Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Yamaha akan lancar model baru di Vietnam esok – Exciter/Y15ZR versi baru dengan enjin VVA 155 cc?

    Yamaha akan lancar model baru di Vietnam esok – Exciter/Y15ZR versi baru dengan enjin VVA 155 cc?

    Sejak beberapa hari lalu, Yamaha Vietnam telah menyiarkan beberapa gambar teaser model baru yang akan didedahkan secara rasmi esok secara atas talian. Bentuk penuh motosikal ini masih belum dapat dilihat namun ada beberapa bayangan yang diberi.

    Gambar yang disiarkan kebanyakannya adalah gelap dan samar-samar, tetapi apa yang diberitahu, model baru ini adalah sebuah ‘underbone‘ atau dalam terjemahan bahasa kita, sebuah kapcai. Bermakna juga, ini adalah sebuah model yang menggunakan tangki di bawah dan bukannya di atas seperti R15.

    Jangkaan yang dibuat ramai, ini adalah Exciter atau lebih dikenali di negara kita sebagai Y15ZR, tetapi versi baru dengan enjin 155 VVA. Gambar-gambar teaser juga menghala ke arah itu dengan menunjukkan panel badan dari beberapa sudut.

    Kelihatan seperti semua panel badannya adalah baru, dan paling menarik adalah nyalaan lampu siang (DRL) LED yang berbentuk seperti boomerang di hadapan. Kemudiannya dalam salah satu gambar juga ternampak bahagian panel meter yang kelihatan seperti satu unit digital berbentuk rata.

    Selain teaser gambar dan video, Yamaha Vietnam juga telah membuka tempahan awal untuk model baru ini dengan menyatakan terdapat versi istimewa yang akan dikeluarkan untuk 100 pelanggan pertama dan mereka juga akan menerima beberapa hadiah lain.

     
     
  • Kerajaan tolak cadangan oleh MAA, tiada lanjutan tempoh pengecualian SST selepas 31 Disember ini

    Kerajaan tolak cadangan oleh MAA, tiada lanjutan tempoh pengecualian SST selepas 31 Disember ini

    Kerajaan menegaskan bahawa tidak akan ada lanjutan tempoh pengecualian cukai SST bagi kenderaan selepas tarikh asal yang berakhir 31 Disember ini tamat. Pengecualian cukai SST bagi kenderaan CKD dan 50% bagi kenderaan CBU sebelum ini diumumkan di bawah rancangan rangsangan ekonomi Penjana yang bermula sejak 15 Jun lalu.

    Perkara ini didedahkan dalam satu dokumen oleh Kementerian Kewangan sebagai maklum balas kepada permintaan yang diajukan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang mencadangkan lanjutan tempoh itu sehingga 30 Jun 2021. Persatuan itu telah menulis kepada kementerian berkenaan sebanyak dua kali, pada 16 Oktober dan 7 Disember, untuk meminta lanjutan pengecualian SST tersebut.

    Dalam jawapan balasnya pada 23 Disember 2020, kementerian memaklumkan walaupun menterinya memberikan pertimbangan terhadap perkara itu, keputusan yang diambil adalah untuk tidak melanjutkan tempoh pengecualian SST untuk enam bulan lagi, mengesahkan apa yang Presiden MAA, Datuk Aishah Ahamad katakan sebelum itu. “Berkaitan pengecualian SST, MAA telah menerima surat penolakan hal itu bagi tempoh selepas 31 Disember 2020,” ujarnya kepada paultan.org.

    Dengan ini, cukai jualan bagi semua kenderaan baru yang dijual di sini akan kembali kepada harga dengan SST selepas 1 Januari nanti. Bagaimanapun, pembeli kenderaan penumpang masih boleh menikmati semua itu asalkan invois pembelian dikeluarkan sebelum 31 Disember, dengan pendaftaran perlulah diselesaikan sebelum 31 Januari 2021.

     
     
  • Harga minyak 26 Dis ’20-1 Jan ’21 – semua naik 2 sen

    Harga minyak 26 Dis ’20-1 Jan ’21 – semua naik 2 sen

    Bagi minggu bertarikh 26 Disember 2020 sehingga 1 Januari 2021, Kementerian Kewangan telah memaklumkan kesemua bahan api utama di negara ini mengalami peningkatan harga masing-masing sebanyak dua sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 akan menjadi RM2.10 seliter berbanding RM2.08 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.78 seliter, bakal menjadi RM1.80 seliter.

    Bagi diesel pula, gred Euro 2M pula bakal menjadi RM1.98 seliter dan Euro 5 pula berharga RM2.08 seliter. Kesemua harga baharu ini akan efektif mulai 12.01 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 1 Januari 2021.

