Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Harga minyak 3-9 Ogos – semua naik 4 hingga 6 sen

    Harga minyak 3-9 Ogos – semua naik 4 hingga 6 sen

    Sama seperti minggu-minggu sebelumnya, Rabu adalah hari untuk kita “meraikan” pengumuman harga minyak di Malaysia. Setelah harga semua bahan api petrol dan diesel naik antara 3 hingga 6 sen minggu lalu, apa pula cerita minggi ini?

    Bagi minggu pertama, 3 hingga 9 Ogos 2017, harga minyak akan petrol sebanyak 4 sen seliter. Untuk itu, harga petrol RON 95 bagi tempoh seminggu akan datang ialah RM2.07 seliter. Sementara bagi petrol RON 97, harganya akan menjadi RM2.32 seliter.

    Bagi diesel pula, harga runcitnya akan naik sebanyak 6 sen. Ini menjadikan diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.05 seliter, manakala diesel Euro 4 pula dijual pada harga RM2.15 seliter. Semua harga ini akan berkuat kuasa tengah malam nanti sehingga Rabu, 9 Ogos.

     
     
  • VIDEO: Ford Mustang 2018 sedia mod ekzos senyap

    Biasa bagi sesebuah kereta sports dengan enjin besar, bunyi ekzosnya juga pasti adalah kuat, seperti contoh Ford Mustang GT 2018 yang menggunakan enjin 5.0 liter V8. Perkara ini sementara dihargai oleh pemiliknya sendiri, mungkin boleh jadi sebaliknya bagi jiran sekitar rumah dan orang lain.

    Ford mengambil kira perkara ini supaya pemilik Ford Mustang GT 2018 dapat mengekalkan hubungan baik dengan jiran, oleh itu, menyediakan mod khas ‘Quiet Exhaust’ dan ‘Quiet Start’ sebagai pilihan tambahan dalam pakej sistem ekzos prestasinya. Mod ini boleh diaktifkan pada waktu anda ingin keluar dari rumah awal pagi, tengah malam ataupun menetapkan waktu tertentu supaya ia boleh aktif secara sendiri.

    “Ekzos prestasi injap aktif ini memberikan pemilik Mustang kelebihan dalam dua dunia – bunyi klasik sebuah Mustang, dan tidak akan membangunkan jiran mereka apabila keluar dari rumah pada awal pagi atau balik pada tengah malam,” kata jurutera pembangunan ekzos Ford, Matt Fills.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

    TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

    Masih saya ingat semasa pertama kali menguji Street Triple 675 beberapa tahun dulu, saya cukup kagum dengan betapa berbezanya ia berbanding motosikal yang pernah saya uji sebelum ini. Bukan pada satu aspek, tetapi secara keseluruhan.

    Tarikannya cukup kuat sehingga membuatkan saya pergi sendiri ke pusat pameran Triumph tidak lama selepas itu untuk ‘meminangnya’ terus. Malangnya, saya tidak berjaya menjadi seorang pemilik Triumph. Kenapa? Cukuplah saya memberitahu membeli motosikal ini seperti berkahwin dan saya masih belum bersedia. Motosikal itu sendiri tiada apa masalah.

    Pada masa itu juga, agak sukar untuk mencari motosikal lain yang dapat menyaingi Street Triple secara keseluruhan. Bukan saya saja yang berkata sebegini, malah perbandingan yang dibuat oleh media-media antarabangsa juga mengatakan perkara yang sama.

    Tahun ini, Triumph membuat kejutan apabila memperkenalkan model baru, Street Triple 765 yang didatangkan dalam beberapa versi. Seperti yang dilihat pada namanya, 765 itu adalah membawa makna kapasiti enjinnya, yang menggunakan asas daripada enjin 675 cc sebelum ini tetapi telah dibesarkan menjadi 765 cc.

    Ini adalah kapasiti maksimum yang dapat dicapai sambil mengekalkan saiz asalnya, tetapi jika dibandingkan lagi dengan enjin 675 cc tersebut, enjin baru ini hanya berkongsi 10 peratus alat ganti yang sama.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Lebih 140,000 saman dikeluarkan di bawah AWAS

    Lebih 140,000 saman dikeluarkan di bawah AWAS

    Sejak diperkenalkan pada 15 April lalu, setakat ini, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) telah mencatatkan lebih 140,000 saman terutamanya bagi kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

    “Sejumlah 142,354 saman telah dikeluarkan di bawah AWAS. Daripad ajumlah itu, sebanyak 12,354 saman kesalahan melanggar lampu isyarat merah, dan 129,781 lagi kerana memandu melebihi had laju,” ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tion Lai dalam maklumbalas bertulis bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dalam Dewan Rakyat.

