Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Harga minyak 4 hingga 10 Januari 2018 – semua naik

    Harga minyak 4 hingga 10 Januari 2018 – semua naik

    Masuk minggu pertama tahun baru, harga bahan api petrol dan diesel untuk seminggu ke hadapan akan dinaikkan. Ini selepas harga bagi petrol turun satu sen minggu lalu. Bagi pengguna diesel pula, ini mungkin berita yang tidak menyeronokkan; harganya naik lagi – semuanya naik antara tiga hingga enam sen.

    Bermula tengah malam nanti, harga bagi petrol RON 95 akan dinaikkan sebanyak tiga sen, menjadikan harga runcit seliter dijual pada harga RM2.29. Kenaikkan yang sama turut melibatkan RON 97; naik tiga sen kepada harga RM2.56 seliter.

    Harga bahan api diesel pula terus meningkat; kini naik enam sen berbanding minggu lalu. Diesel Euro 2M akan dijual pada harga RM2.32 seliter, manakala diesel Euro 5 akan dijual pada harga RM2.42 seliter.

    Harga runcit terbaru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti dan akan kekal sehingga Rabu minggu depan, 10 Januari 2018.

     
     
  • Toyota Rush 2018 di Indonesia – tiada peningkatan harga walau pun spesifikasi tinggi, dari RM72k-RM78k

    Toyota Rush 2018 di Indonesia – tiada peningkatan harga walau pun spesifikasi tinggi, dari RM72k-RM78k

    Toyota telah memperkenalkan Rush baharu di Indonesia pada tahun lalu, serentak dengan kembarnya, Daihatsu Terios – tetapi ketika itu harganya masih belum dinyatakan. Terkini, syarikat tersebut telah mengumumkan bahawa SUV tujuh-tempat duduk baharu ini ditawarkan dengan harga yang sama seperti sebelum ini, menurut laporan AutonetMagz.

    Malah, menurut Toyota, varian auto untuk TRD Sportivo juga sebenarnya lebih murah sebanyak tiga juta rupiah berbanding sebelum ini. Harganya bermula 239.9 juta rupiah (RM71,500) bagi model asas G manual, meningkat sehingga 249.9 juta rupiah (RM74,500) untuk G auto, 251.3 juta rupiah (RM74,900) bagi TRD Sportivo manual dan 261.3 juta rupiah (RM77,900) untuk TRD Sportivo auto.

    Elemen standard termasuklah lampu utama dan lampu belakang LED, butang penghidup enjin dan kamera undur. Manakala varian TRD Sportivo pula didatangkan dengan papan pemuka dua-tona sentuhan lembut, paparan pelbagai-info berwarna, port USB di kesemua barisan tempat duduk, sistem infotainmen DVD-AVX dengan skrin sesentuh tujuh-inci, Miracast, Weblink, Bluetooth dan sokongan Waze, serta lapan pembesar suara.

    Model TRD Sportivo ini juga tampil lebih garang dengan pemadanan pelindung bawah pada bahagian hadapan dan belakang, perumah lampu kabus lebih menonjol dan juga kemasan sisi tambahan. Model varian tertinggi ini juga menerima rim aloi 17-inci, berbanding model G yang hanya diberikan rim 16-inci. Kit keselamatan pula termasuk enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan dan pengingatan tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh tempat duduknya sebagai standard untuk semua varian.

    Model generasi baharu ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan pilihan sama ada kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik

    Dengan harga yang dikekalkan antara generasi, Rush sepatutnya tidak perlu terlalu mahal berbanding model semasa apabila ia sampai ke pasaran Malaysia, di mana SUV sedia ada ini berharga antara RM101,900 hingga RM106,700. Bagaimana pendapat anda – adakah anda mahukan Rush dengan kerangka yang lebih tegar ini atau pun kenderaan penumpang seperti Honda BR-V?

     
     
  • Volkswagen mungkin hasilkan Polo R versi produksi?

    Volkswagen mungkin hasilkan Polo R versi produksi?

