Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • ETCM lancar pusat 3S baharu di Kota Bharu

    ETCM lancar pusat 3S baharu di Kota Bharu

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah pun melancarkan satu lagi pusat 3S baharu yang menggunapakai Nissan Retail Concept (NRC) di Kota Bharu, Kelantan secara rasmi menerusi pengedar yang baru dilantik iaitu Edaran Nuri Sdn Bhd.

    Pusat Nissan Retail Concept (NRC) baharu itu menawarkan pengalaman pelanggan lebih baik dalam meneroka jenama Nissan. Bahagian luarannya diserlahkan dengan papan tanda Nissan berwarna merah yang ikonik, manakala ruang jualan dan rundingan ‘Nissan Drive’ mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan penuh mesra dan keselesaan. Tempat penyerahan eksklusif turut dinaik taraf bagi meraikan saat istimewa sewaktu pelanggan menerima kereta masing-masing.

    Terletak di Lot 6621, KM10, Jalan Pasir Puteh Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan, pusat 3S ini berkeluasan 12,260 kaki persegi, memuatkan ruang pameran yang mampu mempamerkan lima model Nissan dan tiga ruang servis yang boleh menyelenggara sehingga 15 buah kenderaan setiap hari. Kemudahan tambahan yang ada termasuklah ruang rehat pelanggan yang moden seperti sebuah kafe, WiFi percuma dan sudut kanak-kanak untuk membolehkan pelanggan serta keluarga mereka menikmati masa bersama.

    “Kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami dan penting bagi kami bekerjasama dengan pengedar untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada mereka. Nissan Retail Concept merupakan komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan tawaran selepas jualan sebaik sahaja mereka sampai di pusat 3S,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan.

    Selari dengan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19, bilik pameran dan pusat servis Nissan akan mengamalkan pemeriksaan suhu dan penjarakan sosial kepada semua kakitangan serta pelanggan.

    Kakitangan Nissan akan memakai pelitup muka, manakala pelitup muka, sarung tangan dan pembersih tangan boleh digunakan oleh pelanggan secara percuma. Insiatif nyahjangkitan yang kerap akan dilakukan di bilik pameran dan pusat servis sepanjang hari merangkumi setiap titik sentuhan termasuk kenderaan paparan dan pandu uji, serta ke atas semua kenderaan pelanggan sebelum dan selepas servis. Dalam tempoh ini, pembayaran tanpa sentuhan adalah digalakkan.

    Pusat 3S Edaran Nuri Sdn Bhd ini beroperasi setiap hari Sabtu hingga Khamis (termasuk cuti umum) dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Manakala untuk hari Jumaat pula, ia beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang.

    Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.nissan.com.my atau hubungi Hotline Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838.

     
     
  • Nissan Magnite Concept – bahagian dalam didedah

    Nissan Magnite Concept – bahagian dalam didedah

    Bulan lepas, Nissan India telah mendedahkan sebuah SUV segmen B konsep yang dipanggil sebagai Magnite. Walaupun masih sebuah konsep, ia memberi gambaran kepada model produksi lebih kecil daripada Kicks dan akan memasuki pasaran sana awal tahun hadapan.

    Setelah segenap sudut bahagian luar kenderaan ini didedah kepada umum, kini Nissan menunjukkan pula keadaan di bahagian dalam melalui dua gambar. Apa yang boleh dilihat, ia melibatkan penggunaan dua tona warna iaitu hitam dan merah gelap.

    Kemudiannya, beberapa bahagian juga menggunakan elemen bentuk heksagon, termasuk pada corong pendingin hawa dan juga jahitan pada tempat duduk yang dibalut kulit. Satu yang menonjol adalah skrin pada bahagian tengah papan pemuka dengan di bawahnya terdapat tiga tombol bulat untuk pendingin hawa dan butang pemula di konsol tengah. Stereng pula mempunyai lekuk di tengah.

    Nissan Magnite Concept – bahagian dalam didedah

    Melalui gambar bahagian tepi pula kita dapat menganggar ruang yang disediakan pada kereta ini. Sebelum ini Nissan pernah memberitahu Magnite akan menyediakan ruang antara yang terbesar di dalam kelasnya dan turut dilengkapi dengan sistem sambungan, kamera 360 darjah dan cruise control. Tidak banyak banyak perubahan dijangka akan dilakukan apabila model ini memasuki fasa produksi.

    Magnite dibina atas platform modular CMF-A+ dan dijangka menggunakan enjin yang sama seperti Renault Triber iaitu unit 1.0 liter NA yang mampu menghasilkan 71 hp/96 Nm serta versi turbo enjin sama yang berkuasa 99 hp/160 Nm.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser – sah untuk pasaran India, dipasang oleh Maruti Suzuki, dari model Vitara Brezza

    Toyota Urban Cruiser – sah untuk pasaran India, dipasang oleh Maruti Suzuki, dari model Vitara Brezza

    Setelah lama pasaran India menantikan sebuah SUV kompak Toyota yang diasaskan dari Maruti Suzuki Vitara Brezza, model berkenaan kini tiba dengan nama Toyota Urban Cruiser. Imej yang ada ini merupakan teaser yang dikeluarkan oleh Toyota India, lengkap dengan nama modelnya.

    Maksudnya, Toyota rebadge model Suzuki? Ya, betul. Ini model Toyota yang kedua di India menggunakan asas dari Suzuki – yang pertama ialah Toyota Glanza pada 2019, yang menjadi model rebadge bagi hatchback lima-pintu Suzuki Baleno. Sama seperti Glanza, Urban Cruiser ini juga akan dipasang oleh Maruti Suzuki, pelopor pasaran automotif di India.

