Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Volkswagen ID. Buzz GTX didedah — 340 PS dual-motor, 2 jarak roda; 79 atau 86 kWj, 0-100 km/j 6.5 saat

    Volkswagen ID. Buzz GTX didedah — 340 PS dual-motor, 2 jarak roda; 79 atau 86 kWj, 0-100 km/j 6.5 saat

    Volkswagen ID. Buzz kini tampil dalam varian paling berprestasi yang diberi nama GTX dan telah mula dipertontonkan di peringkat global. Dijangka bakal dijual pada separuh kedua tahun ini, ID. Buzz GTX bakal menyertai barisan versi GTX lain untuk model seperti ID.3, ID.4, ID.5 dan ID.7 Tourer.

    Dilengkapi dengan dua motor elektrik, ID. Buzz GTX memberikan output keseluruhan sebanyak 340 PS (335 hp or 250 kW), dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dan laju maksimum 160 km/j. Ini disumbangkan oleh sebuah motor elektrik di belakang dengan janaan 286 PS (282 hp atau 210 kW) dan 560 Nm tork dengan sebuah lagi motor elektrik di depan dengan janaan 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 134 Nm.

    Menguasakan dua motor elektrik berkenaan ialah bateri lithium-ion dengan dua kapasiti bergantung kepada jarak antara roda yang dipilih. Bagi jarak antara roda standard ID. Buzz GTX, ia menggunakan bateri 79 kWj (84 kWh bersih), sementara jarak antara roda lanjutan menerima bateri 86 kWj (91 kWh bersih). Perbezaan antara dua bateri itu ialah unit sel modul yang ada, masing-masing dengan 12 dan 13 sel modul.

    Volkswagen ID. Buzz GTX didedah — 340 PS dual-motor, 2 jarak roda; 79 atau 86 kWj, 0-100 km/j 6.5 saat

    Kedua-dua pek bateri bagi ID. Buzz ini adalah yang baru, tetapi belum dinyatakan jarak perjalanannya. Apa yang diketahui kini ialah unit 79 kWj itu menyokong pengecasan pantas DC dengan kadar maksimum 185 kW, dengan pengecasan 10-80% SoC boleh dicapai dalam masa 25 minit. Untuk bateri 86 kWj, ia boleh menampung sehingga 200 kW, dengan 10-80% Soc memerlukan 30 minit.

    Pertambahan output berbanding varian biasa ID. Buzz, beserta sistem pacuan semua roda 4Motion elektrik membolehkannya menambah juga beban tampungan. Versi standard boleh menampung beban muatan sehingga 1,800 kg, sementara untuk versi jarak antara roda panjang pula menampung 1,600 kg. Angka ini masing-masing lebih 800 kg dan 600 kg lebih berbanding ID. Buzz varian biasa.

    ID. Buzz GTX mengikut jejak model GTX elektrik lainnya seperti ID.3 GTX dan ID.7 GTX Tourer dengan menerima wajah depan bersama elemen laluan udara sisi (dengan DRL bentuk boomerang) serta gril bukaan udara hitam dalam rekaan honeycomb.

    Volkswagen ID. Buzz GTX didedah — 340 PS dual-motor, 2 jarak roda; 79 atau 86 kWj, 0-100 km/j 6.5 saat

    Ia dilengkapi dengan lampu utama LED IQ.Light Volkswagen adalah ciri standard, begitu juga dengan rim aloi 19-inci Venlo yang boleh diganti dengan saiz 21-inci Caracas atau Townsville. Warna Cherry Red dengan penyudah baru juga adalah eksklusif untuk model ini, dengan bumbung Mono Silver Metallic.

    Di dalam, warna gelap memberikan suasana lebih sporty, dilengapi dengan lapik bumbung hitam. Kerusi GTX pula dengan material microfleece ArtVelours Eco dengan corak berlian dan warna kontras untuk jahitan. Tidak lupa, ada juga lencana GTX.

    Tetapan kerusi pula, untuk jarak antara standard ia dilengkapi lima-kerusi dengan lipatan 40:60 untuk barisan kedua dan dua kerusi individu untuk barisan ketiga (2-3-2). Ruang barangan pula antara 1,121 liter hingga 2,469 liter jika kerusi dilipat.

    Varian ini turut datang dengan bumbung panoramik untuk versi jarak roda panjang, yang ada gelas pintar boleh diubah dari jernih hingga sedikit gelap, secara elektronik. Ada juga dua paparan dengan skrin sentuh lebih besar di tengah (12.9-inci berbanding 12-inci sahaja), yang disertai palang sentuh bercahaya untuk suhu dan kawalan suara media. Sebuah head-up display adalah ciri pilihan terbaru untuk ID. Buzz.

    Perisian baru turut membawakan ChatGPT bersepadu yang berinteraksi dengan bantuan suara IDA, sementara aplikasi Wellness baru dengan tetapan program tersedia membolehkan larasan pelbagai fungsi kenderaan untuk memperbaiki keselesaan penumpang ketika pemanduan atau pengecasan.

