Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Rimac C_Two – hypercar elektrik 1,914 hp, 2,300 Nm

    Rimac C_Two – hypercar elektrik 1,914 hp, 2,300 Nm

    Pengeluar kereta Croatia Rimac telah memperkenalkan model hypercar C_Two di Genewa. Jentera semua-elektrik dua-tempat duduk ini adalah susulan kepada model Concept_One dan pasti ada beberapa kekurangan sehingga tiada lagi mengenainya, yang memiliki ukuran 4,750 mm panjang, 1,986 mm lebar and 1,208 mm tinggi.

    Jentera seberat 1,950 kg ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 1.97 saat (1.85 saat untuk 0-60 km/j), yang boleh dikatakan sangat pantas. Bagi pacuan 0-300 km/j, ia hanya mengambil masa sekitar 11.8 saat untuk dicapai. Manakala kelajuan maksimumnya didakwa sehingga 412 km/j.

    Tak cukup dengan itu, C_Two turut memiliki output yang mengagumkan – dengan motor elektrik yang mampu memberikan lonjakan kuasa maksimum sehingga 1,408 kW atau 1,914 hp, dengan tork 2,300 Nm. Prestasi luar biasa ini turut didorongkan dengan jarak sehingga 650 km bagi pengecasan tunggal, mengikut kitaran NEDC.

    Direka oleh pasukan dalaman Rimac, C-Two ini menampilkan gentian karbon sepenuhnya dengan bumbung karbon terikat, pek bateri bersepadu dan gabungan subframe karmbon belakang. Strukturnya pula diperbuat daripada aluminium, manakala badanya pula dari serat karbon asli, menjadikan rekabentuknya agak ringan tetapi sangat kuat.

    Imej luaran dilengkapi dengan beberapa elemen aktif, daripada flap di bahagian hud yang telah mengubah profil aerodinamik C-Two hingga ke wing belakang dengan posisi boleh ubah yang memberikan respon mengikut muatan dinamik dan mengoperasikan brek udara sepenuhnya untuk menstabilkan jentera jika di bawah tekanan brek yang berat.

    Di dalamnya, C-Two menampilkan kekemasan berdasarkan CF, dengan kontras menerusi balutan kulit pada roda stereng, permukaan pintu, garisan bumbung serta alas lantai. Tiga skrin definisi-tinggi TFT (kluster, skrin tengah dan paparan di sebelah pemandu) antara yang ditampilkan di dalam kabin, selain kawalan rotary aluminium dan beberapa suis.

    Daya motif disalurkan oleh empat motor elektrik magnet-kekal yang mengawal setiap satu roda secara individual, dengan aspek kawalan R-AWTV (Rimac All-Wheel Torque Vectoring) bagi prestasi yang ditawarkan oleh semua-roda. Sepasang kotak gear kelajuan-tunggal pula menyalurkan pacuan ke roda hadapan, sementara yang belakang pula menerima kotak gear dua-kelajuan.

    Pek bateri bagi jentera ini adalah dari unit lithium manganese nickel yang menawarkan 120 kWh tenaga dan 1.4 MW kuasa, cukup untuk dua pusingan penuh di Nürburgring dengan sepenuh kuasa dan penurunan dalam prestasi, ujar syarikat terbabit. Dengan tiga-fasa 22 kW pengecas on-board, C-Two boleh dikerah sekitar 80% dalam kurang daripada 30 minit dengan menggunakan pengecasan pantas kombo 250 kW DC.

    Keupayaan untuk bergerak pantas bermaksud brek juga perlu memenuhi tugas itu, dan cakera brek seramik karbon Brembo CCMR 390 mm dan calipers enam piston pada kedua-dua gandar depan dan belakang membantu memacu Rimac dengan cepat. Sistem ini juga menyediakan brek regeneratif maksimum 150 kW.

    Selain itu, suspensi jentera ini menampilkan peredam kawalan-elektronik dan pelarasan ketinggian aktif, dan C_Two dikendalikan dengan roda rekaan yang lebih jelas dan getah Pirelli.

    Hypercar ini juga dilengkapi dengan elemen komprehensif termasuk perkakasan sedia ada Level 4 – dengan lapan kamera on-board (termasuk unit stereo hadapan), lidar sensor, enam radar emitter dan 12 pengesan ultrasonic.

    Keselamatan pemandu aktif trmasuklah ramalan risiko pelanggaran yang digabungkan dengan brek kecemasan automatik dan kawalan mengelak, paparan titik-buta, bantuan kekal-lorong dan kawalan kelajuan adaptif sepenuhnya termasuk fungsi traffic pilot. Hanya 150 unit bagi Rimac C-Two yang bakal dibina.

     
     
  • Porsche Mission E Cross Turismo Concept – EV gaya seperti Panamera Sport Turismo, tetapi lebih tinggi

    Porsche Mission E Cross Turismo Concept – EV gaya seperti Panamera Sport Turismo,  tetapi lebih tinggi

    Porsche nampaknya tidak begitu senang melihat Tesla menguasai pasaran kenderaan elektrik prestasi sendirian. Pada tahun 2015, Porsche telah menunjukkan model Mission E dan ia sekarang sedang disiapkan untuk produksi. Kini, mereka memperkenalkan sebuah lagi model elektrik yang lebih ranggi, dinamakan sebagai Porsche Mission E Cross Turismo Concept.

    Menurut Porsche, model ini disediakan untuk pelanggan yang mahukan sebuah Porsche elektrik berprestasi tinggi, dan pada masa sama mempunyai gaya hidup aktif dan gemar keluar dari bandar. Kenderaan ini mempunyai empat tempat duduk, sistem cengkaman AWD dan boleh membawa papan luncur ombak atau basikal elektrik Porsche.

    Dari aspek rekaan, model konsep ini mungkin mirip dengan Panamera Sport Turismo, tetapi ia diterapkan dengan elemen offroad, seperti pelindung lengkuk roda dan tepi pintu, spoiler hadapan tahan lasak dan duduk lebih tinggi dari tanah.

    Porsche Mission E Cross Turismo Concept – EV gaya seperti Panamera Sport Turismo,  tetapi lebih tinggi

    Selain daripada itu, ia juga mempunyai bukaan udara menegak di hadapan, serta panel tepi dengan salur udara berhampiran roda hadapan. Lampu belakangnya pula menggunakan jalur panjang dari kiri ke kanan, dan di tengahnya terdapat pencahayaan yang tertulis Porsche. Apabila sedang dicas, tulisan ini akan berkelip.

    Menurut Porsche, kenderaan konsep ini memberi gambaran kepada model Turismo produksi yang mempunyai ciri sebuah kenderaan utiliti crossover dan ciri ‘boleh ubah’ juga dijadikan sebagai tema.

    Selain boleh dilipat sehingga rata, empat tempat duduk berasingan dalam kenderaan ini juga mempunyai bahagian tengah yang boleh dibuka, seterusnya memudahkan kemasukan barang yang panjang. Sebagai tambahan, bahagian but pula mempunyai sistem rel dengan pengikat yang boleh dilaras. Pembeli juga boleh mendapatkan kereta ini bersama basikal elektrik Porsche.

