Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Subaru Forester bakal diberikan varian Wilderness

    Subaru Forester bakal diberikan varian Wilderness

    Awal Mac lalu, Subaru telah melancarkan Outback Wilderness, dengan menampilkan beberapa ciri modifikasi yang berkeupayaan untuk dilenjan dalam pemanduan off-road. Terkini, Subaru telah menunjukkan satu lagi model yang bakal menerima sentuhan Wilderness, dan bayangan yang diberikan adalah model Forester.

    Menerusi kedua-dua foto teaser berkenaan, kita tidak dapat melihat lebih banyak perincian untuk model akan datang tersebut, tetapi kedudukan cermin sisi benar-benar memberikan bayangan yang lebih tepat. Di mana model semasa Forester, kedudukan cermin sisinya ditempatkan pada garisan karakter di bawah belt line.

    Selain itu, Forester juga merupakan model Subaru paling laris di Amerika Syarikat, diikuti dengan Outback. Jadi, sudah tentu kedua-dua model berkenaan layak diberikan penawaran varian Wilderness terlebih dahulu berbanding model lain dalam barisannya.

    Subaru Forester bakal diberikan varian Wilderness

    Dengan menjangkakan Forester bakal hadir dengan varian Wilderness, teaser ini juga memaparkan lencana berkaitan dengannya, tayar dan roda yang lebih bersesuaian keupayaan untuk pemanduan off-road. Selain itu, Subaru juga akan memberikan sedikit peningkatan termasuk larasan suspensi yang dipertingkatkan, roda yang lebih spesifik dan juga menampilkan skid plate. Untuk lonjakan kuasa, seperti Outback, tiada perubahan dilakukan pada enjinnya.

    Buat masa ini, tiada tarikh pelancaran rasmi yang diumumkan, namun mungkin juga ia akan berlangsung dalam masa terdekat ini. Selain itu, terdapat kebarangkalian yang Subaru bakal menampilkan varian Wilderness untuk barisan SUV dan crossover kelahirannya yang lain.

     
     
  • Audi RS3 – kereta kompak terlaju di Nürburgring; 8 saat lebih pantas dari Mercedes-AMG A 45 S W177!

    Audi RS3 Sedan 2022 kini sah dinobatkan sebagai kereta kompak terpantas di Litar Nürburgring Nordschleife dengan masa catatan satu lap 7 minit 40.748 saat. Rekod berkenaan dibuat oleh pelumba dan juga pemandu pembangunan Audi Sport, Frank Stippler pada Jun lalu.

    Rekod baharu ini membolehkan RS3 Sedan berkenaan merampas takhta kereta kompak terpantas di litar “The Green Hell” berkenaan dari Renault Megane Trophy R dengan kelebihan 4.64 saat (7 minit 45.38 saat, rekod lap penuh Nürburgring Nordschleife). Namun Megane Trophy R masih lagi kekal sebagai kereta pacuan hadapan produksi terpantas di litar berkenaan kerana RS3 merupakan jentera pacuan semua roda.

    Lawan terus kepada Audi RS3 ini iaitu Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ W177 masih belum membuat sebarang catatan masa rasmi di Nürburgring ini. Namun menerusi cubaan tidak rasmi yang dibuat oleh Sport Auto tahun lalu, A 45 S yang dipandu oleh pelumba professional, Christian Gebhardt berkenaan mencatatkan masa 7 minit 48.8 saat atau sekitar 8 saat lebih perlahan dari RS3.

    Menurut Stippler, faktor utama yang membolehkan RS3 mencatatkan rekod ini adalah kerana teknologi pengagih tork pada sistem AWD Quattro yang dipadankan. RS3 merupakan model pertama Audi yang menerima teknologi tersebut, membolehkan agihan tork antara roda kiri dan kanan pada gandar belakang dibuat (boleh dilaras sepenuhnya).

    Audi RS3 – kereta kompak terlaju di Nürburgring; 8 saat lebih pantas dari Mercedes-AMG A 45 S W177!

    Menerusi teknologi berkenaan, pengagih tork tersebut akan memberikan tork lebih banyak kepada roda belakang sebelah luar yang mempunyai beban lebih besar. Misalnya, ketika ia meredah selekoh ke kanan, tork akan diberikan lebih banyak kepada tayar belakang sebelah kiri, membolehkan RS3 ini masuk ke selekoh dengan sudut putaran stereng lebih tepat.

    “Secara amnya, RS3 baharu ini adalah lebih lincah apabila dipandu pada bahagian tengah sehingga pada penghujung selekoh dan apabila mula memecut keluar dari selekoh berkenaan,” kata Stippler dan menambah bahawa “pengagih tork tersebut merupakan satu perbahan yang besar dari segi kelincahan pemanduan.”

    Audi RS3 yang dipandu untuk mencatatkan rekod ini menggunakan tayar semi-slick Pirelli P Zero Trofeo R, yang ditawarkan sebagai osyen buat pertama kali pada model produksi sebenar. Ia juga menerima sistem brek seramik di hadapan serta pakej RS Sport Suspension dengan penyerap hentak adaptif.

    Sepanjang percubaan mencatatkan rekod ini, Stippler memandu dengan mod pemanduan RS Performance iaitu mod yang ditala khas bagi pemanduan dalam litar lumba, menurut Audi. Mod berkenaan juga mempunyai dua sub-tetapan iaitu Comfort untuk litar dengan permukaan beralun seperti Nürburgring Nordschleife, dan juga tetapan lebih sporty untuk litar dengan permukaan rata seperti Hockenheimring.

