Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Volkswagen tawar rebat ang pao bernilai sehingga RM10k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen tawar rebat ang pao bernilai sehingga RM10k sempena promosi Tahun Baharu Cina

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mula menganjurkan promosi istimewa sempena Tahun Baharu Cina (CNY) yang bakal berlangsung sehingga 28 Februari ini. Promosi ini melibatkan tawaran rebat “ang pao” bernilai RM1,000 bagi model Tiguan Allspace, Arteon dan Passat.

    Bagi pelanggan yang membeli model buatan 2020 pula bakal menerima diskaun tambahan, termasuklah rebat bernilai RM3,500 bagi Tiguan Allspace dan RM2,500 untuk Arteon. Untuk pelanggan yang membeli Passat pula, diberikan pilihan sama ada menerima insurans percuma selama satu tahun atau pun rebat bernilai RM5,500.

    Selain itu, pelanggan juga akan menerima penjimatan eksklusif sekiranya membuat pembelian kereta menerusi atas talian eShowroom. Tawaran ini termasuklah rebat bernilai RM3,500 untuk Tiguan Allspace, RM4,500 bagi Arteon dan Passat pula menerima RM3,500. Ditambah dengan semua angka itu, pelanggan bakal menikmati penjimatan sehingga RM8,000 untuk Tiguan Allspace dan Arteon dan juga RM10,000 bagi Passat.

    Pelanggan Volkswagen sedia ada juga tidak dilupakan untuk menerima promosi ini menerusi kempen penyelenggaraaan selepas jualan CNY. Bagi yang membeli pad dan cakera brek bakal menerima rebat RM30 untuk setiap barangan dan baucer GrabCar bernilai RM20. Sementara yang membeli penapis pendingin hawa dan juga aditif bahan api pula bakal menerima rebat RM20 dan baucer GrabCar RM10. Malah VPCM turut memberikan diskaun sebanyak 20% untuk satu liter minyak enjin tulen.

    Akhir sekali, pelanggan juga bakal menikmati pemeriksaan penyelenggaraan percuma, iaitu sehingga 20% bagi bateri dan tayar, serta paket ang pao percuma. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi VPCM.

     
     
  • Kia lancarkan logo dan slogan baru secara rasmi menerusi persembahan bunga api dan dron di Incheon

    Kia sudah pun melancarkan logo serta slogan baharunya secara rasmi, dan apa yang menarik pendedahan tersebut dilakukan menerusi persembahan gergasi bunga api dan juga dron yang di buat di bandar Incheon, Korea Selatan.

    Menurut Kia, jenama korporat termasuk slogan “Movement that Inspires” yang baharu ini melambangkan kemahuan mereka untuk menerajui industri mobiliti akan datang dengan menyusun semula semua aspek perniagaannya.

    Logo baharu Kia berkenaan kini tidak lagi mempunyai latar belakang berbentuk oval seperti logo sebelum ini yang telah digunakan sejak 1994. Tulisan ‘KIA’ pada logo berkenaan juga diubah dan dibina hanya dengan garisan menegak dan pepenjuru.

    Kia menjelaskan bahawa logo tersebut adalah menyerupai tandatangan, manakala garisan yang tidak terputus melambangkan komitmen mereka untuk memberikan “detik-detik inspirasi”. Rekaan simetri berkenaan turut dikatakan melambangkan keyakinan, manakala garisan yang menaik melambangkan cita-cita Kia terhadap jenamanya serta apa yang akan ditawarkan kepada pelanggan.

    Kia lancarkan logo dan slogan baru secara rasmi menerusi persembahan bunga api dan dron di Incheon

    “Logo baharu Kia ini melambangkan komitmen syarikat untuk menjadi ikon untuk perubahan dan juga innovasi,” kata CEO dan presidennya, Ho Sung Song. “Industri automotif kini sedang melalui fasa transformasi yang pantas, dan Kia sentiasa membentuk dan mengadaptasinya secara proaktif perubahan-perubahan tersebut. Logo baru kami ini melambangkan keiinginan kami untuk menginspirasikan pelanggan kerana mobiliti mereka perlu berevolusi, dan untuk pekerja kami bagi meningkatkan cabaran yang kami hadapi dalam industri yang cepat berubah ini.”

    Persembahan pyrotechnic pendedahan logo baharu Kia yang boleh anda tonton menerusi video di atas menggunakan 303 unit dron serta menamplikan ratusan bunga api. Ia turut mencatatkan rekod dunia Guiness baharu sebagai kenderaan tanpa kawalan manusia (UAV) paling banyak yang melancarkan bunga api secara bersama.

    Pengenalan logo baharu Kia ini adalah langkah permulaan sebelum strategi jenama baharu syarikat tersebut diumumkan pada 15 Januari nanti. Dalam pendedahan tersebut Kia akan mengumumkan perkara lain termasuk halatuju dan falsafah baharu dan juga aplikasinya terhadap barisan produk masa hadapan.

