 249 cc, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menjana 26 hp pada 9,000 rpm dan 22.6 Nm pada 7,500 rpm. Ini adalah enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api.

    Rim pada motosikal ini adalah bersaiz 17 inci, dan di hadapan ia menggunakan tayar saiz 110/70 berserta fork teleskopik manakala di belakang ia menggunakan tayar saiz 150/60 serta suspensi monoshock. Brek pula kedua-duanya adalah unit cakera, lengkap dengan sistem ABS two-channel.

    Di bahagian kokpit, terdapat meter digital yang memaparkan segala informasi, manakala lampu utama depan dan belakang menggunakan sistem LED. Antara perincian lain Gixxer SF 250 adalah berat 161 kg, tangki bahan api 12 liter dan tinggi tempat duduk 800 mm.

    Sebagai perbandingan dengan model lain, Gixxer SF 250 ini adalah yang paling kurang kuasanya di antara empat pesaing utama iaitu Yamaha R25 (35.5 hp/22.6 Nm tork), Kawasaki Ninja 250 (38 hp/23.5 Nm) dan Honda CBR250R (27 hp/23.3 Nm).

     
     
  • Kia Picanto KX, X-Line di Malaysia – RM45k & RM58k

    Naza Kia bakal memperkenalkan dua varian tambahan untuk barisan Kia Picanto, iaitu Picanto KX dan X-Line yang dinantikan. Ia ditawarkan dengan harga masing-masing RM44,888 dan RM57,888 yang hampir sama dengan harga Picanto GT-Line. Kami dimaklumkan kedua-dua varian KX dan X-Line ini akan ditawarkan dalam unit terhad, dan harganya adalah termasuk pakej waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had.

    Bagi varian yang paling rendah, KX, ia menerima lampu utama dan lampu kabus reflektor, roda keluli 14-inci dengan penutup lima-jejari dibaluti tayar 175/65, indikator membelok, antena dengan gaya-penyengat lebah, lampu belakang halogen dan juga lambang KX pada tailgate. Walau bagaimana pun, ia tidak diberikan kamera undur.

    Di dalamnya, pencucuh kunci tradisional dan roda stereng urethane tiga-jejari ditampilkan dengan kawalan pelbagai-fungsi. Selain itu, tombol gear, papan pemuka dan kemasan pemukaan pintu tidak dicat (varian EX dan ke atas menerima kemasan hitam berkilat), di mana ia juga menampilkan unit utama double-DIN yang mengendalikan sistem multimedia. Tiada fungsi Apple CarPlay atau Android Auto ditawarkan, tapi sekurang-kurangnya ada jugalah Bluetooth.

    Selain itu, cermin sisi pula hanya pelarasan manual, begitu juga dengan cermin tingkap penumpang belakang, manakala tempat duduk dibaluti fabrik tanpa kosong, serta pintu belakang pula tidak ditampilkan dengan kemasan hitam berkilat. Memang sekadar asas bagi varian ini.

    Bagi X-Line pula, ciri yang lebih menarik ditawarkan sesuai dengan harganya yang jauh lebih mahal. Kit luaran termasuk bampar hadapan baharu dengan kemasan lime green pada gril dan lampu kabus juga telah diposisikan. “Salur kemasukan” besar terletak pada sudut hadapan dengan corong kecil pula di bawah gril.

    Sedikit pelik bila “skid plate” terdapat pada hadapan dan belakang, serta lapisan plastik hitam pada bahagian sisi, ini kerana rekaan X-Line diinspirasikan daripada barisan SUV Kia. Turut ditampilkan roda aloi 16-inci (sama saiz dengan GT-Line, tapi lain rekaan) dengan tayar profil 195/45 serta bumbung matahari berkuasa melengkapi lagi kit luaran bagi X-Line ini.

    Di dalamnya,terdapat roda streng baharu (sama seperti GT-Line), sistem pendingin hawa automatik zon-tunggal, dan tempat duduk balutan kulit. Walau bagaimana pun, Naza Kia masih belum membocorkan spesifikasi yang lebih terperinci mengenai X-Line, tetapi bagi keselamatan, dijangkakan lebih kurang sama dengan GT-Line. Ini bermakna, ia ada enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, cagak Isofix dan brek kecemasan sendiri (AEB).

