Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia panggil semula kenderaan yang berpotensi terjejas kerana beg udara Takata

    Mercedes-Benz Malaysia panggil semula kenderaan yang berpotensi terjejas kerana beg udara Takata

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun mengeluarkan notis panggilan semula terhadap kereta-kereta yang mungkin terjejas kerana dipadankan dengan modul beg udara Takata. Langkah ini merupakan sebahagian dari panggilan semula global terhadap kenderaan-kenderaan jenama tersebut sama ada dari barisan kereta penumpang dan juga komersil.

    Panggilan semula kali ini melibatkan model-model yang diproduksi antara tahun 2004 hingga 2016, secara spesifiknya model A-Class W169, C-Class W203 dan W204, GLK X204, E-Coupe C207 dan Convertible A207, E-Class W212, ML W164 dan GL-Class X164, R-Class W251, SLK W171, dan juga SLS AMG W197.

    Pemilik-pemilik model yang dinyatakan di atas digesa agar memeriksa nombor casis (nombor identifikasi kenderaan atau VIN) di laman mikro Mercedes-Benz pada PAUTAN INI atau pusat khidmat pelanggan di talian 1-800-88-1133 bagi memastikan kereta masing-masing terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini.

    Sekiranya ia disahkan terlibat, pemilik kenderaan berkenaan diminta untuk membuat temu janji di pengedar Mercedes-Benz bertauliah bagi menukar modul beg udara keluaran Takata berkenaan. Segala kos bagi kerja-kerja pembaikan dan juga penukar komponen tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh MBM.

    “Mercedes-Benz Malaysia dan Daimler AG ingin memastikan kepada semua pelanggan bahawa semua kenderaan penumpang Mercedes-Bnez yang dikeluarkan pada masa ini tidak lagi dilengkapi dengan beg udara Takata (atau pengeluar lain) yang berasaskan ammonium nitrat sebagai propelan utama,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut hari ini.

    “Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan dan untuk mendapatkan lebih kefahaman terhadap kondisi modul beg udara dalam kenderaan selepas tempoh yang lama,” tulis kenyataan itu lagi, dan menambah bahawa MBM juga terus mengamalkan ketelusan serta kawalan kualiti yang ketat, kerana keselamatan pelanggan diletakkan sebagai yang paling utama setiap masa.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Nov – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 11-17 Nov – RON 97 naik 2 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 November 2021, harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 sekali lagi mengalami kenaikan iaitu sebanyak dua sen seliter. Kini harganya menjadi RM3.08 seliter berbanding RM3.06 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan iaitu RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 17 November 2021.

     
     
  • Scorpio X1 dibuka untuk tempahan – motosikal elektrik pertama Singapura, jarak gerak 200 km, RM40k

    Scorpio X1 dibuka untuk tempahan – motosikal elektrik pertama Singapura, jarak gerak 200 km, RM40k

    Pengeluar motosikal elektrik dari Singapura, iaitu Scorpio Electric, yang sebelum ini pernah menunjukkan sebuah model prototaip Januari lalu, telah membuka tempahan untuk motosikal pertama mereka, yang dipanggil sebagai X1.

    Tempahan dibuka melalui laman web rasmi Scorpio, dan ia bukan setakat untuk Singapura sahaja, tetapi juga seluruh dunia, dengan bayaran awal USD1,000 RM4,150) dan harga penuh USD9,800 RM40,700) tidak termasuk cukai. Penghantaran kepada pelanggan pula disasarkan berlaku pada hujung tahun 2022 dan awal 2023.

    Scorpio X1 digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 10 kW dan bateri lithium ion 4.8 kWh 72V 73 Ah, mampu memberikan jarak gerak sehingga 200 km dengan sekali cas dan kelajuan maksimum 105 km/j. Masa mengecas yang diambil apabila bateri kosong ke 90% adalah 2.5 jam.

    Bentuk serta saiz X1 adalah seperti skuter biasa, dengan menggunakan fork teleksopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang, brek cakera depan dan belakang, lampu LED, penghadang angin hadapan serta dua tempat duduk.

    Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT untuk memaparkan maklumat penting, dan ia boleh disambung kepada telefon pintar untuk memberikan fungsi seperti lokasi motosikal, navigasi, amaran kecurian, tahap bateri dan pengesan insiden. Selain daripada itu, telefon yang sudah disambung kepada sistem ini juga boleh menghidupkan dan mematikan motosikal.

    Untuk menyesuaikan keadaan motosikal dengan cara tunggangan, Scorpio X1 menyediakan tiga mod tunggangan iaitu Eco, Urban dan Sport, dan ia juga dilengkapi dengan mod gear undur untuk memudahkan pengguna.

     
     
  • Ta Win bina kilang tembaga baru di Pelabuhan Klang, bekalkan untuk Posco K. Selatan untuk perniagaan EV

    Ta Win bina kilang tembaga baru di Pelabuhan Klang, bekalkan untuk Posco K. Selatan untuk perniagaan EV

    Ta Win Holdings, sebuah pengeluar bersepadu produk tembaga di Malaysia, telah mengumumkan pembelian tanah dan aset kilang daripada BRB Properties melalui anak syarikat milik penuhnya, Ta Win Innotech. Pengambilalihan bernilai RM35 juta itu dijangka akan diselesaikan pada suku pertama 2022.

