Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Perodua Myvi dan Bezza dalam penampilan agresif GR

    Toyota GR Yaris yang baru dilancarkan minggu lalu banyak menjadi buah mulut orang ramai. Walaupun harganya agak tinggi – ini sesuailah dengan prestasi dan penawaran yang diberikan – mungkin ramai yang inginkan kereta ini tetap hanya mampu untuk membayangkannya sahaja. Untuk miliki, itu mungkin hal lain sama sekali.

    Tetapi, penampilan GR Yaris tersebut turut membawa bersamanya idea ubah suai yang mungkin boleh diterapkan oleh sesiapa saja yang mahu. Maka, Theophilus Chin seperti biasa membayangkan semula imej berkenaan, tetapi pada kereta yang lebih dekat dengan masyarakat kita; apalagi kalau bukan Perodua Myvi dan Bezza. Mampukan penggayaan GR tersebut mengubah penampilan Myvi dan Bezza menjadi lebih mantap?

    Kedua-dua kereta ini menggunakan warna putih, dengan bahagian wajah depannya meminjam muka GR Yaris. Bampar depan dengan rekaan utama bersegi, lengkap dengan bukaan udara sisi melintang, nampak sangat sesuai dengan Bezza (ditambah garangnya dengan scoop di bonet). Begitu juga dengan ubah suai bahagian belakang, kedua-duanya nampak kemas. Bahagian diffuser menjadikan kereta sedan Perodua itu nampak lebih seimbang dan lebar.

    Myvi dengan tema GR ini juga mengambil pendekatan yang sama. Walaupun kurang dramatik penampilannya jika dibandingkan dengan Bezza, spoiler belakang yang dilanjutkan menjadi sentuhan penting buat Myvi. Ia juga ditunjukkan dengan bumbung hitam, dua corong ekzos, rim aloi hitam dan lencana GR. Namun, tiada angkup brek merah untuk kedua-duanya.

    Apa pandangan anda? Dapat idea baru untuk make-up kan Myvi dan Bezza dalam “baju” GR? Dan adakah ini lebih menarik berbanding penampilan Myvi GT dan Bezza dengan kit Gear Up?

     
     
  • Keiichi Tsuchiya mengaku tak suka Nissan Skyline GT-R R33, terus rasa menyesal dan jual terus lepas beli

    Ok, disebabkan perkara ini sudah berlaku lebih 20 tahun lalu, mungkin ini masanya ia diceritakan kepada umum – Drift King Keiichi Tsuchiya membuat pengakuan bahawa dia tak suka dengan Nissan Skyline GT-R R33, sehingga dia mahu kereta itu dijual secepat mungkin selepas membelinya!

    Perkara ini diceritakan oleh Keiichi Tsuchiya dalam hantaran Vlog terbaharunya di laman Youtube, ketika dia berkunjung di pusat menyewa kereta di Jepun yang menyediakan banyak kereta-kereta JDM tak kira dari model lama seperti AE86, Mazda RX-7, Honda NSX dan banyak lagi, sehinggalah kepada model paling baru seperti Toyota GR Supra dan GR Yaris.

    Namun ketika terlihat sebuah Nissan Skyline GT-R R33 di situ, dia terus membuka cerita bahawa dia betul-betul tak suka dengan model berkenaan. Dan disebabkan dia sudah tidak memandu model tersebut paling kurang pun dalam masa 10-tahun kebelakangan ini, Keiichi Tsuchiya mengambil keputusan untuk memilih kereta tersebut bagi dipandu sambil bercerita kenapa dia tidak suka dengan Skyline R33 GT-R.

    Keiichi Tsuchiya mengaku tak suka Nissan Skyline GT-R R33, terus rasa menyesal dan jual terus lepas beli

    Menurut Keiichi Tsuchiya, selepas pertama kali memandu uji model sebelum R33 iaitu Nissan Skyline GT-R R32, dia terus jatuh cinta dengan kereta tersebut dan terus mengambil keputusan untuk membelinya. Menurutnya, R32 merupakan antara kereta sport yang paling laju ketika itu dan diberikan sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro berasaskan sistem pacuan roda belakang, membolehkan ia mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi.

    Begitu juga apabila dia dijemput untuk memandu uji Skyline GT-R R33, dia turut membuat keputusan yang sama untuk terus membelinya. Namun selepas membelinya, Tsuchiya terus rasa nak jual kereta berkenaan secepat mungkin. Menurutnya, Skyline R33 GT-R ini mempunyai saiz yang terlalu besar dan lebih seakan kereta mewah dan bukan kereta sport. Dia turut pernah berkata kepada jurutera Nissan bahawa R33 bukanlah Skyline GT-R, tetapi lebih sesuai dipanggil Cedric GT-R atau Gloria GT-R (Cedric dan Gloria adalah sedan mewah dari Nissan)!

    Beliau menyatakan bahawa saiz R33 yang terlalu besar dan berat membuatkan ia tidak selincah R32, dan tempat duduk belakangnya juga sangat selesa untuk membawa penumpang kerana saiznya yang sama seperti sedan biasa. Malah R33 dihasilkan dengan kedapan bunyi lebih bagus – memang ia akan membuatkan anda lebih selesa, tapi Tsuchiya merasakan ia membuatkan kereta tersebut rasa lebih ‘jinak’ kerana bunyi enjin RB26DETT tersebut tidak kedengaran jelas dalam kabin.

    Keiichi Tsuchiya mengaku tak suka Nissan Skyline GT-R R33, terus rasa menyesal dan jual terus lepas beli

    Persoalannya, kalau dah tak suka, kenapa Keiichi Tsuchiya beli kereta tersebut selepas memandu uji? Menurut pelumba lagenda berkenaan, unit yang diberikan oleh Nissan ketika dipandu uji adalah tidak sama dengan yang diterima selepas dibeli. R33 yang diuji tersebut adalah sangat laju, dan model sebenar yang dijual tidak laju seperti itu.