    Bagi sudut mekanikal, kedua-dua varian KX dan X-Line ditawarkan dengan enjin yang sama iaitu 1.2 liter Kappa II naturally-aspirated empat-silinder. Enjin petrol ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 84 PS pada 6,000 rpm dan tork 122 Nm pada 4,000 rpm, serta dipadankan bersama transmisi automatik empat-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Buat masa ini, tiada kotak gear manual lima-kelajuan yang ditawarkan.

    GALERI: Kia Picanto KX 2019

     
     
  • Toyota GR Supra dilancarkan di Jepun – pilihan 2.0L dan 3.0L turbo, tawar kit badan dan rim 19-inci TRD

    Selepas Amerika Syarikat, Toyota Supra generasi baharu kini secara rasmi mula masuk ke pasaran Jepun. Model A90 tersebut kini kembali sebagai ‘Abang Long‘ di bilik-bilik pameran Toyota di negara berkenaan setelah 17-tahun menghilang dari pasaran.

    Untuk model JDM, Supra hadir dengan tiga varian iaitu SZ, SZ-R dan RZ, dengan dua pilihan enjin berbeza. Model paling asas SZ dijual pada harga 4.9 juta yen (RM186,420), model pertengahan SZ-R berharga 5.9 juta yen (RM224,465), manakala versi tertinggi boleh dibeli pada harga 6.9 juta yen (RM262,498).

    Toyota Supra SZ dijana oleh enjin B48 empat silinder turbo berkuasa 197 PS pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 320 Nm bermula 1,450 hingga 4,200 rpm. Varian pertengahan SZ-R turut menerima enjin yang sama tetapi ditala bagi menghasilkan 258 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,550 hingga 4,400 rpm.

    Manakala untuk model paling berkuasa GR Supra RZ, ia menerima enjin petrol turbo 3.0 liter enam silinder sebaris B58 dari BMW yang mampu menghasilkan 340 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm. Ketiga-tiga pilihan enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik, dan hanya memacu roda belakang.

    Untuk itu, model paling asas mencatatkan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, manakala Supra SZ-R pula merekodkan 5.2 saat. Model paling tinggi Supra RZ pula mampu untuk mencatatkan masa hanya 4.3 saat dalam jarak pecutan yang sama.

    Kesemua varian Supra menerima mod Sport yang meningkatkan tahap responsif dan juga karekter pemanduan yang lebih dinamik. Istimewa untuk model SZ-R dan RZ, kedua-dua versi ini turut menerima suspensi adaptif dan juga LSD aktif pada gandar belakang.

    Pada bahagian luaran, rim adalah perkara paling ketara bagi membezakan kesemua varian. Model paling rendah SZ hanya menerima rim 17-inci dengan tayar run-flat bersaiz 225/50 di hadapan dan 255/45 di belakang. Model SZ-R diberikan rim 18-inci dengan tayar Micheli Pilot Super Sport bersaiz 255/40 di hadapan dan 275/40 di belakang.

    Manakala untuk model RZ, ia dipadankan dengan rim 19-inci dengan dibaluti tayar Michelin dari siri sama dengan saiz 255/35 di hadapan serta 275/35 di belakang. Untuk brek, model paling buas ini menerima sistem dari Brembo dengan angkup empat-omboh berwarna merah di hadapan bersama cakera 348 mm, dan juga angkup omboh tunggal di belakang dengan cakera 345 mm.

    Dua model lebih rendah pula dipadankan dengan angkup brek dua-omboh bersama cakera 330 mm di hadapan, manakala di belakang menerima hanya angkup omboh tunggal.

    Beralih ke bahagian dalaman, model SZ hanya diberikan tempat duduk manual, upholsteri fabrik dan kemasan-kemasan perak gelap, manakala dua model lebih tinggi pula menerima tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala dan juga kemasan gentian karbon. Model SZ-R diberikan upholsteri kabin gabungan Alcantara dan kulit hitam, manakala varian paling mahal RZ diberikan balutan Alcantara dan kulit berwarna merah dan set pedal sport.

    Ketiga-tiga model ini menerima sistem penghawa dingin dua zon dan juga kluster paparan instrumen digital. Sistem infotaimen juga standard untuk kesemua model, yang merangkumi skrin sesentuh 8.8-inci. Walau bagaimanapun, hanya SZ-R dan RZ yang dilengkapi dengan sistem bunyi JBL dihubungkan kepada 12-pembesar suara.

