Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda anjur promosi ‘Macam-Macam Treats’ untuk sepanjang Jun 2021, tawar rebat hingga RM5,000

    Sepatutnya Jun 2021 menjadi bulan terakhir untuk pengecualian cukai jualan (SST) bagi kenderaan, namun tempohnya tekah dilanjutkan sehingga 31 Disember ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 penuh Fasa pertama yang bermula sejak 1 Jun lalu selama 14 hari.

    Jadi, inilah masa yang paling tepat untuk anda membeli kenderaan baharu, malahan beberapa syarikat pengeluar turut menganjurkan pelbagai promosi dengan menawarkan pemberian rebat dengan jumlah tertentu. Ini termasuklah Honda Malaysia yang tidak melepaskan peluang untuk menganjurkan kempen promosi yang sama.

    Sepanjang bulan Jun ini, Honda Malaysia menganjurkan promosi “Macam-Macam Treats” dengan menawarkan rebat sehingga RM5,000 selain pengecualian SST, di mana ia melibatkan kesemua barisan model Honda yang dipasang di Melaka (untuk model CKD) untuk tahun 2021.

    Rebat terbesar diberikan untuk Honda Accord dengan RM4,000 bagi varian 1.5L TC-P dan 1.5L TC pula dengan potongan sehingga RM5,000. Manakala Honda BR-V, untuk kedua-dua gred E dan V, ia ditawarkan dengan rebat RM3,000. Bagi HR-V (untuk ketiga-tiga varian) dan CR-V (juga ketiga-tiga varian) diberikan rebat sebanyak RM1,500.

    Manakala model segmen-B Honda yang paling laris, rebat sehingga RM2,000 diberikan. Rebat tertinggi itu untuk spesifikasi pertengahan E, untuk varian asas S dan V pula menerima rebat RM1,000. Namun demikian, varian tertinggi City RS e:HEV tidak dimasukkan dalam kempen jualan ini.

    Untuk model Honda paling popular, Civic, bagi ketiga-tiga varian, ia diberikan rebat sebanyak RM1,000. Sementara Jazz generasi ketiga pula hadir dengan diskaun sebanyak RM1,500, juga untuk kesemua variannya. Untuk makluman, slot hatchback segmen-B tersebut akan digantikan dengan City hatchback tidak lama lagi.

     
     
  • PKP 3.0: Polis terima surat kebenaran daripada semua kementerian terlibat bagi pergerakan berkaitan kerja

    PKP 3.0: Polis terima surat kebenaran daripada semua kementerian terlibat bagi pergerakan berkaitan kerja

    Selepas banyak kekeliruan berlaku setakat ini, pihak polis memaklumkan bahawa semua surat pengesahan individu yang dikeluarkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan berkaitan adalah sah untuk perjalanan berkaitan tugas sepanjang PKP penuh ketika ini. Hal ini dimaklumkan oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, MV Srikumar Nair pada 2 Jun, lapor The Star.

    “Semua surat untuk pergerakan, baik dari MITI atau jabatan dan kementerian berkaitan yang lain, akan diterima pakai. Sila maklumkan perkara itu kepada pegawai bertugas di sekatan jalanraya,” ujarnya dalam satu hantaran video. Jelasnya, arahan itu datang daripada Ketua Polis Negara.

    Hal ini adalah respon kepada situasi syarikat yang menghadapi masalah untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk pergerakan mereka ketika awal pelaksanaan PKP terbaru ini, yang bermula sejak 1 Jun. Banyak kekeliruan yang telah berlaku sepanjang tiga hari pelaksanaan PKP terbaru ini berkaitan surat kebenaran pergerakan dan operasi perniagaan dalam sektor utama.

    PKP 3.0: Polis terima surat kebenaran daripada semua kementerian terlibat bagi pergerakan berkaitan kerja

    Terdahulu, Kementerian Pengangkutan telah menjelaskan bahawa semua sub-sektor logistik dan pengangkutan adalah dibenarkan untuk beroperasi pada tahap optimum sepanjang tempoh PKP terbaru ini, yang akan berlangsung hingga 14 Jun nanti. Mereka hanya memerlukan surat kebenaran untuk tujuan itu, tanpa perlu dokumen sokongan lain bagi urusan rentas negeri.

    Dalam satu laporan oleh FMT pula, Srikumar dipetik sebagai berkata, pihak polis yang bertugas di sekatan jalan raya akan memberi kelonggaran kepada mereka yang bekerja dengan syarikat yang belum memperoleh surat kebenaran MITI. Bagaimanapun, mereka yang perlu mendapatkan surat kebenaran daripada kementerian berkaitan sektor masing-masing.

    Sementara itu, KPDNHEP memaklumkan hari ini melalui satu hantara FB (infografik di atas) yang semua perniagaan yang ditakrif sebagai “essential” dan dibenarkan beroperasi oleh MKN boleh meneruskan operasi mereka seperti biasa sementara menunggu surat MITI.

     
     
  • Ford Maverick 2022 ditunjuk dalam teaser – trak pikap kompak unibody yang diletakkan di bawah Ranger

    Ford Maverick 2022 ditunjuk dalam teaser – trak pikap kompak unibody yang diletakkan di bawah Ranger

    Ford telah mengumumkan bahawa mereka akan menambah satu lagi trak pikap kompak serba baru dalam barisan produk mereka pada 8 Jun nanti, dan ia dinamakan sebagai Maverick. Model ini akan diletakkan di bawah daripada Ranger, dan dilapor menggunakan binaan unibody, dan bukannya body-on-frame seperti Ranger.

    Ini sekaligus meletakkan ia sama tahap seperti Santa Cruz ataupun honda Ridgeline, dan sepatutnya menjadikan ia lebih mampu milik, dengan harga anggaran sekitar USD20,000 (RM82,610) atau lebih. Teaser yang dikeluarkan oleh Ford memberi gambaran bahawa ia akan masuk pasaran tahun ini dan terdapat satu varian XLT.

