Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton sahkan EV pertamanya bukan rebadge dari model Geely – serba baharu; diperkenal awal 2025

    Proton sahkan EV pertamanya bukan rebadge dari model Geely – serba baharu; diperkenal awal 2025

    Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah, mengesahkan model kenderaan elektrik (EV) keluaran Proton kini sedang dalam peringkat ujian setelah proses rekaan dan prototaip selesai. Katanya, EV yang bakal diperkenalkan seawal tahun 2025 merupakan model serba baharu, dan bukannya model rebadgedari Geely mahupun Proton sendiri.

    “Model EV berkenaan merupakan model serba baharu, yang bukan model rebadge dari Proton atau pun Geely. Peringkat R&D melibatkan rekaan dan prototaip telah pun selesai, dan kini ia sedang diuji. Sedang menantikan masa untuk memulakan produksi, yang akan kami umumkan kelak.

    “Kami sasarkan untuk memperkenalkannya pada awal tahun hadapan sebagai menyahut saranan kerajaan Malaysia. Kalau boleh…kami memang mahu mengeluarkannya lebih awal dari jangkaan yang disasarkan,” katanya sewaktu ditemui selepas selesai majlis tayangan perdana filem pendek Proton berjudul “Syurgaku” sempena Aidilfitri, malam ini.

    Jelas beliau, untuk model EV ini, ia akan ada versi Proton dan juga versi Geely, bermakna akan ada unit pemanduan sebelah-kiri dan -kanan iaitu untuk kedua-dua pasaran. Walau bagaimana pun, untuk model pasaran Malaysia, Proton turut memberikan input mengikut kesesuaian penggunaannya di negara ini.

    Proton sahkan EV pertamanya bukan rebadge dari model Geely – serba baharu; diperkenal awal 2025

    Mengenai produksinya, Roslan berkata, untuk peringkat permulaan, ia akan dipasang di China memandangkan di sana sudah ada fasiliti yang diperlukan. “Jika nak terus buat di Malaysia, kita perlukan fasiliti baharu. Kerajaan Malaysia nak cepat (untuk Proton keluaran EV), jadi kita perlu buatkan sesuatu, dan dengan insiatif yang kerajaan bagi iaitu model EV CBU masih mendapat pengecualian cukai, jadi kita laksanakannya (pemasangan EV di China). Tapi dalam masa yang sama, kita merancang untuk CKD,” tambahnya lagi.

    Memandangkan beberapa syarikat pengeluar EV dari China yang masuk ke negara ini saling menawarkan harga yang mampu milik, Roslan berkata, pihaknya sedang membuat penilaian mengenai harga yang bakal ditetapkan untuk EV keluaran Proton. “Ia kena seimbang antara julat bateri (battery range) dan harga. Kena membuat penilaian mengenai banyak perkara, tetapi kami akan memberikan harga yang terbaik. EV keluaran kami memfokuskan harga yang mampu milik di samping fungsi, dan praktikalitinya,” katanya lagi.

    Pada Februari 2023, Roslan dilaporkan berkata, langkah untuk memperkenalkan model EV pertamanya dipercepatkan ke tahun 2025, berbanding jangkaan sebelumnya iaitu pada 2027, adalah selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi sokongan kukuh kepada perkembangan EV di Malaysia.

     
     
  • Harga minyak 28 Mac-3 April – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 28 Mac-3 April – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 28 Mac hingga 3 April 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 25 Mac lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, walaupun mekanisme untuk subsidi bersasar masih belum diumumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan pemindahan tunai bulanan sebagai cara untuk mengagihkan bantuan kewangan kepada mereka yang layak menerimanya.

    Sebelum ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pengapungan mengikut harga pasaran bagi petrol RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion, walau pun ini bermakna harganya dijangka meningkat hingga 64% bagi RON95 dan 61% bagi diesel.

     
     
  • PLUS tambah lokasi SmartLane, buat penambah baikan untuk keselesaan pengguna – rujuk cara guna

    PLUS tambah lokasi SmartLane, buat penambah baikan untuk keselesaan pengguna – rujuk cara guna

    Antara langkah yang diambil oleh PLUS untuk membantu kelancaran trafik semasa cuti perayaan Aidilfitri yang bakal tiba dalam masa beberapa minggu lagi adalah dengan pengaktifan serta penambah baikan laluan SmartLane.

    SmartLane ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi sekarang, jumlah lokasinya ditambah dengan kini terdapat di 18 lokasi iaitu tiga di wilayah utara, sembilan di wilayah tengah serta enam di wilayah selatan. Anda boleh melihat lokasi tepatnya melalui gambar rajah di bawah.

    Bagi menjadikan cara penggunaan SmartLane ini lebih jelas kepada pemandu, PLUS bertindak melakukan beberapa peningkatan seperti tambahan papan tanda. Satu kilometer sebelum SmartLane ini dibuka akan ada satu papan tanda, diikuti satu lagi 500 meter sebelumnya, satu papan tanda peringatan setiap 500 meter dan papan tanda tamat.

    Kemudiannya, PLUS juga meletakkan lampu hijau bekelip pada papan tanda laluan SmartLane ini sebagai tanda ia boleh digunakan. Untuk makluman, waktu operasi SmartLane ini berbeza mengikut lokasi dan keadaan trafik, jadi anda perlu merujuk kepada lampu hijau atau masa cadangan yang tersedia seperti dalam jadual.

