Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

    BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

    BMW M3 yang pertama diperkenalkan 35 tahun dulu, dan kini pengeluar dari Jerman ini mendedahkan generasi baru M3 G80 dan M4 G82. Sedan serta coupe prestasi ini mengekalkan formula peningkatan prestasi dan casis seperti sebelum ini, namun apa yang lebih menjadi perhatian adalah gril baru serba besar yang mengundang kontroversi seperti 4 Series.

    Tidak kisahlah apa yang orang kata tentang ‘gigi’ itu, prestasi dua model ini pastinya boleh membuatkan mereka senyap kerana enjin enam silinder twin turbo 3.0 liter S58 (diambil daripada X3 dan X4 M) padanya mampu menghasilkan 480 PS pada 6,250 rpm dan 550 Nm tork pada 2,650 hingga 6,130 rpm. Jumlah ini adalah hampir 50 PS dan 50 Nm lebih berkuasa berbanding model F80 dan F82 sebelum ini.

    Bahagian head enjin ini adalah lebih ringan sementara sistem suntikan terusnya pula dipertingkat hingga boleh bertahan dengan tekanan maksimum 350 bar. Ia juga mempunyai crankshaft diperkuat, sistem Valvetronic, Double Vanos dan penyejukan yang dipertingkat.

    BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

    Selain versi 480 PS/550 Nm itu, M3 dan M4 baru ini juga ditawarkan dengan pakej spesifikasi Competition yang boleh menjadikan kuasanya 510 PS pada 6,250 rpm dan 650 Nm tork antara 2,750 hingga 5,500 rpm. Model ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan sementara model 480 PS dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan.

    Pada tahun hadapan pula, M3 dan M4 versi Competition ini akan ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda M xDrive (sebagai pilihan tambahan) dan klac elektronik padanya dapat mengagihkan kuasa antara roda hadapan dan belakang, sementara Active M Differential pula mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan di belakang.

    Dalam keadaan biasa, model xDrive ini akan menggunakan pacuan roda belakang, tetapi sekiranya ada gelinciran, barulah kuasa akan disampaikan kepada roda belakang. Sistem ini juga mempunyai tetapan 4WD dan 4WD Sport (lebih kepada kuasa di roda belakang). Kalau yakin boleh mengawal kuasa ini dan mahu berseronok, anda boleh pilih mod 2WD dan menutup ciri kawalan kestabilan.

    Untuk memastikan kuasa ini dapat digunakan dengan cekap, bahagian casis serta suspensi turut dipertingkat. Subframe aluminium hadapan telah dipasang dengan pendakap tapak atas penyerap, serta pelbagai lagi besi sokongan di beberapa bahagian lain. Bahagian tengah dan belakang badan ditambah dengan crossbar serta subframe yang disambung secara terus (rigid).

    Kedua-dua M3 dan M4 mempunyai pusat graviti lebih rendah, jarak roda kiri dan kanan hadapan lebih lebar serta suspensi adaptif M secara standard. Penyerap MacPherson di hadapan dipadankan bersama wishbone dan torque arm aluminium, forged swivel bearing, bearing roda serba ringan, kinematik dengan castor lebih besar serta kingpin angle. Gandar belakang five-link model ini mendapat wishbone yang khas untuknya.

    Secara keseluruhannya, BMW mendakwa model ini menawarkan tahap stabiliti dan ketepatan tinggi, rasa stereng neutral dan peningkatan tenaga linear. Semua model datang dengan sistem stereng nisbah boleh ubah M Servotronic serta brake-by-wire dengan pilihan dua tetapan. Sistem brek yang lebih pantas dan tepat ini dipadankan bersama angkup enam piston dan cakera 380 mm di hadapan sementara brek jenis seramik karbon pula disediakan sebagai pilihan tambahan bersama cakera 400 mm.

    BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

    Seperti biasa, M3 dan M4 baru ini mendapat mod M Dynamic untuk kawalan stabiliti, sementara sistem kawalan cengkaman pula disepadukan bersama ECU dan boleh bertindak balas 10 kali lebih pantas. Sistem M Drive Professional disediakan sebagai pilihan dan ia memberi tambahan fungsi M Traction Control yang memberikan 10 tahap kemasukan berbeza, bersama pencatat masa pusingan (lap timer) dan “drift analyser”. Ciri ini diberikan secara standard untuk model Competition.

    Buat pertama kalinya, BMW menggunakan diameter berbeza untuk rim M3 dan M4, iaitu 18 inci di hadapan dan 19 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 275/40 dan 285/35. Model pacuan semua roda pula diberikan dengan rim 19 inci di hadapan, 20 di belakang, dengan tayar 275/35 dan 285/30.

    Pada bahagian dalam, ia datang terus dengan tempat duduk sport M, butang mod M pada roda stereng, butang pemula enjin merah serta tombol gear automatik yang menyala. Pembeli juga boleh mendapatkan tempat duduk bucket gentian karbon dengan lencana model yang menyala serta pelbagai kemasan lain yang dibuat daripada gentian karbon.

    GALERI: BMW M3 G80 Competition

    GALERI: BMW M4 G82 Competition

     
     
  • Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam

    Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam

    Kita sedia maklum, Proton X50 memang merupakan model yang sama dengan Geely Binyue di pasaran China. Tetapi, untuk model tersebut dijual dan menggunakan lambang Proton untuk pasaran di sini, model berkenaan perlu melalui pelbagai ujian sebelum ia diperkenalkan pasaran. Jika sebelum ini kita sudah tahu kadar penggunaan minyak bagi X50 (selain segala info yang didedahkan minggu lalu ketika sesi pra-tonton untuk media), ini ada satu lagi maklumat tambahan terbaru berkenaan model tersebut.

    Perlu difahami, Proton X50 adalah versi pertama bagi pemanduan sebelah kanan bagi Geely Binyue. Untuk itu, sama juga seperti apa yang pernah kita lihat dilakukan pada SUV X70, X50 ini turut melibatkan proses yang sama. Misalnya, jika dari segi luaran tak banyak perubahan yang dapat kita lihat perbezaannya dari Binyue melainkan rekaan gril “infinite weave”, sebenarnya X50 turut melibatkan sekitar 406 perubahan pada komponen dan kejuruteraan lainnya, untuk menjadikannya kenderaan pemanduan sebelah kanan. Kandungan tempatan pula berada pada kadar 40% ketika ini.