     
     
  • KPDNHEP pilih Honda Civic 1.8 S sebagai kereta rasmi

    KPDNHEP pilih Honda Civic 1.8 S sebagai kereta rasmi

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima 16 unit Honda Civic 1.8 S sebagai kenderaan rasmi. Majlis penyerahan kereta tersebut berlangsung di ibu pejabat kementerian terbabit di Putrajaya.

    Ini merupakan kali pertama kementerian memilih kenderaan Honda sebagai kereta rasmi. “Bagi pihak Honda Malaysia, kami sangat berbesar hati apabila KPDNHEP memilih Civic sebagai kenderaan rasmi bagi melaksanakan tugasan,” ujar pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia Toichi Ishiyama.

    Tambahnya, “Kami juga menghargai peranan penting kementerian dalam mempromosikan dan mengekalkan perdagangan domestik di Malaysia, walau pun dalam keadaan kita masih berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan ekonomi Malaysia yang banyak terjejas akibat pandemik COVID-19.”

    Varian 1.8 S merupakan model paling asas dalam barisan Civic tempatan, dan ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter naturally aspirated yang mampu memberikan kuasa hingga 141 PS pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear Earth Dreams CVT, yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    Sebelum ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut memilih model kenderaan yang sama sebagai jentera rasmi. Sebanyak 425 unit Civic telah digunakan oleh PDRM sebagai kenderaan peronda dan penguatkuasaan.

     
     
  • Tokyo Auto Salon 2021 akan diteruskan secara maya

    Tokyo Auto Salon 2021 akan diteruskan secara maya

    Tokyo Auto Salon (TAS) 2021 akan dianjurkan pada Januari akan datang dalam cara yang berbeza berbanding selalu. Disebabkan kes Covid-19 di Jepun yang semakin meningkat. Setakat 23 Disember 2020, negara itu telah mencatatkan keseluruhan 203,000 kes, dengan jumlah kematian hampir 3,000 orang.

    Berdasarkan hebahan rasmi, pengunjung yang telah membeli tiket bagi TAS 2021 akan dibayar semula, dengan perincian mengenainya akan diumumkan kemudian. Penganjur turut memaklumkan pihaknya sedang bekerja sama dengan semua pempamer untuk tetap membawakan festival kenderaan kustom tahunan itu kepada peminat walaupun terdapat banyak halangan.

    Untuk itu, hal ini bakal menyaksikan acara berkenaan memanfaatkan teknologi untuk dibawakan secara maya – secara percuma kepada semua – bermula 15 Januari nanti. TAS 2021 akan tetap diteruskan dan tidak dibatalkan, cuma cara penyampaiannya diubah sama sekali. Langkah yang sama dilakukan oleh pameran SEMA, dan dijenamakan sebagai SEMA360 sempena semangat digital.

    TAS merupakan platform bagi syarikat-syarikat penala kenderaan untuk mempamerkan rekaan konsep ubah suai yang menarik dan ekstrim. Awal tahun ini, pameran berkenaan agak meriah dengan pengenalan Toyota GR Yaris dan Honda Civic Type R, serta konsep-konsep rekaan GR Supra, S2000 edisi ulangtahun ke-20 dan lain-lain.

     
     
  • KTM 250 Adventure dan 390 Adventure tiba di M’sia – harga RM22k dan RM30k, banyak kelengkapan canggih

    KTM 250 Adventure dan 390 Adventure tiba di M’sia – harga RM22k dan RM30k, banyak kelengkapan canggih

    KTM Malaysia baru sahaja melancarkan dua model baru untuk pasaran Malaysia iaitu 250 Adventure dan 390 Adventure, dengan harga masing-masing RM21,500 dan RM30,800 tidak termasuk insurans. Pilihan warna pula ada dua iaitu oren hitam dan oren putih.

    Dua model jelajah ini masing-masing menggunakan asas daripada Duke 250 dan Duke 390, dengan 250 Adventure digerakkan oleh enjin satu silinder 248.8 cc berkuasa 30 hp/24 Nm dan satu silinder 373.2 cc berkuasa 44 hp/37 Nm. Kedua-duanya menggunakan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis slip and assist.

    Walaupun berlainan enjin, kelengkapan lain dikongsi bersama dua model ini adalah termasuk padanan rim 19 inci dan 17 inci, brek cakera 320 mm bersama angkup angkup empat piston di hadapan, cakera 230 mm dan angkup satu piston di belakang, tinggi tempat duduk 855 mm serta tangki bahan api 14.5 liter.

    Bagi 250 Adventure, suspensinya menggunakan fork hadapan WP Apex 43 mm dan monoshock WP Apex dengan pelarasan pra beban, sementara 390 Adventure pula dinaik taraf dengan suspensi sama tetapi mempunyai pelarasan mampatan dan lantunan di hadapan serta pelarasan pra beban dan lantunan di belakang.