    Jarak laluan SmartLane ini antara 1.7 km ke 13.3 km, dengan yang paling panjang adalah di KM367.3 Arah Utara (Slim River) ke KM354.0 Arah Utara (Sungkai). Ia hanya dibuka untuk kenderaan persendirian atau penumpang sahaja dan jika terdapat sebarang ketidak pastian, anda boleh menghubungi talian bebas tol PLUS di 1800880000.

     
     
  • Bangkok 2024: Ford Ranger Wildtrak V6 – 3.0L 6-silinder turbodiesel 250 PS/600 Nm; RM197k di Thai

    Bangkok 2024: Ford Ranger Wildtrak V6 – 3.0L 6-silinder turbodiesel 250 PS/600 Nm; RM197k di Thai

    Ford turut mengambil kesempatan mempertontonkan model trak pikapnya, Ford Ranger menerusi acara Bangkok International Motor Show 2024, yang bakal ditawarkan dengan varian Wildtrak V6. Ia bakal menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Ranger Platinum yang dijual di pasaran Australia, iaitu 3.0L turbodiesel V6 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 250 PS pada 3,250 rpm dan tork 600 Nm dari 1,750 rpm hingga 2,250 rpm.

    Ranger Wiltrak V6 ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda kawalan elektronik dengan active centre differential dan locking rear differential serta enam mod pemanduan turut ditawarkan iaitu Normal, Eco (pacuan roda-belakang), Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts, dan Sand.

    Ciri kelengkapan luaran untuk Ranger Wiltrak V6 termasuklah lampu utama LED matrix adaptif dengan lampu tinggu automotif, lampu belakang dan lampu kabus LED, pemijak sisi, sport bar dan rel bumbung, cargo tray, soket kuasa 230 voltan, lencana V6 pada corong sisi dan roda aloi dua-tona 20-inci dengan dibaluti tayar 255/65.

    Di dalamnya, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan diberikan larasan elektronik lapan-cara, balutan upholstery kulit sintetik, pendingin hawa dwi-zon automatik dan paparan instrumen digital TFT 12.4-inci.

    Untuk hiburan, ia diberikan skrin sesentuh orientasi-potret 12-inci pelbagai-sentuhan dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, ketersambungan Bluetooth, kawalan suara SYNC 4A, empat USB port, pengecas telegon tanpa wayar dan sistem audio dengan enam-pembesar suara.

    Di Thailand, Ford Ranger Wildtrak V6 dijual pada harga 1,519,000 baht (RM197,118), menurut Headlight Magazine. Sementara untuk Malaysia, masih belum ada model semasa Ranger dengan enjin turbodiesel 3.0L V6 ini.

    Varian Ranger Wildtrak di Malaysia menerima enjin 2.0 liter unit turbo berkembar diesel empat-silider, dan dijual pada harga bermula RM170,888 OTR tanpa insurans di Semenanjung Malaysia, menurut laman web Ford Malaysia.

     
     
  • Bangkok 2024: Lexus LBX — SUV 1.5L hibrid kompak

    Bangkok 2024: Lexus LBX — SUV 1.5L hibrid kompak

    Ini model Lexus paling kecil, dah sama dengan saiz Perodua Ativa. Lexus LBX adalah model paling kompak jenama premium ini. Ia baru saja dilancarkan di Bangkok International Motor Show 2024 untuk pasaran Thailand dengan harga 2.229 juta baht (RM290,222) bagi varian Luxury, manakala 2.39 juta baht (RM311,184) untuk Premium.

    Lexus kecil ini menggunakan versi GA-B dari paltform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang turut digunakan untuk model Toyota Aqua, Aygo X serta Yaris/Yaris Cross untuk pasaran Eropah. Kereta ini dilengkapi suspensi MacPherson strut di depan dan jenis torsion beam di belakang.

    Bangkok 2024: Lexus LBX — SUV 1.5L hibrid kompak

    Lexus LBX mempunyai ukuran 4,190 mm panjang, 1,825 mm lebar dan 1,550 mm tinggi dengan jarak roda 2,580 mm. Ia bahkan lebih kecil berbanding Lexus UX, model paling kompak jenama itu sebelum ini yang hadir dengan 305 mm lebih panjang dan 15 mm lebih lebar dengan jarak roda 60 mm lebih panjang. Kapasiti but ialah 402 liter dan boleh dilanjutkan sehingga 994 liter dengan merebahkan kerusi belakang.

    Lexus LBX menggunakan janaan hibrid dengan menggabungkan enjin 1.5 liter NA tiga-silinder petrol (91 PS/120 Nm) dengan sebuah motor elektrik 94 PS/185 Nm dan juga bateri nickel-metal hydride (NiMH). Output keseluruhan sistem ialah 131 PS, dengan kuasa disalurkan melalui CVT ke roda depan. Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 9.6 saat dan laju maksimum 170 km/j. Ada butang EV Mode tersedia.

