Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Lebuhraya KLK dan LPT1 kembali dibuka – ANIH

    Lebuhraya KLK dan LPT1 kembali dibuka – ANIH

    ANIH Berhad pengendali Lebuhraya KL Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengumumkan kedua-dua lebuhraya berkenaan telah pun kembali dibuka secara berperingkat mulai jam 6 petang tadi setelah kerja pembaikan dan pembersihan hampir selesai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pembukaan kembali kedua-dua lebuhraya berkenaan bagi membolehkan pengguna lebuhraya sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.

    Walau bagaimana pun, pengguna dinasihati untuk tetap berhati-hati dan mematuhi tanda arah apabila menghampiri laluan kontra di Sungai Dua, iaitu di KM74.8 sehingga KM77.3 yang tetap dibuka demi keselesaan dan keselamatan.

    “Pengguna yang ingin ke laluan Pekan Karak perlu membuat pusingan ‘U-turn’ sebelum Tol Karak, dan seterusnya keluar di susur keluar menghala ke Karak. Manakala laluan di KM76 sehingga KM78.8 (Karak) masih ditutup untuk kerja pembersihan.

    “Bagi laluan menghala ke Kuala Lumpur pula, hanya lorong laju akan dibuka iaitu di Bentong bermula dari KM66 sehingga KM70,” kata ANIH yang turut menasihati agar semua pengguna mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa mahupun petugas lebuh raya.

    Dalam masa yang sama, ANIH sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan komited memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter dan Facebook atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09-5479111/ 1-700-818-700.

    Pada hujung minggu lalu, laluan di kedua-dua lebuhraya terbabit ditutup sepenuhnya susulan bencana banjir yang berlaku di kawasan persekitarannya. Ini menyebabkan ramai pengguna lebuhraya terkandas kerana laluan ditenggelami air banjir. Malah terdapat juga kejadian tanah runtuh dan permukaan jalan yang rosak akibat banjir berkenaan.

     
     
  • Subaru WRX, Sportswagon 2022 bakal tiba di Malaysia

    Subaru WRX, Sportswagon 2022 bakal tiba di Malaysia

    Dengan pelancaran Subaru XV 2.0i-P EyeSight untuk pasaran Malaysia baru-baru ini, pengeluar kereta Jepun ini juga dikatakan akan membawa masuk model baharu ke sini pada tahun hadapan. Perkara ini disahkan oleh pengedar dan pengimport Subaru di Malaysia, TC Subaru.

    Model tersebut ialah WRX sedan 2022 dan juga WRX Sportswagon yang telah didedahkan untuk peringkat global beberapa bulan lalu. Walau bagaimana pun, untuk pelancaran di Malaysia, jangkaan tarikhnya masih belum dipastikan. Menurut TC Subaru, mungkin ia akan ditangguh seketika memandangkan masalah bekalan cip semikonduktor masih menjejaskan pengeluaran unit import sepenuhnya (CBU).

    Syarikat tersebut turut berkata, model pemasangan tempatan seperti XV yang dilengkapi EyesSight yang baru dilancarkan juga terjejas tetapi pada tahap yang lebih rendah, kerana bahagian untuk operasi CKD telah diutamakan.

    Subaru WRX, Sportswagon 2022 bakal tiba di Malaysia

    Untuk model yang akan datang, WRX sedan dan WRX Sportswagon dibangunkan dengan Subaru Global Platform (SGP), di mana ia memberikan manfaat kepada versi sedan dengan kekuatan torsi keseluruhan 28% lebih tinggi, manakala kekuatan cagak-cagak suspensi pula meningkat sehingga 75%.

    Sportswagon merupakan WRX yang diasaskan dari Levorg generasi kedua (di Jepun juga ia dikenali sebagai Levorg). WRX sedan 2022 diberikan enjin FA24F 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder boxer petrol, sama seperti model Ascent, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 271 hp pada 5,600 rpm dan tork 350 Nm dari 2,000 hingga 5,200 rpm.

    Di Jepun, Levorg dikuasakan oleh unit CB18 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder boxer dengan ledakan kuasa 177 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm. Dikenali sebagai WRX Sportswagon di Australia, ia menerima unit penjana kuasa 2.4 liter turbo empat-silinder boxer dengan 271 hp/350 Nm.

    Sistem Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring diberikan secara standard dengan enjin 2.4 liter, dan WRX juga dijual di pasaran Amerika Utara sama ada dengan kotak gear manuak enam-kelajuan atau Subaru Performance Transmission CVT, yang didakwa turut menawarkan peralihan yang lebih pantas antara nisbah mayanya.

    GALERI: Subaru WRX Sedan 2022

    GALERI: Subaru Levorg 2020, spesifikasi Jepun

     
     
  • Kia Sorento 2022 dilancarkan di Malaysia pada Q3/Q4 – CKD dengan pilihan petrol, hibrid dan plug-in hybrid?

    Kia Sorento 2022 dilancarkan di Malaysia pada Q3/Q4 – CKD dengan pilihan petrol, hibrid dan plug-in hybrid?

    Dalam taklimat media oleh Bermaz beberapa minggu lalu, turut disebut-sebut akan dilancarkan di sini ialah Kia Sorento baharu. SUV tiga-barisan tempat duduk yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu ini, akan dipasarkan di Malaysia sama ada pada suku ketiga atau keempat 2022, menurut laporan analisis dari RHB Investment Bank.