    Menurut laporan Car and Driver, Maverick akan dibina atas platform C2 Ford yang juga digunakan pada model seperti Escape, Kuga, Focus dan Bronco Sport. Pilihan enjin pula dikatakan sama seperti Bronco Sport, yang termasuk unit petrol tiga silinder turbo 1.5 liter dan empat silinder turbo 2.0 liter.

    Dalam salah satu video teaser itu, kita juga dapat melihat sebuah Maverick yang menggunakan lencana hibrid, memberi petunjuk akan ada juga varian yang menggunakan tenaga bantuan elektrik. Pembeli akan diberikan pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda yang datang dengan tetapan suspensi independent di belakang.

    Perincian lanjut Maverick cuma akan diketahui apabila ia didedahkan secara penuh dalam masa beberapa hari lagi. Nama Maverick sebenarnya sudah pernah digunakan oleh Ford sebelum ini, iaitu pada model sedan ekonomi tahun 70-an dan Escape generasi pertama yang dijual di Eropah dan China.

     
     
  • Bentley Bentayga Speed dilancar di Malaysia – enjin W12 6.0L dengan 635 PS, 900 Nm; dari RM2.68 juta

    Bentley Bentayga Speed dilancar di Malaysia – enjin W12 6.0L dengan 635 PS, 900 Nm; dari RM2.68 juta

    Bentley Bentayga Speed diperkenalkan di peringkat global buat pertama kalinya pada Ogos 2020, kini telah pun memasuki pasaran Malaysia. Model SUV mewah ini ditawarkan dengan harga asas bermula RM2.68 juta, dan ia termasuk duti dan cukai. Jika tidak, harganya bermula RM1,062,000.

    Daya tarikan utama bagi Bentayga Speed ini sudah tentulah melibatkan padanan enjin W12 6.0 liter turbo-berkembar yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 635 PS dan tork 900 Nm dari 1,500 hingga 5,000 rpm. Angka ini tidak banyak berubah dari versi pre-facelift, jadi prestasinya juga lebih kurang sama – mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.9 saat, dan kelajuan maksimum dicatatkan sehingga 306 km/j.

    Dengan enjin yang dilengkapi kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, ia turut diberikan semakan semula untuk sistem suspensi udara dan talaan khas untuk sistem kawalan olengan aktif elektrik Dynamic Ride yang dijanakan oleh motor berkapasiti 48-voltan.

    Bentley Bentayga Speed dilancar di Malaysia – enjin W12 6.0L dengan 635 PS, 900 Nm; dari RM2.68 juta

    Jika inginkan kuasa yang lebih padu, pakej brek seramik karbon yang 20 kg lebih ringan berbanding brek besi biasa turut boleh dipilih, dan menawarkan tork membrek maksimum pada 6,000 Nm dan ketahanan kepanasan sehingga 1,000 darjah selsius.

    Untuk rekaannya, Bentayga Speed ditampilkan dengan lampu utama dan lampu belakang LED penuh dengan lapisan gelap, skirt sisi sama dengan warna badan, spoiler bumbung, gril radiator gelap dan roda aloi 22-inci. Pelanggan juga boleh memilih 17 warna luaran, dengan 47 serlahan tambahan menerusi barisan Extended dan Mulliner.

    Selain itu, ia turut menawarkan 12 dozen warna dua-ton sebagai pilihan, menjadikan julah keseluruhan mencecah 88 warna pilihan. Tapi jika tiada satu pun warna yang berkenan, jangan risau, pasukan Bentagya boleh menghasilkan warna mengikut permintaan anda.

    Untuk bahagian kabinnya pula, ia kebih kurang sama dengan model facelift, tapi ada satu kelebihan pada Speed ialah ia menerima balutan Alcantara untuk roda stereng, headliner, kusyen tempat duduk dan bahagian pillar. Tapi jika tidak berminat dengan Alcantara, anda boleh memilih Leather Specification. Tempat duduknya pula menampilkan sulaman Speed secara standard.

    Lain-lain ciri yang diberikan termasuklah paparan skrin sesentuh 10.9-inci (dengan lapisan anti-refleksi), yang kini menerima sokongan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto. Kluster instrumen juga digital sepenuhnya, dengan tambahan informasi yang dipancarkan menerusi paparan utama.

    Kemaskini: Bilik pameran Bentley Kuala Lumpur kini ditutup sepanjang temnpoh PKP 3.0 Penuh dari 1-14 Jun 2021.

     
     
  • Lexus LM350, LC500 Convertible kini lebih RM40k lebih murah dengan insentif potongan SST 50%

    Lexus LM350, LC500 Convertible kini lebih RM40k lebih murah dengan insentif potongan SST 50%

    Lexus Malaysia sudahpun melancarkan dua modelnya – MPV mewah Lexus LM 350 dan kereta sport LC 500 Convertible – di pasaran Malaysia masing-masing pada April lalu dan juga November 2020. Namun ketika dilancarkan, kedua-dua model ini diberikan harga penuh tanpa potongan cukai SST kerana insentif berkenaan pada awalnya akan ditamatkan pada hujung Jun ini, manakala model-model tersebut dijangka hanya dapat dihantar kepada pelanggan pada separa kedua 2021.

    Namun dengan pengumuman Perdana Menteri yang dibuat tempoh hari bahawa insentif berkenaan akan diteruskan sehingga 31 Disember, ini bermaksud Lexus LM 350 dan LC 500 Convertible perlu diberikan harga baharu yang disertakan potongan cukai SST 50% untuk model-model CBU.

    Oleh itu, Lexus LM 350 kini dijual pada harga RM1,106,513, manakala Lexus LC 500 Convertible pula dijual pada harga RM1,302,815 – masing-masing RM41,487 dan RM47,185 lebih murah berbanding harga yang diumumkan ketika pelancarannya. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Lexus LM350, LC500 Convertible kini lebih RM40k lebih murah dengan insentif potongan SST 50%

    Kesemua model Lexus yang dijual oleh Lexus Malaysia ini dilindungi dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala untuk LC 500 Convertible ia turut diberikan pakej servis percuma baharu selama lima tahun/100,000 km.

