Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Stesen MRT Taman Mutiara kembali beroperasi selepas ditutup seketika akibat kebakaran kecil

    Stesen MRT Taman Mutiara kembali beroperasi selepas ditutup seketika akibat kebakaran kecil

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah memaklumkan bahawa Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, yang ditutup sejak 5 petang semalam telah pun kembali beroperasi seperti sedia kala mulai 6 pagi tadi.

    “Pengguna boleh menggunakan perkhidmatan MRT di stesen berkenaan seperti biasa namun skrin paparan maklumat ketibaan tren tidak berfungsi buat sementara waktu. Jadual perkhidmatan tren MRT Laluan Kajang beroperasi seperti biasa dengan kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang adalah setiap setiap lima minit, dan 10 minit di luar waktu puncak,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Petang semalam Rapid Rail mengesahkan bahawa stesen berkenaan telah ditutup buat sementara atas faktor keselamatan akibat asap yang tebal yang dipercayai datang daripada Bilik Alat Telekomunikasi di sana.

    Rapid Rail berkata, ekoran kejadian yang dikesan pada jam 4.43 petang semalam, pihak Bomba telah dihubungi dan tiba di lokasi pada jam 4.58 petang. “Pihak pusat kawalan operasi telah mengambil keputusan untuk menutup stesen berkenaan setelah mendapat arahan daripada pihak Bomba, dan semua tren tidak berhenti di stesen tersebut.

    “Perkhidmatan bas perantara telah diaktifkan bagi memastikan kesinambungan perjalanan penumpang-penumpang yang terjejas. Perkhidmatan tren bagi stesen-stesen lain tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa. Tiada kecederaan kepada penumpang dan juga petugas-petugas operasi akibat kejadian tersebut,” katanya.

     
     
  • Agong, Sultan Ibrahim Iskandar jadi pemilik pertama Hongqi L5 di dunia – sedan mewah enjin V8 twin turbo

    Agong, Sultan Ibrahim Iskandar jadi pemilik pertama Hongqi L5 di dunia – sedan mewah enjin V8 twin turbo

    Hari ini, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar menerima kunjungan daripada duta besar China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing bagi membincangkan hubungan dua hala serta isu-isu semasa berkaitan kedua-dua negara.

    Sebagai laman automotif, kami turut tertarik kerana pada majlis sama Seri Paduka Baginda dipersembahkan dengan sebuah sedan mewah, Hongqi L5 (syarikat bawah FAW Group). Bukan setakat itu, Seri Paduka Baginda juga adalah pemilik pertama di dunia bagi kereta yang didedahkan kali pertama pada tahun 2023 tersebut.

    Pada segenap sudut, L5 mempunyai ukuran yang lebih besar daripada Mercedes-Maybach S Class, dengan catatan panjang 5,980 mm, lebar 2,090 mm, tinggi 1,710 mm dan jarak roda 3,730 mm.

    Rekaannya pula menggunakan konsep ala retro, dengan mendapat inspirasi daripada model klasik CA770, manakala harganya di China bermula lima juta yuan (sekitar RM3.3 juta). Menggerakkan kereta ini adalah enjin V8 4.0 liter twin turbo bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda, menghasilkan kuasa 387 PS (382 hp atau 285 kW).

     
     
  • Jabatan Kerja Raya keluarkan pelan laluan sementara untuk persimpangan LTU di Raub, Pahang

    Jabatan Kerja Raya keluarkan pelan laluan sementara untuk persimpangan LTU di Raub, Pahang

    Jabatan Kerja Raya bahagian Raub, Pahang telah mengeluarkan satu pelan laluan trafik semasa musim perayaan bagi persimpangan masuk ke Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Exit 9 – Raub Utara.

    Dua lorong yang menghala ke Raub, dari Lipis dan Kelantan, sebelum lampu isyarat Batu 3, Raub akan dibahagikan terus dengan penghadang plastik supaya pengguna yang mahu ke Bentong atau Kuala Lumpur melalui LTU boleh menggunakan lorong kiri manakala lorong kanan adalah untuk mereka yang mahu bergerak terus ke Raub.

    Sementara itu, kenderaan yang mahu menghala ke LTU dan datang dari arah Bandar Raub pula dinasihatkan untuk masuk melalui Exit 8 (Raub Selatan)- Persimpangan Krau.

    Perubahan ini dibuat bagi melancarkan trafik sewaktu aliran tinggi sempena musim perayaan ini, dan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas, anda boleh melihat gambar yang kami sediakan di bahagian bawah.

     
     
  • Saga terlepas susur keluar mengundur di lebuh raya, hampir sebabkan kemalangan tiga kereta

    Saga terlepas susur keluar mengundur di lebuh raya, hampir sebabkan kemalangan tiga kereta

    Entah apa yang ada dalam fikiran sesetengah pemandu ketika berada di atas jalan akan selalu menjadi misteri, agaknya. Yang dimaksudkan ialah mereka yang memandu — atau dalam kes ini, mengundurkan kenderaan — dan melawan arus trafik. Bagi pengguna yang ada common sense, ini tentulah satu tindakan yang tidak wajar dan membahayakan orang lain — tak kisahlah kalau melakukan itu dalam lorong kecemasan sekalipun, ia tetap satu kesalahan.