    Dalam video tersebut, Tsuchiya turut bercerita bahawa R33 bukanlah sebuah model yang hangat ketika era ianya dijual dan ia masih dibayangi oleh kehebatan R32. Dan sebab itu ketika Nissan memperkenalkan model generasi seterusnya iaitu Skyline GT-R R34, ia kembali dihasilkan dalam saiz yang lebih kecil seperti R32.

    Walau bagaimanapun, Keiichi Tsuchiya turut menyatakan dia okey dengan R33 sekarang walaupun mempunyai pengalaman pahit dengan kereta tersebut. Ini kerana R33 antara model yang semakin naik harganya kerana diburu oleh pengumpul kereta dari seluruh dunia, dan R33 bersama RB26DETT dalam perut kereta tersebut masih mewakili Jepun.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

    PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

    Untuk tahun 2020 yang akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, dengan segala macam cabaran dan situasi yang tidak menyebelahi kita, suasana perkembangan dunia automotif tetap menyaksikan beberapa pengenalan model baru yang signifikan untuk pasaran tempatan.

    Walapun dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membantutkan banyak perkara, tak keterlaluan sekiranya kita menandai tahun ini sebagai sebuah tahun yang “rancak” juga dalam erti kata pengenalan model-model baru — mungkin bukan dari sudut jumlah, tetapi dari sudut kesannya terhadap pasaran massa. Membeli — apa saja, bukan hanya kenderaan — tak pernah menjadi lebih penting berbanding tahun ini, bertujuan untuk menggerakkan semula ekonomi kita kesan daripada penularan pandemik.

    Volkswagen Malaysia tidak ketinggalan dalam “pertempuran” ini. Dan, seperti yang sudah kita sedia maklum, jenama ini pada Ogos lalu memperkenalkan dua model yang tak kalah menarik, sebuah coupe premium Volkswagen Arteon dan sebuah lagi SUV crossover keluarga dengan aspirasi sport, Tiguan AllSpace. Terbaru, awal bulan ini juga, versi Arteon R-Line 4Motion pula diperkenalkan secara rasmi di sini.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Aston Martin lancar 10 model baru dalam masa 2 tahun

    Aston Martin lancar 10 model baru dalam masa 2 tahun

    CEO Aston Martin Tobias Moers mendedahkan syarikatnya bakal melancarkan 10 model baharu yang dipertingkatkan daripada model sedia ada dalam masa dua tahun akan datang. Moers memberitahu Financial Times, model yang paling menjadi keutamaannya, DBX, dijangka akan menerima varian elektrifikasi.

    Menurut laporan terbabit, penjana kuasa elektrifikasi akan dibekalkan oleh Mercedes-Benz, yang turut mempunyai kepentingan dalam Aston Martin. Walau bagaimana pun, pengeluar kereta Britain ini merancang untuk membangunkan penjana kuasa sendiri berbanding menggunakan unit sedia ada. Moers turut berkata beliau memfokuskan pembangunan kejuruteraan dalaman, dan merancang untuk merancakkan lagi bahagian kejurutereraan yang berpusat di Nürburgring.

    Mengenai nasib enjin V12, Moers memberitahu FT, mereka sedang berjuang untuk terus kekal. Pematuhan Euro 7 cukup payah untuk dipenuhi, dan semua pengeluar kereta berhadapan dengan kesukaran untuk mematuhinya. Walau bagaimana pun, enjin V12 mungkin akan digunakan untuk generasi yang lain, dan Moers merancang untuk melakukannya bagi pencinta enjin berkenaan di seluruh dunia.

    Sementara itu, laporan The Times menyebut, pengerusi syarikat Lawrence Stroll kini sedang mencari jalan untuk memotong kos kerana buat masa ini Aston Martin telah pun mempunyai dua kilang. Seperti yang diketahui, DBX dikeluarkan di kilang baharu St Athan yang terletak di Wales, sementara kereta sport sedia ada pula diproduksi di Gaydon. Stroll juga berasa kurang gembira dengan penyusunan operasi kilang dan mungkin akan memindahkan operasi mengecat ke fasiliti St Athan. Setakat ini, Aston Martin tiada perancangan untuk menutup mana-mana kilangnya.

     
     
  • Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Seperti yang semua tahu, Proton X50 adalah produk rebadge dari Geely Binyue. Namun proses berkenaan tidak semudah hanya menukar gril, tetapi ia melibatkan kejuruteraan semula kerana Geely Binyue hanya dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri, dan Proton akan menjual SUV segmen-B ini dalam pasaran pemanduan sebelah kanan secara global.

    Proses penukaran posisi pemanduan ini juga bukan tugas yang senang, terutamanya apabila berkaitan dengan keselamatan kerana hasil ujian pelanggaran untuk dua versi ini tidak akan sama. Malah Binyue hanya diuji dalam ujian pelanggaran C-NCAP di China, manakala Proton X50 perlu melalui ujian ASEAN NCAP yang menyenaraikan penilaian berbeza untuk mencapai keputusan lima-bintang.

    Dan tahukah anda, bagi memastikan Proton X50 turut mencapai keputusan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP seperti Geely Binyue memperolehi keputusan lima-bintang dalam C-NCAP, Proton mempunyai pasukan jurutera yang diketuai oleh seorang wanita? Individu berkenaan adalah Zanita Zainudin, Ketua Keselamatan dan Pemanduan Pintar Proton yang tidak lokek untuk memperincikan apa yang pasukannya buat untuk mencapai sasaran berkenaan.