    Untuk menggerakkan Mission E Cross Turismo ini, Porsche menggunakan dua motor permanent magnet synchronous dengan kuasa keseluruhan sistem lebih daripada 600 hp. Ini membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa kurang 3.5 saat dan boleh mencecah 200 km/j dalam masa bawah 12 saat.

    Kuasa dari motor elektrik ini boleh disampaikan kepada semua roda apabila perlu, dengan sistem Porsche Torque Vectoring, dan ia juga didatangkan dengan sistem all-wheel steering, Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) dan suspensi udara adaptif yang dapat meninggikan kenderaan sehingga 50 mm.

    Bateri lithium-ion pada kenderaan ini boleh dicas untuk memberikan jarak pergerakan 400 km dalam masa hanya 15 minit. Menurut Porsche lagi, kenderaan ini dipersiap dengan sambungan untuk rangkaian pengecas pantas, yang kini sedang dibina oleh kerjasama IONITY antara BMW, Daimler, Ford dan Volkswagen Group.

     
     
  • McLaren Senna GTR Concept – hanya untuk atas litar

    McLaren Senna GTR Concept – hanya untuk atas litar

    Dalam keadaan asal untuk kegunaan atas jalan raya biasa sahaja, McLaren Senna sudah cukup ganas, dengan kuasa sebanyak 789 hp (800 PS). Kini, McLaren mengeluarkan pula sebuah model konsep dengan asas yang sama, tetapi hanya boleh digunakan atas litar, dikenali sebagai McLaren Senna GTR

    Ia adalah satu pra tonton kepada sebuah model yang boleh dibeli oleh pelanggan pada masa hadapan. Memandangkan ia tidak perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk sebuah model yang boleh digunakan atas jalan raya biasa, ia dilengkapi dengan pakej lebih ekstrem – lebih kuasa, cengkaman dan daya tolakan ke bawah (downforce).

    Pertamanya, McLaren memberitahu, Senna GTR ini akan mampu menghasilkan kuasa sekurang-kurangnya 814 hp (825 PS) dan tork yang lebih tinggi, datang daripada enjin V8 4.0 liter twin turbo. Ini adalah enjin yang sama seperti Senna standard, tetapi mempunyai talaan khas.

    Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi gaya lumba, yang menurut McLaren lagi, boleh menjadikan Senna GTR ini lebih pantas di jalan lurus berbanding model biasa. Untuk cengkaman yang lebih, kereta ini juga datang dengan suspensi double wishbone yang diperelok dan tayar slick Pirelli.

    Untuk daya tolakan ke bawah pula, Senna GTR mampu menghasilkan daya sebanyak 1,000 kg, iaitu peningkatan sebanyak 200 kg lagi berbanding Senna standard. Antara perubahan yang membantu perkara ini adalah fender lebih lebar (yang turut menjadikan jarak roda kiri dan kanan lebih lebar), pembelah angin serta diffuser lebih besar, sayap belakang aktif serta bahagian aerodinamik lain.

    Perubahan lain yang turut dilakukan adalah menolak kulit pintu lebih ke dalam, menghala lebih kepada bahagian tengah kenderaan untuk pengaliran udara lebih baik. Cermin biasa yang digunakan juga diganti dengan polycarbonate yang lebih ringan.

    Seperti yang dinyatakan tadi, model konsep ini merupakan petunjuk bagi model produksi, yang hanya akan dihasilkan sebanyak 75 unit. Untuk Senna standard sebelum ini, 500 unit yang dijual pada harga 750,000 pound (sekitar RM4 juta) telah pun habis, malah sebelum ia dilancarkan pun lagi.

     
     
  • Lamborghini Huracan Performante Spyder didedahkan

    Lamborghini Huracan Performante Spyder didedahkan

    Setahun yang lalu, Lamborghini telah memperkenalkan Huracán Performante, versi hardcoredengan enjin V10 yang lebih berkuasa. Tahun ini, syarikat tersebut telah memperkenalkan pula versi convertible yang digelar Huracán Performante Spyder.

    Versi yang didatangkan dengan hardtop ini dijanakan oleh enjin 5.2 liter naturally-aspirated V10 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 630 hp (640 PS) pada 8,000 rpm dan tork 600 Nm pada 6,500 rpm.

    Ia turut didatangkan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda, membolehkan jentera ini mencapai kelajuan maksimum sehingga 325 km/j. Walau bagaimana pun, pacuan dari 0-100 km/j sekitar 3.1 saat berbanding versi coupe dengan 2.9 saat, didorong oleh penambahan beratnya iaitu sekitar 1,507 kg (coupe dengan 1,382 kg). Berbanding Huracan Spyder, versi prestasi tinggi ini adalah 35 kg lebih ringan.

    Bumbung yang boleh dilipat dan dibuka dalam hanya 17 saat dalam kelajuan pemanduan mencecah 50 km/j. Selain itu, ia juga didatangkan dengan tingkap belakang berkuasa yang mampu bertindak sebagai windshield apabila ditutup, bersama dengan dua fins boleh alih yang akan mengeluarkan sarung bumbung apabila bumbung diturunkan.

    Perubahannya melibatkan beberapa semakan rekaan, terutamanya perlindungan enjin baharu yang tidak memberikan gambaran jelas tentang V10. Dengan hanya bahagian atas yang lembut, kini terdapat perlindungan peralihan tambahan yang sedia ada untuk memastikan penumpang selamat.

    Lamborghini berkata pakej aerodinamik yang menarik yang dikenali sebagai Aerodinamica Lamborghini Attiva (ALA) tidak kompromi dengan motor udara-terbuka. Jadi anda masih mendapat manfaat bagi muatan pembolehubah aero, pemvektoran aero ketika kelajuan tinggi di selekoh dan juga sistem Lamborghini’s Piattaforma Inerziale (LPI).

    Kalau berminat, sediakan bajet sebanyak 219,585 euros (RM1,064,238) kerana itulah harganya untuk pasaran Eropah, manakala ia berharga 195,078 British pounds (RM1,057,988) di United Kingdom dan USD308,859 (RM1,205,476) di Amerika Syarikat. Penghantarannya akan bermula pada musim panas tahun ini.

     
     
  • SPAD umum jumlah penumpang pengangkutan awam meningkat pada 2017 – naik 3.7%, cecah 1.2 juta

    SPAD umum jumlah penumpang pengangkutan awam meningkat pada 2017 – naik 3.7%, cecah 1.2 juta

    Nampaknya sistem pengangkutan awam di negara ini kian diterima ramai malah saban tahun jumlah penggunanya menunjukkan peningkatan. Menurut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jumlah penumpang harian purata perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang/Greater Kuala Lumpur merekodkan trend menaik tahun lepas dengan peningkatan 3.7% atau 1,206,111 berbanding 1,162,717 pada 2016.

    CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah berkata ini menunjukkan kejayaan usaha kerajaan dalam menambah baik sistem pengangkutan awam negara, memetik laporan Bernama.

    “Kami bangga mengumumkan pencapaian positif ini dan kami boleh lihat semua projek pengangkutan seperti MRT (Transit Aliran Mass), Rel Berkelajuan Tinggi serta perkhidmatan bas dan tinjauan kami menunjukkan kami di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Semakan Tahunan 2017 SPAD semalam.