    Bermaz juga telah memaklumkan Sorento itu akan hadir dengan versi unit pemasangan tempatan (CKD). Walau bagaimana pun, tidak dipastikan adakah ia bakal dilancarkan dalam masa yang sama dengan Sportage, yang juga dikatakan akan tiba pada hujung 2022.

    Pengedar tempatan ini juga telah mengesahkan Sorento akan ditawarkan dengan versi biasa, hibrid dan plug-in hybrid. Pada peringkat global, Sorento ditawarkan dengan dua enjin pembakaran dalaman – 2.5 liter pengecas turbo petrol (281 PS) dan 2.2 liter turbodiesel (202 PS), kedua-duanya dipadankan dengan transmisi dwi-klac wet lapan-kelajuan baharu.

    Untuk model hibrid, ia menerima enjin 1.6 liter turbo petrol empat-silider (180 PS) yang dipadankan dengan motor elektrik (60 PS) untuk menyalurkan keseluruhan kuasa sejumlah 230 PS. Bagi plug-in hybrid, motornya menjana sehingga 91 PS untuk menghasilkan keseluruhan kuasa sebanyak 264 PS. Bateri lithium-ion 13.8 kWh menghasilkan jarak semua-elektrik sehingga 57 km mengikut kitaran WLTP. Kedua-dua varian elektrik-petrol didatangkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Sorento ini dibangunkan dengan platform crossover saiz pertengahan N3 baharu dari Hyundai dan diberikan rekaan yang lebih moden serta menyerlah berbanding model sebelumnya. Antara ciri yang ditampilkan termasuklah skrin sesentuh tengah 10.25-inci, kluster instrumen digital 12.3-inci, keupayaan pemanduan Highway Driving Assist 2 (HDA2) Level 2 semi-autonomous, bantuan parkir kawalan jauh dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, tetapi tidak dipastikan adakah ciri tersebut akan diberikan untuk model pasaran Malaysia mahu pun tidak.

    GALERI: Kia Sorento Plug-in Hybrid 2022

     
     
  • RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Penggunaan RFID untuk bayaran tol di Lebuhraya PLUS dari Juru ke Skudai akan mula dilaksanakan 15 Januari 2022. Ini adalah langkah permulaan ke arah sistem tol aliran bebas lorong tunggal (SLFF) dan kemudiannya kepada sistem aliran bebas multi-lorong (MLFF).

    Pengenalan RFID ini juga bermakna kutipan tol melalui Touch ‘n Go dan SmartTAG akan dimansuhkan secara berperingkat, dengan kerajaan mensasarkan tempoh menjelang penghujung 2023. Disebabkan itu, pengguna perlu beralih kepada RFID juga nanti.

    Dengan ini maka akan ada banyak persoalan dan keresahan yang bakal disuarakan oleh pengguna sepanjang tempoh peralihan tersebut. PLUS baru-baru ini mengadakan sesi taklimat untuk memperjelaskan dengan lebih terperinci program RFID ini serta usaha lain yang turut akan diadakan nanti.

    Bagaimana RFID berfungsi di lebuhraya PLUS?

    Sistem bayaran tol RFID bukanlah baru di lebuhraya kita, misalnya di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE). Lebuhraya ini menggunakan sistem tol terbuka, yang mengecaj kadar tol tetap berdasarkan kelas kenderaan.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Bagaimanapun, Lebuhraya Utara-Selatan menggunakan sistem tol tertutup yang mengenakan caj berdasarkan jarak perjalanan antara susur masuk-keluar — pelaksanaan RFID untuk sistem tol tertutup inilah yang baru untuk pengguna.

    Kaedah bagi kedua-dua sistem ini agak mudah. Dalam sistem tol terbuka, ketika melalui lorong khusus RFID, pengimbas akan merakam maklumat RFID kenderaan dan bayaran tol akan ditolak daripada Touch ‘n Go eWallet.

    Bagi sistem tol tertutup pula, pengimbas akan merekodkan titik masuk kenderaan anda dan ketika keluar di plaza tol lain, caj tol akan dikenakan berdasarkan jarak yang dilalui dan akan dipotong dari Touch ‘n Go eWallet. Ini kaedah yang sama jika menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG — bezanya anda tidak perlu menyentuh kad atau memastikan SmartTAG ada cukup bateri. RFID ini tidak memerlukan sumber tenaga luar untuk beroperasi.

    Dengan sistem RFID, PLUS memaklumkan ia mampu memproses sehingga 1,200 transaksi sejam, 20% lebih berbanding SmartTAG. Bagi ketersediaan lorong, laluan Juru-Skudai mempunyai 159 lorong RFID di 73 plaza tol akan dibuka pada 15 Januari 2022 nanti. Ini akan menjadi tambahan kepada 20 lorong RFID sedia ada yang digunakan di sembilan plaza tol lebuhraya lain yang dikendalikan oleh PLUS.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Dengan pelaksanaan ini, lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG masih terus beroperasi sepanjang tempoh peralihan RFID ini. PLUS memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Touch ‘n Go dan pihak lain untuk mempromosi penerapan RFID menerusi pelbagai kempen pemasaran untuk mencapai sasaran 60% penggunaan menjelang hujung 2022.

    Sistem RFID berfungsi dengan ANPR. Apakah itu?

    Dengan sistem RFID merupakan kaedah utama untuk mengesahkan titik masuk dan keluar untuk mengira caj tol, ada dua lagi kaedah lain untuk berurusan dengan situasi khusus. Yang pertama adalh sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR), yang menggunakan kamera untuk menangkap gambar kenderaan, dengan terus mengesan nombor platnya.

