Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Skuter elektrik Silence e-moto masuk pasaran UK

    Skuter elektrik Silence e-moto masuk pasaran UK

    Satu lagi model skuter elektrik diperkenalkan di United Kingdom (UK), iaitu Silence e-moto. Ia ditawarkan dalam beberapa versi dengan jarak gerak antara 45 km hingga 127 km dan harga antara 2,695 pounds sterling (RM14,925) hingga
    4,695 pounds sterling (RM26,000).

    Model paling asas adalah S02 LS, di mana ia menggunakan bateri lithium ion 2 kWh dan motor elektrik 1.5 kW. Bateri model ini mempunyai berat 27 kg, dan mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk dicas penuh sebelum boleh memberikan jarak gerak 45 km dan laju maksimum 50 km/j.

    Model paling tinggi pula adalah Silence S01, di mana ia menggunakan pek bateri 5.6 kWh dan motor elektrik 7 kW, untuk memberikan jarak gerak 127 km dan laju maksimum 100 km/j. Bateri model ini mencatat berat 40 kg dan memerlukan masa antara enam hingga lapan jam untuk dicas penuh (menggunakan soket kuasa biasa di rumah).

    Menariknya tentang skuter elektrik ini, baterinya yang terletak rendah di bahagian tengah boleh dicabut dan dilengkapi dengan roda demi memudahkan pengguna membawanya ke rumah atau pejabat untuk dicas. Kemudiannya, ia turut mempunyai sistem sambungan kepada aplikasi di telefon pintar Android dan iPhone.

    Selain fungsi memeriksa status bateri dan mengunci motosikal, aplikasi ini turut membolehkan pengguna berkongsi kod kunci dengan orang lain dan membenarkan mereka menghidupkan motosikal tanpa kunci sebenar. Turut dipasang adalah pengesan GPS dan pemilik boleh melihat kedudukan motosikal melalui telefon pintar.

    Perincian lain skuter elektrik Silence adalah brek jenis kombinasi (seperti CBS pada skuter Honda), gear undur, panel paparan LCD dan tiga mod tunggangan iaitu City, Eco dan Sport.

     
     
  • Honda HR-V 2021: Skrin 7-inci, Apple CarPlay dan Android Auto kini standard, lampu LED untuk hibrid

    Honda HR-V 2021: Skrin 7-inci, Apple CarPlay dan Android Auto kini standard, lampu LED untuk hibrid

    Honda Malaysia telah memperkenalkan model HR-V dengan kemaskini. Semua empat varian yang ada kini menerima skrin tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, tambahan dua lagi slot USB turut diberikan di konsol tengah.

    Bagi varian HR-V Sport i-DCD, ia kini menerima lebih banyak penambahbaikan. Aspek luaran kini turut menerima lampu utama LED, lampu kabus LED dan lampu belakang LED kombinasi (versi lebih bergaya, yang dikongsi dengan barian V dan RS). Warna Orchid White Pearl sedia ada juga tidak lagi ditawarkan, dan akan digantikan dengan warna Platinum White Pearl. Varian ini turut akan menerima stereng tiga-jejari balutan kulit yang baru.

    HR-V ditawarkan dalam empat varian seperti berikut; E (RM104k), Hybrid i-DCD, V (RM113,422), dan RS (RM118,582). Ambil maklum bahawa ini adalah harga dengan pengecualian SST sehingga 30 Jun 2021. Honda Malaysia bagaimanapun belum mengumumkan harga terbaru bagi varian Hybrid i-DCD.

    Honda HR-V 2021: Skrin 7-inci, Apple CarPlay dan Android Auto kini standard, lampu LED untuk hibrid

    Sepanjang tahun 2020, HR-V menyumbang sehingga 17% daripada jualan keseluruhan Honda Malaysia, dengan varian V menjadi yang paling popular (41%). Passion Red Pearl menjadi warna yang paling popular, meliputi 30% permintaan daripada semua pembelian. Pengeluarnya juga menyifatkan HR-V kekal sebagai SUV kompak bukan-nasional terlaris dengan pegangan pasaran 73% setakat November 2020.

    Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata; “Honda Malaysia gembira untuk memperkenalkan HR-V yang dipertingkatkan ini untuk pasaran tempatan. Penawaran terbaru ini adalah hasil daripada maklum balas pelanggan yang ingin kami penuhi dari semasa ke semasa. Antaranya ialah ciri Apple CarPlay.”

     
     
  • Lexus Malaysia perkenal pelan pembiayaan Next Step

    Lexus Malaysia perkenal pelan pembiayaan Next Step

    Kalau ada niat nak memiliki kenderaan Lexus, ini mungkin berita baik untuk anda. Lexus Malaysia telah umumkan pelan pembiayaan Next Step, menawarkan ansuran bulanan yang lebih rendah berbanding pembiayaan sewa-beli standard sedia ada.

    Di bawah inisiatif oleh Lexus Capital Sevices ini, pelanggan boleh menikmati kadar bayaran semula bulanan yang lebih rendah bagi tempoh tiga tahun pertama, bermula dari serendah RM1,938 bagi Lexus UX. Pembelian di bawah pelan Next Step Lexus ini turut datang dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun.

    Gambar yang dilampirkan adalah contoh pembiayaan selama sembilan tahun dengan pelan Next Step ini. Bayaran semula bulanan di tahap pertama adalah yang paling rendah (tetap bagi tempoh 36 bulan pertama), dengan kenaikan dikenakan pada bulan ke-37 dan ke-73.

    Sebagai permulaan ketika ini, pelan Next Step ini hanya akan ditawarkan untuk model Lexus UX sahaja. UX ditawarkan dalam tiga varian, dan semuanya menggunakan unit enjin yang sama, M20A-FKS 2.0 liter NA Dynamic Force empat-silinder.

    Dengan suntikan terus D-4S, ia menghasilkan 169 hp pada 6,000 rpm dan 205 Nm pada 4,800 rpm, dan diganding bersama transmisi CVT Direct-Shift (gear pertama mekanikal dengan fungsi 10-kelajuan maya). Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum sampai ke kelajuan maksimum 190 km/j.

     
     
  • Honda EX5 35th Anniversary Edition – dari RM4,783

    Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah memperkenalkan versi baru bagi model terkenal EX5 110 Fi, untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-35 di Malaysia. Ia ditawarkan untuk kedua-dua versi rim spoked dan rim sport, dengan harga masing-masing RM4,783 dan RM5,009 tidak termasuk insurans.

    Apa yang berbeza pada model ulang tahun ke-35 ini cumalah pemasangan pelekat ulang tahun berbentuk bulat di bahagian kepuk hadapannya, sementara bahagian lain semua adalah sama seperti sebelum ini, termasuklah grafiknya. Jika sebelum ini ditawarkan dalam warna biru dan hitam, versi baru ini ditawarkan dalam warna biru dan merah metalik.

    Honda EX5 dikuasakan oleh enjin satu silinder 110 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-Fi, bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 8.5 hp pada 7,500 rpm dan 8.62 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah tangki bahan api 4.3 liter, brek dram depan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, pemula enjin tendang dan elektrik, tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

     
     
  • PKP 2.0: Pasangan suami isteri jarak jauh belum dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa – Ismail

    PKP 2.0: Pasangan suami isteri jarak jauh belum dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa – Ismail

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menyatakan bahawa pasangan suami isteri yang tinggal berasingan dalam jarak jauh masih belum dibenarkan untuk merentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung dari 13 hingga 26 Januari ini.

    Beliau menyatakan perkara berkenaan ketika sidang media hariannya semalam, selepas ditanya oleh wartawan tentang perkara tersebut. “Saya harap mereka dapat bersabar untuk tempoh dua minggu ini dan kita akan pantau keadaan selepas dua minggu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya

    Kerajaan turut tidak membenarkan untuk pasangan “PJJ” ini merentasi negeri ketika PKP kali pertama diumumkan pada 18 Mac tahun lalu, dan kebenaran hanya diberi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lebih longgar diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mei 2020.

