Akhirnya, Bugatti La Voiture Noire didedahkan secara penuh kepada dunia. Kereta buatan khas, satu dalam dunia ini adalah hasil daripada program pembangunan selama dua tahun, dan dibuat khas untuk seorang pelanggan istimewa Bugatti. Harga yang beliau bayar? Sebelas juta euro, bersamaan RM55 juta, tidak termasuk cukai.
Secara teknikalnya, nama La Voiture Noire ini bukanlah pertama kali digunakan oleh keluarga Bugatti. Anak Ettore Bugatti (pengasas Bugatti), iaitu Jean Bugatti pernah memiliki sebuah Type 57 SC Atlantic (hanya empat unit dihasilkan) berwarna serba hitam dan ia dinamakan sebagai La Voiture Noire. Kereta itu sekarang sudah lesap tanpa jejak dan masih lagi dianggap sebagai satu misteri paling besar dalam dunia automotif.
Pengarah rekaan Bugatti, Achim Anscheidt mendapat idea untuk menghasilkan sebuah versi moden bagi kereta yang hilang itu 20 tahun lalu, dan sekarang, barulah ia menjadi realiti. Sama seperti Type 57 SC Atlantic milik Jean, La Voiture Noire serba hitam ini juga diangkat sebagai sebuah coupe minimalis (anda boleh lihat garis badannya dilicinkan dan tiada sayap belakang).
Model ini sebenarnya menggunakan banyak asas daripada Chiron, tetapi banyak bahagian badannya telah dibuat semula, ciri aerodinamik diuji dan melalui homologasi untuk kegunaan jalan biasa. Setiap bahagian yang dibuat untuk la Voiture Noire perlu melalui ujian serta prosedur kualiti yang ketat, termasuklah ratusan jam simulasi dalam terowong angin, ujian atas mesin dan ujian atas jalan.
Ketua bahagian pembangunan badan Bugatti, Pierre Rommelfanger berkata: “Walaupun hanya satu sahaja La Voiture Noire ini dibuat, kami mengambil masa dua tahun untuk menguji kenderaan bagi membuat pembangunan dan mengujinya dalam semua aspek termasuk pengendalian dan keselamatan pemanduan.”
Hypercar ini mempunyai banyak perincian menarik, tetapi antara yang boleh dilihat adalah pada unit lampu utama LED. Di dalamnya terdapat lebih daripada 25 elemen yang dibuat secara individu dan kemudian, gril ikonik berbentuk seperti ladam kuda itu pula dicetak secara 3D. Di belakang, lampu LED itu dibuat tanpa satu sambungan pun, dan merupakan satu unit bersepadu. Jika Chiron dan Divo ada empat muncung ekzos, model ini pula ada enam!
Di dalam, bahagian kabin dibalut dengan kulit Havana Brown, seperti Type 57 milik Jean. Ia menghasilkan kontras yang cantik kepada warna hitam di luar, berserta beberapa kemasan kecil yang dibuat dengan aluminium. Suis mod pemanduan juga dibuat daripada kayu.
Bugatti masih belum mendedahkan perincian teknikal penuh La Voiture Noire, tetapi berkemungkinan besar ia akan menggunakan enjin W16 8.0 liter yang sama seperti Chiron Sport. Enjin petrol quad turbo ini mampu menghasilkan 1,500 PS dan 1,600 Nm tork, disampaikan kepada semua roda melalui transmisi tujuh kelajuan klac berkembar. Dengan enjin ini, Chiron Sport boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat.