Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Tiada perancangan turunkan had umur pengambilan lesen motosikal, kekal minima 16 tahun – Ab Aziz

    pdrm_ops_pelajar2

    Pada Mei lalu, Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengemukakan cadangan untuk menurunkan had umur permulaan pemegang lesen motosikal dari 16 tahun ke 15 tahun bagi membenarkan golongan muda memiliki lesen yang sah.

    Ia adalah susulan terdapat laporan yang mengatakan 80% dari sekitar 117,000 pelajar sekolah di Malaysia yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen. Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan adalah terdiri daripada pelajar berumur antara 11 hingga 20 tahun di kawasan luar bandar.

    Terbaru, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam kenyataannya berkata, buat setakat ini tidak perancangan untuk menurunkan had umur pengambilan lesen menunggang motosikal dan ia masih kekal minimum 16 tahun, laporan The Star.

    “Kami merasakan umur di bawah 16 tahun adalah masih belum cukup matang untuk berada di jalan raya,” ujarnya bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) di Dewan Parlimen semalam.

    Dalam masa yang sama, beliau juga menjawab soalan dari Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir Ab Aziz (BN–Kulim Bandar Baru) yang mahu mengetahui tentang saman trafik yang dikeluarkan.

    Kata Ab Aziz, sehingga September 2016, terdapat sejumlah 231,788 saman telah dikeluarkan terhadap pesalah trafik untuk pelbagai kesalahan berhubung dengan lesen.

    “Ini termasuklah kegagalan memperbaharui lesen, menggunakan lesen yang tidak spesifik dengan klasifikasinya dan memiliki lesen palsu,” jelas Ab Aziz lagi.

    Beliau turut menambah, kos pengambilan lesen memandu/menunggang motosikal bukanlah alasan mengapa pengguna jalan raya tidak memiliki lesen yang sah.

    Katanya, “Terdapat pelbagai program termasuk 1Komuniti 1JPJ dan MyLesen yang dianjurkan bagi membantu mereka mendapatkan lesen menunggang motosikal B2 yang sah dengan kos yang berpatutan.”

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Sienta 1.5V – banyak kegunaan, pemanduan menyeronokkan, seperti penampilannya

    toyota-sienta-1-5v-bm-6

    Sering kali penggemar kenderaan jenama Jepun mempersoalkan kenapa ada kenderaan yang dipasarkan di sana tidak sampai ke Malaysia sedangkan ia cukup menarik dan dijangka boleh diterima baik oleh pengguna. Sebetulnya, setiap pasaran adalah berbeza, mempunyai kemahuan yang tersendiri, selain perlu disesuaikan dengan keadaan jalan dan peraturan yang ada di setiap negara. Bagi membawanya ke Malaysia, bukan perkara mudah, ditambah pula ia perlu menepati sasaran jualan tertentu supaya menjadikannya berbaloi.

    Tetapi, dalam kes Toyota Sienta, yang asalnya adalah model untuk pasaran domestik Jepun (JDM), ketua jurutera yang membangunkannya, Hiroshi Kayukawa memberitahu mereka memang dari awal sudah merancang untuk memasarkan model generasi kedua di luar Jepun. Beliau juga sudah merasa sendiri pengalaman memandu di negara Indonesia, Thailand dan Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah kajian.

    Dan akhirnya Ogos lalu, Toyota Sienta rasmi dilancarkan di Malaysia selepas pra tonton di My Auto Fest 2016 dan di pusat beli-belah diadakan bagi membina kehangatan sebelumnya. Untuk pasaran Malaysia, Sienta yang dipasarkan datang dari Indonesia, dan pastinya, ia mempunyai sedikit perubahan antaranya, mempunyai jarak kelegaan dari tanah 25 mm lebih tinggi berbanding Sienta Jepun, menjadikannya 170 mm.

    Dengan badan kompak dan konfigurasi tujuh tempat duduk, pesaing paling dekat Sienta adalah Perodua Alza yang dijual pada harga bermula RM55,332 hingga RM65,432 dan Honda Freed, yang kini tiada lagi model baru yang dikeluarkan oleh Honda Malaysia. Sienta yang kami tampilkan ini adalah model paling tinggi, 1.5V yang dijual dengan harga RM99,900 dan nyata ia mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek spesifikasi. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang, kerana Honda Freed sudah ada model baru yang dilancar di Jepun dan jika Honda Malaysia membawanya ke sini, cabarannya pasti lebih sengit.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • PLUS umum lencongan trafik di KM385.6 hingga KM384.1 Lebuhraya Utara-Selatan mulai 25 Okt

    plus-maintenance-3-bm

    Projek Lebuhraya Usahasama Berhad memaklumkan bahawa lencongan trafik telah mula diimplementasikan di KM385.6 hingga KM384.1 iaitu di antara laluan Behrang-Slim River (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan mulai semalam (25 Oktober) hingga 12 Disember 2016.