    Pada tahun 2012, Volkswagen telah memperkenalkan Polo R WRC – Polo produksi paling pantas pernah dihasilkan, dan dibina hanya 2,500 unit sempena versi prototaip model tersebut yang bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC). Berbanding model GTI yang diberikan enjin TSI 1.8 liter turbo berkuasa 190 PS/320 Nm, model R berkenaan berkongsi enjin TSI 2.0 liter turbo dari Golf GTI berkuasa 220 PS/349 Nm digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan.

    Setelah model generasi baharu (Mk6) didedahkan tahun lalu, setakat ini hanya model GTI diperkenalkan sebagai model berprestasi tinggi, juga dijana enjin TSI 2.0 liter turbo tetapi hanya berkuasa 200 PS/320 Nm.

    Namun ketua pembangunan casis Volkswagen Karsten Schebsdat memberitahu Autocar, versi lebih berkuasa mungkin akan diperkenalkan kerana casis baharu ini “mampu menampung lebih kuasa”.

    Volkswagen Polo R 2013

    “Kereta tersebut sangat stabil walaupun pada selekoh berkelajuan tinggi yang tentunya mampu menampung kapasiti untuk versi yang lebih fokus,” jelas Schebsdat.

    Kenyataan Schebsdat tersebut jelas memberi gambaran bahawa Volkswagen berminat untuk menghasilkan Polo GTI yang lebih berkuasa, dan mengikut hieraki model ia mungkin akan digelar sebagai Polo R. Apa yang menarik, Polo generasi baharu ini juga dibina berasaskan platform MQB, iaitu asas yang sama dengan Golf tetapi dipendekkan. Jadi tidak mustahil jika ianya nanti turut akan diberikan sistem pacuan semua roda Haldex sama seperti Golf R.

    Walau bagaimanapun, ia masih terlalu awal untuk berbicara berkenaan perincian Polo yang lebih berkuasa berkenaan.

    GALERI: Volkswagen Polo GTI Mk6

     
     
  • Brembo panggil balik motosikal yang guna pam brek PR16 di Amerika Syarikat – Ducati dan Aprilia terkesan

    Brembo panggil balik motosikal yang guna pam brek PR16 di Amerika Syarikat – Ducati dan Aprilia terkesan

    Satu panggilan balik dikeluarkan oleh NHTSA di Amerika Syarikat, untuk silinder brek utama hadapan Brembo, yang turut digunakan pada motosikal Aprilia dan Ducati tertentu. Panggilan balik ini dilakukan kerana dikhuatiri piston silinder utama brek hadapan ini, yang diperbuat daripada plastik berkemungkinan retak.

    Setakat ini, model yang terlibat dalam panggilan balik ini adalah Aprilia RSV4 dan Aprilia Tuono 1100 2017, sementara Ducati juga telah mengeluarkan panggilan balik berkenaan perkara sama untuk model tahun antara 2015 hingga 2018 bagi 1299 Panigale, Panigale R, Monser 1200, Multistrada 1200, Multistrada 1260, XDiavel S dan Scrambler 800 Cafe Racer.

    Secara khususnya, silinder brek Brembo yang dipanggil balik adalah model PR16, yang biasanya digunakan bersama angkup Brembo M50. Masalah timbul apabila silinder utama brek ini, yang diperbuat daripada plastik polyphenylene sulphide boleh retak apabila digunakan secara ekstrem seperti dalam perlumbaan ataupun bila sistem ABS terlalu kerap diaktifkan.

    Brembo panggil balik motosikal yang guna pam brek PR16 di Amerika Syarikat – Ducati dan Aprilia terkesan

    Baik pulih yang akan dilakukan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menggantikan piston silinder utama brek ini kepada unit aluminium. Penukaran akan dilakukan di wakil pengedar jenama yang terlibat, tanpa sebarang kos kepada pemilik bermula 15 Februari.