    Park Assist Plus kini tersedia dengan ID. Buzz GTX, lengkap dengan fungsi parkir jarak jauh melalui capaian dari telefon pintar. Sistem amaran ketika keluar dan penambahbaikan bagi Travel Assist (termasuk Lane Assist, kawalan melayar adaptif dan Emergency Assist) melancarkan lagi operasi dan sokongan ketika menukar lorong ketika memandu.

     
     
  • Pusat 3S BYD di bandar Melaka dibuka secara rasmi

    Pusat 3S BYD di bandar Melaka dibuka secara rasmi

    BYD telah mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S terbaharunya yang berada di tengah-tengah bandar Melaka. Dikendalikan oleh BYD Sing Kwung Motors, kemudahan baharu ini bertujuan menyediakan perkhidmatan jualan dan lepas jualan kepada pelanggan BYD di kawasan sekitarya.

    Pelancaran pusat 3S serba canggih ini melambangkan komitmen BYD untuk meluaskan operasinya di Malaysia. Dengan kedudukan strategik di Melaka, bilik pameran baharu ini akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kenderaan elektrik BYD dan menyokong kumpulan pelanggan BYD yang sedia ada
    di kawasan ini. Pusat 3S BYD ini terletak di No.10, Jalan Abadi 1, Kawasan Perindustrian Malim Jaya, Malim, Melaka.

    “Kami teruja untuk merasmikan pusat 3S terbaharu kami di Melaka, yang membuktikan dedikasi kami untuk berkhidmat kepada pelanggan di Malaysia. Mercu jaya ini mencerminkan komitmen berterusan BYD untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik sambil menyumbang kepada pembangunan pengangkutan lestari di kawasan ini,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Darby Motors Malaysia.

    Ng Sin Yean selaku Pengarah Urusan BYD Sing Kwung Motors pula berkata, “Pusat 3S yang baru dibuka ini menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk rundingan jualan, pandu uji kenderaan, dan perkhidmatan lepas jualan. Pelanggan boleh meneroka model-model terbaharu kenderaan elektrik BYD yang terkenal dari
    segi kecanggihan teknologi, keunggulan prestasi dan kelebihan ciri-ciri mesra alamnya.”

    Dalam masa yang sama, pusat 3S ini juga bersedia untuk mendukung reputasi BYD yang menjanjikan
    kecemerlangan perkhidmatan pelanggan, memastikan pengalaman yang memuaskan pemilik kenderaan BYD yang sedia ada dan juga bakal pelanggan.

    Pasukan pengedar yang terdiri daripada profesional terlatih bersedia untuk membantu pelanggan memenuhi keperluan automotif, memberikan perkhidmatan sokongan yang tiada tandingan.

    Dengan pembukaan pusat 3S baharu ini, BYD menekankan komitmen kepada pengangkutan lestari dan inovasi di Melaka. Dengan sasaran mencapai 30 pengedar rangkaian di negara ini menjelang akhir 2024, BYD berharap untuk terus mengukuhkan kedudukan di rantau ini.

     
     
  • Kia K4 2025 – pesaing Honda Civic didedahkan dengan rekaan polarisasi, pengganti sedan Cerato/Forte

    Kia K4 2025 – pesaing Honda Civic didedahkan dengan rekaan polarisasi, pengganti sedan Cerato/Forte

    Setelah nama K3 ‘diambil alih’ oleh sedan segmen-B baharu, Kia Cerato dan Forte bakal dikenali sebagai K4 di peringkat global. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pengeluar kereta Korea telah pun menyiarkan teaser sedan segmen-C baharu K4 sebelum ia diperkenalkan secara rasminya di New York Auto Show pada 27 Mac ini.

    Sebagai sedan kompak empat-pintu yang panjang dan rendah, K4 tampil dengan reka bentuk bersudut dan ‘seakan berpusing’ membuatkan barisan perekanya menggelarkannya sebagai “Twist Logic”. Jika melihat pada sudut profil sisi, kelihatan tiang-D menegak yang seakan bersilang dengan cermin belakang (mengingatkannya pada model Stinger yang telah tiada di pasaran), serta bahagian atas roda yang menonjol.

    Kia K4 2025 – pesaing Honda Civic didedahkan dengan rekaan polarisasi, pengganti sedan Cerato/Forte

    Imej yang polarisasi itu kelihatan pada lampu utama menegak dan lampu belakang yang seakan ‘memotong’ bampar hadapan dan belakang. Lampu nyalaan siang LED berinspirasikan buruj disepadukan dengan jaluran krom pada gril hadapan hingga ke “Tiger Face” yang menjadi signitur bagi model Kia. Sementara itu, lampu belakang berbentuk-L yang lebar mengunjur hingga ke lencana Kia pada boot lid.

    Di dalamnya, K4 menampilkan skim warna dua-tona terpisah antara bahagian pemandu dan penumpang hadapan, dengan lebih banyak warna ditampilkan pada papan pemuka dan juga panel pintu. Pembeli boleh memilih sama ada Medium Grey, Slate Green (seperti yang ditunjukkan di sini), Canyon Brown, dan Onyx Black.