    “Proton sentiasa menekankan aspek keselamatan sebagai salah satu kelebihan yang unik berbanding pesaing tanpa mengira ia dihasilkan untuk negara atau platform mana sekalipun. Jadi tidak hairan, bahawa kami terus mencabar diri sendiri bagi membolehkan DNA tersebut diteruskan menerusi barisan model kami, sama ada kereta yang dihasilkan secara tempatan atau dengan kerjasama bersama rakan kami Geely,” kata Zanita.

    Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Menurut Zanita, ketika ujian pelanggaran awalan yang dibuat pada Proton X50 dengan kedudukan pemandu sebelah kanan, mereka mendapati bahawa lantai hadapan SUV tersebut akan koyak dan perkara ini sudah tentu akan menyebabkan X50 gagal dalam ujian ASEAN NCAP kelak.

    Jadi, jurutera Proton perlu melakukan proses kejuruteraan semula dengan membuat semula rekaan bagi menggunakan logam ultra kuat untuk membolehkan tenaga dari impak tersebut dialirkan ke bahagian lain badan kereta berkenaan yang tidak akan mencederakan penumpang. Secara keseluruhan, 40% dari badan termasuk bahagian hadapan, sisi dan belakang Proton X50 ini dibina dari kombinasi pelbagai jenis logam berkekuatan tinggi.

    Tak kira dalam versi pemanduan sebelah mana sekalipun, kedudukan enjin pada kerangka Binyue dan X50 ini adalah kekal pada sebelah kanan. Jadi sudah tentu untuk X50, ada aspek yang tentu akan menjejaskan pemandu kerana faktor ini. Antara yang pasukan jurutera Proton temui adalah bahagian perehat kaki yang mungkin akan menyebabkan kecederaan sekiranya ia hanya semata-mata dipindahkan tanpa membuat sebarang perubahan pada rekaan.

    Justeru, perehat kaki yang terletak pada sebelah kiri pedal brek berkenaan telah dibuat pengubahsuaian bagi memastikan ia kekal ditempatnya ketika pelanggaran berlaku dan tidak mencederakan kaki pemandu.

    Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

    Mungkin ramai yang menyangka semua kriteria yang disyaratkan oleh C-NCAP adalah lebih ketat dari ASEAN NCAP bukan? Namun menurut Zanita, untuk beg udara tirai (pada bahagian tingkap sisi), ASEAN NCAP bukan hanya mensyaratkan ia hanya perlu ada, malah badan untuk rantau Asia Tenggara tersebut turut mahukan beg udara berkenaan untuk melindungi bahagian-bahagian tertentu pada badan penumpang/pemandu.

    Oleh itu, Proton perlu mengubah kedudakan beg udara tirai berkenaan berlainan dari apa yang dibuat oleh jurutera Geely pada Binyue. Secara keseluruhan, rekaan semula yang dibuat oleh Proton tersebut menghasilkan keputusan ujian yang lebih baik dan ia akan digunakan oleh Geely dalam produk-produk mereka pada masa depan.

    Satu lagi aspek penilaian yang ada pada ASEAN-NCAP dan tiada pada C-NCAP adalah penilaian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP). Disebabkan adanya penilaian ini, aspek untuk perlindungan kanak-kanak juga perlu dikaji semula untuk mentransformasikan Geely Binyue kepada Proton X50.

    Hasilnya, Proton X50 menampilkan rekaan cangkuk Isofix tempat duduk keselamatan yang lebih panjang bagi memudahkan ia dipasang, serta sudut kedudukan tempat duduk tersebut juga diubah bagi memastikan ia lebih selamat dan lulus penilaian COP dengan markah lebih baik.

    Apa yang menarik, C-NCAP mungkin akan memperkenalkan penilaian COP yang sama pada 2021, dan rekaan semula yang dibuat oleh Proton ini akan turut digunakan oleh Geely Binyue di China.

    Walau bagaimanapun, Zanita menerangkan bahawa ada satu fungsi keselamatan dari Geely Binyue tidak dapat diadaptasi kepada Proton X50. Ia adalah salah satu fungsi pada sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), iaitu Fungsi Informasi Had Kelajuan (SLIF). Sistem ini berfungsi untuk memberitahu had laju yang ditetapkan pada satu-satu jalan kepada pemandu berdasarkan papan tanda trafik yang dipacak di tepi jalan.

    Ia tidak dapat dipadankan terus kepada X50 kerana sistem tersebut dihasilkan untuk membaca papan tanda di China yang sememangnya berbeza dengan papan tanda dan bahasa di Malaysia. Proton tidak dapat menawarkan fungsi ini yang disesuaikan untuk kegunaan di Malaysia kerana kekangan masa memandangkan X50 perlu segera dilancarkan dalam pasaran tempatan.

    Walau bagaimanapun, fungsi ini tidak akan dibiarkan begitu sahaja kerana Proton akan membuat adaptasi tersebut dan akan menggunakannya pada model-model akan datang.

     
     
  • Yamaha MT-125 pasaran Eropah dapat brek radial

    Yamaha MT-125 pasaran Eropah dapat brek radial

    Pasaran Malaysia baru sahaja menerima kedatangan Yamaha MT-15 bulan lalu, tetapi di Eropah, model sama yang dijual sebagai MT-125 (kapasiti enjin dikurangkan untuk memadankannya dengan kelas lesen) telah diberi peningkatan bagi model yang terbaru.

    Pilihan warna dan grafik sudah tertentu berubah, iaitu ada tiga untuk model baru ini, tetapi peningkatan yang lebih menarik adalah pada bahagian brek. Model naked permulaan ini mendapat angkup brek jenis radial serta cakera 292 mm di hadapan.