    Semua ini adalah susulan daripada rancangan yang dimeterai pada 2018 yang bakal menyaksikan Toyota dan Suzuki membekalkan model-model kenderaan untuk pasaran India. Maruti akan membekalkan Baleno dan Vitara Brezza, sementara Corolla Altis pula oleh Toyota – semua ini sebagai alternatif kepada pembangunan model baru dari awal.

    Toyota Urban Cruiser – sah untuk pasaran India, dipasang oleh Maruti Suzuki, dari model Vitara Brezza

    Menurut Autocar India, tidak seperti Glanza, Urban Cruiser akan menerima wajah depan yang berbeza, begitu juga dengan bahagian ruang dalamannya untuk memberikan identiti berlainan untuk membezakannya dari model yang direbadge itu. Wajah model berkenaan akan selari dengan model-model SUV kompak Toyota yang lain, tetapi material logam yang digunakan akan sama seperti buatan Maruti lainnya. Warna kabin versi Toyota ini juga dijangka lebih cerah, berbanding Vitara Brezza yang menggunakan warna gelap.

    Model Toyota ini akan menggunakan enjin 1.5L K Series yang sama seperti Vitara Brezza, yang menghasilkan 103 hp/138 Nm. Sistem yang disifatkan sebagai “smart hybrid” akan dipadankan dengan transmisi 5MT dan 4AT pada model Toyota, sementara untuk Maruti ia hanya datang dengan gear automatik sahaja.

     
     
  • Kadar penggunaan RFID di utara cecah 10% – PLUS

    Kadar penggunaan RFID di utara cecah 10% – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan bahawa kadar penggunaan teknologi RFID di sembilan plaza tol di bahagian utara yang dilaksanakan sejak 22 Julai telah mencecah 10%. Ini menyaksikan semakin ramai rakyat Kedah dan Pulau Pinang beralih kepada pembayaran tol tanpa sentuh dan tanpa tunai tersebut.

    Sembilan buah plaza tol Sistem Tertutup tersebut melibatkan plaza tol Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

    Selaras dengan hasrat Kerajaan ke arah pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk perjalanan di lebuhraya yang lebih lancar, terutamanya di plaza tol, ujian perintis awam yang disokong oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia tersebut telah menyaksikan kadar penggunaan RFID meningkat daripada 2.3% sehingga mencecah 10% sejak ia dilaksanakan dua minggu lalu.

    Kadar penggunaan RFID di utara cecah 10% – PLUS

    “Kadar peningkatan yang baik dalam tempoh singkat 14 hari adalah amat positif. Saya percaya ia akan terus meningkat apabila semakin ramai melihat faedah-faedah yang diperolehi daripada sistem pembayaran baharu ini. Paling ketara adalah ia dapat memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan berbanding pembayaran menggunakan kad yang sedia ada.

    “Apabila ia dihubungkan dengan eWallet pelanggan, ia mengurangkan risiko pelanggan tersangkut di lorong tol akibat baki kurang di mana pelanggan perlu menambah nilai secara fizikal dan terdedah kepada penyebaran Covid-19,” jelas Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

    PLUS juga sedar sokongan terhadap teknologi RFID memerlukan orang ramai terlebih dahulu memahami langkah-langkah yang perlu diambil sebelum mereka menggunakan sistem RFID yang bertepatan dengan norma baharu.

    Kadar penggunaan RFID di utara cecah 10% – PLUS

    Pelaksanaan pembayaran tol menggunakan RFID di lebuhraya PLUS dilakukan secara berperingkat bermula pada 1 Januari 2020 di 10 buah plaza tol Sistem Terbuka iaitu Plaza Tol Jitra dan Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan), Lunas dan Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Jambatan Pulau Pinang, Mambau dan Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson) serta Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang (Lebuh raya Linkedua).

    Pada ketika ini semua transaksi tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi diterima di semua plaza tol PLUS. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah lorong SmartTAG di beberapa plaza tol kecil dengan jumlah lorong yang terhad telah digantikan dengan lorong khas RFID. Walau bagaimanapun, kad Touch ‘n Go masih boleh digunakan di lorong Touch ‘n Go yang biasa. Pendekatan yang sama akan digunakan apabila RFID diperluaskan ke seluruh negara selepas ini.

    Untuk pembayaran tol, PLUS juga mengingatkan bahawa tag pelekat RFID perlu dipasangkan pada kenderaan. Pelekat tag RFID yang gagal dipasang pada kenderaan boleh menyebabkannya dibatalkan dan disenarai hitam.

     
     
  • Enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan dalam kenderaan sejak 2018 hingga kini – KPWKM

    Enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan dalam kenderaan sejak 2018 hingga kini – KPWKM

    Baby boy in car seat

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat kelmarin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan sebanyak enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan sejak 2018 hingga kini. Jelasnya, kebanyakan mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi kerja atau hadir mesyuarat sehingga terlupa anak mereka berada di dalam kereta.

    Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu situasi semasa serta tindakan konklusif KPWKM dalam menangani kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta secara tidak sengaja oleh ibu bapa mahupun penjaga.

    “Pada tahun ini sebanyak dua kes dilaporkan, 2019 dan 2018 masing-masing dua kes. Walaupun, bilangan kes tidak menunjukkan jumlah yang besar, namun ia melibatkan nyawa anak kepada ibu bapa dan penjaganya.

    “Memandangkan kes ini satu isu yang begitu besar dan betapa seriusnya insiden sebegini, kementerian mengambil langkah pencegahan advokasi dan intervensi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata kerajaan telah meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan “atau bertindak secara cuai”.

    “Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000… dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” katanya sambil menambah perkhidmatan kaunseling turut diberikan kepada ibu bapa yang terkesan dengan kes seumpama itu.

    Beliau berkata KPWKM sentiasa melaksanakan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk menjalankan program kesedaran awam terhadap isu berkenaan, antaranya menerusi program Pendidikan Keselamatan Keluarga, Anak-anak (PEKA) dan kursus praperkahwinan iaitu SMARTSTART.