    Tiada perubahan spesifikasi untuk kedua-dua model setakat ini. Lexus LM 350 masih ditawarkan dalam versi empat tempat duduk, dijana oleh enjin 2GR-FKS 3.5 liter V6 berkuasa 296 hp/361 nm, digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik. LC 500 pula dikuasakan oleh enjin 2UR-GSE 5.0 liter V8, menjana 470 hp/540 Nm dengan transmisi automatik 10-kelajuan, hanya memacu roda belakang.

    GALERI: Lexus LM 350

    GALERI: Lexus LC 500

     
     
  • Toyota Corolla Cross 1.8V kini berharga RM129,266 dengan potongan SST 50%, RM4,734 lebih murah

    Toyota Corolla Cross 1.8V kini berharga RM129,266 dengan potongan SST 50%, RM4,734 lebih murah

    Ketika dilancarkan pada Mac lalu, model asas Toyota Corolla Cross 1.8G dijual pada harga RM124,000, manakala varian tertinggi 1.8V pula diumumkan dengan harga RM134,000. Harga untuk model 1.8G berkenaan adalah dengan potongan cukai SST, manakala harga RM134k untuk 1.8V pula adalah dengan cukai penuh SST.

    Ini kerana Corolla Cross 1.8V dijangka hanya akan tiba di Malaysia dan dihantar kepada pelanggan pada separa kedua 2021, ketika itu insentif potongan cukai yang diberikan oleh kerajaan sepatutnya berakhir pada 30 Jun. Namun dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri tempoh hari bahawa insentif berkenaan akan diteruskan sehingga 31 Disember, ini bermaksud Corolla Cross 1.8V perlu diberikan harga baharu.

    Oleh itu, dengan potongan cukai SST 50% untuk model CBU yang diimport sepenuhnya dari Thailand ini, Toyota Cross 1.8V diumumkan dijual di Malaysia pada harga RM129,266, atau RM4,734 lebih murah. Manakala model 1.8G pula kekal dijual pada harga RM124,000.

    Toyota Corolla Cross 1.8V kini berharga RM129,266 dengan potongan SST 50%, RM4,734 lebih murah

    Dalam insentif yang diumumkan kerajaan berkenaan, model-model pemasangan tempatan (CKD) diberikan potongan cukai SST lebih tinggi iaitu sebanyak 100%. Menurut rancangan yang telahpun didedahkan oleh UMW Toyota sebelum ini, buat pertama kali kilang mereka yang terletak di Bukit Raja bakal memasang model yang diasaskan dari platform TNGA, iaitu Toyota Corolla Cross pada tahun ini juga.

    Toyota Corolla Cross merupakan SUV segmen-B dengan saiz sedikit lebih besar yang berhadapan terus dengan Honda HR-V dan juga Proton X50. Ia dijana oleh enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-1 berkuasa 139 PS dan tork maksima 172 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan kelajuan 7-kelajuan maya dengan mod Sequential Shifmatic, dan kuasa hanya dihantar ke roda hadapan.

    Bagi model asas 1.8G, ia hadir dengan kelengkapan seperti lampu hadapan projektor halogen, rim 17-inci, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem amaran tekanan angin tayar, tujuh beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera 360-darjah, kamera perakam digital (dashcam) dan juga pintu tailgate belakang berkuasa bersama penderia kaki.

    Manakala untuk model 1.8V pula, ia ditambah dengan pelbagai kelengkapan lebih baik seperti lampu hadapan bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED, rim aloi 18-inci dua tona bersama tayar Michelin Primacy 4, lampu belakang LED dan juga cermin akustik.

    Model tertinggi ini juga diberikan pakej sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong dengan bantuan stereng, bantuan mengesan lorong, sistem cruise control adaptif (berfungsi pada kelajuan 30 km/j ke atas) dan juga lampu tinggi automatik.

    Toyota Corolla Cross 1.8V

    Toyota Corolla Cross 1.8G

     
     
  • Toyota GR Supra A91-CF Edition – edisi terhad dibuat hanya 600 unit, untuk pasaran Amerika Syarikat

    Toyota GR Supra A91-CF Edition – edisi terhad dibuat hanya 600 unit, untuk pasaran Amerika Syarikat

    Toyota telah melancarkan model edisi terhad hanya untuk pasaran Amerika Syarikat berasaskan Toyota Supra tingkat taraf 2021 (dikenali sebagai A91 berbanding versi asal A90), yang digelar GR Supra A91-CF Edition.

    CF bermaksud Carbon Fibre, jadi model yang hanya dihasilkan 600 unit ini diberikan banyak komponen berasaskan material ringan berkenaan dan banyak perincian unik yang lain.

    A91-CF Edition ini menampilkan kit badan gentian karbon yang meliputi splitter hadapan, canards lebih besar, sayap atau diffuser tambahan pada bahagian bawah bendul sisi, sepasang lagi canard pada bampar belakang serta spoiler jenis ducktail tambahan pada penutup but belakang.

    Menurut Toyota USA, kit aero tambahan ini bukan hanya memberikan rupa yang lebih agresif, malah ia benar-benar memberikan downforce serta kestabilan tambahan “ketika pemanduan seharian dan pemanduan di litar”. Model istimewa ini juga dipadankan dengan rim 19-inci unik dalam kemasan hitam kusam. Hanya tiga warna badan ditawarkan iaitu Absolute Zero White, Nitro Yellow dan Matte Grey Phantom.

    Toyota GR Supra A91-CF Edition – edisi terhad dibuat hanya 600 unit, untuk pasaran Amerika Syarikat

    Seperti Supra A91 standard, model edisi terhad ini juga masih menerima enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 382 hp dan tork maksima 500 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear ZF lapan kelajuan automatik untuk memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat.