    Sepanjang lencongan trafik itu berlangsung, PLUS mengaktifkan laluan kontra bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di laluan tersebut dilaksanakan.

    Walau bagaimapun, PLUS memaklumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan tidak akan dijalankan pada cuti perayaan Deepavali, iaitu pada 29 Oktober 2016.

    Justeru, PLUS menasihatkan semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut supaya mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.

     
     
  • Mazda Malaysia peroleh RM625,500 hasil pertandingan golf amal – dana untuk Mazda Medicare Fund

    2016-10-20-mazda-charity-golf001

    Pengedar utama Mazda di Malaysia, Bermaz Motor, telah berjaya mengumpul sebanyak RM125,500 menerusi penganjuran Pertandingan Golf Amal Mazda kali ke-empat baru-baru ini. Dana tersebut akan disalurkan sepenuhnya ke Mazda Medicare Fund (MMF).

    Pada tahun ini, MMF juga telah memecahkan rekod kutipan sebanyak RM625,500, di mana sejumlah RM500,000 adalah sumbangan dari Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Bermaz Motor sendiri. MMF adalah salah satu usaha Bermaz Motor di dalam program tanggungjawab sosial korporat mereka.

    Bagi dana tahun ini, ia adalah bertujuan untuk menyalurkan kemudahan daripada segi kewangan bagi membantu pesakit End Stage Renal Disease (ESRD). Ia juga bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk B.Braun Avitum Renal Services (BARS) dan Mount Miriam Cancer Hospital di Pulau Pinang.

    MMF juga turut mengambil bahagian di dalam program amal lain termasuk menyalurkan sumbangan kepada rumah anak-anak yatim dan orang-orang tua. Pertandingan Golf Amal Mazda yang dianjurkan sejak tahun 2014 lalu, merupakan acara tahunan yang terbuka untuk pelanggan Mazda serta rakan perniagaan mereka atas tujuan kerja-kerja amal.

     
     
  • Isuzu MU-X Type-S dilancarkan di M’sia – RM176,640

    isuzu-mu-x-type-s-fb-bm-1

    Serentak dengan pelancaran D-Max facelift, Isuzu Malaysia turut melancarkan SUV tujuh tempat duduk MU-X Type-S, iaitu MU-X versi edisi istimewa dijual pada harga atas jalan dengan insuran RM176,640.41.

    Type-S dilengkapi dengan beberapa ciri tambahan berbanding MU-X sedia ada, termasuk pemadanan lips pada bampar hadapan dan belakang diwarnakan sama dengan warna badan, kemasan pada bampar belakang, antena sirip yu, rim aloi 17-inci dibaluti tayar 255/65/R17 serta lencana-lencana Type-S. Empat warna ditawarkan iaitu Splash White, Titanium Silver, Cosmic Black, dan Uluru Brown.

    Model edisi istimewa ini turut mendapat ciri-ciri yang dipadankan pada D-Max facelift seperti ‘Passive Entry and Start System’ (PESS), pemain DVD dengan skrin sesentuh lapan-inci, paparan instrumen e-Lumax, balutan kulit pada tempat duduk dan perehat tangan berwarna Ivory, serta kemasan berwarna Piano Black pada papan pemuka dan liang penghawa dingin.

    isuzu-mu-x-type-s-bm-6

    Ia juga menerima kelengkapan keselamatan seperti D-Max termasuk dua beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA).

    Tiada perubahan pada unit janakuasa di mana Type-S masih dijana enjin turbodisel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama kotak gear lima-kelajuan automatik dengan penukar gear manual.

    Setiap pembelian MU-X kini disertakan dengan waranti yang diperbaharui iaitu lima tahun tanpa had perbatuan, berbanding tiga tahun atau 100,000 km sebelum ini. Untuk anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi dan pembelian Isuzu MU-X Type-S ini, anda boleh layari laman Carbase.my.

    GALERI: Gambar rasmi Isuzu MU-X Type-S

     
     
  • Isuzu D-Max facelift 2016 dilancarkan di Malaysia – varian lebih luas, harga bermula RM83k – RM128k

    isuzu-d-max-facelift-bm-15

    Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, Isuzu hari ini telah melancarkan trak pikap D-Max generasi kedua versi facelift. Ia kini ditawarkan dalam lapan versi berbeza yang terdiri dari model dengan enjin 2.5 liter turbodiesel atau 3.0 liter turbodiesel, pacuan 4×2 atau 4×4, dan juga sama ada dengan transmisi automatik atau manual. Versi-versi berbeza ini akan disediakan dalam tiga varian berbeza iaitu Standard, Premium dan varian tertinggi Z-Prestige.