    “Kementerian juga menerima maklum balas daripada masyarakat dan ibu bapa yang kemudiannya telah dibincangkan bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya.

    “Antara (perbincangan itu) bayi tidak boleh diletakkan di kerusi belakang pemandu kerana ia merupakan titik buta dan meletakkan beg keperluan anak di tempat duduk hadapan bagi memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa anak mereka berada di dalam kereta,” katanya.

     
     
  • Proton catat jualan 13,216 unit kereta pada Julai – rekod jualan bulanan tertinggi selepas lapan tahun

    Proton catat jualan 13,216 unit kereta pada Julai – rekod jualan bulanan tertinggi selepas lapan tahun

    Nampaknya prestasi jualan industri automotif Malaysia mula memulih – dengan insentif PENJANA yang diumumkan oleh kerajaan pada Jun dan mula dilaksanakan pada bulan lalu, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dilihat naik ke paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan.

    Sudah tentu, Proton antara yang terkena tempias berkenaan, dan jenama tersebut mengumumkan sepanjang Julai, mereka telah berjaya menjual sebanyak 13,216 unit kereta atau angka jualan bulanan tertinggi pernah dicatatkan bukan sahaja untuk tahun 2020, malah tertinggi sejak Jun 2012.

    Angka tersebut mewakili peningkatan sebanyak 37.5% berbanding bulan lalu (9,623 unit) dan juga lonjakkan 45.7% berbanding bulan yang sama tahun 2019 (9,072 unit). Proton juga turut meramalkan pegangan bahagian dalam pasaran mereka dari awal tahun sehingga sekarang akan mencapai 21.8%, atau meningkat sebanyak 6.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Proton catat jualan 13,216 unit kereta pada Julai – rekod jualan bulanan tertinggi selepas lapan tahun

    Dengan prestasi jualan yang begitu baik pada Julai, Proton dapat merendahkan jurang jumlah jualan berbanding 2019 menurun menjadi hanya 4.2% (50,294 vs 52,499), dan penurunan ini adalah lebih rendah berbanding jurang jangkaan TIV keseluruhan pada tempoh yang sama, iaitu pada 33% (230,929 vs 347,177).

    Menurut Proton, empat modelnya menjadi peneraju dalam segmen masing-masing. Proton Saga sekali lagi mencatat jualan tertinggi dalam pasaran sedan segmen A. Sebanyak 5,421 unit berjaya dijual pada bulan Julai, termasuk 1,100 unit Saga Anniversary Edition yang habis ditempah dalam hanya lima hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai yang lalu. Jumlah ini juga merupakan tertinggi yang dicatatkan oleh model itu sejak April 2014.

    Proton X70 juga masih kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia, dakwa Proton dengan jualan sebanyak 3,087 unit. Ia adalah jualan bulanan terbaik yang dicatatkan oleh X70, serta menyaksikan peningkatan pegangan pasaran sebanyak 25.6% iaitu 4.3% lebih tinggi berbanding 2019.

    Dua lagi model terlaris Proton adalah Persona dan Exora. Menurut syarikat itu, mereka berjaya menjual sebanyak 3,043 unit Persona pada bulan Julai, membolehkan ia terus berada di kedudukan teratas bagi sedan segmen B. Manakala untuk Exora pula, sebanyak 792 unit MPV tersebut berjaya dijual sepanjang Julai, membolehkan ia kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C serta mencatatkan jumlah jualan terbaik sejak Ogos 2016.

    “Jualan Proton pada bulan Julai 2020 menunjukkan prestasi terbaik kami dalam tempoh lebih lapan tahun. Kami berbangga dengan pencapaian model-model syarikat di dalam setiap segmen. Kami juga mendapati terdapat kesan positif dalam aspek perniagaan lain yang turut membantu dalam peningkatan jualan. Sebagai contoh, Proton Commerce, penyedia pembiayaan kenderaan dalaman syarikat yang mencatat peningkatan jumlah pinjaman sebanyak 100% berbanding bulan sebelumnya.

    “Oleh itu, kami ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan oleh semua rakyat Malaysia dan buat masa ini, kami tetap berasa optimis pada tahun 2020 ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar yang baru dilantik pada Jun lalu.

     
     
  • Volvo Car M’sia buka pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

    Volvo Car M’sia buka pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

    Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia telah melancarkan pusat 3S baharu di Kota Kinabalu, Sabah. Pusat 3S tersebut dikendalikan oleh Sebangga Mitsinbo Sdn. Bhd. yang merupakan salah satu daripada 13 pengedar di bawah rangkaian Volvo Car Malaysia di negara ini.

    Pembukaan pusat 3S yang terletak di Lot 923, Jalan Tuaran, Taman Sinar, Kota Kinabalu berkeluasan 5,432 kaki persegi ini merupakan cawangan ke-14 wakil pengedaran di negara ini.

    Pusat 3S Sebangga Mitsinbo ini mengikut standard peruncitan yang ditetapkan oleh Volvo iaitu Volvo Retail Experience (VRE). Ia mengetengahkan ruang terbuka dengan perabot minimalis untuk memberikan pengalaman mewah kontemporari mengikut rekaan Volvo. Bangunan dua tingkat ini menempatkan ruang pameran, pusat servis, ruang Volvo Car Lifestyle Collection and Accessories di tingkat bawah. Antara model Volvo terkini yang dipamerkan termasuklah XC40, XC60, XC90, S60 dan S90.

    Volvo Car M’sia buka pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

    Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata, “Volvo Car Malaysia dan Sebangga Group berkongsi visi yang sama untuk memberikan pengalaman pemanduan yang dinamik kepada para pelanggan kami di Sabah.