    Kia K4 2025 – pesaing Honda Civic didedahkan dengan rekaan polarisasi, pengganti sedan Cerato/Forte

    Panel paparan cermin hadapan pula seperti model terkini Kia, termasuk paparan kawalan suhu kecil, seperti pertama kali dilihat pada EV9, begitu juga dengan bentangan kawalan lain termasuk suis pendingin hawa dan juga infotainmen.

    Tiada perincian mengenai mekanikalnya didedahkan setakat ini, namun kami menjangkakan ia akan dikuasakan oleh enjin petrol empat-silinder, termasuk 2.0 liter naturally-aspirated dan 1.6 liter pengecas turbo, masing-masing dipadankan bersama CVT dan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan. Ia merupakan penjana kuasa yang sama ditawarkan untuk Cerato dan Forte.

     
     
  • Anda boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 2 tahun jika halang konvoi yang diiringi polis

    Anda boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 2 tahun jika halang konvoi yang diiringi polis

    Parlimen Malaysia telah meluluskan beberapa pindaan terhadap Akta Polis 1967 (Akta 344), yang merangkumi semakan kepada Seksyen 21 yang meliputi tugas pegawai polis di jalan raya awam. Pindaan kepada Fasal 4 kini memperuntukkan polis menjalankan tugas pengiring.

    Perkara sama ada seorang pemandu perlu memberi laluan kepada konvoi VIP yang sedang diiring oleh polis telah diperdebatkan dengan hebat sebelum ini. Seorang pakar undang-undang pernah berkata bahawa tidak ada undang-undang sedemikian yang memerlukan pemandu untuk memberi laluan kepada konvoi VIP di jalan raya.

    Bagaimanapun, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pada masa itu bahawa pengguna jalan raya yang ingkar arahan polis terutamanya dalam enggan memberi laluan kepada konvoi VIP apabila diminta boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Polis, Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan Kanun Keseksaan.

    Dengan pindaan terbaharu (D.R. 6/2024), kini termaktub dalam undang-undang bahawa menjadi kewajipan polis untuk menjalankan sebarang tugas pengiring. Akta itu juga menyatakan dalam Subseksyen (2) bahawa “mana-mana individu yang menghalang, menentang atau mengingkari mana-mana arahan munasabah yang diberikan oleh mana-mana pegawai polis dalam melaksanakan tugasnya di bawah seksyen ini adalah suatu kesalahan dan hendaklah bertanggungjawab apabila disabitkan.”

    Subseksyen ini juga telah dipinda untuk meningkatkan tahap hukuman, justeru, individu yang ditangkap kerana mengingkari arahan polis yang menjalankan sebarang tugas pengiring boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga dua tahun, berbanding sebelum ini hanya RM200 dan dua bulan penjara.

    Satu lagi pindaan penting kepada Akta itu melibatkan Seksyen 26, yang menyaksikan kenaikan denda maksimum daripada RM1,000 kepada RM2,000 bagi sesiapa yang gagal mematuhi arahan polis supaya berhenti sebelum sampai di mana-mana penghadang yang didirikan atau diletakkan oleh mana-mana pegawai polis. Sementara itu, Seksyen 6A baharu pula menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat bagi memberi penghormatan dalam hal ehwal adat istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

     
     
  • Laluan SmartLane kembali diaktifkan di lebuhraya utama sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini

    Laluan SmartLane kembali diaktifkan di lebuhraya utama sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini

    Pengaktifan laluan SmartLane di lebuhraya pada musim perayaan ternyata membuahkan hasil apabila sedikit sebanyak ia membantu aliran trafik yang lebih lancar. Justeru, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan laluan SmartLane di semua lebuhraya utama sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

    Perkara ini disahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam yang berkata, keputusan itu dibuat susulan inisiatif pelaksanaannya pada perayaan Tahun Baharu Cina sebelum ini mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna jalan raya.

    “Kita berterima kasih kepada pengguna jalan raya yang banyak memberikan maklum balas mengenai keberkesanan sistem SmartLane setelah ia mula diaktifkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina lalu. Kita akan memperbaiki sistem ini dari masa ke masa. Kementerian turut berharap sistem ini dapat memberi manfaat dan mempertingkatkan lagi aspek keselamatan pengguna jalan raya sepanjang perayaan Aidilfitri,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Walau bagaimana pun, katanya, pengguna diminta untuk menunggu pengumuman daripada syarikat-syarikat konsesi berkaitan berhubung tarikh dan jumlah keseluruhan lokasi SmartLane diaktifkan di setiap lebuh raya.

    Laluan SmartLane kembali diaktifkan di lebuhraya utama sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini

    Baru-baru ini terdapat pelbagai konflik di kalangan pengguna jalan raya berkenaan laluan SmartLane yang diwujudkan di beberapa bahagian Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak. Mungkin kerana maklumat yang diberikan tidak sampai kepada pengguna dan juga papan tanda yang tidak jelas membuatkan ada penunggang motosikal yang memarahi pemandu kereta yang menggunakan lorong kecemasan tersebut ketika SmartLane diaktifkan.

    Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui bahawa papan tanda SmartLaneberkenaan memang terlalu kecil, dan masih ramai lagi yang tidak mengetahui kewujudan lorong bagi menyuraikan trafik ketika waktu puncak menggunakan lorong kecemasan berkenaan, seterusnya menyebabkan ada yang ragu-ragu untuk menggunakannya.