    PLUS memaklumkan semua lorong plaza tolnya akan dilengkapi dengan sistem ANPR, baik yang khusus untuk RFID, Touch ‘n Go atau SmartTAG sebagai cara alternatif untuk merekodkan titik keluar-masuk kenderaan. Kemaskini turut dilakukan secara berterusan untuk meningkatkan kemampuannya.

    Bagaimanapun, tidak semua kenderaan mempunyai nombor plat yang berada dalam keadaan baik dan juga mengikut piawaian sepatutnya, yang akan memberi kesan kepada sistem untuk mengesannya dengan cekap. Disebabkan ini, PLUS menyediakan kaedah lain dalam bentuk pusat pengesahan khusus di mana petugas akan menyelesaikan sebarang masalah pengesanan dan memastikan caj yang dikenakan adalah betul.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Bagaimana jika tidak mempunyai baki yang cukup dalam TnG eWallet untuk keluar plaza tol?

    Dalam situasi baki TnG eWallet anda tidak mencukupi ketika ingin keluar di plaza tol, anda hanya perlu menambah nilai melalui aplikasi TnG eWallet dalam telefon pintar sahaja. Atau, anda boleh juga mempertimbangkan untuk mengaktifkan fungsi auto-reload yang akan membuat tambah nilai automatik kepada TnG eWallet anda jika telah mencapai tahap tertentu.

    Bagaimana sekiranya tag RFID gagal diimbas di plaza tol?

    Jika tag RFID gagal dibaca di plaza tol disebabkan masalah pengimbasnya, atau oleh kegagalan kuasa serta masalah rangkaian, setiap plaza tol akan mempunyai staf khidmat pelanggan dengan pengimbas RFID mudah alih untuk membaca tag kenderaan anda secara manual. Itu tidak menjadi masalah, terutama untuk menentukan kadar tol yang perlu dicaj.

    Apa berlaku sekiranya masuk menggunakan TnG atau SmartTAG dan keluar menggunakan RFID, dan sebaliknya?

    Dalam situasi seperti itu, gambar kereta anda yang diambil oleh sistem ANPR akan digunakan untuk mengesahkan titik masuk dan keluar, dan kemudiannya sistem akan menentukan kadar tol yang perlu dibayar. Proses ini mudah, tetapi sekiranya ada masalah berbangkit, pusat pengesahan akan dirujuk untuk menyelesaikannya.

    Perlu juga difahami, jika anda masuk ke lebuhraya PLUS menggunakan TnG atau SmarTAG dan keluar menggunakan RFID, sistem tidak akan menolak kadar tol dari kad TnG. Ini kerana, sistem ANPR akan menentukan lokasi masuk dan keluar anda, dan caj tol akan ditolak dari TnG eWallet. Transaksi perjalanan itu akan dikira selesai, maka menggunakan kad TnG di lokasi masuk yang lain selepas itu akan memulakan transaksi baru.

    Mudahnya, lokasi keluar adalah di mana banyak perkara dinilai untuk menentukan kadar tol anda, dengan RFID akan mengesahkan maklumat, diikuti dengan nombor plat dan sekiranya masih ada masalah, pusat pengesahan akan membantu.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Masih akan dapat kumpul PLUSMiles melalui RFID ini?

    Ya. Anda hanya perlu menghubungkan tag RFID kereta anda kepada akaun keahlian PLUSMiles sama seperti yang dilakukan untuk kad PLUSMiles dan TnG.

    Ada rancangan untuk sokongan PayDirect bagi lorong TnG atau SmartTAG di Lebuhraya PLUS?

    PLUS sedang giat bekerjasama dengan TnG untuk menawarkan kepada pengguna RFID cara bayaran lain termasuk kad debit dan kredit untuk membolehkan pembayaran langsung tanpa perlu tambah nilai. Bagaimanapun belum ada tempoh yang ditetapkan untuk itu. Buat masa sekarang, hanya tambah nilai secara manual atau automatik sahaja untuk baki TnG eWallet.

    Bagaimana dengan pengguna lain yang mengikut rapat untuk elak bayar tol?

    Ini bukan perkara baru. PLUS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan itu. Dengan sistem ANPR dan sistem pemantauan lain yang ada, golongan yang mengelak daripada membayar tol ini tidak akan dapat melepaskan diri daripada dihukum.

     
     
  • Kia Niro 2022 tiba di M’sia pada Q4 2022 – hibrid CBU dahulu, kemudian CKD dengan versi PHEV, EV?

    Kia Niro 2022 tiba di M’sia pada Q4 2022 – hibrid CBU dahulu, kemudian CKD dengan versi PHEV, EV?

    Satu lagi model kereta yang tersenarai dalam rancangan Bermaz untuk Kia, yang bakal diperkenalkan di negara ini ialah Niro baharu, yang telah didedahkan bulan lalu. Menurut laporan analisis dari RHB Investment Bank dan Kenanga Research, crossover ini akan dilancarkan di Malaysia pada suku keempat tahun hadapan.

    Beberapa minggu lalu, Bermaz telah mengadakan taklimat media mengumumkan perancangannya untuk memproduksi unit pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 2023, jadi model yang bakal dibawa masuk hujung tahun ini mungkin unit import sepenuhnya (CBU). Tidak seperti kenderaan elektrik yang berada dalam senarainya, Niro tidak ada tanda EV pada namanya, jadi mungkin yang bakal diperkenalkan terlebih dahulu adalah versi hibrid.