    Selain itu, Proton juga mendedahkan bahawa syarikat itu menggunakan sekitar 75,000 jam kerja (man hours) untuk menguji X50, dan telah menyelesaikan jarak perjalanan 1.9 juta kilometer secara keseluruhannya untuk menguji SUV tersebut. Ini, menurut Proton, menjadikan SUV ini benar-benar ditala untuk keadaan jalanraya di Malaysia. Kami dimaklumkan bahawa ia bukanlah tentang pakej penuh “Proton Ride and Handling”, sebaliknya perubahan minor terhadap model asal Binyue.

    Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam

    Kami juga ajukan soalan, kenapa masih ada unit dalam pelekat samaran X50 ini yang kelihatan, sedangkan tarikh pelancarannya sudah semakin hampir? Eksekutif program X50, Mohd Haizam Bin Ghazali mengesahkan bahawa unit ujian tersebut masih lagi meneruskan ujian jarak dan jangka panjangnya.

    Beliau juga menjelaskan walaupun pengeluaran X50 sudah bermula sejak pertengahan Ogos lalu di Tanjung Malim, Proton masih belum menamatkan kerja-kerja pembangunan untuk X50, masih ada perkara yang perlu dilakukan. Unit ujian X50 masih berada di atas jalan untuk ujian dan pemerhatian berterusan, termasuk berkaitan kualiti. Ia tidak semudah yang disangka.

    Turut disentuh dalamm acara City Preview untuk pelanggan ialah fungsi Adaptive Cruise Control – yang membolehkan kereta ini mengikut, berhenti dan mengekalkan anda dalam lorong dengan bantuan stereng – juga aktif pada kelajuan sehingga 150 km/j, sama seperti X70 Premium.

    Proton X50 ditala untuk keadaan jalan di Malaysia, ujian penuh libatkan 1.9 juta kilometer, 75,000 jam

    Varian 1.5 TGDi Flagship bagi X50 datang dengan pakej ADAS lengkap, termasuk ciri brek kecemasan autonomouos (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan mengekalkan lorong, lampu tinggi automatik dan peninjau titik buta. Turut ada ialah sistem bantuan parkir yang membolehkan kenderaan diletak secara autonomous bagi posisi parkir mengiring atau mengundur, yang mana tidak ditawarkan pada X70.

    Kami juga telah membuat liputan yang menyeluruh tentang Proton X50 ini minggu lalu. Anda boleh rujuk setiap artikel yang ada untuk maklumat lebih lanjut. Setiap gambar yang ada setakat ini, perlu diingatkan, adalah dari varian Flagship yang paling tinggi.

      Perbandingan spesifikasi setiap varian Proton X50 ialah seperti berikut:

      Proton X50 1.5T Standard 2020

      Ciri standard:

    • 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol
    • Sekitar 150 PS dan 226 Nm tork
    • DCT tujuh-kelajuan (klac basah) automatik dengan mod manual
    • Empat beg udara
    • Lampu dan DRL LED
    • Rim aloi 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • Corong pendingin hawa belakang
    • Unit infotainmen dengan skrin lapan-inci
    • Kamera undur
    • Proton X50 1.5T Executive 2020

      Tambahan:

    • Enam beg udara
    • Stereng balutan kulit
    • Lampu automatik
    • Lampu kabus depan
    • Kerusi balutan kulit
    • Proton X50 1.5T Premium 2020

      Tambahan:

    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Rim aloi 18-inci
    • Kerusi kuasa elektrik untuk pemandu
    • Unit infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

      Tambahan:

    • 1.5 liter turbocas suntikan terus tiga-silinder petrol
    • 177 PS dan 255 Nm tork
    • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
    • Warna luaran dua tona (bumbung dan tiang hitam)
    • Bumbung kaca panoramik

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

     
     
  • Dewan Negara luluskan RUU Pengangkutan Jalan 2020 – cegah individu langgar peraturan yang termaktub

    Dewan Negara luluskan RUU Pengangkutan Jalan 2020 – cegah individu langgar peraturan yang termaktub

    Pada 26 Ogos lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 seperti yang dibentang oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini. Di mana pindaan yang membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

    Semalam pula, persidangan Dewan Negara telah meluluskan RUU yang sama bagi meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia. RUU itu yang dibentangkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah, diluluskan dengan sokongan suara terbanyak ahli Dewan Negara, laporan Bernama.

    Terdahulu, Hasbi ketika menggulung perbahasan RUU tersebut berkata objektif pindaan ialah untuk menjadikan undang-undang sebagai langkah pencegahan yang menghalang seseorang melanggar peraturan.

    Secara keseluruhan, pindaan RUU itu akan mengandungi 15 fasal utama. Antara pindaan utama adalah ke atas hukuman sedia ada, membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

    Dewan Negara luluskan RUU Pengangkutan Jalan 2020 – cegah individu langgar peraturan yang termaktub

    Malah pemindaan RUU ini menumpukan tiga aspek utama iaitu pemanduan di bawah pengaruh dadah, alkohol serta secara melulu dan merbahaya. Selain itu, pindaan kesalahan bagi memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain yang dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya turut diluluskan oleh Dewan Rakyat.

    Antara kandungan pindaan lain dalam RUU ini ialah kadar alkohol yang akan ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

    RUU yang dipinda ini turut melibatkan takrifan semula kenderaan mikromobiliti, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor, selain meminda hukuman kepada denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

    Bagi Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian, jika disabit kesalahan, hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun bagi sabitan pertama.

    Dewan Negara luluskan RUU Pengangkutan Jalan 2020 – cegah individu langgar peraturan yang termaktub

    Walau bagaimana pun, pesalah juga boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun bagi sabitan berikutnya. Selain itu, tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya.

    Denda bagi kesalahan Seksyen 43 iaitu memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, dinaikkan kepada minimum RM5,000 atau maksimum RM10,000, manakala antara RM10,000 hingga RM15,000, bagi sabitan seterusnya. Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh maksimum 12 bulan dalam dua-dua keadaan.

