Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: JVS dan VJV sedia untuk dibida

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Johor, JVS, telah pun dibuka untuk bidaan mulai hari ini (12 Okt) dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 16 Oktober 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 17 Oktober. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur pula, VJV, bidaannya bakal dibuka bermula 14 Oktober dan akan berakhir jam 10 malam pada 18 Oktober 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 19 Oktober ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Harga minyak 13-19 Oktober – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 13-19 Oktober – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 13 hingga 19 Oktober 2022, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara dikekalkan seperti minggu sebelum ini.

    Di mana harga runcit bagi petrol RON 97 dikekalkan pada harga RM3.95 seliter. Bagi petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia turut dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala untuk diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kesemua harga yang disebut ini dilaksanakan sehingga Rabu hadapan, 19 Oktober 2022.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Audi RS3 Sedan di Malaysia — 2.5L turbo, 400 PS/500 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM650k-RM750k

    Audi RS3 Sedan di Malaysia — 2.5L turbo, 400 PS/500 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM650k-RM750k

    Audi Malaysia kini mula mengambil tempahan bagi model Audi RS3 Sedan 2023 dengan harga yang dijangka berada dalam julat RM650k hingga RM750k. RS3 Sedan akan menyertai barisan model RS yang lain, yang ketika ini turut terdiri daripada RS4 Avant, RS5 Sportback, RS6 Avant, RS7 Sportback dan yang terbaru, RS Q8.

    RS3 Sedan generasi kedua ini dikuasakan oleh enjin 2.5 liter TFSI turbocas lima-silinder petrol yang menghasilkan 400 PS dari 5,600 rpm hingga 7,000 rpm dan 500 Nm tork dari 2,250 rpm hingga 5,600 rpm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear S tronic klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem pacuan quattro.

    Ini membolehkan RS3 Sedan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Dengan prestasi seperti ini, RS3 Sedan menjadi kereta dengan pusingan paling pantas di litar Nurburgring Nordschleife, dengan masa tujuh minit dan 40.748 saat.

    Audi RS3 Sedan di Malaysia — 2.5L turbo, 400 PS/500 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM650k-RM750k

    Sebagai perbandingan, Mercedes-AMG A45S 4MATIC+ menghasilkan 421 PS pada 6,750 rpm dan 500 Nm dari 5,000 rpm, dari enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder. Ini dipadankan pula dengan transmisi DCT AMG Speedshift 8G lapan-kelajuan untuk memacu semua roda melalui sistem AMG Performance 4MATIC+.

    AMG A45S memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, dan boleh mencecah 270 km/j laju maksimum dengan Pakej Pemandu. Prestasi mungkin hampir sama, tetapi model AMG ini dijual pada harga bermula hanya RM481,888.

    Sistem janaan RS3 Sedan menampilkan ciri RS Torque Splitter yang datang dengan tork vectoring antara roda belakang. Ini membolehkan ia di drift kerana semua kuasa boleh disalurkan hanya ke roda belakang jika mahu.

    Turut hadir adalah mod pemanduan RS Performance yang menyelaras sistem janaan kuasa untuk prestasi optimum ketika dalam litar lumba, sementara RS Torque Rear pula menjadi seperti “drift mode”. Lain-lain ciri RS yang ada termasuklah suspensi sport RS dengan kawalan penyerap hentak adaptif, cakera brek seramik, rim 19-inci dengan rekaan 10-jejari, bampar depan dan belakang khusus RS serta sistem ekzos RS.

    Audi RS3 Sedan di Malaysia — 2.5L turbo, 400 PS/500 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8 saat, dari RM650k-RM750k

    Di dalam kabin, kelengkapan khusus RS yang ada termasuklah penunjuk tukaran gear dari hijau-kuning-merah, kerusi balutan kulit Nappa dengan jahitan honeycomb gaya RS, dan stereng yang rata bahagian bawahnya dengan butang RS.

    Pemandu juga boleh meninjau suhu coolant, minyak enjin dan transmisi melalui paparan infotainmen 10.1-inci. Maklumat pemanduan lain yang tertera adalah output kuasa dan tork, g-force, pecutan dan masa pusingan yang dipaparkan di kokpit maya 12.3-inci. Buat pertama kali RS3 Sedan hadir dengan head-up display.

    Gambar yang anda lihat ini adalah kereta yang didaftarkan di Singapura, jadi spesifikasi untuk pasaran tempatan mungkin akan berbeza sedikit. Suka warna baru Kyalami Green ini?

     
     
  • Honda pernah malukan GM selepas dikutuk “hanya hasilkan teknologi untuk enjin kecil motosikal mainan”

    Honda pernah malukan GM selepas dikutuk “hanya hasilkan teknologi untuk enjin kecil motosikal mainan”

    Pengasas Honda, Soichiro Honda ketika memperkenalkan teknologi CVCC di Akasaka Prince Hotel, Tokyo pada 12 Oktober 1972

    Minggu lalu Honda sudahpun mendedahkan SUV elektrik penuh (EV) Honda Prologue yang bakal dijual pada pasaran Amerika Utara pada 2024. Apa yang menarik, SUV ini bukan 100% dibina oleh Honda, sebaliknya ia adalah hasil kerjasama jenama Jepun tersebut dengan gergasi automotif Amerika Syarikat iaitu General Motors menerusi perjanjian yang telah dibuat pada 2020.

    Honda Prologue dibangunkan menerusi platform modular khas untuk EV binaan GM dan juga menggunakan bateri Ultium juga dari GM. Honda masih belum mengumumkan spesifikasi teknikal untuk Prologue, namun ada laporan mengatakan ia menampilkan spesifikasi yang sama dengan model dari GM iaitu Chevrolet Blazer EV.

    Dengan platform yang dibina khas untuk EV, Blazer hadir dengan versi pacuan roda hadapan (motor elektrik tunggal pada gandar hadapan), versi pacuan roda belakang (motor elektrik tunggal pada gandar belakang), dan juga versi paling berkuasa Blazer EV SS yang mempunyai motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang.

