Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mazda 2 Bio Concept akan berlumba guna bahan api dari minyak masak terpakai & alga yang boleh dimakan

    Mazda 2 Bio Concept akan berlumba guna bahan api dari minyak masak terpakai & alga yang boleh dimakan

    Sebelum ini kita dah tahu bahawa Toyota telah pun menggunakan Toyota Corolla Sport dijana enjin yang digerakkan oleh bahan api hidrogen dalam perlumbaan ketahanan siri Super Taikyu Endurance, sebagai salah satu eksperimen bagi mencari alternatif penjana mesra alam selain dari menggunakan teknologi elektrik sepenuhnya.

    Nampaknya Toyota tak bersendirian dalam usaha ini. Satu lagi jenama Jepun yang berasal dari Hiroshima iaitu Mazda juga kini memulakan langkah yang hampir sama. Mazda mengumumkan akan menyertai siri kejuaraan Super Taikyu dengan dua buah kereta – Mazda MX-5 dengan enjin petrol biasa, serta Mazda 2 Bio Concept yang dijana oleh bahan api yang disifatkan sebagai “bahan api biodiesel generasi seterusnya”.

    Menurut Mazda, bahan api berkenaan digunakan dalam perlumbaan bagi membuktikan apa yang mereka dakwa, serta mengembangkan lagi penggunaan biodiesel. Mazda 2 Bio Concept berkenaan masih menggunakan enjin diesel SkyActiv-D, tetapi ia menggunakan biodiesel generasi seterusnya, 100% menggunakan biomass digelar sebagai Susteo, yang dibekalkan oleh syarikat bernama Euglena.

    Mazda tidak mendedahkan dengan lebih terperinci berkenaan bahan api biodiesel yang dibekalkan tersebut. Namun menerusi dapatan kami di laman web Euglena, Susteo adalah biodiesel yang diperbuat dari minyak masak terpakai, dan juga minyak yang diekstrak dari bahan organik yang digelar euglena.

    Mazda 2 Bio Concept akan berlumba guna bahan api dari minyak masak terpakai & alga yang boleh dimakan

    Euglena ini sebenarnya adalah alga mikro yang boleh dimakan dan juga sangat berkhasiat. Syarikat Euglena ini turut menghantar biskut yang diperbuat dari alga euglena berkenaan ke Bangladesh bagi membantu kanak-kanak di negara berkenaan untuk mendapatkan khasiat yang secukupnya.

    Organisma tersebut juga sebenarnya baik untuk alam sekitar, kerana ia tumbuh dan membiak menerusi proses fotosintesis, bermakna ia akan menyerap CO2 pada udara dan melepaskan gas oksigen.

    Bagi bahan api Susteo berkenaan, ia akan dihasilkan menggunakan 90% minyak masak, dan 10% atau kurang minyak euglena dan lemak. Syarikat Euglena tersebut membiakkan grassilis euglena ini di pulau Ishigaki, Jepun dan memfokuskan kepada pembangunan minyak euglena serta kultur minyak sebagai bahan mentah.

     
     
  • Puspakom umum beberapa cawangan terpilih bakal beroperasi pada hari Sabtu, 26 Feb 2022

    Puspakom umum beberapa cawangan terpilih bakal beroperasi pada hari Sabtu, 26 Feb 2022

    Puspakom telah mengumumkan beberapa cawangannya akan beroperasi pada esok, 26 Februari 2022.Cawangan terbabit akan dibuka untuk semua perkhidmatan pemeriksaan mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Ia melibatkan cawangan Wangsa Maju, Cheras dan Taman Bukit Maluri (Kepong) di Kuala Lumpur; Shah Alam, Padang Jawa, Glenmarie, Petaling Jaya, Banting, Bangi dan Pandan Mewah di Selangor; Mak Mandin di Pulau Pinang; Gopeng di Perak; Seremban di Negeri Sembilan; serta Johor Bahru dan Pasir Gudang di Johor.

    Walau pun pertambahan waktu operasi itu diumumkan pada saat akhir, namun seperti biasa, semua pelanggan diwajibkan membuat temujanji melalui MyPUSPAKOM sebelum hadir pemeriksaan, bermakna tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Sementara itu, Puspakom Senai di Johor, yang sebelum ini dilaporkan tutup mulai 14 Februari untuk proses proses disinfeksi dan sanitasi, kini telah pun kembali beroperasi sejak 20 Februari lalu.

     
     
  • Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Maruti Suzuki telah melancarkan Suzuki Baleno serba baru untuk pasaran India, dengan harga bermula 635,000 rupees (RM35,371) bagi varian paling asas. Bagi varian paling tinggi pula, ia dijual pada harga 949,000 rupees (RM52,862). Di India, Baleno dipasarkan sebagai sebuah hatchback premium.

    Baleno generasi kedua ini, sama seperti sebelumnya, dipasang oleh Suzuki Motor Gujarat — sebuah anak syarikat Suzuki Motor — di kilangnya bertempat di Ahmedabad, Gujarat. Walaupun Suzuki menggunakan jolokan “New Age Baleno” yang mencadangkan ia sebuah model serba baru, penawaran terkini ini sebenarnya lebih cenderung kepada facelift ketara dan berkongsi platform Heartect yang sama dengan model lama yang diperkenalkan pada 2015 — rekaannya bagaimanapun diberi banyak pembaharuan dengan panel badan dan kemaskini luaran.

