Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Lebuhraya Pennsylvania Turnpike di Amerika Syarikat mengumumkan bahawa mereka kerugian USD104 juta (RM432 juta) kerana 11 juta pengguna dari 170 juta penggunanya tidak membayar tol mereka setelah sistem kutipan tol tanpa palang beroperasi sepenuhnya tahun lalu, lapor AP.

    Menurut laporan berkenaan, lebuhraya tersebut mula menggunakan sepenuhnya sistem pembayaran elektronik pada tahun lalu kerana pandemik Covid-19, di mana mereka yang tidak mempunyai sistem E-Zpass perlu menggunakan sistem kamera nombor plat pendartaran “toll-by-plate” sebagai cara pembayaran bagi menggunakan lebuhraya yang menghubungkan Philadelphia dan Pittsburgh sejauh 805 km itu.

    Namun menerusi pemerhatian yang dibuat, satu daripada dua pengguna sistem “toll-by-plate” cenderung untuk tidak membayar kos tol berkenaan, menyebabkan agensi pengendalinya tidak menghasilkan sebarang keuntungan sehingga 31 Mei lalu.

    “Kami ambil isu ini dengan sangat serius. Ia adalah angka yang besar, tiada persoalan,” kata ketua eksekutif PA Turnpike, Mark Compton. “Tetapi kami, sebagai sebuah organisasi, tidak akan meninggalkan sebarang cara untuk mengatasi ‘kebocoran’ berkenaan,” kata Compton lagi.

    Disebabkan masalah yang ditimbulkan oleh golongan minoriti yang tidak mempunyai E-Zpass tersebut, Pennsylvania Turnpike kini dibelenggu hutang di mana lebih separuh dari pendapatannya terpaksa digunakan untuk membayar kos pinjaman dan tol yang telah meningkat empat kali ganda dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini.

    Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Tahun lalu sejumlah 1.8 juta plat pendaftaran pengguna Pennsylvania Turnpike tidak dapat dikesan, dengan jumlah bil tertunggak mececah lebih dari satu juta. Agensi kenderaan motor yang gagal untuk memberikan alamat pemilik pula mencapai lebih dari 1.5 juta, serta tambahan 6.7 juta transaksi ditandakan sebagai “belum dibayar”.

    Selepas tiada lagi orang diperlukan di pondok tol, kakitangan Pennsylvania Turnpike kini terdiri dari kontraktor yang bertugas untuk menilai gambar yang diambil tetapi sistem tidak dapat mengeluarkan nama dan alamat pemilik secara automatik supaya bil dapat dihantar.

    Laporan yang dikeluarkan oleh lebuhraya tersebut sendiri Julai lalu menyatakan bahawa hampir separuh imej kamera plat pendaftaran tersebut tidak dapat digunakan kerana plat berkenaan tidak berada dalam gambar. Antara contoh yang diberikan adalah kenderaan tidak mempunyai nombor pendaftaran hadapan kerana ia memang tidak menjadi kesalahan di Pennsylvania.

    Sekitar 41% imej yang rosak pula adalah kerana halangan seperti rak basikal. Manakala 1.1% lagi adalah imej di mana pemilik kenderaan sengaja mewujudkan halangan agar ia tidak dapat dibaca seperti meletakkan sesuatu pada plat tersebut.

    Mereka yang mengelak dari membayar tol ini juga dilihat sangat kreatif dalam melakukan kesalahan berkenaan dengan menggunakan gris bagi mengkaburkan plat, dan menggunakan alat yang boleh menutup plat tersebut ketika ia dipandu melalui kamera.

    Menerusi undang-undang negeri 2017, Suruhanjaya Pennsylvania Turnpike telah merujuk kapada jabatan pengangkutan negeri berkenaan untuk menggantung pendaftaran kenderaan yang terlibat melakukan kesalahan itu, menyaksikan sekitar 10,000 kenderaan telah pun ditahan.

    Tol tanpa palang di Pennsylvania Turnpike rugi RM432 juta kerana pengguna yang lalu tanpa membayar

    Pennsylvania Turnpike juga meminta peguam daerah untuk menuntut caj perkhidmatan bagi mereka yang berhutang sekurang-kurangnya USD2,000, serta telah menggunakan pemungut hutang bagi mendapatkan bayaran tertunggak dari pemandu di Pennsylvania dan lain-lain tempat.

    Setiausaha Pengangkutan Negeri Yassmin Gramian yang juga pengerusi lembaga turnpike menyatakan bahawa suruhanjaya lebuhraya tersebut mahu lebih kuasa untuk mengutip tol yang tidak berbayar berkenaan dari penghutang yang berada di luar Pennsylvania, namun memerlukan perundangan di negeri-negeri itu.

    Walaupun sistem bayaran tol tanpa palang ini menyebabkan masalah pengguna yang enggan membayar, ia tetap menyelesaikan beberapa masalah lain. Antaranya ia memperbaiki aliran trafik, mengurangkan pencemaran dan juga mengurangkan kos penyelenggaran pondok tol.

    Tahun lalu Pennsylvania Turnpike telah mengurangkan kakitangannya dari 1,900 orang kepada hanya 1,300 orang buat masa sekarang. Kutipan tol keseluruhan pula adalah sekitar USD 1.3 bilion tahun lalu, dengan kutipan dari E-Zpass sahaja berjumlah lebih dari 1 bilion.

     
     
  • Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

    Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

    Ducati Multistrada V4 2021

    Model adventure touring Ducati Multistrada generasi keempat yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Multistrada V4, pada harga RM135,900 dan Multistrada V4S pada harga RM146,900.

    Peningkatan utama pada model ini adalah enjin V4 Granturismo, yang berkapasiti 1,158 cc, dengan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan 125 Nm tork pada 8,750 rpm. Enjin ini berbeza berbanding enjin V4 pada model lain, dengan Ducati memanggilnya sebagai versi “touring” dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan (quickshifter untuk V4S).

    Enjin ini tidak menggunakan sistem injap Desmodromic dan saiznya adalah lebih kecil dan lebih ringan – berat keseluruhan cuma 6.7 kg dan 1.2 kg lebih ringan berbanding enjin Testastretta DVT pada Multistrada 1260, meskipun mempunyai lebihan dua piston. Berat Multistrada V4 adalah 215 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 22 liter.