    Kelengkapan standard Supra A91 lain juga terus dipadankan pada CF Edition ini merangkumi sistem suspensi Adaptive Variable Sport, differential sport aktif pada gandar belakang dan juga brek Brembo pada bahagian hadapan dengan angkup merah bersama logo Supra.

    Pada bahagian dalaman pula, model istimewa ini diberikan tema warna merah-hitam dengan upholsteri Alcantara dan kulit, bersama serlahan jahitan benang merah. Tempat duduk hadapan diberikan standard dengan larasan berkuasa 14-hala bersama sistem pemanas.

    Perincian dalaman lain adalah termasuk panel-panel kemasan gentian karbon, roda stereng tiga jejari balutan kulit, dan juga pedal sport. Namun, Toyota Amerika Syarikat masih belum mengumumkan harga untuk Supra A91 CF Edition ini, di mana ia akan diberitahu dalam berberapa bulan lagi bersama imej bahagian dalaman. Ia dijangkan akan berada di bilik pameran pada musim luruh nanti.

     
     
  • MINI Cooper SE facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – hot hatch elektrik kini lebih murah, berharga RM213k

    MINI Cooper SE facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – hot hatch elektrik kini lebih murah, berharga RM213k

    Selain MINI 3 Door dan 5 Door facelift, MINI Malaysia turut melancarkan model Cooper SE facelift 2021 untuk pasaran tempatan. Ia genap setahun selepas model sebelumnya dilancarkan di sini dengan sejumlah 30 unit telah habis dijual.

    Untuk model facelift ini, harga yang ditawarkan ialah sekitar RM213,461 tanpa insurans, iaitu RM910 lebih murah berbanding model terdahulu. Ia turut hadir dengan waranti standard dua-tahun; dengan waranti lanjutan empat-tahun/tanpa had perbatuan dan pakej servis percuma,tapi dengan harga yang melonjak ke RM217,471. Walau bagaimana pun, harga-harga berkenana adalah termasuk dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST), yang kini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Walau mana pun pilihan pakej waranti anda, waranti lapan-tahun/100,000 km untuk bateri turut didatangkan secara standard.

    Secara mekanikal, tiada sebarang pembaharuan yang dibuat, ia masih mengekalkan motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan hamburan kuasa 135 kW (184 PS) dan tork 270 Nm. Ia mampu mencapai pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 7.2 saat, dan kelajuan maksimumnya dalam 150 km/j. Turut diberikan bateri lithium-ion bentuk-T 28.9 kWh, dengan anggaran jarak sehingga 232 km mengikut kitaran WLTP dengan penggunaan kuasa antara 15.2 ke 17.6 kWh bagi setiap 100 km.

    Pengecasan bagi Cooper SE ini mengambil masa sekitar dua setengah jam dengan menggunakan saluran kuasa AC capaian 11 kW menerusikabel Type 2. Sebagai alternatif, kereta ini juga boleh menggunakan pengecasan pantas DC sehingga 50 kW menerusi soket CCS, dan bateri boleh dicas dari 10 hingga 80% dalam hanya 36 minit.

    Kebanyakan perubahan yang dilakukan melibatkan sentuhan estetika, dengan Cooper SE menerima padanan gril haksagon besar yang sama diberikan pada model Hatch dan Convertible yang lain. Selain itu, garisan luar kedua yang lebih kecil dengan kemasan krom bersama seksyen tengah yang sama dengan warna badan turut diberikan. Lampu kabus yang ada pada model sebelum ini pula telah digantikan dengan corong udara menegak yang diletakkan di hujung bampar hadapan.

    Model ini menampilkan bampar hadapan baharu yang telah menggantikan lampu kabus dengan tirai udara untuk menaik taraf ciri aerodinamik. Ia turut mempamerkan lencana S baharu yang berwarna kuning, ia menggantikan lencana E yang pernah digunakan sebelum ini.

    Palang keselamatan terletak di bampar hadapan dengan rona yang sama seperti badan jentera ini, manakala sebuah lingkaran yang berwarna hitam kini menyerlahkan komponen gril radiatoryang berbentuk heksagon. Lampu hadapan LED Adaptif (Adaptive LED) dengan fungsi Matriks (Matrix Functionality) kini ditawarkan dengan perumah dalamanyang berwarna hitam; dan turut menampilkan ketutup sisi moden yang turut merangkumi indikator LED serta sisipan khas ‘Electric’.

    Pada bahagian belakang, pintu but yang sebelum ini berwarna Vigorous Grey digantikan dengan warna hitam, manakala bampar belakang mengekalkan gubahan yang asal. Model baharu ini juga masih didatangkan dengan set roda 17-inci dalam dwitona MINI Electric Power Spoke serta tayar ‘run flat’.

    Cooper SE facelift 2021 turut menawarkan bahasa reka bentuk dalaman yang lebih segar dengan geometri panel dekor di ruang kokpit yang kelihatan melandai secara melintang menerusi kemasan dekor yang bersaiz besar. Ia diberikan stereng baharu dengan ruji mendatar, serta butang multifungsi yang diintegrasikan pada permukaan rata dengan kemasan Piano Black.

    MINI Cooper SE facelift 2021 dilancarkan di Malaysia – hot hatch elektrik kini lebih murah, berharga RM213k

    Ciri-ciri baharu yang lain merangkumi corong udara dalam dan luar yang diintegrasikan dengan fasia kokpit, pencahayaan ambien baharu dalam bentuk lembaran lampu yang menyoroti geometri ruang interior, termasuk dekor bezel pintu dalam warna Piano Black, serta MINI Controller dalam kemasan yang juga berwarna hitam.

    Rekaan panel hitam yang baharu untuk panel instrumen sentral turut dicerminkan pada MINI Navigation System 8.8 inci yang lengkap dengan MINI Connected, ia mengandungi fungsi-fungsi seperti Servis Rencam (Concierge Services), di samping Telekhidmat (Teleservices), Servis Jarak Jauh (Remote Services), Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), MINI Dalam Talian (MINI Online) dan Apple CarPlay.