    Bermaz juga telah mengesahkan bakal memperkenalkan versi plug-in hybrid dan elektrik-sepenuhnya untuk Niro, tetapi kena tunggu produksi tempatan bermula. Walau bagaimana pun, Kia belum mengumumkan perincian teknikal untuk model generasi kedua baahru, tetapi telah pun menyebarkan imej rekaannya. Di mana rekaannya banyak diambil dari model konsep HabaNiro (termasuk lampu belakang menegak yang menyerlah) dan juga papan pemuka asymmetrical.

     
     
  • Peugeot e-2008 EV tiba di Malaysia pada Q4 2022

    Peugeot e-2008 EV tiba di Malaysia pada Q4 2022

    Satu daripada tiga model baharu Peugeot akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun hadapan oleh Bermaz selaku pengedar baharu jenama ini. Model tersebut ialah Peugeot e-2008 yang merupakan SUV 2008 baharu segmen-B bagi versi elektrik-sepenuhnya, menurut laporan analisis RHB Investment Bank. Ia dijangka akan dilancarkan pada bulan hadapan, dan tiba di negara ini pada suku akhir (Q4) tahun 2022.

    Model e-2008 ini akan melengkapkan barisan EV edaran Bermaz, termasuk Mazda MX-30 dan Kia EV6. Bermaz, yang sinonim dengan jenama Mazda di Malaysia, telah mengambil alih hak pengedaran Peugeot dan Kia di negara ini pada tahun lalu. Sebelum ini, kedua-dua jenama berkenaan dikendalikan oleh Naza untuk pasaran tempatan.

    Pertama kali diperkenalkan pada Jun 2019 sebagai sebahagian daripada barisan 2008 generasi kedua serba baharu, EV ini menggunakan motor elektrik yang dijanakan oleh bateri lithium-ion 50 kW.

    Peugeot e-2008 EV tiba di Malaysia pada Q4 2022

    Peugeot berkata, masa pengecasannya sekitar 16 jam dengan soket domestik 230-voltan, atau lapan jam menerusi wallbox fasa-tunggal 7.4 kW (lima jam 15 minit dengan versi tiga-fasa 11 kW). Bateri ini mampu menyokong sehingga 100 kW dengan pengecas pantas DC (penyambung CCS; Type 2 untuk pengecas AC), dengan mengambil masa sekitar 30 minit untuk mendapatkan 80% SOC. Mengikut kitaran WLTP, ia mampu mencapai jarak sehingga 310 km, dan boleh meningkat sehingga 345 km.

    Antara perubahan yang dibuat termasuklah tambahan bagi nisbah kotak gear, olengan rintangan tayar yang lebih rendah, serta heat pump baharu dengan penderia kelembapan dalaman yang membantu mengawal pengaliran udara untuk bahagian penumpang, mengurangkan turun naik suhu dan meminimumkan penggunaan tenaga.

    e-2008 juga adalah sebahagian daripada varian ICE dengan gril sama warna dengan badan bersama lencana singa, lencana “e” dan juga kemasan Greval Grey Alcantara. Kesemua model 2008 turut didatangkan dengan penutup gril aktif, roda yang mengoptimakan aerodinamik dan bahagian bawah badan yang diperkemaskan.

     
     
  • Jualan Honda Civic Hatchback tamat di Thai kerana tak laku; tidak akan diganti dengan model generasi baru

    Jualan Honda Civic Hatchback tamat di Thai kerana tak laku; tidak akan diganti dengan model generasi baru

    Nampaknya jualan Honda Civic Hatchback untuk model generasi ke-10 di Thailand sudah pun berakhir. Menurut portal automotif negara berkenaan, Headlightmag, jualan model tersebut tidak akan digantikan dengan Civic Hatchback generasi baharu kerana prestasi jualan model sebelumnya adalah sangat kecil berbanding model sedan.

    Dalam prestasi jualan tahunan terbaik pada 2017, Honda Thailand telah berjaya menjual sedan Civic FC dengan jumalah 24,432 unit, manakala hatchback Civic FK hanya terjual sebanyak 3,016 unit – atau dengan nisbah purata sekitar 10:1 antara sedan dan hatchback.

    Manakala pada 2019, model kemaskini Civic sedan berjaya dijual sebanyak 28,259 unit oleh Honda Thailand, manakala model hatchback hanya dijual sebanyak 1,843 unit. Dengan statistik ini, model generasi baharu Civic Hatchback bukan sahaja tidak akan dijual, malah tidak akan diproduksi lagi di kilang baharu berteknologi tinggi Honda di Prachinburi.

    Oleh sebab itu, pasaran Australia kini menerima stok Civic Hatchback mereka terus dari Jepun, berbanding dari Thailand ketika Civic FK masih diproduksi di negara tersebut. Honda Australia juga telah mengesahkan untuk Civic generasi baharu ini mereka hanya membawa model hatchback, dan ia dijual tiga kali ganda lebih mahal dari model sebelumnya kerana didakwa memberikan perincian yang lebih premium.

    Seperti generasi sebelum ini, Civic sedan dan Hatchback berkongsi banyak persamaan seperti lampu hadapan, jarak roda dan juga sebahagian besar bahagian kabin. Pada bahagian muka, hatchback masih berkongsi bampar dengan rupa sama dengan versi sedan, tetapi diberikan gril berbeza di mana ia hadir dengan elemen sarang lebah, berbanding rekaan garis melintang pada sedan.

    Kerana ketiadaan bahagian ‘punggung’, model Hatchback ini adalah 125 mm lebih pendek dari sedan, serta bahagian tailgate 50 mm lebih rendah yang kelihatan bersambung terus dengan garis bumbung yang lebih anggun. Lampu belakang model ini menampilkan kluster utama dengan rekaan berbeza terus dari sedan, serta merentangi keseluruhan pintu tailgate belakang.

    Model pasaran Amerika Syarikat menawarkan pilihan rangkaian kuasa yang sama seperti model sedan iaitu 2.0 liter NA dan 1.5 liter VTEC Turbo. Bagi versi NA, ia diberikan enjin 2.0 liter empat silinder DOHC i-VTEC berkuasa 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Manakala versi turbo pula dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo 180 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hinga 4,500 rpm – 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari model generasi ke-10. Berbeza dengan sedan yang hanya menerima kotak gear CVT, kedua-dua versi enjin pada Hatchback ini turut hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan untuk pemanduan yang lebih sporty.

     
     
  • Nissan beri bantuan banjir – 20% diskaun alat ganti & kos buruh, pakej restorasi upholstery; EPP 12 bulan

    Nissan beri bantuan banjir – 20% diskaun alat ganti & kos buruh, pakej restorasi upholstery; EPP 12 bulan

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM), dengan kerjasama Tan Chong Ekspres Auto Service (TCEAS), telah mengumumkan program Bantuan Banjir Nissan untuk pelanggan yang terjejas dengan bencana ini. Program ini menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk alat ganti dan kos buruh, serta pakej restorasi upholstery khas dengan harga RM1,655 untuk sedan dan RM1,988 bagi MPV, SUV, van dan trak pikap.

    Untuk memudahkan kos pembiayaan, pemilik kenderaan Nissan juga diberikan pilihan untuk Pelan Pembayaran Mudah (EPP) sehingga 12 bulan untuk keseluruhan bil. Di samping itu, setiap penggantian alat ganti tulen juga diberikan tempoh waranti selama enam bulan atau 10,000 km. ETCM juga menawarkan perkhidmatan menunda dari pintu-ke-pintu untuk kenderaan yang enjinnya tidak boleh dihidupkan.

    Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian khidmat pelanggan Nissan di 1-800-88-3838, atau hubungi mana-mana cawangan TCEAS berhampiran untuk membuat temujanji.

     
     
  • Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Macam biasa, setiap hujung tahun Daihatsu akan mengumumkan barisan model-model konsep custom mereka yang akan di bawa ke Tokyo Auto Salon (TAS) yang lazimnya berlangsung pada bulan Januari. Jadi untuk TAS 2022 yang diadakan bermula 14 hingga 16 Januari nanti, Daihatasu bakal mempamerkan empat kereta konsep utama direruai mereka.

    Ia terdiri dari dua buah SUV Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang baru sahaja diperkenalkan pada November lalu, dan dua buah Daihatsu Atrai (versi penumpang untuk van/lori kecil Daihatsu Hijet) generasi ke-11 diperkenalkan baru-baru ini. Jadi, kesemua model yang di bawa oleh Daihatsu ini memang benar-benar ‘segar’ dan diasaskan dari platform terbaharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Bagi Rocky e-Smart Hybrid, versi pertama dinamakan sebagai Premium Version. Ia disifatkan sebagai “SUV kompak premium yang cool dan sesuai untuk kegunaan bandar”, diberikan cat badan perak berkilau serta serlahan-serlahan berwarna biru pada bahagian seperti bumbung, penutup cermin sisi, perumah lampu kabus hadapan, dan juga kemasan-kemasan pelindung badan.

    Imej lasak Rocky e-Smart Hybrid Premium Version ini ditonjolkan menerusi skid plate berwarna perak serta rim berwarna hitam yang dibalut tayar jenis All-Terrain Toyo Open Country.

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Versi kedua digelar sebagai Crossfield Version yang menampilkan rupa lebih lasak menerusi kemasan-kemasan hitam, serta pemadanan perincian seperti rak bumbung, lampu kabus kuning, mudflap untuk kesemua ruang roda, badan yang kelihatan ditinggikan lagi serta set roda dengan tayar lebih ‘gemuk’.

    Seperti yang diketahui, Daihatsu Rocky merupakan kembar JDM kepada Perodua Ativa di Malaysia. Jadi, ada pemilik Ativa dah terinspirasi melihat dua model konsep Rocky yang akan ke TAS 2022 ini?

    Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid ini diberikan sistem hibrid jenis range extender di mana enjin tiga silinder 1.2 liter WA-VEX yang dibekalkan hanya bertugas untuk mengecas kuasa elektrik untuk disimpan dalam bateri lithium ion berkapasiti 4.3 Ah, manakala roda hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 106 PS/170 Nm.

    Ini membolehkan Rocky e-Smart Hybrid tersebut mencapai penggunaan bahan api serendah 28 km/l (3.6 l/100 km) mengikut kitaran WLTP. Apa yang menarik, sebelum Rocky e-Smart Hybrid tersebut didedahkan secara rasmi di Jepun, ia terlebih dahulu telah dilihat di uji di Malaysia oleh Perodua, membayangkan bahawa Ativa juga mungkin akan ditawarkan dalam versi hibrid.

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Beralih kepada Daihatsu Atrai, versi pertama turut digelar sebagai Premium Version, yang diberikan kemasan-kemasan luaran berwarna hitam, lampu nyalaan siang LED menegak dan juga rim berdiameter besar dalam kemasan dua tona bersama tayar profil rendah. Ia turut menampilkan kit badan yang lebih labuh bersama badan yang direndahkan.