    Ukuran dimensi Baleno terbaru ini juga tidak banyak berbeza, dengan jarak antara roda yang sama 2,520 mm serta kelebaran 1,745 mm. Panjang keseluruhan kenderaan telah dikurangkan kepada 3,990 mm (-5 mm), sementara ketinggian kini 1,500 mm (-10 mm).

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Dari segi rekaan, Baleno menerima rekaan depan baru yang lebih menarik, dengan gril lebih lebar berserta perincian dan bingkai krom. Lampu utama juga diberi sentuhan rekaan baru dengan tiga elemen lampu nyalaan siang LED. Bampar juga kini ada lampu kabus yang dihubungkan dengan bukaan udara bahagian bawah, dan bahagian bonet kini semakin rata.

    Dari sisi, profil Baleno kekal tidak ketara perubahannya. Garis bahunya dipertajamkan lagi serta rim 16-inci dengan rekaan baru diberikan. Pilihan warna ada enam; Arctic White, Splendid Silver, Grandeur Grey, Nexa Blue, Opulent Red dan Luxe Beige.

    Perubahan lebih ketara ada di belakang, kini dengan rekaan lampu bentuk C yang dilanjutkan ke tengah, disertai sekali dengan bahagian yang menempatkan kamera undur. Reflektornya juga dialih pada kedudukan lebih tinggi disebabkan rekaan bampar baru ini.

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Di dalam, papan pemuka pula mengenakan rekaan serba baru yang nampak lebih moden. Rekaan tiga-lapisan seperti mengambil ilham S-Cross yang terbaru, dengan skrin sentuh sistem infotainmen — dalam tujuh atau sembilan inci — terletak di tengahnya. Corong udara kini lebih kecil dan terletak di bawah.

    Skrin digital baru untuk sistem pendingin juga diberikan untuk Baleno baru ini, diletakkan di baris tengah yang berhubung dengan konsol tengah juga. Rekaan kluster instrumen dan roda stereng juga dipinjam dari S-Cross.

    Baleno datang dalam empat varian — Sigma, Delta, Zeta dan Alpha — dan semuanya dengan gear manual lima-kelajuan. Tiga varian terakhir itu bagaimanapun turut ditawarkan dalam transmisi AMT lima-kelajuan.

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Enjin pula menggunakan unit K12N Dualjet 1.2 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 90 PS (89 hp) pada 6,000 rpm dan 113 Nm tork pada 4,400 rpm. Kadar penggunaan minyaknya didakwa 22.35 km/l bagi manual dan 22.94 bagi AMT.

    Varian Sigma yang paling asas antaranya datang dengan rim besi 15-inci, lampu utama projektor halogen, lampu belakang LED, tingkap kuasa, pengunci sentral dan sistem tanpa kunci, pendingin hawa automatik, paparan multi-info asas, sensor parking undur, ABS dengan EBD, dua beg udara dan ISOFIX.

    Delta pula ada tambahan pelitup rim, kemasan krom pada gril, pemegang pintu warna badan dan cermin sisi berkuasa (dengan lampu isyarat), sistem infotainmen SmartPlay Studio, kawalan audio pada stereng, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, empat pembesar suara, penggera dan ESP dengan bantuan mula mendaki (AMT sahaja).

    Suzuki Baleno 2022 dilancar di India — 1.2L DualJet dengan 90 PS, MT dan AMT; dari RM35k-RM53k

    Zeta pula kelengkapannya lebih komprehensif. Ini melibatkan tambahan antaranya lampu utama LED automatik, rim aloi 16-inci, perincian kemasan krom di luar dan pemegang pintu, corong pendingin hawa belakang dan slot pengecas, penghidup enjin tanpa kunci, MID berwarna, pengilap cermin belakang, larasan stereng atas-bawah dan teleskopik dan perehat lengan.

    Alpha pula menerima tambahan khas seperi kaca potongan UV, DRL LED, lampu kabus, head-up display, kawalan melayar, cermin pandang belakang anti-silau, sistem infotainmen SmartPlay Pro+ sembilan-inci dengan sistem bunyi Arkamys, stereng balutan kulit, kamera 360-darjah dan ESP. Pesaing Baleno dalam pasaran India termasuk Hyundai i20, Honda Jazz, Volkswagen Polo, Tata Altroz dan Toyota Glanza akan datang.

     
     
  • Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Honda HR-V RS 2022 pasaran Thailand

    Awal bulan ini, foto Honda HR-V generasi ketiga pasaran Indonesia sudah pun tertiris dalam media sosial, yang mendedahkan model tertinggi RS bagi pasaran berkenaan mempunyai dua tip ekzos di belakang, menandakan ia mungkin dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    Dan jangkaan ini diperkuatkan lagi menerusi laporan dari portal automotif Indonesia, Autonetmagz, mendakwa bahawa mereka mendapat maklumat dari sumber yang menyatakan HR-V dipasaran berkenaan akan ditawarkan dalam empat varian, serta dua jenis enjin petrol sepenuhnya.

    Menurut laporan tersebut, model varian asas HR-V 2022 akan diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC NA sama seperti pada Honda City, menjana 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Tidak dinyatakan transmisi yang digandingkan, tetapi model generasi terdahulu HR-V dalam varian asas di negara berkenaan hadir dengan pilihan transmisi enam-kelajuan manual dan juga CVT automatik.

    Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Honda HR-V RS 2022 pasaran Thailand

    Manakala untuk model tertinggi, varian Prestige sebelum ini tidak akan ditawarkan lagi dan digantikan dengan varian RS. Model dengan rupa paling sporty ini akan dijana oleh enjin L15BG 1.5 liter VTEC Turbo yang sama dengan Civic, menghasilkan 178 PS dan tork maksima 240 Nm.

    Untuk pengetahuan anda, L15BG ini adalah varian enjin 1.5L VTEC Turbo yang boleh menggunakan petrol yang diadun dengan ethanol (flex-fuel) untuk digunakan di negara seperti Thailand, manakala Civic untuk pasaran Malaysia menerima enjin L15B7 yang menggunakan petrol biasa, menghasilkan kuasa 182 PS.

    Bagi HR-V RS 2022 ini, enjin VTEC Turbo berkenaan hanya digandingkan dengan kotak gear CVT. Varian RS juga disahkan menerima kit badan lebih garang bersama elemen pin krom pada gril hadapan, serta satu-satunya varian yang diberikan enam-beg udara (varian lain hanya empat), sistem kemasukan tanpa kunci, serta paparan instrumen digital tujuh-inci.

    Manakala untuk keselamatan, kesemua varian HR-V 2022 pasaran Indonesia dibekalkan dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, namun fungsi yang tersenarai dalam pakej sistem tersebut masih belum diketahui.

    Honda HR-V 2022 – spesifikasi pasaran Indonesia bocor; 1.5L VTEC Turbo 178 PS & 1.5 DOHC i-VTEC

    Unit prototaip Honda HR-V 2022 yang dijumpai sedang diuji di Malaysia

    Honda HR-V generasi ketiga ini sebenarnya telah terlebih dahulu dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Di Thai, kesemua varian turut menerima sistem Honda Sensing yang menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, bantuan kekal tengah lorong, lampu tinggi automatik dan juga sistem baharu Lead Car Departure Notification seperti Civic.

    Namun HR-V RS pada pasaran Thailand ini tidak diberikan enjin 1.5L VTEC Turbo, sebaliknya menerima unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD e:HEV. Sistem berkenaan menggandingkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya mengecas bateri lithium-ion, bersama motor elektrik berkuasa 131 PS/253 Nm.

    Bagaimana dengan Malaysia? Minggu lalu Honda Malaysia (HMSB) telahpun memberikan petunjuk bahawa HR-V generasi ketiga ini turut akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun ini dan unit prototaip ujiannya sudah pun dijumpai sedang diuji di atas jalan raya awam baru-baru ini. HMSB juga ada menyatakan bahawa mereka akan hadir dengan lebih penawaran yang menampilkan enjin 1.5L VTEC Turbo dan juga varian hibrid e:HEV; jadi tidak mustahil kita akan menerima HR-V dalam kedua-dua jenis unit rangkaian kuasa berkenaan.

    GALERI: Honda HR-V e:HEV 2022 pasaran Thailand

     
     
  • KTM 890 Duke GP diperkenal – penampilan agresif, satu tempat duduk, spesifikasi seperti model asas

    KTM 890 Duke GP diperkenal – penampilan agresif, satu tempat duduk, spesifikasi seperti model asas

    Selepas versi asas 890 Duke dan 890 Duke R, KTM kini memperkenalkan satu lagi versi bagi model naked tersebut iaitu 890 Duke GP. Keistimewaan utama model ini adalah grafik oren hitam yang mendapat inspirasi daripada jentera lumba MotoGP, berserta rim yang juga menggunakan warna oren terang.

    Tempat duduknya pula sama seperti 890 Duke R, di mana bahagian belakangnya datang dengan penutup untuk menjadikannya seperti motosikal lumba, siap dengan span untuk memberi sokongan tambahan kepada penunggang apabila memecut.

    Walaupun dengan nama dan konsep lumba ini, 890 Duke GP cuma menggunakan spesifikasi seperti 890 Duke biasa, bermakna ia tidak mendapat suspensi boleh laras, brek Brembo Stylema dan pam brek MCS, sementara kuasa daripada enjin dua silinder selari yang digunakan juga cuma 115 hp dan 92 Nm tork, dan bukannya 121 hp/99 Nm seperti 890 Duke R.

    Kelengkapan lain yang diberikan pada 890 Duke GP ini adalah transmisi enam kelajuan, klac anti-hopping, fork WP Apex 43 mm (tanpa pelarasan), monoshock gas WP, steering damper, tayar Continental ContiRoad, brek cakera berkembar 300 mm dengan angkup empat piston di hadapan, tangki 14 liter dan tuil tangan boleh laras.

    Pada bahagian elektronik, model ini datang dengan empat mod tunggangan, ABS dengan mod Supermoto, Motorcycle Stability Control (MSC), Cornering ABS serta panel meter TFT. Berat keseluruhan 890 Duke GP adalah 169 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 820 mm.

     
     
  • Ducati Multistrada V4S 2022 terima warna Iceberg White baru, peningkatan sistem suspensi dan perisian

    Ducati Multistrada V4S 2022 terima warna Iceberg White baru, peningkatan sistem suspensi dan perisian

    Bagi model tahun 2022, Ducati telah memperkenalkan warna baru Iceberg White untuk Multistrada V4S. Warna ini menyertai dua warna lain sedia ada iaitu Ducati Red dan Aviator Grey. Untuk pasaran Malaysia, Multistrada V4S 2021 dijual pada harga RM146,900.