    Ini bermaksud, produk dari Pelabuhan Klang akan digunakan dalam kenderaan elektrik di seluruh dunia. Terletak di kawasan perindustrian Pelabuhan Klang, kilang dengan keluasan empat ekar itu akan melibatkan keluasan binaan keseluruhan 150,000 kaki persegi.

    Pengumuman ini dibuat seminggu selepas Ta Win yang tersenarai dalam bursa itu mengumumkan syarikat itu telah memeterai perjanjian tiga-tahun dengan Posco dari Korea Selatan sebagai pembekal eksklusif wayar tembaga, rod dan produk lain bagi pengeluaran EV di seluruh dunia. Posco merupakan satu daripada pembuat besi terbesar di dunia dan juga merupakan pembekal kepada pengeluar kereta, termasuk untuk Hyundai-Kia.

    “Ta Win sedang berkembang melebihi kapasiti semasanya, dan cukup jelas bahawa kami perlu mempersiapkan diri untuk fasa pembangunan berikutnya dengan mengenal pasti tapak yang sesuai untuk mengeluarkan produk tembaga dan wayar yang sedang mengalami peningkatan permintaan daripada klien automotif kami untuk membuat EV mereka,” ujar Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win, Tieng Ngu.

    Ta Win bina kilang tembaga baru di Pelabuhan Klang, bekalkan untuk Posco K. Selatan untuk perniagaan EV

    Banyak pihak yang berlumba-lumba untuk mengeluarkan EV ketika ini, dan corak permintaan terhadap tembaga juga meningkat, memandangkan ia bahan utama dalam bateri EV. September lalu, Ta Win mengumumkan rancangan utnuk membuka tiga kilang Electron Beam Irradiation di Malaysia dalam masa tiga tahun akan datang untuk membekalkan wayar irradiated cross-linked dan produk kabel, memanfaatkan teknologi tersebut yang sudah pun dipatenkan.

    Sebuah anak syarikat Ta Win, Cyprium Technology Wire, akan mengilangkan teknologi ini di lokasi semasa dan membuka ruang untuk membangunkan perniagaan isyarat dan kuasanya dengan memindahkan pengilangan rod dan wayar tembaga ke kilang baru di Pelabuhan Klang, yang dijangka akan meningkatkan kapasiti pengeluaran Ta Win kepada tiga kali ganda dalam jangka masa sederhada dan jangka masa panjang.

    Dengan pengembangan perniagaan ini serta kontrak pembekal eksklusif dengan Posco, pengambilalihan tanah dan kilang di Pelabuhan Klang ini akan membolehkan pertumbuhan lebih pesat, dipacu oleh EV. Malaysia memang memainkan peranan yang agak besar dalam rantaian bekalan automotif gloal dunia, dan ini satu daripada contohnya.

     
     
  • Triumph perkenal Thruxton RS Ton Up, Street Twin EC1 dan Rocket 3 221 – tampil dengan grafik khas

    Triumph perkenal Thruxton RS Ton Up, Street Twin EC1 dan Rocket 3 221 – tampil dengan grafik khas

    Selepas pengenalan beberapa model keluaran khas tahun ini, Triumph telah menambah tiga lagi iaitu Thruxton RS Ton Up, Street Twin EC1 dan Rocket 3 R/GT 221. Jumlah sebenar pengeluaran model-model ini tidak diberitahu, tetapi ia hanya akan dikeluarkan selama satu tahun sahaja.

    Bagi Thruxton RS Ton Up, ia mengambil inspirasi penampilan daripada kumpulan penunggang motosikal Ton Up Boys tahun 50-an dan 60-an, cafe racer sebenar serta motosikal produksi pertama yang mencecah kelajuan 100 bsj (160 km/j) di Isle of Man TT pada tahun 1969.

    Kemasan istimewa yang digunakan pada model ini adalah tangki bahan api warna klasik Aegean Blue dengan grafik pad lutut Jet Black serta jalur warna perak, penutup tempat duduk serta penghadang lumpur Fusion White dengan grafik nombor 100 serta latar belakang Carnival Red, panel tepi Jet Black dengan logo Thruxton RS Ton Up, fairing kokpit Aegean Blue, pelindung fork Matt Aluminium Silver, serta rim, pelindung enjin dan spring yang dicat hitam.

    Pergi pula kepada Street Twin EC1, model ini mengambil inspirasi daripada budaya motosikal kustom klasik di bahagian Timur London, dan EC1 itu sendiri sebenarnya adalah poskod di kawasan itu.

    Penampilan model ini adalah serba gelap dengan gabungan warna hitam, Matt Aluminium Silver serta Matt Silver Ice, sementara beberapa bahagian seperti tepi tangki dan panel tepi terdapat grafik khas EC1.

    Bagi Rocket 3, model keluaran khas 221 ditawarkan untuk kedua-dua versi R dan GT. Ia dibuat bagi meraikan prestasinya, dan nombor 221 itu diambil daripada jumlah tork 221 Nm – paling tinggi bagi motosikal produksi – yang mampu dihasilkan oleh enjin tiga silinder 2,458 cc padanya.

    Tangki model ini menggunakan warna merah dan di atasnya terdapat tulisan khas spesifikasi termasuk kapasiti enjin, kuasa, gerek serta lejang dalam warna hitam. Beberapa bahagian seperti tapak penghadang lumpur, perumah lampu, panel tepi dan belakang, serta pelindung radiator pula diwarnakan hitam.