    Kelengkapan keselamatan juga adalah standard untuk kesemua varian dengan dibekalkan pakej Toyota Safety Sense yang terdiri dari brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, pemantau titik buta, cruise control adaptif dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    Pembeli juga boleh memilih pelbagai aksesori asli dari Gazoo Racing seperti tray lembut untuk ruang penyimpanan, kusyen tempat duduk ergonomik, pad lembut pada tali pinggang keledar, pelindung kereta, tukul penyelamat dan juga tempat duduk keselamatan kanak-kanak.

    GR turut menawarkan gajet yang digelar sebagai Toyota Gazoo Racing Recorder, iaitu alat yang membolehkan data pemanduan dilogkan terus ke kad SD. Ia turut boleh disokong dengan dashcam opsyenal, yang akan menyatukan data dengan video yang dirakam.

    Kalau anda rasa Supra A90 ini tidak cukup garang, Toyota turut menawarkan kit badan dari TRD. Ia terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, kemasan-kemasan pintu dan juga spoiler belakang. Selain itu penutup cermin sisi gentian karbon dan juga lampu puddle yang akan memancarkan logo “Toyota Supra” pada permukaan tanah juga boleh dipilih. Untuk tidak nampak janggal, TRD turut menawarkan rim forged aluminium 19-inci istimewa bagi dipadankan pada kit berkenaan.

    Toyota GR Supra A90 ditawarkan dalam lapan pilihan warna badan bagi pasaran Jepun, iaitu White Metallic, Ice Grey Metallic, Prominence Red, Deep Blue Metallic, Silver Metallic, Black Metallic dan Lighting Yellow. Toyota turut mengumumkan satu warna istimewa Matte Storm Grey Metallic yang hanya akan dihasilkan sebanyak 24 unit sahaja bagi tahun ini. Pembeli yang berminat untuk mendapatkan unit dengan warna berkenaan perlu mengemukakan permohonan mereka sebelum 14 Jun ini.

    Untuk yang geram dengan Supra ini, jangan risau kerana UMW Toyota telah mengesahkan bahawa ia akan di bawa secara rasmi ke pasaran tempatan. Jadi, anda hanya perlu bersabar dan sediakan sahaja fulusnya.

     
     
  • Lebuhraya Pantai Barat (WCE): Tarikh pembukaannya jadi tanda tanya, sasar beroperasi sebelum Aidilfitri

    Sebelum ini, syarikat konsesi pengendali Lebuhraya Pantai Barat (WCE), WCE Sdn Bhd, memaklumkan bahawa lebuhraya ini mungkin boleh dibuka menjelang Hari Raya Aidilfitri ini. Namun demikian, jawapan muktamadnya hanya akan disahkan selepas mesyuarat antara syarikat terbabit dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang berlangsung hari ini.

    Menurut laporan NST, mesyuarat tersebut adalah susulan ujian pematuhan mengenai struktur lebuh raya yang berlangsung semalam.

    Pengarah Urusan WCE Sdn Bhd Datuk Neoh Soon Hiong berkata, “Kami akan bermesyuarat pagi ini. Tapi tiada pengumuman dilakukan selepas itu. Kami perlu melaporkan segalanya (berhubung dengan pemeriksaan) pada pihak berwajib terlebih dahulu.”

    Tambahnya lagi, selepas ujian pematuhan selesai, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu sebelum WCE boleh dibuka.

    Menurut Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah pula, pihaknya bekerjasama dengan syarikat konsesi WCE untuk menentukan beberapa langkah yang diperlukan sebelum lebuhraya terbabit bersedia untuk beroperasi menjelang Aidilfitri ini.

    “Harap-harap selepas mesyuarat tersebut berlangsung dan juga selepas konsultasi dengan menteri kerja saya, kita bersedia buat pengumumannya mengenainya. Kita hanya mahukan ia selamat untuk pengguna jalan raya. Sebab itulah kita perlu memastikan tahap keselamatan dan pematuhannya menepati piawaian yang ditetapkan,” ujarnya kepada akhbar terbabit.

    Keseluruhan projek lebuh raya bernilai kira-kira RM5 bilion merentasi Selangor dan Perak sepanjang 233km dengan di Selangor bermula dari Jalan Banting – KLIA (B18) hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.

    Ia juga mempunyai 21 persimpangan bertingkat bersama dengan 20 plaza tol selain turut dihubungkan dengan lebuhraya sedia ada seperti PLUS, SKVE, NKVE, NNKSB, LATAR, KESAS demi memenuhi keperluan trafik di laluan utama.