    Honda Prologue 2024, hasil kerjasama antara Honda dan GM

    Ini bermaksud Blazer EV SS berkenaan adalah model pacuan semua roda dengan kuasa sehingga 565 PS (557 hp atau 415 kW), dan tork maksima 879 Nm, serta mempunyai jarak gerak sejauh 467 km untuk satu cas penuh. Agak menarik bukan? Namun tahukah anda, walaupun hubungan Honda dan GM buat masa sekarang di lihat baik, kedua-dua jenama ini sebenarnya pernah “bergaduh besar” pada era 70’an dahulu, dengan masing-masing memalukan antara satu sama lain?

    Semuanya bermula apabila kerajaan Amerika Syarikat memperkenalkan Akta Muskie, iaitu akta yang diusulkan oleh Senator Edwin Muskie kepada kongres kerajaan negara berkenaan. Akta ini merupakan akta yang ditambahbaik dan lebih ketat dari Akta Udara Bersih yang digunakan sebelum itu.

    Akta Muskie ini mensyaratkan bahawa semua kenderaan baharu yang dijual di AS bermula pada tahun 1975 perlu dipadankan dengan enjin yang hanya mengeluarkan satu persepuluh paras karbon monoksida (CO) dan hidrokarbon (HC) berbanding model semasa, manakala model 1976 dan seterusnya pula harus dipadankan dengan enjin yang hanya mengeluarkan satu persepuluh paras nitrogen oksida (NOx).

    Honda pernah malukan GM selepas dikutuk “hanya hasilkan teknologi untuk enjin kecil motosikal mainan”

    Ini telah menyebabkan hampir kesemua kenderaan yang dijual di Amerika Syarikat ketika itu gagal untuk mematuhi undang-undang yang ketat berkenaan, dan satu-satunya cara untuk melepasi had tersebut adalah dengan penggunaan penukar pemangkin (catalytic converter) pada sistem ekzos.

    Namun dengan pemadanan penukar pemangkin tersebut bukan sahaja menyebabkan kenderaan-kenderaan kehilangan kuasa asal masing-masing, malah ia perlu menggunakan petrol tanpa plumbum yang lebih mahal dan lebih sukar didapati ketika itu kerana plumbum boleh merosakkan penukar pemangkin.

    Tetapi tidak untuk kereta-kereta keluaran Honda – model-model jenama berkenaan masih boleh dijual dan melepasi Akta Muskie tanpa sebarang masalah, tanpa menggunakan penukar pemangkin. Ini kerana Honda telah pun membuat R&D untuk melepasi akta pencemaran yang lebih ketat ini sejak era 60’an, dan memperkenalkan teknologi “Compound Vortex Controlled Combustion” atau CVCC pada 1972, di mana ia mula digunakan pada Honda Civic generasi pertama pada 1973.

    Honda pernah malukan GM selepas dikutuk “hanya hasilkan teknologi untuk enjin kecil motosikal mainan”

    Enjin CVCC ini menampilkan kepala silinder enjin yang dihasilkan mempunyai kebuk pra-pembakaran selain dari kebuk pembakaran biasa. Kebuk pra-pembakaran yang lebih kecil berkenaan akan membakar campuran udara-bahan api yang rich dari karburator, membolehkan bahan api terbakar dengan lengkap bagi memastikan pembakaran tersebut menghasilkan hasil pencemaran jauh lebih rendah.

    Manakala untuk kebuk pembakaran biasa, ia akan membawa campuran udara-bahan api yang lean dari karburator. Proses ini bukan sahaja berjaya mengurangkan pencemaran secara drastik, malah turut memberikan penggunaan bahan api yang jauh lebih efisien.

    Selepas Honda dibuktikan lulus melepasi Akta Muskie menerusi ujian yang dijalankan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat pada penghujung 1972, Toyota merupakan syarikat pertama yang menandatangani perjanjian perlesenan untuk menggunakan teknologi CVCC dari Honda tersebut, dan diikuti oleh Isuzu selepas itu.

    Honda pernah malukan GM selepas dikutuk “hanya hasilkan teknologi untuk enjin kecil motosikal mainan”

    1974 Honda Civic.

    Honda Civic generasi pertama, model 1973 yang menggunakan enjin CVCC

    Malah beberapa pengeluar dari Amerika Syarikat termasuk Ford dan Chrysler turut mengambil langkah yang sama bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi dari Honda berkenaan. Namun untuk satu lagi jenama besar dari Amerika Syarikat iaitu GM, ia tidak berminat dengan teknologi yang ditawarkan oleh Honda tersebut.

    Malah dalam satu sidang media, CEO GM ketika itu iaitu Richard Gerstenberg menyatakan bahawa teknologi CVCC itu “mungkin berkesan pada enjin kecil motosikal mainan”, dan ia tidak sesuai pada mana-mana enjin keluaran GM. Untuk pengetahuan anda, ketika ini Honda sedang beralih dari pembuat motosikal kepada pembuat kereta, dan ketika enjin CVCC ini direka, Honda Civic generasi pertama masih belum muncul. Prototaip awalan enjin yang diuji oleh EPA sebelum ini pula sebenarnya disumbatkan ke dalam perut sebuah Nissan/Datsun Sunny terlebih dahulu.

    Mendengar apa yang diperkatakan oleh Gerstenberg yang menyatakan bahawa teknologi CVCC tersebut “hanya untuk enjin kecil motosikal mainan” membuatkan pengasas dan juga bos besar Honda, Soichiro Honda naik berang. Namun Soichiro bertindak lebih bijak; beliau tidak membalasnya dengan kenyataan media, tetapi mengambil langkah lebih praktikal bagi menunjukkan kemampuan teknologi yang ditawarkan oleh syarikatnya.

    Dokumentasi sebenar dari EPA berkenaan ujian Chevrolet Impala 1975 V8 dengan teknologi CVCC Honda. Klik untuk besarkan

    Soichiro memesan sebuah Chevrolet Impala 1973 dengan enjin V8 5.7L yang di beli baharu di Amerika Syarikat, kemudian terus membawanya ke Jepun. Di Jepun, kepala silinder enjin V8 berkenaan dibuka, dan pasukan jurutera Honda membuat kepala silinder baharu yang dilengkapi sistem CVCC, bersama manifold kemasukan serta karburator yang bersesuaian.