    Bagi semua model keluaran khas ini, spesifikasi teknikalnya tidak mengalami sebarang perubahan dan masih lagi sama seperti model biasa. Street Twin dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 900 cc berkuasa 65 PS dan 80 Nm tork, manakala Thruxton RS pula dipacu enjin dua silinder selari 1,200 cc berkuasa 105 PS dan 112 Nm tork.

    GALERI: Triumph Thruxton RS Ton Up Edition

    GALERI: Triumph Street Twin EC1 Edition

    GALERI: Triumph Rocket 3 GT 221 Edition

    GALERI: Triumph Rocket 3 R 221 Edition

     
     
  • Hyundai Kona Electric dilancarkan di Malaysia 18 Nov

    Hyundai Kona Electric dilancarkan di Malaysia 18 Nov

    Hyundai Kona Electric facelift bakal diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 18 November ini. Perkara tersebut telah diuar-uarkan oleh Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) menerusi entri Facebookmereka, dan mengesahkan acara pelancaran ini akan berlangsung pada tarikh tersebut bermula jam 10.20 pagi.

    Seperti yang pernah kami siarkan sebelum ini, untuk pasaran Malaysia, Kona Elecrtic ini akan ditawarkan dengan tiga varian. Ia adalah model asas 39.2 kWh, dengan dua pilihan sama ada e-lite atau e-plus, serta versi tertinggi e-max kWh. Harga jangkaannya bermula dari bawah RM150k, dan mungkin ia merupakan EV paling mampu milik di negara ini apabila tiba kelak.

    Harga jangkaan tersebut termasuk dengan pengecualian cukai eksais dan import yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini menerusi pembentangan Bajet 2022.

    Motor elektrik bagi model 39.2kWh menawarkan kuasa 136 PS, sementara versi 64 kWh pula dengan 204 PS, dan. kedua-dua versi diberikan jumlah tork yang sama iaitu 395 Nm. Bagi prestasinya, model asas Kona Electric mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.9 saat dengan kelajuan maksimum cecah 155 km/j. Manakala untuk varian 64 kWh pula, pecutan 0-100 km/j adalah 7.9 saat dan kelajuan maksimum mencapai 167 km/j.

    Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW memerlukan masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi versi 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula, ia memerlukan masa 47 saat bagi kedua-dua bateri.

    Pengecasan AC biasa dengan pengecas 7.2 kW onboard fasa-tunggal dari 10% hingga 80% memerlukan masa enam jam bagi model paling asas, dan sembilan jam 15 minit bagi versi 64 kWh. Tempoh mengecas masing-masing akan jadi empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas onboard tiga-fasa 11 kW.

    Tiga warna luaran akan diberikan untuk Kona Electrik iaitu Chalk White, Misty Jungle Two Tone, dan Dive in Jeju Two Tone. Manakala untuk bahagian dalaman, ia diberikan pilihan sama ada hitam atau kelabu. Walau pun harganya masih belum dimuktamadkan, tetapi tempahannya kini telah pun. dibuka, dan dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM1,000, anda boleh boleh menempahnya DI SINI.

     
     
  • Yamaha MT-10 2022 diperkenal – banyak peningkatan termasuk pada enjin dan elektronik, ekzos titanium

    Yamaha MT-10 2022 diperkenal – banyak peningkatan termasuk pada enjin dan elektronik, ekzos titanium

    Banyak model Yamaha yang diberikan peningkatan tahun ini, dan tidak terlepas adalah MT-10. Bukan setakat penampilan dan warna, malah enjin juga menerima peningkatan, bersama beberapa ciri lain yang dikatakan dapat meningkatkan kepuasan tunggangan.

    Enjin empat silinder 998 cc CP4 pada MT-10 kini menepati tahap emisi Euro 5, dan connecting rod besi telah diganti dengan unit titanium untuk menghasilkan 165.5 PS pada 11,500 rpm dan 112 Nm tork pada 9,000 rpm. Bukan setakat itu, conrod juga telah ditukar dan sistem EFI ditala semula untuk penyampaian kuasa lebih baik pada tahap rpm pertengahan.

    Melalui model baru ini, penunggang dapat menikmati bunyi jentera yang lebih memuaskan kerana Yamaha telah memasang Acoustic Amplifier Grill di tepi tangki untuk menghalakan bunyi kepada penunggang dan ekzos ditukar kepada unit yang diperbuat daripada titanium.

    Pada bahagian elektronik, MT-10 kini disediakan dengan pengehad kelajuan, yang boleh dilaras sendiri oleh penunggang demi memastikan mereka tidak melepasi had laju tertentu secara tidak sengaja. Ciri lain yang diberikan terus adalah quickshifter naik dan turun gear, empat mod tunggangan, Slide Control dan Wheelie Control.

    Semua informasi dipaparkan pada panel meter TFT-LCD 4.2 inci yang diambil daripada YZF-R1, dan kawalannya boleh dilakukan melalui butang yang terdapat di bahagian kiri dan kanan pemegang. Lengan ayun aluminium pada model baru ini juga telah dipanjangkan sedikit.