    Seksyen 44 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun, denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahu, denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Dewan Negara luluskan RUU Pengangkutan Jalan 2020 – cegah individu langgar peraturan yang termaktub

    Seksyen 45 iaitu menjaga kenderaan di bawah pengaruh alkohol atau dadah pula akan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun, denda antara RM1,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah juga berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Seksyen 45A iaitu memandu atau menjaga kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan akan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 dan hilang kelayakan lesen minimum dua tahun, bagi sabitan pertama. Pesalah akan berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda minimum RM20,000 atau maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum lima tahun, bagi sabitan seterusnya.

    Hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 45B iaitu Ujian Nafas dan Seksyen 45C berkaitan Pengadaan Spesimen Bagi Analisis, akan dipinda kepada penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 atau maksimum RM30,000 bagi sabitan pertama. Pesalah akan dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda RM20,000 atau maksimum RM50,000, bagi sabitan seterusnya.

     
     
  • BMW M1000RR – versi prestasi yang dipertingkat secara menyeluruh, kuasa 212 hp dan tork 113 Nm

    BMW M1000RR – versi prestasi yang dipertingkat secara menyeluruh, kuasa 212 hp dan tork 113 Nm

    Sejak penghujung tahun 2018, BMW telah mula memperkenalkan aksesori tambahan dan prestasi M untuk superbike S 1000 RR (RR). Kini, semasa pelancaran dua model kereta M3 G80 dan M4 G82, orang ramai dikejutkan lagi dengan pengenalan M 1000 RR (dipanggil ringkas sebagai M RR).

    Ini adalah model M pertama yang menggunakan asas daripada S 1000 RR dan pelbagai bahagiannya dipertingkat untuk lebih prestasi. Antara yang utama adalah enjin empat silinder 999 cc padanya kini mampu menghasilkan kuasa 212 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 11,000 rpm. Enjin ini juga diberitahu mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi (13.5:1), pelbagai bahagian di dalam yang dinaik taraf, dan lebih berkuasa daripada RR pada tahap rpm antara 6,000 hingga 15,100.

    Untuk menghasilkan lebih banyak cengkaman dan memastikan kuasa dapat disampaikan ke atas jalan secara efektif sepanjang masa, panel badan motosikal ini dipasang dengan winglet gentian karbon serta penghadang angin jenis menggelembung yang lebih tinggi.

    Melalui M RR ini juga, BMW buat pertama kalinya telah memasang brek prestasi M pada motosikal, yang dibangunkan dengan pengalaman BMW Motorrad dalam dunia perlumbaan, terutamanya Superbike World Championship. Angkup brek ini menggunakan warna biru, berserta logo M dan dipadankan bersama rim gentian karbon M untuk prestasi terbaik.

    Panel instrumen TFT 6.5 inci M RR, adalah sama dengan RR tetapi ia mempunyai grafik animasi permulaan M. Kemudiannya, jika pemilik menaik taraf kepada pakej M Competition, ia boleh disambung dengan M GPS data logger dan laptrigger untuk memberikan informasi terperinci prestasi di dalam litar.

    Barangan lain yang termasuk dalam pakej M Competition adalah komponen aluminium seperti pada tempat letak kaki, lengan ayun yang lebih ringan 220 gram, rantai M Endurance serta penutup untuk tempat duduk belakang.

    BMW M1000RR – versi prestasi yang dipertingkat secara menyeluruh, kuasa 212 hp dan tork 113 Nm

    Kembali kepada bahagian enjin, antara bahagian yang dinaik taraf dan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi dan kuasanya adalah injap titanium, piston 12 gram lebih ringan, rocker arm lebih kurus dan ringan serta connecting rod titanium.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan sistem ekzos titanium 3.7 kg lebih ringan, klac anti-hopping, tujuh mod tunggangan (Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro 1-3), Dynamic Traction Control (DTC), DTC Wheelie Control, Engine Braking Control, Shift Assistant Pro (quickshifter) yang boleh diterbalikkan untuk penukaran jenis GP, bateri M serba ringan, Adaptive Cruise Control serta suspensi yang dinaik taraf dengan kinematik Full Floater Pro.

    Harga M RR masih belum didedah tetapi tentunya ia dijangka dijual pada harga lebih mahal berbanding RR yang dilengkapi dengan pakej M sebelum ini. Walaubagaimanapun, harga model yang boleh digunakan atas litar dan jalan biasa ini dijangka tidak akan melebihi HP4 Race.

     
     
  • Hyundai Sonata N-Line – rekaan penuh didedahkan

    Hyundai Sonata N-Line – rekaan penuh didedahkan

    Selepas lebih setahun Hyundai Sonata generasi terkini membuat kemunculan, akhirnya versi lebih sporty yang disebut-sebut iaitu Sonata N-Line didedahkan secara rasmi oleh jenama Korea berkenaan. Walau bagaimanapun, ini adalah pendedahan awalan tanpa disertakan sebarang perincian spesifikasi teknikal.

    Hyundai menyifatkan model ini sebagai “menjanjikan pengalaman yang membuatkan nadi berdegup laju di dalam sedan dengan rupa paling hangat di jalan raya buat masa sekarang”. Seperti yang anda boleh lihat, rupa Sonata yang sememangnya sudah kacak ini, diberikan penggayaan yang lebih agresif.

    Gril Cascading pada model ini diberikan kemasan hitam bersama lencana N-Line, manakala liang udara sisi pada bampar dihasilkan lebih besar dengan elemen rekaan kemasan seperti mata anak panah, bersama gril bawah juga lebih besar dari versi biasa.

    Hyundai Sonata N-Line – rekaan penuh didedahkan

    Lencana N-Line juga dilekatkan pada kedua-dua belah fender hadapan, dan penampilan bahagian sisi ini menerima rupa lebih garang menerusi pemadanan rim 19-inci istimewa N-Line dibalut tayar UHP berprofil rendah 245/40R19.

    Sekali tengok, belakang Sonata N-Line ini nampak sama dengan versi standard. Tetapi jika anda lihat dengan teliti, ia diberikan sepasang tip ekzos tambahan menjadi empat corong ekzos kelihatan pada bahagian diffuser di bawah bampar.

    Rupa bahagian kabin juga masih kelihatan sama dengan Sonata standard, namun ia diberikan perincian-perincian N-Line yang tersendiri seperti tempat duduk sport dan roda stereng N-line, serlahan jahitan benang merah pada upholsteri dan juga kemasan-kemasan krom gelap.