    Tidak seperti 250 Adventure yang menggunakan meter LCD, 390 Adventure mendapat kelebihan dengan panel instrumen digital TFT berwarna yang juga boleh disambungkan dengan sistem KTM My Ride. Dalam keadaan standard, sistem ini boleh dihubungkan dengan telefon pintar untuk fungsi muzik dan panggilan, tetapi untuk mendapatkan paparan navigasi, pemilik perlu menambah RM35.99.

    KTM 250 Adventure dan 390 Adventure tiba di M’sia – harga RM22k dan RM30k, banyak kelengkapan canggih

    Kelebihan lain yang terdapat pada 390 Adventure adalah termasuk lampu jenis LED, Cornering ABS (dengan pilihan mod Offroad) dan Traction Control (boleh ditutup). Untuk mendapatkan fungsi quickshifter, pemilik perlu menambah RM1,600.

    Jika dibandingkan dengan model Duke, dua model Adventure ini juga mempunyai beberapa perubahan seperti lengan ayun yang lebih panjang, sudut fork yang lebih ke hadapan, radiator bentuk melengkung dengan dua kipas elektrik serta subframe yang diperkuatkan.

    GALERI: KTM 390 Adventure

     
     
  • Honda Malaysia memperkenalkan perkhidmatan pra-tempahan secara dalam talian – yuran serendah RM99

    Honda Malaysia memperkenalkan perkhidmatan pra-tempahan secara dalam talian – yuran serendah RM99

    Honda Malaysia telah memperkenalkan perkhidmatan pra-tempahan secara dalam talian baharu, yang memberikan kemudahan lebih baik buat para pelanggan yang mahu menempah mana-mana model Honda dengan yuran serendah RM99. Perkhidmatan terbaharu ini boleh diakses menerusi laman web rasmi Honda Malaysia dan juga bakal boleh dilayari menerusi aplikasi mobil HondaTouch pada awal tahun hadapan.

    Untuk pelanggan yang berminat, apa yang perlu dilakukan hanyalah melalui empat proses sahaja, bermula dengan memilih pengedar yang mengambil bahagian. Kemudian isi borang maklumat peribadi sebelum memilih mana-mana model Honda yang diingini, bersama varian, warna dan aksesori pilihan – harga jualan keseluruhan akan disenaraikan dalam proses ini.

    Kemudian, pelanggan akan dibawa ke laman seterusnya di mana mereka boleh menyemak semua informasi dan membayar yuran serendah RM99. Selepas selesai membuat pembayaran, e-mel pengesahan akan dihantar dan pelanggan akan dihubungi oleh ejen jualan dalam kurang 72 jam. Pelanggan juga boleh menyemak status pra-tempahan menerusi laman status “Track My Pre-Booking” dengan menggunakan nombor rujukan yang diberikan menerusi e-mel.

    Honda Malaysia memperkenalkan perkhidmatan pra-tempahan secara dalam talian – yuran serendah RM99

    “Platform dalam talian pra-tempahan baharu ini adalah sebahagian daripada usaha Honda Malaysia untuk memberikan kemudahan yang terbaik bagi pelanggan untuk memiliki kereta Honda dalam era digital menerusi proses pembelian kereta secara dalam talian. Ia juga membolehkan pelanggan Honda membuat pra-tempahan secara lebih mudah dan proses mesra-pengguna, dengan lebih pantas, pada bila-bila masa dan di mana-mana jua,” ujar Toichi Ishiyama, pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia.

    Tambahnya lagi, “Proses bagi pra-tempahan secara dalam talian ini juga bebas-tekanan dan mengutamakan pengalaman bagi pelanggan, kerana ia hanya memerlukan maklumat daripada pelanggan dan bayaran pra-tempahan juga minimum. Melalui proses dalam talian ini, kami ingin menawarkan kemudahan yang lebih luas dan pengalaman yang lebih baik untuk pelanggan kami, tidak kira di mana saja mereka berada di Malaysia.”

     
     
  • Laluan Pengujian Kenderaan Berautonomi pertama M’sia di Cyberjaya diluluskan – ujian eMoovit bermula

    Laluan Pengujian Kenderaan Berautonomi pertama M’sia di Cyberjaya diluluskan – ujian eMoovit bermula

    Malaysia telah pun mempunyai Laluan Pengujian Kenderaan Berautonomi (MyAV) pertama yang diluluskan baru-baru ini, dibangunkan oleh Futurise dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah inisiatif Sandbox Pengawalseliaan Nasional (NRS) untuk pembangunan projek kenderaan berautonomi atau kenderaan pandu sendiri.

    Futurise adalah anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan, yang berperanan sebagai penasihat dasar awam kementerian dan industri dalam membentuk Malaysia ke arah ekonomi masa hadapan. Manakala eMoovit Technology Sdn Bhd menjadi syarikat pertama diberi kelulusan menggunakan laluan ujian berkenaan yang terletak di Cyberjaya, laporan The Star.