    Model RS generasi baharu ini dihasilkan dalam versi hatchback dan sedan. Kedua-dua model berkenaan menerima enjin 2.5 liter lima-silinder TFSI yang menghasilkan 400 PS dan tork maksima 500 Nm, digadingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat atau 0.3 saat lebih pantas dari model sebelumnya.

    Kelajuan maksima RS3 ini dihadkan pada 250 km/j tetapi masih boleh pakej opsyen yang membolehkan kelajuan maksima 280 km/j dicapai. Namun sekiranya masih tidak cukup, pembeli boleh memilih pakej RS Dynamic yang disertakan dengan sistem brek seramik serta kelajuan maksima yang boleh mencapai 290 km/j.

    “Saya sangat bangga untuk keseluruhan pasukan. Semua orang bekerja keras untuk hari ini. Ketika kami mulakan pembangunan, kami tak tahu betapa lajunya kereta sport kompak ini di Nordschleife. Tetapi dalam ujian ketahanan yang dibuat, kami sedar bahawa kami boleh mencapai catatan masa yang baik dan membuat rekod baharu,” kata ketua teknikal projek Audi RS3, Marvin Schwatter.

     
     
  • Honda Malaysia tawar diskaun untuk promosi Ogos – Jazz bawah RM70k, Civic dari RM107k, CR-V RM138k!

    Honda Malaysia tawar diskaun untuk promosi Ogos – Jazz bawah RM70k, Civic dari RM107k, CR-V RM138k!

    Honda Malaysia telah mengumumkan promosi untuk bulan Ogos, yang menyaksikan pengurangan harga untuk model pemasangan tempatan, iaitu Jazz, City, BR-V, Civic, HR-V, CR-V dan Accord.

    Menurut iklan grafik yang disiarkan di atas, kini Honda Jazz 1.5 S berharga dari RM69,511, iaitu melibatkan diskaun sebanyak RM3,000 dari pengecualian SST yang mencecah RM72,511. Sebelum pengecualian SST diperkenalkan, model ini berharga RM75,300.

    Manakala bagi City pula, kini ditawarkan dari RM72,191 (lebih murah sebanyak RM3,000) dan Civic 1.8 S pula dari RM107,326 (berbanding RM109,326). Bagi Accord CKD pula, kini berharga RM172,203 untuk 1.5 TC. Dengan harga pengecualian SST, ia mencecah diskaun lebih RM6,000 (RM178,203) dan harga sebelumnya mencecah RM185,900.

    Bagi crossover dan SUV, BR-V 1.5 E ditawarkan dengan harga dari RM82,726 (lebih murah sebanyak RM4,000); HR-V 1.8. E pula dari RM101,500 (kurang RM2,500) dan CR-V 2.0 2WD pula dari RM137,912 (diskaun cecah RM6,400).

    Untuk pengetahuan anda, diskaun yang diberikan adalah berbeza bagi setiap varian, dan promosi ini hanya berlangsung sepanjang bulan Ogos 2021 sahaja.

     
     
  • Proton Persona facelift 2021 – teaser dedahkan lebih perincian, “Hi Proton” boleh kawal pendingin hawa

    Sebelum dilancarkan sepenuhnya pada 5 Ogos ini, hari ini Proton mendedahkan satu lagi video teaser untuk Persona facelift 2021, yang memaparkan lebih perincian berkenaan sedan segmen-B yang sekali lagi menerima penyegaran tersebut.

    Dalam video ini dapat kita lihat bahawa Persona bukan sahaja diberikan gril hadapan yang direka semula bersama logo Proton baharu, malah pada bahagian kabin ia diberikan upholsteri yang nampak agak premium, menampilkan upholsteri kulit berliang pada tempat duduk dalam kemasan perang.

    Jika dalam video teaser pertama semalam memperlihatkan bahawa sistem arahan suara “Hi Proton” pada Persona dan kembar hatchbacknya, Iriz yang kini sudah boleh mengoperasikan tingkap berkuasa, video teaser kedua ini pula menunjukkan sistem arahan suara berkenaan turut boleh berfungsi untuk mengawal sistem pendingin hawa – satu lagi fungsi yang menghampiri model X50 dan X70.

    Malah skrin infotainmen berkenaan turut mempunyai antaramuka tersendiri untuk mengawal sistem pendingin hawa tersebut, manakala suis kawalan analog untuk sistem berkenaan turut direka semula menampilkan suis putar dan suis tekan dengan bentangan kekunci piano dengan rekaan seakan pada Proton X50, serta diberikan paparan digital tersendiri.

    Dalam video teaser yang disiarkan semalam, Persona turut dilihat menerima lampu hadapan LED, rim 16-inci rekaan enam-jejari berkembar, kemasan kulit perang berliang pada panel dalaman pintu, serta skrin infotainmen yang tidak lagi tenggelam dalam papan pemuka sebaliknya direka berdiri sendiri bagi memberikan paparan lebih besar. Tiada aplikasi Spotify kerana jelas dalam video tersebut ia masih dibekalkan dengan aplikasi Joox untuk mendengar muzik secara streaming.