    Bangkok 2024: Lexus LBX — SUV 1.5L hibrid kompak

    Untuk Luxury, ia dilengkapi ciri standard seperti cermin depan akustik, lampu utama LED dengan Auto High Beam dan DRL, rim 17-inci, pintu belakang kuasa elektrik dan pengilap automatik. Ia juga datang dengan balutan kulit buatan, ACC, skrin sentuh 9.8-inci, Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas tanpa wayar, enam pembesar suara, panel meter digital 7.0-inci, lampu ambient, kawalan pendingin dua-zon, kerusi pemandu larasan lapan-arah dengan memori, pemegang pintu elektronik dan peninjau tekanan tayar.

    Premium pula menerima tambahan tingkap depan akustik, lampu tinggi adaptif (AHS), lampu kabus, lampu selekoh dan rim aloi 18-inci. Di dalam, ia menerima kerusi balutan kulit, paparan multi-info 12.3-inci, paddle shifter dan kawalan sentuhan di stereng.

     
     
  • JPJ siar kempen panggil balik terkini bagi model kenderaan melibatkan Kia, Volkswagen, Toyota

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggil balik (product recall) beberapa model kenderaan yang terlibat oleh syarikat pengeluar. Menurut JPJ, untuk siri kali ini, pihaknya menyenaraikan model kenderaan yang terlibat berdasarkan kepada rekod yang diterima. Sebelum ini, JPJ pernah membuat hebahan bagi siri 4/2023 pada Disember tahun lalu.

    Jenama kenderaan dan model yang terlibat untuk kali ini adalah seperti senarai di bawah – sila klik nama jenama berkenaan untuk pautan bagi perincian panggilan balik ini:

    Kia

    • Sportage (tahun buatan 2013-2015) – 1,833 unit

    Volkswagen

    • Passat (tahun buatan 2019-2022) – 1,256 unit
    • Arteon (tahun buatan 2020-2023) – 1,370 unit
    • Golf mk8 (tahun buatan 2021-2024) – 1,061 unit

    Toyota

    • Sienta (tahun buatan 2016-2019) – 6,116 unit
    • Camry 2.5V AT (tahun buatan 2021-2023) – 3,361 unit
    • Veloz (tahun buatan 2022-2023) – 10,168 unit
    • Vios (tahun buatan 2022-2023) – 11,769 unit

    JPJ berkata, pemanggilan Semula atau product recall ini secara umumnya merupakan suatu aktiviti bagi memanggil semula sejumlah produk oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan atau kecacatan kepada produk tersebut yang mungkin meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna.

    Kaedah pelaksanaan pemanggilan semula ini dilaksanakan melalui pemakluman kepada pemilik sama ada melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas, surat-menyurat rasmi, hebahan di media massa dan sebagainya.

    “Bagi pemilik kenderaan yang telah mendapat notifikasi pemanggilan semula, anda hendaklah memberikan kerjasama dengan mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar kenderaan sama ada perlu membuat temu janji terlebih dahulu atau mematuhi jadual giliran yang telah ditetapkan.

    “Ini bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat servis dan bagi memastikan jumlah alat ganti yang dibekalkan bagi proses penggantian komponen pada hari tersebut adalah mencukupi. Kos penukaran alat ganti bagi kenderaan yang terlibat dalam aktiviti pemanggilan semula ini adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengeluar kenderaan. Pihak pengeluar kenderaan telah melaksanakan tugas mereka untuk memaklumkan anda dan mereka bersedia menanggung sepenuhnya kos penukaran alat ganti, kini terpulang kepada anda untuk melaksanakan peranan dan hak anda sebagai pengguna,” kata JPJ

     
     
  • Honda NSX 1991 untuk dijual, tapi hanya guna Bitcoin

    Ada sesuatu yang agak menarik muncul dalam laman Facebook Vintage/Classic Cars Malaysia-Singapore ketika ini. Memang, ada waktu kereta-kereta klasik dan rare akan bermunculan dan diiklankan untuk dijual, tetapi perlukan kesabaran dan usaha lebih untuk mencari unit yang berada dalam keadaan yang cukup baik dan berbaloi dari segi nilainya.

    Dalam iklan yang dimaksudkan ini, ada sebuah Honda NSX 1991 diiklankan untuk dijual. Daripada senarai modifikasi yang disertakan, nampak cukup menarik dan meyakinkan dengan banyak alat ganti tulen dan prestasi yang telah berjaya dicari dan digunakan untuk unit terbabit. Tiada harga jualan yang disebut, tetapi pengiklan mendakwa sekitar RM180k telah dibelanjakan dalam tempoh lima tahun terakhir untuk membolehkan Honda NSX berkenaan berada dalam keadaannya yang sekarang ini.

    Honda NSX 1991 untuk dijual, tapi hanya guna Bitcoin

    Tetapi, ada seperkara lagi yang tak kalah menarik dan jarang-jarang berlaku — transaksi jual-beli ini hanya ingin dilakukan dalam matawang elektronik Bitcoin atau Ehtereum yang setara. Sekurang-kurangnya itulah apa yang diiklankan. Maka, kepada anda yang mungkin aktif dan mempunyai simpanan dalam Bitcoin/Ethereum, inilah masanya untuk mendapatkan kereta idaman ini, kerana ini akan mengurangkan lagi persaingan dalam kalangan peminat yang hanya ada simpanan matawang konvensional.