    Selepas lengkap, Chevy Impala berkenaan dibawa semula ke AS, dan Honda membawa kereta tersebut untuk diuji oleh EPA. Hasilnya, tanpa penggunaan penukar pemangkin enjin V8 berkenaan masih lagi menghasilkan kuasa puncak 160 hp yang sama, tetapi ia dicapai pada takat putaran enjin lebih tinggi iaitu 4,000 rpm (hanya pada 3,700 rpm untuk versi standard), dan yang paling penting ia lulus ujian pencemaran dan juga menggunakan bahan api lebih jimat!

    Apa yang dilakukan oleh Honda ini jelas memalukan GM – mereka mungkin baharu dalam industri automotif ketika itu dan menghasilkan enjin-enjin bersaiz kecil. Namun kemampuan kejuruteraannya terbukti setanding dan mungkin lebih tinggi berbanding syarikat automotif dari AS yang sudahpun wujud sejak 1908 tersebut.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua syarikat ini nampaknya sudah melupakan apa yang terjadi pada era 70’an berkenaan. Kalau tidak, takkan boleh jadi projek Honda Prologue 2024 kan? Prologue sebenarnya hanyalah model permulaan. Selepas ini Honda dan GM bakal memperkenalkan lebih banyak model EV yang dibina dengan kerjasama antara mereka, dengan sasaran untuk menghasilkan EV mampu milik menjelang 2027.

    GALERI: Dokumentasi sebenar dari EPA berkenaan ujian Chevrolet Impala 1975 V8 dengan teknologi CVCC Honda

     
     
  • BYD e6 turut digunakan dalam program teksi EV TeksiKu – perkhidmatan ini dilancarkan pada Nov 2022

    BYD e6 turut digunakan dalam program teksi EV TeksiKu – perkhidmatan ini dilancarkan pada Nov 2022

    Dalam acara International Greentech and Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2022 yang sedang berlangsung, Mysuri Biz Tecnologies turut mempamerkan satu lagi kenderaan elektrik (EV) yang bakal menyertai program teksi EV TeksiKu.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Mysuri telah mengumumkan kerjasamanya dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memulakan operasi teksi EV di Malaysia pada November ini. Perkhidmatan teksi EV ini boleh ditempah menerusi aplikasi Alladin MY, yang turut menawarkan perkhdmatan lain termasuk penghantaran makanan dan logistik. Dengan perancangan asal untuk menggunakan sejumlah 1,000 unit EV sebagai teksi, ia turut melibatkan model MG5 dan juga BYD e6.

    e6 merupakan MPV lima-tempat duduk yang akan dijual di Malaysia oleh Sime Darby Motors (SDM) susulan perjanjian pengedaran yang ditandatangani dengan pengeluar kereta dari China itu pada hujung September lalu. Malah e6 yang dipamerkan di IGEM ini turut ditampal dengan logo Sime Darby, memberikan petanda bahawa SDM yang akan membekalkan model ini untuk program TeksiKu. Sebelum ini, Mysuri berkata sebanyak 700 unit MG5 akan dibawa masuk untuk perkhidmatan TeksiKu, jadi dianggarkan ia hanya melibatkan sejumlah kecil bagi model e6 untuk program yang sama.

    BYD e6 turut digunakan dalam program teksi EV TeksiKu – perkhidmatan ini dilancarkan pada Nov 2022

    Bagi spesifikasinya, e6 menawarkan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) dari BYD sendiri dengan kapasiti tenaga berjumlah 71.7 kWh, yang menyalurkan kuasa ke motor elektrik yang dipasang di hadapan pada kadar 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm, dengan kelajuan maksimum cecah 130 km/j.

    Dalam pengecasan penuh, e6 boleh mencapai jarak sehingga 450 km mengikut kitaran WLTP. Untuk pengecasan pula, ia menyokong penggunaan input AC (sambungan Type 2) dengan 40 KW (1.8 jam bagi pengecasan penuh) serta pengecas pantas DC (sambungan CCS2) pada kadar 60 kW (1.5 jam untuk pengecasan penuh).

    Sebagai sebahagian daripada kerjasama melibatkan kedua-dua syarikat, TNB akan menyediakan sokongan infrastruktur pengecasan dalam domain awam, tetapi Mysuri juga akan mengimplementasikan rangkaian pengecasannya untuk pemandu teksi mengecas kenderaan masing-masing, termasuk di lokasi utama seperti di lapangan terbang.

    Sebelum ini CEO Mysuri Biz Technologies Mohd Noor Ghazali berkata sekitar 80% daripada stesen pengecasan ini akan menggunakan unit AC 22 kWh, selebihnya pula dengan pengecas pantas DC 60 kWh. Selain di Lembah Klang, unit pengecasan yang dikendalikan oleh Mysuri akan dipasang di beberapa bandar utama seperti di Johor Bahru dan Pulau Pinang, dan ia boleh diakses pengguna menerusi aplikasi MyCaj.

    Mengenai pembiayaan pembelian teksi EV, ia akan diuruskan oleh Koperasi Jurupandu Teksiku Bhd. Individu yang berminat pula digalakkan menjadi anggota Koperasi untuk skim Teksiku EV. Ia meliputi kos pendaftaran RM20 serta melanggan syer minimum RM250 dan ke atas.

    Kadar sewa bagi teksi EV ini adalah sekitar RM80 sehari atau RM2,400 sebulan, di mana ia lebih tinggi berbanding teksi biasa (RM37 sehari atau RM1,110 sebulan). Walau bagaimana pun kos pengecasan teksi EV lebih murah iaitu sekitar RM300 sebulan, berbanding penggunaan bahan api yang mencecah RM1,500 sebulan atau RM50 sehari, dan RM300 diperlukan untuk kos penyelenggaran bagi teksi janaan petrol. Walau bagaimana pun, kadar sewa ini dinyatakan untuk MG5 dan mungkin berbeza dengan e6.

     
     
  • Le Tour De Langkawi 2022 – KM 26.7-KM 8.4 di MRR2 ditutup dari jam 2 petang-4.15 petang pada 13 Okt

    Le Tour De Langkawi 2022 – KM 26.7-KM 8.4 di MRR2 ditutup dari jam 2 petang-4.15 petang pada 13 Okt

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan Lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bakal ditutup pada 13 Oktober ini (esok) bagi kelancaran pelumba-pelumba Le Tour De Langkawi (LTdL) 2022 yang akan merentasi laluan berkenaan.