    Implementasi semula PKP di Selangor, Johor, Penang, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah pun bermula hari ini selepas ia diumumkan oleh Perdana Menteri Isnin lalu memandangkan kes harian penularan jangkitan wabak Covid-19 naik mendadak sehingga mencapai empat angka akhir-akhir ini.

    Malah, semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengisytiharkan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan virus tersebut dengan tempoh pelaksanaannya adalah sehingga 1 Ogos 2021, ataupun lebih awal sekiranya pandemik dapat dikawal.

     
     
  • PKP 2.0: Ahli politik pun tak boleh rentas negeri, kalau nak buat mesyuarat, lakukan secara maya – Ismail

    PKP 2.0: Ahli politik pun tak boleh rentas negeri, kalau nak buat mesyuarat, lakukan secara maya – Ismail

    Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menyatakan bahawa SOP tidak boleh merentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dari 13 hingga 26 Januari ini bukan hanya melibatkan rakyat biasa, malah turut dikuatkuasakan terhadap ahli politik dan VVIP.

    Beliau menyatakan perkara berkenaan ketika sidang media hariannya semalam, selepas ditanya oleh wartawan tentang perkara tersebut.

    “Semua sekali tertakluk pada SOP PKP,PKPB, PKPP. Kalau mereka (ahli politik) nak mengadakan mesyurat, laksanakan melalui maya. Sidang khas MKN yang dilangsung setiap tiga kali seminggu yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri juga dilakukan secara maya,” jelasnya ketika menjawab soalan berkenaan.

    Implementasi semula PKP di Selangor, Johor, Penang, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah pun bermula hari ini selepas ia diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin Isnin lalu memandangkan kes harian penularan jangkitan wabak Covid-19 naik mendadak sehingga mencapai empat angka akhir-akhir ini.

    Malah, semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengisytiharkan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan virus tersebut dengan tempoh pelaksanaannya adalah sehingga 1 Ogos 2021, ataupun lebih awal sekiranya pandemik dapat dikawal.

     
     
  • Honda CBR150R 2021 dilancar di Indonesia – rupa menghampiri CBR250RR, fork hadapan jenis USD

    Honda CBR150R 2021 dilancar di Indonesia – rupa menghampiri CBR250RR, fork hadapan jenis USD

    Pasaran Indonesia baru sahaja menerima Honda CBR150RR 2021, yang mana telah dipertingkat pada beberapa bahagian. Ia ditawarkan kepada pasaran dalam pilihan sama ada yang dilengkapi ABS atau tidak, dan harga bermula pada 35.9 juta Rupiah (RM10,331).

    Peningkatan paling utama pada CBR150R baru ini, berbanding model sebelumnya adalah penampilan, di mana ia sekarang menggunakan rekaan yang lebih menghampiri CBR250RR dengan kedua-dua lampu hadapan dan belakang adalah jenis LED.

    Kemudiannya, CBR150R ini ditambah baik dengan fork jenis USD yang berwarna emas serta klac jenis assist/slipper. Tiada sebarang pelarasan pada fork baru ini sementara di belakang pula menggunakan gabungan lengan ayun dan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    CBR150R dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, 149 cc dengan sistem DOHC dan ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 17.1 PS pada 9,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Kelengkapan lain padanya adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, rim 17 inci, tangki bahan api 12 liter, berat 139 kg (ABS) dan rim 17 inci dengan tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang. Pilihan warna yang disediakan ada lima termasuk satu versi Repsol.

     
     
  • PKP 2.0: Bilik pameran, pusat servis dan bengkel kereta boleh beroperasi dengan tetapan SOP ketat

    PKP 2.0: Bilik pameran, pusat servis dan bengkel kereta boleh beroperasi dengan tetapan SOP ketat

    Walaupun kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa kilang-kilang kenderaan yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 13 hingga 26 Januari 2021 tidak dibenarkan untuk beroperasi, namun untuk sektor peruncitan automotif seperi bilik pameran, pusat servis dan bengkel penyelenggaraan biasa masih boleh meneruskan perniagaan mereka.