    Ducati Multistrada V4 2021

    Multistrada V4, yang merupakan versi asas menggunakan suspensi Marzocchi, yang terdiri daripada fork 50 mm boleh laras sepenuhnya, serta monoshock di belakang, dengan jarak gerak masing-masing 170 mm dan 180 mm. Brek hadapan versi ini menggunakan angkup Brembo empat piston radial M4.32 manakala di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD lima inci warna penuh dan lampu menggunakan unit LED (bersama DRL).

    Versi lebih tinggi pula, iaitu Multistrada V4S, dipertingkat dengan skrin TFT-LCD 6.5 inci dan angkup brek hadapan Brembo Stylema empat piston manakala suspensi pula ditambah dengan sistem elektronik Ducati Skyhook yang boleh memberikan fungsi auto levelling (masih lagi unit Marzocchi dengan jarak gerak yang sama seperti Multistrada V4). Penambahan lain adalah sistem Vehicle Hold Control, lampu membelok LED, sistem tanpa kunci, Blind Spot Detection dan Cruise Control.

    Sistem radar baru Ducati diberikan terus pada Multistrada V4S. Sistem ini dibangunkan bersama Bosch dan dapat memberikan fungsi Adaptive Cruise Control yang boleh mengawal jarak dengan kenderaan di hadapan serta pengesan titik buta.

    Ducati Multistrada V4 tiba di Malaysia – harga dari RM136k, enjin V4 170 hp, sistem radar untuk V4S

    Ducati Multistrada V4S 2021 dengan aksesori tambahan

    Pelbagai teknologi canggih dipasang pada Multistrada V4 termasuk sistem Cornering ABS Bosch-Brembo 10.3ME, Traction Control, Wheelie Control dan Vehicle Hold Control. Untuk suspensi Skyhook pula (V4S), ia boleh melaras sendiri ketinggian mengikut tetapan satu penunggang, penunggang dan pembonceng ataupun penunggang dengan beg barangan. Sistem pemerhati tekanan angin tayar pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Sistem elektronik lain dapat dilihat pada panel instrumen LCD, yang mana apabila ditambah dengan Ducati Connect System, boleh disambungkan dengan telefon pintar dan memaparkan peta navigasi serta memberi arahan petunjuk. Sistem ini juga boleh dipasang dengan modul Ducati Connect untuk mengawal fungsi telefon dan muzik menggunakan butang pada pemegang. Tempat khas meletakkan telefon disediakan atas tangki dan datang sekali dengan pengecas USB.

    Ada empat mod yang disediakan pada Multistrada V4 iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro. Dalam mod Sport, semua 170 hp dapat dinikmati, suspensi diletakkan dalam mod Sport, Traction Control dan Wheelie Control pada tahap rendah dan ABS pada tahap nombor 2.

    Ducati Multistrada V4S 2021 dengan aksesori tambahan

    Dalam mod Touring, maklum balas enjin adalah lebih lancar dengan Traction Control dan Wheelie Control ditetapkan pada tahap maksimum, manakala dalam mod Urban kuasanya dikurangkan kepada 115 hp bagi memudahkan kendalian dalam trafik sesak atau jalan basah.

    Mod Touring mengubah ABS kepada tahap nombor 3, dan fungsi ABS dilaras supaya bersesuaian dengan keselesaan tunggangan jarak jauh. Mod Enduro adalah untuk tunggangan offroad, dengan kuasanya dilaras kepada 115 hp, Wheelie Control ditutup dan ABS cuma berfungsi pada tahap 1 untuk roda hadapan.

    Tempat duduk standard penunggang boleh dilaras untuk ketinggian 840 mm dan 860 mm, manakala untuk menjadikan ia lebih rendah, pemilik boleh mendapatkan unit 810 mm atau untuk lebih tinggi, ia berukuran 875 mm. Dua warna disediakan untuk Multistrada V4S, iaitu Ducati Red dan Aviator Grey sementara Multistrada V4 pula disediakan dalam satu warna sahaja, iaitu Ducati Red.

    GALERI: Ducati Multistrada V4 2021

    GALERI: Ducati Multistrada V4S 2021

     
     
  • Harga minyak 16-22 Sept – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 16-22 Sept – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 16 hingga 22 September 2021, harga runcit bagi semua bahan api utama di negara ini iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel dikekalkan seperti minggu sebelumnya.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 masih RM2.73 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 masih tidak berubah sejak Februari lalu dan dikekalkan pada harga siling mencecah RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 22 September 2021.

     
     
  • Hyundai Casper — pilihan dua enjin petrol, ADAS untuk semua tingkat kemasan SUV kompak di Korea

    Hyundai Casper — pilihan dua enjin petrol, ADAS untuk semua tingkat kemasan SUV kompak di Korea

    Hyundai telah umumkan yang tempahan awal di Korea telah dibuka untuk model Casper, yang membuat penampilan sulungnya awal bulan ini. Tempahan akan diambil melalui sebuah laman web khusus untuk Casper, berbanding saluran rangkaian jualan biasa, bagi tempoh dua minggu sebelum model kompak ini dilancarkan pada 29 September nanti.

    Casper ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol — versi NA 1.0 liter MPI yang menjana 76 PS dan 95 Nm tork, dan unit 1.0 liter T-GDI turbocas dengan 100 PS dan 172 Nm tork seperti yang dilihat pada Hyundai i10 N Line.

    Spesifikasi enjin turbocas bagi model ini adalah eksklusif kepada varian Casper Active, dan jika digandingkan dengan tingkat kemasan Trim akan melibatkan juga rekaan rim eksklusif serta tambahan spoiler belakang.

    Hyundai Casper — pilihan dua enjin petrol, ADAS untuk semua tingkat kemasan SUV kompak di Korea

    Tingkat kemasan Modern dan Inspiration menerima mod pemanduan 2WD laluan kasar, yang akan menetapkan secara automatik input pendikit dan brek berdsarkan keadaan permukaan jalan seperti ketika salji, lumpur dan berpasir.

    Bagi memaksimumkan ruang kabin SUV kompak ini, bahagian belakang Casper boleh dialih ke depan dan belakang sebanyak 160 mm, dengan kemampuan untuk direbahkan sehingga 39 darjah. Kapasiti barangannya boleh mencecah 301 liter dengan kerusi belakang dialihkan ke depan, sementara objek panjang boleh memanfaatkan ruang 2,059 mm panjang ketika kerusi penumpang depan dan belakang dilipat sepenuhnya.