    Model paling asas 2.5L 4×2 Manual Hi-Ride Standard dijual pada harga RM82,978.84, 2.5L 4×4 Manual Standard berharga RM93,006.44, 2.5L 4×4 Automatic Standard berharga RM107,596.28 dan model paling berkuasa dalam varian Standard iaitu 3.0L 4×4 Automatic dijual pada harga RM115,690.40.

    Untuk barisan varian premium pula, ia ditawarkan dengan model 2.5L 4×4 Premium dijual pada harga RM103,405.04 dan 3.0L 4×4 Premium dijual pada harga RM113,063.72. Hanya transmisi manual disediakan untuk kedua-dua model dari varian premium ini, tanpa ada pilihan transmisi automatik.

    isuzu-d-max-facelift-bm-5

    Varian tertinggi Z-Prestige pula dibarisi oleh model 2.5L 4×4 Automatic yang dijual pada harga RM120,064.00 dan 3.0L 4×4 Automatic dijual pada harga RM128,052.12. Berbeza dengan varian Premium, kesemua model varian Z-Prestige ini hanya hadir dengan pilihan transmisi automatik sahaja. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran dan GST. Waranti untuk Isuzu D-Max kini diperbaharui, dilanjutkan daripada 3 tahun atau 100,000km kepada 5 tahun atau 150,000km.

    Pada bahagian hadapan, D-Max facelift diberikan sentuhan rekaan yang disegarkan semula bermula dari lampu hadapan, gril hadapan, dan juga bampar hadapan baharu yang menampilkan perumah lampu kabus serta gril rekaan pada liang kemasukan bahagian tengah baharu. Bahagian belakang kelihatan seiras dengan model sebelum ini, dibezakan dengan kemasan hitam yang kini diberikan disekeliling lampu belakang trak pikap ini.

    Kesemua model D-Max facelift dipadankan dengan lampu hadapan projektor elipsoid lengkap dengan lampu nyalaan siang, gril hadapan kemasan krom serta cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat membelok LED. Sports Bar pada bahagian belakang disediakan sebagai opsyen untuk semua varian. Untuk pecahan varian, kesemua model Standard diberikan antena biasa dan lampu belakang jenis mentol biasa. Varian ini menerima roda aloi bersaiz 16-inci dengan tayar 245/70R16.

    isuzu-d-max-facelift-bm-21

    Untuk model Premium pula, ia akan dipadankan secara standard dengan lampu kabus hadapan, antena sirip jerung, pembuka tailgate kemasan krom, serta lampu belakang LED. Varian ini juga dilengkapi roda aloi 18-inci dengan tayar 255/60/R18.

    Varian Z-Prestige agak istimewa kerana varian ini dibahagikan kepada tiga tema. Tema pertama ialah eksekutif hadir dengan warna Silky White Pearl, direka untuk eksekutif yang sentiasa sibuk dengan penekanan kepada penampilan dan gaya mewah. Tema eksklusif dengan warna Velvet Red Mica pula direka khusus bagi yang rugged dan sukakan cabaran. Akhir sekali, tema provokatif dikenakan warna Stallion Black untuk melambangkan kehidupan ‘urban underground’.

    Kesemua tema dalam varian Z-Prestige ini menerima pemegang pintu kemasan krom, penutup bed belakang lengkap dengan bar sport dan spoiler belakang, serta kemasan krom pada bampar belakang. Model ini juga menerima roda aloi 18-inci disalut tayar 255/60R18, tetapi untuk tema eksekutif diberikan kemasan berwarna perak, manakala tema eksklusif dan provokatif diberikan kemasan berwarna kelabu.

    Untuk bahagian dalaman pula, varian Standard hanya dilengkapi dengan paparan instrumen dan informasi biasa,sistem penghawa dingin manual, skrin infotaimen bersaiz 7-inci dengan pemain DVD dan MP3 serta hubungan Bluetooth, AUX, USB, dan iPOD. Hanya model 4×2 MT Hi-Ride diberi roda stereng balutan kulit.

    Varian Premium pula menerima paparan instrumen e-LUMAX, penghawa dingin automatik, skrin infotaimen bersaiz 8-inci dengan pemain DVD dan MP3 serta hubungan Bluetooth, AUX, USB, iPOD dan HDMI, pemegang cawan pada prehat tangan, pemegang cermin mata serta roda stereng balutan kulit dengan butang kawalan audio serta telefon.