    Dalam satu kejadian awal minggu ini, sebuah Proton Saga Aeroback hampir menjadi punca kemalangan ketika pemandunya cuba untuk mengundur dan memasuki susur keluar yang sudah terlepas. Ketika melakukan percubaan itu dan berada dalam keadaan statik, sebuah Honda HR-V tersekat laluannya oleh Saga terbabit, mujur sempat membrek dan berhenti sepenuhnya. Namun, sebuah Proton X50 yang mengikuti di belakang hampir terlanggar HR-V tersebut. Tiada siapa yang menjangkakan trafik akan terhenti berdekatan dengan susur keluar — melainkan berlaku kesesakan di plaza tol. Pemandu X50 sempat mengelak HR-V berkenaan dan bertukar ke lorong kanan.

    Kejadian yang berlaku sekelip mata tersebut dirakam sepenuhnya oleh dashcam, dan dikongsikan di TikTok oleh eazyizzuddin. Nasib baik kejadian itu tidak berakhir dengan perlanggaran tiga buah kereta disebabkan tindakan bodoh seorang pemandu. Pemandu Saga itu juga seperti tidak bersalah, masih memberikan isyarat tangan untuk memaklumkan tindakannya untuk terus mengundur!

    Kalau terlepa simpang atau susur keluar, jangan pentingkan diri. Teruskan perjalanan ke susur keluar berikutnya. Memanglah lagi jauh, tetapi sekurang-kurangnya ia tidak meletakkan orang lain dalam bahaya, dan tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Dan terang-terangan tindakan melawan arus trafik ini salah di sisi undang-undang.

    Di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, tindakan seperti itu merupakan tindakan cuai dan merbahaya, dan pelakunya boleh dikenakan hukuman denda serta dipenjara, bahkan boleh dibatalkan lesen memandunya untuk satu tempoh waktu.

    Ketika memandu, gunalah otak, dan jangan hanya mementingkan diri.

     
     
  • Selamat Hari Raya Aidilfitri 2024, Maaf Zahir & Batin daripada kami di paultan.org dan Honda Malaysia

    Selamat Hari Raya Aidilfitri 2024, Maaf Zahir & Batin daripada kami di paultan.org dan Honda Malaysia

    Sempena menyambut Hari Raya tahun ini, kami di paultan.org bersama dengan Honda Malaysia ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir & Batin kepada semua pembaca. Semoga Raya tahun ini membawa lebih banyak makna dan kemaafan antara kita semua.

    Untuk itu, kami juga menyediakan sebuah bingkisan khas berupa sebuah drama pendek sebagai hiburan sekaligus ingatan kepada semua. Seperti tahun-tahun lalu, kisah tahun ini masih mengikuti cerita Jo, yang lebih banyak meluangkan masa untuk kerjaya dan terlupa untuk bertanya dan prihatin terhadap kawan sekerjanya, Kamal. Kadang-kadang kita terlepas pandang terhadap rakan-rakan dan orang sekeliling kita.

    Dalam kesibukan kita menjalani hidup yang deras arusnya, jangan terlupa untuk mengambil berat tentang saudara mara dan sahabat handai yang mungkin kurang bernasib baik dan selalu berasa tawar hati dan memendam rasa setiap kali tiba Hari Raya. Rangkul dan raikan semua dengan penuh kehangatan di musim perayaan ini.

    Untuk mengetahui selanjutnya kisah Jo dan Kamal, tontoni video pendek sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 yang kami sediakan ini. Tidak lupa, kami juga ingin mengingatkan anda supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya. Pastikan semuanya sudah dipersiap untuk pastikan perjalanan lancar dan juga menggembirakan. Bertenang, mainkan lagu raya dan nikmati perjalanan anda. Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami dan Honda Malaysia!

     
     
  • Mulakan #KembaraJalanKampung dengan Caltex dan terokai keindahan balik kampung anda Hari Raya ini

    Mulakan #KembaraJalanKampung dengan Caltex dan terokai keindahan balik kampung anda Hari Raya ini

    Sebelum memulakan perjalanan balik kampung, sudah tentu kita perlu mengisi minyak kenderaan terlebih dahulu. Mana tahu, seperti kebiasaannya jalan akan jadi sangat sesak. Walaupun lebuh raya adalah pilihan yang lebih selesa dan cepat serta ada banyak kemudahan, kapasitinya akan memuncak juga kerana ramai yang akan melakukan perjalanan sama ketika musim perayaan dan menyebabkan kesesakan.

    Sebagai alternatif untuk lari daripada kesesakan di lebuh raya dan tidak mahu tersangkut dalam trafik, ramai yang akan menggunakan jalan kampung atau jalan lama, walaupun itu akan menjadikan perjalanan lebih jauh dan panjang, bukan? Tidak perlu risau, kerana jika menggunakan minyak Caltex dengan formulasi Techron, pasti kenderaan anda lebih cekap dan menjimatkan menuju lokasi.