    Jika dibandingkan dengan MT-15 yang berada dalam pasaran lain, angkup breknya berada di sebelah kanan roda, dan menggunakan cakera bersaiz 282 mm serta angkup yang dipasang secara axial. Rekaan rim juga nampak sedikit berlainan.

    Melihat kepada spesifikasi, MT-125 pasaran Eropah juga dipertingkat dengan tangki bahan api yang lebih besar iaitu 11 liter berbanding 10 liter pada MT-15. Akibat daripada semua peningkatan ini, berat MT-125 bertambah menjadi 142 kg berbanding 133 kg bagi MT-15.

    Untuk enjin, MT-125 menggunakan unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 124 cc bersama gabungan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 14.8 hp pada 10,000 rpm dan 11.5 Nm tork pada 8,000 rpm. MT-15 pula menggunakan enjin 155 cc dan mampu menghasilkan kuasa 19 hp dan 14.7 Nm tork.

     
     
  • ANIH saran pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 24-27 Dis sempena Krismas

    ANIH saran pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 24-27 Dis sempena Krismas

    Pasti ramai yang sudah merancang untuk pulang ke kampung halaman atau pun bercuti di destinasi pilihan pada hujung minggu ini dan mungkin bersambung hingga ke minggu hadapan. Dan seperti biasa, pastinya lebuhraya-lebuhraya utama di negara ini bakal mengalami kesesakan khususnya pada waktu puncak.

    Justeru, bagi pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, pemegang konsesinya, ANIH Berhad, menyarankan pengguna lebuh raya ke Pantai Timur merancang perjalanan bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

    Menurut Pengarah Eksekutifnya Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, kedua-dua lebuh raya dijangka mengalami waktu puncak mulai 6 pagi hingga 11 malam pada Khamis (24 Dis) bagi perjalanan ke Pantai Timur dan antara 6 pagi hingga 12 tengah malam Ahad (27 Dis) bagi laluan ke Kuala Lumpur, laporan Bernama.

    “Pihak ANIH Berhad telah menyediakan jadual cadangan waktu perjalanan sebagai rujukan pengguna untuk ke Pantai Timur bagi membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan jumlah kenderaan terlalu banyak di plaza tol pada waktu sama,” katanya.

    ANIH saran pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 24-27 Dis sempena Krismas

    Tambahnya lagi, mereka yang ingin ke Pahang pada 24 Dis disaran memasuki lebuh raya antara 12 tengah hari hingga 4 petang atau 7 malam hingga 11 malam manakala bagi individu ke Terengganu atau Kelantan disaran memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.

    “Manakala bagi perjalanan ke ibu kota pada 27 Dis (Ahad), pengguna dari Pahang disaran memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau antara 7 malam hingga 11 malam manakala dari Terengganu disarankan masuk ke lebuh raya antara 8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam.

    Pengguna dari Kelantan pula dinasihatkan memasuki lebuh raya antara 6 petang hingga 9 malam atau 11 malam hingga 12 tengah malam,” tambahnya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati pengguna lebuh raya untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi. Selain itu, pengguna juga diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19, khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Hentian Sebelah.

     
     
  • SsangYong Motor bakal bankrap dibebani hutang

    SsangYong Motor bakal bankrap dibebani hutang

    Walaupun Hyundai dan Kia kini antara pengeluar yang benar-benar berjaya, namun nampaknya nasib satu lagi jenama automotif Korea iaitu SsangYong tidak begitu baik. Syarikat tersebut telah membuat permohonan bankrap setelah gagal untuk membayar semula pinjaman yang bernilai sekitar 60 bilion won (RM219.8 juta), lapor Reuters.

    Menurut SsangYong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, langkah untuk membuat permohonan bankrap berkenaan dijangka bakal menyebabkan operasinya terjejas teruk. Syarikat tersebut turut menjelaskan tindakan ini dibuat setelah tidak lagi dapat memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman mereka dengan bank luar.

    SsangYong berhutang sebanyak 30 bilion won (RM110 juta) kepada Bank of America, 20 bilion (RM73.2 juta) dengan JP Morgan Chase dan juga 10 bilion won (RM36.6 juta) dengan BNP Paribas.

    Pengeluar automotif India, Mahindra & Mahindra yang kini memegang sebanyak 74.65% kepentingan dalam SsangYong minggu lepas telah menyatakan bahawa tarikh akhir pembayaran hutang-hutang berkenaan adalah pada 14 Disember lalu. Mahindra telah menyelamatkan SsangYong dari insolvensi dengan satu perjanjian pada 2010, namun tidak berjaya untuk mengembalikan jenama Korea tersebut bagi menghasilkan keuntungan.

    SsangYong Motor bakal bankrap dibebani hutang

    Sebelum ini Mahindra turut pernah menyatakan bahawa mereka akan menyuntik dana sejumlah US$423 juta (RM1.7 bilion) kepada SsangYong bagi membolehkan ia membuat keuntungan pada 2022, namun pandemik Covid-19 telah menjejaskan rancangan tersebut.

    April lalu, Mahindra menyatakan bahawa mereka tidak lagi akan membuat pelaburan dalam SsangYong, dan telah meminta jenama Korea tersebut untuk mencari pelabur lain. Kemudian pada Jun, Mahindra membuat kenyataan bahawa mereka mahu menjual kepntingannya dalam SsangYong dan mencari pembeli yang sanggup.