    Beliau turut menambah seramai 7,258 pengguna jalan raya telah menerima mata di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara), laporan The Star.

    Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan sebanyak 50 lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Di mana kamera terbabit akan dipasang di lokasi strategik yang telah dikenal pasti dalam usaha jabatan itu menurunkan kadar kemalangan maut.

    Buat setakat ini, hanya ada 21 kamera AES yang dipasang iaitu lapan unit di Perak, Kuala Lumpur (3 unit), masing-masing dua unit di Putrajaya, Selangor, Johor dan Terengganu, Manakala masing-masing satu unit di Kedah dan Kelantan.

    Di bawah AWAS, pesalah trafik yang dirakam melakukan kesalahan oleh kamera AES akan dikenakan saman antara RM150 dan RM300.

    Manakala pesalah trafik yang telah mengumpul maksimum 20 mata di bawah sistem Kejara pula, akan diberi amaran atau lesen memandu mereka bakal digantung atau dibatalkan.

     
     
  • VIDEO: Volkswagen T-Roc – satu teaser dikeluarkan untuk menunjukkan konsep rekaan luar dan dalamnya

    SUV segmen B terbaru Volkswagen yang dikenali sebagai T-Roc hanya akan membuat penampilan rasmi semasa Frankfurt Motor Show tidak lama lagi, tetapi beberapa video teaser sudah dikeluarkan, selain ia juga telah ditemui semasa diuji atas jalan.

    Video pertama menunjukkan T-Roc dipandu atas jalan berpasir, menyerlahkan kemampuannya. Walaupun enjinnya masih belum diketahui, T-Roc diberitahu menggunakan platform MQB, yang membawa makna kemungkinan enjin tiga dan empat silinder akan digunakan, bersama pilihan sistem pacuan empat roda 4Motion.

    Dalam video terbaru ini pula, Volkswagen membawa penonton kepada bagaimana proses pembangunan rekaan T-Roc dilakukan, dari sekadar lukisan atas kertas, memilih idea, lukisan digital, ukiran tanah liat sehinggalah kepada kereta sebenar. Bukan sekadar bahagian luar, rekaan bahagian dalam juga diterangkan.


    GALERI: Spyshot Volkswagen T-Roc

     
     
  • Isu bekalan disk cukai jalan masih berlarutan

    Isu bekalan disk cukai jalan masih berlarutan

    Sejak sebulan yang lalu, banyak rungutan kedengaran berhubung masalah untuk memperbaharui cukai jalan kerana bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang berkurangan. Malah pada pertengahan bulan lalu juga, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang berpunca daripada daripada kegagalan dan kerosakan mesin pencetak untuk mencetak nombor siri dan ciri-ciri keselamatan pada disk LKM.

    Kegagalan mesin pencetak ini berfungsi adalah disebabkan oleh kerosakan terhadap komponen utama mesin yang memerlukan kepakaran daripada pihak luar untuk melakukan kerja-kerja baik pulih. Disebabkan itu, stok LKM baharu tidak dapat dicetak dan menyebabkan syarikat pembekal tidak dapat membekalkan disk LKM kepada stor pusat di ibu pejabat JPJ.

    Walau bagaimana pun, sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan dan mungkin akan terus berlarutan dalam tempoh beberapa bulan lagi, menurut laporan NST.

    “Kontraktor yang dilantik buat masa ini masih mengalami masalah kekurangan bahan dan sedang menantikan penghantaran bekalan baharu. Sebelum ini, mesin pencetak berkenaan mengalami kerosakan salah satu komponen utama, yang mengakibatkan kegagalan mencetak nombor siri dan ciri-ciri keselamatan pada pelekat cukai jalan,” ujar sumber yang mendedahkan kepada akhbar terbabit.

    JPJ memerlukan 50,000 disk cukai jalan setiap hari bagi memenuhi permintaan awam dan kekurangan bekalan ini telah memaksa jabatan berkenaan mendahului pengedaran bagi cawangan, diikuti dengan Pos Malaysia dan MyEG.