    Walaupun ia bukan model berprestasi dengan lencana Hyundai N penuh, Sonata N-Line ini dikhabarkan bakal menerima enjin yang lebih berkuasa dari versi biasa – dijangka menerima enjin 2.5 liter turbo berkuasa 290 hp dan tork 422 Nm, bersama kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan sama seperti Kia K5 GT.

    Untuk model biasa, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin; 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI), berkuasa 185 hp dan tork maksima 241 Nm, dan enjin NA 2.5 liter Smartstream dengan sistem suntikan bahan api terus, menjana 191 hp dan tork maksima 245 Nm.

    Model generasi baharu ini mungkin akan tiba ke pasaran Malaysia tidak lama lagi, di mana ia telah muncul dalam iklan Hyundai Kona dan juga video Hari Malaysia oleh Hyundai-Sime Darby Motors baru-baru ini.

     
     
  • Berbasikal di lebuhraya tetap tidak dibenarkan – PDRM

    Berbasikal di lebuhraya tetap tidak dibenarkan – PDRM

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sekali lagi telah mengulangi kenyataan berhubung dengan aktiviti berbasikal di lebuhraya yang sehingga kini masih tidak dibenarkan.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, walau demikian, aktiviti berbasikal masih dibenarkan di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan, laporan Bernama.

    Dalam masa yang sama, JSPT turut menasihati penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan demi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.

    “JSPT mendapati isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya seluruh negara kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal,” katanya.

    Jelasnya, mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Apabila disabitkan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya.

     
     
  • Mercedes-Benz G 350 d tiba di M’sia – RM 1 juta, dijana enjin turbodiesel 3.0L enam-silinder, 286 PS/600 Nm

    Mercedes-Benz G 350 d tiba di M’sia – RM 1 juta, dijana enjin turbodiesel 3.0L enam-silinder, 286 PS/600 Nm

    Serentak dengan pengenalan Mercedes-Benz GLB X247 hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan satu lagi varian untuk SUV G-Class pada pasaran Malaysia iaitu G 350 d. Jadi jika anda hanya mahukan gaya sebuah jentera off-road dengan gaya klasik bersama teknologi terkini tanpa mahukan prestasi rasaksa seperti Mercedes-AMG G 63 yang telah pun berada dalam pasaran sejak November 2018, G 350 d ini adalah jawapannya.

    Model ini dijana oleh enjin turbodiesel OM656 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo dua peringkat serta sistem injap bervariasi Camtronic. Ia menghasilkan kuasa kuda maksima 281 hp (286 PS) bermula 3,400 hingga 4,600 rpm, serta tork maksima 600 Nm yang dicapai seawal 1,200 hingga 3,200 rpm.

    Kuasa dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear automatik konvensional 9G-Tronic sembilan-kelajuan, dan sistem pacuan semua roda dengan agihan tork 40:60. Ini membolehkan G 350 d tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dan mampu mencatatkan kelajuan maksima 199 km/j.

    Mercedes-Benz G 350 d tiba di M’sia – RM 1 juta, dijana enjin turbodiesel 3.0L enam-silinder, 286 PS/600 Nm

    Model ini juga menampilkan sistem suspensi dengan penyerap hentak adaptif, bersama cagak enjin aktif yang pertama kali diperkenalkan pada barisan model G-Wagen. Cagak enjin tersebut berada dalam mod lebih lembut ketika ia bergerak di bawah 5 km/j, dan ia akan mengeras sendiri pada kelajuan lebih tinggi bagi memberikan ‘keselesaan getaran dan dinamik pemanduan’.

    Versi pasaran Malaysia ini hadir dengan rim aloi pelbagai jejari AMG berdiameter 20-inci, termasuk pakej penggayaan luaran AMG Line, AMG Night Package, serta pakej logam tahan karat.

    Ia turut menerima perincian lain seperti pelindung bawah berwarna perak, running board, jalur pelindung luaran bersama kemasan pinstripe hitam, dan juga angkup brek dengan tulisan ‘Mercedes-Benz’. Kelengkapan standard yang diberikan termasuk lampu hadapan LED Multibeam, bumbung suria gelangsar, dan juga cermin hadapan dengan pemanas.

    Dalam kabin, G 350 d hadir dengan pakej pengayaan Exclusive dengan kemasan metal weave, tali keledar berwarna merah, serta balutan kulit pada bahagian panel atas dan bawah papan pemuka bersama serlahan jahitan benang merah. Ia juga diberikan roda stereng dengan butang pelbagai fungsi yang dibalut kulit Nappa, serta sistem Comand Online dan sistem audio dari Burmester.

    SUV ini tidak terkecuali dari menerima mod pemanduan Dynamic Select, dengan lima mod yang memberikan talaan berbeza pada enjin, transmisi, suspensi dan stereng mengikut tahap sporty yang dimahukan oleh pemandu.

    Manakala untuk keselamatan pula, G 350 d hadir dengan sistem dan kit bantuan pemanduan seperti bantuan brek aktif yang memberikan brek kecemasan automatik, bantuan anggaran jarak aktif Distronic, bantuan parkir Parktronic dengan pakej parkir bersama kamera undur, dan pelbagai lagi.

    Walaupun ia adalah varian lebih rendah, bukan bermaksud ia dijual dengan harga murah – model yang diimport sepenuhnya Mercedes-Benz G 350 d ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM999,888. Walau bagaimanapun, ia adalah jauh lebih ‘mampu milik’ berbanding AMG G 63 yang dijual pada harga RM1,464,888 ketika dilancarkan kira-kira dua tahun lalu.

     
     
  • Kenderaan baharu juga boleh mengalami kebocoran gas karbon monoksida – naib pengerusi NIOSH

    Kenderaan baharu juga boleh mengalami kebocoran gas karbon monoksida – naib pengerusi NIOSH

    Kejadian yang menimpa empat sekawan yang mengalami keracunan gas karbon monoksida (CO) selepas tidur di dalam kenderaan yang tidak bergerak tapi enjin masih dihidupkan, di Pulau Pinang, baru-baru ini cukup menyedihkan. Tiga daripadanya meninggal dunia, dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan, manakala yang masih dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar kepada Nor Adilah.

    Insiden ini menerima pelbagai maklumbalas daripada pakar mahu pun netizen yang memberikan pandangan mengikut fakta yang relevan, dan tak kurangnya ada yang mengulas secara membuta tuli. Walau bagaimana pun, kita disarankan agar tidak lekas terpengaruh dengan teori yang tidak tepat, termasuklah ada yang berkata kebocoran gas CO hanya boleh berlaku terhadap kenderaan lama sahaja.

