Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • BMW X2 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 21 Mac ini – tempahan sudah mula dibuka

    BMW X2 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 21 Mac ini –  tempahan sudah mula dibuka

    BMW Malaysia telah mengumumkan bakal melancarkan model X2, iaitu kenderaan Premium Compact Sports Activity Coupe yang pertama dilancarkan oleh pengeluar kenderaan berprestij ini, pada 21 Mac ini untuk pasaran tempatan. Difahamkan, kita bakal menerima X2 bagi model sDrive20i, dengan kulit Dakota berwarna Magma Red baharu.

    Menurut Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata, “Kami berharap untuk terus memperkembangkan rangkaian BMW X melalui BMW X2 yang lebih ekstrovert. Kenderaan Premium Sports Activity Coupe kami yang terbaharu ini lebih menonjol dan akan mewujudkan impresi yang tersendiri di seluruh negara. BMW X2 adalah untuk golongan yang berani dan berbeza, iaitu individu-individu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran.”

    Selepas diperkenalkan di peringkat global pada hujung Oktober lalu, ini merupakan model pertama X2 yang berdasarkan versi sporty bagi F48 X1, yang bakal menyertai barisan SUV coupe seperti X4 dan X6. Namun tidak seperti dua model tersebut yang lebih besar berbanding model SUV biasa X3 dan X5, bagi X2 ini juga kelihatan berkongsi sedikit gaya daripada X1. Malah BMW turut menggambarkannya sebagai model kendiri baharu.

    BMW X2 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 21 Mac ini –  tempahan sudah mula dibuka

    Dua elemen signifikan bakal ditampilkan iaitu gril ‘kidney’ BMW trapezoid yang dipertingkatkan dan juga kekemasan M Sport X baharu. Di mana grilnya telah diposisikan sedikit ke atas, dan lebih lebar dari atas ke bawah, sementara pakej unik gabungan dengan elemen rekaan daripada barisan BMW M dan X.

    Bentuk X2 juga pastinya menjadi tarikan, biar pun bahagian belakangnya tidaklah landai seperti X4 dan X6, namun ia memiliki “garisan bumbung dengan gaya-coupe serta grafik tingkap yang menarik”. Malah ia juga nampak pendek dan tujuh sentimeter lebih rendah berbanding X1.

    Di dalamnya, X2 juga berkongsi binaan kejuruteraan seperti papan pemuka X1. Namun ia memang cukup bergaya, dengan penampilkan konsol tengah dan beberapa penampilan premium termasuk jahitan kontras dan material yang digunakan (Sensatec, gentian-mikro dan Alcantara). Bahagian but masih kekal seluas 470 liter.

    Dibina dengan platform BMW UKL pacuan roda-hadapan, ia turut memiliki jarak roda yang sama seperti X1 (2,670 mm). Tiga pilihan enjin bakal ditawarkan iaitu sDrive20i, xDrive20d dan xDrive25d – dengan lebih varian yang bakal ditambah pada tahun hadapan termasuk sDrive18i tiga-silinder.

    Bagi X2 sDrive20i, yang bakal diterima pasaran Malaysia kelak, dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm, yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat, dengan penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan 5.9 liter setiap 100 km.

    Selain itu, varian diesel pula bakal menerima pacuan semua-roda secara standard, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Kedua-dua varian xDrive20d dan xDrive25d turut berkongsi unit 2.0 liter turbodiesel, yang ditala bagi masing-masing mendapatkan 190 hp/400 Nm (0-100 km/j dalam 7.7 saat, 4.6 l/100 km) dan 231 hp/450 Nm (6.7 saat, 5.1 l/100 km).

    BMW Malaysia turut memaklumkan, BMW X2 yang pertama boleh ditempah melalui app.bmw.com.my/x2 bermula hari ini, 16 Mac hingga 20 Mac 2018 dengan yuran tempahan sebanyak RM 3,000. Pemohon yang berjaya menempah kenderaan tersebut juga akan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah ekslusif daripada BMW Malaysia seperti kunjungan ke BMW Alpine xDrive Driving Experience di New Zealand, slot di BMW M Track Day di Litar Antarabangsa Sepang, dan slot Advanced Module Course oleh BMW Driving Experience juga di Litar Antarabangsa Sepang.

    GALERI: F39 BMW X2 xDrive20d M Sport X

    GALERI: F39 BMW X2 sDrive20i M Sport

     
     
  • Ford Mustang Shelby GT500 – muka pula ditunjukkan

    Ford Mustang Shelby GT500 – muka pula ditunjukkan

    Selepas menyiarkan sebuah video teaser Januari lalu, kini Ford mendedahkan pula muka hadapan untuk Mustang Shelby GT500, iaitu sebuah Mustang lebih berkuasa dengan lencana penala lagenda, Caroll Shelby. Walaupun mempunyai kuasa dan prestasi tinggi, kereta ini masih boleh digunakan atas jalan biasa.

    Daripada gambar ini, bahagian paling jelas yang menjadikan kereta ini cukup garang adalah bukaan udara yang besar dan di tengahnya terdapat lambang ular tedung yang sudah menjadi tanda unik sebuah model Shelby Cobra. Bahagian tepi bamparnya pula lebih berpetak, dengan jalur tegak manakala lampunya masih lagi mempunyai lampu nyalaan siang tiga garis.

