Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Harga bahan api 18-25 April 2018 – harga tak berubah

    Harga bahan api 18-25 April 2018 – harga tak berubah

    Seperti dijangka, harga bahan api untuk minggu ini kekal lagi buat kali keempat berturut-turut. Jadi, bermula tengah malam ini hingga 25 April 2018, anda perlu membayar untuk bahan api dengan kadar yang sama seperti minggu lalu.

    Harga bahan api RON 95 masih lagi dijual pada harga RM 2.20 seliter manakala RON 97 pula dijual pada harga RM2.47 seliter. Manakala untuk bahan api diesel pula, Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter, diikuti RM2.28 seliter untuk diesel Euro 5.

    Rasanya minggu depan pun sama juga, kalau nasib baik mungkin turun. Kan?

     
     
  • Sistem BRT pilihan terbaik untuk kurangkan kesesakan di Kota Kinabalu – Menteri JPM

    Sistem BRT pilihan terbaik untuk kurangkan kesesakan di Kota Kinabalu – Menteri JPM

    Jika anda berada atau pernah ke Kota Kinabalu, Sabah, masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan memang agak meruncing khususnya waktu puncak. Justeru, masyarakat di sana memerlukan perhatian daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk mengatasi masalah ini.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, sistem Bas Rapid Transit (BRT) dipercayai sebagai pilihan terbaik pada masa ini untuk mengurangkan kesesakan trafik di Kota Kinabalu, laporan Bernama.

    Katanya, meskipun penambahbaikan jaringan sistem bas mini turut penting namun, selepas menjalankan pelbagai kajian di bawah Unit Perancangan Ekonomi dan agensi-agensi berkaitan, BRT didapati pilihan terbaik untuk mengurangkan kesesakan trafik.

    “Sistem bas mini bukan sahaja menyelesaikan kebolehgantungan, ketepatan waktu atau keselesaan kepada pengguna malah menyelesaikan masalah kesesakan selain memastikan bas-bas itu tidak terperangkap di tengah-tengah kesesakan trafik,”katanya semasa mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Junz Wong kononnya parti itu berupaya menawarkan penyelesaikan kepada masalah kesesakan trafik di kawasan Kota Kinabalu dan Sepanggar melalui penambahbaikan sistem bas mini.

    Tambahnya lagi, “Memang benar rakyat Sabah perlu ‘melabur’ dalam bentuk tambang yang lebih tinggi untuk mereka menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih baik, tapi yakinlah bahawa kerajaan akan memastikan tambang BRT dalam kemampuan rakyat Sabah.”

    Selain BRT, kerajaan juga meluluskan perluasan jalan raya antara simpang Indah Permai ke Yayasan Sabah dan terus ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah bagi mengurangkan kesesakan trafik sepanjang jalan berkenaan.

    Harap dengan adanya alternatif ini dapat mengurangkan masalah kesesalan lalu lintas di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya.

     
     
  • SPYSHOT: BMW X3 G01 dikesan di atas treler di M’sia

    SPYSHOT: BMW X3 G01 dikesan di atas treler di M’sia

    Memang pelancaran BMW X3 G01 semakin menghampiri detiknya, apatah lagi apabila kelibat SUV ini telah dikesan di atas treler menuju ke bilik pameran di Malaysia. Foto yang dihantar oleh pembaca paultan.org Chris Yee, X3 baharu yang tidak ditutupi ini dikesan di Lebuhraya ELITE.

    Seperti apa yang boleh kita lihat, model yang diangkut dengan treler ini dipadankan dengan roda LMR jejari-berkembar Style 696 19-inci dan kit Luxury Design – dengan skid plate dan moulding sisi berwarna perak, dipadankan bersama kekemasan tingkap sisi krom.

    Berdasarkan pemerhatian sebelum ini, X3 ini menerima lampu utama LED penuh secara standard berbanding unit adaptif, tetapi tidak dilengkapi dengan BMW Driving Assistant Plus bagi sistem keselamatan dan bantuan pemandu – tidak kelihatan pengesan/kamera berkaitan pada cermin pandang belakangnya.

    Di bawah bonetnya, X3 sepatutnya digandingkan dengan penjana kuasa sDrive20i yang terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo empat-silinder (184 hp/290 Nm) dan transmisi automatik lapan-kelajuan. Walau bagaimana pun tidak diketahui adakan varian diesei juga akan ditawarkan, seperti pada F25.

    Rekaannya termasuklah gril kidney besar di hadapan yang tidak lagi disambungkan pada lampu utama, dan bampar hadapan yang lebih menyerlah. Lampu belakang lebih kecil turut disemak semula dan elemen Air Breather berada selepas roda hadapan.