    Berdasarkan laporan itu, rel bandar mencatatkan peningkatan 7.5% jumlah penumpang harian purata tahun ke tahun, disumbangkan terutamanya oleh pembukaan penuh MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer pada 17 Julai tahun lepas.

    Menurut SPAD lagi, Transit Aliran Ringan (LRT) Jajaran Kelana Jaya menyaksikan peningkatan 7.0% penumpang harian puratanya kepada 272,684 tahun lepas berbanding 254,854 pada 2016.

    SPAD umum jumlah penumpang pengangkutan awam meningkat pada 2017 – naik 3.7%, cecah 1.2 juta

    Walau bagaimana pun, SPAD berkata, beberapa perkhidmatan pengangkutan mengalami penurunan penumpang disebabkan kerja-kerja menaik taraf termasuk perkhidmatan komuter KTM yang menyaksikan kemerosotan 14.5% susulan projek pemulihan Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang menjejaskan kekerapan tren.

    Monorel juga mengalami trend menurun pada 2017 dengan kemerosotan 23.5% susulan pemberhentian perkhidmatan set tren lima gerabak.

    Bagi perkhidmatan rel antara bandar, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KTM menyaksikan peningkatan 14.2% kepada 19,835 tahun lepas berbanding 17,367 pada 2016.

    Mohd Azharuddin berkata pada masa ini perkhidmatan ETS merupakan mod pengangkutan antara bandar yang popular dan sebanyak RM1.1 bilion telah diperuntukkan bagi membeli 19 tren ETS baharu menjelang 2019.

    Bagi perkhidmatan bas, GoKL Bus yang menyediakan perkhidmatan percuma di ibu kota mencatatkan peningkatan jumlah penumpang yang signifikan pada 26.6% kepada 63,218 tahun lepas berbanding 51,812 pada tahun sebelumnya.

    SPAD umum jumlah penumpang pengangkutan awam meningkat pada 2017 – naik 3.7%, cecah 1.2 juta

    Perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) Sunway pula menyaksikan peningkatan 34.6% daripada 5,382 pada 2016 kepada 7,244 tahun lepas.

    Walaupun begitu, Mohd Azharuddin berkata tinjauan Indeks Kepuasan Pelanggan menunjukkan 90% responden berpuas hati dengan pengangkutan awam bandar tahun lepas, meningkat 6.0% berbanding tahun sebelumnya.

    “Semakin ramai pengguna yang berpandangan pengangkutan awam menawarkan mereka kaedah yang berkesan dan kos efektif untuk bergerak,” katanya.

    Mengenai perkhidmatan teksi, Mohd Azharuddin berkata pada tahun lepas, 1,200 pemandu teksi yang layak menerima permit teksi individu dan seramai 581 pemandu menerima geran kerajaan RM5,000 untuk membeli teksi mereka sendiri.

    SPAD juga sedang menunggu Jabatan Pengangkutan Jalan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 tahun ini agar suruhanjaya itu dapat mengawal selia sepenuhnya sektor e-hailing merangkumi operator, pemandu dan kenderaan, kata Mohd Azharuddin.

    Beliau berkata suruhanjaya akan melancarkan perancang perjalanan pada suku keempat dan melaksanakan sistem tiket bersepadu menjelang 2019 yang akan menjadikan transit lebih lancar, bagi menarik lebih ramai penumpang.

    “Kami juga menyemak semula rangka kerja Pusat Kecemerlangan Rel Negara yang akan ditubuhkan bagi menyokong pembangunan tenaga kerja mahir untuk industri rel,” katanya.

     
     
  • Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu didedahkan – tampil pilihan enjin 4.0L V8 twin turbo, 630 hp/900 Nm

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu didedahkan – tampil pilihan enjin 4.0L V8 twin turbo, 630 hp/900 Nm

    Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 4-Türer Coupé, AMG Carbon-Paket, Exterieur: Außenfarbe: Graphitgrau magno;Kraftstoffverbrauch kombiniert: 11,2 l/100 km; CO2-Emissionen kombiniert: 256 g/km* (vorläufige Daten)
    Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 4-Door Coupé, AMG Carbon-packet, Exterior: Exterior paint: graphite grey magno, colour variation black;Fuel consumption combined: 11,2 l/100 km; CO2 emissions combined: 256 g/km* (provisional data)

    Akhirnya Mercedes-AMG GT Coupe 4-Door didedahkan ketika berlangsungnya Geneva Motor Show 2018. Model baharu ini secara asasnya merupakan versi empat-pintu dari model AMG GT Coupe dua-pintu, dengan kebolehan dinamik yang hampir sama tetapi menerapkan praktikaliti untuk kegunaan harian.

    Berberapa versi dihasilkan untuk model ini, namun untuk sebuah jentera dengan lencana Mercedes-AMG, model asasnya dijana enjin petrol turbo 3.0 liter enam-silinder sebaris yang diambil dari CLS 53. Jadi, model Mercedes-AMG GT 53 4Matic+ ini berupaya menjana 429 hp (435 PS) pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 1,800 hingga 5,800 rpm.

    Seperti juga pada CLS 53, model ini turut diberikan motor starter-alternator EQ Boost berkuasa 22 PS/250 Nm (sebahagian dari sistem elektrikal 48 V kereta ini) yang diletakkan antara enjin dan kotak gear sembilan-kelajuan automatik AMG Speedshift TCT 9G.

    Sistem tersebut turut dihubungkan kepada pemampat tambahan elektrik (seperti supercharger) yang membantu pengecas turbo konvensional pada takat rpm rendah. Kesemua sistem ini membolehkan jentera berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 285 km/j.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu didedahkan – tampil pilihan enjin 4.0L V8 twin turbo, 630 hp/900 Nm

    Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 4-Türer Coupé, AMG Carbon-Paket, Exterieur: Außenfarbe: Graphitgrau magno, Rad: AMG Schmiederad im 7-Doppelspeichen-Design, Farbvariante schwarz;Kraftstoffverbrauch kombiniert: 11,2 l/100 km; CO2-Emissionen kombiniert: 256 g/km* (vorläufige Daten)
    Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 4-Door Coupé, AMG Carbon-packet, Exterior: Exterior paint: graphite grey magno, Wheel: AMG Performance wheels in 7-double crossing design, colour variation black;Fuel consumption combined: 11,2 l/100 km; CO2 emissions combined: 256 g/km* (provisional data)

    Selain itu, Mercedes-AMG GT 4-Door turut hadir dengan versi yang dijana enjin 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo jenis twin-scroll. Enjin tersebut turut diberikan sistem nyah-aktif silinder untuk menjimatkan penggunaan bahan api dan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G.

    Dua versi talaan kuasa diberikan untuk enjin ini. Yang pertama adalah versi Mercedes-AMG GT 63 4Matic+ yang mampu menjana 577 hp (585 PS) pada takat 5,500 higga 6,500 rpm dan tork maksima 800 Nm bermula 2,350 hingga 5,000 rpm. Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 310 km/j.