    Beberapa perincian yang unik pada Honda NSX ini ialah ia menggunakan cat badan warna Red Rosso, dan yang paling menarik, nombor plat khasnya adalah turutan NSX terbalik (X217). Rim pula menggunakan unit dengan spesifikasi NSX Rays TE37 – 17″ x8.0J (+38), 18″ x10.0J (+35), dan beberapa kelengkapan dan aksesori prestasi dari NSX Type R.

    Ramai yang berminat? Kalau betul, anda kena pastikan ada matawang Bitcoin atau Ethereum yang setara sebelum boleh melamar kereta ini.

     
     
  • MG ZS EV 2024 kini di Malaysia – 176 PS/280 Nm, 51.1 kWh, jarak gerak 320 km, bermula dari RM125,999

    MG ZS EV 2024 kini di Malaysia – 176 PS/280 Nm, 51.1 kWh, jarak gerak 320 km, bermula dari RM125,999

    Selain MG4 EWV 2024, pengedar jenama MG di Malaysia, SAIC Motor Malaysia turut melancarkan SUV segmen-B MG ZS EV. Hadir dengan satu varian sahaja, ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM125,999 tanpa insurans. Tempahannya juga telah dibuka sejak akhir Februari lalu.

    MG ZS EV 2024 ini masih mengekalkan sistem mekanikal yang sama, sebagaimana model facelift terdahulu. Ia menawarkan kuasa hingga 176 PS (130 kW) dan tork 280 Nm. Motor elektriknya dijanakan oleh bateri lithium-ion 51.1 kWh, yang membolehnya mencapai jarak gerak hingga 320 km dengan pengecasan tunggal, mengikut kitaran WLTP. Daripada aspek prestasi, kereta seberat 1,610 kg ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 174 km/j.

    Bagi aspek pengecasan, ia mengambil masa lapan jam apabila menggunakan pengecas AC berkapasiti 7 kW, dan hanya sekitar 54 minit untuk mencapai tahap 10% hingga 80% sekiranya menggunakan pengecas pantas DC 50 kW.

    SUV elektrik ini berukuran 4,323 mm panjang, 1,809 mm lebar, 1,649 mm tinggi dan jarak rodanya cecah 2,585 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 448 liter dan meningkat hingga 1,187 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Bagi imej luarannya, juga sama seperti model terdahulu, MG ZS EV masih tiada gril hadapan dan tempat pengecasannya masih berada di bahagian kanan hadapan dan mempunyai penutup yang terbuka ke tepi. Ia juga diberikan lampu utama ‘Silverstone’ Projector LED dengan lampu nyalaan siang (DRL), lampu isyarat sisi LED dan roda aloi lima-jejari 17-inci dengan kemasan perak.

    Selain itu, ia menampilkan rel bumbung rona perak, bumbung suria panoramik yang dikatakan terbesar dalam kelasnya (berukuran 1,365 mm panjang dan 870 mm lebar) serta lampu belakang ‘Phantom’ LED yang direka semula.

    Ciri kelengkapan bagi bahagian kabinnya pula termasuklah paparan skrin sesentuh baharu bersaiz 10.25-inci berbanding unit 10.1-inci pada model sebelum ini dan ia juga disepadukan dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, paparan pelbagai-informasi tujuh-inci, rotary gear selector, pengecas tanpa wayar dan pendingin hawa automatik bersama corong untuk penumpang belakang.

    Selain itu, ia turut menampilkan panel sentuhan lembut dengan jahitan merah untuk papan pemukanya, roda stereng balutan kulit dengan jahitan merah, perehat tangan di tengah untuk tempat duduk belakang, tempat duduk hadapan larasan kuasa 6-cara, USB untuk perakam digital, dua USB port dengan satu unit untuk Type-C.

    Untuk sistem keselamatan, ZS EV dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu MG Pilot, yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), AEB (dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal), Kawalan kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kesesakan Trafik (TJA), Amaran ketibaan Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Pengesan Titik Buta (BSD), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA) dan Bantuan Lampu Tinggi Pintar.

    Selain itu, ia juga diberikan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Bantuan Mula Mendaki (HSA), sistem pemantauan tekanan tayar serta pengingatan tali pinggang keledar hadapan dan belakang.

    Untuk warna luarannya, ZS EV menerima empat pilihan iaitu Monument Silver, Black Pearl, Artic White dan Dynamic Red. Sama seperti MG4, MG ZS EV juga menerima pakej waranti kenderaan tujuh-tahun/150,000 km dan waranti lapan-tahun/180,000 km untuk bateri. Jika membuat tempahan dan mendaftar model MG ZS EV sebelum 30 April 2024, pembeli bakal menerima pakej eksklusif iaitu wallbox charger berkapasiti 7kW percuma termasuk pemasangan bernilai RM4,600.

     
     
  • MG4 EV 2024 dilancar di Malaysia – empat varian; hingga 435 PS/600 Nm, 520 km; dari RM103,999

    MG4 EV 2024 dilancar di Malaysia – empat varian; hingga 435 PS/600 Nm, 520 km; dari RM103,999

    Setelah dibuka tempahan sejak akhir Februari lalu, akhirnya barisan model MG4 EV dilancarkan secara rasminya untuk pasaran Malaysia. Hatchback lima-pintu elektrik penuh ini ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard dengan harga atas jalan bermula RM103,999 tanpa insurans, Lux berharga RM128,999, RM148,999 untuk Lux Extended dan model spesifikasi padu XPower pula berharga RM158,999.