    Model ini juga diberikan Papar Pandu MINI (MINI Head Up Display) dan Sistem Bunyi 360 watt dengan 12-pembesar suara oleh Harman Kardon. Fungsi keterhubungan, audio dan navigasi yang canggih juga disediakan untuk Cooper SE facelift 2021 dengan Kluster Instrumen Digital. Ia mampu memaparkan maklumat penting berkenaan dengan status pengecasan kenderaan seperti waktu berbaki, peratusan pengecasan, jarak operasiberbaki, suhu di luar kenderaan, berserta dengan Mod Pemanduan MINI (MINI Driving Mode) semasa.

    Ciri lain yang didatangkan secara standard termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dwi-zon, cermin auto-kelam dengan logo MINI pada pancaran lantai, lampu dan bilah pengelap cermin auto, tempat duduk sport dengan larasan manual, bantuan parkir dan kamera undur.

    Bagi aspek kselamatan, Cooper SE facelift 2021 masih diberikan ciri standard dengan pakej Bantuan Pemanduan, termasuk. brek kecemasan sendiri, pengesan isyarat trafik dan amaran ketibaan lorong, dengan ciri terakhir itu merupakan baharu untuk barisan MINI Hatch dan Convertible 2021. Model tersebut juga kini dilengkapi dengan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX untuk tempat duduk penumpang hadapan. Enam beg udara dan kawalan kestabilan turut diberikan, sama seperti sebelum ini.

    Cooper SE facelift 2021 ditawarkan dengan tiga warna – White Silver dengan bumbung hitam dan perumah cermin sisi Energetic Yellow, British Racing Green dengan bumbung dan perumah cermin sisi hitam dan Midnight Black dengan bumbung putih dan perumah cermin sisi kuning. Model ini boleh ditempah secara dalam talian dengan wang pendahuluan RM1,000 dan kini turut ditawarkan dengan ‘Balloon Financing’ daripada BMW Group Financial Services Malaysia, dengan bayaran bulanan bermula dari RM2,418 sebulan (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).

     
     
  • Rekaan konsep kereta sports Malaysia oleh bekas pereka Proton, asas luaran dari Aston Martin DB10

    Rekaan konsep kereta sports Malaysia oleh bekas pereka Proton, asas luaran dari Aston Martin DB10

    Hasil rekaan digital Saharuddin Busri, bekas pereka automotif di Proton suatu ketika dahulu dan kini bertugas di MIMOS, sebelum ini sudah banyak yang dipaparkan di laman kami. Setiap satunya agak menarik, terutama bayangan dan imaginasinya terhadap model-model Proton yang dibayangkannya, sebagai contoh melalui Proton Savvy 18 dan juga Suprima X.

    Menariknya, beliau sentiasa meneroka idea-idea baru berkaitan rekaan automotif, sebahagiannya untuk tujuan pengejaran bagi kursus di institut pengajian tinggi. Terbaru, Saharudin mempamerkan pula rekaan yang dikenali sebagai konsep “Sports Car” Malaysia. Rekaan ini merupakan sebahagian daripada kandungan yang disediakan untuk acara Design Talk MIMOS Berhad bersama Autodesk Asia, September tahun lalu.

    Ia nampak futuristik (mungkin dibayangkan sebagai kereta sport EV?). Jika ada yang bertanya kenapa banyak elemen bunga raya digunakan padanya — misalnya pada grafik lampu belakang dan lencana sisi di fender depan — itu adalah kerana ia direka sempena memperingati Hari Kebangsaan.

    Rekaan konsep kereta sports Malaysia oleh bekas pereka Proton, asas luaran dari Aston Martin DB10

    Menurut Saharudin, reka bentuk luaran konsep ini disandarkan kepada penampilan Aston Martin DB10 sebagai garis panduan kasar. Kemudian, perinciannya disesuaikan mengikut visi yang dibayangkan oleh beliau. Sebahagian besar sentuhan rekaan yang ada menampakkan elemen tajam dan garis-garis tirus dan bersegi.

    Bahagian depan yang rendah, dengan jalur lampu LED nipis serta garis bonet yang tajam memberi tanggapan utama, termasuklah dengan adanya scoop laluan udara di atasnya. Begitu juga dengan bingkai krom pada ruangan bukaan gril yang luas. Dari sisi kereta ini nampak lebih sibuk dengan garis-garis dan segi bucu tajam — lihat ruang tayar yang sedikit lari dari lengkungan biasa.

    Rekaan konsep kereta sports Malaysia oleh bekas pereka Proton, asas luaran dari Aston Martin DB10

    Ada jalur panjang dari lampu depan yang juga menempat lampu isyarat yang merentas badan dan menyambungkan bahagian bingkai tingkap penumpang. Pemegang cermin sisi juga tirus dan futuristik, dengan saiz cermin yang juga agak kecil. Oleh kerana ini kereta sport, lengkung bumbungnya agak rendah dengan hanya memuatkan dua penumpang sahaja.

    Rekaan belakang sedikit aneh; ia lebih berotot bermula dari lengkung tayar belakang. Dari belakang, ia sekali lagi nampak ringkas, dengan rekaan lampu tirus dan lanjutan ala spoiler. Separuh bahagian ke bawah mungkin nampak aneh bagi sesetengah orang. Ia membuatkan kereta ini nampak tercunggit, dengan elemen ala diffuser/menempatkan ekzos yang agak besar.

    Apa pun, ini sebuah rekaan bayangan kepada sebuah kereta yang kita belum pernah ada. Ia tetap menarik untuk melihat bagaimana rekaan ini dihasilkan oleh Saharudin. Rekaan “Malaysian Sports Car” ini juga telah dijadikan material pembelajaran dalam talian kepada para pensyarah di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

     
     
  • MINI Cooper S 3 Door, 5 Door, Convertible LCI 2021 kini di Malaysia – harga antara RM253k hingga RM274k

    MINI Cooper S 3 Door, 5 Door, Convertible LCI 2021 kini di Malaysia – harga antara RM253k hingga RM274k

    Barisan model hatchback MINI F55, F56 dan F57 facelift terbaru kini sudah sampai di Malaysia selepas diperkenalkan kepada dunia enam bulan lalu. Harganya telah naik sedikit, menjadi RM253,319 (sebelum ini RM250k) untuk 3 Door, RM261,009 (sebelum ini RM260k) untuk 5 Door, dan RM274,360 (sebelum ini RM270k) bagi Convertible.