    Justeru, untuk mengelakkan konflik di kalangan pengguna jalan raya berulang, pihaknya akan mengarahkan supaya syarikat konsesi lebuhraya meletakkan papan tanda yang lebih jelas untuk pemakluman pengaktifan SmartLane.

     
     
  • Cadangan hapuskan tol sukar dilaksana kerana beri implikasi besar terhadap kewangan negara – KKR

    Cadangan hapuskan tol sukar dilaksana kerana beri implikasi besar terhadap kewangan negara – KKR

    Kementerian Kerja Raya mengulangi kenyataannya sekali lagi mengenai cadangan menghapuskan tol yang dikatakan sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan memberi implikasi besar terhadap kedudukan kewangan negara.

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan cadangan pemansuhan tol di negara ini akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan melebihi RM450 bilion kepada syarikat konsesi tol, laporan Bernama.

    “Anggaran (kos) pada 2019 untuk menghapuskan tol kita perlu membayar (pampasan) kepada konsesi lebuh raya lebih RM400 bilion. Sekarang sudah 2023 … tentunya lebih lagi, saya anggarkan kira-kira RM450 bilion.

    ” … kita tahu belanjawan negara sekitar RM388 bilion setahun, kalau nak hapuskan tol dengan nilai RM450 bilion pada tempoh setahun itu kita tiada gaji yang boleh diberikan atau untuk kegunaan lain … saya tak nampak tol boleh dihapuskan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Cadangan hapuskan tol sukar dilaksana kerana beri implikasi besar terhadap kewangan negara – KKR

    Pada masa sama, Ahmad mendedahkan kerajaan membelanjakan kos RM20 juta sehari untuk bayaran kepada konsesi lebuh raya susulan pemberian tol percuma semasa sambutan perayaan. Beliau turut memberi bayangan kemungkinan terdapat pengumuman pemberian tol percuma bersempena dengan sambutan Aidilfitri nanti.

    Terdahulu ketika membentangkan bacaan kali kedua RUU itu, Ahmad berkata pindaan melibatkan 16 fasal dalam Akta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) 1980 itu bertujuan menambah baik fungsi dan bidang kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam akta tubuhnya, selain memperkukuh peranan lembaga itu sebagai badan pengawal selia yang mantap, cekap dan efisien selaras dengan hasrat kerajaan.

    Katanya, pindaan akta itu tidak akan memberi sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan mahupun kenaikan kadar tol yang dipersetujui dalam perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi. RUU itu kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

     
     
  • Rapid KL sediakan bas perantara percuma untuk ke KL MATTA Fair 22-24 Mac; KL Sentral-Sunway Putra Mall

    Rapid KL sediakan bas perantara percuma untuk ke KL MATTA Fair 22-24 Mac; KL Sentral-Sunway Putra Mall

    Rapid KL bakal menyediakan bas perantara percuma untuk acara KL MATTA Fair 2024 yang bakal berlangsung mulai esok (22 Mac) sehingga 24 Mac ini di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur.

    Menurut Rapid KL, bas perantara percuma tersebut akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam, dengan lokasi pengambilan penumpang di hentian bas KL Sentral dan Balai Pelepasan ERL. Manakala lokasi menurunkan penumpang adalah di hentian bas hadapan pintu masuk utama Sunway Putra Mall. Kekerapan ketibaan bas pula adalah setiap 10 minit, namun bergantung pada keadaan lalu lintas semasa.

    Bagi pengunjung MATTA Fair yang menaiki bas perantara yang disediakan oleh Rapid KL ini, anda juga berpeluang memenangi baucar perjalanan bernilai RM100 daripada Matta Fair.

    MATTA Fair merupakan sebuah acara yang dianjurkan oleh Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang biasanya berlangsung antara Mac hingga September setiap tahun. Ia menawarkan pelbagai tawaran hebat berkaitan pelancongan seperti pakej lawatan, penginapan hotel dan tiket penerbangan.

     
     
  • MITI kekal sasaran 10,000 pengecas EV pada 2025

    MITI kekal sasaran 10,000 pengecas EV pada 2025

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ketika ini masih mengekalkan sasaran untuk pemasangan 10,000 pengecas EV yang tersedia di seluruh negara menjelang tahun 2025 seperti yang digariskan pada 2021 di bawah Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

    Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata walaupun sasaran itu agak agresif memandangkan tarikh akhirn 2025-nya akan singkat kini, pemain industri telah meyakinkan beliau yang perkara itu boleh dicapai, lapor Bernama.

    Ini ditunjukkan dalam data terkini, yang telah menyaksikan 1,430 pengecas EV telah dipasang di seluruh negara setakat November tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan semasanya 2,020 pengecas seperti yang ditunjukkan dalam senarai terkini PlanMalaysia — MEVnet.