    Silinder brek Brembo PR16 ini sebenarnya oleh banyak motosikal, termasuk dari jenama KTM, Kawasaki, Triumph dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun, setakat ini, panggilan balik hanya dilakukan oleh Ducati dan Aprilia. Pemilik dua jenama ini di Malaysia boleh menghubungi pengedar rasmi untuk mengetahui sama ada motosikal mereka terlibat, manakala mereka yang membelinya sebagai aksesori tambahan boleh menghubungi Brembo secara terus.

     
     
  • Volkswagen beri penyelenggaraan percuma tiga tahun

    Volkswagen beri penyelenggaraan percuma tiga tahun

    Semua kenderaan Volkswagen yang didaftarkan mulai 1 Januari 2018 kini ditawarkan dengan program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 45,000 km (mana-mana tiba dahulu). Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) yang mengumumkannya hari ini menjelaskan bahawa program berkenaan adalah untuk semua modelnya di pasaran negara ini.

    Menurut Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, program penyelenggaraan percuma selama tiga tahun ke atas kenderaan Volkswagen itu akan memberi ketenangan minda kepada para pemilik kerana kos menjaga kereta mereka ditanggung oleh Volkswagen.

    “Dengan adanya program ini, pemilik tidak perlu bimbang tentang penyelenggaraan kereta Volkswagen mereka. Ia juga mengukuhkan komitmen kami terhadap para pelanggan – bukan sekadar menguatkan perkhidmatan selepas jualan, malah dari segi pengalaman pemilikan kepada pelanggan kami,” katanya.

    Volkswagen beri penyelenggaraan percuma tiga tahun

    Program ini merangkumi semua kos penyelenggaraan sebagaimana yang diperlukan dalam servis berkala. Namun ia tidak melibatkan alat-alat ganti lusuh seperti cakera brek, pad brek, penggilap cermin dan mentol lampu. Pemilik kenderaan juga perlu mematuhi jadual penyelenggaraan di pusat servis sah Volkswagen atau berisiko jaminannya terbatal.

    Sebagai tambahan kepada program baharu itu, pelanggan yang membeli mana-mana varian Passat juga akan menikmati kadar faedah rendah bermula 0.88% setahun. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.volkswagen.com.my.

     
     
  • Datsun Cross akan tampil kali pertama di Indonesia

    Datsun Cross akan tampil kali pertama di Indonesia

    Selepas membuat kemunculan semula pada tahun 2012, satu lagi jenama di bawah Nissan selain Infiniti, iaitu Datsun terus ke hadapan dengan kini berada dalam pasaran India, Indonesia, Rusia, dan Afrika Selatan. Terbaru, syarikat itu mengumumkan akan mempertontonkan buat kali pertama di dunia model Cross produksi di Indonesia.

    Ini adalah sebuah model crossover kompak, dan berdasarkan satu gambar teaser bahagian hadapan yang dikeluarkan oleh syarikat itu di laman webnya, hampir keseluruhan rekaannya menyamai model konsep Go Cross yang pernah muncul semasa Tokyo Motor Show 2015.

    Kenderaan ini mempunyai gril yang besar di hadapan, dengan logo Datsun di tengah, dan di antara lampu utamanya, terdapat satu lagi lampu berbentuk bulat, seperti model Nissan Juke. Bahagian bawah bamparnya pula mempunyai kemasan yang ranggi seperti kebanyakan crossover.

    Datsun Cross akan tampil kali pertama di Indonesia

    Selain daripada itu, Datsun Indonesia tidak mengeluarkan banyak informasi berkenaan kereta ini, namun ada menyatakan ia dibangunkan khas untuk Indonesia, dengan ciri antaranya jarak kelegaan tanah yang tinggi dan boleh menyokong pelbagai gaya hidup pemiliknya.

    “Datsun Cross merupakan generasi baru compact crossover. Dengan rekaannya yang bergaya dan kelengkapan canggih, Datsun Cross akan menjadi pasangan yang sesuai untuk gaya hidup pelanggan baru kami,” kata Presiden PT. Nissan Motor Indonesia, Eiichi Koito.

