Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • PLUS umum lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG di Jambatan Pulau Pinang telah berfungsi

    PLUS umum lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG  di Jambatan Pulau Pinang telah berfungsi

    Bermula pada 25 Disember lalu, lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG telah pun dibuka di Plaza Tol A Jambatan Pulau Pinang. Ia bertujuan untuk memberi keselesaaan dan keselamatan pengguna lebuh raya wilayah utara. Sebelum ini, ia hanya untuk lorong SmartTAG sahaja.

    Menurut PLUS Berhad, pengguna yang menggunakan RFID yang datang dari Kedah atau Sg Dua boleh menggunakan lorong ini dan bagi yang datang dari Juru boleh terus ke lorong-lorong RFID di Plaza Tol B.

    Bagi yang belum memasang tag RFID, bermula 15 Januari 2022, PLUS telah mengumumkan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan kendaliannya.

    PLUS umum lorong ketiga campuran RFID dan SmartTAG  di Jambatan Pulau Pinang telah berfungsi

    Walau bagaimana pun, dengan pengenalan RFID, ini tidak bermakna pondok tol PLUS akan menamatkan transaksi pembayaran menggunakan kad Touch n Go dan SmartTAG pada tahun hadapan, sebaliknya ia masih diteruskan dan RFID adalah salah satu pilihan bagi transaksi pembayaran tol, bukan untuk menggantikannya.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata bayaran tol menggunakan RFID ketika ini akan menjadi pilihan tambahan kepada kaedah pembayaran sedia ada seperti kad TnG dan SmartTAG. “Bayaran melalui RFID adalah langkah pertama ke arah pelaksanaan bayaran tol tanpa adanya plaza tol (sistem aliran bebas multi-lorong, MLFF) di masa hadapan,” ujar beliau.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RFID dan bagaimana ia berfungsi di lebuhraya PLUS, anda BOLEH MEMBACA PENJELASANNYA DI SINI.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI dan R-Line Mk8 2022 di Malaysia

    Volkswagen Golf GTI dan R-Line Mk8 2022 di Malaysia

    Dikhabarkan, unit pemasangan tempatan Volkswagen Golf Mk8 bakal dilancarkan di Malaysia. Ia dijangkakan akan dilancarkan dalam suku pertama 2022, dan diberikan dua pilihan varian sama ada R-Line atau GTI.

    Bagi varian R-Line, ia diberikan enjin 1.4 liter TSI dengan hamburan 150 PS dan tork 250 Nm. Namun tidak lagi diberikan DSG klac kering tujuh-kelajuan, sebaliknya dipadankan dengan kotak gear torque converter (dari Aisin) lapan-kelajuan yang memacukan kuasa ke roda hadapan. Ia membolehkan R-Line ini mengambil masa 8.5 saat untuk mencapai 100 km/j, berbanding 8.2 saat bagi Golf R-Line Mk7.5 yang dilengkapi DSG.

    Manakala untuk GTI, ia dikuasakan dengan unit EA888 2.0 liter turbo empat-silinder, yang menghasilkan 245 PS dan 370 Nm, iaitu meningkat 15 PS dan 20 Nm berbanding GTI terdahulu, dan dipadankan dengan DSG klac kering tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. GTI ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.4 saat.

    Buat masa ini, harganya masih belum didedahkan, tetapi unit pemasangan tempatan dari kilang Volkswagen di Pekan, Pahang ini dijangka akan ditetapkan harga yang lebih kompetitif berbanding model sebelumnya. Ketika Golf Mk7.5 CBU dilancarkan pada 2019, 1.4 TSI R-Line ditawarkan pada harga RM166,990, sementara GTI pula berharga RM239,990.

    GALERI: Volkswagen Golf GTI Mk8 2022

    GALERI: Volkswagen Golf TSI R-Line 2022

     
     
  • Zontes 155G, 155U dan 155U1 dilancar untuk Malaysia – enjin 155 cc, gear enam kelajuan, harga RM10,800

    Zontes 155G, 155U dan 155U1 dilancar untuk Malaysia – enjin 155 cc, gear enam kelajuan, harga RM10,800

    Tiga model baru daripada Zontes kini menyertai segmen motosikal 150 cc, iaitu ZT155G, ZT155U dan ZT155U1. Masing-masing membawa gaya retro, naked dan touring, ketiga-tiga model ini dijual pada harga sama iaitu RM10,800 bagi Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    ZT155 dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan cecair, 155 cc yang mendapat penarafan emisi Euro 5 dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper and assist, untuk menghasilkan kuasa 18.8 hp pada 9,250 rpm dan 16 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Kelengkapan standard yang diberikan pada ZT155 adalah termasuk brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS two-channel, rim 17 inci, fork teleskopik, monoshock dengan pelarasan pra beban dan pelindung tangan.

    Di bahagian kokpit terdapat panel meter jenis LCD monochrome dan penunggang disediakan dengan dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport. Turut disediakan adalah pengecas USB serta besi pelindung tepi untuk ZT155G dan ZT155 U1.

    Tangki bahan api yang disediakan untuk model ZT155U dan ZT155U1 adalah berkapasiti 12.5 liter sementara ZT155G dipasang dengan tangki 20 liter. Berat keseluruhan ZT155 adalah 117 kg. Setiap model Zontes didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun.

