Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GALERI: Honda Civic 1.5 TC-P facelift 2020 – RM135k

    GALERI: Honda Civic 1.5 TC-P facelift 2020 – RM135k

    Pejam celik pejam celik, sekejap saja Honda Civic FC generasi ke-10 ini sudah menjangkau usia lima tahun. Namun ia masih menjadi sedan segmen-C yang makin digemari, buktinya, selain mencatatkan angka jualan yang memberangsangkan, model ini memang mudah kelihatan di jalan raya. Model facelift yang dilancarkan pada Februari lalu turut mencatatkan jualan yang menguja dengan sejumlah 6,500 unit tempahan dan 2,900 unit telah pun dihantar kepada pelanggan.

    Model pertengahan hayat Civic ini yang masih kekal sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan dengan tiga varian iaitu model asas 1.8 S, spesifikasi pertengahan 1.5 TC dan varian tertinggi 1.5 TC-P. Ia ditawarkan dengan harga dari RM113,600 hingga RM139,600, namun dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, harganya turun menjadi RM109k hingga RM135k.

    Civic 2020 ini melibatkan sedikit perubahan penggayaan dan penampilan luarannya. Wajah depannya kini menampilkan elemen kemasan hitam berkilat “wing” pada rekaan grilnya yang menggantikan kemasan krom sebelum ini. Bahagian bawah bampar depan pula kini diberikan kemasan hitam melintang dan kehadiran spoiler belakang baharu serta roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 235/40 melengkapi gayanya.

    Selain itu, ciri terbaharu bagi Civic 2020 ini juga hadir dengan penawaran pakej keselamatan dan teknologi bantuan pemandu Honda Sensing. Ciri berkenaan terdiri daripadanya antaranya Kawalan Melayar Adaptif (ACC) dengan Mengikut Dalam Kelajuan Rendah (LSF), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Menghindar Perlanggaran (CMBS), Sistem Pengekalan Lorong (LKAS), Penghindaran Pertukaran Laluan (RDM) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDW). Sekaligus menjadikan Civic 2020 sebagai model ketiga Honda untuk pasaran tempatan yang dilengkapi ciri berkenaan selepas CR-V dan Accord.

    Turut disertakan sekali ialah ciri Auto High-Beam (AHB) serta sistem kamera sisi LaneWatch. Lain-lain ciri termasuk enam beg udara, sensor parkir depan, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), ABS, EBD, bantuan brek, Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan kamera undur.

    Tiada perubahan mekanikal dilakukan, ia masih menggunakan enjin sedia ada L15B7 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder dengan lonjakan kuasa 173 PS dan 220 Nm. Ia turut dilengkapi dengan transmisi CVT, yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    Barisan Civic 2020 ini didatangkan dengan lima pilihan warna menarik iaitu Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl, Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl termasuk warna baharu Passion Red Pearl. Pelanggan juga boleh memilih beberapa pakej aksesori, termasuklah pakej Perlindungan bernilai RM3,007 yang merangkumi ultra glass body/window coating.

     
     
  • Mitsubishi hentikan eksport SUV ke Eropah – laporan

    Mitsubishi hentikan eksport SUV ke Eropah – laporan

    Mitsubishi dilaporkan sedang merancang untuk menghentikan eksport berberapa model SUVnya ke pasaran Eropah, lapor Automotive News Europe. Agensi berita tersebut memetik satu sumber yang enggan dikenali yang mengatakan bahawa tiga model SUV iaitu Mitsubishi Outlander PHEV, ASX dan Eclipse Cross tidak akan dieksport ke Eropah bermula bulan hadapan.

    Ketiga-tiga SUV berkenaan menyumbang sebanyak 64% jualan kenderaan penumpang Mitsubishi yang dijual dengan jumlah keseluruhan 53,242 unit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, manakala eksport untuk model hatchback Mirage dan trak pikap L200/Triton akan diteruskan sehingga penghujung 2021, tulis laporan tersebut.

    “Tanpa SUV, sudah tentu tiada perniagaan. Pengedar tidak dapat bertahan dengan hanya kereta kecil (Mirage) dan L200 (Triton),” kata sumber berkenaan. Keputusan untuk menghentikan eksport ini diambil kerana model-model sedia ada tersebut perlu dibuat kejuruteraan semula bagi memastikan ia memenuhi undang-undang emisi yang semakin ketat, tambah sumber yang rapat dengan Mitsubishi berkenaan.

    Mitsubishi hentikan eksport SUV ke Eropah – laporan

    Keputusan untuk menghentikan jualan tiga model ini sudah tentu akan menjejaskan Mitsubishi di Eropah. Outlander PHEV misalnya merupakan model yang menerima subsidi kenderaan rendah pencemaran di berberapa negara dalam benua berkenaan. Walau bagaimanapun, ia dikhabarkan akan digantikan dengan Outlander PHEV generasi baharu yang kini sedang dalam pembangunan dan bakal didedahkan tidak lama lagi.

