Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini – polis

    Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini –  polis

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mensasarkan sejumlah enam juta data kenderaan disaring dan disimpan sebagai profil data kenderaan menjelang akhir tahun ini menerusi penggunaan teknologi Pengimbas Nombor Pendaftaran Kenderaan (iCOPS).

    Menurut pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim, sejak projek perintis dijalankan oleh pihaknya, sehingga kini sebanyak 4.7 juta profil data kenderaan di negara ini yang dikumpulkan menerusi iCOPS, laporan Bernama.

    JSPT Bukit Aman melihat kecanggihan teknologi iCOPS ini yang dilengkapkan dengan penggunaan teknologi kamera ‘Automated Number Plate Recognition’ (ANPR) juga dapat diperluas kepada agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara selepas pelaksanaannya secara keseluruhan bermula tahun hadapan.

    Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini –  polis

    “Teknologi ANPR yang dikenali dengan alat pengimbas nombor pendaftaran kenderaan (iCOPS) mula digunakan sebagai projek perintis oleh JSPT sejak 2016 dengan perolehan yang terhad sekitar 20 unit dan ia digunakan secara meluas bagi operasi mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, saman berstatus waran tangkap (Ops Warta), saman tertunggak warganegara asing (Ops OSTWA), kenderaan curi atau hilang, kenderaan klon serta nombor pendaftaran palsu.

    “Bukan hanya di negara Malaysia, teknologi kamera ANPR ini juga turut digunakan dengan meluas di negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia yang berkemampuan mengecam nombor pendaftaran kenderaan dengan cekap dan pantas,” katanya.

    Mat Kasim menjelaskan alat ini akan diletakkan pada kenderaan peronda pacuan empat roda polis yang dipasangkan kamera ANPR dan ia berfungsi untuk mengimbas nombor pendaftaran kenderaan sama ada ia statik di sekatan jalan raya, di parkir atau bergerak di lebuh raya dengan kelajuan 130 kilometer sejam dan radius liputan adalah 180 darjah dari kenderaan berkenaan. Ia juga memiliki ketahanan tinggi dan tahan lasak serta boleh beroperasi pada waktu siang dan malam termasuk ketika hujan.

    Sasar enam juta data kenderaan disaring dan disimpan menerusi iCOPS menjelang akhir tahun ini –  polis

    Tambahnya, setiap nombor pendaftaran kenderaan yang dilihat di jalanan itu menerusi iCOPS akan disambungkan ke pangkalan data profil kenderaan atau dikenali sebagai Pusat Data iCOPS di Bukit Aman untuk diperiksa sama ada mempunyai saman tertunggak atau waran tangkap membabitkan saman trafik termasuk kesalahan jenayah lain yang terdapat pada pemilik kenderaan berkenaan.

    “Di negara seperti United Kingdom (UK) juga turut mempunyai pangkalan data seperti Pusat Data iCOPS yang dikenali sebagai National ANPR Data Centre. Ia digunakan untuk menangani kes anti keganasan serta menggunakan bukti tidak langsung (circumstantial evidence) imej kenderaan yang dirakam di lokasi kejadian jenayah oleh kamera ANPR yang digunakan sebagai keterangan terhadap jenayah di mahkamah.

    “Kita menganggarkan tidak kurang 85% penjenayah menggunakan jalan raya semasa atau selepas melakukan kegiatan jenayah. Dengan adanya ICOPS ini dapat membantu polis dalam mengesan pelaku jenayah menerusi kenderaan yang digunakan serta bukti lain yang ada di sekeliling kita,” katanya.

     
     
  • Triumph perkenal edisi Gold Line untuk enam model Bonneville – cat dua tona, pinstripe warna emas

    Triumph perkenal edisi Gold Line untuk enam model Bonneville – cat dua tona, pinstripe warna emas

    Triumph telah memperkenalkan barisan Gold Line Edition untuk enam model Bonneville, yang akan cuma dijual selama satu tahun sahaja. Semua model ini mengambil model terkini masing-masing dan diserikan dengan penampilan serta cat khas.

    Barisan Gold Line Edition ini ditawarkan bagi model Bonneville Bobber, Bonneville Speedmaster, Bonneville T100, Bonneville T120 dan T120 Black, Scrambler 1200 XC dan XE, serta Street Scrambler. Jumlah pengeluaran setiap model bagaimanapun tidak diberitahu.

    Bagi setiap satu model Gold Line Edition ini, ia menggunakan warna dua tona khas yang berbeza berbanding model biasa, dan kemudiannya ditambah dengan jalur emas pinstripe yang dicat menggunakan tangan pada bahagian tangki dan juga panel tepi.

    Cat yang digunakan untuk jalur emas itu juga adalah istimewa, di mana ia melibatkan campuran serbuk berwarna serta cellulose lacquer, demi mendapatkan konsistensi yang dimahukan, memandangkan cat automotif biasa adalah terlalu nipis untuk proses berus tangan pinstripe ini.

    Proses ini juga dibuat sendiri oleh pekerja mahir kilang cat Triumph, dan mereka juga akan menurunkan tanda tangan sendiri di atas motosikal yang dibuat sebagai tanda sentuhan peribadi, yang menjadikan setiap model Gold Line ini istimewa.

    GALERI: Triumph Bonneville Bobber Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville Speedmaster Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T100 Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T120 Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Bonneville T120 Black Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XC Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Scrambler 1200 XE Gold Line Edition 2021

    GALERI: Triumph Street Scrambler XC Gold Line Edition 2021

     
     
  • Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

    Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

    Selepas didedahkan pada April lalu, Toyota 86 generasi kedua yang kini digelar sebagai GR86 secara rasminya mula dijual pada pasaran Jepun dengan harga bermula 2,799,000 yen (RM102k) bagi model asas RC 6MT sehingga 3,512,000 yen (RM128k) untuk model tertinggi RZ 6AT. Model ini turut ditawarkan dalam program langganan Kinto One dengan bayaran bulanan serendah 21,450 yen (RM783) sebulan.

    Sama seperti Toyota 86 generasi sebelumnya, GR86 masih dibangunkan bersama Subaru BRZ 2022. Dari segi rekaan, GR86 menampilkan hampir keseluruhan rupa yang sama dengan BRZ termasuk lampu dan bampar belakang. Elemen utama yang membezakan antara kedua-duanya adalah bampar dan gril hadapan – GR 86 menerima rekaan “Gril Matrix” serta diapit dengan liang udara sisi bersama kemasan hitam berbentuk-L.