    Bagaimanapun, dengan angka semasa itu menunjukkan progres, dengan hampir 600 pengecas yang sedang dipasang, untuk menghadirkan 8,000 pengecas lagi menjelang tahun 2025 adalah sesuatu yang agak mencabar. Untuk itu, Zafrul memaklumkan, rancangan untuk menilai semula sasaran itu akan diputuskan ketika mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Nasional (NEVSC) seterusnya, yang akan diadakan dalam masa terdekat.

    MITI kekal sasaran 10,000 pengecas EV pada 2025

    “Mereka memaklumkan pemasangan sedang giat dijalankan, dan kita akan lihat bagaimana nanti. Ini kerana mesyuarat seterusnya jawatankuasa akan membincangkan sama ada kita perlu mengekalkan atau menurunkan sasaran tersebut. Pemain industri nampak sangat optimistik,” ujarnya ketika pelancaran stesen pengecasan Tesla Supercharger yang ketujuh di Gamuda Cove semalam.

    Zafrul juga menekankan, pelbagai insentif dan usaha yang sedang ditawarkan kepada pemain industri EV bagi memastikan sasaran tersebut boleh dicapai. “Berdasarkan polisi semasa, kami ingin mempercepat kelulusan dan bekerjasama dengan kementerian serta agensi lain seperti Kementerian Perumahan dan kerajaan setempat, Jabatan Bomba, Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain,” ujarnya.

    Beliau menambah bahawa mereka yang membangunkan rangkaian prasaran pengecasan ingin lihat jualan EV yang lebih tinggi. “Jika tidak, kita akan ada kemudahan pengecasan, tetapi tiada kereta yang memanfaatkannya. Ia perlu selari,” tambahnya.

     
     
  • BMW Vision Neue Klasse X dipertonton — idea rekaan bagi SUV iX3 2025, kabin dan bunyi boleh kustom

    BMW Vision Neue Klasse X dipertonton — idea rekaan bagi SUV iX3 2025, kabin dan bunyi boleh kustom

    Memperkenalkan, BMW Vision Neue Klasse X, sebuah rekaan konsep yang mempamerkan arah tuju rekaan SUV elektrik iX3 generasi akan datang yang dijangka akan diproduksi pada 2025 nanti. Memang ini merupakan rekaan konsep, tetapi menurut Ketua BMW i Design, Kai Langer, jika model produksi nanti diletakkan sebelah model konsep ini, sukar untuk mengecam perbezaannya.

    Ini merupakan konsep kedua Vision Neue Klasse, selepas versi sedannya dipertontonkan tahun lalu. Dinamakan sempena siri model pada tahun 1960an yang telah menyelematkan syarikat itu daripada kemelut kewangan selepas Perang Dunia Kedua, kedua-dua rekaan berkenaan adalah gambaran masa depan penawaran kenderaan jenama itu kelak.

    Walaupun lebih kemudian diperkenalkan, versi X ini akan memasuki produksi terlebih dahulu — sebagai iX3 serba baru. Versi sedannya pula akan diterjemahkan ke dalam model 3 Series generasi akan datang pada tahun berikutnya. Selebihnya, semua model akan datang BMW akan mewarisi penggayaan dan teknologi daripada dua model konsep Klasse ini.

    BMW Vision Neue Klasse X dipertonton — idea rekaan bagi SUV iX3 2025, kabin dan bunyi boleh kustom

    Ada perbezaan ketara antara rekaan versi sedan dan SUV-nya. Misalnya, rekaan gril tinggi dan tirus yang ada ini adalah khusus untuk model SUV-nya sahaja, sementara sedan akan menampilkan pelbagai variasi “kidney grille” dengan kelebaran penuh. Gril tinggi untuk menonjolkan ketegapan dan keranggian, sementara gril “kidney” pula untuk lebih menampilkan sisi dinamik.

    Teras rekaan utama bagi Neue Klasse X adalah supaya ia kelihatan serba baru, tetapi tidak terlalu asing imejnya. Wajah depannya tidak terlalu agresif, yang bakal menjadi wajah model-model akan datang BMW pada masa depan. Dari sisi, rekaan konsep ini kekal dengan bentuk tradisional dua-kotak, walaupun ini adalah rekaan khusus untuk model EV sahaja. Bonetnya terletak tinggi dan panjang seperti SUV konvensional, sedikit lari daripada rekaan biasa model EV lazim.

    Model ini mengambil profil yang biasa dilihat untuk model pacuan roda belakang, terutamany dengan lekuk roda yang lebih menonjol. Bentuk keseluruhannya juga seperti mengalir lembut dari depan ke belakang. Tiang pintu dibikin lebih tirus, sementara garis bahu badannya lebih rendah — membolehkan kaca tingkap yang lebih besar digunakan, membenarkan lebih banyak cahaya masuk ke kabin.

    BMW Vision Neue Klasse X dipertonton — idea rekaan bagi SUV iX3 2025, kabin dan bunyi boleh kustom

    Pemegang pintu bagi konsep X ini juga kecil dan terletak di luar garis tingkap, namun versi produksinya kelak akan diberikan rekaan pemegang pintu pop-out yang lebih konvensional. Cermin sisi kamera digital juga mungkin tidak disertakan, memandangkan tiada paparan disediakan di dalam kabin.