    Tiada informasi tambahan yang dikeluarkan bersama gambar ini, tetapi melalui video sebelum ini, diberitahu bahawa Mustang Shelby GT500 terbaru ini nanti akan mempunyai kuasa lebih 700 hp. Khabar angin yang tersebar pula menyatakan kuasa ini datang daripada enjin asal Coyote V8 5.0 liter yang dipasang dengan supercharger.

    Model ini juga mempunyai kit badan yang lebih agresif termasuk splitter pada bampar hadapan, diffuser lebih besar pada bampar belakang dan juga sayap GT pada but belakang. Kelengkapan prestasi lain yang akan diberi adalah penutup hud enjin, ‘sayap’ pada skirt sisi, rim aloi berwarna hitam dan juga kit brek yang lebih besar.

     
     
  • Rossi dan Yamaha sambung kontrak dua tahun lagi

    Rossi dan Yamaha sambung kontrak dua tahun lagi

    Dengan musim perlumbaan 2018 bakal bermula hujung minggu ini, Yamaha Motor Co., Ltd. telah mengumumkan bahawa khidmat Valentino Rossi akan terus digunakan untuk dua tahun lagi dalam saingan MotoGP. Bermakna untuk dua tahun lagi, peminat siri perlumbaan ini akan dapat menyaksikan lagenda berusia 39 tahun tersebut terus beraksi menggunakan jentera YZR-M1.

    Kontrak yang ditandatangani antara Rossi dan Yamaha ini juga menunjukkan pelumba tersebut akan berlumba sehingga umur beliau 40 tahun dan musim 2018 ini adalah musim yang ke-13 beliau bersama Yamaha. Dalam tempoh itu, pelbagai kejayaan telah dicatat dan Rossi setakat ini dinamakan sebagai pelumba Yamaha paling berjaya dengan 56 kemenangan tempat pertama.

    “Dalam tempoh dua tahun yang lepas, saya telah membuat keputusan bahawa saya ingin terus sambung kerana berlumba, dan menjadi pelumba MotoGP terutamanya menggunakan jentera M1 adalah sesuatu yang membuatkan saya rasa bagus,” kata Rossi.

    Pengarah pasukan Movistar Yamaha pula menyatakan, “walaupun beliau sudah berumur 39 tahun dan berada dalam sukan ini agak lama, Vale masih lagi dilihat komited sama macam dulu. Tiada keraguan beliau masih lagi seorang pelumba yang baik, seperti yang dapat disaksikan semasa sesi ujian pra musim. Sekarang, tugas kami sebagai sebuah pasukan perlulah memberikan beliau YZR-M1 yang terbaik untuk memenangi perlumbaan.”

     
     
  • PANDU UJI: Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

    PANDU UJI:  Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

    Honda Vezel (atau dikenali sebagai HR-V di Malaysia) juga menjadi antara crossover terkenal di negara asalnya, Jepun. Pada Februari lalu, Honda telah pun memperkenalkan Vezel 2018 di sana. Barisan model baharu ini dilengkapi dengan Honda Sensing bagi semua varian. Ia juga masih mengekalkan dua pilihan enjin 1.5 iaitu petrol dan Sports Hybrid i-DCD (yang berkongsi dengan Jazz dan City).

    Beberapa bulan lepas (harap ulasan ni belum terlewat untuk dikongsikan), kami telah diterbangkan ke Negara Matahari Terbit itu oleh Honda Malaysia dan berpeluang memandu uji beberapa model Honda di sana. Malahan, ini adalah kali pertama Honda Jepun mengaturkan sesi khusus bagi media dari negara luar untuk memandu uji di negara berkenaan, sekaligus merupakan satu penghormatan bagi Honda Malaysia.

    Saya bersama rakan setugas, Anthony Lim telah memilih untuk menguji Vezel Hybrid RS dan memandunya secara bergilir-gilir dengan jarak pemanduan pergi-balik menghampiri 1,000 km. Bagaimana pun, kami bukan memandu Vezel versi terbaharu, sebaliknya model terdahulu bagi Vezel Hybrid RS.

    Pasaran Jepun memang cukup untung kerana menerima pelbagai pilihan dan variasi kenderaan yang menarik. Umum sedia maklum Jepun antara pengeluar kenderaan terbesar di dunia, jadi pastinya pasaran domestik di sana sememangnya cukup meluas. Itu jawapan yang kerap saya berikan bila mana menerima pertanyaan mengapa ada model itu, ini yang tak sampai di negara kita.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Mean Mower Mk.2 – dibina dengan sasaran rampas semula gelaran mesin rumput terlaju di dunia

    Honda Mean Mower Mk.2 – dibina dengan sasaran rampas semula gelaran mesin rumput terlaju di dunia

    Empat tahun lalu, Honda bersama Top Gear telah membina Mean Mower, iaitu mesin rumput yang disahkan sebagai mesin rumput paling laju di dunia setelah mencatatkan kelajuan 116.57 bs/j atau 187.6 km/j. Namun rekod tersebut tidak bertahan lama apabila sebuah syarikat dari Norway menyumbat enjin LS V8 dari GM ke mesin rumput Stihl T6 dan mencatatkan rekod 215.7 km/j.