    Bagi varian Standard, ia diberikan motor tunggal dengan kuasa 125 PS (170 kW) dan tork 250 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate 51 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 350 km mengikut WLTP.

    Manakala untuk Lux pula, ia tampil dengan kuasa 150 PS (203 kW) dan tork yang sama dengan Standard, namun bagi pecutan 0-100 km/j mencecah 7.7 saat. Ia digandingkan dengan bateri lithium iron phosphate 64 kWh membolehkannya mencapai jarak gerak hingga 430 km mengikut WLTP.

    Untuk varian Lux Extended Range pula, ia mampu menghamburkan kuasa hingga 180 PS (245 kW) dan tork 350 Nm, dan pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai pada 6.1 saat. Dengan bateri lithium iron phosphate 77 kWh, ia mampu memberikan jarak gerak hingga 520 km mengikut WLTP. Ketiga-tiga varian ini dipacukan sistem roda belakang (RWD).

    MG4 EV 2024 dilancar di Malaysia – empat varian; hingga 435 PS/600 Nm, 520 km; dari RM103,999

    Bagi varian paling padu pula, XPower yang merupakan jentera pacuan semua-roda (AWD), diberikan padanan dwi-motor, sekaligus memberikannya ledakan kuasa cecah 435 PS dan tork 600 Nm. Walau bagaimana pun, ia dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate berkapasiti 64 kWh dan memberikannya jarak gerak 384 km. XPower turut diberikan empat mod brek regeneratif dan Dynamic Cornering Control System yang disepadukan dengan locking electronic differential dan kawalan motor pintar untuk memudahkan penvektoran tork bagi kesemua empat rodanya.

    Kesemua varian MG4 ini menerima ciri Magnify i-Smart yang dipadankan dengan transmisi automatik kelajuan-tunggal dan diberikan lima mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Snow, Custom).

    MG4 turut dilengkapi port pengecasan Type 2 dan CCS2, dengan menggunakan pengecas AC 7 kW, ia mengambil masa selama lapan jam bagi varian Standard untuk mencapai pengecasan penuh, manakala Lux dan Xpower pula sekitar 8.5 jam serta Lux Extended Range pula mencecah 10 jam. Manakala jika menggunakan pengecas pantas DC 150 kW, tahap pengecasan 10% hingga 80% boleh dicapai dalam 26 minit sahaja untuk varian Lux dan XPower, manakala Standard dengan 37 minit serta Lux Extended Range pula sekitar 38 minit. Tiga varian teratas MG4 turut menerima on-board charger berkapasiti 11 kW, dengan dengan pengecasan penuh boleh dicapai dalam 5.1 jam bagi Lux dan XPower, manakala Lux Extended pula 6.2 jam.

    Hatchback EV ini memiliki ukuran dimensi 4,287 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,504 mm tinggi dan jarak rodanya 2,705 mm serta memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) mencecah 117 mm. Bagi ruang penyimpanan barang di belakang, ia berkapasiti 363 liter dan boleh mencecah 1,177 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Dengan gaya ala crossover, hatchback ini menerima sentuhan rekaan penuh bergaya dan impresif. Gayanya cukup terserlah terutamanya pada garisan dan lekuk pada badannya yang menampakkan sifat yang lebih garang, sporty dan agresif.

    Bagi tiga varian teratas, ia diberikan lampu utama projektor LED dengan teknologi reflektif (unit projektor LED untuk Standard), palang pencahayaan sentral dengan paten di belakang, Twin Aero Spoiler, cermin sisi boleh lipat, roda aloi 18-inci (bersama kaliper jingga untuk XPower sahaja/Standard hanya aloi 17-inci) dan bumbung hitam.

    Manakala ciri standard untuk semua varian termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu utama automatik on/off, spoiler belakang dan lampu belakang LED.

    Di dalamnya, sentuhan agak ringkas bagi sebuah EV, tanpa elemen futuristik. Ciri kelengkapan standard untuk semua varian terdiri daripada kokpit maya tujuh-inci, paparan ‘terapung’ 10.25-inci, kawalan suhu automatik, roda stereng balutan kulit dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, varian Standard hanya diberikan empat-pembesar suara, upholstery fabrik dan larasan manual bagi tempat duduk hadapan.

    MG4 EV 2024 dilancar di Malaysia – empat varian; hingga 435 PS/600 Nm, 520 km; dari RM103,999

    Manakala tiga varian teratas menerima enam-pembesar suara dengan efek 3D, dwi tona dengan jahitan jingga untuk serlahan kabin (Lux dan Extended Lux sahaja), pengecas telefon tanpa wayar, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-cara, Mobile Phone BT Key, cermin pandang belakang auto-kelam, dan upholstery kulit Alcantara dengan rona hitam. Varian XPower pula menerima ciri tambahan metal sport pedal dan Launch Control.