    “Dengan pembukaan pusat 3S di Kota Kinabalu ini, ia memperkukuhkan lagi komitmen kami untutk menjadikan jalan raya yang lebih selamat – visi kami adalah tiada siapa pun yang boleh tercedera mahu pun terbunuh di dalam kereta Volvo baharu. Dengan perkongsian ini, harapan kami untuk pengedar baru ini adalah untuk menjadikan kenderaan premium, selamat dan berkualiti yang dapat diakses oleh masyarakat Sabahan dan dari sana, mendorong pergerakan yang selamat di jalan raya.”

    Pengerusi Sebangga Group Dato’ Arif Ambrose Ng pula berkata, “Kami berbangga dapat membawa jenama premium ini di bawah kumpulan kami. Pertambahan pusat 3S di Sabah ini merupakan sebahagian daripada perjalanan kami bersama Volvo dalam membantu meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya untuk penumpang dan kenderaan.”

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia serah 4,008 unit kenderaan dari Januari hingga Julai 2020, Triton paling laku

    Mitsubishi Motors Malaysia serah 4,008 unit kenderaan dari Januari hingga Julai 2020, Triton paling laku

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan prestasi jualan syarikat dari tempoh Januari hingga Julai 2020, yang menyaksikan 4,008 buah kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Melalui catatan ini, perkongsian pasaran MMM telah meningkat menjadi 1.7% daripada jumlah keseluruhan industri, berbanding 1.4% bagi tempoh sama tahun lepas.

    Triton terus menjadi model paling laris MM, dan buat pertama kalinya dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2020, model tersebut mendapat perkongsian pasaran 22.2% dalam segmen trak pikap. Ini juga adalah satu peningkatan berbanding tempoh sama 2019 yang mencatat 16.9%. Triton juga adalah model paling laris bagi segmen Double Cab di tiga negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.

    “MMM rasa gembira melihat jumlah jualan positif selepas berada dalam tekanan akibat pandemik Covid-19. Pemacu utama adalah pengecualian cukai 100% yang diberikan kerajaan dan dapat digunakan bagi dua model pemasangan tempatan kami iaitu ASX dan Outlander. Jualan yang bagus ini juga mendedahkan kesetiaan pelanggan kepada jenama dalam keadaan sukar ini,” kata CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi Motors Malaysia serah 4,008 unit kenderaan dari Januari hingga Julai 2020, Triton paling laku

    Penawaran produk MMM akan ditambah hujung tahun ini dengan Xpander, tetapi perincian penuh berkenaan MPV crossover tujuh tempat duduk ini masih belum didedahkan. Sebelum pelancaran tersebut, beberapa pusat pameran Mitsubishi yang terpilih akan dinaik taraf dengan identiti korporat terkini.

    “MMM sangat teruja dengan pengenalan Mitsubishi Xpander pada masa hadapan. Crossover tujuh tempat duduk ini akan memberikan asas yang kuat untuk mengekalkan momentum jualan yang kuat sehingga hujung tahun,” tambah Shinnishi.

    “Permintaan dan kejayaan Mitsubishi Xpander baru di negara ASEAN lain menunjukkan betapa kereta ini mampu untuk memuaskan keperluan pelanggan, dan kami yakin ia akan dapat menawan hati rakyat Malaysia,” kata beliau.

     
     
  • Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Bulan lalu kecoh seketika apabila berberapa kereta rali bersejarah yang sebelum ini berada di tempat parkir Garaj Warisan Proton ‘hilang’, dan kemudian dijumpai di pusat lelongan Pickles Auction di Jalan Klang Lama untuk dilupuskan. Walau bagaimanapun, atas keprihatinan peminat sukan permotoran tempatan, suara demi suara disampaikan, dan akhirnya lelongan tersebut ditarik balik.

    Namun untuk pengetahuan anda, bukan semua kereta-kereta lumba bersejarah diletakkan di bawah pengawasan Garaj Warisan Proton. Ada sebahagian kereta-kereta lumba ini disimpan dan dijaga rapi oleh divisi perlumbaan rasmi jenama automotif nasional ini iaitu Proton R3 di bawah seliaan prinsipal pasukan tersebut, Gary Lee.

    Antara jentera-jentera berkenaan, termasuklah Proton Putra WRC ini. Dan hari ini menerusi laman rasmi pasukan tersebut, Proton Putra WRC diisytihar sebagai koleksi kekal Proton Motorsport.

    Jentera ini dihasilkan ketika Proton cuba untuk menyertai kategori utama dalam Kejuaraan Rally Dunia (WRC) bagi memberikan saingan terus kepada pasukan seperti Subaru World Rally Team (SWRT) dan Mitsubishi Ralliart, namun ia tidak pernah sempat untuk berlumba.

    Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Menurut Proton, kereta ini dibangunkan oleh pihak sama yang bertanggungjawab mengendalikan SWRT iaitu Prodrive dari Banburry, UK. Peluang untuk Proton bertarung dalam kategori utama WRC berkenaan hadir setelah regulasi perlumbaan tersebut diubah oleh FIA pada tahun 1997.

    Untuk pengetahuan anda, selepas rali Group B diharamkan pada penghujung 1986 setelah berberapa orang penonton dan pemandu yang terkorban kerana kereta-kereta yang bertanding terlalu berkuasa, FIA telah menggantikan kelas berkenaan dengan kelas Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

    Secara asas, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau katagori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

    Atau secara spesifiknya, FIA menetapkan bahawa mana-mana pengeluar yang mahu bertanding dalam WRC, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 unit versi produksi ‘homologation special’ (kemudian diturunkan hanya 2,500 unit pada tahun 1993) menggunakan enjin, sistem pacuan dan rupa luaran yang sama dengan kereta yang mahu digunakan pada perlumbaan sebenar, seperti Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.