    Menurut PDRM, laluan yang bakal ditutup mulai jam 2 petang hingga 4.15 petang ialah antara KM 26.7 berhampiran Ampang Point ke KM 8.4 berdekatan bulatan Batu Caves. Di mana kenderaan dari arah Cheras akan dilencongkan melalui Jalan Ulu Klang ke Jalan Ampang (menghala ke pusat bandar/KLCC). Manakala susur masuk ke Lebuhraya AKLEH untuk ke Jalan Ulu Klang juga terlibat dengan penutupan.

    Selain itu, laluan lain yang turut terlibat ialah Jalan Embun (berhampiran Christ Methodist Church Ampang) menuju ke MRR2, Jalan Genting Klang (berhampiran Petronas Geo Sample Centre) ke MRR2, Jalan AU4 ke MRR2, laluan dari Taman Melawati ke MRR2, Jalan 7/24 (berhampiran SMK Wangsa Melawati) ke MRR2, susur keluar Taman Melati ke MRR2, Jalan Sungai Pusu hala ke tol Gombak dan kesemua susur pertemuan ke MRR2 dari Gombak.

    Le Tour De Langkawi 2022 – KM 26.7-KM 8.4 di MRR2 ditutup dari jam 2 petang-4.15 petang pada 13 Okt

    “Untuk makluman pengguna jalanraya yang ingin melalui MRR2 dalam jangkamasa tersebut dinasihatkan supaya mengambil laluan alternatif kerana penutupan jalan sementara akan dilakukan bermula dari MRR2 Kuala Ampang menuju ke Gombak.

    “Kepada pengguna laluan Jalan Hulu Langat, Jalan Putra,Jalan Ampang dan MRR2 menuju ke Gombak diharap dapat bersabar dan memberi kerjasama kepada petugas-petugas yang mengawal lalulintas. Ia adalah untuk menjamin keselamatan para peserta dan pengguna jalanraya yang lain sepanjang tempoh penutupan jalan berlansung. Rancang perjalanan anda bagi mengelakan sebarang kesulitan berlaku,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM.

    LTdL 2022 peringkat 3 esok melibatkan laluan dari Putrajaya-Semenyih-Kajang-Ampang-KL-Gombak-Genting Highland. Seramai 117 pelumba basikal dari 20 buah pasukan peringkat dunia mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung sehingga 18 Oktober 2022. Acara penutup dijangka akan diadakan di Pekan Kuah, Langkawi, Kedah.

     
     
  • Dasar Pembangunan Jalan dan Lebuhraya 2030 bakal dilancar bagi capai infrastruktur jalan berdaya tahan

    Dasar Pembangunan Jalan dan Lebuhraya 2030 bakal dilancar bagi capai infrastruktur jalan berdaya tahan

    Tidak lama lagi, kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) bakal melancarkan Dasar Pembangunan Jalan dan Lebuhraya 2030 selain sedang menyediakan Dasar Penyelenggaraan Infrastruktur Negara 2030. Ia bertujuan bagi mencapai pembangunan mampan menerusi infrastruktur jalan yang berdaya tahan.

    Menurut Menteri KKR Datuk Seri Fadillah Yusof, bagi menjayakan dasar terbabit, semua pihak yang berkaitan perlu bekerja secara kolaboratif dan menggembleng usaha dalam membina infrastruktur yang berdaya serta mampan, laporan Bernama.

    “Jalan yang akan dibina perlu disepadukan dengan sistem lain seperti lembangan sungai, penggunaan tanah, dan pembangunan di sekelilingnya. Oleh itu, terdapat keperluan untuk menerima pakai kriteria Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi mengurangkan risiko kerosakan yang meluas kepada infrastruktur kita, sekiranya berlaku bencana alam.

    “Justeru, saya amat berharap supaya dapatan daripada persidangan ini boleh digunakan dalam penggubalan dasar serta dokumen yang sedang dan akan disediakan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan dan Pameran Jalan Malaysia (MRC) Ke-11 serta Kongres Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Rantau Asia-Pasifik Ke-4 di PWTC semalam.

    Beliau turut memaklumkan bahawa KKR akan memulakan persiapan untuk Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya bagi Sabah dan Sarawak yang akan dilancarkan pada 2025.

     
     
  • Touch ‘n Go eWallet dinaiktaraf pada 15 Okt, pengguna tidak boleh akses aplikasi itu dari 2 pagi-6pagi

    Touch ‘n Go eWallet dinaiktaraf pada 15 Okt, pengguna tidak boleh akses aplikasi itu dari 2 pagi-6pagi

    Touch ‘n Go (TnG) telah mengumumkan aplikasi eWallet bakal dinaiktaraf pada 15 Oktober ini, dan ia dijadualkan berlangsung dari jam 2 pagi hingga 6 pagi pada tarikh berkenaan. Menerusi e-mel yang dihantar kepada para penggunanya, syarikat berkenaan turut memaklumkan bahawa semua pengguna tidak boleh mengakses aplikasi berkenaan sepanjang tempoh kerja-kerja naiktaraf berlangsung.

    Walau bagaimana pun, syarikat berkenaan turut mengingatkan para pengguna agar menambah nilai eWallet lebih awal bagi memastikan baki yang mencukupi untuk penggunaan pembayaran kadar tol dan PayDirect. Persoalannya, adakah pada tempoh masa naiktaraf tersebut, pengguna masih boleh menggunakan eWallet untuk membayar tol atau transaksi secara PayDirect?

    Ini mungkin bermakna walau pun dalam tempoh berkenaan, pengguna tidak boleh mengakses aplikasi, tetapi sistem TnG masih boleh menjalankan tugasnya untuk transaksi yang melibatkan pembayaran tol yang dibuat melalui ciri PayDirect yang ditetapkan pada kad TnG. Perlu diingat bahawa RFID tidak disebut dalam kenyataan itu, jadi jika plaza tol terus membuka lorong RFID mereka pada ketika itu, maka mungkin ia masih berfungsi.