    Apabila dilancarkan, adakah X3 ini mampu bersaing hebat dengan Mercedes-Benz GLC dan juga Volvo XC60, yang masing-masingnya berharga di bawah RM300k? Mana satu yang menjadi pilihan anda? Berminat? Daftarkan minat anda menerusi PAUTAN KHAS INI.

     
     
  • Jualan kenderaan bulan Mac 2018 meningkat 23.2%

    Jualan kenderaan bulan Mac 2018 meningkat 23.2%

    Sejak awal tahun ini, jualan kenderaan di Malaysia menunjukkan penurunan tetapi keadaan bertambah baik bagi bulan Mac 2018. Melalui data jualan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), 49,985 buah kenderaan berjaya dijual pada bulan lalu.

    Ini adalah peningkatan sebanyak 23.2%, iaitu 9,407 unit lebih banyak berbanding bulan Februari (40,578 buah). Menurut MAA lagi, ini adalah disebabkan bulan Mac mempunyai lebih banyak hari bekerja dan banyak syarikat bergegas untuk menyampaikan kenderaan kepada pelanggan, terutamanya yang akan menutup akaun kewangan tahunan pada 31 Mac.

    Walaubagaimanapun, apabila dibandingkan pula dengan bulan Mac tahun lepas, jumlah yang dicatat pada bulan Mac tahun ini adalah 7% lebih rendah, iaitu bersamaan 3,733 buah kenderaan. Bagi kenderaan penumpang, jumlah yang berjaya dijual pada bulan Mac 2018 adalah kurang berbanding bulan Mac 2017, tetapi bagi kenderaan komersial, ia meningkat.

    Melihat kepada jumlah keseluruhan kenderaan yang berjaya dijual tahun ini, ia sudah mencecah 135,140 unit (sehingga bulan Mac 2018), dan ini adalah 4% ataupun 5,700 unit kurang berbanding tempoh sama tahun lepas. Untuk bulan April 2018, MAA tidak menjangkakan perubahan besar berbanding bulan Mac kerana orang ramai dijangka mahu menunggu sehingga PRU14 selesai.

     
     
  • Volvo FL – trak elektrik sepenuhnya dari Sweden

    Volvo FL – trak elektrik sepenuhnya dari Sweden

    Seperti yang diketahui, Volvo kini dalam usaha mereka untuk menghasilkan kenderaan-kenderaan dengan teknologi elektrik. Setelah berjaya memperkenalkan barisan model-model dijana unit plug-in hybrid T8 Twin Engine, kini jenama automotif dari Sweden itu melancarkan pula model elektrik sepenuhnya, tetapi bukan SUV atau kereta, sebaliknya sebuah trak yang digelar Volvo FL.

    Lori elektrik ini disasarkan untuk penggunaan penghantaran pada kawasan bandar dan kerana ia tidak menghasilkan asap dan pencemaran udara, serta sangat senyap. Volvo FL ini dapat beroperasi dengan lebih bebas di kawasan perumahan serta berinfrastruktur.

    Menurut Volvo Truck, lori bebas-pencemaran ini juga mampu untuk beroperasi di kawasan tertutup dan zon mesra alam yang melarang penggunaan kenderaan konvensional biasa, manakala kebolehannya untuk beroperasi dengan kadar bunyi yang rendah membolehkan ia digunakan pada sebelah malam dengan lebih kerap, mengelakkan kesesakan jalan pada sebelah siang.

    Trak elektrik Volvo FL ini mempunyai berat kasar 16 tan, dan dijana oleh motor elektrik berkuasa 185 kW (248 hp)dan tork maksima 425 Nm. Motor berkenaan dipadankan bersama kotak gear dua-kelajuan dan kuasanya dipacu ke roda belakang. Kuasa dibekalkan menerusi bateri lithium-ion yang boleh diletakkan antara dua hingga enam unit, dengan kapasiti dari 100 hingga 300 kWj. Dengan sekali cas penuh, ia boleh bergerak sejauh 300 km.

    Untuk versi bateri penuh 300 kWj, kuasa dapat dipenuhkan dalam masa satu hingga dua jam menggunakan pengecas DC CCS atau pengecas cepat Combo2 sehingga 150 kWj. Sekiranya dicas menggunakan pengecas AC 22 kW, bekalan kuasa hanya penuh selepas 10 jam.

    Volvo FL ini dibina dengan kepakaran Volvo Group dalam menghasilkan pengangkutan elektrik, khususnya dari divisi Volvo Bus yang telah pun menghasilkan lebih dari 4,000 bas elektrik sejak tahun 2010. Trak berkenaan akan memulakan khidmatnya di bandar kelahiran Volvo, Gothenburg, Sweden menerusi syarikat kitar semula Renova dan syarikat perkhidmatan pengangkutan TGM. Jualannya pula akan dibuka pada tahun hadapan, dan ia hanya akan dipasarkan di Eropah.