    Ini adalah harga setelah dikira dengan pengecualian cukai jualan yang telah disambung sehingga 31 Disember 2021, dan diberikan sekali dengan jaminan tanpa had batuan serta penyelenggaraan percuma selama empat tahun.

    Apa yang baru pada model ini? Tidak seperti facelift sebelumnya, perubahan yang diberi kali ini adalah lebih komprehensif. Lampu utamanya menggunakan bahagian dalam yang gelap, dan gril yang sudah menjadi tanda unik model ini adalah lebih besar. Di tengah gril itu terdapat satu panel warna sama seperti badan yang menempatkan nombor plet dan bucu bampar mendapat bukaan udara menegak.

    MINI Cooper S 3 Door, 5 Door, Convertible LCI 2021 kini di Malaysia – harga antara RM253k hingga RM274k

    Pada bahagian tepi, kemasan dengan corak honeycomb direka semula dan ditambah dengan jalur LED, sementara cermin sisi pula adalah lebih kecil berbanding unit pada Cooper SE. Konsep rekaan sama di hadapan turut digunakan pada belakang, dan bamparnya adalah baru.

    Barangan lain yang ditambah adalah termasuk kemasan hitam kilat pada pembuka pintu, ekzos, lencana MINI serta pelbagai pilihan rim baru. Untuk warna, pelanggan boleh memilih White Silver, Island Blue, Chili Red, British Racing Green dan Rooftop Grey, lengkap dengan bumbung Jet Black dan jalur hitam atas bonet. Versi Convertible juga mendapat pilihan warna sama, kecuali Rooftop Grey dan satu-satunya yang mendapat pilihan warna Zesty Yellow.

    Pembaharuan diteruskan lagi di bahagian dalam dengan yang utama adalah pemasangan panel instrumen lima inci baru (diambil daripada Cooper SE), panel infotainmen 8.8 inci dengan sambungan Apple CarPlay serta rekaan roda stereng baru. Corong pendingin hawa dan MINI Ambient Light dengan enam warna juga mendapat gaya baru.

    Pada bahagian keselamatan, semua varian Cooper S ini datang secara standard dengan Driving Assistant yang termasuk Digital High-Beam Assistant, Speed Limit Information, Person Warning dengan fungsi Light City Braking, Approach Control Warning dengan Light City Braking, Parking Assistant dan Lane Departure Warning yang boleh beroperasi pada kelajuan antara 70 km/j hingga 210 km/j. Tiada Lane Centring Assist pada model ini.

    Tiada perubahan yang dibuat pada bahagian enjin, bermakna semua tiga varian ini menggunakan unit empat silinder turbo 2.0 liter B48 bersama padanan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan untuk menghasilkan kuasa 192 hp dan 280 Nm tork. Kelajuan maksimum bagi versi bumbung boleh buka dihadkan kepada 230 km/j manakala dua varian lain boleh mencecah 235 km/j.

    GALERI: MINI Cooper S 3 Door 2021

    GALERI: MINI Cooper S 5 Door 2021

    GALERI: MINI Cooper S Convertible 2021

     
     
  • Toyota masih komited hasilkan sedan untuk pasaran Amerika; punya kelebihan kerana kurang pesaing

    Toyota masih komited hasilkan sedan untuk pasaran Amerika; punya kelebihan kerana kurang pesaing

    Walaupun pasaran Amerika Utara kini menerima permintaan yang semakin meningkat terhadap SUV dan trak pikap, pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota tetap akan menghasilkan model-model sedan bagi pasaran berkenaan.

    Dalam laporan Carscoops, pegawai-pegawai Toyota mengulangi komitmen mereka untuk terus melabur bagi menghasilkan model sedan seperti Camry dan Corolla sebagai keputusan jangka masa panjang yang baik dalam satu panel perbincangan yang diadakan. Pegawai-pegawai berkenaan turut menyatakan bahawa jualan untuk model-model sedan kini sudah kembali stabil walaupun ia dilihat menurun berberap tahun kebelakangan ini.

    Toyota juga bakal mendapat kelebihan kerana banyak model-model sedan sudahpun “mati” dalam pasaran Amerika Syarikat seperti Chevrolet Cruze dan Impala, Ford Focus dan Fusion dan juga Mazda 6. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan persaingan untuk Toyota dalam segmen sedan.

    Toyota masih komited hasilkan sedan untuk pasaran Amerika; punya kelebihan kerana kurang pesaing

    Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai tersebut menyatakan bahawa belum ada keputusan yang muktamad dicapai dan mungkin ada perubahan portfolio sedan pada masa akan datang. Toyota juga yakin bahawa masih ada pelanggan yang gemarkan sedan dan tidak berminat untuk membeli SUV – walaupun tidak ramai, mereka masih tetapi wujud dan Toyota mahu tawarkan sesuatu yang menarik buat mereka.

    Jenama tersebut juga percaya bahawa faktor mampu milik adalah kelebihan utama buat sedan, dan ia antara daya penarik buat pelanggan. Trend tersebut dijangka akan terus berjalan, tetapi Toyota tetap berharap bahawa crossover Corolla Cross yang bakal masuk ke pasaran Amerika Syarikat akan merangkumi satu pertiga dari jumlah keseluruhan jualan mereka.