     
     
  • Niki Lauda meninggal dunia pada usia 70-tahun

    Lagenda dan juara Formula 1 tiga kali dari Austria, Niki Lauda dilaporkan meninggal dunia pada usia 70-tahun. Menurut laporan portal berita mirror.co.uk, Lauda menghembuskan nafas terakhirnya selepas menerima rawatan dialisis buah pinggang di sebuah klinik persendirian terletak di Switzerland.

    Awal tahun ini, Lauda telah dirawat di sebuah Hospital terletak di Vienna kerana jangkitan flu, lima bulan setelah menjalani pembedahan pemindahan paru-paru. Beliau diterbangkan ke ibu kota Austria itu dari Pulau Ibiza yang terletak di Sepanyol, ketika sedang bercuti.

    Nama Niki Lauda terkenal kerana saingan sengitnya terhadap seorang lagi lagenda F1 iaitu mendiang James Hunt dari Britain ketika era 70’an. Beliau telah terlibat dalam salah satu kemalangan paling dahsyat pernah berlaku dalam sejarah Formula 1, yang menyebabkan Ferrari dipandunya di Litar Nürburgring ketika itu terbakar pada tahun 1976.

    Lauda turut cedera parah dalam kemalangan berkenaan dengan kebakaran yang teruk berlaku di sekitar muka. Apa yang mengkagumkan, Lauda bangkit semula hanya dalam masa enam minggu bagi mempertahankan gelarannya dari di rampas oleh James Hunt. Walau bagaimanapun, Lauda menarik diri dari perlumbaan pada pusingan akhir di Suzuka Jepun, membolehkan James Hunt dinobatkan juara dunia untuk musim 1976 dengan kelebihan hanya satu mata.

    Perseteruan hebat antara Niki Lauda dan James Hunt ini telah pun dibawa ke layar perak menerusi filem Rush yang di arah oleh Ron Howard dan telah ditayangkan pada tahun 2013.

     
     
  • Harga motosikal berbeza antara kedai – kami lakukan tinjauan sendiri di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor

    Isu harga jualan motosikal yang berbeza apabila dibandingkan antara kedai bukanlah satu isu baru. Ia sudah sering kali menjadi bualan dan ramai juga yang mengatakan mereka mengalami sendiri perkara itu semasa melakukan tinjauan sebelum membeli motosikal.

    Bagi mengetahui sendiri benarkah ia terjadi seperti yang disebut-sebut, kami membuat keputusan untuk pergi ke beberapa kedai untuk bertanyakan harga motosikal yang sama. Model yang dipilih sudah tentu adalah Yamaha Y15ZR V2 yang sekarang ini cukup popular, dan sebagai perbandingan, kami turut menyertakan sekali Honda RS150R (warna biasa dan bukannya Repsol).

    Untuk kedainya pula, kami tidak membuat pilihan tertentu, dan sekadar memilihnya secara rawak, namun dari beberapa kawasan yang berbeza dan bukan daripada syarikat yang sama. Insurans juga adalah untuk pakej yang sama (first party). Kalau mengikutkan cerita yang didengar sebelum ini, perbezaan harga ini cuma berlaku untuk motosikal kapcai, dan juga model yang popular sahaja.

    Anda boleh lihat melalui jadual di bawah, harga jualan tunai yang dikeluarkan oleh kedai A dan B untuk Y15 V2 adalah sama, manakala kedai C dan D pula berbeza dengan satu daripadanya lebih murah dan satu lagi lebih mahal. Sama juga dengan RS150R – tiga kedai memberi harga yang sama sementara satu lagi lebih murah. Harga ini adalah termasuk insurans dan kos pendaftaran lain, sementara harga jualan cadangan tidak termasuk insurans yang dikeluarkan oleh pengilang masing-masing adalah RM8,168 untuk Y15 dan RM7,999 untuk RS150R (warna biasa).

    Jadi, dari sini sahaja kita boleh lihat apa yang dikatakan itu adalah benar. Sekiranya anda bercadang untuk membeli motosikal tersebut melalui pinjaman sewa beli, tiga kedai yang berada dalam senarai memberikan sebut harga yang sama kerana ia adalah daripada pemberi pinjaman yang sama iaitu Parkson Credit, sementara satu lagi kedai memberi harga yang lebih murah kerana menurut pekerjanya ia adalah kadar istimewa yang diberikan oleh AEON Credit sebagai promosi.