     
     
  • Lexus ES 2019 ditunjuk sebelum penampilan di Beijing

    Lexus ES 2019 ditunjuk sebelum penampilan di Beijing

    Selepas mengeluarkan hanya satu gambar teaser menunjukkan bahagian gril, Lexus akhirnya mendedahkan bentuk penuh ES 2019 yang hanya akan membuat penampilan rasmi untuk tontonan ramai di Beijing Motor Show minggu depan. Boleh dilihat daripada gambar dan video terbaru ini, rupa ES 2019 semakin menyerupai model LS yang lebih besar.

    Varian yang ditunjukkan ini adlaah ES 350 Hybrid, di mana ia menggunakan lampu utama LED penuh, dengan unit triple projector khas jenama itu. Model ES permulaan hanya akan menggunakan unit lampu projector biasa. Lampu DRL LED pada model ini juga masih bersepadu sama seperti ES facelift XV60, tetapi nampak lebih moden.

    Jika sebelum ini model ES menggunakan gril berjalur melintang, model baru ini pula menggunakan gril berjalur tegak, dan dijadikan lebih besar serta menonjol ke hadapan. Di kelilingnya terdapat kemasan krom, dan digunakan untuk menjelaskan lagi garis yang kemudiannya bersambung ke bonet serta bampar.

    Pergi ke belakang, garis badannya nampak lebih mengalir, dan kini menggunakan lampu LED dengan tiga jalur nyalaan L, berbanding model sebelum ini cuma ada dua. Selain daripada itu, terdapat juga spoiler bersepadu yang besar di atas butnya.

    ES baru ini dikatakan menggunakan platform TNGA sama seperti Toyota Avalon, dan peningkatan yang sama boleh dijangka seperti praktikaliti, keselamatan, pengendalian dan prestasi. Untuk enjin pula, ia berkemungkinan besar menggunakan barisan enjin Dynamic Force baru seperti 3.5 liter V6 NA dan 2.5 liter NA.

     
     
  • BMW M2 Competition – makin garang dengan 410 hp

    BMW M2 Competition – makin garang dengan 410 hp

    Walaupun BMW M2 sudah boleh dikatakan agak bagus, masih ada peminat tegar jenama prestasi M ini yang tidak mahu menganggapnya sebagai sebuah model M sebenar. Ia dikatakan tidak mempunyai enjin unik M serta barangan khas M seperti cermin sisi serta tempat duduknya. Sekarang, BMW telah menjawab rungutan tersebut, dengan penghasilan BMW M2 Competition, yang lebih berprestasi lagi berbanding M2 dengan Competition Package.

    Sebagai permulaan, enjin N55 pada M2 telah diganti dengan enjin S55 daripada M3 dan M4, tetapi talaannya dikurangkan sedikit. Kapasiti enjin masih lagi sama iaitu 3.0 liter dan berkonfigurasi enam silinder, tetapi ia menggunakan dua pengecas turbo, dan bukannya satu unit twin-scroll. Enjin pada M2 Competition ini juga menerima teknologi High Precision Injection, angkatan injap boleh ubah Valvetronic serta pemasaan injap boleh ubah Double Vanos.

    Ciri baru lain adalah termasuk sistem minyak yang diambil daripada sukan permotoran, sistem penyejukan yang dinaik taraf daripada unit dalam pakej M4 Competition, sistem ekzos dua cabang dengan injap aktif yang boleh memberikan bunyi unik serta penapis habuk untuk menghasilkan emisi lebih baik.

    BMW M2 Competition – makin garang dengan 410 hp

    Dengan semua barangan ini, M2 Competition dapat menghasilkan 410 hp antara 5,250 hingga 7,000 rpm dan 550 Nm tork antara 2,350 hingga 5,200 rpm. Ini adalah 40 hp dan 85 Nm tork lebih berkuasa berbanding M2 biasa, dan kuasa disampaikan ke roda belakang melalui transmisi manual enam kelajuan dengan lapik geseran gentian karbon serta fungsi rev-matching yang boleh diaktifkan dengan menutup sistem kawalan kestabilan.

    Bagi yang mahukan lebih prestasi daripada pakej ini, mereka boleh mendapatkan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan M dengan Drivelogic, yang dapat menghasilkan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding M2 biasa. Pakej M Driver pula dapat meningkatkan pengehad kelajuan daripada 250 km/j kepada 280 km/j.

    Bagi memastikan kereta ini lebih tegap, ia dipasang dengan pendakap gentian karbon daripada M3 dan M4 di bawah bonetnya, seterusnya juga dapat meningkatkan pengendalian. Sistem Dynamic Stability Control turut ditala semula supaya dapat memberikan cengkaman lebih baik atas jalan basah, kawalan lebih memuaskan dan mengurangkan gangguan sewaktu melakukan drift.

    Penampilan yang sudah cukup garang pada M2 ditambah lagi bagi model ini, menggunakan gril kidney serta bukaan udara lebih besar di bahagian bawah bampar. Cat warna hitam berkilat digunakan pada gril, sirip tepi serta empat muncung ekzos, dan paling membahagiakan penggemarnya, cermin sisi khas seperti M3 dan M4. M2 Competition boleh didapati dalam warna Sunset Orange dan Hockenheim Silver, dan disertakan rim 19 inci.

    Di dalam pula terdapat plet hiasan bertulis M2 Competition di tepi pintu, bersama tempat duduk bucket M Sport yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Roda stereng juga mendapat butang seperti M1 dan M2 yang boleh digunakan untuk menyimpan tetapan pelarasan enjin, stereng serta kawalan stabiliti.

     
     
  • BMW dedah iDrive, kluster instrumen digital baharu

    BMW dedah iDrive, kluster instrumen digital baharu

    Dalam acara Digital Day, BMW telah mendedahkan perincian mengenai sistem iDrive akan datang, yang dijangka akan dilancarkan hujung tahun ini bersama SUV X5 G05 baharu. Sistem ini akan menggunakan Sistem Operasi (OS) baharu 7.0 yang menggantikan versi 6.0 yang digunakan sekarang pada barisan 5 Series, dan ia direka bagi memudahkan lagi keperluan pengguna secara individual.

    Sistem infotainmen pula terus menawarkan “widgets” yang dipaparkan pada Kawalan Paparan. Setiap laman skrin mampu memuatkan empat widget ini dan secara keseluruhannya terdapat 10 laman untuk diletakkan fungsi yang paling popular mengikut kehendak pengguna (contohnya navigasi, media dan sebagainya).

    Dengan tulisan dan imej yang menyerlah, sistem tersebut kini boleh menghantar informasi yang relevan pada waktu yang sesuai. Sebagai contoh, BMW berkata sistem infotainmen ini akan menunjukkan peta parkir apabila pemandu akan tiba di destinasi yang ditujui.

    Sistem yang dipertingkatkan ini juga disambungkan ke profil pengguna, di mana ia boleh disambungkan menerusi kunci anda, nombor PIN sebaik sahaja anda memasuki kenderaan, malahan juga sambungan terus ke telefon pintar atau Digital Key. Anda cuma perlu memasukkan profil anda ke dala sistem dan semua kegemaran anda akan dilaraskan menerusinya.

    Jika anda suka bercakap dengan kereta anda, kawalan suara juga masih ditampilkan pada sistem iDrive. Lain-lain fungsi termasuklah pengawal iDrive, kawalan sentuhan dan kawalan pergerakan – semua yang ada pada model semasa BMW.

    Di samping sistem iDrive, ia juga menampilkan kluster instrumen paparan digital 12.3-inci baharu untuk pemandu. Meter bulat tradisional BMW kini digantikan dengan bentuk yang lebih bersudut meniru gaya gril BMW.

    Bahagian kiri skrin tersebut menempatkan speedometer, sementara di kanan pula ditukarkan antara takometer atau paparan penggunaan bahan api, bergantung pada mod pemanduan. Jika menggunakan fungsi navigasi, peta akan dipaparkan di tengah skrin tersebut.

    Selain itu, setiap mod pemanduan juga didatangkan dengan paparan tersendiri dengan menampilkan tema warna spesifik dan informasi yang relevan. Sebagai contoh, merah terang dan g-meter adalah untuk mod Sport, manakala biru dan status penjimatan pula pada mod Eco.

    Sistem dengan gaya baharu ini pertama kali dipertontonkan pada model konsep 8 Series, Z4 serta X7, di mana SUV tersebut sedang dalam fasa pra-produksi.

     
     
  • Ford Ranger 2.2L Wildtrak dilancar di M’sia – RM128k

    Ford Ranger 2.2L Wildtrak dilancar di M’sia – RM128k

    Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan ketibaan Ranger 2.2L Wildtrak di Malaysia. Varian baru Ranger T6 facelift 4×4 High Rider ini menjadi Wildtrak kedua dalam barisan modelnya, menyertai WildTrak 3.2L yang sudah berada dalam pasaran sekian lama.

    WildTrak 2.2L ini tidak hanya menggunakan penampilan sebuah Wildtrak seperti FX4 2.2L yang diperkenalkan tahun lalu. Malah, ia mendapat kelengkapan dan barangan sama seperti Wildtrak 3.2L, termasuk ciri keselamatan aktif seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Alert, Lane Keeping Aid, Forward Collision Warning, Adapative Load Control serta pengesan jarak.

    Kelengkapan khas lain untuk varian ini adalah fabrik premium Wildtrak bersama gabungan penggunaan kulit, dan juga jahitan kontras berwarna oren. Bukan sahaja pada tempat duduk, jahitan oren ini turut digunakan pada roda stereng, tombol gear serta papan pemuka.