    Infotainmen dalam Casper dilengkapi dengan Hyundai CarPay, sebuah ciri bayaran tanpa tunai dalam kenderaan, sementara pengesanan suara menawarkan fungsi mudah untuk membolehkan pemandu menetapkan pendingin hawa menggunakan suara. Instrumen untuk pemandu dipaparkan melalui panel digital, sementara paparan infotainmen melalui panel apung di papan pemuka.

    Hyundai Casper — pilihan dua enjin petrol, ADAS untuk semua tingkat kemasan SUV kompak di Korea

    Kelengkapan keselamatan standard yang ada pada Casper terdiri daripada tujuh beg udara. Selain itu, sistem bantuan pemandu maju (ADAS) turut disertakan, terdiri daripada bantuan mengekal perlanggaran depan untuk kenderaan, pejalan kaki dan pengayuh basikal, bantuan mengekalkan lorong, amaran perhatian pemandu dan bantuan lampu tinggi.

    Ditawarkan sebagai pilihan untuk tingkat kemasan Modern dan ke atas adalah pakej SmartSense yang merangkumi bantuan menghindar perlanggaran depan untuk simpang, bantuan menghindar perlanggaran sisi belakang, bantuan menghindar perlanggaran lintasan trafik di belakang serta kawalan melayar pintar.

    Hyundai Casper — pilihan dua enjin petrol, ADAS untuk semua tingkat kemasan SUV kompak di Korea

    Tiga tingkat kemasan ditawarkan untuk Casper, bermula dengan Smart pada harga 13.85 juta won (RM49,242), Modern pada 15.9 juta won (RM56,531) dan Inspiration 18.7 juta won (RM66,703). Bagi enjin turbocas Casper Active pula, ia lebih mahal sebanyak 950,000 won (RM3,379) bagi Smart dan Modern, manakala melibatkan tambahan 900,000 won (RM3,201) bagi tahap kemasan Inspiration.

    Enam warna pilihan disediakan ketika pelancarannya, mewakili Tomboy Khaki, Soultronic Orange Pearl, Atlas White, Titan Gray Metallic, Intense Blue Pearl dan Unbleached Ivory — yang terakhir ini dihasilkan khusus untuk Casper.

     
     
  • Toyota RAV4 2022 ditunjuk — lampu depan, rim dan slot USB-C baru, varian Adventure kini untuk Eropah

    Toyota RAV4 2022 ditunjuk — lampu depan, rim dan slot USB-C baru, varian Adventure kini untuk Eropah

    Toyota mengeluarkan imej pertama bagi model RAV4 2022, yang telah diberi beberapa pembaharuan kosmetik dan juga fungsinya. Perubahan tersebut diperincikan oleh syarikat itu menerusi cabangnya di Australia pada Jun lalu, namun ini kali pertama ia ditampilkan dari segi visual.

    Paling ketara ialah rekaan lampu utama LED projektornya, dengan unit projektor tersebut ditempatkan di bahagian bawah — memberikan ruang di atasnya untuk meletakkan DRL bentuk U. Ini adala penawaran standard di Eropah (menggantikan unit reflektor asas yang kita terima), sama juga dengan lampu kabus LED.

    Selain itu, rim aloi 10-jejari juga diperkenalkan, dengan penyudah warna perak atau hitam, sementara pencahayaan LED, kerusi penumpang dengan larasan kuasa, suis tingkap dengan pencahayaan dan slot USB Type C juga turut ditambah. Pasaran Eropah juga menerima model Adventure yang lebih ranggi yang ditawarkan di Amerika Utara, Jepun dan Australia.

    Ini melibatkan bampar depan bebeza dengan gril hexagonal yang lebih besar (logo Toyota di tengah) yang dibingkaikan oleh bukaan tengan berbentuk U dan lampu kabus, serta skid plate warna perak yang lebih ketara. Kemasan pada fender juga lebih lebar, rim aloi 19-inci unik (dalam warna kelabu kesat bagi pasaran Eropah) dan skim warna dua-tona eksklusif yang diganding bersama warna badan Urban Khaki dengan bumbung Dynamic Grey.

    Di dalam, model Adventure dibezakan dengan penggunaan kulit tiruan yang membaluti kerusinya dengan benar warna oren, dengan plate nama “RAV4 Adventure”. Di Eropah, RAV4 ditawarkan hanya dalam varian hibrid, menggabungkan enjin 2.5 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan motor elektrik yang menjana kuasa 218 PS (225 PS dengan tambahan motor belakang dan pacuan semua roda).

    Varian Plug-In Hybrid yang lebih sporty juga ada, dengan angka janaan 306 PS dan memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 75 km melalui bateri lithium-ion 18.1 kWh. RAV4 baru ini akan mula dijual di Eropah pada suku pertama tahun depan.

     
     
  • Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

    Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

    Nissan GT-R R35 telah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun Disember 2007, jadi masuk tahun ini, kereta sport Jepun berkenaan sudah berada hampir 14 tahun dalam pasaran. Dari segi prestasi, ia sememangnya masih sangat relevan kerana kuasa dan gaya yang diberikan masih setara dengan pesaingnya yang lain.

    Namun dengan teknologi kerangka yang sudah pun berusia lebih dari satu dekad, GT-R R35 kini mula berhadapan dengan masalah untuk terus mematuhi piawaian keselamatan semasa yang sentiasa dipertingkat saban tahun. Di Australia, model tersebut bakal dihentikan jualannya pada akhir Oktober ini kerana ia sudah tidak lagi lulus dengan undang-undang keselamatan terbaharu negara berkenaan.

    Menurut laporan Drive, Nissan GT-R 35 tidak lagi mematuhi piawaian yang ditetapkan pada ujian pelanggaran sisi baharu, bakal dikuatkuasakan di negara tersebut bermula 1 November 2020.

    Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

    Piawaian baharu yang dikenali sebagai “Undang-undang Rekaan Australia 85/00 – Prestasi Impak Sisi Tiang” (atau ADR 85) yang bakal digunakan bermula awal November itu disasarkan untuk mengurangkan kecederaan dan kematian ketika impak pelanggaran sisi terhadap objek seperti pokok atau tiang, dikuatkuasakan terhadap kereta penumpang dan SUV yang diperkenalkan sebelum 1 November 2017.