    Turut diberikan rekaan serba baru ialah lengkung khusus BMW Hoffmeister — ia ditambah dengan cat pemantul cahaya dalam suku tingkap, sementara garis tingkap sebenar disudutkan agar bersambung ke bahagian spoiler belakang.

    Di belakang juga, rekaan lampunya lebar, untuk memberikan kelainan penampilan. Kluster lampunya juga tidak lagi berbentuk L, sebaliknya bergantung kepada grafik lampu LED yang ada untuk memberikan penampilan yang tidak terlalu asing. Lencana BMW pula diukir dalam — ciri menarik yang mungkin tidak akan diberikan kepada model produksinya nanti.

    BMW Vision Neue Klasse X dipertonton — idea rekaan bagi SUV iX3 2025, kabin dan bunyi boleh kustom

    Di dalam, rekaannya lebih memikat. Rekaletak papan pemuka menempatkan skrin besar dan selebihnya ruang lapang yang ringkas. Corong pendingin juga tersorok, tidak lagi menjadi elemen rekaan yang menonjol. Namun, ia ada kluster instrumen yang sebenar. BMW Panoramic Vision yang lebar dan boleh kustom melalui unit skrin sentuh besar yang tersedia. Dengan kluster instrumen yang berada di atas roda stereng, ini membolehkan BMW memberikan rekaan stereng yang baru, kini dengan jejari menegak. Bagaimana dengan model produksi nanti?

    Tuil lampu isyarat di belakang stereng juga ada, menandakan yang rekaan ini akan kekal bagi model BMW — walaupun EV — dan tidak akan digantikan dengan operasi digital atau butang di stereng, seperti untuk model Tesla. Ciri serba baru Personal Sound Experience turut diperkenalkan, yang membolehkan pemandu menukar bunyi kereta menjadi seperti ia dipacu menggunakan roda HypersonX.

    BMW Vision Neue Klasse X dipertonton — idea rekaan bagi SUV iX3 2025, kabin dan bunyi boleh kustom

    Kerusi belakang pula macam sofa. Ia menggunakan warna cerah serta material baru. Penggunaan fabrik lembut diperbuat daripada bahan kita semula nampak kemas dan lembut. Ini menjadikan lampu suasana di papan permuka juga lebih bersepadu dan unit.

    Neue Klasse X ini menampilkan ciri BMW eDrive generasi keenam. Ia menggunakan senibina elektrikal 800V yang pertama BMW, mempercepat pengecasan hingga 30%. BMW mendakwa boleh mendapatkan jarak 300 km hanya dengan 10 minit pengecasan. Ini juga melibatkan sel bateri dengan densiti lebih tinggi, 20% makin kurang aero drag serta dengan kecekapan keseluruhan yang lebih baik — dengan 30% lebih jarak berbanding model semasa. Kilang Debrecen di Hungary di mana pengeluaran iX3 ini akan dilakukan juga menjadi kilang BMW yang pertama bebas daripada tenaga fosil.

     
     
  • Sistem e-Dereg tangani isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar – batal hakmilik secara dalam talian

    Sistem e-Dereg tangani isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar – batal hakmilik secara dalam talian

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, telah mengumumkan satu inisiatif baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu perkhidmatan pembatalan pendaftaran pemilikan kenderaan motor oleh pemilik berdaftarnya secara atas talian. Sistem ini dinamakan sebagai Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Motor Secara Atas Talian (Online Motor Vehicles De-Registration System) ataupun e-Dereg.

    Menurut Kementerian Pengangkutan, melalui sistem ini mana-mana pemilik kenderaan motor yang ingin melupuskan kenderaan tersebut boleh melengkapkan proses pembatalan pendaftaran atas talian sahaja tanpa perlu ke kaunter JPJ.

    “Melalui sistem ini pelbagai pihak dapat menangani isu dan masalah daripada lambakan kenderaan terbiar dan buruk di kawasan perumahan melalui cara pelupusan di mana-mana fasiliti Rawatan Automotif Berlesen (AATF) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    “Sebagai permulaaan, sistem ini akan dilaksanakan oleh Car Medic Sdn. Bhd. yang telah mempunyai lesen pengoperasian AATF tersebut. Menteri MOT turut menyeru orang ramai yang ingin membuat proses pembatalan pendaftaran atas talian dan melupuskan kenderaan tersebut boleh berhubung terus dengan syarikat tersebut di Bandar Kajang, Semenyih,” kata MOT menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sistem e-Dereg tangani isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar – batal hakmilik secara dalam talian

    Memetik laporan Berita Harian pula, Loke berkata, isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar di kawasan perumahan sudah lama membelenggu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penduduk setempat.

    “Antara perkara yang menyebabkan pemilik kenderaan tidak berminat menyelesaikan isu kenderaan terbiar adalah kerumitan proses bagi melupuskan kenderaan dengan teratur. Pihak PBT juga menghadapi cabaran yang sama dalam menguruskan kenderaan terbiar berkenaan.

    “Mengambil kira perkara ini, sistem e-Dereg akan membolehkan mana-mana pemilik asal yang berhasrat melupuskan kenderaan melengkapkan proses pembatalan pendaftaran secara atas talian, tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi,” katanya.