    Caltex dengan Techron® mengandungi Clean & Glide Technology™ yang diformulasi khusus untuk membersih dan melindungi enjin kenderaan. Jika enjin kereta semakin bersih, ada banyak manfaat yang akan dinikmati — potensi kuasa enjin kereta anda akan ke tahap maksimum, sekaligus memberikan penjimatan bahan api yang lebih baik dan mengeluarkan emisi lebih rendah, dan juga menjadikan pemanduan lebih lancar dengan prestasi lebih meyakinkan.

    Lebih penting, Clean & Glide Technology kini boleh dinikmati dalam semua gred petrol yang ditawarkan, tidak kira jika anda memilih RON 95 yang lebih murah ataupun RON 97 yang lebih berprestasi — anda tetap akan menikmati lima manfaat ini dengan Techron.

    Untuk perjalanan balik kampung anda, penggunaan minyak yang lebih cekap memberikan jarak perjalanan lebih jauh dengan setiap tangki penuh yang diisi. Ini bermaksud, anda tidak hanya tiba ke destinasi dengan lebih yakin, tetapi juga boleh berjalan lebih jauh dan menikmati keindahan suasana — baik ketika berhenti seketika di pelbagai warung dan kedai, melintasi kawasan sungai dan air terjun atau mengubah haluan untuk kembara dan meneroka lokasi lebih jauh.

    Memandangkan kesesakan trafik tidak dapat dielakkan ketika musim perayaan, nikmati sahaja keindahan di sepanjang perjalanan dan penjimatan yang diberikan oleh minyak Caltex dengan Techron ketika melakukan perjalanan balik kampung Hari Raya ini. Ketahui lebih lanjut di sini bagaimana Caltex dengan Techron membantu anda memandu lebih jauh.

     
     
  • Aksi ‘Fast & Furious’ di Lebuhraya Karak – Proton Waja terbalik, dua cedera, tiada kematian dilaporkan

    Aksi ‘Fast & Furious’ di Lebuhraya Karak – Proton Waja terbalik, dua cedera, tiada kematian dilaporkan

    Semalam tular satu video berdurasi 1 minit 42 saat memaparkan aksi dua buah kereta iaitu sebuah Honda City dan sebuah Proton Waja yang menghimpit antara satu sama lain, yang berakhir dengan kemalangan di mana Waja berkenaan terbabas dan terbalik di tepi jalan.

    Menurut Superitenden Zaiham Bin Mohd Kahar, Ketua Polis Daerah Bentong dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, kejadian itu disahkan berlaku di KM 49.9 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur menghala ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.15 pagi pada 7 April (Ahad) lalu.

    Beliau menjelaskan selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Bentong menjalankan siasatan, kemalangan berpunca apabila sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berumur 56 tahun bersama anak lelakinya berumur 25 tahun dari Kuantan menuju ke Kedah, telah berlaku pelanggaran di bahagian sisi dengan sebuah lagi kereta jenis Honda yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berumur 34 tahun.

    “Lalu kereta Proton Waja tersebut gagal mengawal kenderaan dan terbabas di kiri jalan masuk ke dalam longkang dan terbalik,” katanya. Beliau menambah, sebelum kemalangan itu berlaku kedua-dua kereta tersebut didapati telah memandu secara melulu, cuai serta himpit-menghimpit antara satu sama lain serta membuat provokasi kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan masing-masing.

    Zaiham turut mengesahkan bahawa tiada sebarang kematian berlaku dalam kejadian itu, di mana kedua-dua pemandu dan penumpang Proton Waja berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan. Beliau menyatakan kes ini disiasat di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Dalam video berkenaan dapat dilihat bermula apabila Proton Waja itu menukar lorong untuk memotong lori secara tiba-tiba dan lambat menyalakan lampu isyarat membelok. Ini menyebabkan Honda City yang sedang memandu laju di lorong kanan tersebut terpaksa membuat brek kecemasan bagi mengelakkan kemalangan. Provokasi antara dua pemandu kereta itu berlaku selepas itu dan berakhir dengan kemalangan tersebut.

     
     
  • Skandal keselamatan – pembangunan model ASEAN diambil alih Toyota dari Daihatsu; apa nasib Perodua?

    Skandal keselamatan – pembangunan model ASEAN diambil alih Toyota dari Daihatsu; apa nasib Perodua?

    Selepas membuat penstrukturan semula syarikat yang menyaksikan peletakan jawatan pengerusi dan presiden Daihatsu, digantikan dengan barisan kempimpinan dari Toyota selepas terdedahnya skandal ujian keselamatan yang dibuat oleh Daihatsu, Toyota kini turut merombak perniagaan Daihatsu untuk pasaran luar Jepun.

    Untuk itu, Toyota telahpun membubarkan Syarikat Kereta Kompak Pasaran-Penting Baharu yang diterajui oleh Daihatsu sebelum ini bagi menghasilkan model-model seperti Toyota Vios dan Veloz generasi baharu, dan mewujudkan syarikat baharu yang digelar Toyota Compact Car Company.