    Manakala sebuah lagi Atrai digelar sebagai Camper Version, diasaskan dari Atrai Deck Van iaitu varian Atrai yang direka dengan ruang bed belakang seperti trak pikap. Versi custom ini diberikan perician lebih lasak menampilkan gril hadapan hitam, pelindung hadapan berwarna hitam bersama skid plate perak dan lampu panduan tambahan, serta diberikan tayar jenis off-road.

    Sesuai dengan namanya, bumbung Atrai Camper Version ini diberikan bar lampu dan juga set khemah. Rupa keseluruhannya disudahkan dengan cat badan berwarna oren bersama grafik badan dengan elemen bentuk heksagon.

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Daihatsu Atrai dan Hijet masih lagi berada dalam kelas Kei di Jepun, dihasilkan dengan had dimensi dan kapasiti enjin tidak melebihi 660 cc seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk kelas berkenaan, bagi mendapatkan insentif cukai khas.

    Model generasi baharu ini direka lebih bersegi dari sebelum ini bagi memaksimakan ruang kargo. Ia juga merupakan model komersil pertama yang menggunakan platform DNGA dan menampilkan kotak gear D-CVT yang direka untuk memacu roda belakang, serta diberikan skrin sesentuh infotainmen yang diberikan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Hijet dan Atrai ini dijana oleh oleh dua pilihan enjin petrol tiga silinder 658 cc. Versi NA menghasilkan 53 PS/60 Nm, manakala versi turbo pula mampu menjana kuasa sehingga had maksima regulasi Kei-Car iaitu 64 PS dan tork maksima 93 Nm. Selain kotak gear D-CVT, enjin tersebut juga boleh dipadankan dengan transmisi lima-kelajuan manual serta pilihan sistem pacuan semua roda.

     
     
  • Bahaya baiki kenderaan di lorong kecemasan; saran hubungi talian kecemasan untuk bantuan – Miros

    Bahaya baiki kenderaan di lorong kecemasan; saran hubungi talian kecemasan untuk bantuan – Miros

    Bukan sekali dua insiden kemalangan jalan raya berlaku yang membabitkan mangsanya adalah individu yang mengalami kerosakan kenderaan yang diletakkan di lorong kecemasan dan juga mekanik yang datang membantu. Terbaru, seorang ibu bersama lapan orang anaknya meninggal dunia selepas kereta yang mereka naiki yang mengalami kerosakan telah dilanggar oleh sebuah treler. Kejadian yang berlaku di di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam, turut menyebabkan seorang mekanik yang mahu membaiki kereta tersebut terkorban.

    Kejadian menyayat hati itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros). Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, Datuk Suret Singh, berkata, cubaan membaiki kenderaan atau menukar tayar pada lorong kecemasan di lebuh raya adalah amat berbahaya.

    Justeru, pengguna lebuh raya disaran agar tidak cuba membaiki kenderaan rosak di lorong kecemasan, sebaliknya menghubungi talian kecemasan 999 atau pengendali lebuh raya bagi mendapatkan bantuan, laporan Bernama.

    Bahaya baiki kenderaan di lorong kecemasan; saran hubungi talian kecemasan untuk bantuan – Miros

    “Semua pengendali lebuh raya mempunyai pasukan peronda dan penyelamat, jadi hubungilah mereka untuk mendapatkan bantuan serta mengelakkan kehilangan nyawa. Jika tiada dalam simpanan telefon, nombor pengendali lebuh raya boleh diperoleh melalui carian Google.

    “Biasanya pasukan peronda lebuh raya akan tiba secepat mungkin dan menunda kenderaan rosak ke kawasan rehat berhampiran selain semua penumpang perlu keluar dari kenderaan dan berkumpul di luar penghadang jalan,” katanya.

    Tambah beliau, kenderaan rosak perlu dipasangkan lampu kecemasan dan pemandu disarankan meletakkan ‘segi tiga pantul cahaya’ atau kon keselamatan kira-kira 30 meter di belakang kenderaan selain menggunakan lampu suluh bagi tujuan itu.

    “Ini bagi membolehkan pemandu lain dapat melihat kenderaan rosak yang diletakkan di lorong kecemasan. Pengguna lebuh raya dicadangkan supaya menyimpan baju pantul cahaya untuk digunakan pada waktu malam jika berlaku kerosakan,” katanya.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan sehingga 3 Jan sempena Krismas/tahun baharu

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan sehingga 3 Jan sempena Krismas/tahun baharu

    Bagi yang merancang untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung bagi menghabiskan cuti tahunan pada hujung minggu ini sehingga ke minggu hadapan, PLUS telah mengeluarkan jadual cadangan perjalanan (TTA) sempena cuti sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2022.

    Untuk yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Lembah Klang, PLUS mencadangkan kenderaan yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor untuk memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. Manakala bagi yang menuju ke lain-lain negeri, boleh memulakan perjalanan selepas jam 1 tengahari.

    Bagi yang ingin memasuki Lembah Klang pula, PLUS mencadangkan kenderaan yang datang dari arah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor untuk memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi. TTA ini berkuatkuasa sekarang sehingga 3 Januari 2022.

    Memandangkan kita masih lagi berada di bawah situasi Covid-19, PLUS juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP sepanjang perjalanan mereka di lebuh raya. Pemandu juga dinasihatkan supaya memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara pada ketika ini.