    Persona facelift ini bakal dilancarkan sekali Iriz facelift 2021, di mana versi hatchback tersebut turut akan menerima varian baharu dengan gaya yang nampak seperti SUV, mungkin akan digelar Iriz Active, sempena nama model konsep psedo-SUV yang sama dihasilkan Proton pada tahun 2014.

    Tempahannya kedua-dua model ini masih belum lagi dibuka, tapi untuk menjadi antara orang terawal untuk memiliki model-model facelift berkenaan, anda sudah boleh mendaftarkan minat di laman sesawang khas yang telah dibuka oleh Proton pada PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Corolla kuasa hidrogen tamatkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu di Jepun, enjin 1.6L GR Yaris

    Toyota Corolla kuasa hidrogen tamatkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu di Jepun, enjin 1.6L GR Yaris

    Sebuah Toyota Corolla yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar telah melengkapkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu selama lima jam di Jepun, dengan berada di tempat ke 43 daripada 44 keseluruhan kereta yang menamatkan perlumbaan. Ia dipandu oleh Takuto Iguchi, Takamitsu Matsui, Masahiro Sasaki dan presiden Toyota sendiri, Akio Toyoda.

    “Kami berjaya menghabiskan perlumbaan Fuji 24 Hours tetapi dengan pelbagai masalah, jadi kami berhasrat memperbaiki ketahanan kereta ini. Kami menukar sepenuhnya spesifikasi enjin, menjadikan pecutan bertambah baik 9%, berat dikurangkan 40 kg dan beberapa perubahan tetapan lain seperti ketinggian roll centre, kata presiden Toyota Gazoo Racing, Koji Sato kepada motorsport.com.

    Kereta lumba Corolla kuasa hidrogen ini menggunakan enjin tiga silinder 1.6 liter turbo sama seperti GR Yaris yang dipasarkan kepada orang awam, tetapi disesuaikan dengan bahan bakar hidrogen termampat untuk menggantikan petrol. Dalam keadaan standard, enjin G16E-GTS petrol ini mampu menghasilkan 261 PS pada 6,500 rpm dan 360 Nm tork pada 3,000 hingga 4,600 rpm (versi Eropah), sementara model pasaran Jepun menghasilkan lebih 11 PS dan 10 Nm.

    Toyota Corolla kuasa hidrogen tamatkan perlumbaan jarak jauh Super Taikyu di Jepun, enjin 1.6L GR Yaris

    Menurut Sato, peningkatan lain yang dilakukan selepas perbincangan dengan FIA adalah kadan aliran bahan api yang dipertingkat sebanyak 40%. Semasa sesi kelayakan, Corolla kuasa hidrogen ini berjaya mendapat tempat ke-37, dengan catatan masa terbaik dua minit 9.992 saat, iaitu dua saat lebih laju berbanding pelumba kelas ST-5 yang paling perlahan dan beza cuma satu saat dengan kereta kelas ST-4 yang paling perlahan.

    Kereta lumba hidrogen Toyota ini diletakkan dalam kategori ST-Q, dengan menggunakan penampilan ORC Rookie Racing, dan menamatkan perlumbaan 27 pusingan di belakang pemenang keseluruhan, McLaren 720S GT3 pasukan Floral Racing ABSSA Motorsport yang dipandu oleh Keita Sawa, Teruhiko Hamano dan Shintaro Kawabata.

     
     
  • Aston Martin Valkyrie Roadster bakal ditunjuk 12 Ogos

    Aston Martin Valkyrie Roadster bakal ditunjuk 12 Ogos

    Tahun ini merupakan ulang tahun ke-70 Aston Martin memasuki pasaran Amerik Utara. Untuk meraikan pencapaian tersebut, pengeluar kenderaan British ini akan menganjurkan acara khas di Pebble Beach Concours d’Elegance yang bakal berlangsung pertengahan Ogos nanti.

    Majlis itu akan berlangsung di sebuah ruang binaan khas dengan keluasan 11,300 kaki persegi, menghadap Pebble Beach Golf Links, tempat di mana syarikat itu akan mempamerkan pelbagai model sebagai tanda hormat kepada sejarahnya dan juga merintis jalan ke hadapan.

    Menurut Aston Martin, akan ada dua kereta yang akan membuat penampilan rasmi sulung untuk pasaran itu kelak, termasuk Valhalla dan juga apa yang disifatkan sebagai “produk baru yang menarik yang memperkukuh penghormatan terhadap prestasi bagi jenama ini.” Banyak yang telah diketahui tentang Valhalla, namun untuk model kedua, hanya sekilas saja ditunjukkan — iaitu versi roadster bagi model Valkyrie.

    Aston Martin Valkyrie Roadster bakal ditunjuk 12 Ogos

    Dalam gambar berkenaan, dapat dilihat bahagian perehat kepala dengan agak jelas, serta scissor doors berbanding pintu gullwing bagi model coupe. Untuk bumbung pula, memandangkan kereta ini tidak menyediakan banyak ruang untuk mekanisme kuasa, Valkyrie Roadster mungkin memerlukan pemiliknya untuk memasang semua bumbung secara manual.

    Valkyrie merupakan hypercar “mid-engine” flagship Aston Martin yang sebelum ini dikenali sebagai AM-RB 001 dan hanya terhad kepada 150 unit. Dikuasakan oleh enjin 6.5 liter NA V12 yang dibangunkan bersama Cosworth dan menampilkan sistem hibrid ala KERS, Valkyrie menjana 1,176 PS (1,160 hp) dan 900 Nm tork.