    GALERI: Zontes ZT155G 2021

    GALERI: Zontes ZT155U 2021

    GALERI: Zontes ZT155U1 2021

     
     
  • Tahan ambulans di simpang untuk bagi laluan konvoi Perdana Menteri dibuat bagi kurangkan risiko – Polis

    Tahan ambulans di simpang untuk bagi laluan konvoi Perdana Menteri dibuat bagi kurangkan risiko – Polis

    Selepas tular video polis menahan laluan sebuah ambulans di satu persimpangan bagi memberikan laluan kepada konvoi VIP, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan media bagi menerangkan situasi tersebut.

    Menurut Ketua JSPT Selangor Supt. Azman bin Shari’al dalam kenyataan berkenaan, ketika dalam menjalankan penugasan trafik, jabatannya sentiasa memberi keutamaan laluan kepada kenderaan-kenderaan kecemasan, terutamanya bagi pihak ambulans dan bomba. Namun apa yang dibuat oleh anggota trafik dalam situasi yang tular baru-baru ini adalah untuk mengurangkan risiko kemalangan.

    Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa kejadian dalam rakaman video tersebut berlaku pada 26 Disember 2021 lebih kurang 11.30 pagi, memaparkan kenderaan pacuan 4×4 dan sebuah ambulan milik Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diiringi oleh polis trafik.

    Ia berlaku semasa rombongan Perdana Menteri Malaysia dalam perjalanan bagi melihat sendiri kerja­ kerja pembersihan dilaksanakan pelbagai agensi bagi membantu mangsa banjir dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat ke lokasi lain di Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 Hulu Langat dengan diiringi oleh polis trafik.

    Menurut kenyataan itu, semua pegawai dan anggota JSPT yang bertugas di persimpangan tersebut telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan tersebut untuk tempoh masa yang singkat. Walaupun kesemua mereka sentiasa diarahkan untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti membawa pesakit dan anggota bertugas, keputusan yang dibuat masih perlu dibuat berdasarkan situasi.

    “Ini memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan. Tindakan mengatasi trafik tersebut telah diambil oleh anggota trafik berkenaan, selaras dengan peruntukan di bawah Keedah Lalu Lintas No. 9 LN 166/1959 dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Dalam keadaan yang dltunjukkan dalam video tersebut, sekiranya anggota trafik di persimpangan memberi keutamaan jalan kepada pacuan 4×4 dan ambulan milik Persatuan Bulan Sabit Merah yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama,
    ianya tindakan yang akan mewujudkan rislko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya. Oleh yang demikian, konvoi yang berada di jalan utama telah diberlkan keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilalan awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan,” tulis kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa sebaik sahaja konvoi melepasi persimpangan tersebut pada tempoh yang singkat, anggota traflk telah mengambil langkah segera bagi memberi keutamaan jalan kepada ambulan dan kenderaan pacuan 4×4 berkenaan setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku.

    “PDRM sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulan dan bomba,” tulis kenyataan itu lagi.

     
     
  • Yamaha adakan kempen servis motosikal percuma di Lembah Kelang untuk mangsa banjir hingga 31 Dis

    Yamaha adakan kempen servis motosikal percuma di Lembah Kelang untuk mangsa banjir hingga 31 Dis

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini sedang mengadakan kempen servis percuma bagi mereka yang terkesan dengan banjir yang melanda baru-baru ini di pusat servis serta pengedar sah mereka di Lembah Kelang.

    Melalui kempen ini, selain pemeriksaan percuma, anda juga akan menerima minyak enjin, minyak gear, penapis minyak, penapis udara serta palam pencucuh secara percuma. Semua ini bagaimanapun, bergantung kepada terma dan syarat.

    Secara keseluruhannya, terdapat 32 wakil pengedar yang terlibat dalam kempen ini dan anda boleh melihat senarainya di atas. Kempen ini akan dijalankan sehingga 31 Disember sahaja dan demi membantu kelancarannya, anda diminta menghubungi wakil pengedar tersebut untuk membuat temu janji.

     
     
  • Albert Biermann bersara dari jawatan ketua R&D Hyundai, kini sebagai penasihat teknikal eksekutif

    Albert Biermann bersara dari jawatan ketua R&D Hyundai, kini sebagai penasihat  teknikal eksekutif

    Hyundai bukanlah satu jenama yang serasi dengan perkataan “prestasi” sebelum ini walaupun pernah bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada awal era Y2K serta menghasilkan model sport seperti Hyundai Coupe dan Tiburon. Namun dengan kehadiran bekas naib presiden kejuruteraan BMW M, Albert Biermann, jenama Korea berkenaan berjaya mengangkat divisi prestasi dan sayap perlumbaan mereka iaitu Hyundai N ke tahap yang mampu menggerunkan saingan mereka buat masa sekarang.

    Walau bagaimanapun, menurut Hyundai Motor Group (HMG) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Albert Biermann yang sebelum ini memegang jawatan Presiden dan Ketua Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) untuk syarikat tersebut telah pun bersara dari tanggungjawab berkenaan, tetapi masih bertugas sebagai Penasihat Teknikal Eksekutif HMG dan berpusat di Eropah.

    Dengan jawatan tersebut, Biermann akan memberikan nasihatnya terhadap pembangunan produk-produk baharu serta teknologi masa hadapan termasuk mobiliti udara moden (UAM), robotik, dan juga sel bahan api hidrogen. Beliau turut akan memberikan bantuan terhadap pembangunan teknologi elektrifikasi untuk kereta prestasi, serta memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat baharu bagi memindahkan kepakarannya kepada Hyundai Motor Europe Technical Center GmbH.