    Barangan lain yang diberi pada WildTrak 2.2L ini adalah pakej grafik Wildtrak dan kemasan luar warna kelabu metalik, yang digunakan termasuk pada gril, sambungan bampar, cermin sisi, bukaan udara di fender, pemegang pintu, rel belakang serta bahagian dalam lampu belakang. Rim 18 incinya juga menggunakan warna kelabu, dan dibalut tayar 265/50.

    Barangan lain yang diberi adalah pendingin hawa dua zon automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan arah, kotak konsol dengan pendingin, soket kuasa 230 V untuk mengecas barangan elektrik seperti komputer riba, kamera undur serta sistem infotainmen SYNC 3 dengan enam pembesar suara. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh lapan inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Sama seperti varian XLT, Wildtrak 2.2L ini mempunyai ABS, EBD, BA, ESC, Hill Descent Control dan Hill Launch Control, tetapi turut mendapat tambahan enam beg udara (depan, sisi dan bidai), berbanding hanya dua beg udara yang diberi pada varian 2.2L XLT.

    Ford Ranger 2.2L Wildtrak dilancar di M’sia – RM128k

    Wildtrak baru ini dikuasakan oleh enjin 2.2 liter Duratorq TDCi turbo diesel sama seperti varian XLT, dengan jumlah kuasa 158 hp pada 3,200 rpm dan 385 Nm tork pada 1,600 hingga 2,600 rpm. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan 6R80.

    Ranger Wildtrak 2.2L ditawarkan dalam tiga warna iaitu Pride Orange, Cool White dan Shadow Black seperti yang dapat dilihat dalam gambar ini. Harga untuknya adalah RM127,888 (Semenanjung Malaysia) termasuk GST, tanpa insurans dan datang bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 km serta servis percuma dua tahun atau 40,000 km.

    Saksikan spesifikasi penuh Ford Ranger Wildtrak 2.2L ini di CarBase.my.

     
     
  • Ken Block dedah jentera untuk bersaing dalam rali di Amerika tahun ini – Ford Escort RS Cosworth Gr.A!

    Ken Block dedah jentera untuk bersaing dalam rali di Amerika tahun ini – Ford Escort RS Cosworth Gr.A!

    Hujung tahun lalu, Ken Block telah mendedahkan beliau telah membeli sebuah lagi model lagenda Ford iaitu Escort RS Cosworth dengan spesifikasi WRC Group A, namun tidak memperincikan halatuju jentera berkenaan – sama ada sebagai bintang dalam siri video Gymkhana atau akan digunakan untuk berlumba. Kini, pemandu rali sensasi Youtube tersebut mengumumkan bahawa Escort RS Cosworth itu bakal digunakan untuk kejohanan rali tempatan di Amerika tahun ini.

    Untuk itu, Ken Block telah mendedahkan livery perlumbaan baharu untuk jentera rali berkenaan. Berbeza dengan kereta-kereta lumba Block sebelum ini, Escort RS ini tidak menampilkan tema dari penaja utamanya iaitu Monster Energy Drink. Sebaliknya ia diberikan logo utama ‘H’ iaitu Hoonigan – jenama dari Ken Block sendiri.

    Block akan dibantu oleh juruarahnya Alex Gelsomino untuk siri perlumbaan rali kelolaan American Rally Association tahun ini dalam kategori tertinggi kelas Open 4WD. Kereta tersebut masih lagi dijana enjin asal Cosworth 2.0 liter turbo Group A WRC dan ditala bagi menghasilkan sekitar 350 hp, digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda dengan set-set LSD aktif.

    Ken Block dedah jentera untuk bersaing dalam rali di Amerika tahun ini – Ford Escort RS Cosworth Gr.A!

    Ken Block juga telah melakukan berberapa ujian di padang pasir sekitar Arizona bagi menguji dan membuat pelbagai talaan terhadap kereta berkenaan. Manakala rekaan keselamatan seperti pemadanan tempat duduk baharu dan melakukan konfigurasi semula terhadap roll cage turut dibuat bagi memastikan kereta ini berada pada tahap yang sama dengan kereta rali moden.

    Ketika ditanya mengapa beliau sanggup bersusah payah untuk berlumba dengan kereta rali yang berusia lebih dari 20 tahun ini dan menerima saingan dari kereta-kereta rali terbaharu, Block menjelaskan bahawa ini adalah impian kanak-kanaknya. Menurut Block, beliau sememangnya peminat fanatik sukan rali sejak dari kecil, dan Escort RS Cosworth ini merupakan bintang pada era berkenaan.