    Malah ada juga yang berkata, tidur dalam kenderaan yang tidak bergerak, tetapi enjin dihidupkan dan tingkap dibuka sedikit untuk pengudaraan, tidak akan mendatangkan bahaya.

    Menurut Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Senator Datuk T. Mohan, kedua-dua pandangan berkenaan adalah tidak tepat.

    Katanya, tanggapan umum bahawa kebocoran gas karbon monoksida hanya boleh berlaku pada kenderaan lama tidak benar kerana ia juga boleh berlaku pada kenderaan baharu. Selain itu, pendapat segelintir pihak kononnya menurunkan cermin kenderaan dapat mengelak keracunan gas karbon monoksida juga tidak tepat, laporan Bernama

    “Enjin kenderaan dihidupkan dalam jangka masa panjang tanpa disedari kebocoran gas boleh berlaku daripada ekzos dan masuk ke kabin penumpang. Kebocoran gas itu dapat dikesan dengan tanda awal seperti perubahan suhu dalam kabin dan rasa loya. Jika ada tanda-tanda ini, tingkap perlu dibuka dengan segera selain penyaman udara dan enjin juga perlu dimatikan dengan segera,” katanya.

    Tambahnya, pemandu diingatkan agar tidak tidur dalam kenderaan dengan enjin dihidupkan kerana ia boleh menyebabkan keracunan gas karbon monoksida.

    Mohan turut mengingatkan pemandu yang mengantuk agar berhenti dan berehat di luar kenderaan atau di tempat sesuai dengan kitaran udara yang baik, selamat serta segar tanpa membahayakan diri sendiri.

    “Pengguna kenderaan juga katanya perlu memastikan penyaman udara kenderaan diselenggara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan bagi mengelak insiden tidak diingini,”katanya lagi.

     
     
  • BMW M3 G80, M4 G82 – gambar rasmi bocor awal

    BMW M3 G80, M4 G82 – gambar rasmi bocor awal

    Melalui gambar spyshot dan teaser rasmi yang dikeluarkan, kita sudah boleh tahu gambaran awal rupa BMW M3 G80 dan M4 G82 yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Kini, beberapa gambar rasmi pula telah bocor awal dan didedahkan kepada umum oleh laman Instagram CarsWithoutLimits.

    Selain rekaan gril yang menyerupai 4 Series Coupe G22 (dilancarkan pada bulan Jun lalu), kereta prestasi sedan dan coupe ini juga dilihat menggunakan warna unik model masing-masing iaitu Isle of Man Green dan Sao Paulo Yellow.

    Seperti biasa, rupa hadapan dua model ini kelihatan serupa, tetapi M4 nampak seperti lebih lebar dan menggunakan rim berwarna hitam. Rekaan rim ini nampak seperti sama, dengan M3 pula menggunakan warna yang lebih cerah.

    BMW M3 G80, M4 G82 – gambar rasmi bocor awal

    Pada bahagian belakang, kedua-dua model mendapat empat muncung ekzos yang keluar pada diffuser, manakala bukaan udara di penjuru bampar pula kelihatan lebih tinggi dan rapat ke lampu pada M4. Selain logo BMW, tiada lencana pada M3 tetapi M4 mendapat lencana yang diwarnakan hitam.

    Turut boleh dilihat adalah kedua-dua model ini menggunakan bumbung warna hitam, yang berkemungkinan adalah unit gentian karbon bagi mengurangkan berat. Bagi enjin, keduanya telah disahkan menggunakan unit enam silinder twin turbo 3.0 liter S58 dengan kuasa 480 PS untuk versi standard dan 510 PS bagi versi Competition. Enjin 510 PS dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan sementara enjin 480 PS pula bersama transmisi manual enam kelajuan.

    GALERI: Spyshot BMW M3 G80

    GALERI: Spyshot BMW M4 G82

     
     
  • Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI

    Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI

    Selepas pendedahan eksklusif untuk pihak media dibuat minggu lalu, Proton masih belum mengumumkan bila tarikh sebenar X50 ini akan dilancarkan secara rasmi dalam pasaran. Buat masa sekarang, jenama automotif nasional tersebut sedang menjalankan ‘City Preview’, menjelajah ke destinasi tertentu bagi membolehkan tetamu yang dijemput melihat dengan lebih dekat SUV segmen-B yang akan menjadi saingan utama kepada Honda HR-V berkenaan.

    Apa yang menarik, ada maklumat didedahkan ketika sesi ‘City Preview’ tersebut yang tidak disebut ketika sesi untuk media di Tanjung Malim sebelumnya, iaitu kadar penggunaan bahan api untuk X50 ini.

    Seperti yang diberitahu sebelum ini, tiga varian lebih rendah akan dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan pelbagai titik (MPI) menghasilkan 150 PS/226 Nm, manakala varian tertinggi Flagship pula dijana enjin sama tetapi dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS/255 Nm.

    Untuk itu, slide pada pembentangan ketika majlis City Preview berkenaan tertulis bahawa varian Standard, Executive dan Premium dengan enjin Turbo MPI akan memberikan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km (15.4 km/l), manakala model dengan enjin 1.5L T-GDI pula mampu mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu 6.4 liter setiap 100 km (15.6 km/l).

    Walau bagaimanapun, ia tidak memperincikan ujian kitaran yang digunakan, tetapi ia mungkin kitaran sama seperti kadar yang diumumkan pada Proton X70 iaitu bacaan kitaran gabungan yang diperolehi dari Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Proton X70 menerima pengiktirafan EEV dari MARii dengan kadar penggunaan bahan api 7.6 liter untuk setiap 100 km (13.2 km/l).

    Walaupun Proton menawarkan enjin berbeza bergantung kepada varian, kotak gear yang diberikan pada kedua-dua jenis enjin adalah sama iaitu transmisi klac-berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan yang dibangunkan oleh Geely bersama Volvo, dan kuasa hanya memacu roda hadapan.

    Untuk perincian lain, kami telah pun mendedahkan secara ekstensif dalam laporan eksklusif untuk majlis minggu lalu dan anda boleh bacanya pada artikel di PAUTAN INI. Namun gambar-gambar yang kami sertakan hanyalah dari varian tertinggi Flagship kerana Proton masih belum menunjukkan model-model dalam varian lebih rendah.