    Suspensi MT-10 menggunakan barangan daripada KYB, dengan fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock di belakang, dan kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya. Brek cakera 320 mm berserta angkup empat piston berkembar di hadapan dibantu dengan pam atas Brembo sementara di belakang pula menggunakan brek cakera 220 mm. Berat keseluruhan MT-10 adalah 212 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 17 liter.

     
     
  • Mazda CX-50 ditunjukkan sedikit menerusi teaser menjelang penampilan pertama pada 15 November ini

    Mazda CX-50 ditunjukkan sedikit menerusi teaser menjelang penampilan pertama pada 15 November ini

    Mazda pula menunjukkan iklan acah atau pun teaser CX-50, yang bakal dilancarkan di Amerika Syarikat pada 15 November ini. Seperti yang pernah diperkatakan pada Oktober lalu, CX-50 merupakan salah satu daripada lima SUV baharu yang akan diperkenalkan oleh pengeluar kereta Jepun ini dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memberikan pilihan yang lebih luas buat para pelanggan.

    Dalam video pendek teaser ini, SUV berkenaan dilihat membawa kayak merentasi hutan. Walau pun tidak begitu jelas kelihatan, namun fail paten yang tersebar sebelum ini sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit gambaran tentang SUV berkenaan.

    Ciri kelengkapan yang nampak terserlah antaranya gril berpalang dengan kemasan elemen yang disambungkan ke lampu utama nipis, sementara itu bahagian bampar juga diberikan corong tiruan pada sudut, lebih kurang sama dengan CX-9. Jaluran lebar memisahkan bahagian atas pada wajah SUV ini, dengan corong pengambilan yang menjadi perumah bagi penderia radar untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan kenderaan. Selain itu, rekaan tailgate CX-50 lebih kurang sama seperti model semasa Mazda yang lain seperti CX-30.

    Mazda berkata CX-50 akan ditunjangi oleh Skyactiv-Vehicle Architecture seperti yang digunakan untuk Mazda 3 dan CX-30, dengan pacuan semua-roda ditawarkan secara pilihan. Produksi bagi CX-50 akan dilaksanakan di kilang kerjasama Mazda-Toyota baharu, Mazda Toyota Manufacturing, USA (MTMUS), di Huntsville, Alabama.

    Pengeluar kereta ini turut mengesahkan bahawa CX-50 bukanlah pengganti bagi CX-50. Perkara yang sama melibatkan antara CX-30 dan CX-3. Tidak seperti model SUV Mazda yang akan datang, CX-50 ini hanya untuk pasaran eksklusif di Amerika Utara sahaja.

     
     
  • Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

    Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

    Lanjutan pengumuman Porsche untuk memasang modelnya secara tempatan di Malaysia dengan kerjasama Sime Darby Ogos lalu, ini dia hasilnya – Porsche Cayenne 2022 CKD yang akan dipasang di Kulim, Kedah, dan merupakan Cayenne pertama yang dipasang luar dari Eropah!

    Menurut Porsche, Cayenne dalam versi CKD di Malaysia buat masa sekarang hanya ditawarkan dalam varian asas. Ia bakal dijual pada harga bermula RM550,000 termasuk cukai dan duti, tetapi tidak termasuk bayaran-bayaran atas-jalan, tanpa sebarang opsyen dan juga insuran. Manakala penghantaran kepada pelanggan pertama pula dijangka bermula pada Mac 2022, jadi ia masih sempat untuk menerima pengecualian sepenuhnya cukai jualan bagi kereta CKD sehingga 30 Jun.

    Sebagai perbandingan, model Cayenne yang sama tetapi dalam versi CBU dijual pada harga RM665,000. Jadi selain memberikan peluang kepada warga tempatan untuk memasang Porsche di sini, proses CKD ini juga telah mengurangkan harga SUV mewah tersebut sebanyak RM115,000.

    Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

    Tempahan untuk model ini juga sebenarnya sudah pun dibuka, dan ia boleh dibuat menerusi satu laman sesawang khas di mana pembeli juga boleh menambah perincian opsyen yang lain. Bagi meraikan platform tempahan atas talian untuk pelanggan di Malaysia ini, Porsche turut menawarkan baucer Porsche Driver’s Selection yang bernilai RM911 untuk 50 pelanggan pertama yang menempah SUV tersebut menerusi laman berkenaan.

    Dalam versi asas, Cayenne dijana oleh enjin petrol V6 3.0 liter turbo berkuasa 340 PS (335 hp) pada takat 5,300 hingga 6,400 rpm, dan tork maksima 450 Nm bermula 1,340 hingga 5,300 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan Tiptronic S, bersama sistem pacuan semua roda aktif.

    Model CKD di Kulim ini akan menerima semua kelengkapan dari model CBU, termasuk rim RS Spyder 21-inci, sistem bunyi sekeliling Bose, tempat duduk hadapan larasan kuasa 14-hala dengan fungsi memori, serta sistem Park Assist bersama pemantau hadapan, belakang dan sekeliling.

    Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

    Perincian-perincian lain yang disertakan termasuk lampu hadapan LED dengan Sistem Lampu Dinamik Porsche (PDLS), lampu belakang LED, sistem pendingin hawa kawalan iklim empat zon, roda stereng sport, pedal penukar gear, konsol tengah yang dilengkapi Direct Touch Control, dan Comfort Access.

    Ia juga menerima Porsche Advanced Cockpit bersama Porsche Communication Management (PCM) yang menampilkan skrin sesentuh 12-inci, memberikan fungsi servis-servis terhubung Porsche Connect serta integrasi Apple CarPlay.