     
     
  • Mitsubishi Fuso eCanter mula dikeluarkan di Eropah – trak kegunaan ringan elektrik penuh pertama di dunia

    Mitsubishi Fuso eCanter mula dikeluarkan di Eropah – trak kegunaan ringan elektrik penuh pertama di dunia

    Mulanya, Mitsubishi Fuso Truck and Bus Corporation (MFTBC) mengeluarkan eCanter – trak kegunaan ringan kuasa elektrik penuh – hanya untuk pasaran Jepun dengan Seven-Eleven Co., Ltd menjadi pelanggan komersial pertama dengan pembelian sebanyak 25 unit.

    Kini, pengeluaran trak tersebut sudah dimulakan di Tramagal, Portugal, untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Menurut MFTBC, kerajaan Portugal sudah menyokong langkah pembangunan eCanter sejak tahun 2010 lagi, dan langkah ini dianggap penting untuk memenuhi permintaan terhadap trak mesra alam di bandar-bandar besar.

    eCanter adalah jawapan Fuso untuk trak tanpa emisi dan tanpa bunyi. Kuasa yang menggerakkannya datang daripada enam pek bateri lithium ion voltan tinggi 420 V, dan setiap satunya mempunyai kuasa 13.8 kWh. Dengan caj penuh, trak ini boleh bergerak sehingga 100 km dan mengangkat berat dua hingga tiga tan, bergantung kepada bentuk badannya.

    Mitsubishi Fuso eCanter mula dikeluarkan di Eropah – trak kegunaan ringan elektrik penuh pertama di dunia

    Ia mendapat manfaat daripada ujian menyeluruh yang diadakan terhadap pelanggan di Portugal dan Jerman, dengan unit pra-produksi yang dikeluarkan antara tahun 2014 dan 2017. Jika dibandingkan dengan trak diesel, ia menawarkan penjimatan kos operasi sehingga 1,000 Euro (RM5,061) bagi setiap 10,000 kilometer.

    Selain trak kuasa elektrik ini, Fuso juga mempunyai trak mesra alam lain yang antaranya dikuasakan oleh enjin hibrid, iaitu pada model Canter Eco Hybrid yang sudah dikeluarkan sejak tahun 2006, manakala generasi keduanya pula dikeluarkan sejak tahun 2012.

     
     
  • RapidKL sediakan talian khas untuk pengguna respon berkenaan perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel

    RapidKL sediakan talian khas untuk pengguna respon berkenaan perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel

    Bagi memberikan peluang kepada para pengguna menyampaikan maklum balas mengenai perkhidmatan LRT, MRT dna Monorel, Rapid telah mewujudkan nombor talian khas iaitu 0107664472, bagi tujuan tersebut. Selain daripada itu, pengguna juga boleh memaklumkan kepada pihak Rapid mengenai salah laku atau musnah laku yang dialami semasa menggunakan pengangkutan berkenaan.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman, talian khas berkenaan adalah dikendalikan oleh Pusat Hubungan Rapid KL. Di mana pengguna boleh mengambil gambar dan berkongsi maklum balas dengan menghantar mesej WhatsApp kepada nombor tersebut.

    “Maklum balas ini sama ada baik atau tidak baik akan dikongsi pula dengan pihak berkaitan untuk tindalan lanjut. Ini merupakan satu kempen baharu Rapid,” katanya dalam satu kenyataan yang turut disiarkan menerusi laman rasmi Facebook mereka.

    Zohari berkata ia dilakukan susulan sungutan orang ramai mengenai vandalisme dan salah laku sesetengah pengguna ke atas aset MRT laluan Sungai Buloh-Kajang yang perkhidmatannya baru dilancarkan pada 17 Julai lalu.

    “Walau pun kami memiliki ratusan anggota keselamatan yang bertugas dan ribuan kamera litar tertutup (CCTV), namun kami masih memerlukan kerjasama orang awam,” katanya.

    Sementara itu Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun berkata kempen tersebut akan turut dipanjangkan untuk perkhidmatan bas Rapid KL sekiranya saluran maklum balas baharu itu mendapat sambutan orang ramai.

    Beliau juga berkata maklum balas segera mengenai status perkhidmatan rel dan bas Rapid KL boleh diperoleh melalui Twitter @AskRapidKL atau mesej di Facebook MyRapid.