    Tambahnya, setakat ini, JAS sudah mengeluarkan lesen kepada 10 syarikat untuk beroperasi sebagai AATF namun buat masa ini hanya dua AATF sudah beroperasi sepenuhnya termasuk Car Medic selain Jaring Metal Industries Sdn Bhd di Shah Alam.

    Sistem e-Dereg tangani isu lambakan kenderaan lusuh dan terbiar – batal hakmilik secara dalam talian

    Katanya, sebagai permulaan, sistem e-Dereg yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan E-Auto Sdn Bhd dilaksanakan dengan pihak AATF berlesen iaitu Car Medic Sdn Bhd. Difahamkan, pemilik kenderaan perlu menghubungi Car Medic untuk mengatur temujanji bagi tarikh menunda kenderaan dan pemilik diperlukan hadir ke premis Car Medic untuk proses pembatalan pendaftaran yang menggunakan sistem e-Dereg.

    Jelasnya lagi, yuran penundaan kenderaan akan ditanggung oleh Car Medic dan pemilik kenderaan juga akan diberikan token pampasan bergantung kepada kondisi dan model kenderaan serta jarak lokasi tunda. Di mana dengan menggunakan khidmat AATF, pemilik kenderaan akan diberi jaminan bahawa semua proses akan dijalankan mengikut lunas undang-undang.

    “Proses pelupusan kenderaan akan dijalankan dengan teratur dan selamat untuk alam sekitar dan pemilik pula akan dijamin bahawa kenderaan mereka dilupuskan dengan cara betul. Ini juga menjamin kenderaan atau komponen yang dilupuskan itu tidak digunakan untuk kegiatan jenayah atau digunakan semula dengan cara yang salah. Ini kerana kedai besi buruk atau kedai potong tidak ada sistem untuk menyah-daftar kenderaan,” katanya.

    Anthony berkata, selain pemilik asal berdaftar, PBT juga boleh mengadakan program pemutihan dan pengurusan kenderaan terbiar dalam kawasan tanggungjawab masing-masing menggunakan sistem ini. Walau bagaimana pun, program tersebut masih perlu membabitkan pemilik berdaftar asal bagi tujuan pembatalan kenderaan.

     
     
  • Chery Omoda & Jaecoo bina kilang EV di Thailand – fasiliti Rayong mulakan produksi pada tahun 2025

    Chery Omoda & Jaecoo bina kilang EV di Thailand – fasiliti Rayong mulakan produksi pada tahun 2025

    Omoda & Jaecoo Thailand, anak syarikat Chery, bekerjasama untuk membina kilang EV baharu di Rayong, Thailand. Menurut Bangkok Post, produksi dijangka bermula tahun 2025, dan kilang itu pada awalnya akan mengeluarkan kereta untuk pasaran domestik dan ASEAN. Chery juga mempunyai rancangan untuk menjadikan Rayong sebagai pusat eksport, dengan membekalkan stok ke Timur Tengah dan Oceania.

    “Kami merancang untuk membahagikan pengeluaran kami kepada dua fasa. Dalam fasa pertama, yang bermula pada 2025, kapasiti pengeluaran tahunan akan mencapai 50,000 unit. Jumlah itu akan meningkat kepada 80,000 unit setahun pada 2028.

    “BEV kami akan membentuk 70% daripada jumlah pengeluaran kereta, dengan baki 30% merangkumi kategori PHEV,” kata Qi Jie, Naib Pengarah Urusan untuk Asia Selatan di Chery International. Tambahnya lagi, beliau percaya Thailand mempunyai potensi besar untuk membangunkan industri EV hasil skim EV3.5 yang diperkenalkan oleh kerajaan negara berkenaan.

    Malaysia bakal dapat Jaecoo J7 dalam versi enjin ICE sementara Thai terima versi PHEV

    EV3.5 merupakan skim insentif EV Thailand yang terdiri daripada subsidi dan pengurangan duti import dan cukai eksais untuk menggalakkan pengeluaran dan pembelian kenderaan elektrik dari tahun 2024 hingga 2027. Syarikat induk Chery dijangka memuktamadkan butiran pelaburan pada bulan depan, di mana dana akan digunakan untuk pembelian tanah, membina kilang dan membangunkan kemudahan pengecasan EV.

    Buat masa ini, kereta Chery dan Jaecoo adalah unit CBU yang diimport dari China dan sasaran jualan untuk EV Omoda C5 (Chery Omoda E5 di Malaysia) dan PHEV Jaecoo 7 (Jaecoo J7 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi tetapi sebagai model ICE) ialah 6,000 unit tahun ini. Syarikat ini juga merancang untuk menubuhkan 35 bilik pameran di Thailand, dengan 20 daripadanya akan ditempatkan di ibu kota Bangkok.

    Chery juga telah membuat keputusan untuk memulakan operasi CKD di Malaysia, namun kapasiti pengeluarannya adalah terhad kerana berkongsi fasiliti dengan jenama lain di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Namun jika permintaan terhadapnya meningkat, adakah Chery Malaysia akan membawa masuk beberapa model dari negara jiran kita itu untuk mengembangkan lagi barisan modelnya di sini?