    Mitsubishi Outlander PHEV generasi baharu tersebut dijangka akan mula dijual di Amerika Utara bermula suku kedua tahun hadapan. Ia dikatakan adalah model produksi dari versi konsep Engelberg Tourer/e-Yi yang telah didedahkan sebelum ini.

    Model tersebut dijana oleh enjin petrol 2.4 liter dan dibantu dengan motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang. Motor-motor tersebut menerima kuasa dari bateri lithium-ion 20 kWj, atau 12 kWj lebih tinggi dari sebelum ini. Ia juga didakwa boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 70 km, dan jarak keseluruhan 700 km.

    Bagi Eclipse Cross pula, ia dilaporkan akan turut menerima versi facelift yang signifikant untuk pasaran Amerika Utara pada suku pertama 2021, dengan rekaan muka dan belakang yang menerima lebih pengaruh rekaan signatur terkini Mitsubishi, bersama kemaskini pada bahagian dalaman serta sistem infotainmen.

     
     
  • Maserati lancar versi Trofeo bagi Ghibli dan Quattroporte – 3.8L Ferrari V8; 580 PS/730 Nm

    Maserati lancar versi Trofeo bagi Ghibli dan Quattroporte – 3.8L Ferrari V8; 580 PS/730 Nm

    Maserati telah memperluaskan barisan jentera Trofeo dengan memperkenalkan Quattroporte dan Ghibli Trofeo baharu, menyertai model sedia ada Levante Trofeo yang tiba pada April 2018. Ia masih menggunakan penjana kuasa yang sama, unit 3.8 liter turbo-berkembar VT binaan Ferrari yang dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan.

    Bagi model baharu tersebut, penjana kuasa ini mampu meledakkan sehingga 580 PS (572 hp) pada 6,750 rpm dan tork 730 Nm dari 2,250 hingga 5,250 rpm. Mirip seperti Levante Trofeo, walau pun dalam sesetengah pasaran, SUV ini mampu mencapai 598 PS (590 hp) untuk beberapa pasaran terpilih, termasuk Malaysia.

    Levante dan Quattroporte bukanlah asing daripada menggunakan V8, kerana ia juga dipadankan pada versi GTS sebelum ini. Walau bagaimana pun, ini merupakan kali pertama Ghibli menerima unit lapan-silinder, kerana sebelum ini ia hanya ditawarkan dengan unit petrol dan diesel V6 serta empat-silinder mild hybrid.

    Apa yang membezakan bagi Ghibli dan Quattroporte Trofeo ini ialah pacuannya disalurkan terus ke roda belakang. Sementara Levante Trofeo pula menerima sistem pacuan semua-roda Maserati yang juga limited-slip differential (LSD) belakang.

    Bagi prestasinya, versi Trofeo bagi Ghibli mampu dipecut dari 0-100 km/j dengan hanya 4.3 saat, berbanding Quattroporte dengan 4.5 saat, dan kedua-duanya mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 326 km/j. Secara perbandingan, Levante Trofeo lebih pantas bagi pecutan 0-100 km/j iaitu 4.1 saat (580 PS) atau 3.9 saat (598 PS) – walaupun kelajuan maksimumnya lebih rendah iaitu sekitar 302 km/j (580 PS) atau 304 km/j (598 PS).

    Kit standard termasuk sistem Integrated Vehicle Control (IVC), butang “Corsa” spesifik-Trofeo, fungsi kawalan pelancaran dan peredam Skyhook. Sedan ini turut dipadankan dengan roda Orione aluminium 21-inci, dan versi 22-inci dengan roda yang sama pada SUV.

    Maserati lancar versi Trofeo bagi Ghibli dan Quattroporte – 3.8L Ferrari V8; 580 PS/730 Nm

    Untuk membezakan jentera Trofeo berbanding model biasa, kemasan merah pada profil bawah bagi corong udara sisi dan juga lambang berkilat pada tiang-C diberikan. Selain itu, gril hadapan menampilkan kepingan menegak berkembar dalam kemasan hitam berkilat, dengan kemasan gentian karbon pada saluran udara hadapan dan pengekstrak belakang.

    Lampu belakang baharu juga ditampilkan dengan gaya ala boomberang yang diinspirasikan dari model konsep Alfieri dan 3200 GT. Ciri yang paling jelas kelihatabn bagi jentera Trofeo ialah bespoke bonnet dengan dua saluran udara untuk penyejukan enjin, yang pertama kali ditampilkan pada Levante Trofeo.