    Perincian lain seperti lampu hadapan dengan bentuk titisan air bersama jalur LED lampu nyalaan siang berbentuk-C bersepadu, liang udara sisi yang memang berfungsi, bumbung “double bubble” dan juga spoiler ekor itik yang bersepadu terus dengan penutup but belakang adalah seiras dengan BRZ.

    Toyota GR86 mula dijual di Jepun – bermula RM102k

    Subaru BRZ dan Toyota GR 86 ini diasaskan dari casis generasi sebelumnya, tetapi diolah dengan elemen dari Subaru Global Platform yang baharu. Ini membolehkan ia mencapai ketegaran torsi 50% lebih kuat dari sebelum ini hasil dari sistem cagak casis yang telah diperkuatkan.

    Dimensi untuk model generasi baharu ini juga tidak banyak berubah dari model sebelumnya, dengan GR 86 diukur mempunyai 4,265 mm (+25 mm) panjang, 1,775 mm lebar, 1,310 mm (-10 mm) tinggi, serta jarak roda sejauh 2,575 mm atau 5 mm lebih panjang. Manakala beratnya pula adalah sekitar 1,260 kg hingga 1,290 kg bergantung kepada varian.

    Model generasi baharu ini masih tidak diberikan pengecas turbo, sebaliknya dibekalkan enjin Boxer empat silinder NA yang lebih besar. Toyota GR 86 dan Subaru BRZ kedua-duanya dijana oleh enjin petrol 2.4 liter (berbanding hanya 2.0L pada generasi sebelum) berkuasa 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm (sedikit lebih berkuasa dari BRZ 2022 USDM).

    Model asas ‘kosong’ Toyota GR86 RC yang mudah untuk dijadikan asas projek atau kereta lumba

    Enjin dengan kod FA24D berkenaan masih dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api D-4S Toyota, yang menampilkan sistem suntikan terus ke dalam kebuk pembakaran dan juga suntikan port. Ia juga dibekalkan dengan sistem injap bervariasi dual Active Valve Control System (DAVCS), dengan empat aci sesondol (dua setiap kepala) yang digerakkan oleh timing chain.

    Kuasa dari enjin masih hanya disalurkan hanya ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik (model asas RC hanya menerima kotak gear manual). Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini.

    Toyota turut menyatakan bahawa model dengan transmisi automatik turut akan datang sekali bersama pakej bantuan pemanduan Subaru EyeSight, termasuk teknologi keselamatan pra-pelanggaran.

    Bahagian dalaman GR 86 ini juga nampak seiras dengan Subaru BRZ generasi baharu. Ia menampilkan papan pemuka, sistem infotainmen, paparan instrumen digital, suis susunan seperti kekunci piano untum sistem pendingin hawa semuanya sama untuk kedua-dua model. Apa yang berbeza cuma logo Toyota dan lencana GR pada roda stereng.

    Ketika dilancarkan hari ini, Toyota turut menawarkan pelbagai kelengkapan tingkat taraf GR Parts – bukan sahaja untuk kosmetik, malah turut melibatkan komponen prestasi. Antara peralatan tersebut termasuk kit suspensi, kit brek lebih besar dengan angkup monoblok, rim aloi forged 19-inci rekaan jejari-Y, serta pelbagai kemasan gentian karbon – kesemuanya dengan cop GR.

    GALERI: Toyota GR 86 dengan GR Parts

     
     
  • Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Selepas hanya gambar ditunjuk bulan lepas, kini perincian selanjutnya untuk dua model elektrik siri e:N oleh Honda yang akan memasuki pasaran paling awal, iaitu e:NS1 dan e:NP1 pula didedah. Bagi e:NS1, yang sebenarnya adalah HR-V generasi ketiga versi elektrik, ia akan dibuat oleh Dongfeng Honda, sementara e:NP1 pula akan dibuat oleh GAC Honda untuk pasaran China.

    Menurut Honda, kedua-dua EV ini dibangunkan secara khusus untuk menepati keperluan pelanggan di China. Ia dibina atas platform e:N Architecture F baru, yang dikatakan mewarisi banyak aspek DNA pemanduan dinamik Honda, dan menawarkan pengendalian, ketepatan stereng serta prestasi terbaik dalam kelasnya.

    Badannya dijadikan lebih tegar, dan kenderaan ini menggunakan motor prestasi tinggi “tiga dalam satu” yang diletakkan atas gandar hadapan. Menurut Honda, algoritma motor ini membolehkan ia melaras kuasa untuk lebih 20,000 keadaan pemanduan, yang mana bersamaan 40 kali ganda lebih banyak berbanding EV biasa. Ini juga dikata menjadikan motor tersebut lebih responsif untuk apa sahaja keadaan pemanduan.

    Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Ciri aerodinamik model crossover ini telah dioptimakan untuk memberi jarak gerak paling baik, serta prestasi seperti kereta sports. Pek bateri besar dengan kapasiti yang masih belum diberitahu diletakkan di bawah lantai (di tengah, antara dua gandar), dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 500 km dengan sekali cas penuh.

    Apabila disambung kepada soket pengecas, sistem Heartbeat Interactive Light baru akan mengeluarkan cahaya dengan pelbagai ekspresi, sekaligus menjadikan tahap bateri yang sedang dicas mudah diketahui oleh pengguna dengan sekali imbas sahaja. Kemudahan lain yang disediakan adalah seperti sistem pembatalan bunyi aktif untuk kabin lebih senyap, mod Sports serta Honda EV Sound.

    Selain kemewahan, satu lagi ciri yang digemari pelanggan China adalah teknologi. Bagi model e:N, Honda akan memasang skrin sistem infotainmen sebesar 15.2 inci (menegak) dengan sistem e:N OS, perisian baru yang dapat menggabungkan Sensing dan Connect 3.0, serta kokpit digital pintar 10.25 inci.

    Honda e:NS1 dan e:NP1 – perincian lanjut dua model elektrik yang akan masuk pasaran China, skrin besar

    Ia juga mendapat peningkatan perisian OTA tanpa wayar, yang termasuk pembantu suara AI yang diprogramkan untuk memahami input kasual. Pengguna juga boleh menyambungkan sistem e:N OS kepada peranti pintar di rumah, atau lebih bagus lagi, menghidupkan fungsi dalam kenderaan secara jarak jauh menggunakan aplikasi telefon.