    “Telah menjadi satu keseronokan dan penghormatan yang luar biasa bagi saya bekerja untuk Hyundai Motor Group dan menerajui bahagian kejuruteraan kami untuk menjadi pusat R&D yang ‘tiada tandingannya’ dalam keseluruhan industri automotif. Kini, kenderaan kami lebih menonjol saingan lain dalam banyak aspek dan merangkumi kepakaran dan komitmen kejuruteraan kami yang kuat,” kata Albert Biermann yang kini sudah berumut 65 tahun.

    Albert Biermann bersara dari jawatan ketua R&D Hyundai, kini sebagai penasihat  teknikal eksekutif

    “Korea akan kekal sebagai rumah kedua saya, dan semua rakan sekerja saya di Hyundai Motor Group akan sentiasa dianggap sebahagian daripada keluarga saya. Saya ingin mengakui bahawa kejayaan kami sentiasa berdasarkan semangat kolektif yang kuat daripada ramai orang berbakat di Hyundai dan saya akan menghargai pencapaian unik kami di mana sahaja saya tinggal.” tambahnya lagi.

    “Terima kasih kepada usaha tanpa jemu Albert, dedikasi yang tidak berbelah bahagi dan semangat yang luar biasa untuk syarikat, kami telah mendapat banyak pencapaian hebat untuk seluruh barisan model kami yang mustahil untuk menamakan kesemuanya,” kata Euisun Chung, Pengerusi Eksekutif Hyundai Motor Group .

    “Komitmen beliau untuk memberikan standard kejuruteraan yang paling tinggi telah memainkan peranan penting dalam Kumpulan kami bagi menjadi salah satu peneraju automotif global yang terkemuka,” tambah Chung lagi.

    Albert Biermann telah menyertai Hyundai Motor Group sebagai Naib Presdien Eksekutif dan Ketua untuk Pengujian Keneraan dan Pembangunan Prestasi tinggi pada April 2015, selepas berkhidmat dengan BMW selama 31 tahun. Bertugas di pusat R&D kumpulan berkenaan yang terletak di Namyang Korea, Biermann telah mengetuai pembangunan model-model baharu Genesis, Hyundai dan Kia, dengan memantau aspek kejuruteraan projek berkaitan pemanduan dan pengendalian, keselamatan, ketahanan serta penyisihan NVH,

    Albert Biermann bersara dari jawatan ketua R&D Hyundai, kini sebagai penasihat  teknikal eksekutif

    Beliau juga adalah individu penting dalam mewujudkan jenama prestasi dan sayap perlumbaan Hyundai N, dan pada 2018 Biermann dilantik sebagai Presiden dan Ketua Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Hyundai Motor Group.

    Dengan kehadiran Biermann dalam kumpulan berkenaan, prestasi kenderaan-kenderaan Hyundai dan Kia telah meningkat secara mendadak serta berjaya melancarkan model-model prestasi tinggi sebenar seperti Hyundai i30 N dan Kia Stinger, menyerlahkan kemampuan kebolehan prestasi tinggi kedua-dua jenama tersebut di peringkat global.

    Dengan pembangunan platform E-GMP iaitu platform khas untuk kenderaan elektrik juga di bawah selian Albert Biermann, Hyundai Motor Group juga kini antara entiti yang menerajui pasaran kenderaan elektrik bateri (BEV).

    Biermann juga membawa innovasi kepada jabatan R&D kumpulan tersebut menerusi sistem berdasarkan seni-bina yang membantu transformasi syarikat. Dengan tema ‘Satu Keluarga R&D yang Kuat,’ beliau telah memimpin kumpulan berkenaan untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan cara yang lancar dan efisien.

    Beliau juga memperkenalkan sistem pembangunan seni-bina modular bagi mengurangkan kerumitan serta meningkatkan keberkesanan pembangunan, serta memantau pengenalan sistem pembangunan kereta maya untuk Hyundai Motor Group.

     
     
  • Lebuhraya KLK dan LPT1 kembali dibuka – ANIH

    Lebuhraya KLK dan LPT1 kembali dibuka – ANIH

    ANIH Berhad pengendali Lebuhraya KL Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengumumkan kedua-dua lebuhraya berkenaan telah pun kembali dibuka secara berperingkat mulai jam 6 petang tadi setelah kerja pembaikan dan pembersihan hampir selesai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pembukaan kembali kedua-dua lebuhraya berkenaan bagi membolehkan pengguna lebuhraya sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.

    Walau bagaimana pun, pengguna dinasihati untuk tetap berhati-hati dan mematuhi tanda arah apabila menghampiri laluan kontra di Sungai Dua, iaitu di KM74.8 sehingga KM77.3 yang tetap dibuka demi keselesaan dan keselamatan.

    “Pengguna yang ingin ke laluan Pekan Karak perlu membuat pusingan ‘U-turn’ sebelum Tol Karak, dan seterusnya keluar di susur keluar menghala ke Karak. Manakala laluan di KM76 sehingga KM78.8 (Karak) masih ditutup untuk kerja pembersihan.

    “Bagi laluan menghala ke Kuala Lumpur pula, hanya lorong laju akan dibuka iaitu di Bentong bermula dari KM66 sehingga KM70,” kata ANIH yang turut menasihati agar semua pengguna mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa mahupun petugas lebuh raya.

    Dalam masa yang sama, ANIH sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan komited memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya sentiasa menjadi keutamaan syarikat itu.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter dan Facebook atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09-5479111/ 1-700-818-700.

    Pada hujung minggu lalu, laluan di kedua-dua lebuhraya terbabit ditutup sepenuhnya susulan bencana banjir yang berlaku di kawasan persekitarannya. Ini menyebabkan ramai pengguna lebuhraya terkandas kerana laluan ditenggelami air banjir. Malah terdapat juga kejadian tanah runtuh dan permukaan jalan yang rosak akibat banjir berkenaan.