     
     
  • PKP 3.0: ERL bakal gantung semua operasi mulai 4 Jun hingga tarikh yang bakal dimaklum kelak

    PKP 3.0: ERL bakal gantung semua operasi mulai 4 Jun hingga tarikh yang bakal dimaklum kelak

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Lockdown Penuh Fasa Pertama mulai 1 hingga 14 Jun 2021, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) telah mengumumkan semua perkhidmatan trennya akan digantung bermula 4 Jun ini sehingga ke tarikh yang bakal dimaklumkan kelak.

    Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman webnya, ERL turut berkongsi carta bagi pilihan pengangkutan awam yang lain untuk para pengguna yang mahu ke/dari KLIA/KLIA2. Ini termasuklah menggunakan perkhidmatan e-hailing dan bas perantara.

    Klik untuk besarkan

    Menurut petikan laporan Bernama, ERL memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat susulan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat selain mengambil kira arahan terkini kerajaan berhubung langkah bekerja dari rumah serta sekatan perjalanan lebih ketat yang bermula 1 Jun lalu.

    “Justeru, bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan kepada semua pelanggannya sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut lebih setahun selepas penularan pertama COVID-19, hampir tidak ada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan tren tersebut adalah terhad.

    Ini menyebabkan purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69% pada 2020 berbanding 2019 sebelum negara dilanda COVID-19 dan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada Selasa, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89% berbanding tahun sebelumnya.

     
     
  • Sime Darby Motors dan SpareXHub umum jualan 10 hari – diskaun alat ganti asli Ford, Hyundai hingga 90%

    Sime Darby Motors dan SpareXHub umum jualan 10 hari  – diskaun alat ganti asli Ford, Hyundai hingga 90%

    Sime Darby Motors (SDM), bersama rakan kongsi e-dagang SpareXHub telah mengumumkan jualan penghabisan selama 10 hari dengan diskaun sehingga 90% bagi alat ganti asli (stok lama, baru) Ford dan Hyundai. Jualan ini akan berlangsung dari 1 hingga 10 Jun 2021, dan dibuat atas talian melalui laman web SpareXHub.

    Menurut ketua bahagian selepas jualan SDM, Alan Scott Gascoyne, pembeli boleh mendapatkan lebih 3,000 alat ganti Hyundai dan 4,000 alat ganti For asli yang terdiri daripada barangan seperti penapis minyak, sensor, panel badan, bampar, cermin hadapan dan pelbagai lagi.

    “Inisiatif menggunakan platform digital bersama SpareXHub ini membantu kami mendekati pelanggan atas talian dan pemain aftermarket untuk membeli alat ganti asli NOS (stok lama tapi baru) tertentu. Ia membenarkan pelanggan kami terus dapat menyelenggaran kenderaan mereka dengan alat ganti yang disarankan pengeluar meskipun tempoh jaminan sudah tamat,” kata pengarah urusan bahagian pengedaran dan runcit SDM, Jeffrey Gun.

    Untuk informasi selebihnya, termasuk senarai produk dan harganya, anda boleh melayari laman SpareXHub atau Facebook rasmi syarikat itu.

     
     
  • BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Anda sudah saksikan BMW i4 eDrive40, dan ini pula adalah kereta elektrik penuh BMW M, iaitu i4 M50. Ia boleh dianggap seperti satu versi elektrik bagi M440i (terletak di bawah M4) dan kalau BMW M betul-betul ada perancangan untuk memperkenalkan i4 paling berkuasa, ia akan dipanggil sebagai i4 M.

    Buat masa sekarang, kita lihat dulu i4 M50 ini. Ia menggunakan dua motor elektrik, dengan satu di setiap gandar, dan sama seperti varian eDrive40, juga menggunakan unit kuasa pintar berasaskan teknologi eDrive generasi kelima yang menggunakan motor elektrik synchronous (bukan magnetik) yang disepadukan terus dengan kuasa elektronik lain serta transmisi lapan kelajuan.

    Motor di hadapan menghasilkan 190 kW sementara yang di belakang menghasilkan 230 kW. Hasil gabungan dua motor elektrik ini, ia dapat menghasilkan 400 kW secara maksimum. Dalam mod Sport, fungsi Sport Boost boleh menaikkan lagi kuasa kepada 544 PS dan 795 Nm tork, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat (Launch Control juga disediakan). Laju maksimum dihadkan kepada 225 km/j.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Memandangkan varian M50 ini mempunyai dua motor elektrik, pengagihan beban gandar adalah lebih ideal berbanding eDrive40, iaitu 48:52. Varian eDrive40 yang menggunakan pacuan roda belakang (i4 M50 pacuan semua roda) adalah lebih berat di belakang, tetapi nisbah beratnya masih lagi baik iaitu 45:55.

    Kedua-dua varian ini menggunakan pek bateri yang sama, iaitu lithium ion 83.9 kWh (dengan jaminan lapan tahun atau 160,000 km), dan dengan cas penuh, boleh memberikan jarak gerak sehingga 510 km untuk i4 M50. Bateri ini boleh dicas dengan pantas pada kadar 200 kW (DC, sambungan CCS Combo 2), dan selepas 10 minit dicas, ia boleh menyediakan jarak gerak 140 km (160 km bagi eDrive40).

    Model i4 datang secara terus dengan pengecas AC bersepadu 11 kW (sambungan Type 2), dan melaluinya, bateri akan naik dari 0% ke 100% dalam masa tidak sampai 8.5 jam. Tahap penjanaan semula kuasa brek pula boleh menyediakan sehingga 195 kW. Dalam keadaan biasa, i4 M50 akan bergerak menggunakan pacuan dua roda (belakang), sekaligus membantu penjimatan kuasa dan meningkatkan jarak gerak.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Kelengkapan standard lain yang diberikan pada i4 M50 adalah penyerap adaptif M dengan spring kadar lebih tinggi, suspensi belakang boleh rata sendiri, pengehad gelinciran roda near-actuator, anti roll bar serta pendakap tapak atas suspensi buatan khas, stereng sport variable, brek sport M dan pilihan rim dari 18 inci hingga 20 inci.