    Tetapi untuk membandingkan spesifikasi setiap varian, ia adalah seperti berikut:

      Proton X50 1.5T Standard 2020

      Ciri standard:

    • 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol
    • Sekitar 150 PS dan 226 Nm tork
    • DCT tujuh-kelajuan (klac basah) automatik dengan mod manual
    • Empat beg udara
    • Lampu dan DRL LED
    • Rim aloi 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • Corong pendingin hawa belakang
    • Unit infotainmen dengan skrin lapan-inci
    • Kamera undur
    • Proton X50 1.5T Executive 2020

      Tambahan:

    • Enam beg udara
    • Stereng balutan kulit
    • Lampu automatik
    • Lampu kabus depan
    • Kerusi balutan kulit
    • Proton X50 1.5T Premium 2020

      Tambahan:

    • Sistem pemantauan tekanan tayar
    • Rim aloi 18-inci
    • Kerusi kuasa elektrik untuk pemandu
    • Unit infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

      Tambahan:

    • 1.5 liter turbocas suntikan terus tiga-silinder petrol
    • 177 PS dan 255 Nm tork
    • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
    • Warna luaran dua tona (bumbung dan tiang hitam)
    • Bumbung kaca panoramik

    GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

    Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

    Gambar rasmi Proton X50

     
     
  • Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Pelancaran barisan model Mercedes-Benz GLB Z247 di Malaysia hari ini turut disertai oleh satu varian AMG, Mercedes-AMG GLB 35 4Matic. Dijual pada harga RM363,136.52 atas jalan tanpa insurans serta pengecualian cukai SST yang masih berlangsung hingga 31 Disember 2020 nanti, ini model paling berkuasa bagi GLB yang ditawarkan.

    Bagaimanapun, GLB 35 ini tidak didatangkan dengan pilihan tujuh-tempat duduk untuk barisan ketiga, maka kapasiti maksimum hanyalah lima penumpang. Untuk mengimbangkan kekurangan tersebut, GLB sarat dengan kuasa; enjinnya menggunakan unit M260 2.0 liter empat-silinder yang menjana 306 PS (302 hp) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 rpm hingga 4,000 rpm.

    Ia digandingkan pula dengan transmisi lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT klac berkembar, serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. Dari sudut prestasi, SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat dengan laju maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. GLB 35 ini turut hadir dengan ciri suspensi adaptif AMG Ride Control dan rim aloi 20-inci AMG sebagai standard.

    Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Cakera brek berliang digunakan, dengan saiz 350 mm untuk memberi daya brek yang cekap pada model ini, dengan kaliper empat-omboh untuk bahagian depan. Di belakang, cakera saiz 330 mm digunakan, dengan kaliper omboh tunggal. Kelengkapan lain bagi varian ini termasuk lampu depan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, yang tiada pada GLB varian biasa. Pakej luaran AMG Line juga adalah standard, dengan GLB 35 menggunakan gril Panamericana serta muncung ekzos bulat untuk membezakannya daripada model biasa.

    Di dalam, GLB 35 berkongsi beberapa perkara yang sama dengan GLB 250, termasuk stereng balutan kulit Nappa, kemasan karbon, kemasan kulit Artico/mikrofiber Dinamica (dengan benang merah), tikar lapik AMG dan kerusi sport (tali keledar merah).

    Mercedes-AMG GLB 35 4Matic kini di Malaysia — 2.0 liter turbo, 306 PS; 0-100 km/j 5.2 saat, dari RM363k

    Kelengkapan standard bagi varian ini termasuk sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan paparan 10.25-inci khas AMG, kawalan pendingin hawa dua-zon Thermotronic dengan corong belakang, kerusi depan larasan elektrik dengan fungsi memori, lampu suasana, model LTE bagi servis Mercedes me connect, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, berserta sistem bunyi Burmester.

    Aspek keselamatan, GLB 35 dilengkapi dengan kamera undur, bantuan titik buta, penghidup enjin dari jauh, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pre-Safe, bantuan brek aktif, Keyless-Go, sistem tinjauan tekanan tayar dan pintu ruang belakang Easy-Pack. Satu ciri yang ada pada varian ini tetapi tidak ada pada GLB biasa ialah bantuan mengekalkan lorong aktif.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model kompak terbaru, GLB X247 untuk pasaran tempatan. Dibangun menggunakan binaan MFA2 (Modular Front Architecture), model ini pertama kali dipertontonkan di peringkat global Jun lalu, dan diposisikan antara GLA dan GLC sebelum ini.

    Untuk pasaran Malaysia, GLB ditawarkan dalam dua varian – GLB 200 Progressive dan GLB 250 4Matic AMG Line – serta pilihan ketiga model AMG, GLB 35 4Matic. GLB 200 dijual pada harga RM269,118.15 manakala GLB 250 pula pada harga RM318,009.26. Ini merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Sekadar perbandingan, model GLC ketika ini dijual bermula RM286,379 bagi GLC 200. Jaminan tanpa had empat-tahun disertakan sekali.

    Apa bezanya GLB dengan GLC, misalnya? Selain beza platform yang digunakan (GLC dengan platform pacuan belakang Modular Rear Architecture, MRA), GLB menyediakan pilihan tempat duduk untuk tujuh penumpang (dalam tiga baris) berbanding GLC yang cuma hadir dengan lima-tempat duduk.

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Walaupun disifatkan sebagai kenderaan kompak Mercedes-Benz, GLB mempunyai saiz yang akan “lumayan” besar. Dengan 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar, 1,659 mm (lima-tempat duduk) atau 1,663 mm (tujuh-tempat duduk) tinggi, serta dengan 2,829 mm jarak antara roda, saiz GLB lebih mirip GLC (dengan dimensi 4,656 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,639 mm tinggi serta jarak antara roda 2,873 mm).

    Dari segi rekaan, GLB menampilkan praktikaliti. Pendekatan rekaan berkotak digunakan, dengan bahagian bumbung yang rata hingga ke belakang, termasuk bahagian depan yang tegar dengan rekaan lampu petak dan gril enam-bucunya – berbeza sedikit penampilannya dengan model dalam kategori kompak yang lain.