     
     
  • SPAD mempertimbangkan aplikasi ‘Meter On’ untuk pengguna akses butiran pemandu ‘e-hailing’

    SPAD mempertimbangkan aplikasi ‘Meter On’ untuk pengguna akses butiran pemandu ‘e-hailing’

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mempertimbangkan untuk memasukkan latar belakang pemandu ‘e-hailing’ dalam aplikasi ‘meter-on’ bagi membolehkan pengguna mengakses butiran pemandu sebagai langkah keselamatan.

    Menurut CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah, buat masa ini, aplikasi berkenaan hanya menyediakan data pemandu teksi. Sejak 16 Jun lalu, SPAD mula menyemak latar belakang para pemandu perkhidmatan ini bagi memastikan mereka mempunyai rekod yang baik, laporan Bernama.

    Beliau turut berkata SPAD juga akan terus mengguna pakai butang panik atau butang kecemasan (SOS) dalam perkhidmatan e-hailing bagi menjamin keselamatan pengguna dan pemandu itu sendiri.

    Dalam masa yang sama, Azharuddin turut berkata, Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dijangka diwartakan pada Oktober ini.

    Beliau berkata pindaan akta berkenaan, yang bertujuan mengesahkan perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Grabcar dan Uber sebagai perkhidmatan pengangkutan awam, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Julai lepas.

    Selain pemandu, operator dan industri teksi, beliau berkata orang awam khususnya mereka yang bergantung sepenuhnya pada perkhidmatan itu akan mendapat manfaat daripada pindaan akta itu.

    “Antaranya, pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ hanya perlu membuat pemeriksaan kenderaan di Puspakom setahun sekali berbanding dua kali setahun sebelum ini iaitu selepas tempoh tiga tahun pendaftaran di JPJ,” katanya pada sidang media semalam.

    Pindaan itu juga mampu meningkatkan pendapatan pemandu melalui penggunaan harga tambang dinamik apabila menggunakan aplikasi ‘e-hailing’ atau kadar tambang teksi bermeter semasa mengambil penumpang di bahu jalan.

    Buat masa ini, SPAD telah meluluskan 1,722 lesen individu daripada 3,474 permohonan sejak September 2016 hingga Julai lalu melalui inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) selain mengagihkan geran tunai kerajaan sebanyak RM2.15 juta kepada 431 pemandu.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic Type R FK8 2017 – revolusi 25 tahun peralihan falsafah pembinaan jentera Type R

    PANDU UJI: Honda Civic Type R FK8 2017 – revolusi 25 tahun peralihan falsafah pembinaan jentera Type R

    Zaman 90’an merupakan era emas bagi dunia kereta berprestasi tinggi dari Jepun. Negara matahari terbit berkenaan mula membina kereta sport bermula penghujung era 50’an lagi, dan selepas itu ia mula berevolusi dari masa ke masa, sehinggalah mencapai bentuk paling sempurna sekitar era 90’an di mana budaya modifikasi JDM mula dijadikan satu ‘mazhab’ untuk diikuti oleh ‘abang-abang kereta’ di seluruh dunia.

    Era berkenaan menyaksikan Nissan Skyline GT-R menerusi model R32, R33, dan R34 mula digeruni oleh kereta-kereta sport dari benua Eropah dan Amerika, diikuti oleh model-model heavyweight lain dari Jepun seperti Toyota Supra dan Honda NSX. Dalam pentas kejohanan Rali Dunia pula, pertarungan sengit antara Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX menyebabkan pengeluar-pengeluar lain kelihatan seakan tidak tahu bagaimana untuk menghasilkan kereta-kereta 2.0 liter turbo 4WD yang pantas.

    Manakala untuk kelas enjin bawah dua liter tanpa induksi paksaan, Honda hadir dengan teknologi Variable Valve Lift and Electronic Control atau lebih dikenali sebagai VTEC – enjin yang berperangai seperti enjin biasa pada rpm rendah, dan tiba-tiba menjadi liar dan meraung seperti enjin perlumbaan sebenar pada rpm tinggi.