    Pada bahagian keselamatan, kenderaan ini akan dipasang dengan Driver Monitoring Camera, yang dapat memerhati corak pemanduan sebenar serta ekspresi muka pemandu secara berterusan. Ia kemudiannya akan membuat saranan yang bersesuaian, seperti masa untuk rehat setelah memandu lama. Perincian selanjutnya untuk e:NS1 dan e:NP1 akan didedahkan apabila pelancarannya semakin hampir nanti.

     
     
  • Honda CR-V Black Edition kini di Malaysia – RM162k

    Honda CR-V Black Edition kini di Malaysia – RM162k

    Honda Malaysia telah memperkenalkan Honda CR-V Black Edition, dan seperti namanya, ia diberikan versi serba hitam untuk SUV ini. Black Edition diasaskan dari varian pertengahan 1.5L TC-P 2WD bagi barisan CR-V facelift 2021, dengan kemasan badan berwarna Crystal Black Pearl. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM161,913 tanpa insurans, dengan pengecualian SST. Ini bermakna, Black Edition adalah RM4,298 lebih mahal berbanding varian biasa.

    CR-V Black Edition menampilkan gril hadapan hitam dan kemasan bampar hadapan juga hitam. Ia juga diberikan kemasan bampar hitam dan juga aloi 18-inci dengan tona hitam pekat.

    Di dalamnya, serlahan gelap juga menjadi pilihan, ini termasuklah kemasan untuk roda stereng, panel meter digital dan corong pendingin hawa semuanya dalam warna hitam pekat. Kemasan kayuan berona hitam juga diberikan pada konsol tengah, papan pemuka dan pintu berbanding coklat; senada dengan headlining dan tempat duduk hitam dengan sulaman perkataan “Black Edition” pada tempat duduk hadapan.

    Walau bagaimana tiada perubahan lain pada spesifikasinya, termasuk bahagian mekanikal. Ia masih dijanakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo, sama seperti varian 1.5L TC-P 2WD, dengan hamburan kuasa 193 PS dan tork 243 Nm, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT. Kelengkapan Honda Sensing ADAS bagi teknologi bantuan pemandu turut diberikan, merangkumi Remote Engine Start yang berfungsi untuk menghidupkan enjin dan juga bertindak untuk mengawal pendingin hawa. Selain itu, ia juga menampilkan tailgate kuasa, yang boleh dibuka dengan isyarat tendangan.

    Honda Malaysia berkata, sejak CR-V diproduksi secara tempatan (CKD) buat pertama kalinya pada tahun 2003, SUV ini telah terjual sebanyak lebih 108,000 unit. Ia termasuklah model semasa dari generasi kelima ini yang dilancarkan pada Julai 2017, turut menyumbang jualan lebih 43,000 unit. Malahan CR-V mendahului segmen SUV bukan-nasional dengan 24% dari perkongsian pasaran setakat Ogos 2021.

     
     
  • Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Selain model Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 CKD yang dilancarkan secara rasmi hari ini, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan model crossover GLA facelift 2021, yang juga versi pemasangan tempatan. Dua varian diperkenalkan untuk model ini, GLA 200 Progressive Line dan GLA 250 AMG Line.

    Kedua-dua model berkenaan mengekalkan tahap kelengkapan yang sama dengan model CBU sebelumnya, tetapi kini dengan harga yang lebih rendah. GLA 200 kini dijual pada harga RM232,379 (atas jalan tanpa insurans), sementara GLA 250 AMG Line pada harga RM266,164, dengan pengecualian cukai SST yang berakhir Disember nanti.

    Ini menjadikan GLA 200 Progressive Line CKD RM11,821 lebih murah berbanding model CBU sebelum ini, manakala GLA 250 AMG Line pula RM19,173 lebih murah berbanding model importnya — ini mengambil kira pengecualian SST untuk semua.

    Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Harga yang dinyatakan ini akan menjadi RM242,888 untuk GLA 200 dan RM278,888 untuk GLA 250 AMG Line sebaik sahaja tempoh pengecualian SST tamat nanti. Walaupun dengan harga penuh ini nanti, model CKD bagi GLA 200 adalah RM10,000 lebih murah, manakala bagi GLA 250 pula RM17,000 lebih murah.

    Sama seperti sebelum ini, ada dua pilihan enjin yang ditawarkan. GLA 200 menggunakan unit dari Renault M282 1.3 liter turbocas petrol empat-silinder yang menghasilkan 163 PS pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,620 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan Getrag. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

    Bagi GLA 250, ia menggunakan unit enjin dari Mercedes sendiri, M260 2.0 liter, dengan janaan 224 PS pada 5,500 rpm dan 350 Nm antara 1,500 dan 4,500 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi DCT lapan-kelajuan, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum yang lebih tinggi pada 240 km/j. Berbeza dengan GLA 250 sbeelum ini, tiada lagi sistem pacuan semua roda.

    Mercedes-Benz GLA CKD 2021 dilancarkan di Malaysia — A200 dan A250 AMG Line, dari RM233k-RM266k

    Kelengkapan luaran antara dua varian ini sama, termasuk lampu utama LED High Performance, pakej cermin serta landasan bumbung aluminium. GLA 200 datang dengan penampilan luaran Progressive Line serta rim 18-inci aloi lima jejari berkembar, sementara GLA 250 dengan penggayaan AMG Line dengan spoiler depan, kemasan hitam berkilat serta gril trapezoidal, dan kekal menggunakan rim dua-tona 19-inci aloi jejari berkembar seperti model CBU.

    Kelengkapan standard lain termasuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan 10.25-inci berkembar, sistem tanpa kunci, butang Push Start, bantuan parkir, kamera undur, pakej Light & Sight serta kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori.

    Mercedes-Benz GLA 200 2021 CKD

    Mercedes-Benz GLA 250 AMG Line 2021 CKD

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

    Mercedes-Benz A-Class  sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

    Mercedes-Benz A 200 Progressive Line

    Selepas dua tahun dijual di Malaysia dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU), Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan A-Class sedan V177 dalam versi pemasangan tempatan (CKD). Ia masih ditawarkan dalam dua varian iaitu A 200 Progresive Line serta A 250 AMG Line, dan seperti dijangka, ia dijual pada harga lebih rendah.

    Bagi A 200 Progresive Line CKD, sedan ini dijual pada harga RRM210,903. Manakala A 250 AMG Line pula dijual pada harga RM239,858. Angka-angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran serta termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi model CKD yang diberikan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022.