    Tak cukup? Anda juga boleh memilih versi Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ yang dijana enjin sama tetapi menghasilkan kuasa 630 hp (639 PS) bermula 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa berkenaan membolehkan jentera ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 315 km/j.

    Kesemua versi enjin ini hadir dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+. Sistem ini berfungsi sama seperti pada E 63, yang turut diberikan mod Drift, dimana kesemua tork dialirkan pada gandar belakang sahaja. Dalam larasan biasa, tork juga akan dialirkan lebih kepada roda belakang, namun pembahagian kuasa tersebut akan dilakukan secara bervariasi mengikut keadaan.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu didedahkan – tampil pilihan enjin 4.0L V8 twin turbo, 630 hp/900 Nm

    Mercedes-AMG GT 53 4MATIC+ 4-Türer Coupé, AMG Night-Paket, Exterieur: Motorraum, Außenfarbe: designo diamantweiß bright;Kraftstoffverbrauch kombiniert: 9,1 l/100 km; CO2-Emissionen kombiniert: 209 g/km (vorläufige Daten)
    Mercedes-AMG GT 53 4MATIC+ 4-Door Coupé, AMG Night-packet, Exterior: engine compartement, Exterior paint: designo diamond white bright;Fuel consumption combined: 9.1 l/100 km; CO2 emissions combined: 209g/km (provisional data)

    Unit LSD pada gandar belakang diberikan standard pada model AMG GT 63 S, dan ia merupakan sebahagian dari pakej Dynamic Plus – ditawarkan sebagai opsyen untuk varian lain. Model yang dijana enjin V8 turut menerima sistem stereng aktif pada gandar belakang sebagai ciri standard (opsyen untuk model dengan enjin enam-silinder), yang akan menghalakan roda belakang kearah bertentangan dengan roda hadapan pada kelajuan lebih dari 100 km/j bagi meningkatkan ketangkasannya.

    Model dijana enjin V8 juga hadir eksklusif dengan sistem brek berprestasi tinggi AMG – diberikan cakera kompaun berdiameter besar, angkup enam-silinder pada bahagian hadapan serta silinder-tunggal di belakang. Model S diberikan angkup berwarna kuning, manakala model 63 biasa diberikan angkup berwarna merah.

    Bagi model enam-silinder pula, ia diberikan cakera brek lebih kecil dengan angkup berwarna kelabu. Namun jika anda sanggup membayar lebih, pilihan sistem brek seramik turut diberikan, yang hadir dengan cakera baharu dan juga angkup berwarna gangsa.

    Model coupe empat-pintu ini turut akan diberikan sistem stereng sport AMG sensitif-kelajuan, dengan bantuan kuasa bervariasi bergantung pada mod pemanduan yang dipilih – Comfort, Sport dan Sport+. Kesemua mod ini dihubungkan kepada mod transmisi AMG Dynamic Select, namun jika anda tidak selesa dengan gabungan mod yang disediakan, anda boleh melaras sendiri menerusi mod Individual.

    Bergantung pada enjin, enam program pemanduan telah disediakan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual – diletakkan di bawah program AMG Dynamic. Ia turut ditambah dengan fungsi ketangkasa – Basic, Advanced, Pro dan Master – yang diatur dari larasan bermula berorientasikan keselamatan hingga dinamik tertinggi.

    Dari segi rupa, imej model 2-pintu masih jelas diterapkan pada model AMG GT 4-pintu ini. Elemen rekaan tersebut termasuk penggunaan gril Panamerica, Sayap Jet di hadapan (model enam-silinder diberikan rekaan aliran sayap-A), panel udara, potongan badan yang hampir serupa dan juga lampu belakang tirus.

    Walau bagaimanapun, model empat-pintu ini diberikan bonet yang lebih pendek serta bumbung lebih tinggi berbanding versi dua-pintu bagi mendapatkan kabin yang lebih besar. Ia juga diberikan lampu hadapan lebih tajam yang lebih menyerupai model CLS.

    Pada model-model janaan enjin V8, ia diberikan liang kemasukan udara hadapan dengan elemen tiga-tingkat, bersama diffuser lebih agresif dan juga kemasan tip ekzos berbentuk trapezoid. Manakala untuk model enam-silinder pula, hanya satu tingkat kemasan pada liang kemasukan udara hadapan, serta diffuser yang lebih sopan serta tip ekzos berbentuk bulat.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu didedahkan – tampil pilihan enjin 4.0L V8 twin turbo, 630 hp/900 Nm

    Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 4-Türer Coupé, AMG Carbon-Paket, , Interieur: Leder Exklusiv Nappa DINAMICA / schwarz mit gelber Kontrastziernaht, Zierteil: AMG Zierelemente Carbon;Kraftstoffverbrauch kombiniert: 11,2 l/100 km; CO2-Emissionen kombiniert: 256 g/km* (vorläufige Daten)
    Mercedes-AMG GT 63 S 4MATIC+ 4-Door Coupé, AMG Carbon-packet, Interior: Leather exclusive nappa DINAMICA / black with yellow contrast ornamental seam, Body trim: AMG body trim carbon;Fuel consumption combined: 11,2 l/100 km; CO2 emissions combined: 256 g/km* (provisional data)

    Bagi mereka yang mahukan imej yang lebih individu, Mercedes-AMG menawarkan berberapa pakej luaran termasuk Night, Chrome, Aerodynamic dan dua opsyen Carbon-Fibre. Anda juga boleh memilih pelbagai rim yang disediakan bermula saiz 19-inci hingga 21-inci, kesemuanya dibina menggunakan aloi ringan dan teknologi forged.

    Masuk ke kabin pula, ia direka seakan gabungan AMG GT (pada bahagian bawah) dan juga CLS untuk bahagian utama papan pemuka. Dua paparan HD bersaiz 12.3 setiap satu diberikan sebagai paparan instrumentasi pemandu sebagai sebahagian sistem Widescreen Cockpit. Pemandu juga boleh memilih tema berbeza iaitu Classic dan Sport. Satu lagi tema baharu iaitu Supersport turut ditampilkan pada model ini yang memaparkan informasi spesifik AMG.

    Ia juga turut diberikan roda stereng berprestsi AMG yang hadir bersama butang Touch Control, manakala pada bahagian pemuka utama terdapat pad kawalan sesentuh baharu untuk mengawal sistem infotainmen COMAND. Model empat pintu ini diberikan suis-suis kawalan empat segi, berbanding elemen lebih bulat pada model dua-pintu.

    Seperti yang diketahui, model ini juga direka dengan lebih praktikal, menawarkan tiga, empat atau lima tempat duduk, bergantung konfigurasi yang boleh dipilih oleh pembeli. Penumpang belakang turut menerima skrin pad sesentuh bersepadu dengan konsol antara tempat duduk (hanya untuk varian High-Class), yang membolehkan mereka melihat data dynamism menerusi menu AMG, serta mengawal lampu suasana, sistem penghawa dingin serta pemanas tempat duduk.