     
     
  • Hyundai Santa Cruz dalam kempen iklan digital pamer gaya hidup aktif ikon kreatif tempatan di California

    Hyundai Santa Cruz dalam kempen iklan digital pamer gaya hidup aktif ikon kreatif tempatan di California

    Hyundai kerap menamakan SUV keluarannya dengan nama bandar di Amerika. Untuk model trak pikap kompak terbarunya, ia menggunakan nama sebuah bandar tepian pantai California, Santa Cruz. Ia juga sebuah trak yang lebih cenderung memenuhi gaya hidup berbanding tujuan lain.

    Untuk itu, menurut Hyundai, trak tersebut membawa semangat sempena tempat nama itu dipinjam, dengan kehidupan di sana yang lebih tertumpu kepada keinginan untuk melakukan hal-hal mencabar. Sesuai dengan tema tersebut, pendekatan pemasaran dan iklan bagi “Sport Adventure Vehicle” yang pertama ini, Hyundai bekerjasama dengan bekas pemain skate dan pembikin filem dokumentari, Satcy Peralta, serta individu lain yang sinonim dengan bandar tersebut.

    Iklan panjang dalam bentuk video digital itu yang diberi judul “Journey Through Santa Cruz” menampilkan antara lain surfer terkenal Matt Rockhold, artis Jimbo Phillips dan juga pemain skate wanita, Lady Lurkers. Semua ini melambangkan semangat yang ingin dibawah oleh trak Santa Cruz.

    “Santa Cruz merupakan jenis kenderaan yang berbeza yang menggabungkan kelebihan SUV dengan kepelbagaian trak pikap untuk memudahkan lagi pengguna. Kempen digital pertama ini adalah untuk menunjukkan pengembaraan dan gaya hidup yang dibawa oleh kenderaan unik ini, yang mampu memenuhi penggunaan di bandar dan juga menggalas cabaran lain,” jelas Ketua Pegawai Pemasaran Hyundai Motor Amerika, Angela Zepeda.

    Hyundai bulan lalu telah mendedahkan perincian pakej dan harga bagi Santa Cruz 2022. Trak ini dijual pada harga bermula US$23,990 (RM101,341) hingga kepada US$39,720 (RM167,785) bagi varian tertinggi 2.5L Turbo AWD Limited.

     
     
  • Hayat Toyota Avalon di Amerika bakal ditamatkan

    Hayat Toyota Avalon di Amerika bakal ditamatkan

    Toyota dilaporkan bakal menamatkan penawaran Toyota Avalon di pasaran Amerika Syarikat. Menurut Automotive News, jabatan pembelian Toyota telah memberitahu para pembekal mereka melalui surat bahawa produksi Avalon akan dihentikan selepas pengenalan model 2022.

    Toyota Avalon merupakan sedan flagship yang diletakkan lebih tinggi dari Camry di Amerika Syarikat, dan mula dijual di pasaran berkenaan bermula pada tahun 1994. Walau bagaimanapun, jurucakap Toyota mengesahkan bahawa Avalon akan terus ditawarkan di pasaran China, dihasilkan di kilang FAW-Toyota Tianjin kerana permintaan terhadap sedan besar masih lagi tinggi di Republik tersebut.

    Toyota sendiri masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan perkara ini, tetapi laporan tersebut menyebut bahawa keputusan untuk menghentikan penawaran Avalon ini adalah kerana pasaran sedan di Amerika Syarikat yang semakin mengecil.

    Malah, sejak pengenalan Avalon generasi kelima pada 2018, hasil jualan dari tahun ke tahun menunjukkan pembeli sudah tidak begitu minat lagi terhadap sedan, walaupun Avalon dihasilkan dalam versi TRD yang lebih sporty buat pertama kali.

    Rekod jualan setahun penuh pertama Avalon generasi kelima berkenaan pada 2019 menunjukkan Toyota hanya mampu menjual sedan tersebut dengan jumlah 27,767 unit, jatuh 17.3% berbanding 2018. Ia menjadi lebih buruk pada 2020 apabila jumlah jualannya jatuh 33.7% kepada hanya 18,421 unit. Tetapi ada peningkatan ditunjukkan tahun ini dengan 10,328 unit dijual pada separa pertama 2021, naik 36.6% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Namun angka tersebut masih dilihat jauh lebih rendah berbanding Camry dan juga SUV RAV4. Dalam separa pertama 2021, Toyota telah menjual sebanyak 177,671 unit Camry dan juga 183,360 unit RAV4 pada pasaran Amerika Syarikat.

    Toyota Avalon generasi kelima ini diasaskan dari platform GA-K Toyota, yang dikongsi bersama Camry dan Lexus ES. Ia dijana oleh pilihan enjin sama ada unit 3.5 liter V6 bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift, atau enjin 2.5 liter empat silinder Dynamic Force dengan sistem hibrid. Avalon ditawarkan dalam 10 varian berbeza untuk pasaran AS.

     
     
  • Honda CRF250R 2022 – lebih ringan, kuasa meningkat

    Honda CRF250R 2022 – lebih ringan, kuasa meningkat

    Motocross khas untuk kegunaan litar, CRF250R telah diberikan peningkatan yang menjadikannya lebih ringan dan berkuasa bagi model tahun 2022. Secara keseluruhannya, model ini sekarang 3 kg lebih ringan (104 kg), hasil daripada antaranya pengurangan berat pada bahagian kerangka (-700 gram) dan subframe (-320 gram).