    Walaubagaimanapun, kira-kira yang diberikan ini cuma adalah anggaran kerana menurut beliau lagi, kadar ini boleh berubah bergantung kepada pemohon dan jika rekod mereka baik, ia mungkin boleh pergi lebih rendah. Pinjaman sewa beli ini juga bergantung kepada berapa jumlah bayaran deposit serta tempoh bayaran yang anda mahukan.

    Jika diikutkan, memang kami mahu bertanya pelbagai lagi perkara berkenaan harga yang berbeza ini kepada pekerja kedai-kedai ini tetapi kebanyakan daripada mereka tidak begitu ramah kecuali Kaka (nama panggilan ringkas beliau) daripada kedai C (harga paling murah).

    Kaka memberitahu kedai beliau adalah pengedar rasmi (official dealer) dan “pemilik kedai adalah seorang yang jujur.” Disebabkan itu, semua stok mereka datang terus dari kilang (Hong Leong Yamaha atau Boon Siew Honda), sementara ada antara kedai lain yang menjual dengan harga lebih mahal ini mungkin adalah ‘sub dealer’.

    Kemudiannya anda juga boleh melihat waktu menunggu untuk motosikal ini adalah berbeza. Disebabkan baru sahaja dilancarkan bulan lalu dan permintaannya tinggi, pembeli perlu menunggu tiga hingga empat minggu untuk Y15 (warna hijau yang cukup popular lebih lama) sementara RS150R pula ada yang sudah tersedia di kedai.

    Kami juga mendapat tahu, jika ada pembeli yang mahukan motosikal mereka dengan lebih cepat, mereka boleh membayar lebih (tidak pasti berapa banyak) dan ‘memotong barisan’ sedia ada. Peluang juga lebih cerah sekiranya anda membayar secara tunai.

    Daripada tinjauan kami ini, beza harganya mungkin cuma beberapa ratus sahaja, dan ini mungkin kerana semua kedai berada dalam kawasan Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Namun, ada yang mendakwa ia boleh jadi lebih teruk, sehingga RM12,000 untuk Y15. Kalau anda ada pengalaman sendiri, cuba kongsikan di ruang komen.

    Jadi kami harap melalui artikel ini pihak yang berkuasa dapat mengambil langkah-langkah sepatutnya bagi mengelakkan perkara ini berleluasa dan sekaligus tidak membebankan pengguna atau orang ramai. Tanpa sebarang kawalan, isu ini akhirnya akan bergantung kepada persoalan bekalan dan permintaan (supply and demand) manakala penjual pula semakin besar kepala. Anda sebagai pengguna bijak sepatutnya tahu apa yang perlu dilakukan.

     
     
  • Mahu kereta NCAP 5-Bintang, tapi…

    Mutakhir ini, rakyat Malaysia bukan sahaja mahukan kereta-kereta dalam pasaran yang berkualiti dan juga mempunyai rekaan yang menarik, malah pembeli pada pasaran tempatan telah mula demand dengan ciri-ciri keselamatan. Setiap kereta model baharu yang muncul, lebih-lebih lagi dalam segmen mampu-milik, kelengkapan keselamatan seperti kawalan kestabilan elektronik, berapa jumlah beg udara yang dibekalkan dan berapa bintang penarafan keselamatan NCAP sering kali menjadi perhatian.

    Namun apa yang mengecewakan, walaupun ramai berbangga mencanangkan bahawa kita kini di era ‘Malaysia Baharu’, sikap dan mentaliti kita nampaknya masih belum banyak berubah. Rakyat Malaysia masih beranggapan bahawa dengan duit yang mereka labur untuk membeli sebuah kereta dengan ‘penarafan NCAP 5-Bintang’, kereta berkenaan akan menjadi perisai buat mereka walaupun tali pinggang keledar tidak dipakai.

    Tahukah anda bahawa beg udara hanya akan berfungsi sekiranya penumpang memakai tali pinggang keledar? Tahukah anda bahawa setiap ujian dan keputusan Program Penilaian Kereta Baharu berkenaan adalah diambil dengan keadaan penumpang memakai tali pinggang keledar?

    Dan seperti biasa, setiap kali tiba musim perayaan akan tular gambar-gambar ibu bapa merubah tempat duduk belakang kereta mereka seakan tilam di bilik tidur untuk memberi keselesaan kepada anak mereka. Malah lebih parah, ada juga peniaga-peniaga tilam angin berkenaan mengambil kesempatan untuk menjual produk mereka.