    Menurut Toyota langkah ini adalah untuk menjadikan semula Daihatsu sebagai “syarikat mobiliti dipusatkan pada kenderaan mini”. Sementara syarikat baharu yang diwujudkan ini akan menjadi kontraktor kepada Daihatsu di mana Toyota akan bertanggungjawab untuk semua proses dari pembangunan sehingga ke proses pensijilan, manakala Daihatsu akan ditugaskan untuk membuat proses pembangunan sebenar.

    Atau dalam kata lain, selepas ini Daihatsu akan menumpukan semula pembangunan model-model Kei-Car di Jepun, sementara pembangunan model-model kompak untuk pasaran luar Jepun akan diterajui dan dipantau sepenuhnya oleh Toyota dengan bantuan Daihatsu.

    Skandal keselamatan – pembangunan model ASEAN diambil alih Toyota dari Daihatsu; apa nasib Perodua?

    Dalam penstrukturan semula ini juga fungsi pengurusan perniagaan dan produk akan dipindahkan ke unit perniagaan dan jualan Toyota. Aspek lain yang melibatkan sub-kontrak termasuk pengurusan sumber dan optimisasi turut akan dilaporkan terus kepada Toyota bagi memperkuatkan kerjasama ini, kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

    “Toyota Daihatsu Engineering & Manufacturing Co., Ltd. (TDEM) dan Toyota Motor Asia Pacific Pte Ltd. (TMAP) akan menjadi Ibu Pejabat Rantau Asia, milik Toyota Rantau Asia, dan akan dinamakan semula sebagai ‘Toyota Motor Asia (TMA).’ Berdasarkan perubahan struktur selepas ini, kami mensasarkan untuk menjadikan dua syarikat di rantau Asia lebih bebas berdiri sendiri dan meningkatkan kerjasama mereka,” tulis kenyataan itu lagi.

    Selain dari menghasilkan model-model Toyota, platfrom Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang dibangunkan oleh syarikat yang telah dibubarkan berkenaan turut menjadi asas kepada model-model dari Perodua seperti Ativa dan Alza, dimana syarikat pengeluar automotif tempatan itu juga terlibat secara langsung dalam pembangunannya.

    Malah masih lagi ada model-model Perodua yang masih belum dilancarkan serta masih dalam proses pembangunan menerusi kerjasama berkenaan seperti SUV segment-B D66B, Bezza generasi baharu dan juga model EV mampu milik yang dijangka akan diperkenalkan tahun hadapan. Jadi apa yang terjadi kepada projek-projek ini? Mungkin akan ada perubahan halatuju yang akan diumumkan oleh Perodua tak lama lagi?

     
     
  • VIDEO: Macam mana nak tahu Smart Lane sudah diaktifkan? Bagaimana nak guna Smart Lane ini?

    VIDEO: Macam mana nak tahu Smart Lane sudah diaktifkan? Bagaimana nak guna Smart Lane ini?

    Bagi menyuraikan trafik dibeberapa kawasan yang diketahui akan sesak ketika waktu puncak, pengendali Lebuhraya Utara Selatan iaitu PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telahpun mewujudkan Smart Lane, iaitu lorong kecemasan yang diubah kepada lorong boleh digunakan oleh kenderaan persendirian dan penumpang. Dan ketika musim perayaan, bilangan Smart Lane ini turut ditambah untuk kemudahan pengguna lebuhraya tersebut.

    Namun ada beberapa masalah yang berlaku ketika Smart Lane ini dibuka untuk digunakan, antaranya ada yang tidak tahu bila ia diaktifkan atau bagaimana untuk menggunakannya. Untuk memudahkan persoalan ini dijawab, PLUS sudahpun menyiarkan satu video panduan lengkap bagi menggunakan laluan tersebut.

    Menurut video yang disiarkan itu, kini PLUS telah membuat beberapa pembaharuan pada Smart Lane bagi lebih memudahkan ia digunakan. Antaranya, kini PLUS sudahpun menyediakan papan tanda mudah alih (MPVMS) pada setiap permulaan laluan Smart Lane.

    Malah pada papan tanda mula kekal Smart Lane yang sudah pun tersedia sebelum ini telah ditambah dengan lampu isyarat hijau di atasnya. Sekiranya anda melihat lampu isyarat hijau tersebut berkelip, itu bermakna Smart Lane sudah pun diaktifkan dan boleh digunakan. Papan tanda kekal tersebut kini dipasang setiap 500 meter di sepanjang laluan tersebut sehingga tamat.

    PLUS juga sudah menyediakan papan tanda pemberitahuan bahawa ada laluan Smart Lane di hadapan dalam jarak 1 km dan 500 meter sebelum sampai ke laluan tersebut. Sekiranya anda nampak MPVMS sudahpun memberikan isyarat Smart Lane diaktifkan bersama lampu hijau sudah berkelip, anda sudah boleh masuk ke laluan lorong kecemasan yang diubah kepada Smart Lane tersebut.