     
     
  • Subaru WRX, Sportswagon 2022 bakal tiba di Malaysia

    Subaru WRX, Sportswagon 2022 bakal tiba di Malaysia

    Dengan pelancaran Subaru XV 2.0i-P EyeSight untuk pasaran Malaysia baru-baru ini, pengeluar kereta Jepun ini juga dikatakan akan membawa masuk model baharu ke sini pada tahun hadapan. Perkara ini disahkan oleh pengedar dan pengimport Subaru di Malaysia, TC Subaru.

    Model tersebut ialah WRX sedan 2022 dan juga WRX Sportswagon yang telah didedahkan untuk peringkat global beberapa bulan lalu. Walau bagaimana pun, untuk pelancaran di Malaysia, jangkaan tarikhnya masih belum dipastikan. Menurut TC Subaru, mungkin ia akan ditangguh seketika memandangkan masalah bekalan cip semikonduktor masih menjejaskan pengeluaran unit import sepenuhnya (CBU).

    Syarikat tersebut turut berkata, model pemasangan tempatan seperti XV yang dilengkapi EyesSight yang baru dilancarkan juga terjejas tetapi pada tahap yang lebih rendah, kerana bahagian untuk operasi CKD telah diutamakan.

    Subaru WRX, Sportswagon 2022 bakal tiba di Malaysia

    Untuk model yang akan datang, WRX sedan dan WRX Sportswagon dibangunkan dengan Subaru Global Platform (SGP), di mana ia memberikan manfaat kepada versi sedan dengan kekuatan torsi keseluruhan 28% lebih tinggi, manakala kekuatan cagak-cagak suspensi pula meningkat sehingga 75%.

    Sportswagon merupakan WRX yang diasaskan dari Levorg generasi kedua (di Jepun juga ia dikenali sebagai Levorg). WRX sedan 2022 diberikan enjin FA24F 2.4 liter pengecas turbo empat-silinder boxer petrol, sama seperti model Ascent, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 271 hp pada 5,600 rpm dan tork 350 Nm dari 2,000 hingga 5,200 rpm.

    Di Jepun, Levorg dikuasakan oleh unit CB18 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder boxer dengan ledakan kuasa 177 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm. Dikenali sebagai WRX Sportswagon di Australia, ia menerima unit penjana kuasa 2.4 liter turbo empat-silinder boxer dengan 271 hp/350 Nm.

    Sistem Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring diberikan secara standard dengan enjin 2.4 liter, dan WRX juga dijual di pasaran Amerika Utara sama ada dengan kotak gear manuak enam-kelajuan atau Subaru Performance Transmission CVT, yang didakwa turut menawarkan peralihan yang lebih pantas antara nisbah mayanya.

    GALERI: Subaru WRX Sedan 2022

    GALERI: Subaru Levorg 2020, spesifikasi Jepun

     
     
  • Kia Sorento 2022 dilancarkan di Malaysia pada Q3/Q4 – CKD dengan pilihan petrol, hibrid dan plug-in hybrid?

    Kia Sorento 2022 dilancarkan di Malaysia pada Q3/Q4 – CKD dengan pilihan petrol, hibrid dan plug-in hybrid?

    Dalam taklimat media oleh Bermaz beberapa minggu lalu, turut disebut-sebut akan dilancarkan di sini ialah Kia Sorento baharu. SUV tiga-barisan tempat duduk yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu ini, akan dipasarkan di Malaysia sama ada pada suku ketiga atau keempat 2022, menurut laporan analisis dari RHB Investment Bank.

    Bermaz juga telah memaklumkan Sorento itu akan hadir dengan versi unit pemasangan tempatan (CKD). Walau bagaimana pun, tidak dipastikan adakah ia bakal dilancarkan dalam masa yang sama dengan Sportage, yang juga dikatakan akan tiba pada hujung 2022.

    Pengedar tempatan ini juga telah mengesahkan Sorento akan ditawarkan dengan versi biasa, hibrid dan plug-in hybrid. Pada peringkat global, Sorento ditawarkan dengan dua enjin pembakaran dalaman – 2.5 liter pengecas turbo petrol (281 PS) dan 2.2 liter turbodiesel (202 PS), kedua-duanya dipadankan dengan transmisi dwi-klac wet lapan-kelajuan baharu.

    Untuk model hibrid, ia menerima enjin 1.6 liter turbo petrol empat-silider (180 PS) yang dipadankan dengan motor elektrik (60 PS) untuk menyalurkan keseluruhan kuasa sejumlah 230 PS. Bagi plug-in hybrid, motornya menjana sehingga 91 PS untuk menghasilkan keseluruhan kuasa sebanyak 264 PS. Bateri lithium-ion 13.8 kWh menghasilkan jarak semua-elektrik sehingga 57 km mengikut kitaran WLTP. Kedua-dua varian elektrik-petrol didatangkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Sorento ini dibangunkan dengan platform crossover saiz pertengahan N3 baharu dari Hyundai dan diberikan rekaan yang lebih moden serta menyerlah berbanding model sebelumnya. Antara ciri yang ditampilkan termasuklah skrin sesentuh tengah 10.25-inci, kluster instrumen digital 12.3-inci, keupayaan pemanduan Highway Driving Assist 2 (HDA2) Level 2 semi-autonomous, bantuan parkir kawalan jauh dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, tetapi tidak dipastikan adakah ciri tersebut akan diberikan untuk model pasaran Malaysia mahu pun tidak.