    Proton Putra WRC diisytihar koleksi kekal Proton Motorsport, selamat dalam simpanan garaj pasukan R3

    Walau bagaimanapun, Group A hanya bertahan sehingga tahun 1996. FIA mahukan kereta yang lebih berkuasa tanpa sekatan-sekatan tertentu dan memudahkan banyak pengeluar lain untuk menyertai WRC. Oleh itu, bermula pada 1997 undang-undang WRCar mula diperkenalkan dan bertahan sehingga sekarang.

    Menerusi undang-undang WRCar ini, tidak ada lagi syarat homologasi produksi seperti Group A diperlukan. Jadi pengeluar bebas untuk menggunakan kerangka asas sebuah kereta produksi, dengan teknologi prototaip pada jentera lumba mereka. Secara tidak langsung, ini memberikan peluang buat Proton untuk pergi lebih jauh dalam saingan WRC.

    Walaupun model produksi Proton Putra hanya dijana enjin 4G93 1.8 liter NA pacuan roda hadapan, undang-undang WRCar membolehkan kereta tersebut disuap dengan pengecas turbo serta diberikan sistem pacuan empat roda, dan yang paling penting tiada model ‘homologation special’ perlu dihasilkan Proton untuk dijual ke pasaran.

    Oleh itu, Prodrive telah membina semula enjin 4G93T 1.8 liter tersebut dengan menaikkan sesarannya kepada 2.0 liter, disuap dengan pengecas turbo dengan unit restrictor udara 34 mmm, bersama sistem anti-lag bagi menghasilkan kuasa sekitar 300 hp, dan memandankan kotak gear sequential enam-kelajuan dari Hewland, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa kepada Putra WRC ini.

    Seperti kereta-kereta WRCar lain pada zaman tersebut, badan Putra ini dilebarkan lagi bagi membolehkan sistem suspensi dengan geometri lebih mesra rali dipadankan serta memenuhi dimensi maksima yang dibenarkan undang-undang FIA iaitu lebar maksima adalah 1770 mm, manakala trek roda hadapan dan belakang pula tidak boleh melebihi 1,550 mm.

    Ia turut menerima sistem brek perlumbaan dari AP Racing, serta rim O.Z Racing berdiameter 18-inci, dibaluti tayar rali tarmac Pirelli P-Zero. Berat keseluruhan jentera ini juga menepati undang-undang WRCar FIA iaitu 1,230 kg.

    Prodrive turut mereka semula bampar hadapan, memberikan liang udara pada bonet, skup kemasukan udara pada bumbung dan juga spoiler belakang bersaiz besar. Secara keseluruhan, rupa Putra WRC ini seakan sebuah lagi jentera sentuhan Prodrive iaitu Subaru Impreza WRC 1997.

    Pada bahagian dalaman, Prodrive memadankan rollcage penuh, tempat duduk bucket perlumbaan bersama tali pinggang keledar lima-poin, roda stereng perlumbaan Sparco, pedal box, tuil brek tangan rali, komputer trip, serta kemasan-kemasan gentian karbon sebenar.

    Tidak diketahui mengapa Proton tidak meneruskan projek Putra WRC ini, dan selepas itu juga ia seakan dirahsiakan oleh Proton sendiri. Seperti biasa, pasti ada khabar angin bertiup selepas projek tersebut dihentikan.

    Ada desas-desus mengatakan bahawa Prodrive tidak mengaku telah menghasilkan Putra WRC berkenaan. Tidak hairanlah kerana mereka mempunyai jalinan kerjasama yang telah lama dengan Subaru, dan projek ini mungkin akan mendatang konflik antara mereka.

    Terdapat juga khabar angin yang agak merepek iaitu Prodrive telah menjual ‘blueprint’ Putra WRC ini kepada Subaru untuk menghasilkan Impreza WRC setelah Proton tidak bersetuju untuk meneruskan projek tersebut.

    Kenapa merepek? Kerana Impreza dan Putra merupakan dua buah kereta yang berbeza dari segenap sudut walaupun rupanya hampir sama, tidak mungkin boleh berkongsi satu blueprint yang sama. Dan untuk pengetahuan anda, Subaru Impreza WRC 1997 adalah kereta pertama di dunia yang memenuhi undang-undang WRCar, dan pembinaannya telah bermula seawal bulan Februari 1996.

    GALERI: Imej Proton Putra WRC oleh Jay’s Speed-graphy

     
     
  • Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Salah satu perkara yang dilakukan oleh Li Chunrong apabila beliau mengambil alih kedudukan sebagai CEO Proton Holdings adalah menubuhkan Cross Function Team (CFT), untuk mengenal pasti dan menghadapi isu dalaman yang berlaku dalam syarikat, dan pada masa sama membangunkan budaya kerja baru untuk pasukan Malaysia-China.

    Dalam laporan The Edge, Proton dikatakan menderita dengan pengurusan operasi yang lemah sebelum Geely datang, dan perkara pertama yang dicadangkan oleh CFT adalah meminta vendor mengurangkan kos sehingga 30% sekiranya mereka masih mahu membekalkan alat ganti kepada Proton.

    Permintaan ini sudah tentu mendapat tentangan. Vendor terus merungut mengatakan agak sukar untuk mengurangkan kos sebanyak 30% dan masih dapat terus berniaga. Berita berkenaan perkara ini tersebar dan kemudian menimbulkan khabar angin bahawa Proton akan mengambil alat ganti dari China. Walaubagaimanapun, Li menegaskan bahawa vendor tempatan sudah mula mengurangkan kos.

    “Masa saya datang ke sini, saya minta vendor untuk mengurangkan kos sebanyak 30%. Sudah tentu, lepas itu mereka mengeluh. Mereka bertanya kepada saya, bagaimana nak kurangkan kos? Saya tanya mereka kembali, dalam kemahiran pengurusan operasi, siapa lagi bagus? Awak atau Proton? Mereka tidak menjawab, sebab kami (pengurusan Proton) memang pun teruk sebelum ini.”