    Kami sebelum ini diberitahu bahawa operasi jualan kenderaan dibenarkan ketika tempoh PKP ini, menunggu kebenaran dari MITI. Manakala untuk pusat servis, ia sudah pun dinyatakan boleh beroperasi dalam senarai yang dibenarkan oleh MITI pada 10 Januari lalu.

    Perkara ini turut disahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 12 Januari menyatakan bahawa bilik pameran, pusat servis dan juga bengkel penyelenggaraan kenderaan dibenarkan beroperasi ketika tempoh PKP ini, namun pemilik perniagaan perlu memohon kebenaran untuk beroperasi dari MITI terlebih dahulu.

    PKP 2.0: Bilik pameran, pusat servis dan bengkel kereta boleh beroperasi dengan tetapan SOP ketat

    Berberapa pengeluar automotif telah mengumumkan bahawa fasiliti-fasiliti perniagaan mereka masih beroperasi sepanjang PKP 2.0 ini. Toyota menyatakan semua outlet (jualan, servis serta badan & cat) di lokasi-lokasi PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) akan terus beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MITI.

    Manakala bagi Proton, satu surat yang ditujukan untuk semua outlet Proton Edar menyebut bahawa bilik pameran dan pusat servis mereka telah diberikan kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP, juga dengan SOP ketat yang dikeluarkan oleh MITI.

    Walaupun fasiliti-fasiliti ini dibenarkan beroperasi, anda sebagai pengguna harus sentiasa ingat pergerakan setiap individu hanya dihadkan dalam radius 10 km dari kediaman masing-masing, dan anda perlu mengetahui apa SOP yang diperlukan di tempat-tempat berkenaan. Jika anda perlukan pandu uji, pergerakan dan berberapa perkara lain juga dihadkan ketika ini.

     
     
  • PKP 2.0: Kilang automotif tak boleh beroperasi — MITI

    PKP 2.0: Kilang automotif tak boleh beroperasi — MITI

    Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam seperti yang telah kami laporkan, aktiviti perkilangan automotif dinyatakan boleh beroperasi dengan pematuhan SOP ketat di negeri-negeri yang dikenakan PKP terbaru ini.

    Tapi, lain pula ceritanya pagi ini, yang baru memasuki hari pertama tempoh PKP 2.0 bagi negeri-negeri terlibat. Kenyataan yang sama disusuli dengan kemaskini bagi senarai sektor ekonomi yang dibenarkan untuk beroperasi, dengan menyatakan dengan jelas pula bahawa ia dengan secara spesifik “Tidak termasuk aktiviti perkilangan automotif”. Tak sampai 24-jam hal ini diumum, sudah ada pusingan-U yang dibuat.

    Perkara A (2) dalam Lampiran Senarai Perkhidmatan Perlu (Kemaskini 12 Januari 2021) terbaru ini menyatakan bagi bahagian Sektor Pengilangan dan Pembuatan (Automotif), hanya pembaikan dan penyelenggaraan sahaja dibenarkan untuk beroperasi. Untuk makluman, negeri yang dikenakan PKP 2.0 setakat hari ini termasuklah Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Perkembangan terbaru ini—sekiranya tiada perubahan selepas ini—tentunya akan memberi kesan kepada pengeluaran dan pemasangan kenderaan. Sebagai contoh, kilang Proton di Shah Alam terpaksa ditutup, manakala yang berada di Perak (yang tidak dikenakan PKP) boleh diteruskan operasinya.

    Begitu juga kesnya dengan kilang Hicom di Pekan, Pahang, kilang Inokom di Kulim serta kilang Naza di Gurun yang secara teknikalnya dibenarkan beroperasi. Kilang Honda di Pegoh, Melaka pula jika pengikut arahan baru ini, tidak dibenarkan beroperasi. Bagaimanapun, rangkaian pengilangan automotif lain, misalnya bekalan alat ganti atau kelengkapan berkaitan yang dikeluarkan oleh vendor di dalam kawasan PKP juga tentunya akan memberi kesan terhadap rantaian bekalan dan sebagainya.