    Jadi setelah beliau sendiri kini bergelar pemandu rali dan sudahpun berlumba dengan kereta-kereta rali moden seperti Fiesta dan Focus, sekarang tiba masanya untuknya mencuba kereta yang menjadi pujaannya ketika waktu kanak-kanak dahulu. Untuk siri rali di Amerika tahun ini, Block tidak mensasarkan sebarang kemenangan, sebaliknya hanya untuk berseronok dengan pengalaman yang akan diperolehi menerusi Ford Escort RS Cosworth tersebut.

    Selain dari berlumba di rali tempatan di sekitar Amerika, Ken Block turut bakal kembali ke Kejuaraan Rali Dunia (WRC) tahun ini dengan memandu Ford Fiesta M-Sport WRC. Beliau juga bakal berlumba pada berberapa perlumbaan rallycross terpilih dengan Ford Focus RS RX.


     
     
  • Hyundai Santa Fe, Sonata baharu dirancang ke M’sia – model gen-semasa termasuk Veloster dihentikan

    Hyundai Santa Fe, Sonata baharu dirancang ke M’sia – model gen-semasa termasuk Veloster dihentikan

    Generasi semasa bagi Hyundai Sonata, Santa Fe dan Veloster yang dijual di Malaysia akan dihentikan, seperti yang disahkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM).

    Ketiga-tiga model yang sedang dijual di pasaran kita telah pun digantikan di peringkat global dan buat masa ini HSDM dalam perancangan untuk mengantikannya dengan model generasi akan datang. Kami mengajukan persoalan ini kepada HSDM ekoran pertanyaan daripada para pembaca mengenai status Sonata generasi ketujuh (LF) dan Santa Fe generasi ketiga (DM). Veloster juga ditamatkan penghantarannya dari Korea, selepas dilancarkan di sini pada 2012, dengan Veloster Turbo mula dijual pada 2015.

    Sonata semasa yang dijual di tempat lain adalah versi LF yang diperbaharui pada Mac 2017. Ia menampilkan bahagian depan dan hujung belakang yang banyak disemak semula tetapi papan pemukanya tiada perubahan daripada pertama kali dilihat pada 2014. Tahun lalu menyaksikan perubahan besar pada model Toyota Camry dan Honda Accord, yang akan memasuki pasaran ASEAN dalam masa terdekat. Oleh itu, Sonata facelift telah setahun kebelakang, jadi kemungkinan pasaran kita akan melangkau terus kepada generasi akan datang agar ia lebih sesuai dengan persaingan.

    Hyundai Santa Fe generasi keempat telah diperkenalkan di peringkat global dua bulan lalu, hadir dengan imej yang lebih menyerlah yang banyak meminjam rekaan daripada Kona. Kabin baharu juga ditampilkan selain turut mendatangkan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu bagi SUV besar tujuh-tempat duduk ini.

    Bagi Veloster pula, coupe tiga-pintu ini diperkenalkan bagi model generasi keduanya pada Januari tahun ini, hadir dengan penampilan yang lebih sporty, ditambah dengan pilihan varian prestasi-tinggi N. Ia tidak pernah mencatat jualan tinggi di Malaysia, jadi kehadiran Veloster baharu di sini agak tipis.

    Walau bagaimana pun, HSDM enggan menjawab bilakan masa yang sebenar untuk semua model ini sampai ke Malaysia, sebaliknya berkata ia masih dalam peringkat perancangan. Bagi model baharu termasuk Ioniq Hybrid dan Elantra Sport, kami menjangkakan buat masa ini ia masih dikekalkan dalam pasaran kita.

    GALERI: Hyundai Santa Fe 2019

     
     
  • Honda EV konsep, sedan serba baharu bakal diperkenalkan di Beijing Motor Show 2018

    Honda EV konsep, sedan serba baharu bakal diperkenalkan di Beijing Motor Show 2018

    Honda telah mengumumkan bakal memperkenalkan dua model baharu di Beijing Motor Show 2018 pada hujung April ini, termasuk model konsep kenderaan elektrik (EV) dan juga sedan serba baharu.

    EV konsep yang dipertontonkan adalah model yang bakal dijual di China sebelum hujung tahun ini, dibangunkan oleh GAC Honda. Syarikat ini adalah hasil kerjasama antara Guangzhou Auto (GAC) dan Honda, yang pada mulanya dikenali sebagai Guangzhou Honda sebelum dinamakan semula menjadi GAC Honda pada 2008.

    Tidak diketahui apakah bentuk model EV berkenaan, walau pun terdapat desas-desus menyatakan kenderaan versi hanya elektrik ini adalah HR-V atau lebih dikenali sebagai Vezel di sana.

    Bagi sedan pula, Dongfeng Honda, satu lagi kerjasama antara Dongfeng Motor Group dan Honda, akan memproduksikan model ini. Ini mungkin Spirior yang baharu, yang terdahulu merupakan versi kejuruteraan berlencanakan Honda Accord yang diperbuat oleh Dongfeng Honda hanya untuk pasaran China sahaja.