    Pengguna lebuh raya juga disaran supaya membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi Aplikasi PLUS untuk menikmati pengalaman yang lebih mudah dan selesa ketika berhenti rehat di R&R terpilih.

    Selain itu, menerusi Aplikasi PLUS ini juga, para pengguna lebuhraya dapat merancang perjalanan serta mendapatkan maklumat trafik terkini serta melihat paparan kamera CCTV keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.

    Malahan aplikasi tersebut juga menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol atau berinteraksi dengan PUTRI, chatbot pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS.

     
     
  • Subaru WRX 2022 – fender flare plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Macam-macam komen negatif berkenaan rupa Subaru WRX 2022 ketika sedan prestasi generasi baharu berkenaan didedahkan buat pertama kali pada September lalu, khususnya berkenaan fender flare pada setiap ruang roda yang bukan sahaja bersegi, malah komponen yang diperbuat dari plastik tersebut dibiar hitam tanpa langsung diberikan lapisan cat, membuatkan ia nampak seakan SUV.

    Namun menurut Subaru, rupa yang diberikan pada fender flare tersebut, malah mengapa ia tidak dicat mempunyai sebab yang tersendiri dan ia berkaitan dengan fungsi aerodinamik kereta tersebut. Perkara ini disebut oleh pengurus produk Subaru, Micheal Redic kepada media di Amerika Syarikat ketika pelancarannya di sana minggu lalu, lapor Road & Track.

    Kalau anda perhatikan, permukaan plastik fender flare yang tidak dicat berkenaan bukannya licin, tetapi dia diberikan tekstur-tekstur berbentuk heksagon. Untuk apa? “Permukaan ini mempunyai bentuk heksagon yang aerodinamik, ia seolah-olah bola golf. Ia berfungsi. Ia direka bagi menambahbaik aliran udara,” kata Redic.

    Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Menurutnya lagi jurutera Subaru telah menguji flare berteksur tersebut dan dibandingkan dengan flare yang diberikan lapisan cat dengan menggunakan terowong udara – plastik tanpa cat tersebut menunjukkan bahawa ia lebih baik dalam mengekalkan kelancaran aliran udara sekeliling kereta.

    Beliau menjelaskan bahawa dengan flare licin dan dicat, aliran udara “akan mula lari dari bentuk di belakang, dan ia akan menghasilkan lebih banyak turbulens udara di bahagian belakang.” “Dengan hanya merubah struktur dari cat kepada tekstur heksagon memberikan penambahbaikkan yang besar pada aerodinamik kereta tersebut,” katanya dan menambah bahawa berberapa bahagian pada bawah kereta juga diberikan plastik dengan tekstur sama bagi menambahbaik karekter aerodinamik.

    Redic juga memberitahu bahawa liang pada fender hadapan WRX 2022 ini juga mempunyai fungsi aerodinamik sebenar. “Ia membolehkan kami mengeluarkan udara dari ruang roda,” kata Redic dan menjelaskan fungsi tersebut adalah untuk “mengurangkan tekanan, keluarkan udara dari badan bagi mengurangkan turbulens…jadi kereta tersebut kekal licin.”

    Beliau juga menyatakan bahawa bentuk rekaan yang dibuat pada fender flare belakang Subaru WRX ini juga memberikan fungsi aerodinamik yang sama.

    Subaru WRX 2022 ini diasaskan dari Subaru Global Platform yang baru, sama seperti model-model terkini lain seperti Impreza, Levorg dan Forester generasi baharu. Ia tidak lagi menggunakan enjin siri EJ seperti model generasi sebelumnya, sebaliknya dijana oleh enjin boxer empat silinder generasi baharu FA24F 2.4 liter dengan pengecas turbo.

    Enjin berkenaan menghasilkan 271 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,000 hingga 5,200 rpm. Walaupun kapasiti enjin baharu ini jauh lebih besar, penghasilan kuasa yang ditampilkan sebenarnya tidak jauh berbeza dari model sebelum ini yang menjana 268 hp dan tork maksima 350 Nm bagi model pasaran Amerika Syarikat. Namun menurut Subaru, enjin baharu ini ditala bagi memberikan lengkuk kuasa yang lebih luas.

    Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Subaru masih menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan bagi WRX generasi baharu ini. Manakala untuk mereka yang lebih gemarkan pemanduan dua pedal, ia juga masih ditawarkan dengan transmisi CVT automatik yang digelar Subaru Performance Transmision yang kini telah ditala bagi memberikan tukaran gear menaik 30% lebih pantas, dan tukaran menurun gear 50% lebih pantas antara gear maya kedua dan ketiga.

    Subaru juga menyatakan bahawa rasa “gegelang getah” pada transmisi CVT tersebut juga kini dikurangkan lagi, dan ia juga diberikan sistem kawalan tukaran gear adaptif yang mampu memberikan respon lebih pantas bagi memberikan kesan seakan sistem rev-match ketika gear diturunkan semasa membrek.

    Seperti biasa, kesemua kuasa dari enjin dihantar ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru, serta dibantu dengan sistem Active Torque Vectoring. Bagi model varian tertinggi WRX GT, ia turut menerima suspensi dengan penyerap hentak kawalan elektronik – pertama kali dipadankan pada WRX.

    Suspensi ini datang dengan tiga tetapan mod yang boleh dipilih iaitu Comfort, Normal dan Sport. Pilihan berkenaan boleh dibuat menerusi sistem Drive Mode Select, yang juga menawarkan opsyen untuk membuat tetapan terhadap rasa stereng.