    Penampilan varian ini juga dipertingkat dengan grafik khas BMW M, bukaan udara tambahan untuk menyejukkan brek, gril Cerium Grey serta spoiler khas M. Lampu hadapan dan belakang LED penuh diberikan secara standard, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada unit adaptif dengan BMW LaserLight dan fungsi BMW Selective Beam.

    Pada bahagian belakang, bamparnya direka khas bersama diffuser bersepadu, dan ditambah dengan lip M, kemasan tepi tingkap hitam serta pelindung cermin sisi hitam. Pilihan warna yang disediakan termasuk dua warna solid, tujuh warna metalik dan satu warna matte. Pemilik juga boleh memilih warna khas lain dalam katalog BMW Individual.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Masuk ke bahagian dalam, i4 M50 mendapat peningkatan biasa M Sport/Performance dengan barangan seperti lapik bumbung anthracite, kemasan aluminium rhombicle, roda stereng M Performance, grafik khas M Performance pada panel meter digital, tali pinggang M serta pedal stainless steel.

    Panel paparan melengkung pada papan pemuka adalah sama seperti eDrive40, iaitu unit 12.3 inci yang digabungkan dengan unit 14.9 inci. Bagi panel infotainmen yang lebih besar itu, ia menggunakan BMW Operating System 8 dan disengetkan sedikit kepada pemandu. Sebagai sebuah model BMW i, kemasan pada stereng, tombol gear serta butang pemula enjin menggunakan warna biru.

    Tempat duduk sport datang secara standard, dengan pelbagai pilihan balutan termasuklah Sensatec berliang, kulit Vernasca atau kulit Merino dalam pelbagai warna. Cermin hadapan akustik juga adalah standard sementara bumbung panoramik pula disediakan sebagai pilihan tambahan. Ruang simpanan di dalam but mempunyai kapasiti 470 liter dan boleh meningkat menjadi 1,290 liter apabila tempat duduk dilipat.

    BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

    Memandangkan i4 adalah sebuah kereta elektrik penuh, ia dipasang dengan sistem perlindungan pejalan kaki akustik, yang boleh mengeluarkan bunyi menggunakan pembesar suara di luar. Bunyi ini aktif apabila bergerak lebih 21 km/j di Eropah atau lebih 31 km/j di Amerika Syarikat. Bunyi khas untuk bahagian dalam juga telah dibangunkan bersama Hans Zimmer dan kerancakannya boleh bertambah apabila memasuki mod Sport.

    Akhir sekali, i4 datang dengan lebih 40 sistem bantuan pemandu, menjadikan ia sebagai kereta semi autonomous Level 2. Ini termasuklah Active Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Speed Limit Assist, Front-Collision Warning dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Rear-Collision Prevention, dan Lane Departure Warning. Pakej Driving Assistant Professional menambah Steering and Lane Control Assistant, yang boleh beroperasi sehingga kelajuan 180 km/h.

     
     
  • Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Geely telah mendedahkan gambar rasmi pertama bagi model Emgrand terbaru keluarannya, model pengganti bagi sedan mampu milik yang didakwa sebagai kereta paling laris di China dan telah berada dalam pasaran sejak 2008. Kereta ini terdahulu pernah di tunjuk dalam laman web MITI China dengan kodnama SS11.

    Emgrand beralih menggunakan platform Modular Architecture (BMA) segmen B, yang turut digunakan oleh Proton X50, sedan Binrui dan crossover Icon. Sama seperti model sebelumnya, versi terbaru ini diposisikan sebagai penawaran peringkat kemasukan, dengan tumpuan terhadap nilai dan teknologi.

    Seperti dilihat, Emgrand menampilkan rekaan profil sedan “tiga kotak” yang lebih ketara dan asas, berbanding misalnya Binrui yang lebih sofistikated. Namun, ia masih menerapkan bahasa rekaan terkini Geely. Wajah depan dihiasi dengan grill “waterfall” dan jalur melintang.

    Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Rekaan lampu utama juga lebih menarik dengan tiga jalur DRL di atas — pendekatan sama dapat kita lihat pada Kia EV6 dan Cerato facelift. Di bawanya ada bukaan udara hala ke bawah dan inlet sudut betuk T — ada iras sentuhan pada BMW 3 Series G20.

    Garis bahu nampak lebih menonjol, menghubungkan lampu depan dan belakang, serta jalur krom pada bingkai tingkap yang lajak hingga tiang A. Bahagian belakang pula dihiasi dengan lampu kelebaran penuh dengan grafik N, tulisan Geely dan diffuser di bahagian bawah.

    Bahagian dalam juga turut ditunjuk buat pertama kali. Ia menampilkan sentuhan ringkas dan bersih pada papan muka yang minimalis, sesuai dengan imej keseluruhan kereta ini. Corong pendingin berkelebaran penuh, dengan konsol tengah tinggi, skrin terapung, kluster instrumen digital dan kemasan krom.

    Geely Emgrand 2021 — gambar awal SS11 ditunjuk

    Menurut laporan dari media China, Emgrand baru ini akan sedikit lebih besar dan rendah berbanding model lama, dengan ukuran 4,638 mm panjang (+6 mm), 1,820 mm lebar (+31 mm) dan 1,460 mm tinggi (-10 mm). Jarak antara roda pula kekal sama 2,650 mm.

    Belum ada perincian teknikal yang diumumkan sekali, tetapi Emgrand baru ini dijangka menggunakan enjin 1.5 liter NA empat-silinder yang diperkemas, menghasilkan 114 PS, naik daripada janaan enjin semasa dengan 109 PS. Model lamanya turut ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT.

    Penjimatan minyak adalah pertaruhan terbesar Emgrand baru ini. Seperti dalam gambar, kereta dengan pelekat samaran itu tertera tulisan bahawa ia hanya menelan kos 0.04 yuan (26 sen) untuk bergerak satu kilometer. Dengan harga petrol di China sekitar 7.20 yuan (RM4.70) seliter, ini mencadangkan bahawa Emgrand akan mampu memberikan angka sekitar 18 km per liter.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024