    Selain dua model pelancaran tersebut, Accord Hybrid dan Acura CDX Hybrid terkini juga akan ditampilkan dalam acara automotif terbesar China itu, dengan yang terakhir tersebut menjadi versi elektrik berdasarkan HR-V.

     
     
  • Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

    Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

    Sejak generasi pertama Toyota Corolla, jenama yang sering dikaitkan dengan ‘kereta keluarga’ berkenaan sememangnya telah mempunyai varian lebih sportynya sendiri bermula dengan Sprinter KE15 pada tahun 1968, dan yang terakhir pasangan kembar Levin/Sprinter Trueno AE111 pada tahun 2000.

    Selepas daripada itu, imej ‘orang muda’ dari Corolla jauh tertinggal dari Civic kerana lawannya dari Honda itu terus diperkenalkan dengan versi Type R sehingga kini, manakala Corolla hanya dibangunkan sebagai kereta keluarga semata-mata bermula dari generasi kesembilan (E120).

    Namun menerusi laporan terbaharu dari portal Motoring ini mungkin akan menggembirakan peminat fanatik Corolla, kerana naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley menyatakan kemungkinan besar Corolla Hatchback/Auris generasi baharu bakal menjadi asas kepada projek hot-hatch Toyota Gazoo Racing.

    Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

    Perkara tersebut terdedah apabila portal berkenaan bertanya kepada Hanley adakah Corolla berprestasi tinggi akan menjadi produk yang berjaya di Australia? Jawab orang besar Toyota berkenaan “Semestinya saya akan lakukan.”

    Corolla berkuasa tinggi berkenaan dijangka bakal membuat kemunculannya pada tahun 2020. “Saya mahu lihatnya secepat yang mungkin,” kata Hanley, “tetapi dalam masa tiga tahun ini saya tidak menolak sebarang kemungkinan sesuatu yang akan hadir di bawah jenama Gazoo Racing (GR). Kami teruja terhadap GR dan kemungkinan yang akan dibawa dalam aspek penawaran produk pada masa akan datang,” tambahnya.

    Hanley menegaskan bahawa persoalan lebih tertumpu pada ‘bila’, dan bukannya ‘jika’ Gazoo Racing atau jenama di bawah GR akan mendarat di Australia. Beliau juga menyatakan bahawa pasaran hot-hatch di Australia sangat kompetitif. Namun, beliau turut berkata “kami lihat pada masa akan datang – tidak mustahil bahawa kami akan menerima Corolla yang sangat baik atau kereta jenis lain, dan jika peluang tersebut muncul menerusi pembangunan Gazoo Racing kami akan menghulurkan tangan kami.”

    Toyota dijangka bangunkan semula Corolla berprestasi tinggi di bawah jenama Gazoo Racing

    “Kami dalam peringkat awal untuk melancarkan jenama Gazoo Racing ke Australia dan kami telah mula melakukannya menerusi kerjasama dengan Harry Bates dan ARC [Kejuaraan Rali Australia]. Kami akan meneruskan pelancaran menerusi jenama pada WRC [Kejuaraan Rali Dunia] kemudian pada tahun ini,” tambah Hanley.

    Buat masa ini, Gazoo Racing telah menghasilkan hot-hatch Yaris GRMN (Gazoo Racing Master of Nürburgring) yang dilihat meneruskan legasi Toyota Starlet Turbo satu ketika dahulu. Model tersebut dijual di pasaran Jepun dan Eropah, dijana enjin petrol 1.8 liter supercharged berkuasa 210 PS dan hanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Walau bagaimanapun, Yaris GRMN tidak dirancang untuk dibawa ke Australia.

    Menurut Motoring lagi, Toyota Corolla GR berkenaan dijangka dibina disasarkan untuk pasaran Australia, kerana Corolla bersaing dalam segmen yang lebih bervolum tinggi dan mempunyai peluang jualan yang lebih luas.

    Toyota Corolla hatchback generasi baharu berkenaan dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai ketegaran torsi 60% lebih baik. Ia juga mempunyai pusat graviti lebih rendah yang semestinya memudahkan Gazoo Racing membuat pengubahsuaian tertumpu pada aspek prestasi tinggi.

    Dalam versi standard, Corolla generasi ke-12 versi hatchback tersebut hanya ditawarkan dengan enjin petrol NA empat silinder M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force. Enjin berkenaan ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik Direct-Shift CVT yang lebih responsif dari sebelum ini atau manual enam-kelajuan yang lengkap dengan fungsi rev-match.

    Jika benar Corolla ini dihasilkan kelak, tak dapat beli pun kita bakal terhibur dengan pertarungan klasik sambungan dari Levin/Trueno BZ-R AE111 Vs. Civic EK9 Type R, dan melihat bagaimana Toyota terjun ke kancah persaingan hot-hatch global yang kini disertai oleh Honda Civic Type R FK8, Volkswagen Golf GTI, Hyundai i30 N dan juga Renault Megane RS.