    CEO Futurise Mahadzir Aziz berkata, permohonan untuk menggunakan laluan pengujian kenderaan pemanduan sendiri di Cyberjaya itu mesti ditujukan kepada Futurise sebagai sekretariat yang mengesahkan aplikasi berkenaan bersama dengan Jawatankuasa Penilaian Pengujian Kenderaan Berautonomi yang dipengerusikan oleh MOT.

    Tambahnya, permohonan untuk menggunakan laluan pengujian kenderaan pemanduan sendiri di Cyberjaya itu mesti ditujukan kepada Futurise sebagai sekretariat yang mengesahkan aplikasi berkenaan bersama dengan Jawatankuasa Penilaian Pengujian Kenderaan Berautonomi yang dipengerusikan oleh MOT.

    Laluan Pengujian Kenderaan Berautonomi pertama M’sia di Cyberjaya diluluskan – ujian eMoovit bermula

    Selain itu, Garis Panduan Percubaan Kenderaan Berautonomi di jalan awam di Cyberjaya sudah dibangunkan penghujung tahun lalu serta menerima pengesahan daripada MOT dan Majlis Perbandaran Sepang sebelum sebarang kerja dimulakan ke atas laluan-laluan yang akan diuji.

    “Ia antara lainnya menggariskan Pelan Pengurusan Keselamatan yang merangkumi prosedur-prosedur mitigasi risiko serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diamalkan,” katanya.

    Futurise berkata, segala infrastruktur yang diperlukan untuk laluan pengujian sepanjang tujuh kilometer ini telah dipertimbangkan dan diperlengkapkan merangkumi papan tanda jalan yang jelas menunjukkan zon pengujian kenderaan berautonomi yang ditempatkan di setiap jalan masuk ke kawasan pengujian.

    “Mengambil kira aspek keselamatan pengguna jalan raya yang lain, seorang pegawai keselamatan terlatih diwajibkan berada di dalam kenderaan lengkap dengan pengecam visual sepanjang masa pengujian berjalan,” jelasnya lagi.

    MyAV ini melibatkan dua laluan yang secara keseluruhannya sepanjang tujuh kilometer. Laluan pertama melibatkan jarak yang pendek, iaitu mengeliling bangunan Futurise dan Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC). Sementara laluan kedua pula dengan jarak yang lebih panjang merentasi Persiaran Apec, Persiaran Cyberpoint dan Persiaran Rimba.

     
     
  • Produksi Honda Civic & CR-V dihentikan di India – jualan jatuh, kilang terpaksa tutup kerana Covid-19

    Produksi Honda Civic & CR-V dihentikan di India – jualan jatuh, kilang terpaksa tutup kerana Covid-19

    Sedan segmen-C Honda Civic dan SUV segmen-C Honda CR-V telah dihentikan produksinya di India selepas jenama Jepun berkenaan mengambil keputusan untuk menutup kilang mereka di Greater Noida, Uttar Pradesh, lapor Autocar India.

    Kilang berkenaan sebelum ini menghasilkan tiga model pasaran India termasuk sedan segmen-B Honda City, dan kini operasinya dipindahkan ke fasiliti Honda India di Tapukara, Rajasthan. Walau bagaimanapun, kilang tersebut hanya mampu untuk memasang model-model kompak, menyebabkan produksi Civic dan CR-V dihentikan terus, menurut sumber dalaman syarikat berkenaan.

    Selain City, kilang Rajasthan berkenaan akan terus memasang model-model kompak Honda yang lain untuk pasaran India termasuk sedan segmen-A Honda Amaze, hatchback segmen-B Honda Jazz bersama kembar crossovernya Honda WR-V.

    Produksi Honda Civic & CR-V dihentikan di India – jualan jatuh, kilang terpaksa tutup kerana Covid-19

    Kilang berkenaan ditutup setelah jualan Honda merudum di India disebabkan pandemik Covid-19, dan langkah ini terpaksa diambil sebagai sebahagian strategi rasionalisasi barisan model Honda di India bagi memperbaiki kadar efisien operasi mereka pada masa hadapan dalam pasaran berkenaan.

    Walau bagaimanapun, sumber dalaman tersebut turut memberitahu Autocar India bahawa Honda kini sedang merangka satu pelan jangka masa panjang untuk terus berada dalam pasaran India dan pandemik yang sedang melanda tidak memberi halangan untuk mereka terus membuat rancangan pelaburan produk untuk masa hadapan.

     
     
  • Lexus LM 350 — tempahan mula dibuka secara rasmi, dilancarkan pada Mei tahun depan, RM1.15 juta

    Lexus LM 350 — tempahan mula dibuka secara rasmi, dilancarkan pada Mei tahun depan, RM1.15 juta

    Sedikit kemaskini berkaitan Lexus LM untuk pasaran tempatan, yang sebelum ini telah diketahui akan dilancarkan pada tahun depan. Lexus Malaysia kini mengumumkan pula bahawa tempahan untuk MPV mewah berkenaan kini secara rasminya mula dibuka, dengan tempoh pengenalan juga telah ditetapkan – dijangka pada bulan Mei tahun depan, dengan serahan pertama akan dilakukan pada Jun.