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    “Saya beritahu mereka, kemahiran awak dan saya adalah sama, setuju? Mereka setuju. Kalau saya boleh kurangkan kos, awak juga boleh kurangkan kos,” kata Li sambil menambah jika Proton boleh mengurangkan kos operasi sehingga 33%, vendor juga boleh berbuat benda yang sama.

    Bagi Proton, langkah pengurangan kos melibatkan penutupan tiga pusat alat ganti serantau dan menjualnya pada harga RM1 juta setiap satu. Mereka juga menutup belasan gudang di seluruh negara, dengan kini hanya mengekalkan empat sahaja iaitu di Kuching, Kota Kinabalu, Shah Alam dan Tanjung Malim.

    Jumlah kenderaan syarikat juga dikecilkan – Li memberitahu Proton mempunyai 1,700 buah kenderaan untuk pihak pengurusan, dan jumlah ini menurut beliau adalah sangat banyak bagi sebuah syarikat yang cuma mengeluarkan kenderaan tidak melebihi 100,000 buah satu tahun.

    “Semasa saya bekerja dengan syarikat yang dua kali ganda lebih besar di China, kami cuma mempunyai empat kereta syarikat. Ini bermakna, Proton mempunyai terlalu banyak kereta syarikat; pada pemahaman saya, ia boleh dijual,” kata Li. Dalam masa enam bulan pertama, Proton telah berjaya menjual lebih 500 unit kereta syarikat. “Ini adalah contoh bagaimana saya mengurangkan kos. Kalau saya boleh buat, vendor juga mesti boleh buat.”

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Sebelum X70 dilancarkan untuk pasaran, Li telah menggesa pengedar Proton menaik taraf kemudahan mereka kepada 3S atau 4S, dengan mengetahui bahawa pelanggan akan lebih mudah menerima imej serta kualiti jenama yang baru. Li percaya peningkatan pada pusat pameran bukan sahaja bagus untuk imej jenama, tetapi juga meningkatkan khidmat kepada pelanggan.

    Sekali lagi, ia diberikan tentangan dan kali ini daripada pengedar yang mengatakan naik taraf pusat pameran melibatkan kos tinggi. Untuk mengatasi masalah ini, Proton memberikan sedikit bantuan kepada pengedar, tetapi bergantung kepada saiz pusat pameran, lokasi dan kapasiti ruang servis.

    Pada masa ini, terdapat 124 pusat servis 3S dan 4S di seluruh negara. Li memberitahu: “Sebelum ini, lebih 70% pengedar kami cuma membuat jualan sahaja (1S). Disebabkan itu, kedai mereka adalah kecil. Pengedar tidak boleh menyimpan banyak alat ganti. Sebab itulah Proton perlu mempunyai banyak RPC. Tapi sekarang, kita sudah ada lebih banyak pusat 3S dan 4S – 124 kesemuanya – jadi RPC sudah tidak diperlukan.

    “Ini adalah strategi perniagaan. Kenapa saya bangunkan lebih banyak 3S dan 4S? Kami mahu meningkatkan pengalaman pelanggan sebab kami mempunyai keyakinan tinggi dengan X70. Jadi, kami perlu meletakkan ia dalam satu suasana yang berkualiti tinggi dan pelanggan dapat menikmati pengalaman yang baik,” kata beliau.

    Budaya kerja lebih baik dan operasi yang diperkemas jadi sebab prestasi Proton kembali naik – Li Chunrong

    Selain daripada itu, wujud juga khabar angin terdapat pertembungan budaya antara pekerja Proton dan Geely. Li memberitahu ini bukan satu masalah malah mereka berkongsi lebih banyak persamaan. “CFT ditugaskan untuk membangunkan budaya kerja baru yang menggabungkan nilai Geely, Proton dan DRB-Hicom. Kami muncul dengan TARI yang bermaksud kerjasama, pencapaian, hormat dan integriti. Sebab inilah saya berkata kita mempunyai budaya yang sama,” jelas Li.

    “Kami juga fokus kepada perniagaan. Hanya ada satu sebab kami di sini – untuk melakukan perniagaan. Jadikan Proton berjaya. Saya tidak mahu pekerja Proton terganggu dengan perkara lain. Semua orang di sini mahu mencari pendapatan untuk diri sendiri dan juga keluarga mereka.”

    “Semua orang di sini adalah pekerja. Anda pekerja tempatan, saya pekerja dari luar. Anda bukan pemegang saham. Tapi kami mempunyai sasaran yang sama iaitu menjadikan Proton berjaya. Kalau tidak, kita tidak akan dapat mencapai kata sepakat. Terdapat kepentingan bersama iaitu memastikan Proton berjaya,” tambah Li.

     
     
  • K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    Bukan mudah untuk membuat keputusan bagi menghapuskan kutipan tol di seluruh negara walau pun sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan pernah berjanji untuk melaksanakannya secara berperingkat selepas memenangi PRU 14 pada tahun 2018. Selepas tumbang pada awal tahun ini, nampak gayanya salah satu manifesto PH tersebut tergendala.

    Manakala kerajaan Pakatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan tidak tergesa-gesa untuk membuat sebarang keputusan mengenai cadangan penghapusan tol ini. Menurut
    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, penghapusan memerlukan kajian lanjut dan membabitkan kepentingan pelbagai pihak termasuk pemegang konsesi.

    Katanya lagi, buat masa ini, kerajaan mempunyai keutamaan lain daripada segi keperluan kewangan yang perlu ditangani disebabkan kesan pandemik Covid-19, laporan Harian Metro.

    “Kerajaan teliti dan ambil kira dengan mendalam faktor implikasi yang akan timbul jika penghapusan tol dilakukan khususnya kewangan semasa yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini.