    Di dalamnya, ia ditampilkan dengan pemuka dan start-up eksklusif bersama perehat kepala dengan lambang Trofeo. Selain itu, ia turut menampilkan kulit Pieno Fiore, sistem bantuan pemanduan dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh MIA (Maserati Intelligent Assistant) 10.1-inci yang didatangkan secara standard – Levante menerima paparan yang lebih kecil bersaiz 8.4-inci.

     
     
  • GALERI: Rolls-Royce Cullinan Black Badge di M’sia

    GALERI: Rolls-Royce Cullinan Black Badge di M’sia

    Jun lalu, Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur dengan rasminya memperkenalkan Cullinan Black Badge bersama dengan model Wraith, Ghost dan Dawn versi yang sama di sini, menjadikan Malaysia satu-satunya negara di rantau ini yang menawarkan barisan penuh versi BB tersebut.

    Dari namanya sudah boleh diagak, yang versi ini hadir dengan kemasan hitam sebagai keutamaannya. Kemasan yang ada menggunakan penyudah krom hitam berkilat, yang boleh dilihat misalnya pada bingkai gril, keliling tingkap, kemasan bahagian belakang serta paip ekzos. Lambang Spirit of Ecstacy juga menerima kemasan yang sama.

    GALERI: Rolls-Royce Cullinan Black Badge di M’sia

    Model ini menerima rim rekaan baru dua tona warna saiz 22-inci. Angkup breknya juga diberikan kemasan hitam berkilat yang sama. Di dalam, kemasan khas yang dikenali sebagai Technical Carbon menjadi penghias. Ia material gentian karbon istimewa yang menggunakan enam lapis lacquer sebelum dibiarkan selama 72 jam.

    Versi BB ini juga menerima peningkatan prestasi. Enjin 6.75 liter turbocas berkembar V12 pada Cullinan ini menghasilkan 600 PS dan 90 Nm; ini 29 PS dan 50 Nm lebih tinggi daripada model versi biasa. Transmisi automatik lapan-kelajuan ZF juga telah ditala agar lebih responsif. Harga bagi Rolls-Royce Cullinan Black Badge ini bermula dari RM1.7 juta, tidak termasuk duti dan pilihan kustom.

     
     
  • Kia Sonet ditunjuk — SUV segmen A, gear iMT enam-kelajuan, penapis udara dengan perlindungan virus

    Kia Sonet ditunjuk — SUV segmen A, gear iMT enam-kelajuan, penapis udara dengan perlindungan virus

    Pasaran India kini makin menarik untuk diperhatikan. Misalnya, untuk Kia. Tahun lalu, Seltos mula dilancarkan di sana, dan kini barisan kenderaan lain jenama itu mula mengisi kekosongan perwakilan jenama berkenaan dalam pasaran dengan pengenalan Kia Sonet pula.

    SUV kecil ini, yang pertama kali ditunjukkan sebagai model konsep enam bulan lalu, bersaing dengan Hyundai Venue, Maruti Suzuki Vitara Brezza dan Nissan Magnite akan datang dalam kenderaan segmen A. Menariknya, Sonet nampak agak mirip dengan model konsep yang dipertontonkan sebelum ini.

    Rekaan gril “tiger nose” yang besar, grafik pada lampu utama serta lampu belakang melintang penuh, hiasan fender besar, kemasan bampar ala diffuser, ekzos berkembar hiasan antara yang menyumbang kepada kelainan penampilan model ini.

    Kia Sonet ditunjuk — SUV segmen A, gear iMT enam-kelajuan, penapis udara dengan perlindungan virus

    Kelainan yang dilakukan pada model produksi ini pula misalnya ialah penggunaan cermin pintu yang lebih besar, pemegang pintu konvensional dan wajah depan yang lebih agresif dengan projektor lampu kabus. Rim 16-inci pada model GT-Line juga lebih kecil dan tipis. Bagaimanapun, kereta ini masih menampilkan dua tona warna luaran yang bergaya.

    Di dalam, Sonet tampil sebagai sebuah Sorenta mini. Corong udara menegak dan paparan infotainmen serta panel instrumen menjadi antara elemen utama. Bagi model GT-Line, ia hadir dengan rekaan stereng rata bahagian bawah dan penggunaan benang merah. Kia mendakwa kereta ini mempunyai ciri yang pertama dalam segmennya – liang udara pada kerusi, sistem bunyi Bose dengan 10 pembesar suara dan skrin sentuh 10.25-inci bagi sistem infotainmennya.