    Walaubagaimana pun, anda masih perlu berhati-hati untuk menggunakan Smart Lane ini bagi memastikan keselamatan kesemua pengguna jalan raya yang lain. Sebelum menukar lorong, seperti biasa anda perlu menggunakan lampu isyarat membelok terlebih dahulu. Apabila persekitaran selamat, barulah anda masuk ke laluan Smart Lane tersebut.

    VIDEO: Macam mana nak tahu Smart Lane sudah diaktifkan? Bagaimana nak guna Smart Lane ini?

    Ketika menggunakan laluan Smart Lane ini, PLUS menyarankan anda perlu memandu pada kelajuan yang sesuai iaitu tidak melebihi 60 km/j sahaja. Anda turut dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling (mengawasi kehadiran penunggang motosikal misalnya) dan terus menjaga jarak dengan kenderaan di hadapan ketika menggunakan laluan ini.

    Papan tanda amaran sebelum dan tiba di titik Smart Lane tamat juga disediakan, dan anda perlu masuk semula ke lorong utama selepas laluan tersebut tamat.

    Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, PLUS akan mengaktifkan sebanyak 18 laluan Smart Lane, dan senarainya adalah seperti berikut:

    Klik untuk besarkan

    Jarak laluan SmartLane ini antara 1.7 km ke 13.3 km, dengan yang paling panjang adalah di KM367.3 Arah Utara (Slim River) ke KM354.0 Arah Utara (Sungkai). Jika terdapat sebarang ketidak pastian, anda boleh menghubungi talian bebas tol PLUS di 1800880000.

     
     
  • Tesla Cybertruck tiba di Malaysia – bakal dipamerkan di bilik pameran Mei nanti, tetapi bukan untuk dijual

    Tesla Cybertruck tiba di Malaysia – bakal dipamerkan di bilik pameran Mei nanti, tetapi bukan untuk dijual

    Selepas muncul di Thailand Sabtu lalu, trak EV dari jenama Amerika Syarikat, Tesla iaitu Cybertruck kini sudah pun berada di Tesla Experience Centre Cyberjaya. Sama seperti kemunculannya di negara jiran hujung minggu lalu, penampilan Cybertruck ini di Malaysia juga bukan petanda bahawa ia akan dijual di sini, tetapi adalah sebahagian dari laluan siri jelajah Asia yang dibuat di mana ia sebelum ini sudahpun singgah di China, Hong Kong dan Jepun.

    Setelah melihat sendiri trak ini depan mata, dapat kami beritahu pada anda bahawa saiz Cybertruck ini adalah jauh lebih besar dari trak-trak pikap yang dijual pada pasaran tempatan seperti Toyota Hilux dan Ford Ranger. Maklumlah, Cybertruck ini dihasilkan bagi berhadapan terus dengan trak-trak di Amerika Syarikat seperti Ford F-150, RAM 1500, Toyota Tacoma dan sebagainya. Nak tengok? Trak ini akan dipamerkan di bilik-bilik pameran Tesla di Malaysia pada bulan Mei nanti.

    Secara spesifiknya, Tesla Cybertruck ini dihasilkan dengan dimensi panjang 5,683 mm, lebar 2,032 mm, tinggi 1,796 mm dan jarak roda sejauh 3,635 mm. Jadi berbanding Hilux, Cybertruck ini adalah 358 mm lebih panjang, 132 mm lebih lebar serta mempunyai jarak roda 550 mm lebih jauh.

    Tesla Cybertruck tiba di Malaysia – bakal dipamerkan di bilik pameran Mei nanti, tetapi bukan untuk dijual

    Selain dari saiznya yang besar, Cybertruck turut hadir dengan rupa yang sangat pelik dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana pengeluar lain sebelum ini, menampilkan rekaan yang sangat bersegi. Dari sisi, Cybertruck ini kelihatan seperti baji di mana tiada garis bumbung yang melintang, hanya satu garis yang disambung dari hujung hadapan bersama satu garis landai dari hujung belakang membentuk ‘puncak’ di atas pintu hadapan.

    Badan Cybertruck ini juga dibina menggunakan aluminium tahan karat tanpa dilayangkan sebarang cat seperti kereta sport DMC DeLorean yang popular sebagai mesin masa ciptaan Dr. Emmet Brown dalam filem Back to The Future. Malah Tesla turut mendakwa bahawa panel-panel badan tersebut adalah kalis peluru.

    Ciri-ciri minimalist juga dipadankan pada rekaan luaran Cybertruck ini di mana satu bar lampu nipis diberikan merentangi mukannya, lampu hadapan sebenar yang disorokkan di bawah bampar, hanya satu bilah pengelap untuk membersihkan cermin hadapan serta pembuka pintu yang digantikan dengan suis yang disorok pada tiang-B dan tiang-C.

    Tesla Cybertruck tiba di Malaysia – bakal dipamerkan di bilik pameran Mei nanti, tetapi bukan untuk dijual

    Bed belakang Cybertruck ini menawarkan ruang kargo dengan panjang 1,852 mm dan lebar 1,295 mm menghasilkan isipadu sebesar 1,591 liter, dan ia boleh ditutup dengan penutup tonneau bantuan kuasa. Tak cukup dengan itu, ia juga diberikan ruang simpanan bawah lantai berkapasiti 91 liter, ruang but depan 200 liter dan juga tempt duduk belakang yang boleh dilipat bagi memberikan ruang kargo keseluruhan sebesar 3,421 liter.