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, harga bagi LM 350 ini adalah lebih seganda lebih tinggi daripada MPV sama dengan logo Toyota (Alphard/Vellfire), dan akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,148,000, bersama filem penapis haba/keselamatan Lexus bernilai RM2,688 yang diberikan secara percuma. Untuk rekod, di Malaysia, Lexus LM 350 hanya datang dalam versi empat tempat duduk untuk lebih selesa.

    Lexus LM350 ini dijana oleh enjin petrol 2GR-FKS 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus berkuasa 296 hp dan 361 Nm, dan ia dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik Direct Shift. Kita tidak akan menerima model ini dalam penawaran sistem janaan lain, seperti LM 300h hybrid yang turut ada di Thailand.

    Lexus LM 350 — tempahan mula dibuka secara rasmi, dilancarkan pada Mei tahun depan, RM1.15 juta

    Di dalam, tempat duduk mewah di barisan belakang boleh dibaringkan sepenuhnya, dibina dengan span urethene berketumpatan tinggi, menawarkan keselesaan seperti sofa mewah. Ia turut disejukkan dengan liang-liang sedutan udara. “Bilik” kabin belakang ini juga dipenuhi dengan balutan-balutan kulit lembut serta hiasan Gin-Sui-Boku (Silver Ink) yang diinspirasikan dari hasil seni lukisan ink wash.

    Di hadapan dua tempat duduk mewah yang ada itu diletakkan skrin bersaiz 26-inci. “Ruang tamu” dalam Lexus LM ini turut lengkap dengan peti sejuk, ruang penyimpan payung. Konsol tengahnya direka dengan menempatkan panel sesentuh bagi mengawal fungsi-fungsi seperti kedudukan tempat duduk, fungsi-fungsi keselesaan, penghawa dingin dan juga sistem audio Mark Levinson dengan 19-pembesar suara.

    Lexus LM 350 — tempahan mula dibuka secara rasmi, dilancarkan pada Mei tahun depan, RM1.15 juta

    Kelengkapan standard lain yang dibekalkan untuk LM350 pasaran Malaysia ini termasuk sistem penghawa dingin dua-zon, moonroof berkembar, pengecas peranti pintar tanpa wayar, paparan head-up, pelindung cahaya matahari bahagian belakang, dan juga pintu tailgate berkuasa.

    Dari sudut keselamatan, LM 350 dilengkapi tujuh beg udara serta pakej Lexus Safety System+ (LSS+). Ini termasuk sistem pra-perlanggaran, kawalan melayar radar dinamik, bantuan pengesanan lorong, bantuan menukar lorong dengan peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, brek sokongan parkir serta sistem lampu tinggi adaptif.

    Hanya dua warna ditawarkan untuk model ini, iaitu hitam dan kristal putih mutiara. Lexus LM 350 dijual pada harga RM1,148,000, atas jalan tidak termasuk insurans.

     
     
  • Perodua Myvi dan Bezza dalam penampilan agresif GR

    Toyota GR Yaris yang baru dilancarkan minggu lalu banyak menjadi buah mulut orang ramai. Walaupun harganya agak tinggi – ini sesuailah dengan prestasi dan penawaran yang diberikan – mungkin ramai yang inginkan kereta ini tetap hanya mampu untuk membayangkannya sahaja. Untuk miliki, itu mungkin hal lain sama sekali.

    Tetapi, penampilan GR Yaris tersebut turut membawa bersamanya idea ubah suai yang mungkin boleh diterapkan oleh sesiapa saja yang mahu. Maka, Theophilus Chin seperti biasa membayangkan semula imej berkenaan, tetapi pada kereta yang lebih dekat dengan masyarakat kita; apalagi kalau bukan Perodua Myvi dan Bezza. Mampukan penggayaan GR tersebut mengubah penampilan Myvi dan Bezza menjadi lebih mantap?

    Kedua-dua kereta ini menggunakan warna putih, dengan bahagian wajah depannya meminjam muka GR Yaris. Bampar depan dengan rekaan utama bersegi, lengkap dengan bukaan udara sisi melintang, nampak sangat sesuai dengan Bezza (ditambah garangnya dengan scoop di bonet). Begitu juga dengan ubah suai bahagian belakang, kedua-duanya nampak kemas. Bahagian diffuser menjadikan kereta sedan Perodua itu nampak lebih seimbang dan lebar.

    Myvi dengan tema GR ini juga mengambil pendekatan yang sama. Walaupun kurang dramatik penampilannya jika dibandingkan dengan Bezza, spoiler belakang yang dilanjutkan menjadi sentuhan penting buat Myvi. Ia juga ditunjukkan dengan bumbung hitam, dua corong ekzos, rim aloi hitam dan lencana GR. Namun, tiada angkup brek merah untuk kedua-duanya.

    Apa pandangan anda? Dapat idea baru untuk make-up kan Myvi dan Bezza dalam “baju” GR? Dan adakah ini lebih menarik berbanding penampilan Myvi GT dan Bezza dengan kit Gear Up?

     
     
  • Keiichi Tsuchiya mengaku tak suka Nissan Skyline GT-R R33, terus rasa menyesal dan jual terus lepas beli

    Ok, disebabkan perkara ini sudah berlaku lebih 20 tahun lalu, mungkin ini masanya ia diceritakan kepada umum – Drift King Keiichi Tsuchiya membuat pengakuan bahawa dia tak suka dengan Nissan Skyline GT-R R33, sehingga dia mahu kereta itu dijual secepat mungkin selepas membelinya!

    Perkara ini diceritakan oleh Keiichi Tsuchiya dalam hantaran Vlog terbaharunya di laman Youtube, ketika dia berkunjung di pusat menyewa kereta di Jepun yang menyediakan banyak kereta-kereta JDM tak kira dari model lama seperti AE86, Mazda RX-7, Honda NSX dan banyak lagi, sehinggalah kepada model paling baru seperti Toyota GR Supra dan GR Yaris.

    Namun ketika terlihat sebuah Nissan Skyline GT-R R33 di situ, dia terus membuka cerita bahawa dia betul-betul tak suka dengan model berkenaan. Dan disebabkan dia sudah tidak memandu model tersebut paling kurang pun dalam masa 10-tahun kebelakangan ini, Keiichi Tsuchiya mengambil keputusan untuk memilih kereta tersebut bagi dipandu sambil bercerita kenapa dia tidak suka dengan Skyline R33 GT-R.

    Keiichi Tsuchiya mengaku tak suka Nissan Skyline GT-R R33, terus rasa menyesal dan jual terus lepas beli

    Menurut Keiichi Tsuchiya, selepas pertama kali memandu uji model sebelum R33 iaitu Nissan Skyline GT-R R32, dia terus jatuh cinta dengan kereta tersebut dan terus mengambil keputusan untuk membelinya. Menurutnya, R32 merupakan antara kereta sport yang paling laju ketika itu dan diberikan sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro berasaskan sistem pacuan roda belakang, membolehkan ia mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi.

    Begitu juga apabila dia dijemput untuk memandu uji Skyline GT-R R33, dia turut membuat keputusan yang sama untuk terus membelinya. Namun selepas membelinya, Tsuchiya terus rasa nak jual kereta berkenaan secepat mungkin. Menurutnya, Skyline R33 GT-R ini mempunyai saiz yang terlalu besar dan lebih seakan kereta mewah dan bukan kereta sport. Dia turut pernah berkata kepada jurutera Nissan bahawa R33 bukanlah Skyline GT-R, tetapi lebih sesuai dipanggil Cedric GT-R atau Gloria GT-R (Cedric dan Gloria adalah sedan mewah dari Nissan)!

    Beliau menyatakan bahawa saiz R33 yang terlalu besar dan berat membuatkan ia tidak selincah R32, dan tempat duduk belakangnya juga sangat selesa untuk membawa penumpang kerana saiznya yang sama seperti sedan biasa. Malah R33 dihasilkan dengan kedapan bunyi lebih bagus – memang ia akan membuatkan anda lebih selesa, tapi Tsuchiya merasakan ia membuatkan kereta tersebut rasa lebih ‘jinak’ kerana bunyi enjin RB26DETT tersebut tidak kedengaran jelas dalam kabin.

    Keiichi Tsuchiya mengaku tak suka Nissan Skyline GT-R R33, terus rasa menyesal dan jual terus lepas beli

    Persoalannya, kalau dah tak suka, kenapa Keiichi Tsuchiya beli kereta tersebut selepas memandu uji? Menurut pelumba lagenda berkenaan, unit yang diberikan oleh Nissan ketika dipandu uji adalah tidak sama dengan yang diterima selepas dibeli. R33 yang diuji tersebut adalah sangat laju, dan model sebenar yang dijual tidak laju seperti itu.

    Dalam video tersebut, Tsuchiya turut bercerita bahawa R33 bukanlah sebuah model yang hangat ketika era ianya dijual dan ia masih dibayangi oleh kehebatan R32. Dan sebab itu ketika Nissan memperkenalkan model generasi seterusnya iaitu Skyline GT-R R34, ia kembali dihasilkan dalam saiz yang lebih kecil seperti R32.

    Walau bagaimanapun, Keiichi Tsuchiya turut menyatakan dia okey dengan R33 sekarang walaupun mempunyai pengalaman pahit dengan kereta tersebut. Ini kerana R33 antara model yang semakin naik harganya kerana diburu oleh pengumpul kereta dari seluruh dunia, dan R33 bersama RB26DETT dalam perut kereta tersebut masih mewakili Jepun.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

    PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

    Untuk tahun 2020 yang akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, dengan segala macam cabaran dan situasi yang tidak menyebelahi kita, suasana perkembangan dunia automotif tetap menyaksikan beberapa pengenalan model baru yang signifikan untuk pasaran tempatan.

    Walapun dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membantutkan banyak perkara, tak keterlaluan sekiranya kita menandai tahun ini sebagai sebuah tahun yang “rancak” juga dalam erti kata pengenalan model-model baru — mungkin bukan dari sudut jumlah, tetapi dari sudut kesannya terhadap pasaran massa. Membeli — apa saja, bukan hanya kenderaan — tak pernah menjadi lebih penting berbanding tahun ini, bertujuan untuk menggerakkan semula ekonomi kita kesan daripada penularan pandemik.

    Volkswagen Malaysia tidak ketinggalan dalam “pertempuran” ini. Dan, seperti yang sudah kita sedia maklum, jenama ini pada Ogos lalu memperkenalkan dua model yang tak kalah menarik, sebuah coupe premium Volkswagen Arteon dan sebuah lagi SUV crossover keluarga dengan aspirasi sport, Tiguan AllSpace. Terbaru, awal bulan ini juga, versi Arteon R-Line 4Motion pula diperkenalkan secara rasmi di sini.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Aston Martin lancar 10 model baru dalam masa 2 tahun

    Aston Martin lancar 10 model baru dalam masa 2 tahun

    CEO Aston Martin Tobias Moers mendedahkan syarikatnya bakal melancarkan 10 model baharu yang dipertingkatkan daripada model sedia ada dalam masa dua tahun akan datang. Moers memberitahu Financial Times, model yang paling menjadi keutamaannya, DBX, dijangka akan menerima varian elektrifikasi.

    Menurut laporan terbabit, penjana kuasa elektrifikasi akan dibekalkan oleh Mercedes-Benz, yang turut mempunyai kepentingan dalam Aston Martin. Walau bagaimana pun, pengeluar kereta Britain ini merancang untuk membangunkan penjana kuasa sendiri berbanding menggunakan unit sedia ada. Moers turut berkata beliau memfokuskan pembangunan kejuruteraan dalaman, dan merancang untuk merancakkan lagi bahagian kejurutereraan yang berpusat di Nürburgring.

    Mengenai nasib enjin V12, Moers memberitahu FT, mereka sedang berjuang untuk terus kekal. Pematuhan Euro 7 cukup payah untuk dipenuhi, dan semua pengeluar kereta berhadapan dengan kesukaran untuk mematuhinya. Walau bagaimana pun, enjin V12 mungkin akan digunakan untuk generasi yang lain, dan Moers merancang untuk melakukannya bagi pencinta enjin berkenaan di seluruh dunia.

    Sementara itu, laporan The Times menyebut, pengerusi syarikat Lawrence Stroll kini sedang mencari jalan untuk memotong kos kerana buat masa ini Aston Martin telah pun mempunyai dua kilang. Seperti yang diketahui, DBX dikeluarkan di kilang baharu St Athan yang terletak di Wales, sementara kereta sport sedia ada pula diproduksi di Gaydon. Stroll juga berasa kurang gembira dengan penyusunan operasi kilang dan mungkin akan memindahkan operasi mengecat ke fasiliti St Athan. Setakat ini, Aston Martin tiada perancangan untuk menutup mana-mana kilangnya.

     
     
  • Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Seperti yang semua tahu, Proton X50 adalah produk rebadge dari Geely Binyue. Namun proses berkenaan tidak semudah hanya menukar gril, tetapi ia melibatkan kejuruteraan semula kerana Geely Binyue hanya dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri, dan Proton akan menjual SUV segmen-B ini dalam pasaran pemanduan sebelah kanan secara global.

    Proses penukaran posisi pemanduan ini juga bukan tugas yang senang, terutamanya apabila berkaitan dengan keselamatan kerana hasil ujian pelanggaran untuk dua versi ini tidak akan sama. Malah Binyue hanya diuji dalam ujian pelanggaran C-NCAP di China, manakala Proton X50 perlu melalui ujian ASEAN NCAP yang menyenaraikan penilaian berbeza untuk mencapai keputusan lima-bintang.

    Dan tahukah anda, bagi memastikan Proton X50 turut mencapai keputusan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP seperti Geely Binyue memperolehi keputusan lima-bintang dalam C-NCAP, Proton mempunyai pasukan jurutera yang diketuai oleh seorang wanita? Individu berkenaan adalah Zanita Zainudin, Ketua Keselamatan dan Pemanduan Pintar Proton yang tidak lokek untuk memperincikan apa yang pasukannya buat untuk mencapai sasaran berkenaan.