     
     
  • JPJ eBid: Siri VMH dan KFU dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VMH, telah dibuka bidaan mulai hari ini, 21 Mac 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 25 Mac ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 26 Mac 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah pula, KFU, bidaannya pula bakal dibuka mulai esok 22 Mac dan akan berakhir jam 10 malam pada 26 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 27 Mac 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Lencongan trafik untuk laluan motosikal di Lebuhraya Shah Alam hingga 19 Mei bagi pembinaan WCE

    Lencongan trafik untuk laluan motosikal di Lebuhraya Shah Alam hingga 19 Mei bagi pembinaan WCE

    Ini ada makluman buat penunggang motosikal yang menggunakan Lebuhraya Shah Alam (LSA atau lebih dikenali sebagai KESAS). Mulai hari ini sehingga 19 Mei 2023, lencongan trafik motosikal ke laluan motosikal yang baharu di KM 22.8–24.3 (arah Kuala Lumpur) di LSA akan dilaksanakan. Laluan yang terlibat adalah sepanjang 1.5 km iaitu selepas Persimpangan Bandar Puteri sehingga Persimpangan Jalan Kebun.

    Menurut syarikat konsesi WCE, pelaksanaan lencongan trafik tersebut bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Persimpangan SAE, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping – Banting) (atau WCE) dijalankan.

    “Pengguna LSA adalah dinasihati berhati-hati serta mematuhi arahan papan tanda dan petugas trafik di lokasi yang berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja ini,” tambahnya.

     
     
  • Proton buka pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim – sasar 5,000 unit pemasangan sebulan

    Proton buka pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim – sasar 5,000 unit pemasangan sebulan

    Proton telah mengumumkan pembukaan rasmi bagi pusat pemasangan cermin gelap kendaliannya yang terletak di fasiliti pengeluarannya di Tanjung Malim. Dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, fasiliti baharu itu mampu memasang cermin gelap sehingga 5,000 unit kenderaan sebulan.

    Pemasangan cermin gelap keselamatan diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk X90 varian Flagship dan Premium ketika ia dilancarkan pada 7 Mei 2023. Kemudian, ia turut ditawarkan untuk sedan S70 bagi varian Flagship dan Flagship X sebagai sebahagian daripada pakej aksesori standard. Menurut Proton, pilihan itu akan ditawarkan kepada model lain dalam masa terdekat kerana syarikat ini sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambahan kepada para pelanggan.

    “Pembukaan pusat pemasangan cermin gelap baharu kami di Tanjung Malim adalah satu langkah penting ke
    arah komitmen Proton untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambahan kepada pelanggan kami.
    Dengan mengambil tanggungjawab untuk proses pemasangan, kami mempunyai kawalan kualiti yang lebih baik dan boleh menawarkan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

    “Dengan kapasiti pemasangan sebanyak 5,000 unit kenderaan sebulan, pusat ini juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan volum dalam jangka masa pendek kerana lebih banyak model dalam rangkaian Proton akan ditawarkan dengan cermin gelap sebagai aksesori standard,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Proton berkata terdapat banyak kelebihan apabila pemasangan cermin gelap dikendalikan oleh OEM berbanding dengan pemasangan selepas pembelian kenderaan. Ini termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik menggunakan cetakan pra-potong, langkah jaminan kualiti yang ketat, pematuhan kepada peraturan JPJ dan pencegahan kerosakan sekunder yang biasanya dikaitkan dengan pemasangan selepas pasaran.

    Pelanggan juga boleh menikmati waranti perbatuan tanpa had selama lima-tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap, membuktikan komitmen Proton yang menekankan kepuasan pelanggan dan ketahanan produk.

     
     
  • PDRM gerakkan 200 anggota ke 142 hotspot atasi kesesakan trafik waktu puncak sepanjang Ramadan

    PDRM gerakkan 200 anggota ke 142 hotspot atasi kesesakan trafik waktu puncak sepanjang Ramadan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menggerakkan 200 pegawai dan anggotanya ke 142 lokasi hotspot di sekitar ibu negara sepanjang Ramadan. Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, penugasan pegawai dan anggota itu bagi menangani kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

    “Saya mengambil kesempatan ini bagi menasihati orang ramai supaya mengawal emosi, bersabar dan jangan ambil tindakan melulu sekiranya berada dalam kesesakan jalan raya. JSPT akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai termasuk melancarkan Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

    “Ia bagi memudahkan pergerakan balik kampung dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) supaya premis atau kediaman yang ditinggalkan dalam keadaan selamat,” katanya ketika turun di lapangan bagi menyantuni pegawai serta anggota trafik dan orang awam di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam, laporan Harian Metro.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan supaya orang ramai tidak membuat halangan trafik dengan meletakkan kenderaan di bahu jalan. Katanya lagi, dianggarkan 1.2 juta kenderaan setiap hari masuk ke ibu negara dan kira-kira 800,000 pada hari minggu sepanjang Ramadan. “Sepanjang bulan Ramadan, JSPT menjangkakan kesesakan kerana ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan pulang awal ke rumah dengan pelepasan diberi majikan,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Mar 28, 2024