    GALERI: Datsun GO-Cross Concept di Tokyo Motor Show 2015

     
     
  • Mercedes-Benz G-Class terbaru di dalam video teaser

    Akan membuat kemunculan pertamanya ketika North American International Auto Show 2018 di Detroit pada 15 Januari ini, video teaser Mercedes-Benz G-Class terbaru kini sudah didedahkan – memberi petunjuk bahawa model baru itu nanti akan tetap membawakan semangat dan imej versi lamanya dahulu.

    Dalam video ini, model lama G-Class ditampilkan “terperangkap” di dalam kiub beku dengan segala DNA-nya masih terpelihara – baris ayat “The DNA lives one” juga terpampang di dalam video ini. Ini memang sudah dapat dijangkakan; ia masik mengekalkan bentuk berkotak yang ada, dengan perincian lain di bahagian luar disifatkan menerima sentuhan baru.

    Ruang dalamannya pula sebelum ini telah pun ditunjukkan kepada umum melalui gambar-gambar yang diedarkan. Ia antara lain dilengkapi paparan digital 12.3 inci serta pendekatan rekaan pada tombol pendingin hawa dan gril pembesar suara yang masing-masing mengambil visual daripada rekaan lampu utama dan lampu isyaratnya.

    Mercedes-Benz G-Class terbaru ini dijangka akan terus menggunakan enjin 4.0 liter biturbo V8 seperti yang ada pada model G500 facelift 2015 sebelum ini. Varian AMG juga dijangka akan turut ditawarkan bersama. Ia akan dipasang di kilang Magna syarikat itu, di Graz, Austria; sama seperti tempat model lamanya dikeluarkan sebelum ini.

     
     
  • Suzuki Swift generasi baharu masuk pasaran Thai bulan hadapan – Kereta Eco, hanya 1.2 liter NA

    Suzuki Swift generasi baharu masuk pasaran Thai bulan hadapan – Kereta Eco, hanya 1.2 liter NA

    Setelah dilancarkan di Jepun pada Disember 2016, kini Suzuki Swift generasi baharu akan menerjah pasaran Thailand awal tahun ini, lapor Headlightmag.

    Model generasi keempat ini akan dilancarkan di Thai sebagai kenderaan yang diiktiraf dalam skim Kereta Eco Peringkat Kedua yang pastinya mampu milik serta menawarkan penjimatan bahan api yang baik. Bagi diiktiraf untuk mendapat potongan cukai di bawah skim ini, Swift Thailand bakal dijana enjin K12C Dualjet 1.2 liter NA empat-silinder tanpa pilihan enjin Boosterjet 1.0 liter turbo seperti pada pasaran lain.

    Enjin berkenaan juga tidak hadir dengan sistem hibrid ringkas yang menggunakan integrated starter generator (ISG) seperti yang ditawarkan di Jepun – sebagai syarat untuk merendahkan lagi kos penghasilan kereta berkenaan.

    Selepas dilancarkan di Thailand nanti, model generasi baharu ini bakal berhadapan dengan Toyota Yaris Ativ dan Nissan Note, yang juga dikelaskan sebagai Kereta Eco Thailand. Kedua-dua model ini juga merupakan model yang dihasilkan khas bagi menerima insentif tersebut di mana Toyota menggunakan model Vios generasi baharu dan menyumbatnya dengan enjin 1.2 liter yang lebih kecil, manakala Nissan Note di Jepun yang menerima sistem hibrid e-Power juga diubah kepada enjin petrol 1.2 liter untuk pasaran Thailand.

    Bagi enjin K12C dengan sistem suntikan berkembar Swift ini, ia akan menghasilkan kuasa 91 hp/118 Nm sama seperti model sedia ada. Namun sudah pasti enjin tersebut ditala dengan lebih efisien dan mesra alam bagi memenuhi standard regulasi Kereta Eco Thai yang menetapkan ia perlu sekurang-kurangnya berada pada bacaan 23.3 km/l dan kadar emisi CO2 100 g/km.