    Jadi berbanding model CBU, versi CKD ini adalah masing-masing sekitar RM11,000 dan RM19,000 lebih murah. Namun sekiranya cukai jualan 5% dikenakan semula selepas 31 Disember nanti, sedan A 200 dan A 250 ini akan dijual pada harga masing-masing RM219,888 dan RM249,888, atau sekitar RM10,000 dan RM18,000 lebih murah dari model CBU. Waranti masih tidak berubah dengan perlindungan selama empat tahun tanpa had perbatuan.

    Mercedes-Benz A-Class  sedan V177 CKD dilancarkan – A 200 dan A 250, bermula RM211k hingga RM240k

    Bagi spesifikasi, kedua-dua varian CKD ini masih menerima kelengkapan yang hampir sama dengan model CBU sebelum ini. Oleh itu, kedua-duanya diberikan lampu hadapan LED High Performance (tanpa pilihan lampu Multibeam) dengan sistem automatik. Ia juga disertakan dengan rim 18-inci lima jejari dan juga tip ekzos berkembar di belakang.

    Pakej AMG Line pada A 250 ditambah dengan bampar hadapan lebih garang, skirt sisi, dan set rim AMG. Walau bagaimanapun, model A 200 kini tidak lagi menerima tayar run flat, dan ia kini sama dengan A 250, diberikan tayar standard dengan kit baikpulih tayar. Manakala bagi A250 pula model CKD ini tidak lagi menerima cakera brek hadapan yang ditebuk.

    Pada bahagian kabin, A 200 dan A 250 sedan ini menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga disertakan, dengan paparan dua buah skrin lebar bersaiz 12.3-inci yang turut berfungsi sebagai paparan instrumen utama.

    Mercedes-Benz A 250 AMG Line

    Sistem MBUX berkenaan dapat dioperasikan menggunakan arahan suara “Hey Mercedes”, yang dapat mengawal fungsi seperti penghawa dingin dan sistem navigasi, dan ia direka bagi ‘belajar’ sifat-sifat pemiliknya menerusi teknologi A.I.

    Model A 200 hadir dengan kemasan ala gentian karbon bersama upholsteri kulit palsu Artico. Manakala model A 250 menerima tempat duduk sport dengan fungsi pemanas yang bersepadu dengan perehat kepala, bersama roda stereng rata di bawah dengan rekaan rata di bawah, kemasan brushed aluminium serta upholsteri Artico dan gentian mikro Dinamica.

    Kelengkapan standard lain turut sama seperti versi CBU termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tempat duduk larasan berkuasa dengan fungsi memori dan larasan lumbar empat hala, cruise control, cermin sisi dengan fungsi lipat automatik, kemasan bendul pintu bernyala, sistem navigasi berasaskan cakera keras serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi sistem pendingin hawa, model CKD ini kini diberikan sistem Thermotronic dua zon dan ditambah dengan liang kabin belakang.

    Mercedes-Benz A 250 AMG Line (kiri) dan A 200 Progressive Line (kanan)

    Unit janakuasa juga serupa di mana model A 200 diberikan enjin 1.33 liter empat-silinder turbo M282 (dibina bersama Renault) yang menjana 163 hp pada takat 5,500 rpm, dan tork maksima 250 Nm bermula 1,620 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dari Getrag, membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 230 km/j. Penggunaan bahan api gabungan pula adalah 5.4 liter untuk 100 km.

    Model A 250 pula masih menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo M260, tetapi menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 224 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Kotak gear klac berkembar automatik jenis basah dari Mercedes-Benz juga masih diberikan, dengan talaan yang dikemaskini.

    Enjin Mercedes-Benz A 250 AMG Line (kiri) dan A 200 Progressive Line (kanan)

    Ini membolehkan A 250 sedan berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksima 250 km/j. Sementara penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan pada kadar 6.3 liter untuk 100 km.

    Model A 250 juga menerima suspensi mulitilink yang lebih jitu pada bahagian belakang, manakala A 200 pula diberikan sistem torsion beam yang lebih ringkas. Walau bagaimanapun, kedua-duanya menerima talaan selesa dengan penyerap hentak pasif dan juga direndahkan 15 mm dari asal.

    Untuk keselamatan pula, kesemua varian diberikan tujuh-beg udara, Bantuan Brek Aktif (brek kecemasan automatik), sistem pemantau tekanan angin tayar serta Bantuan Parkir Aktif bersama kamera undur. Bagi model A 250, versi CKD ini kini ditambah dengan pemantau titik buta.

    GALERI: Mercedes Benz A 200 Progresive Line CKD 2021

    GALERI: Mercedes Benz A 250 AMG Line CKD 2021

     
     
  • Bermaz rancang bawa Mazda MX-30 Electric ke M’sia

    Bermaz rancang bawa Mazda MX-30 Electric ke M’sia

    Pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, iaitu Bermaz dikatakan mempunyai perancangan untuk membawa masuk Mazda MX-30 Electric ke Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Maybank Investment Bank dalam kaji selidik “harapan Bajet Automotif Malaysia” mereka.

    Laporan yang memberikan fokus kepada kumpulan automotif senarai awam di Malaysia serta rancangan mereka untuk elektrifikasi ini menyatakan bahawa ketibaan MX-30 versi EV ini adalah bergantung kepada kelulusan ibu pejabat Mazda serta sama ada polisi EV baru nanti cukup menarik ataupun tidak.

    Mazda MX-30 Electric didedahkan kali pertama sewaktu Tokyo Motor Show 2019, di mana ia menggunakan motor elektrik 145 PS (107 kW) serta menyediakan 271 Nm tork untuk dihantar kepada roda hadapan melalui kotak gear satu kelajuan. Bateri yang digunakan mempunyai kapasiti 35.5 kW, dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 224 km.

    MX-30 boleh dicas menggunakan AC sehingga 6.6 kW dengan soket Type 2, serta pengecas pantas DC sehingga 50 kW menggunakan soket CCS. Menggunakan pengecas AC, ia akan mengambil masa tiga jam dari tahap 20% ke 80%, sementara apabila menggunakan pengecas pantas DC, masa yang diperlukan cuma 36 minit.

    MX-30 juga terdapat dalam versi hibrid ringkas, yang menggunakan padanan enjin 2.0 liter, sistem M Hybrid 24 volt serta transmisi automatik enam kelajuan, tetapi nota yang dikeluarkan oleh Maybank IB secara khusus merujuk kepada “BEV”, iaitu kenderaan elektrik bateri.