    Jika anda sayangkan anak-anak, ini bukan caranya. Kanak-kanak perlu diletakkan di tempat duduk belakang dengan diikat pada tempat duduk masing-masing. Sekiranya mereka di bawah umur 10 tahun dan belum lagi cukup tinggi, penggunaan booster seat atau tempat duduk keselamatan kanak-kanak untuk mereka yang lebih kecil adalah wajib bagi memastikan perlindungan maksimum untuk mereka sekiranya berlakunya kemalangan. Juga, tahukah anda bahawa ciri cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang adalah salah satu ciri wajib bagi sesebuah kereta itu mendapat lima-bintang dalam ujian NCAP?

    Ramai juga yang berpendapat bahawa di musim perayaan nanti, keadaan trafik akan menjadi perlahan, sudah tentu risiko kemalangan akan semakin kurang bukan? Anda perlu ingat, malang tidak berbau – rasanya tentu ramai lagi yang ingat dengan tragedi seorang kanak-kanak meninggal dunia kerana tempat duduk kanak-kanak yang tidak dipasang dengan betul dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya PLUS, berdekatan Kuala Kubu Baharu dua tahun dahulu.

    Dalam kejadian tersebut, kereta Perodua Viva yang dipandu bapa mangsa berada di lorong paling kiri dan tidak mengganggu pengguna lain sebelum sebuah kereta sedan hitam tersasar dari laluan tengah menghala ke laluan sebelah kiri dan melanggarnya. Bayi berkenaan terperangkap di dalam kereta, manakala tempat duduk kanak-kanak di temui tercampak keluar dari kereta.

    Jadi bayangkan pula bagaimana keadaan anak-anak anda yang sedang berbaring di atas tilam tanpa dilindungi tempat duduk keselamatan yang sepatutnya, sekiranya kenderaan anda dirempuh kenderaan lain walaupun anda sedang memandu dengan berhati-hati.

    Selain melindungi keluarga, anda juga perlu melindungi diri sendiri. Anda juga perlu memakai tali pinggang keledar dengan betul dan tidak menggunakan klip dummy pada buckle semata-mata untuk menghilangkan bunyi amaran pemakaiannya.

    Tali pinggang keledar tiga poin telah direka oleh jurutera Volvo, Nils Bohlins pada tahun 1959. Menyedari bahawa rekaan ini akan menyelamat jutaan nyawa di jalan raya, Volvo bermurah hati untuk memberikan semua pengeluar kereta bagi menggunakan rekaan tersebut tanpa meminta royalti paten.

    Dan kini, seperti yang dinyatakan tadi, beg udara tidak akan berfungsi sekiranya tali pinggang keledar tidak dipakai. Malah sistem amaran pemakaian tali pinggang keledar pada kereta-kereta terkini juga menyumbangkan markah yang besar dan menjadi penentu bagi sesebuah model itu untuk menerima penarafan 5-Bintang. Jadi, setelah anda berhabis duit untuk mendapatkan sebuah kereta dengan keselamatan ‘5-Bintang’, tak terasa bodoh ke kerana menipu sistem tersebut dengan sebuah klip berharga RM10?

    Berdasarkan data MIROS pada 2017, purata 16 kemalangan maut dicatatkan sehari sepanjang bulan Ramadan dan Syawal, satu angka yang membimbangkan. Satu cara paling berkesan untuk menurunkan angka ini ialah dengan memastikan semua penumpang dalam kenderaan menggunakan tali pinggang keselamatan yang tersedia.

    Akhir sekali, apa yang penting ketika musim perayaan nanti, yang paling utama jagalah kelakuan masing-masing bagi mengurangkan statistik kemalangan – jangan pentingkan diri, jangan lupa bagi signal, orang dah bagi signal jangan buat-buat tak nampak, jangan berlumba, jangan guna lorong kecemasan dan kalau mengantuk rehat dahulu. Apa pun, Selamat Hari Raya Aidilfitri 1440 hijrah!


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.08 (0.00)
RON 97 RM2.70 (-0.10)
RON 100 RM3.25
VPR RM3.42
DIESEL
EURO 2M RM2.18 (0.00)
EURO 5 RM2.28 (0.00)
Last Updated 11 May 2019