    Enjin-enjin VTEC ini juga memegang rekod-rekod terbaik untuk enjin NA. Enjin F20C yang menjana roadster S2000 misalnya, ia merupakan enjin NA produksi yang menghasilkan kuasa kuda paling besar untuk setiap liter pada tahun 1999 hingga 2010, sebelum dipintas oleh enjin Ferrari pada model 458. Enjin-enjin terdahulu dari siri B juga tidak kurang hebatnya di mana unit 1.6 liter B16B pada Honda Civic Type R EK9 mampu menghasilkan 185 hp pada tahap 8,200 rpm dalam keadaan standard.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Perodua Axia yang dipandu jururawat terbabas kerana kucing, bukan masalah stereng terkunci – polis

    Perodua Axia yang dipandu jururawat terbabas kerana kucing, bukan masalah stereng terkunci – polis

    Ahad lalu kecoh di laman media sosial apabila tularnya berita mengenai seorang jururawat yang mengalami kemalangan di daerah Kota Tinggi, Johor, selepas Perodua Axia yang dipandunya terbabas. Pada mulanya kemalangan ini didakwa oleh netizen, berpunca akibat stereng terkunci, namun ternyata ia adalah tidak benar sama sekali.

    Kejadian yang menimpa Saidatul Atikah Shabandi, yang dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Semenchu dari FELCRA Sungai Layau, telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kota Superintendan Ashmon Bajah, laporan Harian Metro.

    Menurut siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati kejadian kira-kira jam 4.30 petang yang menimpa jururawat berkenaan tidak ada kaitan dengan kegagalan stereng kenderaan dipandunya. Sebaliknya berpunca apabila pemandu berkenaan mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas dari kiri jalan.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke kanan jalan dan menjunam beberapa meter di pekarangan sebuah rumah penduduk,” katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan dan mengesahkan tiada penghuni rumah yang mengalami kecederaan dalam insiden itu.

    Tuduhan netizen yang mendakwa kereta buatan Perodua semakin kurang berkualiti hingga menyebabkan stereng boleh terkunci secara tiba-tiba ketika memandu adalah tidak berasas sama sekali. Malah kejadian yang pernah berlaku sebelum ini yang juga melibatkan kemalangan jalan raya juga didakwa berpunca daripada stereng model yang sama terkunci. Namun ia disangkal sama sekali oleh Perodua selepas menjalankan siasatan rapi mengenainya.

    Malah salah satu kejadian yang berlaku pada pertengahan November lalu yang turut didakwa berpunca daripada kegagalan stereng berfungsi dengan sempurna, hasil siasatan Perodua mendapati keempat-empat tayar pada kereta yang terbabit dengan kemalangan tersebut botak, dengan tiga daripadanya hanya tingga 1 mm kedalaman bunga.

    Jadi diharap rakyat Malaysia khususnya netizen dan jaguh papan kekunci (keyboard warrior) tidak cepat melatah dan membuat andaian yang bukan-bukan. Sebaliknya, biarlah pihak yang berwajib termasuk pengeluar kenderaan (waima apa jua model kenderaan sekali pun) yang melakukan siasatan sewajarnya. Bukannya membuat tuduhan melulu yang akhirnya tersalah penghitungan.

     
     
  • Range Rover Velar dari penggayaan Urban Automotive

    Range Rover Velar dari penggayaan Urban Automotive

    Sebelum ini, Luma Design telah memperlihatkan penawaran ubah suai mereka dengan badan yang lebih lebar bagi Range Rover Velar. Kini ada satu lagi pendekatan baru bagi reka luaran model sama ditunjukkan; Urban Automotive pula memberikan sentuhan versi mereka sendiri.

    Perubahan yang dilakukan antaranya ialah mengantikan bampar depan dan belakang dengan penggunaan gentian karbon. Bampar belakang juga hadir dengan bahagian splitter yang terdedah dengan penyudah dalam warna lutsinar. Bahagian masukan udara di depan juga ditampilkan, manakala masukan di bahagian sisi pula datang dengan lampu nyalaan siang.

    Diffuser di belakang turut menempatkan hujung ekzos aluminium serta penutup bahagian injap ekzos dengan penyudah hitam satin. Semua ini tambahan daripada kit yang disediakan oleh Urban Automotive. Bahagian bumbung Velar ini juga diberikan dua kemasan penyudah; dalam warna hitam satin dan hitam berkilat.

    Ia dilengkapi pula dengan rim 23-inci aloi. Menurut Urban Automotive, versi Range Rover Velar yang diperkemas ini akan ditawarkan bermula November nanti, dengan serahan kepada pelanggan dijangka dilakukan pada bulan berikutnya.

    Buat masa sekarang, Urban Automotive akan mengenakan perubahan visual bagi varian petrol; dilaporkan syarikat itu telah membeli 14 unit Velar untuk tujuan berkenaan. Tiada harga dinyatakan, dan versi petrol yang dimaksudkan itu akan menggunakan enjin 2.0 liter Ingenium empat-silinder dengan kuasa 250 PS, atau enjin 3.0 liter Supercharged V6 dengan kuasa 380 PS.