    Manakala asas Swift ini sendiri yang kini menggunakan platform baharu digelar Heartect sememangnya dibina lebih tegar dan lebih ringan (model JDM kini 30 hingga 160 kg lebih ringan dari sebelumnya), sudah tentu turut akan membantu aspek penggunaan bahan api.

    Untuk peringkat global, versi prestasi tinggi Swift Sport juga telah membuat kemunculan sulungnya di Frankfurt Motor Show 2017 September lalu. Manakala bagi kita di Malaysia, nampaknya masih lagi belum nampak sinar harapan untuk menerima model ini setelah Suzuki menutup operasinya di sini dan menjalankan kerjasama strategik bersama Proton bermula pada 2016.

    GALERI: Suzuki Swift pasaran Jepun

     
     
  • SsangYong Rexton Sports – imej, video pikap disiar

    SsangYong Rexton Sports – imej, video pikap disiar

    Selama beberapa tahun ini, satu-satunya model pikap dari SsangYong adalah Actyon Sports. Tapi kini, ada model baru yang lebih besar, dan lebih mewah iaitu Rexton Sports (juga akan dipanggil sebagai Musso di beberapa pasaran). Syarikat ini telah mengeluarkan imej serta video pertama bagi model ini, sebelum ia membuat penampilan di Geneva Motor Show Mac nanti.

    Seperti yang dijangka, model pikap ini banyak persamaan dengan Rexton biasa, dengan segala yang terdapat dari tiang B-pillar ke hadapan, adalah sama dengan SUV tersebut. Belakang pada itu, ia mempunyai bentuk biasa pikap namun ruang barangannya kelihatan seperti agak pendek.

    Seperti juga versi SUV, Rexton Sports ini hanya ditawarkan dengan enjin diesel turbo 2.2 liter yang mampu menghasilkan 187 PS dan 420 Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan dari Aisin. Sistem pacuan pula sama ada 2WD belakang sahaja, atau 4WD 4Tronic.

    Empat varian bagi pikap ini akan ditawarkan, dengan varian permulaan, Wild berharga 2,350,000 won (RM88,700), dan dilengkapi dengan cermin sisi dengan ciri pemanas dan boleh lipat, rim 17 inci, lampu siang LED, cruise control, sambungan Bluetooth dan enam pembesar suara.

    Varian Adventure yang berharga 2,600,000 won (RM98,000) pula mempunyai rim 18 inci, lampu utama projector, lampu penanda dan penunjuk arah LED, balutan kulit di dalam, pemanas pada stereng, cermin pandang belakang boleh malap sendiri dan sistem masuk tanpa kunci.

    Dengan membayar 2,750,000 won (RM103,800) pula, pengguna boleh mendapatkan varian Prestige, yang mempunyai skrin paparan pelbagai informasi TFT LCD tujuh inci, lampu utama automatik, pengawal suhu dua zon, tempat duduk dengan ciri pemanas, tempat duduk pemandu larasan kuasa dan stereng kuasa yang sensitif kepada kelajuan.

    Varian paling atas dijual pada harga 3,060,000 won (RM115,500), dan ia mendapat lampu utama xenon, rim 20 inci, tempat duduk hadapan larasan kuasa, sistem brek kecemasan autonomous dan beg udara bidai dan tepi. Pilihan lain yang boleh diambil adalah skrin sesentuh 9.2 inci, sistem bunyi 3D dan sistem keselamatan lain seperti blind spot monitoring, lane keeping assist dan rear cross traffic alert.

     
     
  • Renault Koleos Initiale Paris diperkenalkan di UK

    Renault Koleos Initiale Paris diperkenalkan di UK

    Renault Koleos Initiale Paris telah pun diperkenalkan di United Kingdom, selepas ia ditampilkan buat pertama kali di hadapan khalayak di paris Motor Show 2016. Pada dasarnya ia adalah Koleos biasa tetapi telah dilengkapi dengan beberapa elemen khas yang lain.