    Mercedes-AMG mendakwa model ini mempunyai kapasiti but 395 liter, dan boleh dibesarkan lagi sehingga 1,324 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Ruang mengisi yang lebar turut memudahkan pengguna untuk meletak atau mengeluarkan barang pada bahagian tersebut, dan turut dilengkapi dengan pembuka but tanpa sentuhan yang boleh diaktifkan dengan hanya menggerakkan kaki anda di bawah bampar belakang,

    Ciri lain yang turut diberikan adalah termasuk AMG Track Pace yang direka bagi memberikan telemetri diatas litar sebanyak yang mungkin. Ia juga disertakkan dengan pewangi kabin bina-dalam dioperasi dengan kawalan keselesaan Energizing, yang sememangnya telah dilengkapi pada kebanyakkan model Mercedes-Benz. Setelah masuk ke pasaran bermula musim panas 2018 kelak, Mercedes-AMG GT 4-Door bakal memberikan saingan sengit kepada Porsche Panamera.

     
     
  • Lexus UX crossover kompak baru yang terletak bawah NX, pilihan dua enjin; 2.0 NA 168 hp atau hibrid 176 hp

    Lexus UX crossover kompak baru yang terletak bawah NX, pilihan dua enjin; 2.0 NA 168 hp atau hibrid 176 hp

    Barisan SUV Lexus hari ini menerima satu tambahan model baru yang dikenali sebagai UX dan ia adalah crossover kompak mewah pertama jenama itu. Menurut Lexus, UX disasarkan untuk pembeli dalam lingkungan umur 30-an, dan ia juga adalah model pertama yang menggunakan platform GA-C Global Architecture – Compact, yang hadir dengan struktur serba kuat dan titik graviti yang rendah.

    Walaupun ia nampak lebih ringkas dan berbeza berbanding UX Concept yang ditunjukkan pada 2016, beberapa pendekatan rekaan masih lagi dikekalkan. Ini termasuk bahagian fender, garis badan ditengah serta kemasan pada lengkungan tayar yang digunakan. Rekaan gril spindle Lexus masih digunakan, bersama versi baru bagi DRL LED dilanjutkan ke bahagian atas lampu utama.

    Dengan jarak roda 2,639 mm dan panjang keseluruhan 4,495 mm, UX menawarkan pengendalian yang mudah dalam kawasan bandar. Jika dibandingkan dengan NX, model ini adalah 144 mm lebih pendek manakala jarak rodanya pula berkurangan 21 mm.

    Lexus UX crossover kompak baru yang terletak bawah NX, pilihan dua enjin; 2.0 NA 168 hp atau hibrid 176 hp

    UX juga menggunakan rekaan kabin baru, tapi masih mengekalkan identiti Lexus. Ia dikatakan dapat memberi pemandu pandangan lebih jelas kepada jalan, dalam masa sama posisi pemandu masih terasa sporty. Menurut Lexus lagi, butang kawalan juga diletakkan berhampiran pemandu, supaya mereka dapat menggunakannya sambil duduk selesa di tempat duduk.

    Untuk kemasan bahagian dalam, UX didatangkan dalam dua pilihan corak, dengan satu daripadanya mendapat inspirasi daripada kertas Jepun yang dikenali sebagai washi. Kemasan ini dihasilkan menggunakan proses khas dan dapat memberikan rasa yang lebih tenang. Satu lagi kemasan adalah menggunakan kulit, seperti Lexus LC dan sedan LS.

    Untuk penampilan pertama ini, UX didatangkan dalam dua versi iaitu UX 200 dan UX 250h hibrid. Bagi model UX 200, ia melihatkan penggunaan enjin baru Dynamic Force 2.0 liter NA yang dipadankan bersama transmisi CVT Direct Shift, mampu menghasilkan sebanyak 168 hp.

    Lexus UX crossover kompak baru yang terletak bawah NX, pilihan dua enjin; 2.0 NA 168 hp atau hibrid 176 hp

    Transmisi CVT Direct Shift yang digunakan ini menggabungkan kelancaran sebuah kotak gear CVT dengan rasa yang lebih tepat. Berbeza dengan kotak gear CV biasa, unit yang digunakan pada UX ini mempunyai set gear tambahan untuk pecutan permulaan, dan dapat menjadikan UX lebih pantas dan lebih cekap.

    Enjin sama juga digunakan pada UX250h, tetapi ditambah dengan sistem hibrid generasi keempat baru, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 176 hp. Sistem hibrid yang diguna mempunyai transaxle dan Power Control Unit yang lebih kompak dan ringan, direka untuk mengurangkan kehilangan kuasa melalui haba dan geseran. Bateri nickel metal-hydride (NiMH) pada kenderaan ini diletakkan di bawah tempat duduk belakang, sekaligus tidak mengganggu ruang simpanan barang sambil menyokong titik graviti yang rendah.

    Sistem E-Four pada UX250h memberikannya pacuan semua roda dengan meletakkan motor elektrik tambahan di gandar belakang. Pembahagian kuasa antara depan dan belakang dioptimakan secara automatik semasa memecut, mengambil selekoh atau di atas jalan yang licin. Sekiranya terdapat gelinciran di roda belakang, kuasa akan ditingkatkan sehingga 80%, pada kelajuan sehingga 70 km/j.

    Lexus UX crossover kompak baru yang terletak bawah NX, pilihan dua enjin; 2.0 NA 168 hp atau hibrid 176 hp

    Lexus UX250h juga menampilkan penggunaan Predictive Efficient Drive, iaitu sistem pertama Lexus yang dapat menganalisa tabiat pemanduan, keadaan jalan serta trafik untuk mengoptimakan pengecasan bateri hibrid pada kenderaan tersebut. Lebih banyak ia dipandu, lebih banyak data yang dapat dikumpul untuk membantu penjimatan bahan api. Walaupun begitu, sistem ini masih boleh ditutup.

    Melalui sistem Predictive Deceleration Support pula, ia akan menggunakan data yang dikumpul berkenaan tabiat pemandu untuk menjangka bila dan di mana kenderaan tersebut akan perlahan atau berhenti. Sebagai contoh, apabila UX ini mendekati kawasan di mana pemandu sebelum ini pernah perlahan atau berhenti, ia akan membantu meningkatkan penjanaan semula kuasa brek sewaktu pemandu memperlahankan kenderaan.

    Satu lagi sistem, iaitu Predictive State of Charge (SOC) untuk bateri hibrid kenderaan ini adalah teknologi pertama di dunia yang dapat berfungsi pada jalan menurun bukit dan trafik yang sesak. Apabila UX ini dipandu mengikut arahan navigasi, sistem ini akan menjangka laluan untuk mengecas bateri sehingga 10 km ke hadapan.

    Lexus UX juga boleh didapati dalam versi F Sport, untuk kedua-dua UX 200 dan UX 250h. Dalam pakej ini, pembeli akan menerima talaan suspensi khas yang termasuk spring, stabiliser bar serta penyerap berprestasi tinggi untuk meningkatkan pengendalian, dan ia juga boleh digabungkan dengan pilihan Adaptive Variable Suspension (AVS).