    Identiti korporat baharu Kia ini merupakan sebahagian strategi perniagaan jangka masa panjang Plan S yang akan menyaksikan syarikat tersebut mensasarkan untuk menjadi peneraju dalam pasaran global, dengan fokus terhadap kenderaan elektrik dan servis mobiliti.

     
     
  • Yamaha 135 LC diperkenalkan dalam warna baru – RM6,868 untuk warna biasa dan RM7,118 warna emas

    Yamaha 135 LC diperkenalkan dalam warna baru – RM6,868 untuk warna biasa dan RM7,118 warna emas

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd telah memperkenalkan warna baru untuk model terkenal 135 LC, yang kini ditawarkan kepada pasaran dalam pilihan warna biru, merah dan cyan. Untuk tiga pilihan warna ini, harga jualannya adalah RM6,868 sementara satu lagi warna baru iaitu Stealth Gold dijual pada harga RM7,118 (tidak termasuk insurans).

    Selain daripada warna baru ini, tiada yang berubah pada motosikal ini, di mana ia keseluruhan panel badannya masih lagi sama dan dikuasakan enjin satu silinder 134 cc bersama transmisi empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12 hp dan 11.79 Nm tork.

    Enjin dengan sistem penyejukan cecair dan penyampaian bahan api menggunakan karburator ini sebenarnya sudah digunakan sejak model 135 LC generasi pertama lagi dan didatangkan dengan pemula jenis tendang dan juga elektrik.

    Kelengkapan lain pada 135 LC adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, brek cakera di hadapan, brek dram di belakang, lampu jenis halogen, tangki bahan api 4.0 liter dan gear yang boleh dimasukkan tanpa klac tangan.

    Untuk model baru ini juga, HLYM akan memberikan kunci cakera yang bernilai RM100 secara percuma untuk setiap pembelian dan jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Berjaya Auto Alliance saran pemilik kereta Peugeot sedia ada untuk kemaskini maklumat pelanggan

    Berjaya Auto Alliance saran pemilik kereta Peugeot sedia ada untuk kemaskini maklumat pelanggan

    Berjaya Auto Alliance (BAASB) kini sedang menjalankan aktiviti kemaskini maklumat pelanggan dalam usaha untuk melancarkan lagi sistem. Untuk itu, syarikat berkenaan meminta kerjasama daripada semua pemilik kenderaan Peugeot untuk mengemaskini maklumat peribadi mereka secara online menerusi laman web rasmi Peugeot Malaysia.

    Melalui satu laman khas, pemilik perlu mengirimkan bukti pendaftaran kenderaan mereka, begitu juga dengan buku servis dan jaminan, maklumat insurans, serta nombor pendaftaran dan casis kenderaan. Semua maklumat yang dikumpul ini akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) di Malaysia.

    Menurut syarikat itu, aktiviti berkenaan bertujuan untuk memastikan maklumat penting akan menjadi lebih mudah dicapai oleh pelanggan sedia ada. Ini termasuk peringatan servis, tempoh jaminan, kempen servis, berita dan sokongan lainnya.

    Untuk makluman, BAASB merupakan syarikat usaha sama antara Berjaya Corporation dan Bermaz Auto, dengan masing-masing memegang 51% dan 20% kepentingan. Selain pengedaran model-model Peugeot, syarikat ini juga memperoleh hak untuk menyediakan khidmat lepas jualan dan alat ganti bagi kenderaan jenama Citroen dan DS.

     
     
  • Husqvarna Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 dilancar di M’sia – harga RM24,800 dan RM29,800

    Husqvarna Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 dilancar di M’sia – harga RM24,800 dan RM29,800

    Husqvarna kembali membuat kemunculan dalam pasaran Malaysia melalui Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi dan pelancaran 10 model termasuk tiga daripadanya adalah untuk kegunaan jalanan iaitu Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan Vitpilen 401.

    Bagi memberi gambaran awal identiti model ini, Svartpilen adalah model yang menggunakan pemegang jenis lebih tinggi untuk kedudukan menunggang tegak manakala Vitpilen pula menggunakan pemegang jenis clip on seperti cafe racer yang lebih rendah. Nombor 250 dan 401 itu pula menunjukkan kapasiti enjinnya.

    Harga yang ditetapkan untuk model 2020 yang baru dilancarkan ini adalah RM24,800 untuk Svartpilen 250, dan RM29,800 untuk Svartpilen 401 serta Vitpilen 401 (tidak termasuk insurans).

    Melihat pertamanya kepada Svartpilen 250, ia dikuasakan oleh enjin yang sama seperti KTM Duke 250, iaitu unit satu silinder empat strok 248.8 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan serta klac antihopping PASC, untuk menghasilkan kuasa 30.8 hp.

    Berat motosikal ini cuma 153 kg, dan ia dilengkapi dengan barangan lain seperti tangki bahan api 9.5 liter, angkup brek Bybre empat piston serta cakera 320 mm di hadapan, angkup dua piston serta cakera 230 mm di belakang, ABS, fork WP Apex 43 mm tanpa pelarasan di hadapan, monoshock WP Apex dengan pelarasan pra beban di belakang, lampu LED dan rim 17 inci.