    Touch ‘n Go eWallet dinaiktaraf pada 15 Okt, pengguna tidak boleh akses aplikasi itu dari 2 pagi-6pagi

    Pada Jun lalu, eWallet mengalami gangguan perkhidmatan, dan ia juga menjejaskan penggunaan RFID dan PayDirect. Maka, pengguna terpaksa menggunakan kad TnG sepenuhnya untuk membuat pembayaran tol dan tempat letak kenderaan asalkan mempunyai baki yang mencukupi.

    Walau bagaimana pun, untuk kemudahan yang lebih selamat, pastikan kad fizikal TnG anda mempunyai baki yang mencukupi untuk pembayaran tol, tempat letak kereta dan sebagainya. Sekiranya penggunaan PayDirect atau eWallet bermasalah, maka anda mempunyai alternatif dengan menggunakan kad TnG sepenuhnya.

     
     
  • AD: Miliki Mercedes-Benz C200 serendah RM3,688 sebulan dengan Agility Financing selama dua tahun

    AD: Miliki Mercedes-Benz C200 serendah RM3,688 sebulan dengan Agility Financing selama dua tahun

    Mercedes-Benz C-Class sentiasa menjadi model penting dalam barisan kenderaan pengeluarnya kerana menggabungkan kecanggihan, keselesaan dan imej elegan dalam satu pakej rekaan kompak yang segak. Maka tidak hairanlah ia menjadi model paling laris Mercedes-Benz di Malaysia.

    Jika anda berminat untuk merasai sendiri C-Class W206 terbaru untuk mengetahui mengapa ia selalu menjadi pilihan, sekarang adalah masa terbaik. Melalui Agility Financing, anda boleh membawa pulang sebuah C 200 Avantgarde CKD serendah RM3,688 sebulan* selama dua tahun, atau C 300 AMG Line CKD serendah RM4,188 sebulan* bagi tempoh pinjaman yang sama.

    Ini jauh lebih murah berbanding ansuran bulanan pinjaman biasa daripada bank, tambahan pula dengan tempoh pinjaman yang lebih pendek. Perkara menarik tentang Agility Financing adalah anda tidak perlu mengambil tempoh pinjaman yang lebih lama untuk mendapatkan ansuran bulanan yang mampu milik, dengan perbezaan antara ansuran 24-bulan dan 60-bulan yang sangat sedikit.

    Dengan memanfaatkan pelan ini, ia tidak hanya membolehkan anda menggunakan lebihan pendapatan untuk perkara lain, tetapi juga hadir dengan pilihan yang lebih pelbagai — dengan beza yang sangat kecil bagi ansuran bulanan dengan tempoh program Agility Financing yang lebih panjang, skim Agility satu hingga dua-tahun memberikan anda kebebasan untuk menukar kenderaan dalam masa yang lebih singkat, membolehkan anda beralih kepada model yang lebih baru sekiranya mahu.

    Sebagai tambahan, memilih tempoh pelan Agility yang lebih pendek juga datang bersama nilai trade-in yang lebih baik, yang mana pelanggan lebih cenderung untuk mendapat harga lebih tinggi sekiranya trade-in kereta mereka kerana usianya masih muda. Bukan itu saja, ia juga hadir dengan jaminan Guarenteed Future Value, yang mana nilai kereta anda akan kekal sama dengan apa yang dipersetujui pada awalnya.

    Setiap skim Agility Financing juga datang dengan MobilityPlus. Diberikan tanpa kos tambahan, jaminan ini membolehkan anda mendapat kereta ganti sekiranya Mercedes-Benz anda perlu ditinggalkan di bengkel sah selama lebih daripada 48 jam kerana servis atau penyelenggaraan, tuntutan jaminan atau pembaikan akibat kemalangan.

    Pelanggan akan disediakan dengan sebuah kereta Mercedes-Benz sebagai ganti sementara kereta mereka di pusat servis. Kereta ganti berkenaan — yang dijamin ada dan bukan tertakluk kepada ketersediaan semasa seperti jika anda menggunakan skim pembiayaan biasa — akan diperuntukkan kepada pelanggan yang layak dalam tempoh 24 jam selepas dimaklumkan oleh pusat servis sah Mercedes-Benz bagi pihak pelanggan.

    MobilityPlus menawarkan kelayakan selama 20-hari setahun untuk kereta ganti tanpa sebarang kos tambahan kepada pelanggan, dan untuk kesenangan tambahan, pelanggan boleh memilih kereta yang mereka inginkan serta di mana untuk mengambil dan menyerahkannya jika servis berkenaan — yang ditawarkan di seluruh negara, termasuk Langkawi dan Labuan — diperlukan.

    Agility Financing merupakan satu daripada banyak pakej pembiayaan yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM), yang membiayai empat daripada 10 kereta baru Mercedes-Benz yang dijual melalui pengedar sahnya. Berminat dengan tawaran ini? Lekas jika anda inginkan C-Class, kerana tawaran ini akan berakhir pada 31 Oktober 2022! Daftar minat anda di sini dan berkunjung ke Mercedes-Benz Autohaus berdekatan.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

    Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

    Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) bakal dibuka. Seperti juga Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru dilancarkan bulan lalu, DASH juga merupakan projek yang dibangunkan oleh Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas), dan ia juga adalah “lebuhraya terapung” di bina merentas kawasan-kawasan sesak bagi menyuraikan trafik kawasan sekitar.

    Untuk DASH, ia dibina merentas Puncak Alam menerusi Persimpangan Mokhtar Dahari dan berakhir di “Persimpangan Spagheti” yang menghubungkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Penchala Link dan Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) di Penchala, berhampiran Taman Tun Dr. Ismail dan juga kawasan tumpuan seperti Bandar Utama Damansara, Damansara Utama serta Mutiara Damansara.

    Laluan utama jajaran DASH sepanjang ini adalah sejauh 20.1 km, namun jika diambil kesemua jarak termasuk susur persimpangan, Lebuhraya ini secara keseluruhannya adalah sejauh 55.4 km. Sama seperti SUKE, DASH juga menampilkan jalan tiga lorong dua hala, dengan setiap lorong berukuran 3.5 meter bersama lorong kecemasan selebar 3 meter, serta 90% adalah jalan raya bertingkat dan hanya 10% berada di atas tanah.

    Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

    DASH menampilkan tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol DASH Kota Damansara, serta mempunyai 13 persimpangan iaitu Persimpangan Puncak Perdana, Persimpangan Alam Suria, Persimpangan Denai Alam, Persimpangan Kampung Melayu Subang, Persimpangan Pinggiran Subang, Persimpangan Subang 2, Persimpangan Subang Airport, Persimpangan RRIM (Kwasa Damansara), Persimpangan Surian, Persimpangan Seksyen 5 Kota Damansara, Persimpangan Sunway Damansara, Persimpangan Damansara Perdana dan Persimpangan Penchala.

    Selain menyediakan ‘jalan pintas’ dari Shah Alam ke Damansara dalam masa hanya 30 minit berbanding 90 minit melalui laluan sedia ada, menurut PROLintas DASH turut bakal menyuraikan trafik di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39%, Jalan Sungai Buloh sebanyak 33% dan Persiaran Surian sebanyak 43%. Selain itu, DASH juga didakwa bakal menjadi penyelesaian penyuraian trafik untuk beberapa kawasan pembangunan baharu seperti Kwasa Damansara, Elmina dan di sepanjang Shah Alam ke Damansara.

    Lebuhraya ini juga akan menjadi penghubung antara bahagian timur dan barat Lembah Klang, dan merupakan laluan alternatif penduduk Shah Alam dan Puncak Alam untuk ke Persiaran Surian di Kota Damansara, Lapangan Terbang Subang, Damansara Perdana, Penchala dan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur.

    Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

    default

    Malah untuk mereka yang hendak ke Utara tanah air, Lebuhraya DASH ini turut berhubung dengan Lebuhraya Guhtrie bagi membolehkan pengguna ke Lebuhraya Utara Selatan menerusi susur keluar berhampiran dengan Rawang.

    Walaupun dengan jarak yang tidak jauh, PROLintas turut bakal menyediakan dua kawasan Rehat dan Rawat yang terletak di kedua-dua arah di Plaza Tol Denai Alam (RSA Denai Alam), dan juga dua hentian sebelah di kedua-dua arah di Plaza Tol RRIM.

    Dengan rekaannya yang merentas pelbagai kawasan urban yang sesak, DASH turut menampilkan pelbagai ciri unik. Antaranya penghadang bunyi keseluruhan (termasuk bahagian atas) di laluan berhampiran Persimpangan Damansara Perdana sepanjang 260 meter kerana perlu ia melalui ‘celah-celah’ bangunan-bangunan kondominium di kawasan berkenaan.

    Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

    PROLintas menyatakan bahawa ia adalah perincian pertama digunakan oleh Lebuhraya di Malaysia. Syarikat berkenaan telah juga membina tanjakan susur masuk khas di Persimpangan Damansara Perdana, Ramp 12A, untuk memudahkan trafik di Jalan PJU 8/1 masuk ke lebuhraya berkenaan menuju ke TTDI tanpa melalui sebarang plaza tol, memanfaatkan 12,000 penduduk sekitar.

    Pihak PROLintas turut memberitahu bahawa kesemua Plaza Tol di sepanjang Lebuhraya DASH ini sudahpun bersedia untuk menggunakan sistem kutipan tol tanpa palang Multi Lane Free Flow (MLFF). Sebelum ini Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof sudah mengumumkan bahawa jemaah menteri sudah pun bersetuju untuk menggunakan sistem berkenaan menjelang 2025.

    Antara perincian-perincian lain yang ada pada Lebuhraya DASH ini termasuk dilengkapi 37 CCTV, 18 telefon kecemasan, 30 sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS), 10 papan tanda mesej pelbagai (VMS) di sepanjang jajaran dan 100% berlampu dengan 2,441 lampu jalan LED.

    Lebuhraya DASH bakal dilancarkan minggu ini – Puncak Alam hingga Penchala hanya 30 minit!

    Malah semua bangunan yang dibina sepanjang lebuhraya ini adalah menepati Indeks Bangunan Hijau (GBI) bersepadu dengan dilengkapi panel solar, penuaian air hujan, bumbung dengan tanaman di bangunan operasi plaza tol.

    Pembinaan projek DASH ini sudah bermula sejak Ogos 2016 dengan tempoh konsesi bermula pada 25 Disember 2014 dan berakhir pada 24 Disember 2069 (55 tahun tempoh konsesi). Ia sudahpun siap pada 30 September 2022 dengan kos keseluruhan pembinaan bernilai RM4.2bilion.

    PROLintas masih lagi belum menyebut bila tarikh sebenar Lebuhraya DASH ini akan dilancarkan dan dibuka untuk orang ramai, namun syarikat tersebut mengesahkan bahawa ia bakal dilancarkan pada minggu ini juga.

    Kemaskini: Lebuhraya DASH sudahpun dilancarkan pada 13 Oktober 2022, dan ia mula dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober 2022. Kadar tol masih belum diumumkan, namun orang awam boleh menggunakannya secara percuma sehingga 30 November 2022. Perincian penuh berkenaan pelancaran lebuhraya DASH ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.


     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia dan Minsoon Star lancar Autohaus baharu bernilai RM20 juta di Seremban

    Mercedes-Benz Malaysia dan Minsoon Star lancar Autohaus baharu bernilai RM20 juta di Seremban

    Minsoon Star (sebelum ini dikenali sebagai Minsoon Credit), bersama Mercedes-Benz Malaysia, telah pun melancarkan Mercedes-Benz Autohaus baharu yang terletak di Seremban 2.

    Menampilkan konsep peruncitan mewah Mercedes-Benz terkini, fasiliti bernilai lebih RM20 juta ini terletak di kawasan seluas 136,070 kaki persegi. Dikendalikan oleh 50 pekerja, fasiliti ini menempatkan bilik pameran seluas lebih 13,149 kaki persegi yang boleh mempamerkan 10 kereta, serta turut menampilkan Star Lounge dan seksyen jualan cenderahati rasmi termasuk aksesori, pakaian dan sebagainya.

    Sementara itu, ruang penyelenggaran pula meliputi satu per tiga daripada keseluruhan kawasan iaitu berkeluasan 17,431 kaki persegi yang boleh mengendalikan sehingga 700 kereta sebulan. Selain penyelenggaran biasa, perkhidmatan alignment dan balancing, diagnosis dan baik pulih elektrikal, mengecat, lapisan cermin gelap, tuntuntan insurans dan waranti.