    Barisan MG4 turut menerima ciri MG iSMART di mana enjin dan pendingin hawa boleh dihidupkan menerusi peranti telefon pintar pemiliknya. Selain itu, aplikasi ini juga mencatatkan sistem navigasi onboard, informasi kenderaan dalam masa sebenar seperti kondisi bateri, tahap bateri dan kondisi brek serta mengesan sekiranya ada pergerakan luar biasa kenderaan iaitu aplikasi ini boleh memaklumkan penggunaan kereta yang disyaki kecurian dengan serta-merta.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, MG4 turut dilengkapi dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), AEB dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kesesakan Trafik (TJA), Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Bantuan Lampu Tinggi Pintar secara standard untuk semua varian.

    Manakala tiga varian tertinggi menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Pengesan Titik Buta (BSD), Bantuan Tukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Amaran Membuka Pintu (DOW), dan kamera 360-darjah.

    Selain itu, kesemua varian juga diberikan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Bantuan Mula Mendaki (HSA), sistem pemantauan tekanan tayar serta pengingatan tali pinggang keledar hadapan dan belakang.

    Untuk warna luarannya, MG4 ini diberikan tujuhan pilihan rona iaitu Holburn Blue, Camden Grey, Monument Silver, Black Pearl, Artic White, Dynamic Red dan Volcano Orange. Setiap pembelian MG4 didatangkan dengan waranti kenderaan tujuh-tahun/150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan waranti bateri selama lapan-tahun/180,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Penukaran bateri ‘one to one’ juga ditawarkan sekiranya ‘state-of-health’ bateri di bawah 70% dalam tempoh waranti.

    Jika membuat tempahan dan mendaftar model MG sebelum 30 April 2024, pembeli bakal menerima pakej eksklusif iaitu wallbox charger 7kW percuma termasuk pemasangan untuk MG4 Standard (bernilai RM4,600) dan 11 kW untuk MG4 Lux (RM5,200). Manakala pembelian MG4 Lux Extended Range dan MG4 XPower pula bakal menerima 1,000 kredit pengecasan percuma dengan DC Handal dam JomCharge.

    GALERI: MG4 Standard 2024

    GALERI: MG4 Lux 2024

    GALERI: MG4 Lux Extended 2024

    GALERI: MG4 XPower 2024

     
     
  • JPJ eBid: DFA dan CEX dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DFA, telah pun dibuka bidaan sejak 23 Mac 2024 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam ini, 27 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya 28 Mac 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang pula, CEX, bidaannya akan dibuka pada 14 April 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 18 April 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 19 April ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Perodua dipilih terajui EV mampu milik tempatan

    Perodua dipilih terajui EV mampu milik tempatan

    Dalam satu hantaran di media sosial Facebook rasminya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi bayangan bahawa hujung tahun depan bakal ada sebuah EV mampu milik untuk warga Malaysia yang dapat dijadikan kenyataan.

    Lebih menarik, menurutnya lagi, Perodua telah dipilih sebagai peneraju pengeluaran EV mampu milik tempatan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030). Ini antara lain adalah langkah memperkenalkan EV dalam segmen yang lebih mudah dicapai kerana penawaran EV ketika ini, walaupun dengan insentif daripada kerajaan, tetap pada harga yang terlalu tinggi yang hanya boleh dimanfaatkan oleh segelintir pengguna sahaja.

    Untuk itu, Zafrul juga memaklumkan bahawa beliau sudah bertemu dan berbincang dengan Perodua bagi mengetahui lebih lanjut perkembangan projek EV syarikat itu, dan untuk mengenal pasti bagaimana kerajaan boleh membantu untuk menjayakannya. Ini sudah tentu akan menyumbang perkembangan kepada kesejahteraan ekonomi negara.

    Perodua dipilih terajui EV mampu milik tempatan

    Mei tahun lalu, Perodua pernah mempamerkan model EM-O Concept yang disifatkan sebagai rekaan EV pertama yang akan dibangunkan oleh syarikat itu. Selain itu, ia juga menjadi gambaran kepada reka bentuk yang mungkin akan diterjemahkan kepada model Myvi generasi akan datang kelak.

    Rekaan berkenaan antara lain telah diberikan ukuran dimensinya — 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar dan 1,515 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,500 mm, yang agak mirip dengan Myvi sedia ada. Di dalam laporan yang lain pula, Perodua sebelum ini pernah dikhabarkan sedang membangunkan kemampuan vendor-vendornya dan akan memasang EV secara CKD di Malaysia.

    Jadi, adakah EV mampu milik tempatan ini semakin hampir untuk menjadi kenyataan?

     
     
  • Bangkok 2024: Changan Lumin sedia jarak gerak 301 km, cas DC, badan dua pintu, harga dari RM62k

    Bangkok 2024: Changan Lumin sedia jarak gerak 301 km, cas DC, badan dua pintu, harga dari RM62k

    Satu perkara yang jelas semasa Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024 adalah pengeluar China seakan mendominasi tapak pameran dan ini termasuk juga jenama Changan, yang membawa Deepal, Avatr dan Lumin. Dalam muatan ini, anda dapat melihat model Lumin, yang merupakan sebuah kereta EV bandar kecil dan turut dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah untuk pengunjung BIMS 2024.

    Anda boleh bayangkan Lumin ini seperti Wuling Air EV, tetapi dengan muka yang lebih lucu seperti kartun dan mata bulat yang sepet. Changan mengikuti bentuk kereta petak dua pintu yang dipopularkan oleh Wuling, sementara saiznya pula sedikit lebih besar.