    Varian Z-Prestige kini menerima ‘Passive Entry and Start System’ (PESS). Pemain DVD dengan skrin sentuh lapan-inci sama seperti varian Premium tetapi ia disertakan dengan sistem bunyi surround dihubungkan kepada lapan pembesar suara. Sama seperti bahagian luaran, bahagian dalaman varian Z-Prestige juga turut mengikut temanya tersendiri. Tempat duduk dan juga perehat tangan diberikan balutan kulit premium Itali.

    isuzu-d-max-facelift-bm-20

    Untuk tema eksekutif, balutan kulitnya diberikan warna perang dengan elemen hitam. Untuk eksklusif pula, ia diberikan balutan kulit berwarna hitam dengan elemen merah. Manakala untuk tema provokatif pula, ia diberikan balutan kulit berwarna hitam dengan elemen perak. Kesemua model Z-Prestige menerima kemasan pada papan pemuka dan pintu dengan warna Piano Black.

    Tiada perubahan disaksikan pada unit janakuasa dimana versi facelift ini masih dikuasakan dengan dua varian enjin yang sama. Enjin turbodisel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm menjana varian 2.5L. Manakala varian 3.0L, ia dijana dengan enjin turbo diesel 3.0 liter 4JJ1-TCX VGS berkuasa 177 PS dengan tork maksima 380 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm. Begitu juga dengan sistem transmisi dimana kotak gear automatik lima kelajuan mahupun manual lima kelajuan dari model terdahulu dibawa pada model baharu ini, termasuk dengan sistem pacuan dua- dan empat-roda.

    Untuk keselematan, kini semua varian termasuk varian paling asas didatangkan dengan dua beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA).

    Untuk anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi dan pembelian Isuzu D-Max facelift 2016 ini, anda boleh layari laman Carbase.my.

    GALERI: Gambar rasmi Isuzu D-Max facelift 2016 varian Standard dan Z-Prestige

     
     
  • Statistik jualan kenderaan bagi September 2016 – Proton catat kenaikan 36.7%, Perodua susut 19.3%

    proton-persona-1-6-premium-bm-03

    Selepas mencatatkan pertumbuhan meyakinkan bagi angka jualan kenderaan sepanjang Ogos 2016, suasananya sedikit berubah bagi angka jualan September 2016 bagi jenama-jenama utama di Malaysia, termasuk bagi pengeluar kenderaan nasional.

    Sebagai contoh, bagi jenama paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia, Perodua, walaupun kekal mendahului ditempat pertama dengan jualan keseluruhan 17,147 unit kenderaan, ia sebenarnya mencatatkan penguncupan 19.3% berbanding Ogos lalu dengan jualan 21,251 unit.

    Namun, berbeza bula dengan Proton. Jika pada Ogos jenama itu menduduki tangga keempat dengan jualan keseluruhan 4,436 unit, bagi September ia naik ke kedudukan ketiga dengan angka keseluruhan 6,062 unit; iaitu peningkatan sebanyak 36.7%. Bagi Proton, ini tentunya disumbangkan oleh pengenalan model-model baharu seperti Persona dan Saga.

    Di kedudukan kedua, ia masih kekal milik Honda; keseluruhan angka jualan pada September 2016 dengan 7,498 unit terjual. Ia bagaimanapun mencatatkan penurunan 9.5% jika dibandingkan dengan jualan Ogos 2016.

    Toyota pula beralih daripada kedudukan ketiga pada bulan lalu ke kedudukan keempat bagi September 2016 dengan jualan keseluruhan 5,680 unit terjual. Bagaimanapun, ia juga merupakan penurunan berbanding bulan sebelumnya pada kadar 13.5%.

    Walaupun secara keseluruhan industri mencatatkan penurunan, beberapa jenama lain sebaliknya mencatatkan peningkatan berbanding bulan sebelumnya. Antaranya Audi dengan peningkatan 75%, Porsche dengan kenaikan 39.5%, Volvo dengan tambahan 34.1%, Volkswagen dengan kenaikan 28.5%, Mercedes-Benz dengan kenaikan 21.1% dan Ford yang mencatat peningkatan 14.8%.

    september-2016-malaysia-car-sales-by-brand

     
     
  • Mitsubishi Triton 2.4L MIVEC Turbodiesel sahut cabaran Borneo Safari Int’l Offroad Challenge 2016

    the-new-triton-with-mivec-turbo-diesel-engine-will-be-participating-in-the-borneo-safari-2016

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan menyahut cabaran 4×4 ekstrem Borneo Safari buat kali kedua berturut-turut tahun ini. Jika tahun lalu hanya sebuah trak pikap Triton mewakili MMM untuk ekspedisi berkenaan, tahun ini Mitsubishi akan menghantar empat unit Triton, di mana dua daripadanya merupakan model versi kemaskini yang menggunakan enjin 2.4 liter MIVEC Turbodiesel.