     
     
  • Honda M’sia umum bantuan banjir – 25% diskaun alat ganti, tunda percuma, RM1.5k untuk pelanggan HiP

    Honda M’sia umum bantuan banjir – 25% diskaun alat ganti, tunda percuma, RM1.5k untuk pelanggan HiP

    Honda Malaysia telah mengumumkan program bantuan banjir untuk para pemilik kenderaan Honda dengan menawarkan 25% diskaun alat ganti tulen. Program ini dilaksanakan mulai sekarang sehingga 31 Januari 2022, dan hanya untuk kenderaan yang dijual menerusi saluran rasmi sahaja.

    Pelanggan yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini diminta untuk pergi ke pusat pengedaran Honda bertauliah untuk penilaian dan pemeriksaan kenderaan. Bagi pelanggan Honda Insurance Plus (HiP), bakal mendapay khidmat menunda dan pemeriksaaan kenderaan secara percuma (tertakluk pada terma & syarat), serta elaun banjir sehingga RM1,500 (tertakluk pada terma & syarat). Honda Malaysia juga bekerjasama dengan syarikat insurans dalam mempercepatkan proses tuntutan insurans.

    CEO dan pengarah urusan Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, “Kami sangat berasa sedih dengan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia, yang menyebabkan kehilangan dan kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan. Kami harap dengan bantuan banjir ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh para pelanggan.”

    Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan banjir dan HiP ini, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau layari laman web rasmi www.honda.com.my.

     
     
  • Modenas bantu pemilik yang terkesan dengan banjir – pemeriksaan percuma, diskaun upah sehingga 70%

    Modenas bantu pemilik yang terkesan dengan banjir – pemeriksaan percuma, diskaun upah sehingga 70%

    Dalam usaha untuk membantu pemilik motosikal yang terkesan dengan banjir baru-baru ini, Modenas mengadakan Kempen Servis Prihatin khas yang melibatkan diskaun alat ganti, upah kerja serta pemeriksaan sehingga 31 Disember ini di pusat servis berdaftar mereka di Shah Alam, Selangor dan Kuantan, Pahang.

    Melalui kempen ini, pemilik motosikal Modenas boleh menikmati pemeriksaan motosikal percuma, upah kerja percuma bagi motosikal yang tidak perlu dibaik pulih, diskaun alat ganti sehingga 25%, diskaun upah kerja overhaul sehingga 70% serta pencucian motosikal secara percuma.

    Mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut berkenaan kempen ini boleh pergi terus ke pusat servis Modenas, menghubungi Modenas Careline di talian 1-800-880-181 atau menghantar Whatsapp ke nombor 019-5708135.

     
     
  • Kia EV6, SUV elektrik bakal tiba di M’sia Q2/Q3 2022

    Kia EV6, SUV elektrik bakal tiba di M’sia Q2/Q3 2022

    Selain daripada jenama Mazda dan Peugeot, Bermaz juga mengesahkan jadual pengenalan produk bagi Kia, yang mana syarikat berkenaan mengambil alih pengedaran jenama itu sejak April lalu. Ada beberapa produk baru dirancang untuk tahun depan, dengan yang paling penting dan menarik ialah model EV6.

    Menurut laporan penganalisis dari RHB Investment Bank dan Kenanga Research, crossover elektrik tersebut akan tiba di sini pada suku ketiga atau keempat tahun depan. Ini menjadikan garis masa pengenalannya masih dalam tempoh pengecualian cukai EV seperti yang diumumkan sebelum ini, yang akan berlangsung hingga penghujung 2023.

    EV6 merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama bagi Kia. Ia dibina menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP) dan hampir dengan binaan Hyundai Ioniq 5, walaupun dengan reka bentuk dan penggayaan yang berbeza. Di dalam, panel paparan melengkung terletak di atas papan pemukanya, dengan bahagian konsol tengah yang tinggi, serta kerusi kurus dan ringan diperbuat daripada bahan kitar semula.

    Kia EV6, SUV elektrik bakal tiba di M’sia Q2/Q3 2022

    Beberapa konfigurasi sistem janaan ditawarkan, bergantung kepada saiz bateri. Dengan unit bateri lithium-ion paling kecil 58 kWh, motor elektrik belakang menghasilkan 125 kW (168 hp) dan 350 Nm tork, sementara model pacuan semua roda menggunakan motor elektrik berkembar untuk menjana 173 kW (232 hp) dan 605 Nm. Jarak maksimum yang boleh dicapai ialah 394 km.

    Kemudian ada bateri 77.4 kWh yang menghasilkan 168 kW (225 hp) dan 239 kW (321 hp) bagi model pacuan belakang dan semua roda, dengan jarak perjalanan masing-masing ialah 528 km dan 506 km. Penawaran paling tinggi ialah GT, dengan janaan 430 kW (577 hp) dan 740 Nm, yang memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat dan laju maksimum 260 km/j dengan jarak perjalanan 424 km untuk satu cas penuh.

    Menarik juga untuk diperhatikan, laporan berkenaan menyatakan Bermaz turut merancang untuk memperkenalkan kenderaan elektrik kedua dalam tempoh yang sama, dengan kodnama PBV1. Kia menggunakan istilah Purpose-Built Vehicle (PBV) untuk merujuk kepada barisan EV akan datang, walaupun masih belum diketahui sama ada kenderaan yang dimaksudkan itu datangnya dari barisan kenderaan tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024