    Bahagian luar versi F Sport ini tentunya lebih sporty, termasuk perubahan pada gril, hiasan lampu kabus, bampar serta rim 18 inci. Di dalam, UX F Sport mendapat tempat duduk hadapan sport, meter boleh gerak, stereng F Sport balutan kulit, skrin TFT lapan inci dan pedal aluminium. Turut disertakan adalah Active Sound Control (ASC) yang dapat meningkatkan bunyi penukaran gear, dan kesan bunyi “S+ Sound” dalam mod Sport S+.

     
     
  • Sistem trem di Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi dicadangkan – integrasi dengan MRT, ERL dan HSR

    Sistem trem di Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi dicadangkan – integrasi dengan MRT, ERL dan HSR

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bakal memulakan mula menyediakan Permohonan Cadangan (RFP) bagi projek sistem perkhidmatan trem yang dicadangkan untuk kawasan Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi.

    Menurut CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah, penyediaan permohonan cadangan itu dijangka siap antara tiga dan enam bulan, laporan Bernama.

    “Projek ini akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk dilaksanakan mengikut fasa sebaik sahaja ia diluluskan dan kami akan pastikan ia diintegrasikan dengan perkhidmatan pengangkutan lain. Antara sebab Putrajaya dan Bangi dipilih adalah kerana jalan rayanya lebar dan sesuai dengan trem,” kata beliau kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2017 semalam.

    Katanya lagi, sistem itu akan diintegrasikan dengan Transit Aliran Massa (MRT) 3, Express Rail Link (ERL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi menghubungkannya dengan Putrajaya Sentral apabila dilaksanakan kelak.

    “Kajian tentang sistem (trem) ini dijalankan sepenuhnya oleh SPAD tahun lepas dengan merujuk kepada teknologi dari Taiwan, China dan Eropah. Di mana perbelanjaan bagi pelaksanaan sistem perkhidmatan trem adalah 30% lebih rendah daripada sistem monorel. Malah trem merupakan penyelesaian pengangkutan yang lebih bersih, hijau dan cekap,” katanya lagi.

     
     
  • BMW i4 sedan elektrik sah bakal diproduksikan

    BMW i4 sedan elektrik sah bakal diproduksikan

    BMW telah mengesahkan model konsep i Vision Dynamic yang dipertontonkan di Frankfut pada tahun lalu bakal menjadi realiti. Ia akan dikenali sebagai BMW i4 apabila memasuki produksi kelak.

    Pengumuman mengenai sedan elektrik ini dibuat oleh pengeluar kereta terbabit di Geneva Motor Show. Ia ada sebahagian daripada 25 model elektrifikasi yang telah disebut untuk 2025, pada asasnya satu daripada 12 model elektrik asli bagi barisan tersebut.

    Penggayaannya umpama Gran Coupe empat-pintu iaitu sama seperti 4 Series Gran Coupe dan 6 Series Gran Coupe, i Vision Dynamic ini berkeupayaan mencapai jarak 600 km bagi pengecasan tunggal, dan angka prestasinya termasuk 0-100 km/j dalam hanya empat saat dan kelajuan maksiumum mencecah 200 km/j.

    BMW i4 sedan elektrik sah bakal diproduksikan

    Kajian turut menunjukkan bahawa teknologi bateri bagi generasi seterusnya dari pengeluar kenderaan ini bakal diaplikasikan pada beberapa model kenderaan elektrik dan plug-in hybrid dari sekitar tahun 2020. Tiada jangkaan masa untuk i4 memasuki pasaran ketika pengumuman dibuat.

    i8 Roadster dan MINI Cooper S E Countryman ALL4 plug-in hybrid dijangka keluar tahun ini, dan tiga model kenderaan elektrik-bateri (BEV) juga telah disahkan – semua MINI elektrik pada 2019, semua model elektrik BMW X3 pada 2020 dan BMW iNEXT pula pada 2021, jadi mungkin juga BMW i4 tiba pada 2022.

    GALERI: BMW i Vision Dynamic

     
     
  • Subaru Viziv Tourer Concept didedahkan di Geneva 2018 – WRX wagon bakal kembali semula ke pasaran?

    Subaru Viziv Tourer Concept didedahkan di Geneva 2018 – WRX wagon bakal kembali semula ke pasaran?

    Sejak diperkenalkan pada generasi pertama Subaru Impreza WRX GC8, model berprestasi tinggi dengan enjin boxer empat silinder turbo 4WD berkenaan sememangnnya telah dikeluarkan dalam versi wagon, selain sedan empat-pintu dan coupe dua-pintu. Namun apabila masuk ke generasi kedua (GDA/GDB), model coupe mula diberhentikan dan WRX wagon-lima pintu dibina buat versi terakhir menerusi platform ini (model lima-pintu WRX generasi ketiga lebih berkonsep hatchback dan bukan wagon).

    Pada Geneva Motor Show 2018 yang kini sedang berlangsung, Subaru telah mendedahkan model konsep Viziv Tourer, lanjutan dari pengenalan model konsep Viziv Performance di Tokyo Motor Show 2017 dan Viziv Performance STI di Tokyo Auto Salon 2018. Jika dua model terawal berkenaan dikatakan prebiu kepada model WRX dan WRX STI generasi seterusnya, adakah Viziv Tourer ini bayangan bahawa Subaru akan membawa semula WRX wagon atau ia merupakan Levorg generasi selepas ini? Ia masih dalam peringkat awal dan masih agak sukar untuk dipastikan.

    Subaru Viziv Tourer Concept ini menampilkan muka yang hampir sama dengan kedua-dua Viziv sebelumnya, terutamanya pada lampu hadapan berkonsep jalur LED dan juga pada gril utama direka dengan falsafah “Dynamic x Solid”. Namun, ia menampilkan skup bonet tradisi Subaru dengan elemen berbeza dan tidak tersembul keluar serta diberikan bampar hadapan dengan rekaan berlainan.

    Keempat-empat sisi versi Tourer ini turut diberikan fender dan flare gentian karbon yang memberikan impak seperti otot-otot untuk menempatkan rim gergasi berdiameter 20-inci, dibaluti tayar 245/40R20. Cermin tingkap sisi sebelah belakang pula tidak direka besar seperti model-model Impreza wagon terdahulu, sebaliknya diberikan unit yang kecil dan tirus.

    Beralih kebelakang, lampu versi Tourer ini juga direka hampir sama seperti versi sedan sebelum ini. Namun, rekaan bamparnya tidak diberikan bentuk yang agresif pada bahagian diffuser, dan hanya dua tip ekzos dengan elemen trapezoid ditempatkan, berbanding empat tip ekzos bulat pada Viziv dan Viziv Performance STI.

    Dari segi dimensi, model ini dibina dengan 4,775 mm panjang, 1,930 mm lebar, serta 1,435 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula diukur dengan jarak 2,730 mm. Sama seperti sebelum ini, tiada perincian mekanikal diberikan tetapi jenama tersebut menyatakan model ini akan dijana enjin boxer bersama sistem pacuan semua roda Symmetrical AWD Subaru.

    Untuk keselamatan pula, Subaru Viziv Tourer dilengkapi dengan sistem bantuan pemandua Eye-Sight generasi seterusnya yang dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2020. Menurut Subaru, sistem yang menggabungkan radar, GPS berketepatan tinggi dan sistem navigasi berkenaan mampu “mengurangkan kelesuan kepada pemandu dalam perjalanan yang jauh bagi membolehkan pemanduan aktif yang menyeronokkan dengan ketenangan minda”.