    K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    “Sehubungan dengan itu, hala tuju lebuh raya bertol akan disemak semula dan memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan bagi mendapat kelulusan menteri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat semalam.

    Beliau turut menjawab persoalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) berhubung perancangan kerajaan bagi membanteras kesesakan Plaza Tol Gombak pula, Fadillah (GPS-Petra Jaya) memberitahu kapasiti sedia ada boleh menampung kapisiti pada waktu puncak.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak menafikan bahawa kapasiti luar biasa akan berlaku di plaza tol berkenaan ketika musim perayaaan dan cuti sekolah.

    “Kapasiti sedia ada pada waktu puncak harian bagi Plaza Tol Gombak hala barat ke Kuala Lumpur adalah 126,000 pengguna berbanding kapisiti penuh adalah 158,000 dan sepatutnya masih boleh menampung trafik pada waktu puncak.

    K’jaan perlu kajian lanjut untuk hapuskan tol – Menteri

    “Untuk makluman, waktu perayaan akan mencecah sehingga 180,000 sehingga 200,000 iaitu hampir sekali ganda trafik harian kerana kemampuan kita sehingga 158,000. Sebab itulah, kesesakan (teruk) berlaku hanya pada waktu perayaan… pada hari-hari biasa masih mampu ditampung,” katanya.

    Berdasarkan pemerhatian, katanya, kesesakan berlaku di Plaza Tol Gombak dari arah Kuala Lumpur disebabkan limpahan trafik apabila pertembungan simpang berlaku di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

    Dalam masa yang sama, Fadilah memberitahu pihaknya kini sedang melaksanakan kajian bagi melaksanakan lebuh raya alternatif di antara Gombak ke Bentong dalam menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK).

    “Untuk tentukan jajaran baharu atau naik taraf jalan sedia ada, kita ambil kira pelaksanaan cadangan projek termasuk impaknya terhadap alam sekitar dan sosial yang boleh mendatangkan manfaat kepada rakyat,” katanya.

     
     
  • Bentley Continental GT Mulliner Convertible 2021 – tunjuk hasil kerja lebih teliti, enjin W12 635 hp, 900 Nm

    Bentley Continental GT Mulliner Convertible 2021 – tunjuk hasil kerja lebih teliti, enjin W12 635 hp, 900 Nm

    Selepas didedahkan pada bulan Februari lepas, Bentley Continental GT Mulliner Convertible 2021 akan membuat penampilan pertama di depan orang ramai waktu acara Cheval Blanc di Saint-Tropez, Perancis. Model ini terletak paling atas dalam keluarga Continental GT Convertible dan merupakan model pertama yang dimasukkan dalam portfolio Collections baru yang diperkenalkan oleh Bentley Mulliner.

    Pada bahagian luar, model ini menggunakan gril Double Diamond baru bersama bukaan udara tepi khas Mulliner, serta rim 22 inci yang mempunyai logo boleh imbang sendiri (tulisan B tersebut tidak akan terbalik). Kemasan walnut veneer yang berwarna Grand Black datang secara standard tetapi Mulliner juga menawarkan 88 kemasan kayu lain yang boleh dipilih dengan pelbagai warna.

    Masuk ke bahagian dalam, Mulliner menunjukkan hasil kerja yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Banyak bahagian menggunakan jahitan Double Diamond, termasuk di tepi pintu dan panel belakang tempat duduk. Menurut Bentley, hampir 400,000 jahitan dibuat (seluruh kabin) untuk menghasilkan perincian sebegini dan setiap bentuk berlian itu mempunyai 712 jahitan sendiri. Mereka mengambil masa 18 bulan untuk membangunkan proses sulaman ini.

    Terdapat lapan kombinasi warna dua tona disediakan untuk bahagian dalam, manakala konsol tengah pula menempatkan jam khas Mulliner yang dibuat oleh Breitling. Penampilan yang sama dengan jam ini turut dipaparkan pada panel instrumen LED di hadapan pemandu.

    Barangan mewah lain yang dipasang pada model ini adalah sistem audio Naim for Bentley 1,800 watt, 20-channel yang turut termasuk dengan 18 pembesar suara, dua transducer Active Bass dan lapan mod pemproses bunyi digital. Semasa mendapatkan kereta ini, pembeli akan menerima kunci dalam kotak khas buatan tangan yang mempunyai logo Mulliner serta warna sama seperti kereta.

    Continental GT Mulliner Convertible 2021 boleh didapati dengan enjin V8 4.0 liter twin turbo yang berkuasa 550 hp dan 770 Nm, atau W12 6.0 liter twin turbo berkuasa 635 hp dan 900 Nm. Catatan masa pecutan 0-100 km/j untuk model ini adalah masing-masing 4.1 saat dan 3.7 saat.

     
     
  • VIDEO: Terlepas susur keluar? Jangan pentingkan diri, tergesa-gesa ubah lorong & bahayakan nyawa lain!

    Selain dari kerosakan pada kenderaan dan jalan raya, kemalangan trafik seringkali dikaitkan dengan sikap pemandu yang amat mementingkan diri. Kemalangan yang disebabkan ada pemandu membuat pusingan-U sesuka hati, guna lorong kecemasan tanpa alasan kukuh, pandu laju di kawasan yang sesak adalah antara kemalangan yang boleh dielak sekiranya pemandu sedar dengan sikap buruk ini.

    Satu lagi sikap yang pentingkan diri pemandu yang boleh kita lihat adalah ketika di susur keluar lebuhraya. Pelbagai ‘perangai’ yang merbahaya yang dilakukan oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab ini lakukan setelah terlepas susur keluar – ada yang sanggup mengundur kereta mereka dalam keadaan merbahaya, dan ada juga yang tergesa-gesa menukar lorong untuk keluar ke susur yang dimahukan setelah tersedar mereka terlepas laluan selamat untuk keluar dari lebuhraya berkenaan.