    GALERI: Kia Sorento Plug-in Hybrid 2022

     
     
  • RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Penggunaan RFID untuk bayaran tol di Lebuhraya PLUS dari Juru ke Skudai akan mula dilaksanakan 15 Januari 2022. Ini adalah langkah permulaan ke arah sistem tol aliran bebas lorong tunggal (SLFF) dan kemudiannya kepada sistem aliran bebas multi-lorong (MLFF).

    Pengenalan RFID ini juga bermakna kutipan tol melalui Touch ‘n Go dan SmartTAG akan dimansuhkan secara berperingkat, dengan kerajaan mensasarkan tempoh menjelang penghujung 2023. Disebabkan itu, pengguna perlu beralih kepada RFID juga nanti.

    Dengan ini maka akan ada banyak persoalan dan keresahan yang bakal disuarakan oleh pengguna sepanjang tempoh peralihan tersebut. PLUS baru-baru ini mengadakan sesi taklimat untuk memperjelaskan dengan lebih terperinci program RFID ini serta usaha lain yang turut akan diadakan nanti.

    Bagaimana RFID berfungsi di lebuhraya PLUS?

    Sistem bayaran tol RFID bukanlah baru di lebuhraya kita, misalnya di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE). Lebuhraya ini menggunakan sistem tol terbuka, yang mengecaj kadar tol tetap berdasarkan kelas kenderaan.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Bagaimanapun, Lebuhraya Utara-Selatan menggunakan sistem tol tertutup yang mengenakan caj berdasarkan jarak perjalanan antara susur masuk-keluar — pelaksanaan RFID untuk sistem tol tertutup inilah yang baru untuk pengguna.

    Kaedah bagi kedua-dua sistem ini agak mudah. Dalam sistem tol terbuka, ketika melalui lorong khusus RFID, pengimbas akan merakam maklumat RFID kenderaan dan bayaran tol akan ditolak daripada Touch ‘n Go eWallet.

    Bagi sistem tol tertutup pula, pengimbas akan merekodkan titik masuk kenderaan anda dan ketika keluar di plaza tol lain, caj tol akan dikenakan berdasarkan jarak yang dilalui dan akan dipotong dari Touch ‘n Go eWallet. Ini kaedah yang sama jika menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG — bezanya anda tidak perlu menyentuh kad atau memastikan SmartTAG ada cukup bateri. RFID ini tidak memerlukan sumber tenaga luar untuk beroperasi.

    Dengan sistem RFID, PLUS memaklumkan ia mampu memproses sehingga 1,200 transaksi sejam, 20% lebih berbanding SmartTAG. Bagi ketersediaan lorong, laluan Juru-Skudai mempunyai 159 lorong RFID di 73 plaza tol akan dibuka pada 15 Januari 2022 nanti. Ini akan menjadi tambahan kepada 20 lorong RFID sedia ada yang digunakan di sembilan plaza tol lebuhraya lain yang dikendalikan oleh PLUS.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Dengan pelaksanaan ini, lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG masih terus beroperasi sepanjang tempoh peralihan RFID ini. PLUS memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Touch ‘n Go dan pihak lain untuk mempromosi penerapan RFID menerusi pelbagai kempen pemasaran untuk mencapai sasaran 60% penggunaan menjelang hujung 2022.

    Sistem RFID berfungsi dengan ANPR. Apakah itu?

    Dengan sistem RFID merupakan kaedah utama untuk mengesahkan titik masuk dan keluar untuk mengira caj tol, ada dua lagi kaedah lain untuk berurusan dengan situasi khusus. Yang pertama adalh sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR), yang menggunakan kamera untuk menangkap gambar kenderaan, dengan terus mengesan nombor platnya.

    PLUS memaklumkan semua lorong plaza tolnya akan dilengkapi dengan sistem ANPR, baik yang khusus untuk RFID, Touch ‘n Go atau SmartTAG sebagai cara alternatif untuk merekodkan titik keluar-masuk kenderaan. Kemaskini turut dilakukan secara berterusan untuk meningkatkan kemampuannya.

    Bagaimanapun, tidak semua kenderaan mempunyai nombor plat yang berada dalam keadaan baik dan juga mengikut piawaian sepatutnya, yang akan memberi kesan kepada sistem untuk mengesannya dengan cekap. Disebabkan ini, PLUS menyediakan kaedah lain dalam bentuk pusat pengesahan khusus di mana petugas akan menyelesaikan sebarang masalah pengesanan dan memastikan caj yang dikenakan adalah betul.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Bagaimana jika tidak mempunyai baki yang cukup dalam TnG eWallet untuk keluar plaza tol?

    Dalam situasi baki TnG eWallet anda tidak mencukupi ketika ingin keluar di plaza tol, anda hanya perlu menambah nilai melalui aplikasi TnG eWallet dalam telefon pintar sahaja. Atau, anda boleh juga mempertimbangkan untuk mengaktifkan fungsi auto-reload yang akan membuat tambah nilai automatik kepada TnG eWallet anda jika telah mencapai tahap tertentu.

    Bagaimana sekiranya tag RFID gagal diimbas di plaza tol?

    Jika tag RFID gagal dibaca di plaza tol disebabkan masalah pengimbasnya, atau oleh kegagalan kuasa serta masalah rangkaian, setiap plaza tol akan mempunyai staf khidmat pelanggan dengan pengimbas RFID mudah alih untuk membaca tag kenderaan anda secara manual. Itu tidak menjadi masalah, terutama untuk menentukan kadar tol yang perlu dicaj.

    Apa berlaku sekiranya masuk menggunakan TnG atau SmartTAG dan keluar menggunakan RFID, dan sebaliknya?