    Secara tepat, ukurannya adalah 3,270 mm panjang dan 1,700 mm lebar, menjadikannya 296 mm lebih panjang dan 195 mm lebih lebar berbanding Wuling Air, sementara jarak roda 1,980 mm pula adalah 30 mm lebih pendek. Ruang simpanan belakang yang disediakan cuma 104 liter, tetapi apabila tempat duduk belakang dilipat, ia menjadi 580 liter.

    Lumin digerakkan oleh motor elektrik 48 hp yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion CATL. Unit 27.98 kWh ini boleh memberi jarak gerak 301 km (NEDC) dan mencapai kelajuan maksimum 101 km/j. Untuk pengecasan AC ia boleh menerima sehingga 3.3 kW, sementara apabila menggunakan DC, versi 28.08 kWh boleh menerima sehingga 50 kW dan bateri boleh naik 30-80% dalam masa 35 minit.

    Ini adalah satu spesifikasi EV yang sederhana dan harganya juga sederhana. Lumin versi AC dijual pada harga 479,000 baht (RM62,332), manakala versi yang boleh menerima pengecasan DC dijual pada harga 499,000 baht (RM64,935). Ini juga sebenarnya berada dalam lingkungan yang sama seperti Wuling Air.

    Dengan harga ini juga anda akan mendapat kelengkapan seperti lampu projector halogen, lampu penunjuk arah LED, rim 14 inci dengan tayar 165/70, sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin, panel meter digital 7.0 inci, skrin tengah 10.25 inci, sambungan bluetooth, tempat duduk fabrik, kamera dan pengesan undur, pemerhati tekanan angin tayar, ESP dan dua beg udara.

     
     
  • Bangkok 2024: Isuzu D-Max EV Concept tiba pada 2025

    Bangkok 2024: Isuzu D-Max EV Concept tiba pada 2025

    Isuzu D-Max EV Concept telah dipamerkan di Bangkok International Motor Show 2024 selepas mula didedah minggu lalu. Ini adalah gambaran kepada versi produksi bagi trak pikap D-Max bateri-elektrik yang akan dilancarkan di beberapa pasaran Eropah pada 2025 seperti di Norway, sebelum ke pasaran United Kingdom, Australia, Thailand dan lain-lain, dan akan diproduksi di Thailand.

    Tampil dengan bentuknya yang sangat dikenali selama ini, D-Max EV Concept diberikan sepilihan sentuhan penggayaan yang membezakannya daripada versi diesel yang sudah berada dalam pasaran. Seperti kebiasaan EV, bahagian depan dan tertutup, dengan wajah depan diberikan lebih banyak kemasan hitam, dan juga kemasan biru di bahagian dalaman gril.

    Perincian sebelum ini menyatakan yang D-Max EV Concept ini menggunakan sistem pengurusan bateri yang sama daripada Elf EV, dan ia disepadukan ke dalam casis ladder frame trak pikap berkenaan.

    Bangkok 2024: Isuzu D-Max EV Concept tiba pada 2025

    Bateri lithium-ion yang digunakan mempunyai kapasiti 66.9 kWh, dan menyediakan kuasa untuk dua motor yang digunakan; motor di depan menghasilkan output 40 kW (54 PS) dan 108 Nm, sementara motor belakang dengan janaan 90 kW (122 PS) dan 217 Nm — memberikan output gabungan 177 PS dan 325 Nm, dengan laju maksimum didakwa 130 km/j.

    Isuzu memaklumkan kapasiti beban muatannya satu tan untuk D-Max EV Concept ini, selari dengan kemampuan trak lain dalam segmen pikap trak. Bagaimanapun, perincian lain berkaitan jarak perjalanan, kapasiti pengecasan dan harga masih belum didedahkan.

     
     
  • Bangkok 2024: Mitsubishi Xpander HEV facelift guna gabungan enjin 1.5L MIVEC dengan motor 116 PS

    Bangkok 2024: Mitsubishi Xpander HEV facelift guna gabungan enjin 1.5L MIVEC dengan motor 116 PS

    Mitsubishi Xpander sudah berada dalam pasaran agak lama, tetapi Februari lepas, Mitsubishi memperkenalkan versi HEV di Thailand. Memandangkan wakil kami berada di sana sekarang, ini kami bawakan gambar kedua-dua model baru tersebut.

    Sudah tentu, perubahan paling besar adalah pada enjinnya, di mana versi HEV ini menggunakan penggerak hibrid elektrik-petrol, yang menggabungkan enjin 1.6 liter MIVEC NA dengan generator, transaxle, unit kawalan pacuan elektrik dan bateri lithium-ion.

    Enjin pembakarannya adalah unit 4A92 1,590 cc empat-silinder sebaris petrol dengan nisbah mampatan 14:1, mampu menghasilkan 95 PS pada 5,100 rpm dan tork 134 Nm pada 4,500 rpm. Motor pacuan elektrik pula mampu menghamburkan kuasa maksimum hingga 116 PS dan tork 255 Nm, dipacukan ke roda hadapan.

    Tujuh mod pacuan ditampilkan untuk Xpander HEV dan Xpander Cross HEV iaitu Normal, Charge, EV, Wet, Gravel, Tarmac dan Mud. Selain itu, ia juga diberikan Active Yaw Control ciptaan Mitsubishi sendiri untuk kedua-dua model ini.