    GALERI: Subaru Viziv Performance STI di Tokyo Auto Salon 2018

    GALERI: Subaru Viziv Performance di Tokyo Motor Show 2017

    GALERI: Subaru Levorg 1.6 GT-S

     
     
  • Range Rover SV Coupe diperkenal – 565 PS, 999 unit

    Range Rover SV Coupe diperkenal – 565 PS, 999 unit

    Geneva Motor Show yang memulakan kemeriahannya pada minggu ini, turut memberi laluan bagi Range Rover SV Coupe untuk diperkenalkan secara rasmi, dengan versi dua-pintu yang asalnya Range Rover generasi pertama. Hanya 999 unit sahaja yang bakal diproduksi secara global.

    Jelas kelihatan pengurangan ke dua pintu dan garisan bumbung yang lebih landai. Penutup pintu berkuasa dengan tingkap tanpa bingkai membolehkan cahaya semulajadi memasuki kabin, bersama bumbung panora. Selain itu, tiga hamparan reka bentuk bagi Range Rover standard pada hujung pintu telah digantikan dengan kekemasan jejearing pada pinggir belakang panel hadapan. SV Coupe adalah Rover Range pertama yang mempunyai pilihan roda 23-inci.

    Di dalamnya, SV Coupe ini dipadankan dengan upholsteri kulit ‘quilted’ dengan warna kontras pada hadapan dan belakang, dengan tambahan warna kulit membentangi segenap ruang kabin. Ia juga hadir dengan tiga pilihan kekemasan kayuan, termasuk Nautica, pertama bagi Range Rover, digabungkan dengan walnut dan sycamore.

    Range Rover SV Coupe diperkenal – 565 PS, 999 unit

    Tempat duduk hadapan turut menawarkan fungsi haba dan penyejukan serta 20-hala pelarasan elektrik, sementara 10-hala untuk tempat duduk belakang, juga larasan elektrik. Setiap Range Rover SV Coupe juga akan melibatkan pemasangan-tangan untuk memenuhi kehendak pelanggan menerusi jabatan Special Vehicle Operation, yang ditawarkan dengan lebih 100 pilihan warna cat.

    Selain itu, ia turut menampilkan infotaimen InControl Touch Duo Pro bagi paparan 10-inci, panel kawalan 10-inci dan paparan interaktif pemandu 12-inci, sementara HUD warna-sepenuhnya 10-inci yang mempamerkan informasi navigasi, informasi tayar dan cerun, kawalan kelajuan, RPM enjin dan gear. Audio pula disokong oleh sistem bunyi Meridian 3D Signature 23-pembesar suara 1,700-watt dengan subwoofer dwi-saluran.

    Model ini dikatakan sebagai versi paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh jenama ini dengan padanan enjin petrol supercharged V8 yang mampu menghasilkan 565 PS dan tork 700 Nm, berbanding 565 PS dan 680 Nm pada SVAutobiography Dynamic.

    Range Rover SV Coupe diperkenal – 565 PS, 999 unit

    Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan, membolehkan SV Coupe ini dipaca dari 0-100 km/j dalam 5.3 saat, dan kelajuan maksimum sehingga 266 km/j. Ketinggian SUV ini juga direndahkan sebanyak 8 mm berbanding Range Rover standard.

    Sebagai keluarga Range Roverm SV Coupe ini dijangka menampilkan keupayaan pengendalian off-road, termasuk menampilkan elemen Terrain Response 2 dengan tujuh program pemukaan, transfer box dua-kelajuan bagi pacuan empat-roda dengan penguncian tayar belakang, suspensi udara yang menawarkan lima larasan ketinggian, sementara redahan kedalaman mencecah 900 mm, dengan kapasiti menunda sehingga 3.5 tan.

    SV Coupe bakal berharga £240,000 ke atas menurut Land Rover apabila ia dijual mulai suku keempat tahun ini, dan nampak gayanya bersaing dengan Lamborghini Urus, Bentley Bentayga dan akan datang Rolls-Royce Cullinan.

     
     
  • BMW Concept M8 Gran Coupe – gaya lebih mewah

    BMW Concept M8 Gran Coupe – gaya lebih mewah

    Minggu lalu BMW telah mengeluarkan satu teaser sebuah model konsep baru untuk Geneva Motor Show. Hari ini, model tersebut telah pun didedahkan, dengan dinamakan sebagai BMW Concept M8 Gran Coupe. Ia sekaligus mengesahkan kewujudan sebuah 8 Series Gran Coupe empat pintu – yang akan tiba pada tahun 2019 menggantikan 6 Series Gran Coupe.

    Banyak bahagian pada kenderaan ini diambil daripada model 8 Series Concept, termasuk lampu kuasa laser yang nipis, pencahayaan unik empat heksagon serta gril kidney yang besar. Tetapi, bahagian bukaan udara yang agresif – diperbuat daripada gentian karbon – itu adalah serba baru.

    Pada bahagian tepi, bermula dengan fender, terdapat salur udara yang menyampaikan udara seterusnya kepada bahagian tepi kenderaan. Bumbung pula menjunam di belakang seperti kebiasaan sebuah coupe, manakala bahagian but pula mempunyai spoiler bersepadu yang menaik ke atas. Rendah di bawah bampar terdapat empat muncung ekzos serta diffuser yang besar.

    Model konsep ini dicat dengan warna Salève Vert, yang boleh bertukar dari hijau menjadi biru malap, bergantung kepada keadaan sekitar. Bahagian lain termasuk gril, grafik cermin, angkup brek, rim dan muncung ekzos mempunyai kemasan warna emas, yang menurut BMW, menambah ciri eksklusif kenderaan ini.

    Buat masa ini masih belum ada perincian berkenaan bahagian dalam atau mekanikal kenderaan ini. Walaupun begitu, ia boleh dijangka menggunakan enjin sama seperti M5 iaitu unit V8 4.4 liter twin turbo yang boleh menghasilkan lebih 600 hp. Semua kuasa ini juga berkemungkinan besar disampaikan ke semua empat tayar melalui sistem pacuan M xDrive dan transmisi automatik M Steptronic.

     
     
  • Toyota Auris 2018 muncul – guna platform TNGA baru, pilihan enjin petrol 1.2L turbo, hibrid 1.8L dan 2.0L

    Toyota Auris 2018 muncul – guna platform TNGA baru, pilihan enjin petrol 1.2L turbo, hibrid 1.8L dan 2.0L

    Model generasi ketiga Auris kini sudah pun ditunjukkan secara rasmi oleh Toyota melalui beberapa gambar, sebelum ia ditampilkan rasmi di Geneva Motor Show nanti. Model ini dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan mencatat ukuran 40 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 25 mm lebih lebih rendah berbanding model sebelum ini.

    Bahagian bonet kenderaan ini nampak lebih rendah, dan ia kini menggunakan konsep rekaan baru kenderaan Toyota moden. Lampu LED penuh berbentuk L padanya mengapit gril tengah nipis, manakala di bawahnya terdapat satu bukaan udara dengan corak honeycomb yang besar, bersama lampu kabus di setiap penjuru.