    Kelengkapan Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 juga kebanyakannya adalah sama seperti Svartpilen 250, termasuk suspensi dan brek, tetapi ia dipacu oleh enjin yang lebih berkuasa iaitu unit satu silinder empat strok 373 cc yang mampu menghasilkan 44 hp pada 9,000 rpm dan 37 Nm tork pada 7,000 rpm.

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 250 2020

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 401 2020

    GALERI: Husqvarna Vitpilen 401 2020

     
     
  • PDRM nafi akan buat pemeriksaan tali keledar tempat duduk belakang di Lebuhraya PLUS, saman RM300

    PDRM nafi akan buat pemeriksaan tali keledar tempat duduk belakang di Lebuhraya PLUS, saman RM300

    Ada mesej tular di WhatsApp tentang kenyataan polis yang mengatakan bahawa pihak berkuasa itu akan melakukan pemeriksaan untuk menguatkuasakan penggunaan tali keledar tempat duduk belakang setiap petang di Lebuhraya PLUS. Saman RM300 juga katanya akan dikenakan kepada mereka yang ingkar, bagi setiap seorang.

    Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bagaimanapun menafikan perkara ini, baik berkaitan kenyataan yang didakwa dikeluarkan itu mahupun saman RM300 bagi setiap penumpang yang ingkar.

    “Pengguna disarankan agar berhenti menyebarkan berita palsu dan diingatkan untuk selalu menyemak terlebih dahulu kesahihan berita yang berlegar itu, sebelum menyebarkannya lagi di media sosial. Pihak kami ingin menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang trafik untuk memastikan keselamatan semua,” jelas Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain dalam satu kenyataan.

    PDRM nafi akan buat pemeriksaan tali keledar tempat duduk belakang di Lebuhraya PLUS, saman RM300

    PLUS juga ada mengeluarkan kenyataan menafikan khabar angin operasi tali keledar belakang tersebut. “Apa pun, PLUS sentiasa memberi penekanan kepada semua pengguna lebuhraya untuk sentiasa menggunakan tali keledar penumpang belakang ketika berada dalam kenderaan, termasuk menempatkan kanak-kanak dalam kerusi keselamatan khas mereka untuk perjalanan yang lebih selamat,” jelas kenyataan tersebut.

    Jadi, walaupun tiada operasi untuk memeriksa tali keledar belakang, semua kita seharusnya menggunakan tali keledar keselamatan berkenaan ketika berada dalam kenderaan, tidak kira bila atau di mana.

    Selain risiko terpelanting ke depan jika berlaku perlanggaran dan terhempas ke permukaan keras, kajian juga mendapati pemandu mempunyai risiko dua kali ganda untuk terbunuh dalam perlanggaran sekiranya penumpang belakang tidak menggunakan tali keledar. Kita perlukan operasi pihak berkuasa secara besar-besaran untuk pastikan hal ini dipatuhi?

     
     
  • Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Ketika Proton Iriz didedahkan pada tahun 2014, tentu ramai yang perasan bahawa rekaan hatchback yang pada awalnya digelar sebagai Proton Compact Car berkenaan dihasilkan sebagai versi produksi model konsep Proton EMAS yang muncul di Geneva Motor Show 2010 bukan?

    Namun tahukah anda, rekaan Iriz ini sebenarnya lebih mirip kepada model konsep Lotus Ethos? Dan elemen rekaan kereta kompak Lotus tersebut bukan sahaja tampil pada versi asal Iriz 2014, malah berberapa aspek turut tampil pada Iriz facelift 2019!

    Model konsep Lotus Ethos ini mula didedahkan kepada umum di Paris Motor Show 2010 pada September tahun berkenaan, enam bulan selepas Proton EMAS didedahkan di Geneva. Ia masih menggunakan asas yang sama seperti EMAS, tetapi mendapat sentuhan rekaan terus dari Lotus (rekaan EMAS dibuat oleh firma rekaan Itali, Italdesign Giugiaro), dan dihasilkan dalam bentuk tiga-pintu.

    Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Ketika didedahkan, model konsep ini sebenarnya dikenali sebagai Lotus CityCar, manakala nama Ethos ini hanya muncul pada tahun 2011 apabila Lotus mengumumkan versi produksinya akan muncul pada tahun 2013. Namun ia tidak menjadi kenyataan, tetapi konsep rekaan Ethos ini nampaknya diterapkan oleh Proton untuk model produksi Iriz.

    Jika anda lihat dengan teliti, walaupun Ethos ini dihasilkan sebagai model tiga pintu, rekaan bentuk tingkap dari cermin suku hadapan serta cermin tingkap hadapan dan belakang adalah sama dengan Iriz, termasuk rekaan pada tiang-C. Malah rekaan ‘bilah sisi’ pada bawah pintu dan panel sisi belakang Ethos ini disalin terus ke Iriz dan menjadi rekaan signatur hatchback segmen-B Proton berkenaan.