    Pelanggan turut ditawarkan dengan pakej opsyen Porsche Exclusive Manufaktur Package dengan harga tambahan RM58,000. Opsyen berkenaan menampilkan pakej penggayaan SportsDesign (apron hadapan unik dan kemasan tambahan ruang roda lebih menonjol), sistem ekzos sports, kluster lampu yang digelapkan, projektor LED pada pintu yang memancarkan logo Porsche dan kunci menampilkan warna sama dengan warna badan kereta.

    Porsche Cayenne CKD di M’sia – RM115k lebih murah, bermula RM550k, penghantaran bermula Mac 2022

    Bagi model CKD ini, pengedar rasmi Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) menawarkan tiga pilihan warna badan iaitu Carrara White Metallic, Jet Black Metallic dan Quartzite Grey Metallic, serta dua tema warna untuk upholsteri kulit dalaman iaitu Hitam dan tema dua-tona Hitam-Bordeaux Red.

    Kelengkapan-kelengkapan dari katalog Porsche Tequipment seperti jaring ruang kargo, pelapik but, karpet kaki jenis all-weather dan pelbagai lagi turut ditawarkan sebagai pilihan untuk pembeli Cayenne CKD ini. Porsche turut menerima permintaan sekiranya pelanggan mahukan pakej kemasan dalaman karbon, pilihan rim 22-inci sehingga jam Porsche Design yang berharga RM38,888.

    “Sejak pengenalannya, Cayenne telah berevolusi untuk menjadi kegemaran pelanggan bagi peminat Porsche di Malaysia. Ia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam keluarga Porsche, dan kami gembira hari ini bagi membolehkan kemungkinan-kemungkinan baharu yang tidak terhitung dengan Cayenne,” kata CEO SDAP, Christopher Hunter.

     
     
  • Strategi Smart Geely 25 didedah – lebih daripada 25 kenderaan pintar baru, jualan 3.65 juta menjelang 2025

    Strategi Smart Geely 25 didedah – lebih daripada 25 kenderaan pintar baru, jualan 3.65 juta menjelang 2025

    Geely Auto Group berhasrat meningkatkan jualan global mereka ke 3.65 juta unit setahun dari tahun 2025 dengan pelaksanaan strategi “Smart Geely 2025” yang juga akan melibatkan pengenalan barisan produk. Dalam siaran akhbar rasmi yang diedarkan, syarikat itu memberitahu, akan melancarkan leih daripada 25 “produk kenderaan pintar” dalam masa beberapa tahun akan datang.

    Lebih terperinci lagi, jenama Geely Auto akan mengeluarkan lebih 10 model pintar dan menggunakan kuasa elektrik, yang dikuasakan oleh enjin hibrid yang dibangunkan oleh Leishen Power. Semua model ini akan duduk di atas platform Hi-X, yang boleh digunakan untuk model daripada segmen A hinggalah C, dan penggerak hibrid, plug-in hybrid ataupun EV range extender.

    Sementara itu, satu lagi jenama kenderaan elektrik di bawah Geely, iaitu Geometry akan melancarkan sekurang-kurangnya lima model baru bermula tahun hadapan. Semua kenderaan ini akan menggunakan asas Sustainable Experience Architecture (SEA), yang juga memberikan pelbagai pilihan untuk jenis kenderaan.

    Penawaran daripada Lynk & Co juga akan bertambah dengan pengenalan lima lagi model baru yang menyediakan lebih kepelbagaian. Tiada perincian yang didedahkan berkenaan perkara ini, tetapi semua kenderaan ini berkemungkinan menggunakan satu (atau lebih) daripada empat platform yang telah dibangunkan oleh Geely Auto dan Volvo Cars – B-segment Modular Architecture (BMA), Compact Modular Architecture (CMA), Scalable Product Architecture (SPA) dan SEA.

    Semua platform ini bukan setakat boleh menghasilkan pelbagai jenis kenderaan, tetapi juga boleh dipasang dengan pelbagai jenis penggerak seperti enjin petrol, hibrid, plug-in hybrid dan elektrik bateri. Menurut Geely, reka bentuk platform ini berjaya meningkatkan kecekapan R&D sebanyak 30% dan akan disokong oleh sistem elektronik dan elektrikal maju – bermula dengan GEEA2.0 dan diikuti GEEA3.0 pada masa hadapan.

    Untuk sistem kenderaan pula, Geely sekarang sudah mempunyai SE1000 yang dibangunkan sendiri dan merupakan sistem cip (SoC) kenderaan pertama China dengan rekaan 7 nm. Ia adalah CPU yang memberi kuasa kepada konsep kokpit pintar jenama itu, dan pada masa hadapan, satu CPU kenderaan bersepadu 5 nm dan cip pemanduan autonomous akan dilancarkan untuk menyokong keperluan sistem komputer dan fungsi pemanduan autonomous kenderaan – Geely bercadang untuk mengkomersialkan teknologi pemanduan autonomous Level 4 dan 5 menjelang 2025.

    Pembangunan ekosistem penuh ini juga akan melibatkan rekaan perisian yang memberikan pemaju seluruh dunia lebih daripada 1,000 interface API, alat-alat perisian serta platform, dan disokong servis perkongsian dengan lebih 1,000 rakan kongsi digital.