    Ketegaran lateral kerangka ini juga telah dikurangkan sebanyak 20%, supaya dapat memperbaiki prestasi laju di selekoh, cengkaman serta ketepatan pengendalian sambil mengekalkan daya tahan kilasnya. Turut diubah untuk menyesuaikannya dengan kerangka ini adalah lengan ayun serta bahagian sokongan tapaknya.

    Bahagian suspensi kini ditala semula, dengan fork USD 49 mm Showa di hadapan dipasang dengan piston baru lebih besar, untuk memberikan serapan serta maklum balas lebih baik, sementara spring pula ditukar dengan unit yang menggunakan besi 120 gram lebih ringan.

    Enjin masih lagi menggunakan unit satu silinder 249.4 cc DOHC yang sama, tetapi melalui perubahan yang dibuat pada bahagian intake dan head, kuasanya dapat ditingkatkan 10% dan tork naik 15%. Tiga mod penyampaian kuasa disediakan, dengan Mode 1 untuk keadaan standard, Mode 2 lebih lembut dan Mode 3 paling agresif.

    Model ini juga datang dengan ciri launch control elektronik, yang disediakan dalam tiga tahap, boleh mengekalkan kitaran enjin bermula pada tahap 8,250, 8,000 dan 9,500 rpm sewaktu mahu memulakan pecutan. Turut diperbaiki adalah ciri ergonomik dengan tempat duduk 10 mm lebih rendah, jarak kelegaan dari tanah 333 mm dan jarak roda lebih pendek (1,486 mm).

     
     
  • Honda NSX Type S akan didedahkan Ogos ini – hanya 350 unit, versi akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Honda NSX Type S akan didedahkan Ogos ini – hanya 350 unit, versi akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Sejak Honda NSX generasi kedua (juga dikenali sebagai Acura NSX di Amerika Syarikat) diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2015, ramai yang sudah mengatakan nanti akan ada versi yang lebih ganas, berkemungkinan menggunakan lencana “Type R”.

    Nampaknya, memang betul, Honda telah mengumumkan mereka akan memperkenalkan NSX versi prestasi tinggi, tetapi ia tidak akan dipanggil sebagai Type R. Sebaliknya, pengeluar dari Jepun itu akan menggunakan nama Type S, dan ini bukanlah kali pertama kerana NSX asal tahun 90-an dulu juga pernah diperkenalkan dengan versi Type S.

    Sama konsep seperti model lama itu, NSX Type S baru akan menerima pelbagai peningkatan yang dapat meningkatkan kepuasan memandu. Dalam kata Honda, “NSX Type S menaikkan lagi tahap prestasi yang sudah sedia mengagumkan pada supercar ini, memberi lebih kuasa, lebih pecutan, pengendalian lebih tepat dan pengalaman pemanduan lebih beremosi.”

    Honda NSX Type S akan didedahkan Ogos ini – hanya 350 unit, versi akhir sebelum pengeluaran dihentikan

    Perincian selanjutnya masih belum didedahkan, dan kita cuma akan mengetahuinya apabila kereta tersebut membuat penampilan rasmi 12 Ogos nanti di Monterey Car Week. Honda memberitahu, nanti kita boleh menjangka enjin V6 hibrid 3.5 liter, serta sistem Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) yang dipertingkat.

    Pada model NSX standard, enjin V6 ini mampu menghasilkan 507 PS (500 hp) dan 550 Nm, sementara tiga motor elektrik yang diletakkan padanya – dua di hadapan dan satu antara enjin dan transmisi – menyumbang kepada kuasa keseluruhan sebanyak 581 PS (573 hp) dan 645 Nm.

    Bersama pengumuman ini, Honda juga telah menyiarkan beberapa gambar dan video teaser model baru ini, yang menampakkan rekaan rim lima cabang, diffuser belakang lebih agresif, warna matte baru, kemasan gentian karbon serta lencana Type S di luar.

    Kemudiannya terdapat juga lencana nombor keluaran, yang menandakan eksklusiviti model tersebut, kerana ia diberitahu cuma akan dikeluarkan sebanyak 350 unit sahaja, dengan 300 untuk AS, 30 untuk Jepun dan 20 lagi untuk negara lain.

    Satu yang mungkin menyedihkan, versi Type S ini akan menjadi keluaran terakhir NSX sebelum ia dihentikan hujung tahun 2022 nanti. Ya, hanya beberapa tahun sahaja NSX ini dikeluarkan dan kita juga masih tidak mengetahui sama ada model generasi ketiga akan dibangunkan ataupun tidak. Disebabkan itu, Type S akan menjadi model yang dikejar oleh pengumpul kereta, sama seperti model NSX terdahulu.

     
     
  • Bridgestone Ecopia H/L 001 dilancarkan di Malaysia – tayar SUV eko bermula RM295, saiz 15 hingga 18-inci

    Bridgestone Ecopia H/L 001 dilancarkan di Malaysia – tayar SUV eko bermula RM295, saiz 15 hingga 18-inci

    Bridgestone Malaysia telahpun melancarkan tayar Ecopia H/L 001, iaitu tayar yang dihasilkan khas untuk SUV yang disifatkan sebagai tayar yang menampilkan keseimbangan antara keselamatan, jangka hayat yang panjang dan juga kecekapan bahan api.