    Nampaknya falsafah “Challenging Spirit” Honda bukan hanya ungkapan. Walaupun sekadar mesin rumput, Honda bertekad untuk merampas semula rekod tersebut dan mendedahkan Mean Mower Mk.2. Menurut Top Gear, mesin rumput terbaharu ini dijana enjin 1,000 cc dari Honda Fireblade dan dirombak semula bagi menghasilkan kuasa 190 hp, serta digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan.

    Transmisi tersebut turut menerima sentuhan semula dengan gear satu yang jauh lebih panjang, bagi membolehkannya mencatatkan masa pecutan 0-60 bs/j (0-96 km/j) dalam masa tidak sampai 3 saat!

    Namun perubahan yang benar-benar membantu memperbaiki prestasi mesin rumput terkini ini adalah kedudukan tempat duduknya. Menerusi Mean Mower Mk.2, tempat duduk perlumbaan gaya go-kart dipadankan dan terletak sangat rendah pada casis bagi membolehkan geseran aerodinamik yang disebabkan oleh pemandu dapat dikurangkan.

    Tambahan pula, untuk memecahkan rekod kali ini, Mean Mower Mk.2 bakal dipandu oleh pemandu go-kart handalan dan pemenang tempat kedua Mini Challenge Great Britain 2017, Jess Hawkins.

    Selain itu, mesin rumput berprestasi tinggi ini turut dipadankan dengan tayar perlumbaan dari Hoosier, pedal-box gaya-perlumbaan, roda stereng Sparco dan juga sistem brek dengan cakera berliang bersaiz besar – ia masih lagi mampu untuk memotong rumput walaupun diubahsuai berorientasikan kelajuan.

    Menyentuh kemampuannya untuk memotong rumput, menurut Honda, Mean Mower Mk.2 ini boleh digunakan untuk tujuan berkenaan tanpa had kelajuan seperti pada Mean Mower asal – bermaksud anda boleh memotong rumput walaupun pada kelajaun 100 bs/j. Bilah pemotong rumput berkenaan pula diperbuat dari material gentian-karbon, dan digerakkan dengan sebuah motor elektrik kecil.

     
     
  • Vespa GTS Super 300 dilancar di M’sia – RM27,072

    Vespa GTS Super 300 dilancar di M’sia – RM27,072

    Naza Premira Sdn Bhd hari ini telah melancarkan Vespa GTS Super 300 untuk pasaran Malaysia, pada harga RM27,072 (termasuk GST, tanpa insurans). Ini adalah sebuah model yang dikuasakan oleh enjin Quasar satu silinder 278.3 cc empat strok yang mampu menghasilkan 21.2 hp pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm. Transmisi pula adalah unit CVT.

    Dengan itu, bermakna ia bukanlah sebuah model yang dikuasakan oleh enjin i-Get seperti yang kami pernah uji di Vietnam Julai tahun lalu. Model yang disebutkan itu mempunyai ciri start/stop, tapi model yang dilancarkan untuk Malaysia ini tiada. Walaubagaimanapun, ia masih adalah enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api.

    Pada bahagian depan GTS Super 300 ini terdapat sistem suspensi lengan tunggal dengan penyerap hidraulik dan gegelung spring, manakala brek pula adalah unit cakera 220 mm. Pada bahagian belakang, terdapat dua penyerap hentak hidraulik yang boleh dilaras pra bebannya, bersama sistem brek cakera. Rim yang digunakan adalah bersaiz 12 inci.

    Pada aspek keselamatan, motosikal ini didatangkan bersama sistem brek ABS two-channel, serta sistem anti gelinciran ASR. Kuncinya pula mempunyai immobilizer yang juga boleh digunakan untuk menghidupkan penggera (untuk mencari motosikal contohnya di kawasan letak kenderaan).

    Bagi memberikan lebih kemudahan kepada pengguna, GTS Super 300 didatangkan dengan pengecas USB di bahagian ruang simpanan hadapan, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk, panel instrumen LCD, lampu belakang rekaan baru, serta lampu siang LED. Tangki bahan api motosikal ini mempunyai kapasiti 8.5 liter.

     
     
  • Plaza tol Plus tidak keluarkan resit mulai 19 Mac – penyata transaksi di portal PLUSMiles, Touch ‘n Go

    Plaza tol Plus tidak keluarkan resit mulai 19 Mac – penyata transaksi di portal PLUSMiles, Touch ‘n Go

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan, mulai 19 Mac ini, tiada lagi resit tol bagi transaksi tol akan dicetak dan dikeluarkan di semua plaza tol di semua lebuh raya kendaliannya. Langkah ini merupakan salah satu daripada pendekatan PLUS untuk mengelakkan kesesakan apabila kenderaan keluar dari lebuh raya.

    Walau bagaimana pun, pengguna boleh mendapatkan resit transaksi tol secara atas talian menerusi portal PLUSMiles ataupun portal Touch ‘n Go.

    “Matlamat pelaksanaan transaksi tol secara elektronik sepenuhnya yang lebih pantas dan mudah sukar dicapai sekiranya masih terdapat sesetengah pengguna lebuh raya yang masih mahu mencetak resit tol bagi perjalanan mereka,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

    Menurut Zakaria, lazimnya, pengguna akan beratur di lorong paling kiri (Lorong Pelbagai Kelas) untuk mendapatkan resit tol.

    “Tindakan ini akan menyebabkan kesesakan di lorong terbabit dan ia selalunya akan mengganggu perjalanan pengguna di lorong-lorong yang berhampiran,” jelas beliau.