    Dalam situasi seperti itu, gambar kereta anda yang diambil oleh sistem ANPR akan digunakan untuk mengesahkan titik masuk dan keluar, dan kemudiannya sistem akan menentukan kadar tol yang perlu dibayar. Proses ini mudah, tetapi sekiranya ada masalah berbangkit, pusat pengesahan akan dirujuk untuk menyelesaikannya.

    Perlu juga difahami, jika anda masuk ke lebuhraya PLUS menggunakan TnG atau SmarTAG dan keluar menggunakan RFID, sistem tidak akan menolak kadar tol dari kad TnG. Ini kerana, sistem ANPR akan menentukan lokasi masuk dan keluar anda, dan caj tol akan ditolak dari TnG eWallet. Transaksi perjalanan itu akan dikira selesai, maka menggunakan kad TnG di lokasi masuk yang lain selepas itu akan memulakan transaksi baru.

    Mudahnya, lokasi keluar adalah di mana banyak perkara dinilai untuk menentukan kadar tol anda, dengan RFID akan mengesahkan maklumat, diikuti dengan nombor plat dan sekiranya masih ada masalah, pusat pengesahan akan membantu.

    RFID di Lebuhraya PLUS — Bagaimana ia berfungsi? Kalau gagal diimbas dan baki tak cukup? Apa ANPR?

    Masih akan dapat kumpul PLUSMiles melalui RFID ini?

    Ya. Anda hanya perlu menghubungkan tag RFID kereta anda kepada akaun keahlian PLUSMiles sama seperti yang dilakukan untuk kad PLUSMiles dan TnG.

    Ada rancangan untuk sokongan PayDirect bagi lorong TnG atau SmartTAG di Lebuhraya PLUS?

    PLUS sedang giat bekerjasama dengan TnG untuk menawarkan kepada pengguna RFID cara bayaran lain termasuk kad debit dan kredit untuk membolehkan pembayaran langsung tanpa perlu tambah nilai. Bagaimanapun belum ada tempoh yang ditetapkan untuk itu. Buat masa sekarang, hanya tambah nilai secara manual atau automatik sahaja untuk baki TnG eWallet.

    Bagaimana dengan pengguna lain yang mengikut rapat untuk elak bayar tol?

    Ini bukan perkara baru. PLUS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan itu. Dengan sistem ANPR dan sistem pemantauan lain yang ada, golongan yang mengelak daripada membayar tol ini tidak akan dapat melepaskan diri daripada dihukum.

     
     
  • Kia Niro 2022 tiba di M’sia pada Q4 2022 – hibrid CBU dahulu, kemudian CKD dengan versi PHEV, EV?

    Kia Niro 2022 tiba di M’sia pada Q4 2022 – hibrid CBU dahulu, kemudian CKD dengan versi PHEV, EV?

    Satu lagi model kereta yang tersenarai dalam rancangan Bermaz untuk Kia, yang bakal diperkenalkan di negara ini ialah Niro baharu, yang telah didedahkan bulan lalu. Menurut laporan analisis dari RHB Investment Bank dan Kenanga Research, crossover ini akan dilancarkan di Malaysia pada suku keempat tahun hadapan.

    Beberapa minggu lalu, Bermaz telah mengadakan taklimat media mengumumkan perancangannya untuk memproduksi unit pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 2023, jadi model yang bakal dibawa masuk hujung tahun ini mungkin unit import sepenuhnya (CBU). Tidak seperti kenderaan elektrik yang berada dalam senarainya, Niro tidak ada tanda EV pada namanya, jadi mungkin yang bakal diperkenalkan terlebih dahulu adalah versi hibrid.

    Bermaz juga telah mengesahkan bakal memperkenalkan versi plug-in hybrid dan elektrik-sepenuhnya untuk Niro, tetapi kena tunggu produksi tempatan bermula. Walau bagaimana pun, Kia belum mengumumkan perincian teknikal untuk model generasi kedua baahru, tetapi telah pun menyebarkan imej rekaannya. Di mana rekaannya banyak diambil dari model konsep HabaNiro (termasuk lampu belakang menegak yang menyerlah) dan juga papan pemuka asymmetrical.

     
     
  • Peugeot e-2008 EV tiba di Malaysia pada Q4 2022

    Peugeot e-2008 EV tiba di Malaysia pada Q4 2022

    Satu daripada tiga model baharu Peugeot akan diperkenalkan di Malaysia pada tahun hadapan oleh Bermaz selaku pengedar baharu jenama ini. Model tersebut ialah Peugeot e-2008 yang merupakan SUV 2008 baharu segmen-B bagi versi elektrik-sepenuhnya, menurut laporan analisis RHB Investment Bank. Ia dijangka akan dilancarkan pada bulan hadapan, dan tiba di negara ini pada suku akhir (Q4) tahun 2022.

    Model e-2008 ini akan melengkapkan barisan EV edaran Bermaz, termasuk Mazda MX-30 dan Kia EV6. Bermaz, yang sinonim dengan jenama Mazda di Malaysia, telah mengambil alih hak pengedaran Peugeot dan Kia di negara ini pada tahun lalu. Sebelum ini, kedua-dua jenama berkenaan dikendalikan oleh Naza untuk pasaran tempatan.

    Pertama kali diperkenalkan pada Jun 2019 sebagai sebahagian daripada barisan 2008 generasi kedua serba baharu, EV ini menggunakan motor elektrik yang dijanakan oleh bateri lithium-ion 50 kW.