    GLB 200 hadir dengan pakej Progressive, yang termasuk di dalamnya gril depan dengan dua jalur melintang serta skid plate di depan, dan juga kemasan krom pada bahagian dalam pintu serta yang menghiasi muncung ekzos berkembarnya. GLB 250 pula sementara itu datang dengan kemasan AMG Line, tampil dengan bampar depan yang lebih agresif. Ia juga menerima kemasan krom di depan dan belakang – dengan gril rekaan jalur tunggal serta diffuser di belakang.

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    Kedua-dua varian menerima lampu LED High Performance dengan landasan bumbung aluminium sebagai standard, dibezakan dengan rim aloi yang digunakan; GLB 200 menggunakan saiz 18-inci manakala GLB 250 dengan saiz 19-inci rim AMG jejari berkembar. Pilihan luaran pula terdiri daripada lapan warna; Polar White, Iridium Silver, Denim Blue, Galaxy Blue, Digital White, Cosmos Black, Mountain Grey dan Patagonia Red.

    Di dalam, papan pemukanya mirip rekaan yang sama pada model kompak Mercedes-Benz yang lain; corong udara bulat serta sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) digunakan. Ini termasuk paparan 10.25-inci dan dikawal melalui skrin sentuh sentral, kawalan pada stereng, touchpad atau pengesanan suara.

    Semua ini penawaran standard bagi GLB 200 dan GLB 250, termasuk modul LTE yang membolehkan penggunaan servis Mercedes me connected, sokongan kepada Android Auto dan Apple CarPlay, kerusi depan kuasa elektrik dengan fungsi memori, pintu ruang belakang kuasa elektrik, serta kawalan pendingin hawa dua zon Thermotronic.

    Bagi ciri keselamatan, kedua-dua varian turut datang dengan kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pre-Safe, bantuan brek aktif, Keyless Go, sistem peninjau tekanan tayar dan pintu ruangan belakang Easy Pack.

    Kelengkapan yang khusus untuk varian bagi GLB 200 pula termasuk kemasan corak gelung, stereng balutan kulit, kerusi selesa, tikar alas kaki dan kemasan kerusi kulit buatan Artico hitam. GLB 250 pula mendapat lebih perincian; ini termasuk kemasan struktur karbon, stereng balutan kulit Nappa, kerusi sport, kemasan kulit Artico/mikrofiber Dinamica (dengan benang merah), lampu suasana, tikar AMG, bantuan titik buta dan fungsi menghidupkan enjin dari jauh.

    Untuk enjin, GLB 200 pacuan roda depan dikuasakan oleh unit M282 yang sama digunakan pada A 200. Enjin 1.33 liter turbocas empat-silinder berkenaan menghasilkan 163 PS (161 hp) pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,620 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi 7G-DCT tujuh-kelajuan klac berkembar.

    Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

    GLB 250 pula menggunakan enjin yang lebih berkuasa, 2.0 liter turbo empat-silinder – unit sama digunakan pada A 250 – dengan janaan 224 PS (221 hp) pada 5,800 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear 8G-DCT klac berkembar lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Matic.

    Suspensi yang mengutamakan keselesaan adalah standard bagi kedua-dua varian, tetapi GLB 250 dilengkapi dengan pakej Off-Road Engineering, yang ada tambahan mod pemanduan bagi sistem Dynamic Select-nya, serta fungsi Downhill Speed Regulation (DSR) dan paparan khas pada kluster instrumen digitalnya.

    Mercedes-Benz GLB 200 Progressive X247


    Mercedes-Benz GLB 250 AMG Line X247


     
     
  • Ford Ranger XLT Plus 2020 kini di Malaysia – RM130k

    Ford Ranger XLT Plus 2020 kini di Malaysia – RM130k

    Sime Darby Auto ConneXion telah mengumumkan satu lagi varian Ford Ranger T6 2020 telah pun berada di pasaran. Varian Ranger XLT Plus merupakan model Ranger 2020 yang diperkenalkan pada tahun ini selepas pengenalan Raptor, WildTrak dan FX4.

    Semakan yang dibuat terhadap Ranger XLT Plus facelift ini melibatkan rekaan baharu bagi lampu utamanya, seperti mana yang ditampilkan pada Raptor dan WildTrak. Ia merangkumi kanta projektor persegi dan unit pencahayaan yang lebih terang dengan unit bi-LED yang menawarkan 17% pencahayaan penembusan yang lebih baik untuk meningkatkan penglihatan pada waktu malam. Unit LED terbabit adalah bagi menggantikan konfigurasi lampu tinggi halogen/lampu utama xenon yang digunakan pada model terdahulu.

    Bukan itu sahaja, XLT Plus turut menerima kemasan bampar dengan warna badan baharu bersama lip bumper rona perak seperti yang ditampilkan pada WildTrak. Varian ini turut menerima gril krom baharu yang didatangkan secara eksklusif.

    Ford Ranger XLT Plus 2020 kini di Malaysia – RM130k

    Selain itu, semuanya masih kekal sama seperti mana model sebelumnya. XLT Plus dijanakan oleh enjin 2.0 liter EcoBlue turbodiesel, dengan konfigurasi turbo-tunggal yang menawarkan kuasa hingga 180 PS dan tork 420 Nm. Penjana kuasa ini masih dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan.

    Kelengkapan standard termasuklah kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, Easy Lift Tailgate, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, enam pembesar suara dan kamera undur serta tempat duduk balutan kulit, pendingin hawa auto dwi-zon dan sistem MyKey. Untuk kit keselamatan, XLT Plus dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, kawalan menurun bukit dan bantuan naik bukit.

    Terdapat lima warna luaran yang ditawarkan untuk Ranger XLT Plus facelift ini iaitu Aluminium Metallic, Arctic White, Lightning Blue, Meteor Grey dan Absolute Black. Trak pikap ini ditawarkan pada RM129,888 (harga atas jalan, tanpa insurans), dan sama seperti barisan Ranger lain, ia didatangkan dengan waranti tiga-tahun atau 100,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

     
     
  • Nissan Sylphy kini model paling laris China; syarikat dilihat bakal pulih di pasaran kedua terbesar global

    Nissan Sylphy kini model paling laris China; syarikat dilihat bakal pulih di pasaran kedua terbesar global

    Seperti yang ramai tahu, Nissan antara syarikat automotif yang sedang terjejas bukan sahaja akibat pandemik Covid-19, malah bergelut dengan skandal dalaman membabitkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn sejak 2018. Namun setelah pelbagai usaha dibuat, jenama tersebut dilihat kini sedang memulih, terutamanya di pasaran automotif kedua terbesar di dunia iaitu China, menurut laporan Automotive News.