    Pada bahagian muka, jelas ‘mulut’ dan perumah lampu kabus Iriz 2014 adalah diinspirasikan terus dari Ethos, manakala lampu hadapan Iriz facelift 2019 yang nampak lebih tirus dan tajam seakan ditiru dari lampu hadapan Ethos ini.

    Bahagian belakang Lotus Ethos ini juga menampilkan rekaan asas Iriz serta seakan bercampur aduk antara versi 2014 dan 2019. Pintu tailgate belakang Iriz yang nampak seperti ‘terpotong rata’ dan menampilkan garisan sekeliling yang jelas nampak memang berasal dari Ethos. Ruang roda belakang Ethos yang kembang juga nampak sama seperti Iriz.

    Namun lampu belakang Ethos yang ‘baring’ dihasilkan ‘berdiri’ pada Proton Iriz. Manakala panel kemasan hitam pada pintu tailgate dengan tulisan ‘LOTUS’ pada Ethos nampak sama seperti panel pada Iriz facelift 2019 juga dengan tulisan ‘PROTON’ di tengahnya.

    Pada bahagian bampar belakang pula, bentuk kemasan diffuser pada Ethos ini lebih menyerupai diffuser sebenar, namun dengan bahagian kemasan berwarna hitam yang besar, ia nampak ada kaitan dengan bampar Iriz 2019. Manakala untuk rim pula, asas rekaan pada Ethos ini nampaknya menjadi inspirasi untuk rekaan rim 15-inci pada Iriz 2014.

    Lotus Ethos 2010 – konsep rekaan asal Proton Iriz

    Ketika didedahkan, Ethos diumumkan menggunakan asas sistem unit penjana yang sama dengan Proton EMAS, iaitu dengan sistem hibrid range extender. Sistem berkenaan menggabungkan enjin tiga-silinder 1.2 liter turbo yang boleh berfungsi dengan pelbagai bahan api dan juga motor elektrik.

    Namun enjin pembakaran dalaman tersebut tidak memacu roda kereta ini, sebaliknya ditugaskan hanya untuk mengecas bateri hibrid seperti ‘generator pasar malam’, dan ia bergerak sepenuhnya menggunakan motor elektrik.

    Model konsep ini diberikan pek bateri 14.8 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 60 km untuk satu cas penuh, namun dengan satu tangki bahan api, enjin pembakaran dalaman tersebut mampu untuk mengecas bateri berkenaan untuk bergerak sejauh 500 km.

    Kereta konsep Lotus Ethos ini dihasilkan dengan berat kurang dari 1,400 kg. Dengan kuasa 72 hp dan tork maksima 240 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 9 saat.

    Teknologi ini mungkin agak pelik pada tahun 2010, namun ia sekarang telah pun digunakan oleh Nissan digelar sebagai e-Power, diperkenalkan pada model produksi Nissan Note e-Power dan Kicks e-Power. Teknologi yang sama juga akan muncul pada Mazda MX-30, dengan enjin range extender berkenaan menggunakan enjin wankel rotary Mazda yang kompak dan senyap.

    Manakala untuk model produksi Iriz, tiada teknologi penjana termaju ditampilkan. Sejak ianya diperkenalkan, Iriz terus ditawarkan dengan hanya dua pilihan enjin petrol VVT iaitu versi 1.3 liter berkuasa 94 hp/120 Nm dan versi 1.6 liter berkuasa 107 hp/150 Nm.

    GALERI: Lotus CityCar Concept/Ethos 2010

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2014

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2019

     
     
  • Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Nissan telah mendedahkan model Juke Enigma edisi istimewa, dengan menawarkan fungsi Alexa Amazon buat pertama kali untuk pasaran Eropah. Ia kini mula dijual dengan harga bermula £23,195 (RM108k).

    Sistem kawalan suara Alexa Amazon kini ditawarkan untuk semua model Juke yang lengkap dengan sistem infotainmen NissanConnect. Dengan ini, pengguna boleh mengetahui pelbagai status kenderaan misalnya status dikunci pintu, baki minyak, lampu menyala serta tempat kereta diparkir. Pengguna juga boleh memaklumkan kepada Alexa untuk memasukkan alamat bagi sistem tunjuk arah.

    Nissan Juke Enigma 2021 edisi istimewa didedahkan

    Dari segi rekaan, Juke Enigma menerima beberapa kemasan dengan estetika gelap, misalnya pada rim 19-inci Akari, serta hiasan grafik dengan corak menarik pada garis bumbung dan perumah cermin sisi.

    Turut hadir ialah grafik khas untuk Enigma pada tiang C. Pilihan warna pula ada tiga, terdiri daripada Gun Metallic Grey, Storm White dengan bumbung hitam dan hitam keseluruhannya. Naib Presiden, Perancangan Produk Nissan Eropah, Marco Fioravanti berkata; “Nissan Juke Enigma memberikan penggayaan unik bagi model berkenaan yang sebelum ini tampil dengan rekaan menarik serta kelengkapan teknologi maju.”