    “Tahun lalu, kami sangat gembira kerana Triton VGT MT serba baru (transmisi manual) telah berjaya menamatkan Borneo Safari! Acara ini dikenali sebagai ekspedisi 4X4 yang paling sukar di dunia, oleh itu kami mengambil keputusan untuk bangkit menyahut cabaran dan untuk menakluk laluan Borneo Safari sekali lagi, dengan tamabahan dua Triton baru dijana oleh enjin MIVEC Turbo Diesel dari varian VGT AT (transmisi automatik) dan VGT MT (transmisi manual).” kata CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Untuk cabaran tahun ini juga, pasukan Mitsubishi akan disertai oleh atlet sukan permotoran negara, Leona Chin yang akan memandu Triton varian automatik untuk mengharungi laluan off-roadhardcore‘ yang dirancang. Beliau akan disertai oleh enam media lain yang akan turut memandu Triton, termasuk wakil dari paultan.org sendiri. Lima pemilik persendirian Triton turut akan menyertai pasukan MMM, menjadikan sembilan buah Triton akan mengharungi cabaran Borneo Safari 2016.

    Borneo Safari merupakan cabaran 4×4 yang terkenal diperingkat antarabangsa dan mula diadakan pertama kali pada tahun 1990. Untuk edisi tahun ini, ia akan berlangsung bermula 30 November hingga 6 November dengan upacara perlepasan akan diadakan di bangunan Sabah Tourism Board, Jalan Gaya, Kota Kinabalu pada pukul 9.30 pagi. Konvoi kemudiannya akan bergerak ke Kampung Penampang Baru untuk Special Stage permulaan.

    Untuk ekspedisi Borneo Safari yang diketegorikan sebagai hardcore, kesemua Triton akan dilengkapi dengan winch, bar-bar perlindungan, recovery points, suspensi yang diubahsuai serta unit snorkel. Tayar untuk pasukan MMM pula akan dibekalkan oleh syarikat tayar berstatus global, Giti Tyres.

    Mitsubishi Triton VGT versi dikemaskini dengan enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel telah dilancarkan pada September lalu. Enjin baharu berkenaan menggantikan enjin 2.5 liter Turbodiesel sebelum ini. Walaupun dengan kapasiti kurang 100cc, enjin baharu ini menghasilkan kuasa 3 ps dan tork 30 Nm lebih tinggi, dengan jumlah kuasa keseluruhan 181 ps pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm pada takat 2,500 rpm.

    Selain dari kuasa dan respon yang dipertingkat, enjin berkenaan terbukti lebih menjimatkan – diuji dan disahkan oleh paultan.org sendiri. Selain itu, enjin ini juga menerima sistem injap bervariasi Mitsubishi Innovative Valve Timing Eletronic Control (MIVEC) serta blok enjin aloi (pertama dalam kelasnya) yang 30 kg lebih ringan.

     
     
  • Singapura pertama kali uji bas tanpa pemandu

    singapore-autonomous-bus-trial-1

    Singapura melangkah lebih ke hadapan apabila bakal mengimplementasikan penggunaan bas tanpa pemandu. Kini ia bakal berada di peringkat ujian percubaan, di mana operasi ini adalah hasil usaha sama antara Nanyang Technological University (NTU) dan CleanTech Park. Malahan kemungkinan besar ia akan diimplementasikan di stesen Pioneer MRT pada masa hadapan.

    Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) negara berkenaan dan Institut Kajian Tenaga NTU akan mengendalikan sesi percubaan ini, di bawah perjanjian yang ditandatangani pada Jun tahun lalu bagi mewujudkan konsep mobiliti tanpa pemandu.

    Bas satu tingkat sepanjang 12 meter ini boleh membawa 80 orang penumpang dalam satu masa, dijanakan oleh kuasa elektrik. Walau tidak dinyatakan jarak kilometer yang mampu dipacu, namun bas ini dikatakan boleh dicas di depoh dan juga di perhentian bas.

    Klik untuk besarkan imej

    Selain menyokong keupayaan pemanduan sendiri, bas ini turut dilengkapi dengan sejumlah pengesan dan kamera, bersama perkakasan posisi, yang membolehkan ia beroperasi tanpa pemandu.