    Casis untuk Xpander HEV dan Xpander Cross HEV diberikan larasan yang agak sama, termasuk menampilkan topang MacPherson di hadapan dan palang torsion di belakang. Suspensi ini juga telah dipertingkatkan untuk memberikan pengendalian yang lebih selesa dan lancar, kata Mitsubishi. Rim menggunakan saiz 17 inci, dibalut tayar 205/55R17.

    Untuk ruang dalam, Xpander HEV dan Xpander Cross HEV diberikan ciri naik taraf, dengan menerima panel instrumen LCD berwarna lapan-inci baharu bersama penukar transmisi elektronik. Manakala paparan skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci turut menerima bezel yang sedikit berlainan dan menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Roda stereng juga direka semula, dengan memberikan ciri baharu kawalan pelbagai-fungsi. Manakala kawalan suhu pula diberikan kawalan digital, sama seperti Xpander facelift, dan turut menerima penapis zaraj PM2.5.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua Xpander HEV dan Xpander Cross HEV ini menerima ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan dengan pengunci pintu penderia-kelajuan. Sementara ciri keselamatan pasif merangkumi dua beg udara hadapan dan keluli ketahanan tinggi untuk binaan struktur kerangkanya.

    Harga untuk Xpander HEV adalah 933,000 baht (RM121,100) untuk varian standard, dan 961,000 baht (RM124,700) untuk Xpander Cross HEV. Ini adalah lebih tinggi 21,000 baht (RM2,700) dan 15,000 baht (RM1,900) berbanding masing-masing Xpander GT dan Xpander Cross versi petrol.

    GALERI: Mitsubishi Xpander HEV

    GALERI: Mitsubishi Xpander Cross HEV

     
     
  • Bangkok 2024: Toyota Hilux Revo facelift bersama varian GR Sport Wide Tread; harga dari RM76k

    Bangkok 2024: Toyota Hilux Revo facelift bersama varian GR Sport Wide Tread; harga dari RM76k

    Selepas dilancarkan untuk pasaran Thailand minggu lepas, sekarang kami bawakan gambar sebenar versi Toyota Hilux facelift yang lebih ranggi dan agresif, iaitu Hilux Revo GR Sport Wide Tread, bersama satu lagi varian, iaitu Z Edition yang dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024.

    Pada bahagian enjin, Hilux Revo GR Sport Wide Tread masih menggunakan unit empat silinder diesel turbo 2.8 liter 1GD-FTV, tetapi kini mampu menghasilkan 224 PS (221 hp atau 165 kW) pada 3,400 rpm dan tork 550 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm – sama seperti varian GR Sport di Malaysia.

    Walaubagaimanapun, penampilannya dijadikan lebih garang seperti model pasaran Australia, dengan menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, serta kit widebody bersama kemasan fender yang menambah lebarnya sebanyak 140 mm di hadapan dan 155 mm di belakang. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar BF Goodrich AT 265/65.

    Kedudukan trak ini juga adalah lebih tinggi, hasil daripada penggunaan penyerap baru dan kelegaan dari tanahnya bertambah 37 mm menjadi 217 mm. Perubahan lain yang dibuat adalah termasuk spring yang ditala semula, stabiliser bar hadapan lebih besar, wishbone depan lebih tebal, tambahan titik kimpal pada casis, brek cakera belakang (sebelum ini dram) dan cakera brek hadapan lebih besar.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk lampu utama LED bi-beam, lampu kabus LED, tempat duduk balutan suede/kulit, roda stereng dengan tanda GR Sport, kawalan pendingin hawa dua zon, telematik T-Connect, kamera 360 darjah, sistem tanpa kunci, tujuh beg udara serta sistem keselamatan biasa seperti Hill Start Assist, Hill Descent Control, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning dan Prevention dan Rear Cross Traffic Alert.

    Di bahagian dalam, varian GR Sport ini menerima sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci baru serta sistem yang boleh disambung kepada Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Senarai kelengkapan turut ditambah dengan cermin belakang boleh malap sendiri, pad pengecas tanpa wayar, soket pengecas USB-C untuk penumpang belakang dan corak kemasan baru.

    Hilux Revo GR Sport Wide Tread ini dijual di Thailand pada harga 934,000 baht (RM121,230) dan dipamerkan bersama beberapa lagi varian Hilux facelift di BIMS 2024. Enjin 2.8L diesel turbo pada Hilux Revo varian selain GR Sport Wide Tread menghasilkan kuasa lebih rendah, iaitu 204 PS dan 500 Nm.

    Turut disediakan adalah varian yang menggunakan enjin empat silinder 2.4L diesel turbo, yang menghasilkan 150 PS pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm antara 1,600 rpm ke 2,000 rpm. Ia boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.

    Harga untuk Hilux Revo facelift di Thailand bermula dari 584,000 baht (RM75,763) untuk Standard Cab dan diikuti 669,000 baht (RM86,786) untuk Z Edition, 775,000 baht (RM100,624) untuk Prerunner dan 4×4, 1,006,000 baht (RM 130,574) untuk Rocco dan seterusnya 934,000 baht (RM121,230) untuk GR Sport Wide Tread.

    GALERI: Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread

    GALERI: Toyota Hilux facelift

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Mar 21, 2024