    Di China, Nissan mewujudkan kerjasama 50:50 dengan DongFeng Motor Group, membolehkan ia menjadi antara jenama Jepun yang terkuat di republik berkenaan. Jun lalu, jualan jenama tersebut berada ditangga keempat (tidak termasuk MPV) dengan pegangan pasaran 6.7%, mengekori dua lagi syarikat kerjasama Volkswagen Group di China dan juga GM-SAIC Motor.

    Ketika jualan global Nissan merudum secara drastik pada bulan sama, penghantaran di China hanya jatuh 1%, dan ia masih mewakili jualan satu pertiga dari jumlah jualan global sebanyak 4.93 juta kereta. Jualan Nissan di negara berkenaan sebenarnya telah meningkat sejak April, dan kemuncaknya pada Julai lalu dengan jualan 121,000 unit (naik 12% berbanding Julai 2019).

    Malah pada bulan Ogos lalu, jualan sedan segmen-C Nissan Sylphy generasi baharu telah mengatasi jualan Volkswagen Lavida untuk menjadi model paling laris di pasaran negara berkenaan. CEO Nissan Ashwani Guota memberitahu Bloomberg News bahawa syarikatnya “telah membuat penampilan yang kukuh di China dan akan terus bertumbuh dengan fokus kepada kepuasan pelanggan.”

    Bersama Dongfeng, ia mensasarkan untuk meningkatkan jumlah jualan kenderaan kepada 2.6 juta unit menjelang 2022. Nissan telah menjual sebanyak 1.55 juta unit kereta di China dalam tahun fiskal terkininya.

    Setiausaha agung Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), Cui Dongshu berkata: “Pencapaian Nissan di China adalah kerana kuasa jenamanya yang menarik menerusi model-model yang kompetitif dihasilkan berberapa tahun kebelakangan ini. Namun ia masih lagi sukar untuk berhadapan dengan Toyota kerana jenama tersebut telah membuktikan daya saing mereka dalam inovasi serta kompetensi dalam memenangi hati pengguna kenderaan bukan hanya menerusi jenama Toyota, malah juga dengan Lexus.”

    Penganalisa Bloomberg, Tatsua Yoshida pula menambah bahawa 12 bulan mendatang adalah sangat kritikal untuk Nissan, dan ia perlu memperkenalkan lebih banyak model baharu. “Jika Nissan lambat walaupun sedikit, ia akan terus meletakkan mereka di posisi lebih lemah. Toyota dan Nissan akan sentiasa hadir dengan model baharu,” katanya.

    Jualan kenderaan di China merangkumi hampir 30% dari jumlah jualan kenderaan kenderaan seluruh dunia, dan ia adalah satu-satunya negara di dunia dengan jumlah jualan keseluruhan tahunan yang boleh mencapai 20 juta unit.

     
     
  • MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    BMW Group Malaysia telah memperkenalkan MINI Electric First Edition, iaitu sebuah model keluaran istimewa yang dijual cuma untuk 15 unit sahaja. Jika dibandingkan dengan model Cooper SE biasa yang digunakan sebagai asas kepada model ini, harga MINI Electric First Edition adalah lebih RM20,000, iaitu pada RM238,380. Ia datang sekali dengan jaminan tanpa had batuan serta servis berkala percuma selama empat tahun, dan jaminan lapan tahun atau 100,000 km untuk bateri.

    Antara ciri unik model First Edition ini adalah warna MINI Yours Enigmatic Black, bumbung panoramik, plet tepi pintu First Edition, kemasan First Edition pada fender (siap dengan nombor keluaran), serta cermin anti silau. Pelanggan juga masih diberikan pilihan warna White Silver, tetapi kedua-duanya masih lagi menggunakan rekaan rim 17 inci yang sama, dibalut dengan tayar run-flat.

    Bahagian dalam dibalut dengan kulit Walknappa Leather Lounge Upholstery dan terdapat kemasan unik lain seperti corak Union Jack pada penyandar kepala, roda stereng Walknappa Leather Lounge dengan jahitan putih serta tempat duduk hitam.

    Barangan lain adalah sama seperti Cooper SE, termasuk sistem bunyi Harman Kardon 12 pembesar suara, lampu suasana LED 12 warna, panel instrumen 5.5 inci, kawalan pendingin hawa dua zon, serta skrin sesentuh 8.8 inci untuk sistem MINI Visual Boost dengan sambungan MINI Connected dan Apple CarPlay.

    Penggerak elektrik kenderaan ini juga tidak diubah, di mana ia masih menyediakan 184 hp (135 kW) pada 7,000 rpm dan tork 270 Nm dari 100 hingga 1,000 rpm, serta padanan transmisi satu kelajuan yang membenarkan ia memecut 0-60 km/j dalam masa 3.9 saat, 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan mencecah kelajuan maksimum 150 km/j (dihadkan secara elektronik).

    Bateri yang memberikan kuasa adalah unit lithium ion 32.6 kWh, yang beroperasi pada kadar 350.4 volt. Menurut MINI, ia boleh memberikan jarak gerak 234 km mengikut kitaran WLTP (270 km mengikut kitaran NEDC). Berkenaan cas, kereta ini datang dengan pengecas 11 kW dan kabel pengecas tiga pin Type 2 untuk kegunaan di rumah biasa. Pengecas MINI Wallbox Plus 22 kW dengan kabel Type 2 pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    Apabila menggunakan pengecas 11 kW (soket tiga pin rumah biasa), bateri ini akan mengambil masa 12 jam untuk mencapai tahap 80%, dari kosong tetapi apabila menggunakan wallbox three-phase 11 kW ia akan mengambil masa cuma 3.5 jam untuk penuh 100%. Kereta ini juga boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan akan mengambil masa cuma 1.4 jam untuk penuh, tetapi ia memerlukan sambungan CCS Combo 2.

    Pada bahagian keselamatan, kereta ini didatangkan secara standard dengan MINI Driving Assistant dan Parking Assistant, yang merangkumi fungsi seperti Autonomous Emergency Braking (Light City Braking Function; antara 6 km/j hingga 60 km/j), Traffic Sign Recognition, Approach Control Warning dan Person Warning.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Mar 28, 2024