     
     
  • Triumph Speed Triple 1200RS ditunjuk dalam teaser

    Triumph Speed Triple 1200RS ditunjuk dalam teaser

    Meskipun yang lebih popular sekarang adalah model Street Triple 765RS, jangan lupa Triumph sebenarnya mempunyai satu lagi model naked yang lebih besar iaitu Speed Triple. Kini, pengeluar dari UK itu bersedia untuk mengeluarkan model baru Speed Triple 26 Januari nanti dan satu video teaser telah dikeluarkan lebih awal.

    Jika sebelum ini menggunakan enjin 1,050 cc, nampaknya Speed Triple baru akan mendapat enjin lebih besar kerana namanya sekarang dipanggil sebagai Speed Triple 1200RS. Pandangan dari hadapan pula mendedahkan model ia mendapat rupa baru, dengan lampu LED yang kelihatan sama seperti 765RS.

    Model yang ditunjukkan dalam teaser adalah model RS, iaitu panggilan yang digunakan oleh Triumph untuk model yang mempunyai kelengkapan serta prestasi yang tinggi. Sebab itulah anda dapat melihat bahagian seperti fender gentian karbon serta fork berwarna emas yang berkemungkinan adalah unit boleh laras daripada Showa ataupun Ohlins.

    Melihat kepada pesaing seperti Ducati Streetfighter V4S ataupun Aprilia Tuono V4 1100, kita boleh menjangka Speed Triple 1200RS akan mempunyai kelengkapan yang sama maju, seperti suspensi larasan elektronik, brek Brembo dan kuasa sekitar 200 hp.

    Kelengkapan lain hanya boleh diketahui secara pasti apabila ia didedahkan hujung bulan nanti, tetapi kita juga boleh menjangka barangan seperti skrin TFT-LCD berwarna penuh, serta sambungan Bluetooth dan aplikasi mudah alih pada Speed Triple 1200RS.

     
     
  • PKP 2.0: Bas, tren Prasarana beroperasi seperti biasa

    PKP 2.0: Bas, tren Prasarana beroperasi seperti biasa

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memaklumkan, perkhidmatan rel urban dan bas henti-henti kendaliannya akan tetap beroperasi daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam walau pun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa kedua (PKP 2.0) mulai hari ini hingga 26 Januari 2021.

    Ini termasuk perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor serta Rapid Penang di Pulau Pinang dan Seberang Prai. Begitu juga dengan Rapid Kamunting di bandar Taiping, Perak dan Rapid Kuantan di Pahang di mana kedua-dua negeri terbabit turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam tempoh yang sama.

    Menurut Prasarana, bagi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel, ia akan beroperasi seperti jadual sedia dengan masa menunggu antara 2.8 dan 7 minit bergantung kepada pada waktu puncaknya.

    PKP 2.0: Bas, tren Prasarana beroperasi seperti biasa

    “Penumpang diingatkan agar sentiasa patuh pada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengamalkan norma baharu ketika menggunakan pengangkutan awam.

    “Kami menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada media sosial kendalian Prasarana,” menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Prasarana.

    Para pengguna Rapid KL digalakkan untuk memuat turun aplikasi #PULSE bagi mendapatkan maklumat-maklumat mengenai perkhidmatan rel dan bas. Aplikasi ini boleh dimuat-turun di Google Play dan Apple Store.

     
     
  • Mercedes-Benz kekal jenama mewah paling laris di dunia – jual 2.16 juta kereta penumpang pada 2020

    Mercedes-Benz kekal jenama mewah paling laris di dunia – jual 2.16 juta kereta penumpang pada 2020

    Mercedes-Benz mengumumkan bahawa mereka telah menjual sebanyak 2,164,187 unit kereta penumpang (tidak termasuk kenderaan komersil) sepanjang tahun 2020, membolehkan ia kekal di hadapan BMW yang menjual sebanyak 2,028,659 unit kereta pada tahun sama. Ia juga secara tidak langsung membolehkan Mercedes-Benz menjadi jenama mewah paling laris di dunia buat tahun kelima berturut-turut.