    SsangYong mencatatkan jualan yang merudum apabila hanya menjual sejumlah 96,825 kenderaan antara Januari hingga November tahun ini, 20% kurang berbanding tempoh sama pada 2019. Dalam fail bankrap tersebut, syarikat berkenaan telah memohon untuk membuat program sokongan penstrukturan automasi, yang membolehkan ia berbincang selama tiga bulan dengan pemegang kepentingan termasuk pemiutang bagi menyelesaikan isu berkenaan.

    Pada permulaan 2020, SsangYong telah merancang untuk menjual SUV Korando mereka dalam versi elektrik sepenuhnya di Eropah. Model tersebut telah pun dipamerkan di Geneva Motor Show tahun ini, namun rancangan tersebut terkubur akibat pandemik Covid-19.

     
     
  • BMW Engage kini termasuk model Premium Selection

    BMW Engage kini termasuk model Premium Selection

    BMW Engage, yang merupakan satu platform pembiayaan atas talian sudah dilancarkan sejak April lalu, dan kini, BMW Financial Services Malaysia mengumumkan bahawa ia juga boleh digunakan untuk barisan model Premium Selection.

    Bermakna, pelanggan yang mahu membeli kenderaan terpakai boleh menikmati cara yang lebih ringkas dan mudah untuk memohon serta mendapatkan kelulusan daripada pembiayaan yang mereka pilih. Platform ini juga boleh memaparkan penghitung bayaran bulanan serta mengeluarkan sebut harga.

    “Semasa BMW Engage diperkenalkan awal tahun ini, ia menunjukkan komitmen kami kepada pelanggan yang setia untuk terus memberikan Pengalaman Pemilikan Premium – tidak mengira jarak,” kata pengarah urusan BMW Group Financial Services Malaysia, Tobias Eisman.

    Sehingga 31 Disember 2020 juga, syarikat ini akan menyumbangkan RM100 untuk program subisidi BMW Safety 360 bagi setiap kontrak yang menggunakan BMW Engage. Sumbangan ini akan membantu komunitu B40 dengan memberikan harga subsidi untuk tempat duduk kanak-kanak. Maklumat lanjut berkenaan BMW Engage di sini.

     
     
  • Proton X70 ‘hype’ di Pakistan – pengedar dilapor ambil kesempatan, Al-Haj Automotive ambil berat laporan

    Proton X70 ‘hype’ di Pakistan – pengedar dilapor ambil kesempatan, Al-Haj Automotive ambil berat laporan

    Nampaknya ‘hype’ yang pada model-model SUV baharu Proton bukan hanya berlaku di Malaysia, ia turut berlaku di Pakistan setelah X70 dilancarkan pada pasaran berkenaan minggu lalu.

    Menerusi tinjaun kami di laman Facebook Proton Pakistan Club, terdapat berberapa pelanggan yang mendakwa ada pengedar yang menyatakan bahawa stok-stok sedia ada sudahpun habis ditempah, dan mereka perlu mengeluarkan bayaran tambahan bagi mendapatkan stok lebih cepat.

    Mengambil berat tentang apa yang terjadi, pemegang franchise Proton di Pakistan iaitu Al-Haj Automotive mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan bahawa sedar dengan apa yang terjadi dan memandang berat perkara tersebut.

    “Kami mengutuk sekeras-kerasnya dan tidak menggalakkan aktiviti-aktiviti seperti ‘On Money’ atau ‘Premium’ dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang didapati bersalah,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh Proton Pakistan tersebut.

    Proton X70 ‘hype’ di Pakistan – pengedar dilapor ambil kesempatan, Al-Haj Automotive ambil berat laporan

    Dalam kenyataan sama, Proton Pakistan turut memberikan nombor telefon untuk wakil mereka di Islamabad, Lahore dan Karachi bagi pelanggan membuat aduan terus mengenai salah laku tersebut.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, X70 pasaran Pakistan tidak menerima enjin 1.8 liter T-GDI seperti di Malaysia, sebaliknya diberikan enjin lebih kecil 1.5 T-GDI bagi disesuaikan dengan konfigurasi cukai di sana, membolehkan ia dijual pada harga lebih kompetitif.

    Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive AWD dan model tertinggi Premium 2WD. Buat masa ini, X70 1.5 T-GDI itu hadir dalam bentuk CBU diimport sepenuhnya dari Malaysia, dijual pada harga Rs 4,890,000 (RM123,372) untuk Executive dan Rs 5,390,000 (RM 135,987) untuk Premium.

    Ketika dilancarkan tempoh hari, Proton Pakistan turut mengumumkan bahawa X70 1.5 T-GDI dalam versi CKD dipasang di Karachi bermula sebelum separa pertama 2021 turut sudah boleh ditempah, dan ia akan dijual lebih murah bermula Rs 4,690,000 (RM118,326) untuk Executive serta Rs 4,990,000 (RM125,895).

    Proton X70 ‘hype’ di Pakistan – pengedar dilapor ambil kesempatan, Al-Haj Automotive ambil berat laporan

    Proton Pakistan juga memberikan waranti selama lima-tahun/150,000, iaitu pengeluar pertama yang menawarkan waranti sedemikian di pasaran tersebut.

    Enjin 1.5 T-GDI pada X70 pasaran Pakistan ini adalah sama dengan enjin tiga-silinder pada Proton X50 pasaran Malaysia, menghasilkan menjana 176 hp dan tork maksima 255 Nm. Ia turut digandingkan dengan transmisi yang sama iaitu kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan 7DCT.

    Dari segi penawaran kelengkapan untuk setiap varian, model pasaran Pakistan ini dilihat sama dengan versi pasaran Malaysia. Model Executive hadir dengan ciri seperti lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED, upholsteri kulit sintetik dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa, sistem infotainmen dengan fungsi “Hi, Proton” dalam bahasa inggeris (hanya untuk infotainmen dan pendingin hawa), kamera 360 darjah, sistem pemantau tekanan angin tayar dan juga rim aloi 18-inci.