    Sesebuah kereta baharu yang tidak memenuhi piawaian baharu berkenaan perlulah diimport dan disahkan untuk kegunaan atas jalanraya sebelum 1 November 2021, dan pendaftarannya akan ditutup menjelang 30 Jun 2022, tulis Drive dalam laporan tersebut.

    Nissan GT-R hanya diproduksi di Jepun, dan bagi model edisi terhad Nissan GT-R T-Spec yang baharu sahaja didedahkan semalam, Nissan Australia bakal menerima 50 unit untuk dijual kepada pelanggan di negara berkenaan. Ini bermaksud GT-R T-Spec akan menjadi model terakhir R35 yang akan dibawa dan dijual di Australia.

    Nissan GT-R sudah terlalu ‘tua’, tak patuh piawaian keselamatan, akan dihentikan jualan di Australia

    “Dengan perlaksanaan undang-undang rekaan impak sisi tiang Australia (ADR 85) yang unik, Nissan GT-R tidak lagi akan diimport ke pasaran Australia selepas 31 Oktober, 2021. Ambil perhatian bahawa undang-undang ini tidak terkena kepada model sedia ada di pasaran lain,” tulis satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Nissan Australia.

    Drive menyatakan bahawa dengan pengakhiran jualan berkenaan, ini bermaksud tidak sampai 1,000 unit R35 yang dijual secara rasmi oleh Nissan di negara tersebut sejak ia dilancarkan pada April 2009. Jualan GT-R juga dilihat semakin menurun dari masa ke masa di mana hanya 19 unit dihantar kepada pelanggan dalam tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

    Selain dari GT-R R35, satu lagi model Jepun yang sudah berusia hampir satu dekad iaitu Mitsubishi Mirage turut ‘terkorban’ di Australia menerusi undang-undang ADR 85 yang diperkenalkan tersebut.

    GALERI: Nissan GT-R R35 T-Spec 2022

     
     
  • KJ gesa orang ramai di Lembah Klang usah abai SOP

    KJ gesa orang ramai di Lembah Klang usah abai SOP

    Berkuatkuasa 10 September lalu, Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, telah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Antara kelonggaran yang dinikmati penduduk di negeri-negeri Fasa 2 PPN termasuklah kebenaran dine-in di premis kedai makan dan aktiviti pelancongan di dalam negeri yang sama bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

    Susulan itu, pada hujung minggu lalu, terdapat beberapa berita tular di laman media sosial di mana banyak tempat awam terutamanya di pusat rekreasi dibanjiri orang ramai yang memang tidak sabar untuk beriadah bersama keluarga selepas ‘berkurung’ di rumah selama beberapa bulan. Kawasan tepi pantai dan air terjun, bukit-bukit pendakian dan juga pusat membeli-belah dipenuhi orang ramai, malah ada yang berlaku kesesakan teruk di kawasan berkenaan.

    Justeru, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah memberi amaran kepada orang awam berkaitan perlanggaran pematuhan SOP di kawasan umum, dan berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya perkara ini menjadi tidak terkawal, misalnya ada terlalu ramai orang di dalam satu kawasan.

    Perkara ini juga telah mendapat perhatian Menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) yang mengingatkan orang ramai agar tidak mengabaikan keselamatan diri serta terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

    Menerusi entri dalam laman Facebook rasminya semalam, beliau berkata, “Saya faham ramai yang teruja dengan kelonggaran ini terutamanya setelah hampir tiga bulan berada di dalam Fasa 1 PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sebelum itu. Bagaimanapun, aktiviti-aktiviti seperti ini pasti menyebabkan berlakunya perkumpulan orang ramai dan pematuhan SOP yang rendah.

    KJ gesa orang ramai di Lembah Klang usah abai SOP

    “Penting untuk saya ingatkan bahawa vaksinasi lengkap bukan alasan untuk kita leka dalam melakukan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan kerap. Tindakan-tindakan ini kelihatan mudah tetapi ia mampu melindungi kita daripada jangkitan virus COVID-19.”

    Menurut beliau lagi, berdasarkan pemantauan dan analisa yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), situasi penularan jangkitan COVID-19 di Lembah Klang mula menunjukkan trend penurunan. Pastinya perkembangan yang positif ini akan membantu memastikan Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar dan selamat.

    “Saya juga sebelum ini telah nyatakan beberapa kali tentang sasaran Kerajaan untuk mula beralih kepada fasa endemik pada akhir Oktober ini. Namun untuk merealisasikan sasaran ini, ia memerlukan kerjasama seluruh masyarakat untuk terus mematuhi SOP serta mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri. Jika perkara ini gagal untuk diamalkan dan dipatuhi, kebimbangan saya adalah kita tidak akan mampu beralih ke fasa endemik, sekaligus membantutkan usaha pemulihan negara oleh Kerajaan.

    “Saya ingin tegaskan bahawa kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi Kerajaan tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan. Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” sambungnya lagi.

    Sehubungan itu, beliau amat berharap agar seluruh masyarakat dapat memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dan terus mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian kita.

    “Ingatlah, kejayaan membendung pandemik ini melibatkan penglibatan dan pendekatan menyeluruh Kerajaan serta masyarakat,” katanya.

     
     
  • Mitsubishi Mirage mungkin berkubur di Australia kerana sudah tidak penuhi piawaian keselamatan

    Mitsubishi Mirage mungkin berkubur di Australia kerana sudah tidak penuhi piawaian keselamatan

    Masuk tahun ini, Mitsubishi Mirage sudah berada kira-kira 10-tahun dalam pasaran. Penyegaran yang dibuat menerusi facelift kali kedua diperkenalkan pada 2019 mungkin masih membolehkan hatchback segmen-A tersebut terus kekal relevan dari segi gaya, namun dengan kerangka yang sudah sangat berusia, ia tentu sukar untuk menandingi keselamatan yang ditawarkan pada saingannya yang lebih muda.

    Terbaharu, portal automotif Australia, Drive melaporkan bahawa jualan Mirage mungkin akan dihentikan tidak lama lagi kerana struktur keselamatan pada badannya akan menghadapi kesukaran untuk memenuhi piawaian yang ditentukan oleh undang-undang keselamatan baharu berkuatkuasa 1 November nanti.