    Walaupun turut terjejas berikutan pandemik Covid-19, Mercedes-Benz masih mampu menjual kereta mereka dengan angka melebihi dua juta unit, dan jualan tersebut hanya jatuh 7.5% berbanding jualan pada tahun 2019 yang dicatatkan pada angka 2,339,562 unit.

    Pasaran terbesar untuk Mercedes-Benz tahun lalu adalah di China, Jerman, Amerika Syarikat, Britain dan juga Korea Selatan. Dalam rantau Asia Pasifik, jualan jenama ini melonjak 4.7% kepada 1,024,315 unit, dengan angka terbesar adalah dari China.

    Negara berkenaan pulih selepas pandemik dan sekatan pergerakan pada suku pertama 2020, membolehkan jualan Mercedes-Benz melonjak sehingga 11.7% berbanding 2019, dengan angka jualan 774,382 unit.

    Mercedes-Benz kekal jenama mewah paling laris di dunia – jual 2.16 juta kereta penumpang pada 2020

    Namun Mercedes-Benz mencatatkan kemerosotan jualan berbanding 2019 pada tahun lalu di Eropah dengan jualan 784,183 (-16.4%), di Jerman dengan jualan 286,108 unit (-10.1%), di Amerika Utara dengan jualan 317,592 unit (-14.7%).

    Untuk pecahan antara model, S-Class masih lagi kekal sebagai sedan mewah paling laris di dunia dengan jualan sekitar 60,000 unit walaupun ia mencatatkan penurunan 17.2%. Model W223 yang didedahkan pada September lalu juga mendapat sambutan baik dalam pasaran dengan tempahan sebanyak 40,000 unit dari seluruh dunia, melebihi tempahan yang diterima oleh model W222 sebelum itu.

    Bagi segmen kereta kompak pula, Mercedes-Benz berjaya menjual lebih dari 691,000 unit atau meningkat sebanyak 3.6%. SUV mencatatkan peningkatan yang jauh lebih tinggi dengan 12.9% dengan jualan 885,000 unit. SUV Mercedes-Benz GLC menjadi model paling laris jenama berkenaan dengan jualan sekitar 320,000 unit.

    Model-model berprestasi tinggi Mercedes-AMG pula dijual sebanyak 125,129 unit diseluruh dunia pada 2020, jatuh 5.3% berbanding 2019. Pasaran China mencatatkan pertumbuhan besar untuk model-model AMG ini dengan peningkatan 32.3%, namun Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran paling besar dan bertumbuh sebanyak 1.5%. Sebagai perbandingan, model-model BMW M telah terjual sebanyak 144,218 unit sepanjang 2020, naik 5.9% berbanding 2019.

    Mercedes-Benz kekal jenama mewah paling laris di dunia – jual 2.16 juta kereta penumpang pada 2020

    Jika diambil kira jenama lain di bawah kumpulan yang sama, Mercedes-Benz menjual sebanyak 2,528,349 unit kenderaan tahun lalu. Ia termasuk 38,391 unit kereta smart (-67.1%) dan juga 325,771 unit van komersil (-8.9%).

    Sebagai perbandingan, pesaing terdekat yang juga jenama senegara Mercedes-Benz iaitu BMW telah menjual sebanyak 2,028,659 unit kereta di bawah jenama tersebut tahun lalu, dan 2,324,809 unit kenderaan secara keseluruhan termasuk jenama lain di bawah BMW Group iaitu MINI dan Rolls-Royce.

    Satu lagi jenama mewah Jerman iaitu Audi pula menjual sebanyak 1,692,773 unit kenderaan sepanjang 2020, jatuh sebanyak 8.3%. Namun jualan model-model Audi Sport naik sehingga 16.1% dengan jumlah 29,300 unit, rekod terbaik yang pernah dicatatkan divisi model berprestasi tinggi tersebut.