     
     
  • Laluan LPT1 dari Temerloh-Lanchang masih ditutup

    Laluan LPT1 dari Temerloh-Lanchang masih ditutup

    Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) yang merupakan laluan sambungan utama antara kawasan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia dilaporkan masih lagi ditenggelami air di beberapa bahagian laluan Temerloh-Lanchang bagi kedua-dua arah. Dengan paras air tinggi di KM 113 dan KM 115, LPT1 tidak boleh dilalui oleh trafik.

    Menurut pengendaliya, Anih Berhad dalam kemaskini status pagi ini, keadaan banjir antara Lanchang dan Karak (KM 84.6) semakin bertambah baik, dengan laluan ke KL telah mula dibuka sejak 9 pagi semalam. Laluan ke Kuantan bagaimanapun masih ditutup kepada trafik.

    Dengan E8 ditutup sebahagiannya, Lembaga Lebuhraya Malaysia mencadangkan beberapa laluan alternatif yang melibatkan lencongan ke Negeri Sembilan. Ini disebabkan jalan lama (Laluan 2) juga turut dinaiki air sebahagiannya dari Temerloh ke Lanchang. Bagi yang ingin ke Kuantan dari KL, mereka boleh melalui Simpang Pertang di Negeri Sembilan. Dari situ, hala menuju Muadzam Shah hinggalah ke tol Gambang.

    Bagi yang dari Pantai Timur dan ingin kembali ke KL, mereka juga boleh bergerak ke Muadzam Shah sebelum merentas Negeri Sembilan menuju Bahau, Kuala Pilah dan seterusnya Seremban. Bagi mereka yang masih tersangkut dan berada dalam perjalanan tersebut, banyak-banyak bersabar dan sentiasa patuhi arahan lencongan.

     
     
  • Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Honda Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa mereka berjaya menjual sejumlah 60,469 unit kenderaan sepanjang 2020, menjadikan ia kekal sebagai jenama bukan nasional paling laris di Malaysia buat kali ke-enam berturut-turut.

    Menurut syarikat tersebut, Honda City menjadi model paling banyak menyumbang rekod jualan tersebut dengan mewakili 34% dari jumlah keseluruhan, diikuti Honda Civic sebanyak 20% dan Honda HR-V sebanyak 17%.

    Honda City generasi keempat masih lagi dijual dalam momentum yang baik sehingga pengakhiran hayat produksinya, dan kemudian disambung dengan lebih baik oleh model generasi kelima yang dilancarkan pada pasaran tempatan pada Oktober tahun lalu.

    Model generasi baharu sedan segmen-B tersebut telah terjual sebanyak 5,500 unit sehingga Disember lalu, mencatatkan rekod jualan tertinggi pernah direkod oleh City. Sehingga kini, Honda Malaysia telah menerima sejumlah 15,200 unit tempahan City baharu berkenaan, di mana 10,800 unit daripadanya telah pun diterima oleh pelanggan.

    Honda Malaysia turut menyatakan bahawa, antara semua varian ditawarkan, City 1.5V iaitu model tertinggi untuk versi janaan petrol sepenuhnya adalah model yang paling laris dengan mewakili 52% dari keseluruhan unit yang dijual. Untuk warna pula, 26% dari keseluruhan pelanggan Honda mahukan kereta mereka dalam rona Platinum White Pearl.

    Honda kekal jenama bukan nasional no.1 di M’sia kali ke-6 berturut-turut; jual 60,469 kereta sepanjang 2020

    Manakala untuk pecahan pasaran pula, bahagian tengah Semenanjung Malaysia mencatatkan jualan paling tinggi dengan menyumbang 48%, diikuti bahagian selatan dengan 19% dan utara dengan 18%.

    “Tahun 2020 mungkin sangat mencabar namun kami berjaya untuk mengekalkan kedudukan nombor 1 dalam segmen bukan nasional buat tahun ke-enam berturut-turut, dan kami benar-benar berasa rendah hati dengan sokongan yang diterima. City terus membuktikan posisinya sebagai model segmen-B bukan nasional paling popular di kalangan rakyat Malaysia yang sukakan ciri-ciri termaju dengan pakej harga yang menarik,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

    “Kepercayaan berterusan anda semua terhadap Honda membolehkan kami terus mencuba yang terbaik dalam servis kami kepada anda dalam masa yang sama kami berusaha untuk merealisasikan falsafah ‘3 Joys of Honda’ iaitu Joy of Buying, Joy of Selling dan Joy of Creating.

    “Kami turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang melanjutkan pengecualian cukai jualan, yang akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli kereta dengan lebih penjimatan,” tambah Ishiyama lagi.

     
     
  • VIDEO: YDP Agong pandu sendiri Toyota Hilux redah banjir di LPT untuk bantu mangsa di Maran, Pahang

    Seperti yang kita ketahui, hujan lebat yang melanda negara akhir-akhir ini telah menyebabkan banjir yang teruk di berberapa negeri terutama di Johor dan Pahang. Dan di Pahang, ia turut menjejaskan laluan utama ke Pantai Timur iaitu Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di kawasan Karak-Temerloh (arah Kuantan) dan Temerloh-Lanchang (arah KL) yang dinaiki air sehingga perlu ditutup untuk kesemua kenderaan.

    Seperti setiap musibah banjir yang terjadi di Pahang sebelum-sebelum ini, Yang diPertuan Agong Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melawat sendiri mangsa-mangsa banjir yang terjejas, ditemani Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Baginda tidak menggunakan pengangkutan udara, sebaliknya menggunakan jalan darat dengan memandu sendiri trak pikap Toyota Hilux bagi mengetahui sendiri keadaan tempat-tempat terjejas dengan lebih terperinci. Namun dalam perjalanan lawatan mengejut ke daerah Maran, Pahang bagi mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Maran, konvoi Baginda terpaksa meredah laluan yang dinaiki air di LPT.

    VIDEO: YDP Agong pandu sendiri Toyota Hilux redah banjir di LPT untuk bantu mangsa di Maran, Pahang

    Apa yang menarik, walaupun laluan tersebut agak sukar, Al-Sultan Abdullah masih memandu sendiri Hilux berkenaan, dan video aksi baginda tersebut disiarkan oleh laman facebook rasmi Istana Negara.

    Dan menerusi hantaran laman berkenaan kira-kira sejam yang lalu, konvoi berkenaan sudah pun sampai ke destinasi yang dituju dan Sultan Abdullah sudah pun bertemu dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, iaitu di SMK Maran, Surau Kampung Jara, SK Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin.

    Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS tersebut dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada NADMA, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus-lumus membantu rakyat setiap kali banjir.

    Seri Paduka Baginda juga mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

     
     
  • Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Mitsubishi Outlander Sport 2021, atau dikenali sebagai ASX di pasaran lain, kini mula diperkenalkan untuk pasaran Amerika Utara. Crossover kompak berkenaan merupakan model paling laris jenama itu di rantau itu, dan menampilkan beberapa kemaskini dari aspek keselamatan bagi versi 2021, dengan varian Limited Edition dan Black Edition.

    Versi Limited Edition menerima kemasan hitam untuk perumah cermin sisi, gril dan rim aloi 18-inci-nya, sementara bahagian kabin menerima kemasan benang merah pada kerusi, tombol gear, stereng dan tuil brek parkir.

    Sementara itu, bagi varian Black Edition, ia menampilkan bukaan udara depan dan belakang rekaan baru, dengan kemasan hitam berkilat dan merah. Ia juga dilengkapi penutup corong minyak aluminium, pelekat hiasan sisi badan, perumah cermin sisi dan pemegang pintu hitam, rim 18-inci hitam, lencana Black Edition dan kemasan hitam bahagian belakang. Pilihan warna dalaman termasuk Red Diamond, Pearl White, Black Labrador dan Sunshine Orange.

    Bergantung kepada tahap kemasan, kabinnya menerima sama ada sistem paparan audio tujuh-inci, atau yang lebih canggih, paparan audio Smartphone-link lapan-inci generasi kedua dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Mitsubishi Outlander Sport buat penampilan di AS — dua varian baru; Limited Edition dan Black Edition

    Bagi sistem janaan kuasa, tiada perubahan dilakukan, Outlander Sport masih menggunakan sama ada unit 2.0 liter MiVEC empat-silinder petrol dengan output 148 hp dan 197 Nm, atau unit yang lebih besar 2.4 liter MiVEC empat-silinder dengan janaan 168 hp dan 226 Nm tork. Pacuan depan dan pacuan semua roda kekal ditawarkan.

    Aspek keselamatan, Outlander Sport 2021 dilengkapi dengan Forward Collision Mitigation (FCM), Lane Departure Warning (LDW) dan Automatic High Beam (AHB). Lain-lain kelengkapan termasuk sensor pengilap cermin, lampu kabus LED, cermin pandang belakang anti-silau dan lampu utama automatik adalah ciri standard untuk semua, kecuali bagi varian S yang paling asas.

    Mitsubishi Outlander Sport akan dijual secara rasmi pada Februari, dengan harga bermula dari US$20,995 (RM84k) bagi model paling asas hingga US$26,995 (RM108k) bagi model GT AWC yang paling lengkap.

     
     
  • Nissan Magnite hanya dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Nissan Magnite hanya dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    SUV segmen-B Nissan Magnite telah pun membuat kemunculan sulungnya di India pada Disember lalu, dan kemudian dilancarkan di Indonesia pada bulan yang sama – dalam kedua-dua pasaran ini, Magnite dijual pada harga yang cukup kompetitif dan mungkin akan menggugat pasaran pesaingnya yang lain.