    “Buat masa ini, usaha sebegini hanya tertumpu pada kereta sahaja. Jadi ujian bagi bas tanpa pemandu ini adalah yang pertama di Singapura dengan mensasarkan peningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan kesesakan kenderaan, mengurangkan pencemaran dan memberi cabaran kepada tenaga kerja,” ujar Lam Khin Yong, timbalan presiden NTU, seperti yang dilaporkan oleh Channel NewsAsia.

    Percubaan lain yang melibatkan bas tanpa pemandu bersaiz sebenar ini termasuklah Bas Masa Hadapan Mercedes-Benz, yang dipandu sepanjang 19 km mengelilingi Amsterdam pada Jun lalu. LTA turut berharap dengan bas sedia ada berserta teknologi ini, ia mampu mengurangkan kadar kesesakan di Singapura.

     
     
  • MotoGP dapat sambutan hangat, k’jaan akan terus beri galakan untuk sukan permotoran – Perdana Menteri

    2016-Moto3-Khairul-Idham-Pawi-18-850x567

    Berbeza dengan Formula Satu yang dikhabarkan sedang dipertimbangkan untuk ditamatkan oleh SIC ekoran kemerosotan jualan tiket sejak tahun 2014, MotoGP pula dilihat akan terus disokong oleh kerajaan.

    Menurut laporan Bernama, kerajaan akan terus memberi galakan dan sokongan kepada sukan permotoran negara supaya sentiasa mendapat sambutan pada masa akan datang, dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Saya lihat Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) mendapat sambutan yang sangat hangat. Saya difahamkan dijangka 90,000 orang akan hadir pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2016.

    “Namun yang lebih penting kita dapat mengetengahkan jaguh-jaguh kita di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat tiga pelumba tempatan di pejabatnya di Menara Parlimen semalam.

    Tiga pelumba berkenaan, Hafizh Syahrin Abdullah yang bersaingan dalam Moto2 serta Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin dalam Moto3 akan beraksi pada kejohanan motoGP di Litar Antarabangsa Sepang, mulai Jumaat hingga Ahad ini. Perdana menteri berkata beliau mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mengucapkan selamat maju jaya kepada para pelumba berkenaan.

    04-fabio-di-giannantonio-ita-89-khairul-idham-pawi-mal_gp_0019.gallery_full_top_md

    “Saya difahamkan mereka mempunyai potensi untuk berjaya dan kami semua rakyat Malaysia berasa bangga dengan kehebatan mereka dan percaya bahawa mereka boleh bersaing dengan pelumba-pelumba dari negara-negara lain,” kata Najib.

    Litar Sepang akan menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Kejuaraan MotoGP Dunia tahun ini, dengan pusingan akhir di Valencia, Sepanyol dari 11 hingga 13 Nov.

    Bercakap kepada pemberita selepas sesi berkenaan, Hafizh yang meskipun kurang sihat dan mengalami sedikit kecederaan pada kaki dalam kejohanan baru-baru ini, akan cuba memberikan yang terbaik untuk perlumbaan berkenaan.

    Manakala Adam pula mengakui merasa sedikit ‘gelabah’ kerana ini merupakan tahun pertama beliau bertanding di peringkat yang tinggi. Bagaimanapun dengan memperoleh kedudukan yang lebih baik pada kejohanan minggu lepas, Adam berkata ia memberikan motivasi tinggi kepadanya untuk beraksi pada minggu ini.

    Khairul Idham atau lebih dikenali dengan gelaran Super KIP yang sebelum ini menjadi juara moto3 pada pusingan di Argentina dan Jerman pula berkata, beraksi di negara sendiri menjadikannya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik untuk negara.

     
     
  • Malaysia patut ‘rehat’ daripada menganjurkan F1 – KJ

    sic_bm

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyokong pengunduran diri sementara Malaysia daripada menganjurkan perlumbaan F1. Akhbar New Straits Times melaporkan Khairy menunjukkan sokongannya itu di Twitter, dan menyatakan terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada keputusan itu. Antaranya, kos yang tinggi serta pulangan yang tidak setimpal.

    Jelasnya, ketika pertama kali Malaysia menganjurkannya pada 1999, ia menjadi negara Asia terawal selepas Jepun yang berbuat demikian. “Kini, sudah banyak lokasi lain, tak ada lagi kelebihan untuk kita,” jelasnya.

    Antara sebab lain yang menyumbang kepada hal ini ialah jualan tiket yang merudum serta angka penonton TV, dan pelawat asing kini mempunyai pilihan untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Singapura, China dan Timur Tengah.