    “Proton sentiasa menekankan aspek keselamatan sebagai salah satu kelebihan yang unik berbanding pesaing tanpa mengira ia dihasilkan untuk negara atau platform mana sekalipun. Jadi tidak hairan, bahawa kami terus mencabar diri sendiri bagi membolehkan DNA tersebut diteruskan menerusi barisan model kami, sama ada kereta yang dihasilkan secara tempatan atau dengan kerjasama bersama rakan kami Geely,” kata Zanita.

    Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Menurut Zanita, ketika ujian pelanggaran awalan yang dibuat pada Proton X50 dengan kedudukan pemandu sebelah kanan, mereka mendapati bahawa lantai hadapan SUV tersebut akan koyak dan perkara ini sudah tentu akan menyebabkan X50 gagal dalam ujian ASEAN NCAP kelak.

    Jadi, jurutera Proton perlu melakukan proses kejuruteraan semula dengan membuat semula rekaan bagi menggunakan logam ultra kuat untuk membolehkan tenaga dari impak tersebut dialirkan ke bahagian lain badan kereta berkenaan yang tidak akan mencederakan penumpang. Secara keseluruhan, 40% dari badan termasuk bahagian hadapan, sisi dan belakang Proton X50 ini dibina dari kombinasi pelbagai jenis logam berkekuatan tinggi.

    Tak kira dalam versi pemanduan sebelah mana sekalipun, kedudukan enjin pada kerangka Binyue dan X50 ini adalah kekal pada sebelah kanan. Jadi sudah tentu untuk X50, ada aspek yang tentu akan menjejaskan pemandu kerana faktor ini. Antara yang pasukan jurutera Proton temui adalah bahagian perehat kaki yang mungkin akan menyebabkan kecederaan sekiranya ia hanya semata-mata dipindahkan tanpa membuat sebarang perubahan pada rekaan.

    Justeru, perehat kaki yang terletak pada sebelah kiri pedal brek berkenaan telah dibuat pengubahsuaian bagi memastikan ia kekal ditempatnya ketika pelanggaran berlaku dan tidak mencederakan kaki pemandu.

    Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Mungkin ramai yang menyangka semua kriteria yang disyaratkan oleh C-NCAP adalah lebih ketat dari ASEAN NCAP bukan? Namun menurut Zanita, untuk beg udara tirai (pada bahagian tingkap sisi), ASEAN NCAP bukan hanya mensyaratkan ia hanya perlu ada, malah badan untuk rantau Asia Tenggara tersebut turut mahukan beg udara berkenaan untuk melindungi bahagian-bahagian tertentu pada badan penumpang/pemandu.

    Oleh itu, Proton perlu mengubah kedudakan beg udara tirai berkenaan berlainan dari apa yang dibuat oleh jurutera Geely pada Binyue. Secara keseluruhan, rekaan semula yang dibuat oleh Proton tersebut menghasilkan keputusan ujian yang lebih baik dan ia akan digunakan oleh Geely dalam produk-produk mereka pada masa depan.

    Satu lagi aspek penilaian yang ada pada ASEAN-NCAP dan tiada pada C-NCAP adalah penilaian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP). Disebabkan adanya penilaian ini, aspek untuk perlindungan kanak-kanak juga perlu dikaji semula untuk mentransformasikan Geely Binyue kepada Proton X50.

    Hasilnya, Proton X50 menampilkan rekaan cangkuk Isofix tempat duduk keselamatan yang lebih panjang bagi memudahkan ia dipasang, serta sudut kedudukan tempat duduk tersebut juga diubah bagi memastikan ia lebih selamat dan lulus penilaian COP dengan markah lebih baik.

    Apa yang menarik, C-NCAP mungkin akan memperkenalkan penilaian COP yang sama pada 2021, dan rekaan semula yang dibuat oleh Proton ini akan turut digunakan oleh Geely Binyue di China.

    Walau bagaimanapun, Zanita menerangkan bahawa ada satu fungsi keselamatan dari Geely Binyue tidak dapat diadaptasi kepada Proton X50. Ia adalah salah satu fungsi pada sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), iaitu Fungsi Informasi Had Kelajuan (SLIF). Sistem ini berfungsi untuk memberitahu had laju yang ditetapkan pada satu-satu jalan kepada pemandu berdasarkan papan tanda trafik yang dipacak di tepi jalan.

    Ia tidak dapat dipadankan terus kepada X50 kerana sistem tersebut dihasilkan untuk membaca papan tanda di China yang sememangnya berbeza dengan papan tanda dan bahasa di Malaysia. Proton tidak dapat menawarkan fungsi ini yang disesuaikan untuk kegunaan di Malaysia kerana kekangan masa memandangkan X50 perlu segera dilancarkan dalam pasaran tempatan.

    Walau bagaimanapun, fungsi ini tidak akan dibiarkan begitu sahaja kerana Proton akan membuat adaptasi tersebut dan akan menggunakannya pada model-model akan datang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024