    Seperti siri Ecopia sebelum ini, ia adalah tayar jenis eko yang menawarkan rintangan golekan rendah bagi memberikan kadar penggunanaan bahan api yang ekonomi. Namun Bridgestone menyatakan bahawa tayar baharu ini disifatkan untuk pemandu yang “mahukan semua”. Jadi ia bukan sekadar tayar eko, tetapi turut dihasilkan dengan mengambilkira faktor prestasi dan juga cengkaman/keselamatan di atas permukaan jalan basah.

    Menurut Bridgestone, Ecopia H/L 001 ini dihasilkan lanjutan dari kejayaan tayar EP850 sebelum ini, dan “memberikan prestasi pengendalian basah dan membrek diinspirasikan keyakinan, permukaaan sentuhan yang dioptimakan bagi menghasilkan bunga tahan lebih lama, serta rintangan golekan bagi mempertingkatkan kadar efisien bahan api dan menjimatkan kos”.

    “Ecopia H/L 001 ialah tayar rintangan golekan rendah yang direka untuk SUV tanpa mengorbankan keselamatan dan keselesaan. Menerusi maklum balas pasaran kami, sifat utama yang pemandu SUV mahukan dalam menilai satu-satu tayar adalah cengkaman, prestasi ketika basah, jangka hayat dan juga keselesaan. Ecopia H/L 001 merupakan tayar yang cemerlang dalam semua aspek tersebut dengan penambahan bonus jimat bahan api,” kata Michael Chung, pengarah urusan Bridgestone Tyre Sales Malaysia.

    Cengkaman ketika basah yang baik pada tayar ini dihasilkan dari rekaan serong yang ditambahbaik bagi memberikan titik sentuhan yang rata, di mana ia membolehkan tayar berkenaan mencengkam permukaan jalan yang basah dengan daya geseran yang lebih tinggi. Rekaan bunga tayar baharu ini juga memberikan prestasi anti-hydroplaning dan pengendalian lebih baik.

    Tayar Ecopia untuk SUV ini juga mempunyai ‘cuping’ yang lebih dalam pada bahagian bahu yang direka bagi meningkatkan kekerasan serta rintangan kehausan. Rekaan baharu itu juga dihasilkan bagi mengelakkan tayar tersebut dari berubah bentuk serta memberikan jangka hayat lebih lama. Bridgestone turut mendakwa bahawa tayar ini menggunakan teknologi NanoPro-Tech yang dipertingkat bagi menawarkan rintangan golekan yang rendah untuk menyumbang kepada penjimatan bahan api dan pengurangan emisi CO2.

    Ecopia H/L 001 ditawarkan untuk rim berdiameter bermula 15- hingga 18-inci, dengan harga bermula dari RM294 hingga RM854 seunit. Bridgestone turut menawarkan promosi sempena pelancarannya bermula hari ini sehingga 30 September dengan memberikan rebat tunai masing-masing RM40, RM60 dan RM80 jika anda membeli set tayar untuk roda bersaiz 16″, 17″ atau 18″. Promosi ini berlangsung di Bridgestone B-Select, Pro Shop dan juga pengedar-pengedar Bridgestone yang bertauliah.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 di Malaysia – foto rasmi bagi E200 Avantgarde dan E300 AMG Line

    Mercedes-Benz E-Class facelift 2021 di Malaysia – foto rasmi bagi E200 Avantgarde dan E300 AMG Line

    Minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan model facelift E-Class W213 baharu yang ditawarkan dengan dua varian iaitu E 200 Avantgarde berharga RM326,943 dan E 300 AMG Line pula RM375,432, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Harga tersebut adalah selepas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), di mana model terkini E-Class ini adalah hasil pemasangan tempatan (CKD) seperti mana model pre-facelift sebelum ini. Setiap pembeliannya juga didatangkan dengan waranti empat-tahun dan perbatuan tanpa had.

    Kebiasaannya, sebelum ini, kami akan menyiarkan foto galeri untuk varian baharu selepas beberapa ia dilancarkan, tetapi disebabkan SOP sekarang yang ketat, jadi agak sukar untuk kami membuat fotografi. Walau bagaimana pun, kami menerima beberapa foto daripada Jason Lai, penasihat jualan Cycle & Carriage Bintang PJ Autohaus, untuk para pembaca melihat sendiri beberapa sudut atau bahagian utama kedua-dua varian ini.

    Perubahan gaya yang dilakukan pada bahagian hadapan termasuklah padanan gril baharu yang lebih nipis berbanding sebelum ini, dan untuk varian Avantgarde, ia diberikan gril berbentuk heksagon, dua jalur krom melintang serta kemasan dalam jalur menegak warna hitam.

    Varian AMG Line pula menggunakan gril berbentuk trapezoid yang cuma mempunyai satu jalur krom melintang di tengah, bersama kemasan bintik warna krom. Ia juga mempunyai bampar yang lebih agresif, dengan bukaan udara hiasan yang lebih besar di bahagian bucu.

    Ciri persamaan bagi kedua-dua varian bonjolan atas bonet serta dua muncung ekzos di belakang, tetapi dengan kemasan krom yang berbeza. Satu lagi perubahan luaran pada model facelift ini adalah lampu belakangnya, yang kini lebih lebar dan bersambung sehingga ke but. Varian AMG Line diberikan roda lima-jejari berkembar AMG 19-inci, sementara unit tanpa-AMG dengan 18-inci untuk Avantgarde.