    Mereka juga tidak memberi sebarang garis masa, tetapi pada tahun lepas telah keluar satu laporan oleh AmInvestment Bank yang mengatakan MX-30 bakal tiba pada Oktober 2020. Ia bagaimanapun tidak berlaku, mungkin kerana pandemik, tetapi cukup untuk kita tahu bahawa Bermaz mempunyai perancangan untuk pengenalan model elektrik.

    laporan itu juga menyatakan bahawa Bermaz sudah mengenal pasti pengendali perkhidmatan mengecas kenderaan persendirian (contohnya ChargEV) yang berpotensi menjadi rakan kerjasama, dan model EV mereka (Kia dan Peugeot juga sekarang di bawah Bermaz) akan mempunyai pelan berasaskan langganan untuk mengatasi masalah kos dan waranti.

    GALERI: Mazda MX-30

     
     
  • Jangan menyalakan lampu amaran bahaya ketika memandu dalam keadaan hujan lebat – polis

    Jangan menyalakan lampu amaran bahaya ketika memandu dalam keadaan hujan lebat – polis

    Seperti kebiasaan, hujung tahun sahaja pastinya orang kaitkan dengan ‘musim hujan’, malah bukan setakat hujan sikit-sikit, tapi hujan lebat dengan ribut petir hingga banyak tempat dilanda banjir. Ini kerana peralihan angin monsun yang sedang berlaku sekarang sehingga membawa hujan lebat dan angin kencang di kebanyakan tempat di seluruh negara.

    Memandu dalam keadaan sebegini memang boleh mengundang bahaya jika tahap pemanduan tidak dipertingkatkan dan aspek keselamatan juga diabaikan. Baru-baru ini menerusi entri di Facebook rasminya, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah memberikan beberapa panduan kepada pengguna jalan raya berkenaan dengan pemanduan ketika memandu dalam keadaan hujan lebat.

    Ada empat poin utama yang dikongsikan oleh JSPT, namun larangan penggunaan lampu amaran bahaya atau hazard light paling ramai pemandu yang ingkar. Masih ramai pemandu yang akan memasang hazard light atau dalam bahasa pasar, digelar ‘double signal’, ketika memandu dalam hujan. Tahukah anda, penggunaan hazard light hanya ketika kenderaan berhenti atau pun disebabkan hal kecemasan sahaja. Memandu dalam hujan lebat bukan kecemasan kan?

    Mungkin ada pemandu yang memasang hazard light untuk memudahkan kenderaan yang dipandu dilihat oleh pemandu lain memandangkan ketika hujan lebat, pastinya jarak penglihatan agak terhad. Tanggapan ini salah sama sekali. Pemandu lain boleh keliru bila terlihat kenderaan anda dengan hazard light yang menyala itu. Mungkin ada yang keliru adakah anda mahu berhenti disebabkan kecemasan (tetapi kenderaan anda masih meluncur tanpa tanda hendak berhenti), atau keliru arah mana yang anda mahu lalui, mahu ke lorong kiri atau kanan?

    Jangan menyalakan lampu amaran bahaya ketika memandu dalam keadaan hujan lebat – polis

    Selain boleh membuatkan pemandu lain sebal dengan tindakan anda, ia juga boleh mengundang risiko kecelakaan. Bayangkan, anda mahu menukar laluan ke lorong kanan, anda memilih untuk tidak menggunakan lampu isyarat membelok atau signal sebaliknya terus kekal dengan hazard light yang menyala dan terus menukar lorong. Tidakkah tindakan itu mungkin membuatkan pemandu di lorong kanan tidak sempat membrek dan ‘menghentam’ belakang kereta anda? Fikirkanlah.

    Cara yang paling tepat untuk memudahkan pemandu lain ‘perasan’ kehadiran kenderaan yang anda pandu ialah dengan menyalakan lampu utama kenderaan anda, ia akan cukup jelas kelihatan semasa hujan lebat. Dan sekiranya jarak penglihatan menurun kurang dari 100 m, pasang lampu kabus (fog lamp) hadapan, dan jika memang diperlukan, lampu kabus belakang juga boleh digunakan, khususnya bagi membantu pemandu kenderaan di belakang anda mengagak jarak antara kenderaan di hadapannya.

    Selain itu, JSPT juga menasihati anda supaya memperlahankan kelajuan kenderaan. Dalam erti kata lain, jangan pandu laju sewaktu hujan lebat. Kelajuan melebihi 80 km/j boleh membuatkan tayar kenderaan tidak begitu mencengkam pada permukaan jalan, malah boleh membuatkan kenderaan yang dipandu hilang kawalan.

    Kami kongsikan semula TIP MEMANDU KETIKA HUJAN LEBAT yang pernah disiarkan beberapa tahun lalu. Moga ia dapat memberikan panduan kepada anda, selain perlu meningkatkan fokus pemanduan dan amalkanlah pemanduan berhemah.

     
     
  • Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Selain dari Honda Accord Wagon 1996 binaan Fifteen52 dan Montune USA, Honda Performance Development (HPD) turut bakal membawa berberapa Honda Civic generasi baharu yang diubhsuai dan juga kenderaan-kenderaan overland yang diasaskan dari SUV Honda Passport, trak pikap Honda Ridgeline dan juga motorsikal Honda Africa Twin ke pertunjukan SEMA tahun ini, yang bakal berlangsung di Las Vegas Convention Center pada 2 hingga 5 November

    Kereta pertama yang akan dipertontonkan oleh HPD di reruai mereka pada acara berkenaan adalah jentera lumba prototaip Civic Si. Kereta lumba yang diasaskan dari model prestasi sedan Civic Si yang baru sahaja didedahkan minggu lalu itu dibina oleh HPD sebagai jentera yang sudah siap untuk berlumba dalam perlumbaan touring car terpilih bagi dijual kepada pelanggan, serta turut boleh digunakan dalam sesi track day.

    Ia masih dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan juga kotak gear enam-kelajuan asal SI, tetapi dipertingkat dengan pelbagai kelengkapan prestasi seperti kotak komputer talaan semula oleh HPD, ekzos dari Borla, radiator kapasiti tinggi dari PWR/HPD, manakala kotak gearnya pula menerima set gear empat custom bersama LSD perlumbaan dari Cusco/HPD.

    Untuk casis, kereta lumba ini menerima set penyerap hentak boleh laras dari Bilstein bersama spring Eibach, plat camber hadapan HPD. Suspensi belakang pula diberikan lengan atas dengan sudut camber yang boleh dilaras dan lengan sudut toe yang juga boleh dilaras.

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Bagi sistem brek pula, HPD memberikan cakera two piece dan angkup enam-omboh dari Willwood di hadapan, bersama pad brek dari Pagid, serta paip braided logam tahan karat dari HPD sendiri. Ia juga diberikan rim Momo Etna bersaiz 17X8 inci bersama tayar perlumbaan Pirelli bersaiz 245/620R17.

    Pada bahagian luaran, jentera lumba prototaip Civic Si ini diberikan kit penggayaan HPD terdiri dari splitter bawah bampar hadapan dan skirt sisi, serta spoiler bawah badan dan juga saluran udara untuk penyejukkan brek hadapan juga dari HPD. Sayap GT gergasi yang diletakkan pada but belakang adalah dari APR.

    Manakala pada bahagian kabin, ia diberikan kelengkapan lazim bagi kereta lumba termasuk tempat duduk bucket, tali pinggang keledar enam-point, roda stereng dengan boss kit buka cepat dan sistem pemadam api on board – kesemuanya dari OMP.

    Ia juga diberikan sistem data logging dari Motec, manakala maklumat parameter diberikan kepada pemandu menerusi paparan perlumbaan AiM Technologies MXP. Tempat duduk penumpang hadapan ditawarkan secara opsyen bagi membolehkan demonstrasi pemanduan litar dibuat.

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Satu lagi jentera perlumbaan yang diasaskan dari Civic Si 2022 yang akan dibawa ke SEMA ini adalah jentera binaan Team Honda Research-West (THR-W). Pasukan ini merupakan pasukan lumba yang dianggotai oleh kakitangan Honda dan diselia oleh Honda sendiri sebagai aktiviti selepas kerja, sama seperti Honda Malaysia Racing Team dan juga Team Yamato di Jepun.

    Jentera lumba Civic Si binaan THR-W ini bakal berlumba di perlumbaan NASA Thunderhill 25-Jam tahun ini yang bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Disember nanti di California Utara. Ia baru sahaja melengkapkan ujian pertamanya sebelum beraksi dalam perlumbaan sebenar kelak.

    Antara modifikasi yang dibuat terhadap Civic Si THR-W ini adalah pemadanan radiator aluminium dan penyejuk minyak pelincir dari Koyo, talaan semula kotak komputer oleh Hondata, paip bawah dan bahagian hadapan bagi sistem ekzos dibuat oleh RV6 bersama paip belakang dibuat oleh Ticon, penggunaan cagak enjin Hasport, pemadanan sistem pengurusan suhu dan bateri oleh Antigravity dan pelbagai lagi. Secara keseluruhan, Civic Si ini menghasilkan kuasa 220 hp dan tork maksima 325 Nm.

    Honda Performance Development bawa Ridgeline, Civic dan pelbagai model ubahsuai ke SEMA 2021

    Kereta lumba binaan THR-W ini diberikan penyerap hentak dua hala EXR KW Competition dengan spring H&R, bersama lengan bawah belakang dan penghubung-penghubung, serta bar penstabil dari RV6. Untuk brek pula, ia menerima angkup empat omboh dan cakera two piece dari Paragon bersama pad perlumbaan endurance dari Pagid.

    Pada bahagian luaran, Civic Si ini dipadankan dengan penutup bonet gentian karbon dari Seibon, sayap GT belakang dari APR, bersama splitter udara bawah bampar hadapan yang dibuat oleh Power Stream Industries. Ia juga dilengkapi dengan tayar Continental bersaiz 245/40R17, manakala lampu LED hadapan pula dibekalkan oleh Baja Design.

    Kabin Civic Si ini dihasilkan bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan untuk perlumbaan Thunderhill 25-jam berkenaan. Oleh itu ia dipadankan dengan rollcage spesifikasi FIA, serta kelengkapan yang diluluskan oleh FIA lain termasuk tempat duduk bucket Bride, roda stereng Sparco, tali pinggang keledar enam-poin Schroth bersama jaring tingkap, tangki bahan api 32-gelen Fuelsafe, dan sistem pemadan api dari OMP.

    HPD turut membawa dua buah Honda Civic Si produksi jalan raya yang telah diubahsuai. Bagi unit yang dilengkapi dengan rak bumbung, ia sebenarnya dihasilkan untuk pasukan yang bertanding dalam e-sukan iaitu Team Liquid, di mana Honda merupakan rakan kerjasama eksklusif untuk automotif.

    Selain rak bumbung Thule Motion XT Alpine, Civic Si Team Liquid tersebut menerima pelbagai aksesori asli Honda dan juga peralatan yang dihasilkan oleh HPD. Spoiler bawah bampar hadapan, spoiler belakang dan logo HPD hitam berkilat pada kereta berkenaan dibekalkan oleh HPD, manakala logo hitam-berkilat, rim-18-inci kemasan hitam bersama penutup injap udara dan rel bumbung adalah aksesori asli Honda.

    Satu lagi unit Civic Si berwarna oren yang dibawa ke SEMA 2021 ini pula adalah unit demo yang dipasang dengan aksesori asli Honda dan juga HPD yang sudah pun boleh dibeli oleh orang awam. Senarai kelengkapan yang diberikan adalah sama dengan Civic Si Team Liquid, kecuali rel dan rak bumbung.

    Untuk kenderaan overland, kita mulakan dengan SUV Honda Passport yang digelar TrailSport Rugged Roads Project 2.0. SUV ini menerima kelengkapan custom hasil dari R&D Honda yang terdiri dari recovery point untuk bahagian hadapan dan juga skid plate sebenar yang diperbuat dari logam bagi melindungi takung minyak pelincir dan juga tangki bahan api ketika mengharungi permukaan lasak.

    Passport ini juga diberikan aksesori asli Honda seperti bar silang bumbung, fender flare, rim 18-inci dibalut tayar all-terrain Firestone Destination bersama penutup injap udara dan nat tayar, kemasan bawah pintu, penambat treler belakang, tray kargo, dan juga pelindung panel sisi kargo.

    SUV tersebut juga ditinggikan lagi menggunakan lift kit dari J Sport. Di belakang, ia menerima penyangkut tayar gantian dari Dirt Complex, bersama recovery point belakang dan cagak penerima penambat treler dari Factor 55.