    Portal tersebut difahamkan bahawa Mirage tidak akan menepati piawaian yang ditetapkan pada ujian pelanggaran sisi baharu. Jika tingkat taraf struktur, kejuruteraan dan pengiktirafan tidak diluluskan pada hujung Oktober 2021, Mitsubishi Australia terpaksa menghentikan jualan hatchback kompak berkenaan tidak lama lagi.

    Mitsubishi Mirage mungkin berkubur di Australia kerana sudah tidak penuhi piawaian keselamatan

    Walau bagaimanapun, Mitsubishi dijangka masih boleh menjual baki model tersebut sehingga 30 Jun 2022 kerana ia masih menepati Undang-undang Rekaan Australia (ADRs) sedia ada yang masih digunakan sebelum 1 November 2021.

    Undang-undang baharu yang dikenali sebagai “Undang-undang Rekaan Australia 85/00 – Prestasi Impak Sisi Tiang” (atau ADR 85) yang bakal digunakan bermula 1 November itu disasarkan untuk mengurangkan kecederaan dan kematian ketika impak pelanggaran sisi terhadap objek seperti pokok atau tiang, dikuatkuasakan terhadap kereta penumpang dan SUV yang diperkenalkan sebelum 1 November 2017.

    Mitsubishi Mirage facelift ini dilancarkan di Australia pada 2020, tetapi ia dilihat tidak menampilkan prestasi jualan yang begitu baik akhir-akhir ini dengan jumlah jualan hanya 583 unit dari Januari sehingga Julai 2021.

    Mitsubishi Mirage mungkin berkubur di Australia kerana sudah tidak penuhi piawaian keselamatan

    Ditambah dengan aspek kerangkanya yang begitu berusia dan mungkin tidak akan berada lama dalam pasaran, Mitsubishi mungkin tidak akan mengeluarkan pelaburan bagi membuat proses kejuruteraan semula bagi membolehkan Mirage melepasi piawaian baharu berkenaan.

    Selain dari penyegaran pada aspek penampilan, Mirage facelift ini juga diberikan berberapa tingkat taraf keselamatan ketika ia dilancarkan tahun lalu, termasuk pemadanan brek kecemasan automatik (AEB) dan juga enam beg udara standard untuk semua varian.

    Seperti model yang diperkenalkan pada tahun 2011, Mirage facelift berkenaan masih kekal dijana 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 78 hp/100 Nm. Model varian tertinggi LS hanya hadir dengan kotak gear CVT automatik, mana versi ES masih boleh dipilih dengan transmisi lima-kelajuan manual. Ia dijual pada harga bermula AU$17,490 (RM53,123) untuk model ES manual, sekaligus menjadi kereta baharu paling murah di negara berkenaan.

    GALERI: Mitsubishi Mirage facelift 2020 pasaran Australia

     
     
  • JPJ jamin stok dokumen bagi lesen memandu, LKM mencukupi termasuk di Puspakom, Pos M’sia, MyEG

    JPJ jamin stok dokumen bagi lesen memandu, LKM mencukupi termasuk di Puspakom, Pos M’sia, MyEG

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjamin stok dokumen terkawal untuk lesen memandu dan Lesen Kenderaan Malaysia (LKM) di seluruh cawangannya termasuk rakan-rakan strategik iaitu Puspakom, Pos Malaysia dan MyEG adalah mencukupi.

    Ketua Pengarahnya, Dato’ Zailani Hj Hashim berkata, stok dokumen tersebut mencukupi dan mampu memenuhi kehendak para pelanggan untuk tempoh sehingga 31 Disember 2021. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sepanjang Ogos lalu, JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada MyEG sebanyak 450,000 bagi LKM kereta, 8,400 untuk LKM motosikal dan 6,600 untuk lesen memandu.

    Pos Malaysia pula menerima 385,000 untuk LKM kereta, 287,999 (LKM Motosikal) dan 300,000 (lesen memandu), manakala Puspakom pula dibekalkan sebanyak 5,500 bagi LKM kereta.

    Awal bulan ini pula, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah memaklumkan pembaharuan lesen memandu dan LKM yang luput atau tamat tempoh dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 ini. Sebelum ini, kerajaan memberikan tempoh sehingga 30 September 2021 untuk orang ramai berbuat demikian, namun selepas timbul kegusaran di kalangan orang ramai berhubung masalah untuk memperbaharui cukai jalan dan LKM masing-masing kerana dikatakan stok dokumen terkawal itu yang tidak mencukupi.

     
     
  • Triumph Speed Triple 1200RR didedah sepenuhnya – penampilan ala cafe racer, enjin tiga silinder 1,160 cc

    Triumph Speed Triple 1200RR didedah sepenuhnya – penampilan ala cafe racer, enjin tiga silinder 1,160 cc

    Selepas beberapa siri teaser, Triumph akhirnya memperkenalkan Speed Triple 1200RR baru kepada dunia. Daripada namanya kita sudah tahu ia menggunakan asas daripada Speed Triple RS, tetapi menggunakan penampilan ala cafe racer dengan fairing separuh dan lampu bulat di hadapan.

    Penggeraknya, iaitu enjin tiga silinder 1,160 cc serta kotak gear enam kelajuan yang mampu menghasilkan 177.6 hp dan 125 Nm tork masih adalah sama dengan RS, dan ia datang terus bersama quickshifter naik dan turun gear serta klac slip and assist.

    Model RR ini juga mendapat peningkatan pada bahagian suspensi, di mana ia dipasang dengan unit kawalan elektronik Ohllins yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock RSU di belakang. Melaluinya, pengguna boleh melaras mampatan dan lantunan secara elektronik.

    Bahagian brek menggunakan angkup Brembo Stylema bersama cakera 320 mm berkembar di hadapan, manakala di belakang menggunakan cakera 220 mm bersama angkup Brembo dua piston. Cornering ABS diberi sebagai ciri standard, bersama sistem kawalan cengkaman, lima mod tunggangan serta sistem pengesanan angkatan tayar hadapan.

    Semua lampu motosikal ini menggunakan unit LED, termasuk lampu penunjuk arah, dan ia didatangkan bersama sistem tanpa kunci, tangki bahan api 15.5 liter, tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP3 V3 serta kemasan gentian karbon pada beberapa bahagian. Beratnya adalah 199 kg, iaitu cuma satu kilogram lebih berbanding RS.