    Menjelang tahun 2025 juga, Geely meletakkan sasaran untuk menyediakan naik taraf perisian atas talian (FOTA) setiap tiga bulan merangkumi sistem penggerak dan kenderaan menyeluruh, seterusnya membenarkan kenderaan mereka berevolusi.

     
     
  • Honda City Hatchback 2022 – video produk disiar, tunjuk kelebihan berbanding Toyota Yaris dan lain-lain

    Honda City Hatchback 2022 – video produk disiar, tunjuk kelebihan berbanding Toyota Yaris dan lain-lain

    Lepas ‘bakar line’ dengan video-video yang menunjukkan kelebihan Honda City Sedan berbanding kereta jenama lain sebelum pelancaran model berkenaan dilancarkan tahun lalu, Honda Malaysia nampaknya melakukan strategi yang sama terhadap model kembarnya, City Hatchback 2022 – video produk ini disiarkan sejurus selepas ia diumumkan telah boleh ditempah pagi tadi.

    Video ini menampilkan varian tertinggi dan juga yang paling sporty dalam barisan City Hatchback pasaran Malaysia iaitu model RS, yang hanya tampil dengan unit penjana e:HEV Hybrid sama seperti versi sedan. Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan enjin petrol kitaran Atkinson 1.5 liter digandingkan dengan dua motor elektrik.

    Tidak seperti sistem hibrid biasa, sistem i-MMD ini membolehkan tayar dijana sepenuhnya dari motor elektrik sambil enjin petrol hanya mengecas bateri hibrid, atau berfungsi bersama-sama untuk memacu roda pada kelajuan lebih tinggi. Secara keseluruhan sistem hibrid ini menghasilkan kuasa 109 PS dengan tork maksima 253 Nm.

    Manakala bagi model yang dijana enjin petrol sepenuhnya (varian 1.5 V dan ke bawah), ia dijana oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan.

    Tajuk video ini sahaja sudah cukup provokasi, “Y stay average? Step up your game”. Kalau anda perasan, Toyota sentiasa menggunakan abjad “Y” berkenaan dalam bahan-bahan promosi Yaris, iaitu lawan terus City Hatchback dalam pasaran model hatchback segmen-B di Malaysia.

    Seawal video tersebut Honda telah menunjukkan fungsi penghidup enjin bersama penghidup pendingin hawa kawalan jauh pada model RS ini, yang membolehkan pemandu menghidupkan enjin dari jauh sekaligus mengaktifkan sistem pendingin hawa, membolehkan kabin berkenaan disejukkan terlebih dahulu sebelum pemiliknya masuk.

    Berbeza dengan satu lagi hatchback berwarna hijau (jelas sekali ia adalah Yaris dengan warna Citrus Mica Metallic), dimana pemandunya berpeluh-peluh ketika masuk ke kereta berkenaan kerana kabinnya masih panas.

    Kemudian Honda menunjukkan pula fungsi “Ultra Seats” pada tempat duduk belakang yang boleh dilipat ke atas, membolehkan set gril diletakkan berdiri di ruang berkenaan, dan ia tidak boleh dibuat pada ruang sama untuk Toyota Yaris.

    Honda turut menunjukkan fungsi LaneWatch yang mampu mengesan motosikal pada titik buta sebelah kiri, serta kelebihan tork 253 Nm memecut ketika memotong kenderaan lain. City Hatchback ini juga menerima liang pendingin hawa untuk kabin belakang, yang jarang ditawarkan untuk sebuah hatchback segmen-B. Model tertinggi RS juga menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, bersama brek parkir elektronik. Walau bagaimanapun, sistem-sistem termaju yang ditunjukkan pada video ini kebanyakkannya hanya ditawarkan untuk model RS.

    Perincian lain yang turut tampil pada Honda City Hatchback versi RS dan versi V termasuk lampu hadapan LED penuh bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu kombinasi belakang LED dan juga rim aloi berdiameter 16-inci. Fungsi seperti penghidup enjin bersama penghidup pendingin hawa kawalan jauh dan Honda Lane juga hanya untuk RS dan V, manakala brek parkir elektrik (juga dengan fungsi autohold) hanya untuk RS sahaja.

    Begitu juga pakej Honda Sensing, buat masa sekarang ia ditawarkan hanya pada model RS. Untuk rekod, sistem berkenaan baharu sahaja dipadankan pada model V untuk sedan menerusi varian baharu 1.5L V Sensing (model V tanpa Sensing masih ada dijual bersama).

    Kelengkapan-kelengkapan dalam pakej Honda Sensing pada City Hatchback ini juga adalah sama degan versi sedan, termasuk sistem seperti cruise control adaptif (tanpa low speed follow), sistem brek pengelak pelanggaran (AEB, depan sahaja), amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, pengelak keluar jalan, amaran keluar lorong dan juga lampu tinggi automatik.

     
     
  • Geely bakal lancarkan lima EV dengan ciri penukaran bateri menjelang 2023 — bateri penuh dalam 1 minit!

    Geely bakal lancarkan lima EV dengan ciri penukaran bateri menjelang 2023 — bateri penuh dalam 1 minit!