    Rekaan minimalist turut dibawa ke bahagian kabin, di mana Cybertruck menerima konsep rekaan sama seperti model-model Tesla lain termasuk roda stereng berbentuk empat segi dengan suis kawalan lampu isyarat penunjuk dan pengelap cermin, konsol Tengah terapung bersama skrin utama gergasi bersaiz 18.5-inci.

    Dua lagi skrin sesentuh bersaiz 9.4-inci diletakkan di belakang kedua-dua tempat duduk hadapan untuk kegunaan penumpang belakang. Manakala perincian lain yang turut dibekalkan termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar berkembar, penapis udara kabin yang membolehkan “mod pertahanan senjata-bio” diaktifkan, bumbung panaromik gergasi serta sistem bunyi dengan 15-pembesar bersama subwoofer berkembar.

    Tesla Cybertruck ini diasaskan dari struktur casis logam aloi “ultra-kuat” yang didakwa lebih keras dari casis gentian karbon supercar McLaren F1. Bagi dipadankan dengan panel badan “kalis peluru”, cermin-cermin tingkap pada trak ini juga diberikan kaca “perisai” yang mampu bertahan dari balingan bola lisut selaju 113 km/j.

    Trak ini juga merupakan model pertama Tesla yang menggunakan asas sistem elektrikal 800-volt bagi membolehkan ia menerima cas pantas DC termasuk Supercharger Tesla. Dan ia juga model produksi pertama Tesla yang menampilkan sistem elektrikal 48-volt yang boleh berfungsi dengan ampere lebih rendah dan menggunakan wayar lebih halus.

    Menerusi Cybertruck ini juga buat pertama kali Tesla menawarkan sistem Vehicle-to-Load (V2L) menggunakan soket 120-volt dan 240-volt yang diletakkan pada bed belakang memberikan kuasa 11.5kW, bagi membolehkan pelbagai peralatan elektrik beroperasi.

    Tesla Cybertruck tiba di Malaysia – bakal dipamerkan di bilik pameran Mei nanti, tetapi bukan untuk dijual

    Tiga varian ditawarkan untuk Tesla Cybertruck ini bermula dengan varian asas pactan roda belakang yang boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j. Dengan satu cas penuh ia boleh bergerak sejauh 402 km.

    Model yang dipamerkan di Malaysia ini adalah dari varian Foundation Series yang menampilkan motor berkembar memacu semua roda bagi memberikan kuasa keseluruhan 600 hp (441 kW), membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa hanya 4.3 saat. Manakala jarak geraknya pula adalah 547 km.

    Varian paling berkuasa digelar sebagai Cyberbeast, dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 840 hp (630 kW) bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.7 saat dan mencapai kelajuan maksima 209 km/j. Satu cas penuh untuk model ini membolehkan ia bergerak sejauh 515 km.

    Bagi kapasiti beban yang boleh dibawa pula, model asas RWD mampu menanggung beban sehingga 1,134 kg, manakala kedua-dua model pacuan semua roda pula adalah 1,030 kg. Kapasiti menunda untuk semua varian adalah 4,990 kg.

    Mesti ada yang tertanya-tanya, “tak susah ke nak putar stereng bentuk petak tu?” Tesla Cybertruck ini sebenarnya tidak menggunakan rak stereng konvensional, sebaliknya menggunakan sistem steer-by-wire. Jadi dengan hanya sedikit putaran roda stereng, putaran sebenar pada tayar dan antara titk kunci ke titik kunci adalah lebih cepat.

    Ia juga dibantu oleh sistem stereng roda belakang yang boleh berputar sehingga 10 darjah. Manakala sistem suspensi pula diberikan sistem udara yang memberikan jarak kelegaan tanah 305 mm pada mod biasa, meningkat kepada 443 mm pada mod off-road yang digelar Extract.

    Seperti yang disebutkan tadi, Tesla tidak mempunyai rancangan untuk melancarkan Cybertruck ini di Malaysia. Oleh itu unit yang dipamerkan ini adalah dari versi pemanduan sebelah kiri untuk pasaran Amerika Syarikat. Bukan hanya Malaysia, malah Tesla sebenarnya tidak berniat untuk membawa Cybertruck ini ke pasaran eksport lain dan hanya akan dijual di Amerika Utara, oleh itu sehingga kini masih belum ada trak pikap EV itu dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan.

    Pelbagai faktor yang menyebabkan Cybertruck ini hanya dijual dipasaran domestik pembuat asalnya, antaranya ia mungkin sukar untuk melepasi homologasi yang ditetapkan pada pelbagai negara kerana panel aluminium ultra kuat yang digunakan serta panel-panel bersegi yang tajam yang mungkin membahayakan pejalan kaki, selain dari permintaan yang tinggi di AS di mana kilangnya masih belum mampu untuk memenuhi permintaan dari pasaran lain.