     
     
  • Mazda CX-5 facelift 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

    Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

    Selepas berada lebih empat tahun dalam pasaran, Mazda CX-5 generasi kedua kini diperkenalkan dalam versi facelift 2022, yang menampilkan perubahan pada bahagian luaran, talaan semula dibuat pada casis, serta dipertingkat dengan pelbagai perincian terkini.

    Model yang disegarkan semula ini menampilkan rekaan yang lebih minimalis. Pada bahagian muka, ia diberikan lampu hadapan baharu dengan jalur LED berbentuk-L berkembar. Gril utama CX-5 facelift ini kelihatan lebih pendek berbanding sebelum ini bagi memberikan gril bawah yang lebih besar. Rekaan seakan sayap yang merentangi keseluruhan bawah bampar juga kini sudah tidak ada bagi memberikan lebih banyak permukaan rata yang nampak lebih ringkas.

    Jalur grafik LED berbentuk-L turut diberikan pada lampu belakang CX-5 facelift ini. Perubahan lain yang boleh dilihat di belakang adalah bampar yang sedikit berubah, menampilkan reflektor yang lebih kecil serta diletakkan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

    Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

    Model kemaskini ini juga diberikan pilihan rim rekaan baharu bersama warna badan baharu digelar Zircon Sand. Manakala pada varian-varian terpilih, pelindung badan plastik disekeliling ruang roda dan juga di bawah pintu kini layangkan dengan warna badan, memberikan rupa yang lebih ringkas kepada SUV ini.

    CX-5 facelift juga kini menerima penambahbaikkan terhadap SkyActiv-Vehicle Architecture yang sebelum ini ditampilkan buat pertama kali pada Mazda 3. Antaranya kerangka badan dan tempat duduk diperhalusi semula bagi memberikan lebih keselesaan, mengurangkan kelesuan dan juga kabin yang lebih senyap ketika memandu pada permukaan jalan yang kasar.

    Suspensi pada CX-5 facelift ini juga ditala semula pada aspek struktur kawalan serapan hentakan, serta diberikan kerangka badan lebih kuat, kedua-duanya membantu dalam memberikan kadar NVH yang lebih baik.

    Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

    Bahagian kabin CX-5 yang disegarkan semula ini masih lagi nampak sama seperti sebelumnya. Namun jika diperhatikan, model 2022 ini sudahpun diberikan tray pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, serta menampilkan suis sistem Mazda intelligent Drive Select (Mi-Drive).

    Suis kawalan berkenaan membolehkan pemandu memilih mod pemanduan yang dimahukan. Manakala model yang dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda i-Activ, suis kawalan berkenaan turut menyediakan pilihan untuk mod Off-Road.

    CX-5 baru ini masih kekal diberikan skrin infotainmen 10.25-inci sama seperti model kemasikini yang telah diumumkan pada Ogos lalu. Bergantung pada pasaran dan juga varian yang ditawarkan, SUV ini diberikan pelbagai pilihan pakej kemasan, upholsteri dan juga kombinasi serlahan jahitan.

    Mazda CX-5 <em>facelift</em> 2022 didedahkan – tampil rupa lebih ringkas bersama talaan casis yang diperhalusi

    Bagi CX-5 facelift pasaran Amerika Syarikat, ia datang dengan sistem pacuan semua roda secara standard dan tiada lagi model pacuan roda hadapan ditawarkan di sana. Tiada perincian spesifikasi lain dinyatakan, tetapi nampaknya ia masih dijana barisan enjin Skyactiv sedia ada.

    Menurut laporan Car and Driver, pilihan paling berkuasa adalah dengan enjin 2.5 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 250 hp dan tork maksima dengan menggunakan bahan api premium 93 oktana, atau 227 hp dan tork maksima 420 Nm dengan petrol biasa 87 oktana.

    Satu lagi pilihan adalah enjin petrol 2.5 liter empat silinder tanpa turbo menghasilkan 187 hp dan tork maksima 252 Nm. Kedua-dua pilihan enjin tersebut masih digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, namun menurut Mazda ia telah ditala semula bagi memberikan prestasi yang lebih responsif.

    Untuk pasaran lain seperti Eropah, ia dijangka masih dijana oleh pilihan enjin 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 164 hp/213 Nm dan juga enjin turbodiesel 2.2 liter empat silinder berkuasa 181 hp dan 445 Nm. Pasaran benua berkenaan masih menawarkan pelanggan sama ada mahukan model pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda untuk CX-5 2022 ini.

    Bagi sistem keselamatan pula, pakej bantuan sistem pemanduan keselamatan i-Activsense Mazda kini telah ditingkat taraf dengan diberikan sistem Cruising & Traffic Support (CTS), yang membantu pemandu mengurangkan keletihan dengan memberikan bantuan terhadap operasi pedal pendikit, brek dan juga stereng ketika dipandu dalam kesesakan trafik.

    Lampu Hadapan Adaptif (ALH) pada CX-5 ini turut dipertingkat dengan memberikan kawalan yang diperhalusi pada capahan cahaya. Sistem-sistem seperti Pemantau Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik Belakang, Mazda Radar Cruise Control, Sistem Amaran Keluar Lorong, Sistem Bantuan Kekal Lorong, Sokongan Brek Pintar Bandar dan juga Amaran Tumpuan Pemandu masih diberikan pada Mazda CX-5 facelift 2022 ini.

     
     
  • Nissan GT-R T-Spec 2022 – model edisi terhad hanya 100 unit, warna Millenium Jade dan Midnight Purple

    Nissan GT-R T-Spec 2022 – model edisi terhad hanya 100 unit, warna Millenium Jade dan Midnight Purple

    Nampaknya Nissan GT-R R35 bukan sahaja sangat berkuasa di atas jalan raya, ia juga sebuah model yang benar-benar kuat dalam produksi Nissan. Sudah 14-tahun ia berada dalam pasaran, dengan pelbagai facelift dan edisi istimewa, kini ia hadir dengan satu lagi model edisi terhad yang di gelar GT-R T-Spec 2022.