    Satu lagi peningkatan yang diberi adalah untuk suspensi semi elektroniknya. Ia kini ditambah dengan tetapan Minimum Preload, di mana motosikal akan dijadikan lebih rendah, sekaligus memudahkan pengguna naik dan mencecah kaki ke lantai apabila berhenti.

    Untuk perisian pula, kemas kini diberikan pada sistem infotainmen Ducati Connect dan Human-Machine Interface (HMI), di mana paparannya dijadikan lebih jelas dan mudah untuk digunakan oleh penunggang. Kemas kini ini diberikan standard pada Multistrada V4S 2022, tetapi bagi pemilik sedia ada, mereka juga boleh menaik taraf sistem mereka secara percuma di pusat servis.

    Dalam katalog aksesori Ducati Performance, Multistrada V4 dan V4S kini boleh didapati dengan kit suspensi rendah yang menurunkan motosikal sehingga menjadi 790 mm (tinggi tempat duduk), serta kotak barangan tepi aluminium.

    Kotak itu direka oleh Ducati bersama Givi dan ia terdiri daripada kotak tepi serta belakang – akan mula berada di pasaran April 2022. Kapasiti yang disediakan untuk kotak tepi adalah 76 liter sementara untuk kotak atas belakang adalah 41 liter.

     
     
  • MBSJ akan kenakan peraturan had parkir dua-jam di kawasan sibuk — libatkan Subang, Taipan, Sunway

    MBSJ akan kenakan peraturan had parkir dua-jam di kawasan sibuk — libatkan Subang, Taipan, Sunway

    Untuk mengelak masalah parkir di kawasan padat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan satu pendekatan baru, dengan meletakkan had dua jam maksimum bagi kawasan-kawasan berkenaan.

    Menurut Datuk Bandar Subang Jaya, Johary Anuar, MBSJ merancang untuk melaksanakan pendekatan tersebut bermula 1 Jun dan kawasan komersial yang berpotensi dalam bidang kuasa majlis itu sedang dalam penilain, termasuk USJ 9 dan 10 (Taipan), SS19, Bandar Puteri Puchong dan Bandar Sunway.

    “Semua ini akan dikenali sebagai ‘zon parkir dua-jam’. Kami juga mengkaji jalan serta kawasan lain. Kadar bagi semua zon ini adalah 60 sen bagi setengah jam dan RM1.20 sejam,” jelasnya seperti dilaporkan The Star. Johary juga menjelaskan langkah itu telah dipertimbangkan sejak beberapa waktu sebelum ini.

    MBSJ akan kenakan peraturan had parkir dua-jam di kawasan sibuk — libatkan Subang, Taipan, Sunway

    “Kami mensasarkan untuk menjadikan kemudahan parkir tepi jalan tersedia untuk pengunjung ke kawasan itu dan bukannya didominasi oleh mereka yang bekerja di situ. Kami akan memperkenalkan sistem untuk meninjau kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan untuk memaklumkan penguatkuasa kami sekiranya ada kenderaan yang diparkir lebih daripada masa yang dibenarkan,” tambahnya.

    Dalam perkembangan lain, sistem parkir awam MBSJ juga akan beralih sepenuhnya kepada bayaran online bermula 1 April. Ini bermakna, penggunaan kupon gores dan bayaran di mesin akan berakhir pada 31 Mac, dan akan digantikan e-kupon dan aplikasi mudah alih. Aplikasi ketika ini, seperti Smart Selangor Parking, Flexi Parking, Jom Parking serta e-wallet Boost dan Touch ‘n Go akan terus diterima.

    Mereka yang tidak memiliki telefon pintar boleh membayar parkir di vendor sah e-kupon. Mereka yang memiliki kupon parkir yang belum digunakan pula akan diberi pulangan wang sebelum 31 Mac. Perincian proses dan lokasi untuk itu akan diumumkan kelak.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan barisan C-Class W206 2022 untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu C 200 Avantgarde Line dan C 300 AMG Line. Kedua-duanya adalah model import sepenuhnya (CBU) yang berharga RM288,334 untuk C 200 Avantgarde Line dan RM330,681 bagi C 300 AMG Line. Ia adalah harga atas jalan, dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022, tanpa insurans serta ditawarkan dengan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan.

    Bagi varian C 200 Avantgarde Line, ia diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 204 hp pada 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan tork 300 Nm pada 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Sekaligus memberikannya pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai sehingga 246 km/j.

    Manakala C 300 AMG Line pula ditampilkan dengan unit M254 dalam kapasiti 2.0 liter empat-silinder dengan hamburan kuasa 258 hp pada 5,800 rpm hingga 6,100 rpm, sama seperti sebelum ini, tetapi lonjakan tork dinaikkan kepada 400 Nm pada 2,000 rpm hingga 3,200 rpm, berbanding 370 Nm sebelumnya. Kedua-dua varian C-Class turut diberikan transmisi 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan penghidup-generator bersepadu (ISG).

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Di mana ISG dengan bateri berkapasiti 70 Ah ini menggunakan sistem elektrikal on-board 48 voltan berfungsi bagi memastikan enjin lebih pantas meningkatkan kuasa prestasi tetapi dalam masa yang sama membolehkannya memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. ISG ini turut memberikan tambahan kuasa sehingga 15 kW dan lebih tork sebanyak 200 Nm untuk memberikan kuasa yang lebih padu buat kedua-dua varian ini.