    Malah dari segi saiz, agak sukar untuk anda memandu Cybertruck ini di Malaysia kerana ukuran lebar jalan raya, tempat parkir dan sebagainya di sini yang jauh lebih kecil.

     
     
  • Touch ‘n Go eWallet akan ambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan dalam video tular Zahid

    Touch ‘n Go eWallet akan ambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan dalam video tular Zahid

    Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya semalam, 7 April 2024, Touch ‘n Go eWallet memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Zahid Baharuddin selepas penyanyi itu gagal memberikan kerjasama untuk memberi penjelasan yang dibuat oleh syarikat itu kepada pengikutnya di media sosial.

    Pada 31 Mac, Zahid memuat naik sebuah video ke akaun Instagramnya dan mendakwa bahawa isterinya, Nurul Shuhada Osman, hilang sejumlah RM4,250 dari akuan bank yang dihubungkan kepada akaun TnG eWallet akibat hacker. Kehilangan itu disedari pada Sabtu, 30 Mac selepas terdapat beberapa transaksi pengeluaran dilakukan daripada eWallet berkenaan dilakukan sejak lewat hari Jumaat hingga Sabtu itu. Dalam video tersebut, Zahid menasihatkan agar orang ramai tidak menghubungkan akaun bank mereka kepada akaun TnG eWallet.

    Video tersebut tular dan menyebabkan TnG eWallet menyiasat perkara itu. Pada 4 April, syarikat itu menyediakan kemaskini terhadap siasatan berkenaan, yang turut disertai oleh pertemuan bersama Zahid dan isterinya. Ringkasan penemuan syarikat terhadap perkara itu adalah seperti berikut:

    Dalam hantara terbarunya, TnG eWallet memaklumkan yang pihaknya telah menjelaskan perkara tersebut kepada Zahid dan isterinya pada 4 April dan menunjukkan bukti yang semua transaksi itu dilakukan secara sah oleh peranti yang digunakan isterinya melibatkantempoh sebulan setengah. “Tidak ada sebarang bukti yang mencadangkan bahawa itu adalah kesilapan pihak TnG eWallet,” jelas syarikat itu.

    “Dengan perkembangan ini, kami meminta kerjasama mereka untuk memberi penjelasan daripada hasil siasatan ini kepada pengikut mereka di media sosial. Malangnya, mereka tidak melakukan hal seperti yang diminta itu. Sebagai susulan, kami tidak mempunyai pilihan lain melainkan mengambil tindakan undang-undang,” sambung kenyataan itu.

    TnG eWallet menambah yang pihaknya mengambil berat soal keselamatan dan komited untuk memastikan servis dan kepentingan pelanggan mereka sentiasa selamat. Sejak hantaran syarikat itu pada 7 April, Zahid telah menaikkan empat lagi video di akaun Instagram menjelaskan cerita dari pihaknya sendiri.

     
     
  • Pro-Net dapat pembiayaan RM200 juta daripada CIMB

    Pro-Net dapat pembiayaan RM200 juta daripada CIMB

    Pengedar kenderaan smart di Malaysia dan Thailand, iaitu Pro-Net telah menerima pembiayaan sebanyak RM200 juta daripada CIMB Bank untuk membiayai inisiatif mobiliti hijau, import serta pengedaran EV smart #1 di Malaysia.

    Syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Proton tersebut juga memberitahu bahawa mereka kini bersedia untuk memenuhi komitmen terhadap agenda EV yang ditetapkan dan memainkan peranan penting sambil mengetuai peralihan ke arah pengeluaran Kenderaan Tenaga Baru (NEV, terma untuk kenderaan elektrik di China), serta pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Tanjung Malim.

    “Kami akan memanfaatkan pembiayaan ini untuk meningkatkan ekosistem digital serta rantaian bekalan dalam infrastruktur EV dan mengembangkan rangkaian kami untuk pengalaman runcit yang lebih lancar. Ia juga akan memudahkan, sewaktu permintaan kenderaan elektrik sedang meningkat, dan selari dengan objektif neutraliti karbon Malaysia,” kata ahli lembaga pengarah Pro-Net, Roslan Abdullah.

    Pro-Net dapat pembiayaan RM200 juta daripada CIMB

    Sementara itu, ketua pegawai eksekutif bersama perbankan borong kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin pula berkata bahawa urus niaga ini menekankan komitmen CIMB dalam menyokong pelanggan di pelbagai industri untuk memajukan agenda ESG mereka dan menyumbang kepada impak positif melalui penyelesaian kewangan yang mampan.

    “Langkah ini selari dengan aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank utama di ASEAN dan menjadi peneraju dalam kelestarian di rantau ini, seperti yang dinyatakan dalam pelan strategik Forward23+ kami,” tambah beliau.