    Proton X70 ‘hype’ di Pakistan – pengedar dilapor ambil kesempatan, Al-Haj Automotive ambil berat laporan

    Manakala untuk versi Premium, ia diberikan tambahan upholsteri kulit Nappa, tempat duduk penumpang hadapan larasan berkuasa, sistem “Hi Proton” untuk kawalan cermin tingkap, penderia kaki untuk pintu tailgate berkuasa, rim aloi 19-inci dan juga ciri seperti varian Premium X di Malaysia iaitu bumbung panaromik.

    Model paling tinggi ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan yang memberikan fungsi seperti Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Cruise Control Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Sistem, Pemantau Titik Buta (BLIS), Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW) dan Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC).

    Untuk warna badan pula, X70 1.5 T-GDI pasaran Pakistan ini diberikan empat pilihan yang sama seperti di Malaysia iaitu Snow White, Armour Silver, Ruby Red dan Space Gray. Tiada pilihan warna Jet Grey dan Cinnamon Brown di sana, tetapi pelanggan di Pakistan menerima satu warna unik iaitu Quartz Black, iaitu hitam yang sama seperti Saga Anniversary Edition, dan setakat ini hanya dihasilkan untuk kegunaan kerajaan Malaysia serta sejumlah kecil ditawarkan untuk orang awam.

     
     
  • Ford Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516k

    Ford Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516k

    Antara banyak kereta-kereta klasik, Ford Escort generasi pertama (Mk1) dan generasi kedua (Mk2) adalah antara model yang masih mudah untuk kita dapatkan alat gantinya. Kedua-dua model ini masih lagi aktif digunakan sebagai kereta lumba dan rali di Eropah, menyebabkan banyak pengeluar alat ganti dan peralatan prestasi masih membekalkan komponen Escort Mk1 dan Mk2 di England.

    Motorsport-tools adalah antara pengeluar berkenaan. Sebut apa sahaja peralatan, semua mereka ada termasuk menghasilkan semula kerangka badan baharu untuk Escort Mk1 dan Mk2. Dengan kemampuan yang ada tersebut, kini Motorsport-tools mewujudkan satu divisi kereta lengkap yang digelar MST Cars dan mereka menawarkan pelanggan untuk membeli model lengkap Ford Escort Mk1 dan Mk2 yang betul-betul baru keluar kilang!

    Syarikat berkenaan memberikan empat spesifikasi yang boleh pelanggan pilih untuk Ford Escort Mk1 atau Mk2 mereka iaitu Touring Road untuk kegunaan seharian, Fast Road & Track yang boleh digunakan di jalan raya dan litar, Group 4 Rally iaitu spesifikasi yang hampir kepada kereta rali Group 4 untuk WRC pada era 70’an, dan juga Ultimate Spec Rally yang kompetitif untuk perlumbaan rali moden.

    Ford Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516k

    Menurut MST, kesemua kerangka badan Ford Escort keluaran mereka ini dihasilkan dengan tangan di kilang yang terletak di Rochdale, Manchester. Kilang berkenaan dilengkapi dengan jig pemasangan kerangka badan, peralatan kimpalan terkini dan ia dihasilkan dari panel-panel Magnum asli.

    Untuk badan Escort Mk1, pelanggan boleh memilih badan biasa dengan fender flare gaya Escort Mexico atau badan lebar dengan Bubble Arch yang lebih berotot. Manakala untuk Mk2, pelanggan boleh memilih badan standard atau dalam versi badan lebar yang diberikan fender ‘Tarmac’.

    Model Group 4 Rally dan Ultimate Spec Rally akan diberikan kerangka badan lebih keras serta menampilkan cagak-cagak suspensi khas untuk perlumbaan. Ia termasuk pemadanan rollcage spesfikasi Persatuan Sukan Permotoran UK (MSA) dan FIA, sistem suspensi belakang enam hubungan, terowong transmisi lebih besar serta ruang roda bagi membolehkan suspensi dengan pergerakan turun-naik lebih jauh dipadankan.

    Ford Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516k

    Untuk suspensi, model-model untuk jalan raya akan diberikan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Manakala untuk model-model perlumbaan, MST memberikan barisan suspensi rali terkenal di Eropah dan WRC iaitu Reiger. Untuk semua jenis spesifikasi, pembeli boleh memilih pelbagai kombinasi brek dari AP Racing, dan versi-versi perlumbaan diberikan set padel box bersama pelaras nisbah brek hadapan dan belakang.

    Kesemua Ford Escort ini dibekalkan dengan rak stering tanpa bantuan kuasa. Jika anda mahukan stereng lebih ringan, MST menawarkan opsyen sistem stereng kuasa elektrik (EPS) dengan motor yang disorokkan di bawah papan pemuka. MST juga menyediakan pelbagai jenis roda stereng balutan kulit dan sued untuk dipilih pelanggan.

    Untuk kereta-kereta spesifikasi Touring Road dan Fast Road & Track, ia perlu didaftarkan pada pihak berkuasa bagi mendapatkan nombor plet untuk membolehkan ia dipandu secara sah di atas jalan raya. Kereta-kereta ini tidak melalui ujian Type Approval biasa seperti kereta baharu untuk pengeluar, sebaliknya ia menjalani ujian Individual Vehicle Approval (IVA) di Britain.