     
     
  • PKP 2.0: JPJ dibuka di 5 negeri dan WP, tapi untuk kenderaan komersil, teksi dan e-hailing sahaja

    PKP 2.0: JPJ dibuka di 5 negeri dan WP, tapi untuk kenderaan komersil, teksi dan e-hailing sahaja

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 (PKP 2.0) mulai 13-26 Jan 2021 di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyemak kembali perkhidmatan di kaunternya.

    Untuk enam negeri tersebut iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah dan Melaka, kaunter JPJ akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang (1 tengahari hingga 2 petang waktu rehat), tetapi dengan perkhidmatan yang terhad.

    Perkhidmatan tersebut termasuklah memperbaharui cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor, LKM) untuk kenderaan komersil, termasuk teksi, kereta sewa dan e-hailing; dan memperbaharui lesen memandu dan lesen vokasional (GDL, PSV) untuk kenderaan komersil termasuk teksi dan e-hailing.

    PKP 2.0: JPJ dibuka di 5 negeri dan WP, tapi untuk kenderaan komersil, teksi dan e-hailing sahaja

    Walau bagaimana pun, menurut JPJ, untuk pemilik kenderaan persendirian sama ada ingin memperbaharui lesen memandu atau pun cukai jalan, perkhidmatan tersebut boleh dilakukan menerusi sistem atas talian MySikap atau pun MyEG.

    Menurut JPJ lagi, bagi negeri-negeri yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dilaksanakan iaitu melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)di Perlis dan Sarawak, tiada perubahan di kaunter JPJ. Ia dibuka dari jam 8 pagi hingga 4 petang (1 tengahari hingga 2 petang waktu rehat) dan semua perkhidmatan terus disediakan.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut memaklumkan cawangan di Bangi ditutup mulai hari ini hingga tarikh yang akan diumumkan kelak, untuk tujuan sanitasi di premis berkenaan.

     
     
  • PKP 2.0: Polis PJ adakan SJR di tujuh laluan utama

    PKP 2.0: Polis PJ adakan SJR di tujuh laluan utama

    Polis Petaling Jaya telah mengumumkan penutupan tujuh laluan utama di daerah tersebut bermula tengah malam tadi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0).

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal, sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan di lokasi terbabit yang melibatkan laluan utama di sekitar Petaling Jaya dan Damansara.

    Lokasi yang terlibat ialah Jalan 4/56, Gasing Indah (Petaling Jaya) dan tiga laluan di Kota damansara iaitu Jalan Persiaran Mahogani, Jalan Persiaran Jati dan Jalan Persiaran Sungai Buloh.

    Begitu juga dengan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) iaitu susur keluar ke Mutiara Damansara/Damansara Perdana, laluan masuk Tol Damansara ke Bayu Puteri berdekatan Tropicana (Damansara) dan lampu isyarat PJU 8/1 Damansara Perdana turut ditutup.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati pengguna jalan raya khususnya masyarakat Petaling Jaya agar bersabar dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKP bermula hari ini sehingga 26 Januari 2021.

     
     
  • PKP 2.0: Sesiapa yang terkandas di mana-mana lokasi boleh kembali ke tempat asal dalam minggu ini – KPN

    PKP 2.0: Sesiapa yang terkandas di mana-mana lokasi boleh kembali ke tempat asal dalam minggu ini – KPN

    Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengesahkan orang ramai yang terkandas di kampung halaman atau pun destinasi percutian sebelum Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) dilaksanakan mulai tengahmalam ini, dibenarkan untuk pulang ke tempat asal dalam minggu ini.

    Kenyataan tersebut turut dikongsikan menerusi aplikasi Telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebentar tadi.

    Abdul Hamid turut berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut menjangkakan lebih 300 sekatan jalan raya (SJR) bakal dilaksanakan di seluruh negara mulai 12.01 tengah malam ini. Di mana seramai 48,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan dalam tempoh PKP ini, ujarnya.

    Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan PKP dilaksanakan di enam buah negeri yang tersenarai dalam zon merah, mulai 13 hingga 26 Januari 2021. Negeri yang terbabit ialah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah dan Melaka.

    Sepanjang tempoh yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dilaksanakan iaitu melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sementara Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024