    Model ini hanya akan dihasilkan sebanyak 100-unit, dan hanya untuk pasaran domestik Jepun, serta boleh dipilih dalam dua versi kelengkapan sama ada GT-R Premium Edition T-spec atau GT-R Track Edition T-spec. Ia akan mula dijual pada separa kedua bulan Oktober nanti, namun pelanggan yang mahukan kereta ini perlu dipilih menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.

    Menurut Nissan, nama T-Spec pada model ini adalah mewakili falsafah pembangunan GT-R itu sendiri yang diinspirasikan dari trend dan traction. Jadi apa pula perbezaan untuk model edisi terhad kali ini? Pertama sekali, ia ditawarkan dengan dua warna ikonik iaitu Midnight Purple dan juga Millenium Jade.

    Nissan menerangkan bahawa warna ungu berkenaan diispirasikan dari “perubahan warna aurora borealis”, manakala hijau istimewa tersebut pula “memancarkan kecanggihan dan memberi penampilan yang kuat tetapi kekal tenang”. Berbelit-belit kan? Tetapi apa yang peminat legasi GT-R di luar sana tahu, Midnight Purple merupakan warna ikonik untuk GT-R yang telah diperkenalkan pada model Skyline R33, manakala Millenium Jade pula sangat sinonim Skyline GT-R R34 V-Spec II Nür.

    Selain itu, kedua-dua versi T-Spec ini akan hadir secara standard dengan sistem brek karbon seramik dengan angkup berwarna kuning, spoiler belakang gentian karbon, penutup kepala silinder enjin rekaan ekslusif serta lencana-lencana istimewa T-Spec di hadapan dan belakang.

    Model istimewa ini juga menerima rim aloi forged dari Rays berdiameter 20-inci dalam kemasan warna gangsa yang bukan sahaja kelihatan lebih agresif, malah ia juga lebih lebar bagi memberikan pengendalian yang lebih lancar dan sensitif, dakwa Nissan.

    Nissan GT-R T-Spec 2022 – model edisi terhad hanya 100 unit, warna Millenium Jade dan Midnight Purple

    Image converted using ifftoany

    Versi edisi terhad baru ini juga adalah lebih ringan dari GT-R standard jadi suspensinya juga telah ditala semula bagi memanfaatkan pengurangan berat tersebut. Fender hadapan T-Spec ini juga lebih lebar dari biasa bagi disesuaikan dengan trek roda yang juga sudah lebih lebar. Dalam kabin, ia diberikan upholsteri kulit dan sued hijau yang ekslusif.

    Manakala untuk model T-Spec Track Edition, ia menerima penambahan penutup bonet dan penutup but gentian karbon. Ia juga masih menerima spesifikasi Track Edition biasa yang meliputi suspensi talaan Nismo dan juga tempat duduk Recaro.

    Tiada perubahan rangkaian kuasa diberikan pada model GT-R T-Spec ini. Perutnya masih diisi dengan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 disuap dengan pengecas turbo berkembar, menghasilkan 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Kuasa berkenaan dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan dan sistem AWD Attesa ETS.

    Nissan GT-R T-Spec ini merupakan antara versi R35 paling mahal pernah dijual. Model T-Spec Premium Edition dijual pada harga 15,904,900 yen (RM601,000), atau 3,575,000 yen (RM135,100) lebih mahal dari GT-R Premium Edition biasa. Manakala T-Spec Track Edition pula dijual pada harga 17,881,600 yen (RM675,700) atau 3,245,000 yen (RM122,600) lebih mahal.

     
     
  • Kementerian Kewangan arahkan bank di Malaysia beri moratorium tanpa faedah bagi Oktober-Disember 2021

    Kementerian Kewangan arahkan bank di Malaysia beri moratorium tanpa faedah bagi Oktober-Disember 2021

    Institusi perbankan di Malaysia telah diarahkan oleh Kementerian Kewangan untuk segera memberikan pengecualian faedah bayaran bagi penerima moratorium pinjaman bank, lapor The Edge dan Business Today.

    Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dalam satu kenyataan bahawa ini akan melibatkan penerima moratorium dari segmen B50; kategori 50% terbawah dalam pengkelasan pendapatan di Malaysia. Pengecualian bayaran faedah yang dirancang ini akan diberikan selama tempoh tiga bulan dalam suku keempat tahun ini, bermaksud dari Oktober hingga Disember 2021.

    Terdahulu dalam bulan Jun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan moratorium pinjaman bank untuk tempoh enam bulan kepada semua warga negara Malaysia di bawah pakej Pemulih, sama seperti yang diberikan ketika PKP yang pertama, awal tahun lalu.

    Meliputi warga negara Malaysia dari segmen B40 hingga T20, termasuk juga usahawan mikro, mereka yang memerlukan bantuan hanya perlu memohon dengan bank masing-masing. Zafrul juga berkata ketika itu, ini membolehkan peminjam menangguhkan bayaran kepada tarikh kemudian, tetapi tiada pengecualian daripada kadar faedah.

    Kementerian Kewangan arahkan bank di Malaysia beri moratorium tanpa faedah bagi Oktober-Disember 2021

    Bagaimanapun, beliau kemudiannya menambah bahawa bank boleh memansuhkan kadar faedah dan caj penalti yang terlibat bagi peminjam yang mengambil moratorium. Kenyataan terbarunya ini kelihatan seperti melanjutkan lagi perkara ini, memandangkan penerima moratorium kelas B50 tidak perlu membayar faedah bagi tempoh tiga bulan seperti yang dinyatakan ini.

    Arahan Kementerian Kewangan kepada institusi bank ini datang selepas mesyuarat Kabinet pada 10 September lalu, di mana jemaah menteri telah meluluskan cadangan untuk membentangkan perubahan kepada Akta Langkah Sementara Bagi Kewangan Kerajaan (Covid-19) 2020. Ini turut membolehkan kerajaan untuk menaikkan had siling dana Covid-19 negara kepada RM110 bilion daripada RM65 bilion sebelum ini, dan dalam masa sama masih menaikkan had berkanun bagi hutang kerajaan persekutuan daripada 60% kepada 65% daripada GDP.

    “Perubahan terhadap peratura ini akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober dan disasarkan antaranya untuk mengukuhkan sistem kesihatan awam, terutama untuk mengekang Covid-19 dan merawat pesakitnya, memperbaiki bantuan tunai secara langsung kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (SME), serta mikro SME,” jelas Zafrul.