    Namun dalam ujian pelanggaran penilaian keselamatan ASEAN NCAP, Magnite nampaknya tidak menampilkan markah yang cemerlang apabila agensi berkenaan hanya memberikan penarafan empat bintang. Walau bagaimanapun, perincian penuh ujian berkenaan masih lagi belum didedahkan dan bakal diumumkan pada masa terdekat.

    Nissan Magnite ini diuji oleh ASEAN NCAP sebelum 1 Januari lalu bersama Proton Iriz dan Persona yang dihantar semula oleh Proton untuk dinilai semula (kedua-dua model Proton berkenaan masih kekal menerima lima-bintang). Ini bermakna ia adalah model terakhir dinilai menggunakan protokol 2017-2020 ASEAN NCAP.

    Nissan Magnite hanya dapat 4-bintang ASEAN NCAP

    Untuk protokol baharu ASEAN NCAP 2021-2025 kelak, ia turut akan menekankan aspek “teknologi perlindungan kepala” (seperti beg udara tirai) serta akan memperkenalkan kategori Keselamatan Terhadap Penunggang Motosikal seperti teknologi pemantau dan kamera titik buta.

    Di Indonesia, SUV kompak ini ditawarkan dalam tiga varian berbeza di negara tersebut bermula dengan model paling asas Upper MT berharga 208.8 juta rupiah (RM59,629), model spesifikasi tinggi Premium MT berharga 226.3 juta rupiah (RM63,855) dan model kemasan sama dengan kotak gear automatik Premium CVT berharga 238.8 juta rupiah (RM68,196).

    Untuk keselamatan, Magnite pasaran Indonesia dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Vehicle Dynamic Control, Traction Control, Hill Start Assist dan kamera 360 darjah.

    Ia dijana oleh enjin HR0A 1.0 liter tiga-silinder yang sama dengan Nissan Almera turbo menjana 100 PS dan tork maksima 160 Nm. Model MT diberikan kotak gear manual lima-kelajuan, manakala model automatik pula diberikan kotak gear CVT X-Tronic, bagi mengalirkan kuasa ke roda hadapan.

    Panjang keseluruhan SUV ini adalah 3,994 mm dengan jarak roda 2,500 mm. Manakala lebarnya pula adalah 1,758 mm dengan tinggi 1,572 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Proton X50, Magnite adalah 336 mm lebih pendek dengan jarak roda 100 lebih dekat, serta 42 mm kurang lebar. Jika di bawa ke Malaysia, Magnite sebenarnya adalah lawan terus kepada SUV Perodua D55L yang akan dilancarkan tak lama lagi, diasaskan dari Daihatsu Rocky.

    Magnite dipadankan dengan rim bersaiz 16-inci dan tayar tebal dengan saiz 195/60R16. Ia mengahsilkan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm.

    Model pasaran Indonesia ini juga ditawarkan dengan skema warna badan tona tunggal atau dwi-tona. Untuk model satu warna badan, ia boleh dipilih dalam warna Blade Sliver, Onyx Black, dan Storm White. Manakala untuk versi dua tona pula, ia ditawarkan dalam warna Garnet Red dan Pearl White dimana kedua-duanya digandingkan dengan bumbung Onyx Black.

    Dalam kabin, Magnite diberikan papan pemuka dengan rekaan bertingkat bersama corong pendingin hawa berbentuk heksagon manakala di tengah pula terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen. Butang penghidup enjin terletak rendah di konsol tengah dan di bawahnya terdapat tempat simpanan barang serta soket USB.

    Kelengkapan lain turut diberikan pada Magnite termasuk panel instrumen TFT tujuh inci, sistem pemantau tekanan angin tayar, cruise control dan tempat duduk dibalut fabrik.

     
     
  • Pengayuh gesa lorong motosikal ditutup pada hujung minggu — bertujuan untuk jamin keselamatan mereka

    Pengayuh gesa lorong motosikal ditutup pada hujung minggu — bertujuan untuk jamin keselamatan mereka

    Ada kelompok pengayuh basikal telah menyuarakan cadangan kepada pihak berkuasa untuk mengasingkan penggunaan lorong khas motosikal pada hujung minggu untuk kegunaan mereka. Hal ini disampaikan oleh wakil komuniti Bukit Jelutong Plan A, Faz Adhili kepada Astro Awani. Ini bertujuan untuk kebaikan dan keselamatan pengayuh basikal.

    “Saya cadangkan, pada hujung minggu, laluan khas motosikal di lebuhraya utama seperti Guthrie, Kesas dan Lebuhraya Persekutuan ditutup dan diasingkan hanya untuk kegunaan pengayuh basikal sahaja,” ujar Faz. “Ini kerana, kadar trafik lorong motosikal berkenaan pada hujung minggu adalah rendah,” tambahnya.