    Turut diberikan ciri keistimewaan buat C 300 ialah tambahan kuasa sebanyak 20 kW bagi ledakan kuasa yang lebih menguja, hasil teknologi twin-scroll yang bertindak balas lebih pantas dengan sistem forced induction. Teknologi tersebut dibangunkan hasil kerjasama antara pembuat pengecas turbo Mercedes-Benz dan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula 1. Selain taruhan kuasa yang lebih padu, ia juga dikombinasikan dengan penjimatan bahan api yang lebih maksimum.

    Selain itu, kedua-dua varian turut diberikan ciri kelengkapan bagi pengendalian yang sama termasuklah suspensi Agility Control dengan selective damping system dan Dynamic Select.

    Dibangunkan menggunakan platform MRA generasi kedua ciptaan Mercedes-Benz sendiri, barisan C-Class 2022 ini memiliki dimensi berukuran 4,751 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,438 mm tinggi, iaitu ia lebih panjang sebanyak 65 mm, 10 mm lebih lebar tetapi sembilan mm lebih rendah berbanding versi W205. Manakala jarak rodanya pula berukuran 2,865 mm iaitu 25 mm lebih panjang berbanding model terdahulu.

    Bagi imej luaran pula, ada sedikit perbezaan di antara kedua-dua varian ini, walau bagaimana pun ia masih mengetengahkan elemen rekaan yang sporty, hasil kombinasi overhang hadapan yang lebih pendek, jarak roda dan overhang belakang yang lebih panjang. Bagi C 200 Avantgarde Line, ia diberikan gril lourve menegak dengen elemen hiasan tambahan, serta kemasan krom pada bahagian apron hadapan. Manakala C 300 AMG Line pula menerima gril dengan rekaan bintang tiga bucu dalam kemasan krom.

    C 200 Avantgarde Line turut ditampilkan dengan roda aloi-ringan lima-jejari 18-inci dengan run-flat tyre. Untuk C 300 AMG Line pula, ia diberikan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 19-inci serta kit baik pulih tayar TIREFIT, bumbung suria gelangsar panoramik dan sistem brek dengan cakera brek yang lebih besar pada gandar hadapan.

    Untuk bahagian belakang pula, rekaan tipikal masih diberikan buat kedua-dua sedan ini. Walau bagaimana pun, buat pertama kalinya, ia menggunakan lampu dengan dua-kepingan rekaan, di mana fungsi pencahayaan telah dibahagikan di antara lampu side wall dan boot lid. Inilah antara ciri signitur yang ditampilkan buat C-Class yang turut dikenali sebagai ‘Baby Benz’, model paling laris bagi produk keluaran Mercedes-Benz.

    Manakala ciri kelengkapan luaran lain sama termasuklah lampu utama LED High Performance, bantuan lampu tinggi adaptif, cermin sisi boleh dilipat secara elektronik, underbody protection dan bilah pengelap cermin dengan penderia hujan.

    Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

    Menjengah bahagian kabinnya, elemen serba mewah dan sofistikated menjalari segenap ruang. Papan pemukanya dibahagikan kepada seksyen atas dan bawah, dengan seksyen ala-sayap bersama corong bulat umpama nacelles enjin pesawat dengan hamparan serba mewah yang melunjur dari konsol tengah. Ia juga ditampilkan dengan paparan tengah bagi memaparkan fungsi kenderaan yang boleh dikawal menerusi skrin sesentuh berkualiti tinggi.

    Ia turut menampilkan pengimbas cap jari yang ditempatkan di bawah paparan tengah, di mana ia boleh mengenalpasti identiti anda dengan lebih pantas. Ini kerana data peribadi anda dilindungi. Apabila anda menyentuh pengimbas terbabit, sistem akan membenarkan akses pengguna.

    Kedua-dua varian ini juga berkongsi ciri kelengkapan yang sama termasuk Keyless Go, kawalan suhu automatik Thermatic, balutan kulit hitam Artico untuk tempat duduk, juga balutan kulit Nappa dengan rona hitam untuk papan pemuka dan beltline, tempat duduk hadapan dengan sokongan lumbar, sistem pengecas tanpa wayar, konsol tengah dengan gaya criss-cross dalam rona kelabu perak, pencahayaan ambien dengan pantulan logo jenama, panel ambang pintu dengan perkataan Mercedes-Benz, tirai suria manual untuk tingkap sisi dan tirai suria elektronik untuk cermin belakang.

    Untuk C 200 Avantgarde Line, ia diberikan roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dengan kemasan paten berlian kelabu perak, sementara C 300 AMG Line pula lebih elegan dengan roda stereng sport pelbagai-fungsi balutan kulit Nappa. Selain itu, ia turut diberikan konsol tengah dengan optik dan elemen metal, alas lantai AMG, sistem pemantauan dalaman, bantuan suara “Hey Mercedes” dan boot lid remote closing.

    Bagi sistem multimedia, kedua-dua varian menerima paparan skrin sentuh menegak 11.9-inci, serta panel instrumen 12.3-inci terapung dan juga sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Selain itu, ia juga diberikan Advanced Connecting Plus, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-duanya turut dilengkapi Active Blind Spot, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, cruise control, Urban Guide Vehicle Protection, Active Parking Assist dengan Parktronic, Mercedes-Benz Emergency Call System, pelindungan pejalan kaki dan sistem pemantauan tekanan tayar. C 200 Avantgarde hanya diberikan kamera undur biasa, sebaliknya C 300 AMG Line menerima kamera 360 darjah.