    Peugeot e-2008 EV tiba di Malaysia pada Q4 2022

    Peugeot berkata, masa pengecasannya sekitar 16 jam dengan soket domestik 230-voltan, atau lapan jam menerusi wallbox fasa-tunggal 7.4 kW (lima jam 15 minit dengan versi tiga-fasa 11 kW). Bateri ini mampu menyokong sehingga 100 kW dengan pengecas pantas DC (penyambung CCS; Type 2 untuk pengecas AC), dengan mengambil masa sekitar 30 minit untuk mendapatkan 80% SOC. Mengikut kitaran WLTP, ia mampu mencapai jarak sehingga 310 km, dan boleh meningkat sehingga 345 km.

    Antara perubahan yang dibuat termasuklah tambahan bagi nisbah kotak gear, olengan rintangan tayar yang lebih rendah, serta heat pump baharu dengan penderia kelembapan dalaman yang membantu mengawal pengaliran udara untuk bahagian penumpang, mengurangkan turun naik suhu dan meminimumkan penggunaan tenaga.

    e-2008 juga adalah sebahagian daripada varian ICE dengan gril sama warna dengan badan bersama lencana singa, lencana “e” dan juga kemasan Greval Grey Alcantara. Kesemua model 2008 turut didatangkan dengan penutup gril aktif, roda yang mengoptimakan aerodinamik dan bahagian bawah badan yang diperkemaskan.

     
     
  • Jualan Honda Civic Hatchback tamat di Thai kerana tak laku; tidak akan diganti dengan model generasi baru

    Jualan Honda Civic Hatchback tamat di Thai kerana tak laku; tidak akan diganti dengan model generasi baru

    Nampaknya jualan Honda Civic Hatchback untuk model generasi ke-10 di Thailand sudah pun berakhir. Menurut portal automotif negara berkenaan, Headlightmag, jualan model tersebut tidak akan digantikan dengan Civic Hatchback generasi baharu kerana prestasi jualan model sebelumnya adalah sangat kecil berbanding model sedan.

    Dalam prestasi jualan tahunan terbaik pada 2017, Honda Thailand telah berjaya menjual sedan Civic FC dengan jumalah 24,432 unit, manakala hatchback Civic FK hanya terjual sebanyak 3,016 unit – atau dengan nisbah purata sekitar 10:1 antara sedan dan hatchback.

    Manakala pada 2019, model kemaskini Civic sedan berjaya dijual sebanyak 28,259 unit oleh Honda Thailand, manakala model hatchback hanya dijual sebanyak 1,843 unit. Dengan statistik ini, model generasi baharu Civic Hatchback bukan sahaja tidak akan dijual, malah tidak akan diproduksi lagi di kilang baharu berteknologi tinggi Honda di Prachinburi.

    Oleh sebab itu, pasaran Australia kini menerima stok Civic Hatchback mereka terus dari Jepun, berbanding dari Thailand ketika Civic FK masih diproduksi di negara tersebut. Honda Australia juga telah mengesahkan untuk Civic generasi baharu ini mereka hanya membawa model hatchback, dan ia dijual tiga kali ganda lebih mahal dari model sebelumnya kerana didakwa memberikan perincian yang lebih premium.

    Seperti generasi sebelum ini, Civic sedan dan Hatchback berkongsi banyak persamaan seperti lampu hadapan, jarak roda dan juga sebahagian besar bahagian kabin. Pada bahagian muka, hatchback masih berkongsi bampar dengan rupa sama dengan versi sedan, tetapi diberikan gril berbeza di mana ia hadir dengan elemen sarang lebah, berbanding rekaan garis melintang pada sedan.

    Kerana ketiadaan bahagian ‘punggung’, model Hatchback ini adalah 125 mm lebih pendek dari sedan, serta bahagian tailgate 50 mm lebih rendah yang kelihatan bersambung terus dengan garis bumbung yang lebih anggun. Lampu belakang model ini menampilkan kluster utama dengan rekaan berbeza terus dari sedan, serta merentangi keseluruhan pintu tailgate belakang.

    Model pasaran Amerika Syarikat menawarkan pilihan rangkaian kuasa yang sama seperti model sedan iaitu 2.0 liter NA dan 1.5 liter VTEC Turbo. Bagi versi NA, ia diberikan enjin 2.0 liter empat silinder DOHC i-VTEC berkuasa 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm.

    Manakala versi turbo pula dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo 180 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hinga 4,500 rpm – 6 hp/20 Nm lebih berkuasa dari model generasi ke-10. Berbeza dengan sedan yang hanya menerima kotak gear CVT, kedua-dua versi enjin pada Hatchback ini turut hadir dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan untuk pemanduan yang lebih sporty.

     
     
  • Nissan beri bantuan banjir – 20% diskaun alat ganti & kos buruh, pakej restorasi upholstery; EPP 12 bulan

    Nissan beri bantuan banjir – 20% diskaun alat ganti & kos buruh, pakej restorasi upholstery; EPP 12 bulan

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM), dengan kerjasama Tan Chong Ekspres Auto Service (TCEAS), telah mengumumkan program Bantuan Banjir Nissan untuk pelanggan yang terjejas dengan bencana ini. Program ini menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk alat ganti dan kos buruh, serta pakej restorasi upholstery khas dengan harga RM1,655 untuk sedan dan RM1,988 bagi MPV, SUV, van dan trak pikap.

    Untuk memudahkan kos pembiayaan, pemilik kenderaan Nissan juga diberikan pilihan untuk Pelan Pembayaran Mudah (EPP) sehingga 12 bulan untuk keseluruhan bil. Di samping itu, setiap penggantian alat ganti tulen juga diberikan tempoh waranti selama enam bulan atau 10,000 km. ETCM juga menawarkan perkhidmatan menunda dari pintu-ke-pintu untuk kenderaan yang enjinnya tidak boleh dihidupkan.

    Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian khidmat pelanggan Nissan di 1-800-88-3838, atau hubungi mana-mana cawangan TCEAS berhampiran untuk membuat temujanji.

     
     
  • Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Macam biasa, setiap hujung tahun Daihatsu akan mengumumkan barisan model-model konsep custom mereka yang akan di bawa ke Tokyo Auto Salon (TAS) yang lazimnya berlangsung pada bulan Januari. Jadi untuk TAS 2022 yang diadakan bermula 14 hingga 16 Januari nanti, Daihatasu bakal mempamerkan empat kereta konsep utama direruai mereka.

    Ia terdiri dari dua buah SUV Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang baru sahaja diperkenalkan pada November lalu, dan dua buah Daihatsu Atrai (versi penumpang untuk van/lori kecil Daihatsu Hijet) generasi ke-11 diperkenalkan baru-baru ini. Jadi, kesemua model yang di bawa oleh Daihatsu ini memang benar-benar ‘segar’ dan diasaskan dari platform terbaharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Bagi Rocky e-Smart Hybrid, versi pertama dinamakan sebagai Premium Version. Ia disifatkan sebagai “SUV kompak premium yang cool dan sesuai untuk kegunaan bandar”, diberikan cat badan perak berkilau serta serlahan-serlahan berwarna biru pada bahagian seperti bumbung, penutup cermin sisi, perumah lampu kabus hadapan, dan juga kemasan-kemasan pelindung badan.

    Imej lasak Rocky e-Smart Hybrid Premium Version ini ditonjolkan menerusi skid plate berwarna perak serta rim berwarna hitam yang dibalut tayar jenis All-Terrain Toyo Open Country.

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Versi kedua digelar sebagai Crossfield Version yang menampilkan rupa lebih lasak menerusi kemasan-kemasan hitam, serta pemadanan perincian seperti rak bumbung, lampu kabus kuning, mudflap untuk kesemua ruang roda, badan yang kelihatan ditinggikan lagi serta set roda dengan tayar lebih ‘gemuk’.

    Seperti yang diketahui, Daihatsu Rocky merupakan kembar JDM kepada Perodua Ativa di Malaysia. Jadi, ada pemilik Ativa dah terinspirasi melihat dua model konsep Rocky yang akan ke TAS 2022 ini?

    Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid ini diberikan sistem hibrid jenis range extender di mana enjin tiga silinder 1.2 liter WA-VEX yang dibekalkan hanya bertugas untuk mengecas kuasa elektrik untuk disimpan dalam bateri lithium ion berkapasiti 4.3 Ah, manakala roda hadapan dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik berkuasa 106 PS/170 Nm.

    Ini membolehkan Rocky e-Smart Hybrid tersebut mencapai penggunaan bahan api serendah 28 km/l (3.6 l/100 km) mengikut kitaran WLTP. Apa yang menarik, sebelum Rocky e-Smart Hybrid tersebut didedahkan secara rasmi di Jepun, ia terlebih dahulu telah dilihat di uji di Malaysia oleh Perodua, membayangkan bahawa Ativa juga mungkin akan ditawarkan dalam versi hibrid.

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Beralih kepada Daihatsu Atrai, versi pertama turut digelar sebagai Premium Version, yang diberikan kemasan-kemasan luaran berwarna hitam, lampu nyalaan siang LED menegak dan juga rim berdiameter besar dalam kemasan dua tona bersama tayar profil rendah. Ia turut menampilkan kit badan yang lebih labuh bersama badan yang direndahkan.

    Manakala sebuah lagi Atrai digelar sebagai Camper Version, diasaskan dari Atrai Deck Van iaitu varian Atrai yang direka dengan ruang bed belakang seperti trak pikap. Versi custom ini diberikan perician lebih lasak menampilkan gril hadapan hitam, pelindung hadapan berwarna hitam bersama skid plate perak dan lampu panduan tambahan, serta diberikan tayar jenis off-road.

    Sesuai dengan namanya, bumbung Atrai Camper Version ini diberikan bar lampu dan juga set khemah. Rupa keseluruhannya disudahkan dengan cat badan berwarna oren bersama grafik badan dengan elemen bentuk heksagon.

    Tokyo Auto Salon 2022 – Daihatsu bawa Rocky e-Smart Hybrid Premium Version dan Crossfield Version

    Daihatsu Atrai dan Hijet masih lagi berada dalam kelas Kei di Jepun, dihasilkan dengan had dimensi dan kapasiti enjin tidak melebihi 660 cc seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk kelas berkenaan, bagi mendapatkan insentif cukai khas.

    Model generasi baharu ini direka lebih bersegi dari sebelum ini bagi memaksimakan ruang kargo. Ia juga merupakan model komersil pertama yang menggunakan platform DNGA dan menampilkan kotak gear D-CVT yang direka untuk memacu roda belakang, serta diberikan skrin sesentuh infotainmen yang diberikan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Hijet dan Atrai ini dijana oleh oleh dua pilihan enjin petrol tiga silinder 658 cc. Versi NA menghasilkan 53 PS/60 Nm, manakala versi turbo pula mampu menjana kuasa sehingga had maksima regulasi Kei-Car iaitu 64 PS dan tork maksima 93 Nm. Selain kotak gear D-CVT, enjin tersebut juga boleh dipadankan dengan transmisi lima-kelajuan manual serta pilihan sistem pacuan semua roda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024