    Komen beliau ini adalah susulan kepada pendedahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Razali yang SIC kini sedang mempertimbangkan masa depan penganjuran perlumbaan itu di sini. Mesyuarat khas akan diadakan minggu ini bersama pihak-pihak berkepentingan dalam SIC serta Kementerian Kewangan untuk membincangkan perkara ini.

    Berkaitan persoalan mengapa perlumbaan di Singapura mendapat sambutan dan berjaya, beliau menyatakan itu adalah disebabkan keunikan penganjurannya di sana; perlumbaan di sebelah malam dan di tengah-tengah bandar. “Pun begitu, kutipan jualan tiketnya juga menurun,” tambah beliau.

     
     
  • Nissan Note 2017 mulakan produksi di Jepun – ditambah dengan e-Power bagi varian hibrid

    2017-nissan-note-production-started-3

    Baru-baru ini Nissan telah mengadakan satu majlis memulakan produksi bagi model facelift bagi Note 2017, di kilang Oppama, Jepun, secara tidak langsung menandakan ia bakal memasuki pasaran tidak lama lagi.

    Terdapat perubahan visual pada model facelift ini termasuklah menampilkan gril hadapan V-motion yang lebih menonjol, bersambung dengan lampu utama baharu. Di bawahnya, gril dengan elemen krom di tengah turut ditampilkan bersama lampu kabus yang direka semula.

    Cermin sisi pula memiliki unjuran kecil di bawahnya, dengan menampilkan sistm pemantauan titik buta (bergantung pada varian). Tiada foto bagi bahagian belakangnya, namun difahamkan lampu belakangnya telah direka semula dengan grafik baharu.

    2017-nissan-note-production-started-1

    Note 2017 ini juga bakal mendatangkan pilihan varian hibrid dengan nama e-Power. Risalah bagi model ini yang didedahkan memaparkan dua varian iaitu e-Power Medalist dan e-Power X, yang hanya untuk pasaran domestik Jepun sahaja.

    Malah Note e-Power juga dikuasakan oleh motor elektrik EM57 yang ditempatkan di gandar hadapan. Varian ini adalah susulan dari enjin petrol HR12DE 1.2 liter tiga-silinder, di mana generatornya akan mengecas pek bateri kereta. Nissan mendakwa Note e-Power boleh mencapai penjimatan bahan api sehingga 37.2 km/l.

    Harga bermula 1,959,120 yen (RM78,597) bagi Note e-Power X, sementara e-Power Medalist dijual pada 2,244,240 yen (RM90,036). Pilihan bukan-hibrid pula termasuk X DIG-S pacuan dua-roda pada harga 1,738,800 yen (RM69,727), dan X Four pacuan semua-roda pula 1,711,800 yen (RM68,675).

     
     
  • VIDEO: Traktor Porsche Diesel P111 muncul di pusat servis Porsche bertauliah – baiki motor penghidup

    Tentu ramai dari kita sudah tahu kisah bagaimana Ferruccio Lamborghini menukar syarikatnya dari pembuat traktor kepada pembuat supercar. Namun, tahukah anda, Porsche juga pernah membina traktor?

    Dalam video servis lepas jualan terbaharu Porsche, sebuah traktor Porsche P111 ditampilkan. Dalam video berkenaan, seorang pemilik Porsche ‘P111 Cabriolet’ menghubungi pusat servis Porsche untuk memperbaiki masalah motor penghidupnya (starter motor) yang selalu tersekat. Pusat servis berkenaan bukan sahaja masih menyimpan buku manual pembaikan traktor itu, malah katalog alat ganti masih menyenaraikan komponen tersebut, dan stor alat ganti juga masih lagi mempunyai stok.

    Traktor P111 itu diberikan layanan istimewa sebaik sahaja ia sampai ke pusat servis, malah pemiliknya juga diberikan kereta gantian 911 Cabriolet ketika traktor tersebut diperbaiki. Menurut Porsche, “Sama ada, kenderaan siri klasik atau moden atau model GT. Kami akan melakukan yang terbaik untuk Porsche anda,” walaupun dengan kenderaan seperti dalam video ini.

    screen-shot-2016-10-25-at-10-23-11-am

    Berbalik pada kisah produksi traktor tadi, selain dari diarahkan untuk membina “kereta rakyat” Volkswagen Beetle, Adolf Hitler turut mengarahkan agar Dr. Ferdinand Porsche untuk membina Volksschlepper atau “traktor rakyat” pada tahun 1937.