    Plaza tol Plus tidak keluarkan resit mulai 19 Mac – penyata transaksi di portal PLUSMiles, Touch ‘n Go

    Justeru, Zakaria menyarankan supaya pengguna kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go mendaftarkan kad mereka di portal-portal PLUSMiles atau Touch ‘n Go iaitu www.plusmiles.com.my dan www.touchngo.com.my bagi membolehkan mereka mencetak penyata transaksi elektronik mereka untuk urusan tuntutan perjalanan ketika bertugas.

    Setelah mendaftar, pengguna boleh mengakses rekod penggunaan kad elektronik mereka seperti butiran transaksi (termasuk transaksi untuk bayaran lain seperti perkhidmatan awam, parkir dan lain-lain), penyata transaksi, baki kad, tarikh luput kad dan lain-lain lagi.

    Selain itu, rekod pembayaran dan tambah nilai tiga bulan terdahulu juga boleh diakses di portal PLUSMiles dan Touch n’ Go pada bila-bila masa. Pengguna hanya perlu mengisi tarikh di ruangan carian bagi memudahkan pencarian penyata transaksi bayaran tersebut. Pengguna juga boleh menyemak semula pergerakan perjalanan mereka di lebuh raya di portal tersebut.

    Dalam pada itu, operator kenderaan berat atau kenderaan komersil boleh mendapatkan penyata transaksi kenderaan mereka dengan lebih mudah apabila mendaftar menerusi Program PLUSTrack.

    Program PLUSTrack adalah program kesetiaan keahlian khusus untuk kenderaan berat dan komersil yang ditawarkan oleh PLUS. Menerusi program ini, operator kenderaan berat dan komersil boleh mendapatkan penyata transaksi serta menyemak pergerakan perjalanan kenderaan mereka di lebuh raya secara online menerusi www.touchngo.com.my.

     
     
  • Mazda CX-8 SUV 7-tempat duduk bakal diperkenal di Malaysia pada Q2 2018, Mazda 6 baharu pada Q3 ini

    Mazda CX-8 SUV 7-tempat duduk bakal diperkenal di Malaysia pada Q2 2018, Mazda 6 baharu pada Q3 ini

    Menurut laporan yang diterbitkan oleh RHB Investment Bank, Bermaz Auto merancang untuk memperkenalkan model SUV baharu CX-8 serta Mazda 6 terkini yang dipertingkatkan. Ketika majlis memulakan pemasangan bagi CX-5 baharu di Malaysia pada tahun lalu, kami dimaklumkan SUV tujuh-tempat duduk ini mungkin akan dijual di luar pasaran Jepun, dan Datuk Seri Ben Yeoh, CEO Bermaz, menyuarakan minatnya terhadap model berkenaan untuk diperkenalkan di sini.

    CX-8 merupakan SUV tujuh-tempat duduk yang ketika ini dijual oleh Mazda hanya untuk pasaran Jepun sahaja, kerana model CX-9 tidak ditawarkan di sana. Ia berukuran 4,900 mm panjang, iaitu 350 mm lebih panjang berbanding CX-5 tetapi 195 mm lebih pendek berbanding CX-9. Ia juga 129 mm lebih sempit dari CX-9, dengan kelebaran 1,840 mm. Bagi jarak antara rodanya, ia sama dengan CX-9 dengan 2,930 mm, dan lebih panjang berbanding CX-5 (2,700 mm).

    Bagi CX-9 tujuh-tempat duduk yang memang sudah dijual di Malaysia, pengenalan terhadap CX-8 memberikan pilihan kepada pelanggan yang mahukan SUV tujuh-tempat duduk dengan harga yang lebih mampu milik daripada Mazda. Buat masa ini, CX-9 ditawarkan pada harga RM281k (2WD) dan RM297k (4WD), manakala CX-5 pula antara RM135k dan RM176k.

    Mazda CX-8 SUV 7-tempat duduk bakal diperkenal di Malaysia pada Q2 2018, Mazda 6 baharu pada Q3 ini

    CX-5 adalah pemasangan tempatan di Malaysia, sementara CX-9 pula diimport sepenuhnya dari Jepun. Jika CX-8 diukur sebagai SUV mampu milik, pastinya ia mampu mengikut jejak langkah CX-5 sebagai model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Kulim. Selain itu, laporan dari Kenanga Research turut mengesahkan CX-8 mungkin akan dijadikan sebagai model CKD, dan dijangka akan tiba pada suku kedua (Q2) tahun 2018.

    Di Jepun, CX-8 hanya ditawarkan dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel, dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Ia mirip dengan salah satu enjin yang ditawarkan pada CX-5, walaupun kuasanya telah dipertingkatkan menjadi 188 hp dan tork 450 Nm (dari 173 hp dan 420 Nm). Bagaimana pun, tidak dipastikan adakah pilihan petrol akan ditawarkan bagi model spesifikasi Malaysia.

    Bagi Mazda 6 baharu, kereta sedan ini telah pertama kali muncul di Los Angeles Auto Show tahun lalu dengan rekaan dan penjana kuasa yang telah dipertingkatkan. Kini hadir dengan enjin 2.5 liter naturally-aspirated SkyActiv-G, dengan ciri nyah-aktif silinder, serta unit turbo 2.5T SkyActiv-G dari CX-9, dengan kuasa 250 hp dan 420 Nm. Ia dilaporkan akan dilancarkan di sini pada suku ketiga tahun ini.