    Manakala bagi trak pikap, model yang dibawa ke SEMA 2021 ini digelar sebagai Ridgeline HPD Trail Tour Project. Ia turut menerima kelengkapan custom yang sama seperti Passport, termasuk recovery point, skid plate dan juga tayar Firestone Destination.

    Ia turut ditinggikan dengan lift kit dari J Sport, serta dibekalkan dengan traction board dari Maxtrax. Manakala di belakang, ia dilengkapi cagak shackle untuk penambat treler dan recovery point dari Factor 55.

    Thule turut membekalkan pelbagai peralatan untuk Ridgeline ini termasuk khemah bumbung, rak bed belakang dengan bar sisi, cagak rel yang ditinggikan serta bakul bumbung.

     
     
  • ERL umum kekerapan perjalanan tren bagi KLIA Ekspres, Transit dipertingkatkan mulai 1 Nov

    ERL umum kekerapan perjalanan tren bagi KLIA Ekspres, Transit dipertingkatkan mulai 1 Nov

    Express Rail Link (ERL) telah mengumumkan tren antara bandar-ke-lapangan terbang KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan dipertingkatkan kekerapan perjalanannya bermula 1 November 2021. Ini merupakan berita baik kepada para penumpangnya, memandangkan pengangkutan udara sudah kembali aktif terutamanya penerbangan domestik selepas terjejas akibat penangan Covid-19.

    Perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit telah pun kembali beroperasi sejak 13 September, selepas perkhidmatannya digantung sementara pada 4 Jun lalu disebabkan kekurangan permintaan. Waktu operasinya ada dari jam 6 pagi hingga 10.10 malam, dan buat masa ini, kekerapan perjalanan tren adalah setiap 60 minit.

    ERL umum kekerapan perjalanan tren bagi KLIA Ekspres, Transit dipertingkatkan mulai 1 Nov

    Walau bagaimana pun, bermula 1 November ini, kekerapan tren dipertingkatkan iaitu setiap 30 minit bagi waktu puncak. Ini bermakna pada setiap hari biasa, waktu puncaknya adalah dari jam 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 petang. Untuk waktu bukan puncak dan juga pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, kekerapan tren masih dikekalkan pada setiap 60 minit.

    Awal bulan ini, ERL turut melancarkan aplikasi KLIA Ekspres baharu dan program kesetiaan ExpreSmile untuk kemudahan para pelanggannya terutama dalam menggalakkan pembayaran tanpa tunai.

     
     
  • Harga minyak 28 Okt-3 Nov – RON97 naik 10 sen

    Harga minyak 28 Okt-3 Nov – RON97 naik 10 sen

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan harga bahan api utama di negara ini untuk minggu bertarikh 28 Oktober hingga 3 November 2021. Di mana sepanjang minggu ini, harga runcit bahan api petrol RON 97 dilaporkan naik sebanyak 10 sen seliter, menjadi RM2.97 seliter berbanding RM2.87 seliter pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan iaitu RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 3 November 2021.

     
     
  • Hyundai Kona Electric muncul dalam video Staria, EV ini bakal dilancarkan di Malaysia sebelum akhir tahun

    Hyundai Kona Electric muncul dalam video Staria, EV ini bakal dilancarkan di Malaysia sebelum akhir tahun

    Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) melancarkan MPV Staria secara maya hari ini. Bagaimanapun, dalam video yang ditunjukkan berkaitan MPV berharga RM360k itu, sebenarnya turut ditampilkan kelibat model Hyundai Kona Electric.

    Tangkap layar di atas menunjukkan sebuah Kona Electric biru ketika menunjukkan fungsi Safe Exit Assist — sebuah ciri dalam Hyundai SmartSense ADAS terbaru — yang bertindak menghindarkan pemandunya daripada membuka pintu kerana situasi tidak selamat. Itu bukan Kona petrol kerana wajah depannya yang tampil tanpa gril, serta bunyi pecutan yang senyap kereta terbabit.

    Ini juga bukan rahsia, kerana sebelum ini dua unit Kona Electric facelift dilihat di sebuah stesen minyak di Ara Damansara awal bulan ini. HSDM juga terdahulu mengesahkan kepada paultan.org bahawa pelancaran Malaysia bagi model terbabit akan berlangsung pada suku keempat tahun ini. Itu bermaksud tidak lama lagi.

    Boleh juga didedahkan bahawa Kona Electric akan didatangkan dalam dua saiz bateri — 39.2 kWh dan 64 kWh — sama seperti di Eropah. Motor tunggal pada model asas menghasilkan 136 PS sementara versi bateri yang lebih besar dengan motor 204 PS. Kedua-duanya datang dengan 395 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.9 saat bagi bateri 39.2 kWh dan 7.9 saat bagi bateri 64 kWh. Laju maksimum masing-masing adalah 155 km/j dan 167 km/j.

    Walaupun tiada perubahan pada bateri, ada sedikit perbezaan bagi jarak pemanduan bagi satu cas penuhnya dalam kitaran WLTP. Versi 39.2 kWh kini memberikan 305 km (kurang 7 km dari 312 km) sementara versi 64 kWh memberikan 484 km (tambah 2 km dari 482 km).

    Bagi pengecasan, pengecasan pantas DC dari 10% ke 80% dengan pengecas 50 kW akan mengambil masa 48 minit bagi model 39.2 kWh, atau 64 minit bagi model 64 kWh. Dengan pengecas 100 kW pula ia hanya memerlukan 47 minit untuk kedua-duanya.

    Pengecasan AC biasa dengan pengecas dalaman 7.2 kW single-phase pula memerlukan enam jam untuk mencapai 10% hingga 80% bagi model asas, dan sembilan jam 15 minit bagi model 64 kWh. Masa mengecas masing-masing akan jadi hanya empat jam 20 minit dan enam jam 50 minit dengan pengecas dalaman 10.5 kW three-phase pilihan.

    Untuk pasaran Eropah, ada dua tema ruang dalaman — pertama, hitam dengan material kain, campuran kain dan kulit atau balutan kulit; sementara yang kedua dalam warna kelabu. Ruang dalaman kereta yang ada ini tidak dapat dilihat dengan jelas.