    Dalam majlis pelancarannya pagi ini, Mercedes-Benz Malaysia turut mengesahkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi barisan C-Class baharu ini akan dikeluarkan pada separuh kedua tahun ini. Ia akan diproduksi di kilang pemasangannya di Pekan, Pahang.

    GALERI: Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line 2022


    GALERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line 2022


     
     
  • Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

    Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

    Toyota Avanza generasi baharu telah pun dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu, dan sekarang MPV tujuh-tempat duduk berkenaan kini mendarat pula di Thailand. Namun di Thai, pelanggan dipasaran berkenaan tidak menerima Avanza biasa, sebaliknya hanya boleh memilih versi premium yang dikenali sebagai Toyota Veloz, berbanding Indonesia yang menerima kedua-dua versi.

    Dengan status “premium”, Veloz 2022 pasaran Thailand ini dijual pada harga 795,000 baht (RM102,800) untuk varian asas Smart, sehingga 875,000 baht (RM113,100) untuk varian Premium. Sebagai perbandingan, Toyota Avanza generasi sebelum ini dijual pada harga bermula 649,000 baht (RM84,000) di sana.

    Seperti yang diketahui, Veloz dan Avanza generasi terkini ini tidak lagi menggunakan casis semi-monocoque dan bentangan enjin hadapan pacuan belakang (FR), tetapi ia dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang jauh lebih moden (sama dengan kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa.) dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan (FF).

    Dengan platform modular baharu ini juga membolehkan Veloz dihasilkan lebih besar, kini dengan dimensi 4,395 mm panjang (+205 mm), 1,730 mm lebar (+70 mm) dan 1,700 mm tinggi (+5mm). Jarak roda juga lebih jauh dengan ukuran 2,750 mm, atau bertambah 95 mm berbanding model generasi sebelumnya.

    Toyota Veloz 2022 dilancarkan di Thailand – bermula RM103k hingga RM113k, ada Toyota Safety Sense

    Veloz pasaran Thailand ini hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut menampilkan konfigurasi yang hampir sama dengan Perodua Myvi facelift 2022 kerana menggunakan kotak gear D-CVT yang lebih moden dari transmisi 4AT konvensional sebelum ini.

    Dari segi penggayaan, Veloz menerima gril hadapan besar berbentuk trapezoid, bersama sepasang lampu hadapan LED yang nipis, kelihatan berhubung menerusi bar krom merentangi bahagian atas gril berkenaan. Perumah lampu kabus juga direka sporty menampilkan perapi berbentuk-T dalam kemasan krom.

    MPV ini juga diberikan perincian seakan SUV menerusi rekaan bonet hadapan dengan sisi lebih tinggi dari tengah, kesemua fender yang direka mempunyai ‘gelembung’, serta kemasan skid plate berwarna perak yang berada di bawah bampar hadapan dan belakang.

    Dalam kabin, Veloz diberikan papan pemuka yang direka melintang dan berlapis, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri di tengah bersama kemasan-kemasan perak pada papan pemuka dan pintu. Dengan menggunakan platform DNGA pacuan hadpaan ini juga membolehhkan tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata kerana lantainya tidak digangu dengan propeller shaft dan juga gandar hidup di belakang.

    Kelengkapan standard yang diberikan pada Veloz pasaran Thailand ini termasuk rim aloi 16-inci, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri separa leatherett, paparan instrumen digital tujuh-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, kamera undur, dan juga skrin sembilan-inci untuk sistem infotainmen dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi model Premium, ia ditambah dengan perincian tambahan termasuk rim aloi 17-inci dan juga sistem kamera pemantau 360-darjah. Varian paling mahal ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense. Sistem berkenaan adalah seiras dengan sistem Perodua Safety Drive Assist (PSDA) yang ditawarkan pada Perodua Ativa. Ia menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dan juga lampu hadapan automatik.

    Untuk kedua-dua varian, kelengkapan keselamatan standard yang dibekalkan pada Veloz 2022 pasaran Thailand ini termasuk enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    Sekarang kita dah tahu perincian dan harga untuk Toyota Avanza dan Veloz bagi pasaran Indonesia dan Thailand. Di Indonesia juga MPV ini dijual dengan logo Daihatsu iaitu Daihatsu Xenia. Seperti yang dicanangkan sebelum ini, kita di Malaysia bakal menerima MPV ini dengan logo Perodua, iaitu model generasi baharu Alza bagi menggantikan model sedia ada yang akan diberhentikan produksinya pada April ini.

    Jadi, agak-agak apa spesifikasi yang bakal kita dapat menerusi Perodua nanti, dan bagaimana pula dengan harga? Adakah Toyota juga akan turut membawa Veloz ke pasaran tempatan sebagai kembar kepada Alza generasi kedua seperti kembar Perodua Aruz dan Toyota Rush sebelum ini? Sama-sama kita nantikan perkembangannya nanti.

     
     
  • PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

    PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

    Tahun ini, acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org sekali lagi kembali. Seperti biasa, ia akan menyediakan pelbagai tawaran menarik untuk kereta premium baru dan terpakai, berserta hadiah dan macam-macam lagi. Sekali lagi, ia akan dianjurkan di Pusat Konvensyen Setia City, dan anda dijemput hadir pada 19-20 Mac ini.