    Ditawarkan pada harga atas jalan 36,700 British pounds (RM200,630), Initiale Paris didatangkan dengan warna luaran yang dikenali sebagai Amethyst. Elemen luarannya termasuklah roda aloi dua-tona 19-inci, lampu utama LED penuh ‘Pure Vision’, tailgate berkuasa automatik dan logo spesifikasi model ini.

    Jika pada luarannya tidak menampakkan ia berbaloi dengan kos penambahan sebanyak 9,200 British pounds (RM50,294) melebih Koleos biasa, lihat pada bahagian dalamannya. Ia ditampilkan dengan balutan kulit upholstery Nappa dua-tona dengan fungsi haba dan aliran udara untuk tempat duduk hadapan, bumbung matahari panoramik, pencahayaan ambien dan sistem intertainmen R-Link 2 8.7-inci dengan fungsi navigasi TomTom, serta ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Renault Koleos Initiale Paris diperkenalkan di UK

    Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan elemen keselamatan dan sistem bantuan pemanduan termasuklah Sistem Brek Kecemasan Termaju (AEBS), Amaran Titik Buta, Amaran Penukaran Lorong, Pengesan Isyarat Trafik dengan Pencegahan Terlebih-Laju dan Bantuan Mula Mendaki (HSS).

    Ia turut didatangkan dengan kamera undur, pengesan parkir hadapan dan belakang, ESC dengan kawalan cengkaman, kawalan kelajuan, pengehad kelajuan, enam beg udara dan cermin pandang belakang elektromatik.

    Koleos Initiale Paris hanya ditawarkan dengan enjin diesel dCi 175 2.0 liter, yang dipadankan dengan X-Tronic automatik CVT dan sistem pacuan semua-roda All Mode 4×4-I. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan output sehingga 177 PS dan tork 380 Nm, serta didakwa mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 17 km/l (kitaran gabungan NEDC), kelajuan maksimum sehingga 201 km/j dan 0-100 km/j dalam 9.5 saat.

     
     
  • VIDEO: Fiat S61 1908 – kereta lumba yang hanya ada lima di dunia, dikuasakan enjin 10.0 liter, sistem SOHC

    Fiat adalah sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari Itali yang sudah wujud sejak tahun 1899, dan memiliki banyak sejarah. Kereta yang ditampilkan ini adalah antara yang penting. Ia adalah model Fiat S61, yang merupakan hasil daripada sebuah projek bermula pada tahun 1908 dan di dalam dunia ini hanya ada lima unit sahaja.

    Lima unit ini dibina oleh Fiat untuk perlumbaan, dan satu-satunya unit yang tinggal ini berjaya dibaik pulih seperti asal. Tambah menarik juga, unit ini pernah memenangi perlumbaan American Grand Prix pada tahun 1912. Projek baik pulih S61 ini bermula pada tahun 2008 dan apa yang boleh dipakai pada kenderaan itu, dikekalkan. Ia juga tidak dicat warna baru bagi menampakkan keasliannya.

    Fiat S61 menggunakan enjin empat silinder, 10.0 liter, namun sudah mempunyai teknologi seperti single overhead cam, empat injap bagi setiap silinder dan empat palam pencucuh bagi setiap silinder. Teknologi kejuruteraan ini boleh dianggap mengagumkan kerana sudah diguna pada kereta tahun 1908 ini.

    Lihat lebih lagi berkenaan kereta ini dalam video di atas, dan bagaimana cara unik ia dihidupkan. Selepas dibaik pulih, kini kenderaan ini disimpan di dalam koleksi Fiat Automobiles.

     
     
  • Audi bakal tampil dengan rekaan konsep baharu, janji akan elak rupa yang hampir sama pada setiap model

    Audi bakal tampil dengan rekaan konsep baharu, janji akan elak rupa yang hampir sama pada setiap model

    Jika dahulu Audi tampil dengan rekaan yang jauh lebih garang dari pesaing senegaranya, namun sekarang konsumer dilihat semakin bosan dengan penampilan tersebut yang seakan sama pada setiap model, dan sukar untuk membezakan dari model ke model yang lain. Menurut laporan dari Autocar UK, jenama berkenaan dikatakan berjanji akan merombak semula konsep tersebut.