    Strategi Smart Geely 2025 yang dibentangkan oleh Geely Auto Group menggariskan beberapa usaha yang disasarkan untuk meningkatkan jualan syarikat itu. Antaranya termasuklah rancangan untuk mempunyai 5,000 stesen penukaran bateri di 100 bandar menjelang 2025, jelas Geely dalam satu kenyataan.

    Ketika ini, Geely Technology Group sudah pun mewujudkan hampir 100 stesen penukaran bateri di China, dan stesen ini boleh menukar bateri dalam masa hanya 59 saat dengan bantuan teknologi automatik yang membolehkan operasi lebih selamat. Dengan sistem ini, pemandu kenderaan elektrik boleh memandu ke stesen berkenaan untuk penukaran tersebut, dan meninggalkan stesen tanpa perlu keluar dari kereta.

    Geely mendedahkan servis penukaran bateri E-Energe itu pada September lalu di Persidangan Internet Wuzhen 2021. Stesen penukaran bateri E-Energe pertama mula beroperasi di China pada September 2020 dan perkhidmatannya telah berkembang merangkumi 10 daerah di China sejak itu.

    Geely bakal lancarkan lima EV dengan ciri penukaran bateri menjelang 2023 — bateri penuh dalam 1 minit!

    Perkhidmatan penukaran bateru akan dirancakkan lagi dalam bulan-bulan mendatang, dengan adanya lebih banyak EV yang mempunyai siri tersebut dalam pasaran. Perkhidmatan ride-hailing CaoCao Mobility merupakan antara pihakk yang menggunakan servis berkenaan di bandar-bandar utama China.

    Kenderaan pertama Geely yang menampilkan teknologi penukaran bateri ini ialah Maple 80V, yang merupkaan versi elektrik sepenuhnya model Jiaji. Ketika ini, penukaran bateri dilaporkan mengambil masa sekitar 90 saat untuk diselesaikan.

    Penukaran bateri ini hanya untuk platform kenderaan terpilih sahaja dalam barisan produk Geely, dan ketika ini tidak akan melibatkan model yang menggunakan platform Sustainable Experience Arhcitecture (SEA), memandangkan ia direka dengan bateri bersepadu, dengan matlamat untuk menghasilkan binaan kenderaan seringan yang mungkin.

     
     
  • MSF Supermoto gegar K. Selangor, saji saingan sengit

    MSF Supermoto gegar K. Selangor, saji saingan sengit

    Pusingan pertama Malaysia Speed Festival Supermoto (MSF SM), telah berlangsung dengan jayanya hujung minggu lalu. Seramai 25 para pelumba telah menyertai pusingan pertama berkenaan, yang buat julung kalinya dianjurkan di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor — dengan kelulusan dan disahkan oleh MAM.

    Penganjuran MSF SM mendapat tajaan daripada EXN Lube, Metzeler dan Beringer Brakes. Ia juga telah mendapat penyertaan daripada nama-nama besar sukan perlumbaan jentera dua roda. Walaupun Khairi Zakaria tidak dapat mengikuti pusingan pertama ini kerana mengalami masalah teknikal, hal itu sama sekali tidak mencacatkan aksi pertempuran yang sengit — tumpuan terus diberikan kepada Daniel Haiqal dan Gabit Salleh.

    Dua nama ini dari awal sudah menjadi bualan. Daniel Haiqal mula memberi amaran awal kepada semua peserta dengan mencatatkan masa terpantas 47.933 saat. ??Ketika pusingan penentu untuk kedudukan podium, Gabit yang sudah menjangkakan akan berlaku penguasaan penuh dari Daniel telah memulakan perlumbaan dengan cemerlang dan berjaya sampai di selekoh pertama terlebih dahulu.

    Gabit mendahului perlumbaan dengan baik dan berhasil mengekang kemaraan Daniel dengan berkesan meskipun sedar kelajuan Daniel amat-amat pantas terutamanya di selekoh. Daniel cuba memintas dari kiri dan kanan, selekoh demi selekoh dan akhirnya berjaya. Gabit kemudiannya tetap cuba bangkit dan merampas kedudukan kembali, tetapi berjaya dipatahkan oleh Daniel dengan jenteranya yang berada dalam keadaan terbaik dan dengan berjaya menduduki tempat pertama dengan jarak yang amat selesa.

    Bagi kategori Rookie, kebangkitan Chong Chee Chin sesuatu yang sangat heroik. Beliau yang dikenakan penalti ekoran pusingan kelayakan bingkas bangkit pada pusingan penentu kedudukan podium. Ng Hoi Yew wajar juga diberikan pujian kerana menguasai perlumbaan agak lama sebelum Chong Chee Chin mengejar dan merampas kedudukan tersebut.

    MSF Supermoto gegar K. Selangor, saji saingan sengit

    Namun Ng Hoi Yew kemudiannya memberikan saingan yang sangat hebat dan cuba memintas kembali. Ada ketikanya dia hampir berjaya, namun Chong Chee Chin berjaya menghalang usaha Ng Hoi Yew dengan baik — beza antara mereka berdua hanyalah 0.5 saat.

    Sayang sekali buat Liew Chin Hooi kerana terpaksa akur di kedudukan keempat setelah menunjukkan tunggangan yang mantap, tetapi pada penghujungnya terpaksa menyerahkan kedudukan ketiga kepada Brian Kee.?? Dengan saingan sengit seperti ini berterusan, dijangkakan aksi yang sama dan misi membalas dendam akan berlangsung di Litar Tangkak pada 5 Disember 2021 nanti.