    Untuk menambah kemudahan dan keselesaan pelanggan, Mercedes-Benz Autohaus Seremban ini turut menawarkan penyelenggaran ekspres, tempahan pintu-ke-pintu termasuk kemudahan menghantar kenderaan termasuk unit pandu uji ke lokasi yang dipinta pelanggan. Selain itu, pengecas pantas EV turut disediakan di Autohaus baharu ini.

    “Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Minsoon Star di atas pembukaan Autohaus baharu mereka dan terima kasih atas komitmen bersama mereka untuk mentafsir semula pengalaman jenama mewah yang sinonim dengan Mercedes-Benz. Kami sentiasa bekerjasama dengan rakan pengedar kami untuk mengembangkan konsep runcit mewah jenama sambil memastikan jangkaan, keperluan dan permintaan pelanggan kami dipenuhi,” kata Sagree Sardien, presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia dan ketua serantau bagi Asia Tenggara II.

    Jim Tan dari Minsoon Star pula berkata, “Seremban mempunyai populasi yang semakin meningkat dan bandar yang berkembang pesat dengan komuniti yang mewah, dan kami percaya bahawa ia merupakan lokasi yang sesuai untuk kami melayani pelanggan kami di wilayah ini. Kami adalah satu-satunya pengedar jualan dan servis Mercedes-Benz yang sah di Negeri Sembilan sejak 1968 dan kami berbangga mempamerkan Autohaus baharu kami yang mempamerkan konsep runcit mewah terkini jenama itu untuk pelanggan kami.”

    Minsoon Star Seremban Autohaus terletak di No. 336, Jalan Haruan 2, Taman Perindustrian Oakland, 70300 Seremban, Negeri Sembilan.

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 9,233 buah kenderaan pada September 2022 – naik hampir 15% berbanding 2021

    UMW Toyota Motor jual 9,233 buah kenderaan pada September 2022 – naik hampir 15% berbanding 2021

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan pada bulan September, syarikat telah berjaya menjual 9,233 buah kenderaan. Daripada jumlah itu, 9,098 unit adalah model Toyota, sementara model Lexus pula menyumbang kepada jumlah 135 unit.

    Jumlah jualan pada bulan lalu ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 142 unit (atau 1.56%) berbanding jumlah jualan pada bulan Ogos (9,091) 2022. Jika dibandingkan pula dengan bulan sama pada tahun 2021, ia bersamaan dengan peningkatan hampir 15% (atau 135 unit).

    Dengan keluarnya jumlah jualan bulan September ini, UMWT secara keseluruhannya bagi tahun ini telah menjual sebanyak 70,872 buah kenderaan, bersamaan peningkatan 24,754 unit (atau 54%) berbanding 46,118 unit yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas. Walaupun jumlah peningkatan ini nampak banyak, perlu diingat bahawa tahun lepas kita masih terkesan dengan pandemik yang menyebabkan jualan kenderaan menurun.

     
     
  • Toyota Harrier Luxury SE 2022 — merah metalik, dalam coklat, Toyota Safety Sense dipertingkat; RM274k

    Toyota Harrier Luxury SE 2022 — merah metalik, dalam coklat, Toyota Safety Sense dipertingkat; RM274k

    UMW Toyota Motor telah menambah satu lagi varian bagi Toyota Harrier di sini — Harrier Luxury SE (Special Edition) — bermula dari RM277k atas jalan, tidak termasuk insurans. Bersekali dengan pengenalan varian baru ini, UMWT turut memperkenalkan Harrier 2.0 Luxury Improvement (IMP), dijual bermula RM274k. Harrier Luxury 2.0 liter pertama kali diperkenalkan di sini pada Februari 2021. Berikutan tamatnya tempoh pengecualian SST bermula 1 Julai, Harrier dijual pada harga RM259k.

    Ciri menarik bagi Harrier Luxury SE adalah warna merah metalik yang digunakan, dengan ruang dalaman berwarna coklat — khusus untuk varian berkenaan. Di dalam, panel pintu kini dibalut oleh kulit hitam dengan perincian coklat. Kombinasi warna ini juga diberikan untuk tempat duduk — kulit hitam dengan benang coklat.

    Harrier Luxury SE bersama dengan Harrier Luxury IMP datang dengan kemaskini sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense, menampilkan ciri brek pra-perlanggaran, kawalan melayar radar dinamik dan amaran penukaran lorong. Ini adalah tambahan kepada ciri sedia ada seperti bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang, lampu tinggi adaptif dan tujuh beg udara.

    Dari segi sistem janaan, Harrier generasi keempat menggunakan unit M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force empat-silinder yang menjana 173 PS pada 6,600 rpm dan 203 Nm tork dari 4,400 hingga 4,900 rpm: enjin yang sama digunakan pada Toyota RAV4. Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear Direct Shift-CVT untuk memacu roda depan. Harrier memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, dengan laju maksimum 190 km/j. Kadar penggunaan minyaknya pula adalah 15.3 km/l (atau 6.5L/100km).

    Ciri standardnya termasuklah lampu utama projektor bi-LED, lampu kabus depan dan belakang, pintu ruang karga bebas kendalian tangan, bumbung panoramik, skrin sentuh lapan-inci untuk infotainmen dengan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto sambungan wayar, enam pembesar suara dan paparan kluster instrumen TFT berwarna tujuh-inci. Kabinnya juga ada pengecas tanpa wayar, lima slot USB-C, head-up display, perakam video digital di depan dan belakang serta cermin pandang belakang digital.

    Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata: “Kami terharu dengan sambutan positif daripada pelanggan dan kini lebih komited untuk pergi “Lebih Jauh” untuk merancakkan lagi pengeluaran dan memastikan serahan kepada pelanggan dalam masa yang singkat. Kami berbesar hati untuk memperkenalkan penambahbaikan yang dilakukan untuk Toyota Harrier 2022 2.0L Luxury Improvement (IMP) dan berharap kemaskini tersebut akan memberikan pengalaman bermakna kepada pemandu setiap kami mereka mengendara SUV ini.”