     
     
  • Polis sedang mengesan pemandu-pemandu yang melawan arus di Raub Bypass LTU Sabtu lalu

    Polis sedang mengesan pemandu-pemandu yang melawan arus di Raub Bypass LTU Sabtu lalu

    Sabtu lalu tular satu video yang memaparkan sejumlah besar pemandu melakukan pusingan-U dan memandu melawan arus di Raub Bypass Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku. Perkara ini nampaknya sudahpun menarik perhatian pihak berkuasa di mana Polis Diraja Malaysia menyatakan bahawa pihaknya kini sedang mengesan kesemua pelaku dalam video berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman salam laporan Sinar Harian, buat masa ini pihaknya tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan pemilik kenderaan yang merakam video berkenaan.

    “Walau bagaimanapun, selepas pemerhatian dari video tersebut, terdapat beberapa buah kenderaan yang dapat dikesan selepas melakukan pemeriksaan melalui aplikasi Mysikap JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) bagi membantu siasatan.

    “Manakala semua kenderaan lain yang terlibat dalam video tersebut termasuk pemilik video sedang dikesan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Raub Bypass merupakan jalan pintas yang baru dibuka pada 8 Mac lalu yang dikatakan dapat memendekkan tempoh perjalanan kira-kira 30 minit kerana pengguna tidak perlu lagi melalui Bandar Bentong dan Bandar Raub.

    Namun mungkin kerana pertambahan jumlah kenderaan yang terlalu mendadak memandangkan orang ramai yang telah mula bercuti dan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan minggu ini, jalan berkenaan tiba-tiba sesak dan mendorong sekumpulan pemandu melakukan salah laku tersebut.

    Anda dinasihatkan untuk tidak melakukan kesalahan yang sama sekiranya berhadapan dengan situasi seperti ini bukan hanya ia menyalahi undang-undang, malah ia turut membahayakan nyawa kerana anda perlu memandu melawan arus dari laluan lebuhraya sehingga ke susur keluar lebuhraya berkenaan.

     
     
  • Polis pantau 122 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negara dalam Op Selamat 22 sempena Aidilfitri

    Polis pantau 122 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negara dalam Op Selamat 22 sempena Aidilfitri

    Menerusi Op Selamat 22 sempena Aidilfitri ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memantau 122 lokasi berlaku kekerapan kemalangan terutamanya membabitkan kemalangan maut di seluruh negara.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, jumlah yang direkodkan oleh pihak konsesi lebuh raya pada Jumaat lalu yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) adalah 2.12 juta kenderaan manakala Lebuh Raya Karak adalah hampir 300,000 buah kenderaan, laporan Harian Metro.

    Jelasnya, terdapat 122 lokasi kekerapan kes kemalangan terutama kemalangan maut yang dipantau oleh JSPT iaitu 46 lokasi di lebuh raya, manakala 76 lokasi membabitkan jalan persekutuan.

    Polis pantau 122 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negara dalam Op Selamat 22 sempena Aidilfitri

    “JSPT ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya merancang dahulu pergerakan pulang ke kampung halaman terutama perjalanan yang jauh. Jika perjalanan biasa sepatutnya tiga jam tetapi bertambah dari masa perjalanan biasa, maka perancangan semula perlu dibuat seperti ubah waktu pergerakan atau mengenal pasti lokasi yang perlu berhenti untuk berehat jika perlu menempuh perjalanan melebihi masa perjalanan biasa,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau menasihati pengguna supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan.

    “Semua pengguna jalan raya mesti bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan semasa berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua. Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” katanya.

    Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah melancarkan Op Selamat Siri 22 yang dilaksanakan mulai 8 hingga 13 April 2024 di seluruh negara.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya sediakan koc khas wanita

    MRT Laluan Putrajaya sediakan koc khas wanita

    Bermula hari ini (8 April 2024) MRT Laluan Putrajaya mula menyediakan koc khas wanita bagi menyediakan perjalanan lebih selasa dan selamat untuk penumpang wanita, kata CEO Rapid Rail Sdn Bhd., Amir Hamdan.

    Katanya lagi, penumpang wanita merangkumi 60% daripada jumlah pengguna perkhidmatan rel tersebut. Selain itu, ia adalah kesinambungan daripada projek perintis koc wanita di MRT laluan Kajang yang dilaksanakan pada 18 September tahun lalum laporan Bernama.

    Jelas beliau, sebanyak 36 stesen dan 49 tren di MRT laluan Putrajaya sudah dipasang pelekat khas berwarna merah jambu bagi memudahkan pengguna mengenal pasti koc wanita yang terletak di bahagian tengah setiap tren.

    “Sejak diperkenalkan, inisiatif koc wanita sudah mendapat sambutan yang baik daripada pengguna dan data yang dicerap menunjukkan bilangan aduan berkaitan kes gangguan seksual di MRT laluan Kajang menurun daripada purata 3.2 kes kepada dua kes sebulan,” katanya.

    Sambungnya, kira-kira 300 hingga 400 penumpang boleh dimuatkan pada dua koc wanita laluan MRT Putrajaya bagi setiap perjalanan dan polis bantuan juga turut ditugaskan bagi membuat pemantauan secara berkala di dalam tren dan stesen untuk memastikan etika penggunaan koc wanita dipatuhi semua pengguna rel.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024