    GALERI: Mazda CX-8 yang dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2018

    GALERI: Mazda 6 2018, pasaran USA

     
     
  • Perodua bakal lancar SUV kompak tahun ini?

    Perodua bakal lancar SUV kompak tahun ini?

    Satu demi satu khabar angin bertiup bahawa Perodua kini sedang membangunkan SUV kompak, dan yang terbaharu laporan dari badan penyelidikan Kenanga Research mungkin mengesahkan model tersebut benar-benar wujud. Laporan tersebut mendedahkan bahawa SUV yang belum diberi nama (dengan kod D38L) akan dilancarkan tahun ini sebagai salah satu usaha Perodua untuk mencapai sasaran jualan mereka iaitu 209,000 unit bagi tahun 2018.

    Perodua juga sebelum ini telah menyatakan mereka sedang serius mempertimbangkan pengenalan SUV kompak bagi memenuhi permintaan pasaran buat masa sekarang, namun perinciannya masih lagi dirahsiakan. Ada juga yang mengatakan bahawa model konsep Daihatsu DN Trec yang didedahkan pada Tokyo Motor Show tahun lalu merupakan prebiu kepada SUV kompak Perodua akan datang.

    Jika khabar tersebut benar, ini bermakna Perodua akan masuk ke pasaran SUV segmen-B dan bakal mengacau pasaran Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3. Sebelum ini juga, presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh ada menyatakan titik harga psikologi untuk kereta-kereta buatan Perodua ialah RM60,000 – mungkin petunjuk aras harga untuk SUV baharu tersebut.

    “Kami percaya itu merupakan tahap buat masa sekarang, yang dilihat sebagai sempadan psikologi. Walau bagaimanapun, kos merupakan sesuatu yang diluar kawalan kami; material dan perkara lain. Jika berbicara berkenaan aspek tersebut, kami perlu membuat keputusan. Kami perlu membuat pelarasan tertentu,” katanya.

    Ini bukan kali pertama Perodua menghasilkan SUV. Sebelum ini jenama automotif nasional kedua berkenaan pernah menghasilkan model Kembara dan Nautica, kedua-duanya dibina berasaskan dari Daihatsu Terios tetapi dari generasi yang berbeza.

    GALERI: Model konsep Daihatsu DB Trec di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • Imej teaser Subaru Forester generasi baharu disiar – bakal buat kemunculan di New York Auto Show 2018

    Imej <em>teaser</em> Subaru Forester generasi baharu disiar –  bakal buat kemunculan di New York Auto Show 2018

    Subaru mengumumkan akan mendedahkan generasi terbaharu untuk SUV Forester pada New York International Auto Show (NYIAS) 2018 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

    Serentak dengan pengumuman berkenaan, jenama tersebut turut menyiarkan imej teaser, yang hanya memaparkan lampu belakang yang direka berbentuk-C – elemen yang sama tampil pada Forester generasi sedia ada. Namun menerusi imej tersebut, Forester generasi baharu berkenaan dibayangkan akan tampil lebih dinamik.

    Menerusi model Viziv Future Concept yang muncul pada Tokyo Motor Show 2015, rekaan SUV ini mungkin akan direka dari inspirasi model konsep berkenaan, termasuk elemen lampu hadapan berbentuk-C yang sama. Selain dari Impreza dan XV, Subaru Global Platform turut akan dijadikan asas untuk model terbaharu Subaru tersebut.

    Perkara lain yang boleh dijangka, Forester bakal dijana enjin tradisi boxer empat-silinder Subaru (termasuk hibrid), transmisi CVT dan juga sistem pacuan empat roda Symmetrical All Wheel Drive. Sistem bantuan pemanduan Subaru EyeSight juga mustahil tidak dipadankan. Perincian lanjut bakal didedahkan pada 28 Mac ini di New York.

     
     
  • Petronas buka pusat R&T global baharu di Turin, Itali

    Petronas buka pusat R&T global baharu di Turin, Itali

    Petronas baru sahaja membuka pusat penyelidikan dan teknologi (R&T) global baru di Turin, Itali, dan perasmiannya dilakukan oleh pelumba terkenal, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas. Fasiliti yang dibuka ini memakan belanja sebanyak US$60 juta (RM235 juta) dan akan menjadi hab global bagi aktiviti R&T Petronas Lubricants International’s (PLI) – bahagian pakar automotif dan ujian kemampuan teknologi industri.

    PLI juga bertanggungjawab untuk rekaan, pembangunan serta penghantaran rumusan teknologi bendalir (FTS) yang telah memberi kuasa kepada pasukan Mercedes-AMG Petronas Motorsport untuk mendapat gelaran juara selama empat musim berturut-turut.

    Tugas pusat R&T ini antaranya adalah untuk memperkenalkan teknologi baru, mencipta infrastruktur bertaraf dunia dan membangunkan bakat yang terbaik dalam industri sambil PLI menambah cabang produk dalam portfolio mereka, seterusnya menguatkan lagi kedudukan dalam industri bendalir global.