    Toyota Harrier IMP baru datang dengan lima pilihan warna termasuk Slate Grey metalik, Steel Blonde metalik dan Dark Blue metalik. Warna Precious Black dan Platinum White Pearl sebelum ini akan dikenakan kos tambahan RM800. UMW Toyota Motors juga telah mula mengambil tempahan bagi Toyota Harrier IMP ini.

     
     
  • Nissan Almera facelift 2023 diperkenal – model AS dapat perubahan gaya dan kelengkapan, enjin 1.6L NA

    Nissan Almera facelift 2023 diperkenal – model AS dapat perubahan gaya dan kelengkapan, enjin 1.6L NA

    Tiga tahun selepas diperkenalkan buat pertama kalinya kepada dunia, Nissan Almera, yang juga dikenali sebagai Versa di Amerika Syarikat telah diberikan facelift, melibatkan sedikit perubahan gaya serta penambahan kelengkapan.

    Perubahan paling ketara adalah di bahagian hadapan, dengan sedan ini mendapat kemasan gril V-motion lebih kemas dengan jalur melintang, yang menggunakan warna hitam di bahagian tengah, dan krom di bucunya, dari atas sehingga ke bawah.

    Bahagian bampar juga direka semula, dengan kini mempunyai rekaan yang lebih licin dan di bahagian paling bawah, kemasannya dijadikan lebih sekata dengan bahagian tepi. Nissan juga memperkenalkan rekaan rim 17 inci serta warna Gray Sky Pearl baru untuk varian SV (pertengahan) dan SR (paling tinggi). Satu lagi varian yang ditawarkan adalah S (paling asas).

    Nissan Almera facelift 2023 diperkenal – model AS dapat perubahan gaya dan kelengkapan, enjin 1.6L NA

    Bahagian belakang dan dalam tidak berubah. Papan pemukanya masih sama tetapi ada sedikit perubahan kelengkapan. Pakej S Plus yang ditawarkan untuk varian S akan memberikan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay pada sistem infotainmen dengan skrin sesentuh tujuh incinya, rim 16 inci serta tempat duduk belakang boleh lipat 60:40.

    Sementara itu, varian SV pula mendapat perehat tangan hadapan, pad pengecas tanpa wayar serta warna kemasan dalam baru yang dipanggil sebagai Chambray. Ini melengkapi barangan lain seperti rim 16 inci, lampu utama LED automatik serta pakej S Plus.

    Varian SR juga mendapat peningkatan sama seperti SV tetapi sistem infotainmennya menggunakan skrin sesentuh lapan inci dan mempunyai ciri Wi-Fi hotspot, NissanConnect serta enam pembesar suara (varian lain cuma ada empat). Varian paling tinggi ini juga datang dengan rim 17 inci, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan dan pemula enjin jarak jauh.

    Untuk aspek keselamatan, semua varian datang dengan Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Lane Departure Warning, Rear Automatic Braking serta High Beam Assist. Varian SV ditambah dengan Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert, manakala SR pula ditambah lagi dengan Intelligent Cruise Control.

    Model ini terus menggunakan enjin petrol empat silinder HR16DE 1.6 liter NA yang mampu menghasilkan 124 PS (122 hp) dan 154 Nm, dan diberikan dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan (S sahaja), atau Xtronic CVT. Pilihan yang diberi ini berbeza berbanding Almera di Malaysia, yang hanya didatangkan dengan enjin petrol tiga silinder turbo 1.0 liter HR10DET, berkuasa 100 PS (99 hp) dan 152 Nm, bersama transmisi CVT.

     
     
  • Audi Q5 S Line 2.0 TFSI quattro FL 2022 di Malaysia – 249 PS/370 Nm, RM486k, pesaing Merc GLC, BMW X3

    Audi Q5 S Line 2.0 TFSI quattro FL 2022 di Malaysia – 249 PS/370 Nm, RM486k, pesaing Merc GLC, BMW X3

    Seperti yang dimaklumkan, pada Julai lalu, pengedar baharu bagi jenama Audi di Malaysia, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah pun memperkenalkan model Q5 facelift yang ditawarkan pada harga atas jalan RM486,223 tanpa insurans dengan penawaran model tunggal S Line 2.0 TFSI quattro.

    SUV ini diberikan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa hingga 249 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 370 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Transmisinya menerusi kotak gear automatik dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan, dan pacuannya disalurkan ke semua roda.

    Seperti varian yang diberi dengan kemasan luaran S Line, ia diberiken roda aloi jejari-lima-berkembar 19-inci dengan balutan tayar 235/55R19 untuk hadapan dan belakang. Model yang terpapar dalam foto ini turut dipadankan dengan pakej penggayaan ala metal berkilat untuk bahagian luarannya.

    Untuk bahagian kabinnya pula, ia diberikan tempat duduk upholstery dengan balutan kulit Nappa, dan juga pakej pencahayaan ambien. Selain itu, ia juga diberikan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan pemandu boleh melihat paparan informasi menerusi Audi Virtual Cockpit Plus.

    Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan pemilihan pemanduan Audi yang menawarkan lima mod, MMI navigation plus dengan MMI touch interface. Walau bagaimana pun, untuk varian ini, kini ia tidak lagi diberikan sistem Bang & Olufsen. Selain itu, ciri lain yang ditampilkan termasuklah tempat duduk hadapan larasan elektronik dengan 12-cara bersama fungsi memori dan sokongan lumbar dan kawalan suhu tiga-zon.

    Untuk aspek keselamatan pada Q5 S Line 2.0 TFSI quattro, ia diberikan pra deria belakang Audi, dan asas pra deria, kawalan kelajuan adaptif, amaran ketibaan lorong, bantuan tukar lorong, bantuan parkir dengan kamera pandangan belakang.

    Audi Q5 S Line 2.0 TFSI quattro 2022 didatangkan dengan waranti lima-tahun dan perbatuan tanpa had serta tiga-tahun penyelenggaran percuma, bersama lima-tahun bantuan tepi jalan. Sembilan warna luaran ditawarkan untuk Q5 di Malaysia iaitu Mythos Black, Navarra Blue, Ultra Blue, Glacier White, Ibis White, Floret Silver, District Green, Daytona Grey dan Chonos Grey.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024