    Dilihat dari tepi, kenderaan ini nampak lebih dinamik dengan garisan badan dari depan menaik ke atas di belakang, dan disudahi dengan warna dua tona – bumbung warna hitam. Bahagian belakang juga menggunakan lampu LED berbentuk tajam yang terpisah dua, manakala bamparnya pula kelihatan terbonjol keluar.

    Di sebalik badan ini, platform TNGA yang digunakan dapat menjadikan pusat graviti Auris lebih rendah, dengan penggunaan suspensi multi-link di belakang dan badan yang lebih tegar dengan penggunaan besi berkekuatan tinggi di tempat-tempat penting. Semua bahagian ini juga dikatakan dapat menyumbang kepada pengendalian serta stabiliti yang lebih baik. Pakej sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense generasi terkini juga boleh didapati pada model ini.

    Toyota Auris 2018 muncul – guna platform TNGA baru, pilihan enjin petrol 1.2L turbo, hibrid 1.8L dan 2.0L

    Perincian lain masih lagi belum disiarkan, tetapi Auris telah disahkan akan dilancar dengan satu sahaja enjin petrol biasa iaitu unit 1.2 liter turbo. Ini mungkin adalah enjin 8NR-FTS sama seperti model facelift generasi sebelum ini, yang dapat menghasilkan 116 PS pada 5,200 hingga 5,600 rpm dan 185 Nm tork antara 1,500 hingga 4,000 rpm.

    Berita lebih menarik adalah Toyota akan menawarkan dua varian hibrid untuk satu model buat pertama kali. Satu daripadanya diambil daripada Prius terbaru, iaitu unit 1.8 liter, manakala satu lagi adalah unit 2.0 liter yang dijangka adalah enjin Dynamic Force yang baru diumum dua minggu lepas. Varian 2.0 hibrid tersebut akan mempunyai pedal penukar gear untuk menghasilkan pemanduan yang lebih sporty.

    Model Auris hatchback lima pintu ini berkemungkinan besar akan menjadi asas untuk sedan Corolla generasi seterusnya, dan perinciannya juga mungkin jadi hampir. Model Auris sebelum ini sememangnya sudah dipanggil sebagai Corolla Hatchback di beberapa pasaran termasuk Australia dan nama itu juga akan digunakan di UK untuk generasi seterusnya.

     
     
  • Volkswagen I.D. Vizzion – tiba di pasaran tahun 2022

    Volkswagen I.D. Vizzion – tiba di pasaran tahun 2022

    Volkswagen akhirnya mendedahkan perincian penuh bagi I.D. Vizzion Concept, yang membuat penampilan pertama semasa Geneva Motor Show 2018. Model elektrik penuh ini terletak paling atas dalam barisan kenderaan I.D jenama itu, dan dijangka siap untuk pasaran paling lambat pada tahun 2022.

    Model ini dibina atas platform kenderaan elektrik penuh MEB milik Volkswagen Group dan mencatat ukuran keseluruhan 5.16 m, lebar 1.94 m dan tinggi 1.5 m. Jarak rodanya pula adalah 3.09 m dan di dalamnya terdapat empat tempat duduk berasingan untuk empat orang.

    Seperti yang anda boleh lihat, model konsep ini tidak banyak bergantung kepada kawalan seperti kenderaan biasa, jadi ia boleh dikawal menggunakan cermin mata khas HoloLens, suara dan gerakan. Hasil penggunaan sistem A.I juga, kenderaan ini boleh mempelajari, mengesan dan menilai corak tertentu sebagai input.

    Ketiadaan roda stereng dan pengawal lain pada kenderaan ini secara utamanya adalah untuk menghasilkan ruang persendirian yang lebih luas. Ini kemudiannya disokong dengan hakikat bahawa pemandu tidak diperlukan untuk mengendali kenderaan ini, dan ia boleh mengambil serta menghantar penumpang secara sendiri dengan autonomi Tahap 5.

    Ini sekaligus menunjukkan kelebihan pemanduan autonomous kenderaan tersebut, yang juga adalah tema sama yang digunakan pada kenderaan konsep I.D yang pernah ditunjukkan sebelum ini – I.D Concept, I.D Buzz EV dan I.D Crozz. Sekiranya mahu, pemandu masih boleh memberhentikan kenderaan ini menggunakan butang di konsol tengah dan ia turut disediakan dengan tiga mod iaitu Relax, Active dan Family.

    Walaupun model konsep ini menggunakan rekaan tanpa roda stereng, apabila dipasarkan untuk produksi nanti, ia masih lagi akan mempunyai pengawal asas kenderaan.

    Volkswagen I.D. Vizzion – tiba di pasaran tahun 2022

    Penggerak I.D Vizzion terdiri daripada dua motor elektrik, iaitu satu untuk setiap gandar, seterusnya memberikan sistem pacuan semua roda. Ia mampu menghasilkan secara keseluruhannya 302 hp, dan baterinya mampu memberikan perjalanan sehingga 665 km.

    “Kami akan menawarkan model ini paling lambat pada tahun 2022 sebagai sebuah sedan tahap tinggi dalam keluarga I.D dengan kokpit inovatif I.D dan roda stereng. Model ini juga akan dipersiap untuk sistem pemanduan autonomous penuh. Langkah demi langkah, ia akan memberikan bantuan kepada tugas memandu sekiranya dimahukan oleh pemandu,” kata ketua pegawai eksekutif Volkswagen, Herbert Diess.

     
     
  • Kerajaan kekalkan sistem penentuan harga minyak

    Kerajaan kekalkan sistem penentuan harga minyak

    Kerajaan akan terus menggunakan sistem penentuan harga bahan api seperti yang dilaksanakan sekarang, dan tidak bercadang untuk membuat sebarang perubahan dalam mekanisme.

    Menurut Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mekanisme mingguan yang ditetapkan kerajaan sudah pun diterima rakyat, laporan Bernama.

    Katanya walaupun harga minyak turun naik antara 7 hingga 8 sen setiap minggu namun, rakyat sudah pun faham dan bersedia dengan perubahan itu.

    “Turun naik harga minyak adalah mengikut harga pasaran dunia dan apabila rakyat faham, mereka yang berniaga boleh mengkaji kos perniagaan mereka. Justeru, kita sebagai rakyat sepatutnya bersyukur dengan apa yang kerajaan lakukan terbaik untuk rakyat ,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

    Pengumuman harga bahan api mingguan ini telah dibuat sebanyak 49 minggu sejak sistem ini bermula pada akhir Mac 2017. Harga semasa bagi petrol RON 95 untuk minggu 1-7 Mac ialah RM2.20 seliter, manakala RON 97 pula RM2.47 seliter. Bagi diesel pula, Euro 2M berharga RM2.18 seliter. Harga semasa ialah 10 sen lebih rendah (dari RM2.30 seliter) untuk RON 95, 13 sen lebih rendah (dari RM2.60) untuk RON 97 dan 2 sen lebih rendah (dari RM2.20 seliter) bagi diesel Euro 2M berbanding ketika program ini mula dilaksanakan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024