    Ford Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516kFord Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516k

    Oleh sebab itu, ketika didaftarkan ia tidak dinamakan sebagai Ford Escort, tetapi menggunakan nama ‘New MST Mk1’ dan ‘New MST Mk2’. Kerana Escort yang diproduksi semula ini juga perlu melepasi ujian pelepasan karbon seperti kereta-kereta baru lain, MST tidak menawarkan enjin-enjin ‘purba’ seperti Kent atau Pinto pada Ford British klasik, tetapi ditawarkan dengan enjin lebih moden Ford Duratec 2.5 liter.

    Enjin tersebut menampilkan spesifikasi seperti blok dan kepala silinder aloi, throttle body billet dari ATR, sistem ekzos dengan besi tahan karat dari Simpson, roda tenaga lebih ringan bersama klac tugas berat dan kotak komputer dari Life Racing, membolehkan ia menjana sekitar 200 hp.

    Untuk model-model perlumbaan yang tidak sah digunakan atas jalan raya, MST memberikan opsyen lebih agresif dengan sistem pelinciran dry-sump. Pembeli boleh memiliki Escort dengan enjin Ford BDG 2.0 liter twin cam yang menghasilkan sekitar 250 hp, dan juga enjin perlumbaan Millington Diamond 2.5 liter (sama seperti Proton Satria Neo S2500) yang menghasilkan sekitar 300 hp.

    Ford Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516kFord Escort Mk1 & Mk2 diproduksi semula oleh MST Cars – harga dari RM375k hingga lebih RM516k

    MST Cars menyediakan pelbagai konfigurasi kotak gear untuk Ford Escort yang diproduksi semula ini. Anda boleh memilih kotak gear manual dengan nisbah lima atau enam kelajuan, menggunakan set gear helical atau straight cut, serta sama ada mahukan paten penukaran secara ‘H-pattern’ konvensional atau sequential.

    Transmisi lima kelajuan akan diasaskan dari kotak gear asal Ford, manakala pilihan transmisi enam-kelajuan pula akan diasaskan dari kotak gear Mazda MX-5.

    Bagi menggerakkan roda belakang, kesemua Ford Escort keluaran MST Cars ini diberikan gandar Atlas, iaitu gandar yang kuat dipasangkan secara standard pada Ford Capri, dan turut digunakan oleh kereta-kereta rali asli Ford Group 4. Gandar tersebut turut menempatkan hab untuk pemasangan sistem brek cakera belakang, kit untuk melaras toe dan juga LSD dari Gripper Motorsport.

    Untuk bahagian dalaman, MST menawarkan pelbagai jenis tempat duduk bucket untuk kegunaan harian dan juga perlumbaan sama ada dalam gaya klasik dan moden. Anda juga boleh menjadikan kabin Ford Escort anda seperti kokpit kereta lumba mahupun seperti model asli Ford Escort.

    MST juga menawarkan pelbagai pilihan rim dari jenama seperti Minilite, Compomotive, Revolution dan Image, dalam saiz dari 13-inci sehingga 17-inci.

    Berminat? Cuba periksa dulu akaun bank anda kerana kereta-kereta ini tidak dijual murah walaupun ia adalah produksi semula dari era 60’an dan 70’an. Untuk model Touring Road ia dijual pada harga asas bermula 69,000 pound (RM375k), manakala model Fast Road & Track pula ditawarkan pada harga bermula 75,000 pound (RM408k).

    Untuk yang berminat untuk versi-versi perlumbaan, model Group 4 Rally dijual pada harga asas bermula 85,000 pound (RM462k), manakala model Ultimate Rally pula dijual pada harga asas bermula 95,000 pound (RM516k).

     
     
  • Nissan GT-R (X) Concept 2050 – gambaran model masa depan, bergerak guna kawalan minda pemandu

    Nissan GT-R (X) Concept 2050 – gambaran model masa depan, bergerak guna kawalan minda pemandu

    Kajian rekaan memang sesuatu yang sudah biasa bagi pengeluar kenderaan. Sementara banyak di antaranya cuma berakhir di atas kertas, Nissan menganggap rekaan yang satu ini agak istimewa dan menghasilkan satu prototaip bersaiz sebenar.

    Kereta konsep ini dipanggil sebagai GT-R (X) 2050 dan dihasilkan oleh seorang pelatih di pusat rekaan Nissan di La Jolla California, Jaebum “JB” Choi. Beliau menganggap kereta ini sebagai satu kemungkinan pada tahun 2050 dan seperti yang dilihat daripada namanya, adalah satu penyambung generasi bagi model prestasi GT-R.

    Dengan rekaan yang leper ini pasti ramai yang tertanya bagaimana pemandu mahu duduk di dalamnya? Kereta ini cuma boleh dinaiki oleh satu orang, dan pemandu perlu berada di dalamnya dengan kedudukan sama ada meniarap ataupun terlentang, dan tangan serta kaki didepakan seperti huruf X.

    Bukan setakat itu, pemandu juga perlu memakai satu sut khas berserta helmet apabila menaiki kereta ini, dan apabila sut ini bersambung dengan kereta, ia boleh membaca apa yang berada di dalam fikiran pemandu. Sistem pembaca minda ini diberitahu menawarkan lebih prestasi berbanding kereta autonomous sekarang.

    “JB telah membayangkan satu cara pengangkutan yang boleh dinikmati oleh manusia seperti pakaian, “boleh dipakai”, dan tidak seperti kenderaan biasa. Ini adalah satu cara pemikiran luar dari kebiasaan yang sentiasa digalakkan di NDA. Kami berbesar hati dapat membawa visi JB kepada bentuk sebenar,” kata timbalan presiden NDA, David Woodhouse.

     
     
  • Plat kenderaan OKU bakal gantikan pelekat sedia ada

    Plat kenderaan OKU bakal gantikan pelekat sedia ada

    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengumumkan pihaknya bersetuju dengan cadangan plat kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU) akan digunakan bagi menggantikan penggunaan pelekat kenderaan OKU sedia ada.

    Dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) Bilangan 1 Tahun 2020, yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun semalam, perkara tersebut telah dicadangkan dan dipersetujui kerana ia mengambil kira kepentingan dan keperluan OKU, serta waris yang memerlukan kemudahan itu disebabkan oleh limitasi mobiliti dan faktor keselamatan, laporan Bernama.

    “Cadangan ini akan membolehkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan fasiliti OKU dapat dilaksanakan secara bersepadu dan meluas oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan KPWKM itu.

    Menurut KPWKM, kategori OKU yang layak bagi penggunaan plat kenderaan itu adalah kategori Fizikal, Sub Kategori OKU Pembelajaran iaitu ‘Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) Akut, Autism Akut, OKU Kategori Pelbagai dan Waris OKU berkenaan (satu waris) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

     
     
  • Volvo M’sia lanjut waranti bateri hibrid 8-tahun/160,000 km untuk semua model PHEV yang dijual dari Dis 2015

    Volvo M’sia lanjut waranti bateri hibrid 8-tahun/160,000 km untuk semua model PHEV yang dijual dari Dis 2015

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengumumkan bakal melanjutkan waranti untuk bateri hibrid iaitu kepada lapan-tahun atau 160,000 km untuk model PHEV yang dijual di sini dari Disember 2015. Ini bermakna semua model PHEV bakal menerima manfaat dari tempoh lanjutan ini, termasuklah barisan pertama bagi XC90 T8 Twin Engine yang diperkenalkan di sini pada 3 Disember 2015.

    Sebelum ini, program lanjutan waranti bateri lapan-tahun/160,000 km hanya untuk kenderaan Volvo PHEV baharu yang didaftarkan dari 1 Januari 2020. Pengarah Urusan VCM, Nalin Jain, berkata, “Kami gembira untuk mengumumkan berita ini, liputan waranti dilanjutkan bagi pelanggan kami yang membeli mana-mana model Volvo PHEV sejak dilancarkan iaitu dari barisan pertama XC90 PHEV di Malaysia. Ini adalah cara kami menunjukkan penghargaan buat semua pelanggan.”

    Sementara itu, VCM turut memberikan hadiah mingguan untuk pelanggan yang menyertai peraduan #MYVolvoJourney. Pelanggan Volvo yang menghantar kenderaan untuk diselenggara atau dibaiki di mana-mana pusat servis bertauliah layak untuk menyertainya. Apa yang perlu dilakukan hanya menulis kisah pendek secara kreatif berkenaan pengalaman menyelenggara Volvo mereka dan menghantar penyertaan terbabit bersama bukti penyelenggaraan tersebut.

    Setiap minggu seramai 10 pemenang akan diumumkan, setiap satunya bakal menerima beg tote kulit Sandqvist yang bernilai RM2,146. Malah juga akan diumumkan tiga pemenang utama yang bakal membawa pulang beg Thule Travel bernilai RM7,753 setiap satu. Peraduan ini berlangsung dari 4 hingga 31 Disember 2020, dan pemenang mingguan akan diumumkan pada setiap hari Jumaat. Manakala pemenang utama pula akan diumumkan pada 8 Januari 2021.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    Memandangkan kita sudah boleh merentas negeri biarpun negara masih diancam dengan pandemik Covid-19, pasti ramai yang mengambil keputusan untuk pergi bercuti atau pun pulang ke kampung halaman pada hujung minggu ini. Mungkin ada yang siap sambung cuti antara Krismas (25 Disember) hingga ke 1 Januari 2021 sempena Tahun Bahru.

    Bagi yang memilih memandu sendiri dan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi ini telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di antara 22 Disember 2020 hingga 19 Januari 2021.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi. Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari.”

    Sambungnya lagi, “Sementara itu, orang ramai daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.”

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    Beliau turut berkata, pihaknya amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan yang disarankan untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, sekaligus mengurangkan kesesakan.

    “PLUS juga menjangkakan peningkatan trafik sehingga 30% atau kira-kira 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa akan menggunakan lebuh raya kendalian PLUS sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang,”jelasnya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi semua prosedur kesihatan dan keselamatan sepanjang perjalanan mereka di lebuh raya dengan memakai pelitup muka, mendaftar menerusi Aplikasi MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri.

    Malah pada setiap kali musim perayaan, PLUS juga telah mengatur pelbagai strategi untuk menghadapi peningkatan trafik dengan meningkatkan operasi lebuh raya bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa termasuk di kawasan rehat dan rawat.

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan antara 22 Dis-19 Jan sempena Krismas/cuti sekolah

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihatkan pelanggan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mereka mencukupi pada setiap masa. Terdapat kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara bagi membolehkan pelanggan lebuh raya menambah nilai kad lebih awal.

    Pelanggan lebuh raya juga disaran supaya membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi Aplikasi PLUS untuk membawa pulang makanan untuk menikmati pengalaman yang lebih mudah dan selesa ketika berhenti rehat di R&R terpilih.

    Selain itu, pemandu juga diingatkan supaya memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara pada ketika ini. “Sila pastikan kenderaan anda diselenggara dan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, sentiasa memakai tali pinggang keledar di tempat duduk depan dan belakang, tidak berhenti di lorong kecemasan sekiranya tidak perlu dan patuhi had laju ketika berada di lebuh raya.

    “Pelanggan lebuh raya PLUS boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Aplikasi PLUS, twitter @PLUSTrafik, berinteraksi secara digital menerusi Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik lebuh raya atau menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000. Mereka juga disarankan supaya menggunakan aplikasi perjalanan Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024