    Memandangkan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan akan berakhir 30 Jun ini, PACE adalah peluang terakhir untuk anda menikmati penjimatan cukai sebanyak 50% untuk kenderaan CBU dan 100% untuk kenderaan CKD. Jika anda ada rasa mahu membeli kereta baru, inilah masanya, dan kereta baru anda juga akan tiba sebelum Hari Raya.

    Antara jenama yang menyertai acara ini adalah termasuk Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili oleh Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Turut hadir adalah motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson.

    PACE 2022 bakal berlangsung 19-20 Mac ini – peluang akhir untuk nikmati penjimatan cukai, pelbagai hadiah

    Setiap jenama ini akan mempunyai tawaran mereka sendiri, tetapi seperti kebiasaan, setiap pembelian di PACE juga akan memberikan anda tambahan hadiah serta penjimatan. Antaranya, setiap tempahan kenderaan akan diberikan baucar RM2,500, di mana ia terdiri daripada RM500 untuk lapis pelindung cat Kuzig Glanz, RM500 untuk tint V-Kool, RM500 untuk pembersih udara Blueair, RM500 untuk tempat duduk kanak-kanak Recaro dan RM500 untuk barangan Ogawa.

    Jenama yang hadir di dalam acara ini juga akan membawa kenderaan terpakai mereka yang berkualiti dan pembeli akan menerima baucar RM1,000 yang terdiri daripada dua pilihan rawak baucar RM500 sama ada daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Bukan setakat itu, mereka yang membeli kenderaan di PACE 2022 juga berpeluang untuk memenangi 10 unit telefon pintar yang berharga RM3,500 setiap satu. Hadiah utama yang disediakan pula adalah pakej percutian bernilai RM25,000 untuk dua orang. Semua perincian lanjut ada di sini.

     
     
  • Modenas Karisma 125S dilancarkan di M’sia – RM5,397

    Modenas Karisma 125S dilancarkan di M’sia – RM5,397

    Modenas hari ini telah melancarkan skuter Karisma 125S baru untuk pasaran Malaysia, dengan harga pasaran RM5,397 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Walaupun masih menggunakan nama Karisma, model baru ini tidak mempunyai sebarang persamaan dengan Karisma yang dilancarkan pada tahun 2016, kerana ia menggunakan asas yang berlainan.

    Karisma 125S dipacu oleh enjin satu silinder 124.8 cc dengan sistem suntikan bahan api dan mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 7,500 rpm dan 10 Nm tork pada 6,000 rpm. Transmisi adalah jenis automatik tali sawat V.

    Ditawarkan dalam tiga warna iaitu biru, merah dan emas, bahagian luar Karisma 125S ini juga mendapat lampu hadapan dan belakang LED, lampu kecemasan serta rim 14 inci yang dibalut tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang.

    Suspensi menggunakan padanan fork teleskopik dan satu penyerap hentak di belakang, sementara brek pula menggunakan unit cakera di hadapan dan dram di belakang (tiada ABS). Tangki bahan api berkapasiti 5.1 liter.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada skuter ini adalah termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk 14 liter, soket pengecas USB di bawah bahagian pemegang, suis pembuka tempat duduk, meter kombinasi analog dan digital, serta penghidup enjin elektrik dan tendang.

     
     
  • Puspakom umum jadual pemeriksaan di lapangan bagi Mac 2022, termasuk untuk lokasi Sabah/Sarawak

    Puspakom umum jadual pemeriksaan di lapangan bagi Mac 2022, termasuk untuk lokasi Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual unit pemeriksaan kenderaan bagi Semenanjung, dan ujian di lapangan bagi Sabah dan Sarawak bagi bulan Mac 2022.

    Unit trak pemeriksaan di lapangan akan berkunjung ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan usaha ini dijalankan adalah untuk melayani pelanggan yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang disediakan antaranya adalah pemindahan pemilikan dan pemeriksaan kenderaan rutin.

    Tiada trak “Transformer” besar di Malaysia Timur, tetapi petugas dan kelengkapan ujian luar kawasan akan mengunjungi Ranau, Kudat, Kota Belud, Kunak, Kapit, Limbang dan Marudi, dan beberapa lagi pekan kecil di Sabah dan Sarawak.

    Puspakom memaklumkan bahawa pelanggan boleh berkunjung terus ke lokasi yang dinyatakan pada tarikh yang ditetapkan tanpa perlu membuat temu janji dalam talian terlebih dulu seperti yang diperlukan jika berurusan di cawangan Puspakom. Jam operasi unit pemeriksaan di lapangan ini adalah dari 8 pagi hingga 6 petang. Sentiasa patuhi SOP.

    Dalam perkembangan lain, Puspakom Senai di Johor yang sebelum ini ditutup untuk kerja-kerja sanitasi kini sudah kembali beroperasi sejak 20 Februari lalu. Pelanggan dikehendaki untuk membuat temujanji sebelum berkungjung ke cawangan.

     
     
  • Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI 2022 – RM184k, rim Bonneville 18-inci baru, Android Auto tanpa wayar

    Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI 2022 – RM184k, rim Bonneville 18-inci baru, Android Auto tanpa wayar

    Dua minggu lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah pun melancarkan versi kemaskini bagi model tahun 2021 untuk Passat Elegence 2.0 TSI. Kalau anda nak tengok lebih dekat kereta tersebut, ia kini sedang dipamerkan di Pusat Membeli-belah 1 Utama sempena acara jelajah Volkswagen Tour. Jauh sangat nak pergi tengok? Mari kami belanja anda galeri penuh.