     
     
  • MINI Clubman Sterling Edition dilancarkan di Malaysia – terhad 20 unit, harga anggaran RM268,888

    MINI Clubman Sterling Edition dilancarkan di Malaysia – terhad 20 unit, harga anggaran RM268,888

    MINI Malaysia telah pun mengumumkan kehadiran MINI Clubman Sterling Edition baharu di pasaran Malaysia. Dibina khas dengan nilai estetik yang tiada tandingan dan cukup elegan, MINI edisi terhad baharu itu merupakan ekspresi sebenar kereta lelaki budiman yang moden. Didatangkan dengan 20 unit terhad sahaja, ia hanya dibuka untuk tempahan secara dalam talian di www.mini.my/sterlingedition, pertama seumpamanya dalam industri automotif Malaysia mulai 15 hingga 26 Ogos ini.

    Menawarkan nilai estetik dan elegan yang tiada tandingannya, MINI Clubman Sterling Edition baharu direka dengan penuh emosi bersama gabungan warna sofistikated dan material diadun bagi mencipta karekteristik untuk lelaki moden yang budiman, sofistikated dan yakin.

    Ia dihiasi dengan warna badan perak (Melting Silver) bersana perumah cermin sisi dan bumbung diwarnakan hitam (Matte Black Jack). Selain itu, ia diserlahkan lagi dengan simbol Black Union Jack pada bahagian scuttle sisi bagi mengingatkan asal-usulnya dari Britain. Ditambah pula dengan rim khas MINI Yours Masterpiece bersaiz 18-inci didatangkan dalam warna hitam.

    Malahan karakteristiknya juga cukup terserlah dengan garisan yang lebih jelas dan kontras. Malahan bahagian dalaman MINI Clubman Sterling Edition juga diserlahkan dengan kombinasi warna biru (Indigo Blue) dan merah bata (Pure Burgundy). Ruang kabin berwarna Pure Burgundy itu juga hadir dengan ciri iluminasi MINI Yours yang membolehkan pemilik untuk memilih 12 warna yang telah ditala ke bahagian kemasan, untuk disesuaikan dengan mood dan kecenderungan pemandu serta penumpangnya.

    Ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan upholsteri kulit lembut dan mewah Chester berwarna biru yang dihasil untuk memberi keselesaan kepada tangan pemandu melalui jahitan berbentuk diagonal. Bukan itu sahaja, reka bentuk tempat duduk sport itu menyerlahkan warisan British pada MINI. Pada masa yang sama memberikan interpretasi yang kontemporari ke atas karekteristik corak berliannya.

    Roda sterengnya juga dibaluti kulit Nappa yang lembut dan disempurnakan lagi menerusi jahitan tangan berwarna aluminium. Di bahagian bawah stereng, terdapat lencana union jack yang menjadi signaturnya.

    MINI Clubman Sterling Edition dilancarkan di Malaysia – terhad 20 unit, harga anggaran RM268,888

    MINI Clubman Sterling Edition baharu ini turut dilengkapi dengan MINI Connected iaitu sistem infotainmen yang tercanggih. Ia juga hadir dengan skrin LCD resolusi tinggi 6.5-inci yang dipasang pada bahagian tengah speedometer bersama grafik yang menghiasi sekelilingnya. Antara muka Spotify yang intuitif juga ada pada skrin MINI, manakala semua fungsi kawalan mudah diakses menggunakan MINI controller yang kecil tetapi padat dengan pelbagai ciri.

    Sebagai tambahan, maklumat standard seperti penggunaan bahan api semasa, jarak minyak sekarang dan lokasi terakhir boleh dilihat menerusi aplikasi telefon MINI Connected.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi dan kemudahan Bantuan Parkir untuk memudahkan pemandu meletakkan kenderaan ke dalam ruang parkir selari secara automatik. Fungsi kawalan jarak parkir mengukur ruang kosong di antara dua buah kereta ketika kereta dipandu. Sebaik sahaja ruang parkir yang sesuai ditemui, MINI akan mengarahkan pemandu untuk berhenti. Kelajuan boleh dikawal melalui panduan yang dipaparkan pada skrin menggunakan stereng automatik. Mengundur masuk atau keluar dari ruang yang sempit kini semakin mudah kerana kamera undur memberikan paparan jelas tentang apa yang ada di belakang pemandu.

    Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan pada 228 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan 5.9 liter bagi setiap 100 km.

    Ditawarkan pada harga anggaran atas jalan RM268,888 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran peribadi, MINI Clubman Sterling Edition baharu didatangkan dengan waranti empat Tahun tanpa perbatuan terhad dan Servis Berjadual Percuma.

    Selain itu, seperti mana model MINI baharu yang lain, ia turut dilindungi oleh program Bantuan Tepi Jalan selama lima-tahun yang terbaharu daripada MINI Malaysia. Iaitu disertakan dengan senarai perkhidmatan yang komprehensif seperti talian On the Spot Hotline, Help on the Phone dan bantuan Kemalangan 24 jam, 365 hari setahun, Perkhidmatan Tunda Percuma dan apabila diperlukan (lebih 200 km dari kediaman), Kenderaan Gantian, Tempat Tinggal, Penyelesaian Servis Mobiliti serta servis Penghantaran Pulang.

     
     
  • Toyota mendahului indeks kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia tahun ini – laporan J.D Power

    Toyota mendahului indeks kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia tahun ini – laporan J.D Power

    J.D. Power telah mengeluarkan kajian Indeks Kepuasan Perkhidmatan Pelanggan 2017 di Malaysia (Customer Service Index; CSI), yang membentangkan keseluruhan kepuasan perkhidmatan di kalangan para pengguna. Bagi kajian edisi 2017 ini adalah berdasarkan respon dari 2,705 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka antara Februari 2015 dan Mei 2016, dan menghantarnya ke pusat servis bertauliah di antara Ogos 2016 dan Mei 2017.

    “Dengan permintaan dan gaya hidup yang moden, pemilik kenderaan di Malaysia kini tidak mahu masa mereka terbuang begitu sahaja ketika menghantar kenderaan masing-masing untuk diselenggara. Jadi ia merupakan tanggungjawab para pengedar untuk menyediakan penasihat perkhidmatan profesional sebagai memastikan perkhidmatan mereka menepati kehendak pada pelanggan,” ujar Muhammad Asyraf Bin Mustafar, ketua J.D. Power bagi Malaysia.

    Kepuasan pemilik kenderaan baharu dengan pengalaman penyelenggaraan ditentukan dengan meneliti prestasi pengedaran dalam lima faktor (yang paling penting) iaitu kualiti penyelenggaraan (32%), penerimaan penyelenggaraan (22%), pengambilan kenderaan (18%), penasihat penyelenggaraan (15%) dan fasiliti penyelenggaraan (13%).

    Toyota mendahului indeks kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia tahun ini – laporan J.D Power

    Bagi kajian tahun ini menyaksikan kepuasan pelanggan telah ditambah baik, dengan kedua-dua jenama Malaysia dan luar yang mencapai mata tertinggi (pada skala 1,000 mata) berbanding tahun lalu. Jenama Malaysia merangkumi 756 mata (+9 mata), manakala jenama luar pula mencapai 766 mata (+11 mata).

    Sekali lagi, Toyota menduduki tangga teratas dengan kutipan mata sebanyak 780 mata, meningkat 17 mata berbanding tahun sebelum ini. Manakala tempat kedua pula diduduki oleh Mitsubishi dengan markah 778, bersaing rapat dengan Mazda (776 mata), diikuti pula dengan Nissan (768 mata), Volkswagen (765 mata) dan Isuzu (764 mata).

    Manakala pengeluar kenderaan pasaran massa yang menerima markah di bawah 761 termasuklah Ford (759 mata), Perodua (757 mata), Proton (755 mata) dan Honda (753 mata). Menurut J.D Power, Kia dan Hyundai yang turut berada dalam kajian, namun terkeluar daripada senarai memandangkan skala mereka yang agak kecil atau berkurangan.

    Klik untuk besarkan

    Kajian terbabit turut mendedahkan para pelanggan sangat menghargai penasihat perkhidmatan yang memberikan penjelasan yang terperinci sebelum penyelenggaraan dimulakan, dengan kepuasan meningkat sebanyak 49 mata menjadi 768 mata, berbanding ketika penjelasan tidak diberikan (719 mata). Manakala penjelasan selepas penyelenggaraan selesai juga menerima kepuasan tinggi (763 mata berbanding 711 mata).