    GALERI: Toyota Corolla Hatchback generasi baharu pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Honda Vario 150 dan 125 serba baru tiba di Indonesia

    Honda Vario 150 dan 125 serba baru tiba di Indonesia

    PT Astra Honda Motor (AHM) telah melancarkan model skuter baru Vario 150 untuk pasaran Indonesia, di mana ia melibatkan banyak pembaharuan berbanding model yang dipasarkan sebelum ini. Harga untuk Vario 150 ini adalah bermula Rp 22.5 juta (RM6,351).

    Selain panel badan baru lebih agresif serta lampu jenis LED, Vario 150 turut diperlengkap dengan teknologi moden termasuk meter digital penuh, sistem kunci pintar siap dengan penggera dan fungsi menjawab kembali dan ciri start/stop enjin apabila berhenti.

    Model ini dikuasakan oleh enjin satu silinder 150 cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair, dan dipadankan bersama automatik V-Matic. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 13.1 PS pada 8,500 rpm dan 13.4 Nm tork pada 5,000 rpm. Digabungkan bersama teknologi eSP dan starter ACG, penghidupan enjin dapat dilakukan lebih senyap, dan penjimatan bahan api dapat ditingkatkan, sehingga 46.9 km/l.

    Bagi membantu kecekapan brek, unit cakera di hadapan dan dram di belakang skuter ini dilengkapi dengan Combi Brake System (CBS). Rim menggunakan saiz 14 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 100/80 di belakang. Di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan 18 liter, manakala tangki bahan api pula adalah 5.5 liter.

    Turut dilancarkan dalam majlis sama adalah Vario 125, yang juga mempunyai starter ACG, sistem start/stop, Combi Brake dan teknologi eSP, tetapi digerakkan oleh enjin 125 cc berkuasa 11.1 PS pada 8,500 rpm dan 10.8 Nm tork pada 5,000 rpm.

     
     
  • Ford dakwa Mustang sebagai kereta sport coupe terlaris di dunia 2017, pembeli wanita turut meningkat

    Ford dakwa Mustang sebagai kereta sport coupe terlaris di dunia 2017, pembeli wanita turut meningkat

    Jenama automotif dari Amerika, Ford mendakwa bahawa muscle car mereka yang kini telah dijual secara global iaitu Mustang kekal sebagai kereta sport coupe paling laris di dunia untuk tahun 2017. Ini merupakan tahun ketiga berturut Mustang dikatakan memegang gelaran tersebut bermula dari 2015.

    Analisis yang dilakukan oleh Ford ini diambil dari data pendaftaran kereta baharu dari IHS Markit, dan ia menunjukkan bahawa pendaftaran untuk Mustang dari seluruh dunia pada tahun 2017 sahaja ialah sejumlah 125,809 unit. Data berkenaan juga telah dikompilasikan dari kerajaan serta sumber lain, dan ia merangkumi 95% jumlah keseluruhan kenderaan baharu di seluruh dunia menerusi lebih dari 80 buah negara.

    Menurut Ford lagi, dari hampir 126,000 Mustang yang didaftarkan di seluruh dunia tersebut, 81,866 unit daripadanya dijual di Amerika Syarikat dan satu pertiga selebihnya dijual untuk pasaran eksport. Permintaan paling tinggi dicatatkan di China, di mana Mustang turut dinobatkan sebagai sport coupe paling laris di negara berkenaan dengan pendaftaran sebanyak 7,125 unit.

    Ford dakwa Mustang sebagai kereta sport coupe terlaris di dunia 2017, pembeli wanita turut meningkat

    Walaupun Mustang ditawarkan dengan model 2.3 liter empat-silinder sebaris EcoBoost berkuasa 317 PS/432 Nm , model tertinggi dengan enjin V8 5.0 liter berkuasa 416 PS/530 Nm masih lagi mendapat permintaan paling tinggi.

    Satu lagi fakta menarik dari data berkenaan, Mustang kini menarik lebih perhatian pembeli wanita, di mana jumlah model berkenaan yang dibeli oleh kaum hawa meningkat 10% dalam lima tahun kebelakangan ini.

    “Dunia kini jatuh cinta dengan Mustang,” kata penganalisa Ford, Erich Merkle dan menambah “Mustang mewakili rekaan terbaik, prestasi dan kebebasan dari Amerika, dengan personaliti yang tiada cacat cela ditampilkan – tidak kira di mana poskod anda.”

    Sejak dieksport dan diiktiraf sebagai model global pada 2015 sehingga 2017, Ford telah menghasilkan 418,000 buah Mustang yang kini berkeliaran di seluruh dunia.

    GALERI: Ford Mustang di seluruh dunia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024