     
     
  • Lynk & Co ke M’sia, Australia dan New Zealand tidak lama lagi – Tg Malim bakal jadi hab produksi RHD?

    Lynk & Co ke M’sia, Australia dan New Zealand tidak lama lagi – Tg Malim bakal jadi hab produksi RHD?

    Baru-baru ini, Geely Auto Group telah membentangkan strategi “Smart Geely 2025”, yang menggariskan beberapa inisiatif bertujuan untuk meningkatkan jualan kepada 3.65 juta unit dalam jualan tahunan bermula dari 2025, seperti yang diumumkan awal tahun ini.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, syarikat berkenaan berkata ia akan menumpukan pembangunan untuk pasaran Eropah Timur, Asia Tenggara dan Amerika Selatan termasuk memperkenalkan produk energi baharu ke pasaran Kesatuan Eropah, dan Asia Pasifik. Ia bertujuan untuk meningkatkan lagi jualan di luar negara melebihi 600,000 unit setiap tahun, yang akan menyumbang kepada matlamat jualan yang disebutkan.

    Syarikat ini juga mengesahkan Lynk & Co akan mengembangkan pasaran globalnya dengan memasuki Malaysia, Rusia, Australia dan New Zealand, serta lain-lain negara. Mesti ramai yang teruja bila Lynk & Co berminat untuk memasuki pasaran kita, tetapi bila dan model apa yang ditawarkan, belum diketahui.

    Buat masa ini, Lynk & Co mempunyai sembilan model dalam barisannya (termasuk yang bakal diperkenalkan), dari 01 hingga 09, dan salah satunya mungkin model hatchback kompak. Namun buat masa ini mereka juga sedang membangunkan skuter elektrik hasil kerjasama dengan Ninebot.

    Sebelum ini, ada spekulasi pernah timbul menyatakan jenama Sweden-China ini bakal diperkenalkan di Malaysia. Pada tahun 2019, unit pemanduan kiri bagi 01,02 dan 03 dikesan diuji di jalan raya kita. Walau bagaimanapun, ketika itu tiada pengesahan rasmi mengenainya.

    Ada juga kemungkinan model Lynk & Co yang bakal dilancarkan di sini akan dipasang secara tempatan (CKD), seperti yang kami pernah maklumkan beberapa tahun lalu. Semasa Geely mengambil alih Proton pada tahun 2017, syarikat China itu pernah menyatakan hasrat untuk menggunakan kilang Proton di Tanjung Malim sebagai hab produksi untuk memasang model Lynk & Co bagi pasaran unit pemanduan sebelah kanan (RHD).

    Dan jika perancangan tersebut menjadi kenyataan, ia juga membolehkan Geely mengeksport kereta Lynk & Co pemasangan Malaysia ke pasaran Australia dan New Zealand, yang merupakan pasaran RHD.

     
     
  • Di mana peruntukan bagi keselamatan jalan raya? – Lee Lam Thye nyatakan rasa hampa dengan Bajet 2022

    Di mana peruntukan bagi keselamatan jalan raya? – Lee Lam Thye nyatakan rasa hampa dengan Bajet 2022

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh New Straits Times, pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dikatakan meluahkan rasa hampa dengan kekurangan peruntukan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dalam Bajet 2022.

    Beliau juga dipetik berkata bahawa berbilion ringgit telah diasingkan untuk bahagian tertentu, tetapi tiada yang khas untuk melaksanakan projek keselamatan jalan raya, meskipun jumlah kematian atas jalan adalah antara penyumbang utama kepada kehilangan nyawa di dalam negara.

    Menurut Lee, Ikatan Komuniti Selamat telah menghantar cadangan serta senarai hajat untuk Bajet 2022 kepada menteri kewangan, dengan memberi keutamaan antaranya berkaitan lorong khas motosikal di sepanjang jalan serta lebuh raya sedia ada.

    “Nampaknya tiada langsung kemahuan politikal untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menyiapkan lorong motosikal ini, yang mana kalau dilaksana, boleh menyelamatkan ribuan nyawa, terutamanya warga muda. Ini dapat dibuktikan bukan sahaja berdasarkan kajian berterusan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tetapi juga pemikiran waras,” kata Lee.

    Di mana peruntukan bagi keselamatan jalan raya? – Lee Lam Thye nyatakan rasa hampa dengan Bajet 2022

    Menurut Lee, lorong khas motosikal adalah kritikal untuk mengasingkan pengguna jentera dua roda dengan lorong laju yang mana sangat berisiko untuk perlanggaran. Lee juga berkata bahawa disebabkan tiada lorong khas motosikal, kebanyakan kemalangan maut dan cedera parah yang dialami penunggang motosikal berlaku akibat menyelinap di lorong laju.

    “Tujuh daripada 10 kematian atas jalan raya adalah daripada pengguna motosikal, sekaligus menjadikan Malaysia semakin hampir kepada Thailand yang mencatat kadar kematian penunggang motosikal paling banyak di dunia. Dengan populariti servis penghantaran yang semakin meningkat sekarang, jumlah kematian juga akan naik, sehinggalah kerajaan dan pemimpin politik sedar realiti sebenar kematian yang boleh dibendung ini banyak memberikan impak sosial dan ekonomi kepada negara,” kata Lee.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024