    Pagi tadi, satu lagi insiden yang sangat mengerikan berlaku akibat sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Menerusi video yang dikongsikan oleh pemilik akaun facebook Kechiq Gtnxr, kali ini seorang penunggang motosikal menjadi mangsa pemandu dengan sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

    Berdasarkan kapsyen dan juga papan tanda susur keluar yang jelas pada video berkenaan, kemalangan ini berlaku di Lebuhraya Elite, di susur keluar Subang Jaya arah utara pada pukul 7.51 pagi tadi. Dapat dilihat sebuah Perodua Alza berwarna putih dari lorong tengah lebuhraya tersebut memberikan isyarat ke kiri dan tergesa-gesa mahu keluar ke susur berkenaan dalam keadaan yang sangat bahaya.

    VIDEO: Terlepas susur keluar? Jangan pentingkan diri, tergesa-gesa ubah lorong & bahayakan nyawa lain!

    Akibatnya, sebuah motosikal dari lorong paling kiri tidak sempat untuk mengelak bahagian hadapan MPV tersebut, dan terus melanggarnya. Tambah mengerikan, setelah jatuh, penunggang motosikal itu turut digilis sebuah lagi motosikal dari arah belakang yang turut tidak sempat untuk mengelak kemalangan berkenaan. Namun masih lagi belum ada mana-mana laporan yang memberikan status penunggang motosikal tersebut.

    Apa yang terjadi kali ini sudah pun berlaku. Jadi kami mohon pembaca semua dan peringatan kepada penulis sendiri, janganlah kita mengambil mudah dengan tindakan ‘fikiran singkat’ sebegini yang mempunyai risiko kemalangan yang sangat tinggi.

    Jika anda terlepas susur, tolonglah jangan tergesa-gesa menukar lorong dengan cara ini. Tindakan yang paling selamat adalah fikirkan jalan alternatif yang boleh anda ambil di hadapan. Tak biasa dengan kawasan tersebut? Sekarang kan semua sudah ada telefon pintar. Jadi berhenti sebentar di tempat selamat, kemudian cari jalan ke destinasi yang anda mahukan menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps.

    Tolong, tolonglah jangan amalkan sikap pentingkan diri seperti ini. Disebabkan anda nak jimat masa kerana kesilapan sendiri, ada nyawa tidak berdosa yang melayang.

     
     
  • Kit TnG RFID pasang sendiri kini boleh dibeli di Shell

    Kit TnG RFID pasang sendiri kini boleh dibeli di Shell

    Shell Malaysia mengumumkan bahawa kit Touch ‘n Go RFID pemasangan sendiri kini boleh dibeli di stesen-stesen Shell terpilih di seluruh negara, dan dijual pada harga RM35. Dengan ini, pengguna mempunyai cara tambahan untuk mendapatkan kit pemasangan sendiri ini, selain membelinya dari Lazada, Shopee dan juga pusat pemasangan rasmi.

    Seperti yang pernah kami tunjukkan dalam video sebelum ini, untuk memasang sendiri kit berkenaan adalah sangat mudah. Setiap kit juga datang dengan panduan pemasangan yang boleh diakses melalui kod QR yang ada di luarnya, ataupun panduan langkah demi langkah yang tersedia di bahagian dalam.

    Adalah disarankan untuk memasang pelekat RFID pada bahagian atas kiri cermin depan kereta anda, atau pada bahagian lampu depan di sebelah kiri. Ini kerana, pengimbas di plaza tol berada di sebelah kiri laluan, dan bacaannya disasarkan ke bahagian kiri kenderaan.

    Cuma, yang perlu anda tahu, pelekat RFID berkenaan perlu diletakkan dalam jarak 5 cm daripada mana-mana permukaan logam yang ada, misalnya pada bahagian tiang A dan bumbung sekiranya anda ingin melekatkannya pada cermin utama. Untuk perincian lanjut tentang pemasangan sendiri pelekat TnG RFID ini, tonton video yang kami sediakan.

     
     
  • Pembinaan LPT3 diluluskan dengan kos awalan keseluruhan RM35j, dijangka siap April 2022 – Menteri

    Pembinaan LPT3 diluluskan dengan kos awalan keseluruhan RM35j, dijangka siap April 2022 – Menteri

    Walau pun kepimpinan negara telah diambilalih oleh Pakatan Nasional, namun beberapa projek terdahulu termasuk pembinaan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) telah diluluskan dengan kos kerja-kerja awalan keseluruhan berjumlah RM35 juta.

    Menurut Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, ia diluluskan menerusi satu surat bertarikh 3 Julai 2019 daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, laporan Bernama.

    Tambahnya, kerja awalan projek tersebut telah bermula pada Ogos 2020 dan dijangka siap April 2022. Lebuhraya berkenaan sepanjang 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan.

    Pembinaan LPT3 diluluskan dengan kos awalan keseluruhan RM35j, dijangka siap April 2022 – Menteri

    “Oleh yang demikian, hala tuju, skop dan tarikh pelaksanaan bagi projek LPT3 ini hanya dapat dimuktamadkan setelah laporan kerja awalan bagi projek ini diperoleh,” katanya menggulung perbahasan usul titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, semalam.

    Sementara itu, berhubung projek laluan ‘Central Spine Road’ (CSR), Fadillah berkata ia dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keutamaan kepada aspek keselamatan, kesesakan lalu lintas dan kesinambungan jajaran.

    Menurutnya sehingga kini, jajaran sepanjang 224km telah diluluskan untuk pelaksanaan iaitu 165.1km di Pahang (Pakej 3, 4 dan 5) dan 58.9km di Kelantan (Pakej 2 dan 3).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024