    Papan pemuka di bahagian dalam masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi perubahan utama yang diberi adalah pada sistem infotainmen, yang kini menggunakan Mercedes-Benz User Experience (MBUX) secara standard bagi kedua-dua varian, dan datang sekali dengan Widescreen Cockpit yang terdiri daripada skrin 12.3-inci – panel instrumen digital dan skrin sesentuh.

    Varian E 200 diberikan roda stereng kulit Nappa, yang menampilkan butang kapasitif Touch Control, gabungan kemasan kayu dan aluminium, pengawal pendingin hawa dua zon Thermatic, lampu suasana, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, penghadang cahaya kawalan kuasa di cermin belakang serta tempat duduk yang dibalut kulit buatan Artico.

    E 300 pula mendapat rekaan stereng lebih sporty, yang termasuk dalam pakej AMG Line, sementara senarai kelengkapannya pula ditambah dengan bumbung panoramik, kawalan pendingin hawa tiga zon, alas kaki AMG serta sistem bunyi Burmester.

    Kedua-duanya diberikan enjin empat silinder 2.0 liter turbo, dengan unit pada E 200 mampu menghasilkan 197 PS (194 hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan 320 Nm dari 1,650 hingga 4,000 rpm. Pada E 300 pula, enjin ini mampu menjana 258 PS (255 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 370 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Jumlah ini masih lagi sama seperti E 200 dan E 300 sebelum ini.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic, yang menghantar kuasa kepada roda belakang, dengan E 300 mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 250 km/j sementara E 200 pula mencatat 7.4 saat dan 240 km/j. Turut diberi adalah pemilih mod pemanduan Dynamic Select dan suspensi Agility Control.

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 AMG Line W213 2021

    GALERI: Mercedes-Benz E 200 Avantgarde W213 2021

     
     
  • Land Rover Defender Trophy Edition – model edisi terhad inspirasi Camel Trophy, hanya 220 unit di AS

    Land Rover Defender Trophy Edition – model edisi terhad inspirasi Camel Trophy, hanya 220 unit di AS

    Selain digunakan oleh pelbagai unit penyelamat, satu lagi perkara ikonik yang dikaitkan dengan Land Rover Defender klasik sudah tentulah ekspedisi Camel Trophy yang berlangsung pada era 80’an dan 90’an. Bagi memperingati ekspedisi tersebut, Land Rover menghasilkan model edisi terhad Defender Trophy Edition menerusi model generasi baharu yang mula diperkenalkan pada 2019.

    Hanya 220-unit Defender Trophy Edition ini dihasilkan dan ia hanya untuk pasaran Amerika Syarikat. Secara spesifiknya, model istimewa ini diasaskan dari versi lima pintu Defender 110 P400 X-Dynamic SE 2022, dan diberikan pelbagai perincian unik.

    Pada bahagian luaran, sudah tentu model ini menerima warna badan ikonik kuning yang digelar Eastnor Yellow dan hitam, bersama logo “Land Rover Trophy” pada pintu yang kelihatan seperti logo Camel Trophy. Ia kemudiannya diberikan berberapa kelengkapan lasak seperti skid plate hadapan, rak bumbung lengkap dengan tangga sisi, mud flap, dan juga pemampat udara bersepadu.

    Land Rover Defender Trophy Edition – model edisi terhad inspirasi Camel Trophy, hanya 220 unit di AS

    Pembeli turut boleh memadankan unit winch secara opsyenal. Manakala pada bahagian kargo di belakang, Defender Trophy Edition ini diberikan pelapik lantai yang diperbuat dari getah bagi meletakkan kelengkapan berlumpur.

    Selain itu, model ini juga ditawarkan dengan pelbagai pakej opsyenal lain antaranya suspensi udara, cold climate pack, off-road pack, advanced off-road capability pack, sistem cermin pandang belakang menggunakan kamera, dan juga penarik tunda.

    Seperti model yang menjadi asasnya, Land Rover Defender Trophy Edition ini turut dijana oleh enjin Ingenium 3.0 liter enam-silinder sebaris bersama sistem hibrid ringkas, yang menghasilkan kuasa 400 PS dan tork maksima 550 Nm bermula 2,000 rpm hingga 5,000 rpm.

    Anda bukan sahaja dapat berangan untuk menjadi salah seorang peserta Camel Trophy sekiranya membeli model edisi terhad ini, malah Land Rover turut akan membawa setiap pemiliknya untuk menyertai acara off-road Trophy Competition yang akan diadakan di Biltmore Estate yang terletak di Asheville, North Carolina.

    Tak cukup dengan itu, peserta yang memenangi acara di Amerika berkenaan turut akan di bawa untuk masuk ke peringkat akhir pertandingan yang diadakan di Eastnor Castle, United Kingdom tahun hadapan. Land Rover Defender Trophy Edition ini akan mula dijual di Amerika Syarikat bulan hadapan, dengan harga US$90,000 (RM380,893).

     
     
  • Proton Iriz dan Persona facelift 2021 – teaser rasmi disiar, bakal dilancarkan secara rasmi 5 Ogos ini

    Setelah pelbagai gambar intipan muncul dan kemudian ia terdedah dalam satu video langsung, akhirnya Proton secara rasmi menyiarkan teaser rasmi untuk Iriz dan Persona facelift 2021, dan mengumumkan bahawa ia bakal dilancarkan pada 5 Ogos ini. Menerusi video berdurasi 33 saat itu juga memperlihatkan berberapa ciri penting untuk model kembar hatchback dan sedan yang disegarkan ini.