     
     
  • Kawasaki siar satu lagi teaser model retro baru – tanda kemunculan Z650RS dengan enjin dua silinder selari?

    Kawasaki siar satu lagi teaser model retro baru – tanda kemunculan Z650RS dengan enjin dua silinder selari?

    Beberapa minggu lepas kita telah menyaksikan Kawasaki mengeluarkan satu teaser yang memberi gambaran kepada ketibaan sebuah model baru. Tetapi dalam teaser itu kita tidak dapat melihat langsung motosikal tersebut, kecuali cermin sisinya.

    Kini satu lagi teaser disiarkan di bawah konsep “Retrovolution” yang sama dan terdapat penampilan penuh sebuah motosikal. Walaubagaimanapun, itu adalah model lama (mungkin keluaran tahun 1970-an) dan tidak kelihatan sebagai sebuah model baru yang akan dilancar.

    Video teaser itu hanya mempunyai durasi 26 saat dan bahagian lain tidak menunjukkan sebarang motosikal. Oleh sebab itu, kita boleh menggunakan kemunculan model klasik ini sebagai satu petanda dan semestinya mereka tidak meletakkannya di situ tanpa sebab.

    Ramai yang menjangka kita bakal melihat kelahiran Z650RS, sebuah model yang mempunyai bentuk ala klasik, tetapi dengan kelengkapan moden, seperti yang dilakukan pada Z900RS sebagai penyambung generasi Z1. Kemudiannya Kawasaki memberitahu, ia akan muncul pada 27 September ini.

    Walaupun dengan bentuk klasik, kita boleh menjangka Z650RS ini nanti menggunakan asas yang sama seperti Z650 naked, termasuklah enjin dua silinder selari 649 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa sekitar 68 PS dan 65.7 Nm tork.

     
     
  • Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

    Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

    Toyota Corolla Cross muncul buat pertama kali di peringkat global lebih setahun yang lalu di Thailand. Ia kemudiannya dilancarkan di pasaran Asia Tenggara yang lain termasuk Malaysia, ke Taiwan dan Amerika Syarikat. Namun bagi pasaran negara asal Toyota iaitu Jepun, Corolla Cross baru sahaja dilancarkan minggu ini.

    Walaupun diperkenalkan agak lambat, pasaran Jepun tetap menerima keistimewaannya yang tersendiri kerana ia diberikan rupa berbeza dari pasaran-pasaran lain seluruh dunia. Dalam barisan model SUV Toyota yang ditawarkan di negara berkenaan, Corolla Cross diletakkan di tengah-tengah antara C-HR dan juga RAV4.

    Muka Corolla Cross pasaran Jepun ini diberikan pilihan lampu dari jenis projektor hingga LED dalam bentuk kluster hampir sama dengan pasaran lain, tetapi tampil dengan grafik dalam yang berbeza. Bampar dan gril juga tidak sama kerana ia menampilkan gril bahagian atas yang lebih kecil bersama ruang tertutup yang besar, manakala gril bawah pula direka jauh lebih besar.

    Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

    Konsep perubahan di belakang juga serupa dengan kluster lampu hampir sama tetapi diberikan grafik dalam yang berbeza, sementara pada bampar pula model JDM ini tidak menampilkan kemasan skid plate serta diberikan sepasang reflektor yang nampak lebih ‘tebal’ dan diletakkan secara melintang. Namun pada bahagian lain termasuk pada profil sisi, Corolla Cross di Jepun ini masih nampak sama seperti versi pasaran lain.

    Toyota juga tidak memberikan kabin dengan rekaan berbeza untuk Corolla Cross JDM ini, di mana ia masih menerima papan pemuka rekaan yang sama, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah, dan juga tempat duduk yang kelihatan serupa pada Corolla sedan dan hatchback. Kabin SUV ini juga menerima pencahayaan LED bagi memberikan suasana yang “mewah” dan “kasual”.

    Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan termasuk meter kelajuan digital bersaiz tujuh-inci, pintu tailgate belakang dengan fungsi tanpa sentuhan, manakala sistem infotainmen turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem navigasi pula ditawarkan secara opsyen.

    Toyota Corolla Cross dilancarkan di Jepun – bermula RM79k, muka lain, enjin dengan sistem Valvematic

    Bagi sistem keselamatan, Corolla Cross pasaran Jepun ini datang standard dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense. Ia terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki serta penunggang basikal, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, pengenal tanda trafik, dan juga lampu tinggi automatik. Sistem kawalan salah pijak pedal dan juga kamera undur diberikan kepada semua model kecuali varian asas.

    Seperti model pasaran lain, Toyota Corolla Cross ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dari varian GA-C, menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan dan juga torsion beam di belakang. Namun bagi model Hybrid yang dilengkapkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four, ia diberikan gandar belakang jenis double wishbone.

    Model pasaran Jepun ini dijana oleh enjin 2ZR-FAE 1.8 liter Dual VVT-i, iaitu versi yang sedikit berbeza dengan enjin 1.8 liter 2ZR-FBE di Malaysia. Ia diberikan sistem variable valve lift Valvematic pada kepala silinder, dan ditala bagi menghasilkan 140 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 170 Nm pada takat 3,700 rpm – atau 1 PS lebih besar tetapi 2 Nm tork lebih rendah.

    Bagi model Hybrid pula, ia dijana oleh enjin 2ZR dalam versi kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 142 Nm pada takat 3,600 rpm, digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 72 PS dan tork maksima 163 Nm. Model Hybrid menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS, manakala versi pacuan semua roda diberikan satu lagi motor elektrik bagi memacu gandar belakang.

    Transmisi CVT dipadankan secara standard pada Toyota Cross ini. Model petrol sepenuhnya mampu untuk mencapai penggunaan bahan api dalam kitaran WLTP 14.4 km setiap liter, manakala model Hybrid pula mencatatkan 26.2 km setiap liter. Model Hybrid pasaran Jepun ini juga dibekalkan dengan palam outlet AC 100-volt, yang boleh digunakan untuk membekalkan kuasa elektrik dalam situasi kecemasan.

    Toyota Corolla Cross dijual pada pasaran Jepun bermula 1,999,000 yen (RM79,400) untuk model asas petrol G “X”, sehingga 3,199,000 yen (RM120,700) bagi model Hybrid Z yang dibekalkan dengan sistem E-Four.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024