    Tahun ini juga menyaksikan peningkatan proses penyerahan dalam kurang daripada 15 minit kepada 62% berbanding 58% pada 2016. Sebagai tambahan, peratusan bagi bayaran perkhidmatan yang dijelaskan juga telah bertambah menjadi 91% berbanding 88% tahun lalu.

    Selain itu, kajian juga mendapati rakyat Malaysia lebih berpuas hati apabila mereka dimaklumkan mengenai status kenderaan masing-masing dan sekiranya pusat servis dilengkapi dengan fasiliti yang diperlukan. Secara keseluruhannya, kepuasan pelanggan juga memberikan kesan terhadap kesetiaan dan sokongan, jadi apabila mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi, pasti mereka akan menyarankan pengedar perkhidmatan tersebut kepada kenalan dan keluarga.

     
     
  • Filem penghadang haba kenderaan perlu patuhi standard MS2669 mulai tahun 2018 – Liow

    Filem penghadang haba kenderaan perlu patuhi standard MS2669 mulai tahun 2018 – Liow

    Mulai tahun hadapan, piawaian filem penghadang haba akan diselaraskan menerusi satu mekanisme baharu bagi memastikan filem penghadang haba berkenaan mematuhi Standard Malaysia MS2669.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, satu mekanisme akan dilaksanakan iaitu Penyelarasan Piawaian Filem Penghadang Haba Kenderaan Bermotor yang dilihat mampu menyelesaikan isu penguatkuasaan terhadap kenderaan awam berikutan penggunaan peralatan ujian yang berbeza oleh syarikat aksesori kenderaan dan pihak berkuasa, laporan Bernama.

    Katanya lagi, mekanisme itu juga dapat memastikan filem yang dipasang oleh kedai aksesori kenderaan mematuhi standard ditetapkan sekali gus mengelakkan pengguna tertipu dengan produk tiruan.

    “Saya yakin pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan lanjut seperti meminda mana-mana peraturan atau kaedah yang berkenaan bagi memastikan pelaksanakan penggunaan filem yang menepati piawaian MS2669 dapat berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita sewaktu melancarkan mekanisme tersebut semalam.

    Mekanisme itu dibangunkan oleh Pertubuhan Penjual Auto Audio, Aksesori dan Hawa Dingin Malaysia (AAA) dengan kerjasama JPJ, Jabatan Standard Malaysia, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Persatuan Automotif Malaysia.

    Selaras dengan penggunaan mekanisme itu, Liow berkata pengusaha industri sama ada pembekal atau peruncit akan menggunakan label keselamatan kod QR pada filem penghadang haba yang dipasang pada setiap cermin kenderaan.

    Melalui sistem itu, pengguna, pengusaha kedai aksesori dan pihak berkuasa boleh mengimbas kod QR bagi memeriksa sama ada filem yang dipasang memenuhi standard ditetapkan.

    Filem penghadang haba kenderaan perlu patuhi standard MS2669 mulai tahun 2018 – Liow

    “Kadang kala bukan pengguna sahaja tertipu, tetapi kedai aksesori juga ditipu oleh pembekal. Dengan sistem ini, semua peringkat boleh memeriksa filem itu asli atau tiruan,” katanya.

    Menurut Presiden AAA Cherrie Lim Bee Choo pula, kod QR tersebut boleh diimbas melalui aplikasi telefon mudah alih “TinTrac” yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store.

    “Kod QR itu akan digunakan bermula pertengahan November ini secara berperingkat-peringkat di semua kedai aksesori yang menjadi ahli AAA, iaitu lebih 90 peratus daripada keseluruhan kedai aksesori kenderaan di negara ini. Hanya kedai aksesori ahli AAA yang akan mempunyai kod QR itu dan dengan mengimbas kod tersebut, semua maklumat seperti jenama filem dan material yang digunakan boleh diperolehi,” kata Lim.

    Di mana mekanisme itu mampu memantau dan mengesan filem penghadang haba bermula dari peringkat pengimportan, pengedaran, pemasangan dan pengendalian kepuasan pengguna sehingga ke peringkat penguatkuasaan.

    Mekanisme itu dibentuk susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ berhubung operasi bersepadu secara besar-besaran yang dirancang dilancarkan pada 16 Jun 2014 terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan filem penghadang haba tidak menepati piawaian penembusan cahaya.

    Pengumuman itu menimbulkan pertikaian kerana peralatan ujian yang digunakan oleh pihak berkuasa berbeza dengan alat yang digunakan pengusaha kedai aksesori kenderaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024