    CEO pembuat kereta dari Jerman itu, Rupert Stadler berkata, Audi sengaja membuat rekaan yang hampir sama untuk setiap barisan modelnya sebelum ini bagi memudahkan kereta mereka dikenali.

    “Proses rekaan [berulang] ini digunakan untuk menjadikan Audi lebih mudah dikenali pada pasaran-pasaran penting baharu seperti China. Sekarang kami sudahpun dikenali di China, kami boleh mula mengubah falsafah ini dan mula memberikan rupa tersendiri untuk setiap model,” jelas Stadler.

    “Kami sudahpun mengenal pasti bahawa ada ruang untuk dibezakan sekarang. Memandangkan setiap model dalam produksi minimum enam tahun, untuk masa sekarang saya rasa setiap model perlu ada rekaan tersendiri untuk menjadikan ia menarik untuk jangka masa yang lama,” tambah Marc Lichte, ketua rekabentuk Audi.

    Model-model seterusnya akan membolehkan Audi melangkah lebih jauh dari segi rekaan, terutamanya apabila kereta-kereta elektrik seperti e-tron quattro yang akan menjengah pasaran. Lichte turut menjelaskan dengan penggunaan teknologi elektrik, kereta-kereta tersebut akan menawarkan dimensi yang lebih kompak serta membolehkan bentuk kereta itu berubah.

    “Rekaan akan menuju kearah yang jauh bereza. [Pereka bentuk] akan mempunyai lebih ruang untuk bermain dengan rekaan, jadi kami mampu untuk menghasilkan [kereta dengan] juntaian (overhang) lebih pendek serta bonet yang lebih rendah. Ia akan menjadikan rekaan yang lebih menarik secara keseluruhan,” jelasnya lagi.

     
     
  • Siri nombor plat khas ‘SAM’ dan ‘K1M’ pula muncul

    Siri nombor plat khas ‘SAM’ dan ‘K1M’ pula muncul

    Lagi siri nombor plat khas diperkenalkan iaitu ‘SAM’ dan ‘K1M’ yang menyertai beberapa siri plat unik sebelum ini termasuk T1M, VIP, US, NBOS, NAAM, G, GT, U, Y, PERFECT, RIMAU, dan PATRIOT.

    Bagi SAM, ia ditawarkan dari SAM 1 hingga SAM 9999, yang dikendalikan oleh Gabungan Persatuan Superbikes Malaysia dengan slogan ‘Saya Anak Malaysia’. Bidaan mula dibuka sejak 14 Disember lalu dan telah pun ditutup pada 30 Disember, manakala keputusan bidaan hanya akan diketahui pada 10 Januari ini.

    Menurut laman web terbabit, harga bidaan minimum adalah untuk empat digit asas SAM bernilai RM360, meningkat sehingga RM35,050 untuk nombor digit tunggal platinum. Seperti kebiasaan, apabila tempoh bidaan tamat, pihak yang berkepentingan boleh membeli plat SAM ini daripada beberapa broker plat nombor.

    Bagi plat K1M pula, ia membawa maksud ‘Kembara 1Malaysia’, dan hanya ditawarkan dengan jumlah yang terhad iaitu K1M 1 hingga K1M 100. Siri ini dikendalikan oleh Yayasan Wangsa Perdana, dengan diuruskan oleh syarikat D’City Planners yang bertanggungjawabkan mengendalikan aktiviti berkaitan dengan siri plat khas ini.

    Turut dikesan ialah siri plat GTR, tetapi tidak banyak info mengenainya. Tidak dipastikan sama ada ia merupakan variasi baharu bagi siri GT yang ditawarkan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) pada 2016 mahu pun tidak.