    Versi kemaskini ini menerima rim 18-inci Bonneville baharu dalam kemasan dua tona, bersama logo VW baharu yang lebih ringkas. Manakala pada bahagian kabin, tingkat taraf yang diberi termasuk panel kawalan sentuhan tindak balas haptik untuk sistem pendingin hawa tiga-zon (sama seperti Passat R-Line dan Arteon), serta Android Auto tanpa wayar pada sistem infotainmen Discover Pro dengan skrin 9.2-inci.

    Dengan tingkat taraf yang diberikan ini, Passat Elegence 2.0 TSI kini dijual RM801 lebih mahal dari sebelum ini, pada harga RM183,680. Angka yang disebutkan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

    Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal – Passat Elegence pasaran Malaysia ini masih dijana oleh enjin TSI 2.0 liter empat silinder turbo, menghasilkan kuasa 190 PS dan tork maksima 320 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, memacu roda hadapan.

    Sistem keselamatan juga kekal sama dengan diberikan fungsi seperti pemantau titik buta Side Assist dengan amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantau tekanan angin tayar, enam beg udara dan juga kawalan kestabilan elektronik. Ya, model kemaskini Passat Elegence ini masih belum diberikan sistem brek kecemasan automatik.

    Volkswagen Passat Elegence 2.0 TSI ini dipamerkan bersama Golf Mk8 yang baru dilancarkan minggu lalu. Anda boleh cari reruai Volkswagen Tour yang terletak di Centre Court, Old Wing, Aras Bawah, Pusat Membeli-belah 1 Utama yang berlangsung bermula 23 hingga 27 Februari, dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

     
     
  • Honda EX5 edisi ulang tahun ke-35 – terhad 2,000 unit

    Honda EX5 edisi ulang tahun ke-35 – terhad 2,000 unit

    Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini telah melancarkan satu model EX5 edisi terhad untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga 5,198 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 2,000 unit dan dihasilkan sebagai memperingati ulang tahun ke-35 pengenalan EX5 di Malaysia.

    Keistimewaan model ini adalah ia menggunakan warna Extravagant Gold Metallic, dan datang dengan rim spoked aloi (tayar bertiub) berwarna emas. Tempat duduknya menggunakan warna coklat dua tona sementara di bahagian tepi badan pula terdapat pelekat khas warna merah, biru dan putih, bersama tulisan “Limited Edition”.

    Perincian teknikal model edisi terhad ini masih sama seperti EX5 biasa, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 109 cc SOHC bersama transmisi manual, menghasilkan 8.5 hp pada 7,500 rpm dan 8.62 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Kelengkapan lain adalah ringkas sahaja, termasuk brek jenis dram di hadapan dan belakang, tangki bahan api 4.3 liter, pemula enjin elektrik dan tendang, fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan berat keseluruhan 97 kg. Seperti kebiasaan bagi motosikal Honda, EX5 edisi terhad ini datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

     
     
  • Toyota GR Corolla akan buat kemunculan sulung lewat tahun ini, mula dijual di Amerika Syarikat pada Oktober

    Toyota GR Corolla akan buat kemunculan sulung lewat tahun ini, mula dijual di Amerika Syarikat pada Oktober

    Toyota telah beberapa kali menyiarkan teaser bagi hot-hatch baharunya, iaitu GR Corolla untuk pasaran Amerika Syarikat, tetapi sehingga kini persoalan bila ia akan dilancarkan masih belum terjawab. Namun menerusi laporan The Drive, GR Corolla akan mula dijual di AS pada Oktober tahun ini, berdasarkan video yang disiarkan oleh saluran YouTube Driven District.

    Namun video berkenaan kini sudah tidak lagi ditonton oleh orang awam, tetapi ia sempat ditangkap layar. Ia menunjukkan dokumen dalaman dari pengedar Toyota yang mengandungi maklumat berkenaan pelancaran produk baharu dan juga acara yang bakal dilangsungkan tahun ini, dengan tertera “GR Corolla mula dijual” dijadualkan pada bulan Oktober.

    Apa yang menarik lagi, dokumen tersebut turut mendedahkan bahawa Toyota hanya mensasarkan jualan GR Corolla tersebut hanya sebanyak 90 unit di New York tahun ini. Mungkin kerana ia dihasilkan dalam jumlah terhad, dan turut mengambil kira ia dilancarkan hampir di penghujung tahun.

    Walaupun dokumen ini nampak menyakinkan, segala perincian sebenar masih perlu ditunggu dari kenyataan rasmi dari Toyota sendiri. Sebelum ini Toyota telah mengesahkan bahawa GR Corolla akan dilancarkan di AS, sebagai ganti kepada jentera rali produksi jalan raya GR Yaris yang tidak dijual di sana.

    Menerusi teaser yang disiarkan oleh Toyota USA sebelum ini, model berkenaan dibayangkan akan diasaskan dari Corolla Hatchback dengan platform TNGA-C, dan menerima sistem mekanikal yang sama seperti GR Yaris seperti enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo berkuasa 272 PS, kotak gear manual enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four.

    Masih tidak dapat dipastikan sama ada GR Corolla ini hanya akan dijual di Amerika Syarikat atau ia turut akan menjadi model global dan dijual pada pasaran lain. Namun Toyota dilihat sudahpun mendaftarkan tanda dagang “GR Corolla” di Australia tahun lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024