    Bantuan pemandu SmartSense telah dinaiktaraf dan kini termasuk ciri bantuan mengelak perlanggaran lintasan belakang (RCCA) dan bantuan tinjauan titik buta. Semua fungsi ini ada tambahan brek autonomous kepada ciri amaran sebelum ini. Juga baru untuk Kona Electric adalah ciri Leading Vehicle Departure Alert (LVDA), Safe Exit Warning (SEW) dan Rear Seat Alert (RSA).

     
     
  • Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Februari lalu, sayap prestasi Honda Amerika Syarikat iaitu Honda Performance Development (HPD) telah mengumumkan bahawa mereka telah pun mula menjual enjin crate (enjin baharu dalam peti) 2.0L empat-silinder VTEC Turbo K20C1 yang sama dalam perut Civic Type R FK8 kepada sesiapa sahaja yang berminat.

    Apa yang boleh dibuat dengan enjin tersebut? Ini salah satu contoh – pembuat rim terkenal Amerika Syarikat, Fifteen52 bersama salah satu pengedar sah HPD iaitu Montune USA telah menyumbat enjin berkenaan ke dalam sebuah Honda Accord Wagon 1996! Apa yang menarik, Kereta ini diubahsuai bagi menyerupai jentera Kejohanan Touring Car Jepun (JTCC) ‘JACCS Accord’ yang dipandu oleh Naoki Hattori pada tahun 1996, tetapi dalam versi wagon.

    Enjin K20C1 tersebut tidak langsung diubahsuai – dari peti, ia terus diletak dalam perut Accord Wagon berkenaan menggunakan set cagak dari Hasport. HPD menjual enjin ini sekali sekali dengan unit alternator, pengecas turbo dan motor penghidup, serta Control Package yang terdiri dari kotak komputer yang dibangunkan HPD, set pendawaian dan juga pedal pendikit. Menurut HPD, secara standard enjin ini menghasilkan kuasa 306 hp dan tork maksima 400 Nm.

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Bagi memindahkan kuasa dari enjin ke roda hadapan, Montune turut memadankan kotak gear enam-kelajuan manual Civic Type R, bersama klac prestasi tinggi dari X-Clutch.

    Sebelum enjin ini dimasukkan ke dalam Accord tersebut, Montune telah merestorasi semula kerangka wagon ini dan memadankan rollcage yang dibina oleh After Hours Automotive. Suspensi kereta ini turut di bina semula dan kini ia menerima lengan kawalan, tie rod dan set hubungan toe dari Hardrace.

    Penyerap hentak boleh laras sepenuhnya Tein Street Advance Z dipadankan pada setiap sudut, dan dilaras cukup rendah bagi membolehkan sebahagian tayar Toyo Proxes RR bersaiz 235/35ZR19 yang membaluti rim aloi Super Touring Podium Fifteen52 19-inci bersembunyi di bawah fender – persis jentera Group A JTCC sebenar.

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Kesemua komponen suspensi ini dipadankan pada hab roda yang diambil dari Civic Type R FK8, serta membolehkan set brek Brembo juga dari Type R FK8 dipadankan terus pada Accord Wagon ini.

    Kokpit Accord Wagon ini juga turut diubahsuai bagi kelihatan seperti kereta lumba sebenar. Ia diberikan papan pemuka yang dibina semula dari material gentian karbon, kemudian dibekalkan dengan kelengkapan perlumbaan seperti tempat duduk bucket penuh, tali pinggang keselamatan dan roda stereng – kesemuanya dari Sparco.

    Pemandu menerima semua parameter kereta ini menerusi paparan instrumen perlumbaan AEM CD-7 Carbon Digital Racing Dash Displays. Turut boleh dilihat dalam kabin Accord ini adalah tangki bahan api perlumbaan Radium Engineering dengan pam bahan api AEM 340lph.

    Honda Accord Wagon 1996 Fifteen52 akan dibawa ke SEMA 2021 – 2.0L VTEC Turbo, gaya jentera JTCC

    Pada bahagian luaran, Accord Wagon ini diberikan rupa seiras yang mungkin dengan jentera JACCS Accord sebenar. Ia termasuk pemadanan spoiler bawah bampar hadapan, set muka Accord generasi kelima JDM lengkap dengan semua lampu, serta livery perlumbaan yang sama – cuma logo JACCS ditukar kepada logo Fifteen52.

    Kereta ini sebenarnya sudah pun siap pada Mei lalu. Namun, Honda Performance Development baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan dibawa ke pertunjukan SEMA Show 2021 yang akan berlangsung di Las Vegas Convention Center pada 2 hingga 5 November nanti bagi dipertontonkan kepada orang awam.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD muncul dalam teaser – pelancaran bakal berlaku tidak lama lagi

    Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD muncul dalam teaser – pelancaran bakal berlaku tidak lama lagi

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) secara rasminya telah menyiarkan satu teaser untuk A-Class Sedan pemasangan tempatan (CKD), sambil menyatakan pelancarannya akan berlaku tidak lama lagi. Ketibaan sedan kompak CKD ini telah disahkan bulan lalu oleh presiden dan CEO MBM, Sagree Sardien serta ketua bahagian jualan dan pemasaran MBM, Michael Jopp.

    Melalui pemasangan dalam negara ini, harga untuk A-Class Sedan dijangka menurun sedikit, tetapi kita masih perlu melihat perubahan spesifikasi yang diberi berbanding model CBU. Buat masa sekarang, dengan pengecualian cukai 50% bagi kenderaan CBU, A 200 Progressive Line dijual pada harga RM222,121 manakala A 250 AMG Line pada RM259,255.

    Pesaing terdekatnya, iaitu BMW 2 Series Gran Coupe F44 pula dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM211,367 kerana ia sudah sememangnya dipasang dalam negara. Model ini ditawarkan dalam hanya satu versi, iaitu 218i M Sport, yang menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter B38 berkuasa 140 PS dan 220 Nm tork.

    A 200 pula digerakkan oleh enjin empat silinder 1.3 liter turbo daripada Renault. Walaupun kapasitinya lebih kecil, kuasanya pula lebih tinggi berbanding 2 Series Gran Coupe, iaitu 163 PS dan 250 Nm tork.

    Sementara ketibaan A 200 seperti sudah pasti, kita juga boleh menjangka A 250 CKD dilancarkan sekali kerana biasanya MBM akan membawa model yang sama bagi versi CKD, mengikut versi CBU yang sudah sedia dijual.

    GALERI: Mercedes-Benz A 200 Progressive Line Sedan V177

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024