    Fasiliti di Turin ini adalah pusat kecemerlangan R&T terbaru yang dibina oleh PLI, dan menyertai satu lagi pusat R&T satelit dan kilang pengadunan pelincir untuk motosikal yang memakan pelaburan sebanyak US$100 juta (RM392 juta) di Maharashtra, India. PLI juga memiliki pegangan sebanyak 50% dalam pusat penyelidikan dan pembangunan Guangxi Nanning Yuchai Petronas Lube di China.

     
     
  • Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

    Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

    Lexus Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model sedan flagship jenama itu, Lexus LS 2018 untuk pasaran tempatan. Pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1989, model LS yang ada kini adalah dari generasi kelimanya.

    Model ini juga Januari lalu telah dibuka untuk tempahan. Terdapat tiga varian yang ditawarkan bagi model yang diimport sepenuhnya dari kilang pemasangan Lexus di Tahara, Jepun.

    Yang dimaksudkan ialah varian LS Luxury, LS Executive dan LS Executive (Hybrid). Masing-masing dengan tanda harga bermula dari RM799,000, RM999,000 dan RM1,459,000 – semuanya harga atas jalan termasuk GST, tanpa insurans. Pelanggan juga mempunyai sehingga 11 warna luaran serta enam warna ruang dalaman sebagai pilihan, tertakluk kepada varian.

    Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

    Pertama kali dipertontonkan kepada umum ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Amerika Utara 2017 di Detroit, ia turut membawa sebahagian daripada sentuhan rekaan seperti yang pernah dilihat pada model konsep LF-FC sebelum itu.

    Sama seperti model coupe LC 500, LS dibangun menggunakan platform GA-L (Global Architecture-Luxury) yang menjadi platform paling kukuh yang pernah dihasilkan sepanjang sejarah Lexus setakat ini – ia memberi kelebihan kepada dinamik kendalian, keselesaan serta kesenyapan dalam kabin. Ini merupakan platform yang direka serba baru dengan pendekatan yang juga baru terhadap aspek kejuruteraan, material serta beban struktur kenderaan ini yang terlibat.

    Berbanding struktur dengan kebolehan yang sama menggunakan besi, teknologi ini memberi kelebihan 42% lebih ringan dibahagian depan. Bahagian belakangnya pula menggunakan aluminium dengan kekerasan yang 1.5 kali lebih baik berbanding besi biasa tetapi dengan 50% kurang berat. Struktur kereta ini juga turut menggunakan material high stensile steel sebanyak 30% bahagian yang terlibat.

    Oleh kerana aluminium dan besi tidak boleh dicantum menggunakan pendekatan konvensional yang biasa, bahagian-bahagian yang berkaitan digabungkan menggunakan pendekatan self-piercing rivet dan pelekat/adhesif kekuatan tinggi yang khusus.

    Lexus LS 2018 mempunyai dimensi seperti berikut; panjang keseluruhannya bertambah sebanyak 28 mm – kini dengan panjang keseluruhan 3.125 meter. Jarak antara rodanya juga menerima tambahan 35 mm berbanding model sebelumnya. Lebarnya ditambah kepada 1.9 meter, 25 mm lebih daripada sebelumnya dan rekaan bumbung pula direndahkan sebanyak 15 mm.

    Aspek luaran, ia menampilkan rekaan spindle grille tiga dimensi yang diapit pula oleh unit utama dengan tiga-lampu, disertai ciri Bi-LED yang memberikan iluminasi yang lebih menonjol. Lampu isyaratnya pula hadir dengan kesan visual sequential untuk memberikan lebih gaya. Bahagian belakang pun menggunakan kombinasi lampu LED sepenuhnya, juga dengan lampu isyarat sequential.

    Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

    Lexus LS generasi kelima ini menyaksikan penggunaan enjin serba baru 3.5 liter V6 yang dibangunkan khusus untuknya. Ia dibina untuk memberikan kecekapan haba yang diperbaiki, digandakan pula dengan turbocharger berkembar yang datangnya dari teknologi perlumbaan F1 dan dimanfaatkan untuk kegunaan model ini. Wastegate elektrik mengawal desakan turbo dengan tepat, memberikan dorongan yang lancar dan lag-free.

    Hasilnya, kuasa yang mampu dijana mampu menandingi enjin V8. Angka-angka output enjin ini sangat memberangsangkan; 415 hp dengan 600 Nm tork. Ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan enjin naturally-aspirated sebelum ini dengan kapasiti 4.6 liter V8. Melengkapinya ialah padanan sistem transmisi automatik 10-kelajuan yang sama digunakan pada model LC 500.

    Menurut Ketua Jurutera Lexus LS, Toshio Asahi, langkah untuk menurunkan gred enjin yang digunakan dari versi V8 sebelum ini kepada versi V6 adalah disebabkan faktor alam sekitar. “Dengan enjin baru V6 ini, tahap pembebasan emisi yang lebih baik dapat dicapai, serta penggunaan minyak yang jauh lebih cekap. Paling utama, kuasa yang dihasilkan dapat menandingi enjin V8 sebelum ini,” ujar beliau.

    Ruang dalaman pula merupakan satu “dunia” yang sama sekali berlainan daripada yang pernah kita lihat sebelum ini. Diinspirasikan oleh prinsip omotenashi, kabinnya memberikan suasana mewah pada tahap yang tersendiri.