    Hasilnya, traktor prototaip Porsche Diesel P110 muncul pada tahun 1938, dijana enjin diesel V2 penyejukkan udara berkuasa 12 hp. Model P111 seperti yang muncul dalam video ini merupakan model kedua Porsche Diesel, menggunakan enjin yang sama tetapi dipadankan dengan kotak gear tiga kelajuan.

    Pengeluaran traktor Porsche Diesel ini diumumkan akan berakhir pada hujung tahun 1963, manakala unit produksi kumpulan terakhirnya keluar dari kilang pada awal tahun 1964.

     
     
  • SIC mungkin tamatkan perlumbaan F1 – Razlan

    sic_bm

    Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang mempertimbangkan untuk menamatkan perlumbaan Formula One (F1) di litar tersebut ekoran kemerosotan jualan tiket sejak tahun 2014.

    Berita ini dimaklumkan oleh CEO SIC Datuk Razlan Razali yang menyatakan keputusan bakal dibuat dijangka pada hujung minggu ini, memetik laporan akhbar Kosmo. Katanya lagi, mahu pun begitu, pihaknya tidak boleh membuat keputusan drastik termasuk mengumumkan secara rasmi pemberhentian F1 di Malaysia kerana SIC mempunyai perjanjian ketat dengan pemegang lesen sehingga 2018.

    “Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan perkara ini dengan pemegang saham utama SIC iairu Kementerian Kewangan, dijangka berlangsung Khamis ini,” ujar Razlan dalam satu majlis taklimat media semalam.

    Razlan turut mendakwa jumlah penonton yang menyaksikan F1 baru-baru ini adalah yang terendah dalam sejarah. Justeru, penarikan diri secara sementara daripada F1 dilihat mampu memberikan manfaat kepada negara.

    “Kami akan memberikan tumpuan kepada perlumbaan motosikal MotoGP yang lebih berjaya menarik penonton. Untuk penganjuran tahun lalu, seramai 85,000 penonton menyaksikan MotoGP di SIC. Pada tahun ini pula, tiket habis dijual dan kami menyasarkan kehadiran 90,000 penonton untuk perlumbaan yang bakal berlangsung hujung minggu ini,” katanya lagi.

    Walau bagaimana pun, SIC telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini, yang menjelaskan tiada keputusan akan dibuat mengenai perlumbaan F1 dalam masa terdekat ini, yang disiarkan oleh Bernama lewat malam tadi. “Sebarang salah faham dikesalkan,” ujar kenyataan SIC tersebut.

     
     
  • Suzuki lancarkan SV650A di Malaysia – RM38,800

    sv650al7_action_12

    Model SV650A mula diperkenalkan kepada pasaran pada tahun 1999. Makin masa berlalu, generasinya terus diperkenalkan dan pada tahun 2015, Gladius SFV650 tiba di Malaysia menemui penggemar motosikal. Terbaru, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd melancarkan SV650A, yang bertujuan mengembalikan kehebatannya.

    Suzuki SV650A adalah sebuah motosikal jenis naked, dan bagi model baru ini, enjin dua silinder V 90°, 645 cc DOHC yang digunakan mempunyai lebih 60 komponen baru, yang menjadikannya kini melepasi tahap Euro 4 dan mempunyai kuasa 4 hp lebih, menjadi 75 hp, manakala tork pula masih sama, 64 Nm tetapi pada kadar rpm lebih tinggi – 8,100 rpm. Penggunaan bahan api juga menjadi lebih baik iaitu 3.84 L/ 100 km.

    Bahagian lain turut diperbaharui, secara keseluruhan, 140 bahagian (enjin dan casis) dan meskipun bagi model dengan brek ABS yang diperkenalkan ini, beratnya dapat dikurangkan sehingga 8 kg. Dahulu, beratnya 205 kg, tetapi kini 197 kg.

    Untuk memaparkan informasi, SV650A menggunakan panel LCD digital dan bagi bahagian rpm, fungsi peak-hold, yang menunjukkan rpm puncak apabila rpm sedang menurun. Jadi penunggang boleh mengenali rpm puncak terakhir apabila menukar gear rendah.

    Suzuki SV650A (ABS) dipasarkan pada harga bermula RM38,800, dan apabila ditambah dengan GST, ia menjadi RM41,128. Pilihan warna yang disediakan adalah Pearl Mira Red dan Metallic Triton Blue. Saingan bagi motosikal ini adalah Yamaha MT-07 yang berharga RM35,926 (termasuk GST, tanpa ABS) dan Kawasaki ER-6n yang berharga RM34,509 (dengan GST, tanpa insurans).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024