    Untuk Iriz, varian psedo-SUV dengan rupa lebih lasak dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi serta kemasan-kemasan pelindung badan seakan Perodua Axia Style telah pun muncul dalam video teaser ini. Varian tersebut juga dilihat mengenakan rim dengan corak pelbagai jejari dan diberikan rel bumbung berwarna perak untuk kelihatan seperti SUV, serta menerima warna badan dua tona; tema merah-hitam mungkin menandakan ia adalah adik kepada Proton X50.

    Sedikit perincian dalaman juga terdedah dalam video pendek ini. Iriz ‘SUV’ ini nampak turut diberikan serlahan-serlahan merah dalam kabin, khususnya pada bahagian konsol tengah dan skrin infotaimen, yang diserasikan tempat duduk separa kulit yang turut diberikan jahitan benang merah. Tiada nama rasmi didedahkan untuk varian baru Iriz ini, namun tak mustahil ia akan digelar Iriz Active, sempena nama model konsep psedo-SUV yang sama dihasilkan Proton pada tahun 2014.

    Manakala untuk Persona, ia nampaknya diberikan rim baharu dengan rekaan enam-jejari. Sedikit bahagian dalaman sedan berkenaan didedahkan menerusi video ini yang memperlihatkan Persona juga menerima sentuhan lebih premium dengan panel dalaman pintu yang diberikan balutan kulit berliang berwarna perang.

    Satu ciri menarik yang diberikan pada kedua-dua Iriz dan Persona yang terdedah pada video ini adalah ia tidak lagi menampilkan skrin infotainmen yang tenggelam pada papan pemuka, sebaliknya ditukar dengan skrin berdiri sendiri dengan saiz yang lebih besar. Tiada aplikasi Spotify kerana jelas dalam video ini ia masih dibekalkan dengan aplikasi Joox untuk mendengar muzik secara streaming.

    Dalam video ini juga ada menunjukkan bahawa sistem ‘Hi-Proton’ pada sistem infotainmen berkenaan mungkin turut boleh mengoperasikan sistem elektrikal lain pada Iriz dan Persona facelift ini kerana tertulis arahan “open the window” dan “alright, open” pada skrin tersebut.

    Pada model sedia ada, sistem tersebut hanya boleh digunakan pada fungsi yang ada pada skrin infotainmen sahaja, berbeza pada sistem untuk Proton X70 dan X50 yang turut boleh mengawal tingkap, bumbung suria, sistem pendingin hawa dan sebagainya.

    Iriz dan Persona juga masing-masing hadir dengan gril yang dikemaskini serta diberikan logo bulat kepala harimau ‘Thundercats’ baharu Proton, bersama rekaan bampar baharu dan juga lampu hadapan LED. Tempahan belum lagi dibuka, tapi untuk menjadi antara orang terawal untuk memiliki model facelift Iriz dan Persona ini, anda sudah boleh mendaftarkan minat di laman sesawang khas yang telah dibuka oleh Proton.

     
     
  • Aplikasi mudah alih Volkswagen Cares dikemaskini

    Aplikasi mudah alih Volkswagen Cares dikemaskini

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini telah memperkenalkan versi dikemaskini bagi aplikasi mudah alih Volkswagen Cares yang kini turut memuatkan beberapa ciri baru, sebagai tambahan fungsi lepas jualan lain yang memang tersedia di dalamnya sejak 2019.

    Menurut VPCM, aplikasi baru ini dibangunkan dengan mengambil kira daripada pelanggan dan kini menjadi seperti pusat sehenti maya bagi segala urusan dan keperluan jualan dan lepas jualan bagi pelanggan. Sebagai tambahan kepada pengurusan maklumat kenderaan pelanggan serta penjadualan temujanji servis dalam talian, pengguna juga boleh berhubung dengan Volkswagen Malaysia dan rangkaian pengedarnya.

    Aplikasi Volkswagen Cares juga memuatka peringatan bagi Pelan Insurans Volkswagen, dan membantu pelanggan untuk menguruskan penggunaan baucar yang diterima. Kemaskini masa depan yang dirancang untuk aplikasi berkenaan termasuk sistem ganjaran, serta kaedah pembayaran.

    Aplikasi mudah alih Volkswagen Cares dikemaskini

    Aspek lepas jualan juga termasuk termasuk pilihan untuk mengambil dan menghantar kenderaan bagi temujanji servis, pemeriksaan servis 5-bintang percuma dalam talian, Service Cam serta beberapa pelan pembayaran dan pembayaran tanpa tunai.

    Volkswagen Malaysia mempunyai sekitar 30,000 pemilik berdaftar, dan lebih 50% daripada jumlah ini merupakan ahli program Volkswagen Care Plus (VCP) dengan kenderaan berusia lima tahun atau lebih, kata pengarah urusan VPCM, Erik Winter dalam satu kenyataan.

    Menggantikan versi terdahulu dengan serta-merta, aplikasi mudah alih Volkswagen Care yang terbaru ini tersedia di Apple App Store bagi pengguna iOS, dan juga Google Play Store bagi pengguna Android.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024