    Dengan sistem pencahayaan yang terperinci, rekaan kabinnya turut dilengkapi dengan kemasan corak kayu Art Wood/Organic dan Art Wood/Herringbone. Tempat duduknya menerima rekaan baru, dengan laras elektrik 28 cara untuk kerusi depan dan larasan 22 cara bagi kerusi belakang – ia menggabungkan penggunaan elektrik motor dan sistem kawalan pneumatic untuk menghasilkan pergerakan yang halus. Fungsi pemanas juga disediakan, pada dua bahagian; bahu dan bawah badan.

    Selain itu, sebagai pilihan, kemasan hias dari kaca Kiriko (menelan kos tambahan RM98,000 termasuk cukai) dan perincian lipatan tangan manusia (yang memakan masa empat tahun untuk dihasilkan) pada bahagian pintu mencerminkan pendekatan inovatif dari kehalusan kraf tangan Jepun.

    LS juga dilengkapi Remote Touch Interface generasi seterusnya yang direka untuk menyamai operasi telefon pintar dan menerima input tulisan tangan. Selain skrin tunjuk arah 12.3-inci, LS turut dilengkapi dengan head-ups display (HUD) bersaiz 24-inci.

    Lexus LS 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 3.5L V6, 415 hp/600 Nm; harga mula dari RM800k-RM1.46 juta

    Disebabkan ia lebih rendah berbanding model sebelumnya, Lexus LS baru ini dilengkapi ciri suspensi udara yang boleh diaktifkan melalui kunci pintar. Ketika ingin masuk kenderaan, ketinggiannya akan dinaikkan sebanyak 30 mm untuk memudahkan urusan keluar-masuk.

    Ciri audionya pula menggunakan sistemd dari Mark Levinson dengan kemampuan talaan kustom. Ia terdiri daripada 23 pembesar suara yang ditempatkan di 16 lokasi pada kenderaan ini. Sistem ini menggunakan teknologi Quantum Logic Immersion (QLI) Reference Surround Sound. Ia disokong juga oleh amplifier 16-saluran dengan kapasiti menyamai 2,400 watt. Bagi penumpang di belakang, skrin LCD 11.6-inci 720p ada tersedia.

    Selain itu, model ini turut dilengkai dengan pelbagai sistem keselamatan termaju. Sebagai contoh, Lexus Safety System+ yang merangkumi antara lain ciri-ciri seperti sistem pra-perlanggaran, Lane Departure Alert, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist dan lain-lain. Ia juga datang dengan 12 beg udara SRS. Untuk keselamatan pejalan kaki, sensor khas turut ditempatkan dibahagian depan kereta ini sebagai pengesan.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan Lexus LS 2018 ini, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Toyota Sienta dipertingkat dengan ciri baharu – RM97k

    Toyota Sienta dipertingkat dengan ciri baharu – RM97k

    UMW Toyota telah memperkenalkan Sienta model 2018, mempunyai beberapa peningkatan termasuk pada bahagian aksesori dan cirinya, tetapi tiada peningkatan harga. Sebelum ini, Sienta ditawarkan dalam dua varian, tetapi kini ia hanya datang dalam satu varian sahaja, iaitu 1.5V (varian tinggi). Varian 1.5G kini sudah tiada.

    Selain kelengkapan yang sedia ada seperti waktu ia dilancarkan pada bulan Ogos 2016 yang dulu, MPV tujuh tempat duduk ini sekarang datang dengan sistem informasi dan hiburan skrin sesentuh DVD-AVX 6.9 inci, yang turut dilengkapi dengan sambungan Bluetooth, HDMI, slot kad SD dan kamera undur. Pilihan tambahan skrin 7.0 inci DVD-AVN dengan sistem navigasi GPS sebelum ini masih lagi ada ditawarkan untuk pengguna.

    Sienta 2018 juga dilengkapi dengan pengecas USB di tempat duduk baris kedua untuk menambahkan kesenangan pengguna, serta lapik bahagian kargo belakang yang boleh ditanggalkan. Kelengkapan baru lain adalah pilihan sistem kamera bantu letak kereta Panoramic View Monitor, yang memaparkan keadaan luar pada skrin sistem hiburan.

    Toyota Sienta dipertingkat dengan ciri baharu – RM97k

    Untuk bahagian mekanikal, tiada sebarang perubahan. Sienta 2018 masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 liter 2NR-FE yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi automatik CVT dengan nisbah virtual tujuh kelajuan.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada Sienta 1.5V adalah lampu utama bi-LED dengan positioning light LED, rim aloi 16 inci, cermin hadapan akustik, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin dan panel instrumen Optitron. Lain daripada itu, ia juga mempunyai sistem pendingin hawa automatik, roda stereng yang dibalut kulit dan dua pintu gelungsur kawalan elektrik.

    Toyota Sienta 1.5V dijual pada harga RM97,000 termasuk GST, tanpa insurans dan datang bersama jaminan lima tahun tanpa sebarang had batuan. Anda juga boleh melihat spesifikasi penuh kenderaan ini dan membandingkannya dengan kenderaan lain di CarBase.my.

     
     
  • Lagi kes kematian kanak-kanak akibat strok haba selepas terkurung di dalam kereta – amalkan periksa kereta anda setiap kali meninggalkan kenderaan

    Minggu ini kita dikejutkan lagi dengan berita kanak-kanak yang meninggal dunia setelah dia ditinggalkan dalam kereta ibunya yang diletakkan pada tempat letak kereta terbuka sebuah kolej yang terletak di Negeri Sembilan. Menurut laporan Berita Harian, hasil bedah siasat menunjukkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat strok haba atau kepanasan melampau.

    Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad dalam laporan tersebut, siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan dalam keadaan pintu dan tingkap kereta tertutup bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari. Wanita terbabit hanya menyedari kanak-kanak tersebut ditinggalkan selepas empat jam, lalu bergegas lari ke kereta untuk mendapatkan anaknya.

    “Malangnya budak itu sudah tidak sedarkan diri dan dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson tetapi disahkan meninggal dunia dan dirujuk ke HPD,” katanya.

    Insiden seperti ini bukan pertama kali terjadi di negara kita, di mana laporan-laporan kejadian seperti ini sudahpun dipaparkan berberapa tahun kebelakangan ini. Ya, kita tidak berada di tempat ibu kanak-kanak berkenaan ketika insiden tersebut berlaku, dan tidak tahu apa yang sebenarnya dihadapi olehnya, tetapi untuk peringatan diri saya sendiri serta pembaca sekalian, JANGAN SESEKALI TINGGALKAN ANAK ANDA DI DALAM KERETA TANPA PENGAWASAN WALAUPUN SEKEJAP.

    Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.

    Menerusi video berkenaan, pemain American Football dari pasukan Arizona Cardinal, Tyrann Mathieu duduk di dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari. Atlit profesional berkenaan hanya bertahan selama lapan minit di dalam kereta tersebut, setelah suhu pada kabin meningkat sehingga 48.9 darjah selsius.

    Itu orang dewasa yang juga seorang atlit profesional, sekarang anda bayangkan pula bagaimana keadaan seorang kanak-kanak dengan suhu di negara kita. Menurut pakar kecemasan paediatrik, badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa, seterusnya lebih cepat diserang strok haba.

    Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman akan berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.

    Untuk pengetahuan anda juga, perkara seperti ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di serata dunia. Tahun lalu sahaja seramai 37 orang kanak-kanak telah meninggal dunia di Amerika Syarikat akibat strok haba kerana ditinggalkan di dalam kereta yang panas. Ini mendorong berberapa pengeluar untuk menghasilkan sistem keselamatan untuk mengingatkan pemandu untuk memeriksa semula bahagian belakang kereta sebelum meninggalkan kenderaan masing-masing contohnya Rear Door Alert dari Nissan dan Rear Occupant Alert oleh Hyundai.

    Kita di Malaysia masih lagi belum menerima teknologi sedemikian, oleh itu amalan berpesan-pesan, dan jangan memandang remeh hal meninggalkan anak-anak bersendirian di dalam kereta merupakan yang terbaik setakat ini. Juga sebagai masyarakat yang prihatin, jika anda terlihat kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa orang dewasa, tolong, tolong, hubungi pihak berkuasa seperti polis secepat mungkin.

     
     
  • Kia K900 2018 – lukisan bahagian dalam pula didedah

    Kia K900 2018 – lukisan bahagian dalam pula didedah

    Kia meneruskan lagi pra tonton untuk K900 generasi seterusnya dengan pendedahan lukisan bahagian dalam sedan mewah itu pula. Menurut mereka, pendekatan minimalis tapi elegan yang diambil mampu memberikan “rasa tenang kepada pemandu dan penumpang.”

    Jika dibandingkan dengan K900 generasi sekarang, bahagian dalam baru ini menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan antaranya dilengkapi agak banyak kemasan kayu, veneer besi serta balutan kulit asli di dalam kabin. Ia memang nampak mewah.

    Rekaannya juga diubah, dengan skrin utama sistem informasi dan hiburan kini berada berasingan daripada suis pengawal pendingin hawa. Skrin tersebut menggunakan unit 12.3 inci dengan sistem kawalan lampu pintar, yang hanya akan menyala apabila ia mengesan tangan pengguna mahu mencapai ke bahagian suis di papan pemuka.

    Selain fungsi media dan sambungan biasa, sistem informasi dan hiburan ini juga dapat mengawal sistem lampu suasana dalam kenderaan, yang menawarkan 64 warna dan tujuh tema yang boleh dipilih. Ia juga boleh dilaras mengikut kemahuan pengguna.

    Di bahagian kiri, anda boleh melihat terdapat panel instrumen digital di hadapan pemandu dan rekaan roda stereng yang baru. Sementara itu, bahagian konsol tengah pula lebih kemas berbanding sekarang, dengan butang kawalan sistem informasi dan hiburan diletakkan bawah sedikit daripada tombol gear dan beberapa butang lagi turut kelihatan bersama dua tempat meletak barangan/cawan.

    K900 baru akan dikeluarkan oleh kilang di Korea, dan akan dijual di beberapa pasaran yang terpilih bermula suku kedua tahun ini. Di Amerika Syarikat (A.S) ia dikenali sebagai K900, tetapi di Korea ia dipanggil sebagai K9 manakala di beberapa negara lain sebagai Quoris.

    Setakat ini masih belum dapat dipastikan K900 baru akan menggunakan enjin apa kerana model sekarang menggunakan enjin yang berbeza mengikut pasaran. Di A.S, K900 sekarang dijual dengan pilihan sama ada enjin petrol V6 3.8 liter atau V8 5.0 liter. Di Korea pula, ia ditawarkan dengan tambahan enjin V6 3.3 liter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024