    Bercakap dalam sebuah video di Awani Pagi, beliau menyatakan yang ini merupakan langkah berkesan untuk memastkan keselamatan kelompok pengayuh basikal dan memerlukan tolak ansur daripada semua pihak untuk menjayakannya. Beliau menambah, memang ada lorong khas untuk basikal di Shah Alam dan Kuala Lumpur, tetapi lorong berkenaan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana ada banyak kereta yang diparkir sepanjang jalan dan menghalang laluan mereka. Anda rasa cadangan ini wajar atau bagaimana?

     
     
  • Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Ketika UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan hot-hatch Toyota GR Yaris untuk pasaran Malaysia bulan lalu, harga atas jalan yang diumumkan adalah termasuk dengan cukai jualan penuh, iaitu RM299,000, memandangkan ketika itu insentif PENJANA dengan potongan SST akan berakhir pada 31 Disember 2020.

    Walau bagaimanapun, pada 29 Disember lalu kerajaan telahpun meluluskan permohonan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk melanjutkan insentif PENJANA berkenaan sehingga 30 Jun 2021. Ini bermakna, Toyota GR Yaris yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 50%, membolehkan ia dijual pada harga RM286,869 atau lebih RM12k lebih murah dari harga asal!

    Dengan harga asal yang ditawarkan, harga GR Yaris dengan sistem pacuan semua roda ini sebenarnya sudahpun cukup kompetitif. Hot-hatch pacuan roda hadapan Honda Civic Type R misalnya, ketika ia dilancarkan di Malaysia pada 2017, ia ditawarkan pada harga RM330k. Dan di Thailand, GR Yaris ini dijual pada harga RM364k.

    Malah GR Yaris yang ini bukanlah model yang dihasilkan dalam jumlah yang benar-benar besar. Toyota akan memproduksi hatchback homologasi kejuaraan rali dunia (WRC) ini terhad hanya 25,000 unit untuk pasaran seluruh dunia, manakala pasaran Malaysia hanya diberikan tidak lebih dari 200 unit sahaja. Lihat sahaja bagaimana model-model WRC homologation special era 90’an seperti Lancer Evo dan Impreza WRX STI GC8 yang harganya semakin hari semakin naik buat masa sekarang, dan GR Yaris ini bakal mengikut jejak yang sama.

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Malah sebagai meraikan ketibaan model ini ke pasaran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000. Rugi kalau tak beli masa dapat diskaun ni!

    Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

    Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

    Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

    Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

    Tiada brek parkir elektronik seperti Honda Civic Type R sebaliknya ia diberikan brek tangan manual yang membolehkan anda membuat aksi hand brake turn yang diperlukan oleh sebuah jentara rali. Malah ketika anda menarik brek tangan ini, agihan tork pada gandar belakang juga sebenarnya diputuskan bagi memudahkan anda memulakan aksi drift, dan ia disambung kembali apabila brek berkenaan diturunkan.

    Model pasaran Malaysia ini turut hadir dengan Performance Pack yang diberikan secara standard. Pakej berkenaan memberikan ‘senjata tambahan’ seperti LSD jenis Torsen, sistem suspensi lebih keras yang fokus untuk pemanduan litar dan juga rim aloi BBS lebih ringan berdiameter 18-inci standard dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18.

    Toyota GR Yaris kini dijual pada harga RM286,896, RM12k lebih murah dengan pengecualian SST 50%

    Manakala untuk brek, GR Yaris dibekalkan standard dengan cakera brek hadapan yang dilarik two-piece bersama angkup monoblok empat omboh, dan di belakang pula diberikan cakera yang juga dilarik bersama angkup dua-omboh.

    Untuk kelengkapan standard lain, GR Yaris pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan, lampu isyarat membelok, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang kesemuanya dengan teknologi LED. Ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan juga muffler dengan tip berkembar untuk sistem ekzos.

    Pada bahagian dalaman pula model ini diberikan tempat duduk ‘semi-bucket’ balutan kulit dengan sulaman logo GR dan jahitan benang merah, roda stereng GR pelbagai fungsi balutan kulit, tombol gear balutan kulit, set pedal aloi, paparan meter analog dengan skrin pelbagai-info berwarna 4.2-inci dan cermin pandang belakang elektrokrmomik.

    Hot-hatch ini juga diberikan sistem pendingin hawa dua-zon, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci disokong Apple Carplay dan Android Auto serta dihubungkan kepada enam-pembesar suara.

    Untuk keselamatan, jentera rali jalan raya ini di hadir dengan enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem pemantau tekanan tayar, penderia parkir belakang, serta sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control (TRC) bersama brek ABS, EBD dan BA.

    Malah kereta ini juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem seperti Pre- Crash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA) dan Auto High Beam (AHB). UMW Toyota turut menawarkan sistem telematik VTS secara opsyen.

    Toyota GR Yaris pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam pilihan tiga warna badan iaitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black. Walaupun ia sebuah model berprestasi tinggi, GR Yaris masih dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama juga seperti GR Supra, GR Yaris hanya dijual di pengedar-pengedar terpilih yang mempunyai fasiliti GR-Garage.

    GALERI: Gambar rasmi Toyota GR Yaris pasaran Malaysia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024