     
     
  • GPX Racing Demon 150-GR 2018 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi – 149 cc, rupa seperti Ducati Panigale

    GPX Racing Demon 150-GR 2018 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi – 149 cc, rupa seperti Ducati Panigale

    Sebelum ini kami pernah menyampaikan berita ketibaan jenama motosikal dari Thailand, iaitu GPX Racing, dengan dua modelnya pernah dilihat di Malaysia iaitu Demon 150-GN dan Gentleman 200. Kini, syarikat itu turut memberitahu akan membawa satu lagi model menarik iaitu Demon 150-GR, yang mempunyai bentuk sports.

    Daripada sumber yang kami terima, model yang rekaannya mirip seperti Ducati Panigale ini akan membuat kemunculan di Malaysia selepas bulan Julai, dengan harga jangkaan sekitar RM11,000. Harga ini adalah sama seperti Gentleman 200, manakala Demon 150-GN dijangka berada pada sekitar RM8,000.

    Demon 150-GR dikuasakan oleh enjin satu silinder 149 cc dengan sistem penyejukan udara, dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Pada bahagian hadapannya terdapat fork jenis terbalik (USD), manakala di belakang pula menggunakan monoshock. Daripada laman rasmi GPX, motosikal seberat 130 kg ini dikatakan boleh mencecah kelajuan maksimum sekitar 125 km/j.

    Sistem penghentian dijalankan oleh unit cakera di depan dan belakang, manakala rim pula menggunakan unit 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Segala informasi berkenaan motosikal dan operasinya dipaparkan pada unit LCD, dan lampu utamanya menggunakan sistem LED.

    Demon 150-GR dipasarkan di Thailand dengan tiga pilihan warna iaitu merah, hitam matte dan putih. Selain daripada itu, terdapat juga pilihan warna ‘sports’ yang terdiri daripada kombinasi warna merah/putih/kelabu dan putih/kelabu. Walaubagaimanapun, masih belum diketahui warna apakah yang akan tiba di Malaysia nanti.

    GALERI: GPX Racing Demon 150-GN


    GALERI: GPX Racing Gentleman 200

     
     
  • Nissan Terra – foto sedikit bahagian ruang dalaman didedahkan sebelum diperkenalkan secara rasmi

    Nissan Terra sekali lagi dikesan, kali ini kita berpeluang melihat ruang dalaman SUV tujuh-tempat duduk ini. Bakal dibangunkan berdasarkan model trak pikap NP300 Navara, terdapat desas-desus yang menyatakan Terra akan diperkenalkan pada umum di Beijing Auto Show 2018 yang dijangka berlangsung April hadapan.

    Berdasarkan imej ini, papan pemuka Terra kelihatan tidak begitu banyak berbeza dengan Navara, malah memang agak mirip dengan trak pikap tersebut. Ini termasuklah bentuk corong pendingin hawanya, suis kawalan suhu, rekaan roda stereng dan konsol tengah yang tidak banyak perubahan.

    Pendekatan ini dilihat berbeza dengan SUV yang berdasarkan pikap termasuklah Toyota Fortuner (berdasarkan Hilux), serta Isuzu MU-X (berdasarkan D-Max) untuk pasaran China. Contoh lain pula seperti Ford Everest (berdasarkan Ranger) dan Mitsubishi Pajero Sport (berdasarkan Triton), di mana peningkatan bagi bahagian kabin adalah berkaitan dengan pendekatan kebanyakan pasaran.

    Sementara itu, bahagian luarannya diberi kelainan berbanding Navara. Terra ditampilkan dengan gril utama signatur V-Motion Nissan bersaiz besar, digandingkan bersama lampu hadapan yang lebih tajam berbanding Navara. Manakala pada bahagian belakang pula, rekaan diberikan agak ringkas dengan DNA Nissan, meliputi lampu dengan rekaan ‘two-piece’ serta jalur krom yang merentangi pintu tailgate.

    SUV ini dijangka bakal dijana enjin 2.3 liter turbodiesel berkuasa 190 hp/450 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan automatik. Ia juga berkemungkinan besar akan ditawarkan dalam versi pacuan roda-belakang dan pacuan empat-roda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024