    Senarai kelengkapan selebihnya terdiri daripada paparan multi-info 4.2-inci, pengecas tanpa wayar Qi, sistem lampu suasana kabin yang mengikut rentah muzik yang dimainkan, penapis udara kabin Smart Pure dengan perlindungan virus adalah antara yang ada. Sebagai respon terhadap pandemik ketika ini, penapis udaranya dilengkapi dengan lapisan N29 HEPA dan lampu ulatra-violet C yang menurut Kia berkesan untuk membunuh bakteria dan virus.

    Kia Sonet ditunjuk — SUV segmen A, gear iMT enam-kelajuan, penapis udara dengan perlindungan virus

    Bagi enjin, kereat ini ditawarkan dengan tiga pilihan enjin Smartsteram dan lima pilihan jenis transmisi. Ada unit 1.2 liter empat-silinder dan 1.0 liter turbocas T-GDi tiga-silinder petrol, serta unit 1.5 liter CRDi turbodiesel yang digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan.

    Transmisi lain yang turut disediakan ialah manual lima-kelajuan, jenis klac berkembar tujuh-kelajuan bagi enjin 1.0 liter turbo dan transmisi baru manual pintar enam-kelajuan (iMT). Jenis ini menggunakan klac kendalian elektronik. Bagi pasaran India, kotak gear ini dipasangkan “sensor penentu” yang melepaskan klac ketika tuil gear digerakkan.

    Ia ditala supaya enjin tidak mati dalam kedudukan gear tinggi dan kereta sedang bergerak perlahan. Ia juga datang dengan modul kawalan rev untuk mengelakkan kereta berundur ketika dalam kedudukan mendaki. Kia Sonet memang direka untuk pasaran India, tetapi disasarkan sebagai model global. Ada peluang untuk Sonet di jual di sini? Kalau ikutkan Seltos, memang ada peluanglah.

     
     
  • Geely Boyue dengan gril infinite weave Proton X70 – model edisi khas di China sempena produkasi 1-juta

    Geely Boyue dengan gril infinite weave Proton X70 – model edisi khas di China sempena produkasi 1-juta

    Tuan-tuan, ini bukan gambar edit atau render, ini betul-betul Geely Boyue untuk pasaran China yang diberikan gril rekaan pereka Proton untuk SUV X70 pasaran Malaysia. Boyue ini sebenarnya adalah model edisi khas sempena produksi satu juta unit SUV tersebut yang ditelah bermula pada 4 Ogos 2016.

    Seperti yang anda boleh lihat, tiada lagi gril “expanding cosmos” pada Boyue istimewa ini, namun logo Geely masih diberikan pada gril infinite weave berkenaan. Bagi yang belum mengetahui, inifinite weave ini adalah rekaan signatur terkini Proton yang diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi Melayu, dan ia turut dikenakan pada gril model Proton lain seperti Iriz, Persona dan Saga.

    Perincian luaran lain pada Boyue ini kelihatan masih lagi sama seperti model standard. Namun di dalam kabin, model istimewa berkenaan diberikan perincian sama seperti Boyue Pro termasuk roda stereng rata di bawah, dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lebih besar bersaiz 10.25-inci pada model varian tinggi.

    Geely Boyue dengan gril infinite weave Proton X70 – model edisi khas di China sempena produkasi 1-juta

    Kelengkapan lain seperti paparan instrumen digital tujuh-inci, sistem pendingin hawa dua-hala, upholsteri balutan kulit dan juga opsyen bumbung panaromik masih ditawarkan seperti biasa.

    Laporan dari media-media China menyebut, model istimewa ini turut datang dengan kelengkapan tingkat taraf casis seperti logam dengan ketegaran lebih tinggi pada subframe belakang bagi memberikan struktur lebih kuat serta lebih ringan.

    Geely Boyue edisi khas ini dijual di China dalam tiga varian, namun kesemuanya hadir dengan enjin 1.8 liter turbo dan hanya memacu roda hadapan. Model asas (dilaporkan digelar sebagai 1.8 TD + 6MT Comfort) menerima enjin dengan talaan 163 PS dan tork maksima 250 Nm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, dijual pada harga RMB99,800 (RM60,122).

    Geely Boyue dengan gril infinite weave Proton X70 – model edisi khas di China sempena produkasi 1-juta

    Model pertengahan pula dikenali sebagai varian 1.8TD +7DCT Comfort, menerima enjin dengan talaan 184 PS dan tork maksima 300 Nm bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang sama seperti Proton X70, dijual pada harga RMB109,800 (RM66,147).

    Manakala model tertinggi 1.8TD + 7DCT Luxury masih diberikan unit penjana sama seperti versi pertengahan, tetapi menerima kelengkapan tambahan lain, dijual pada harga RMB116,800 (RM70,366). Tujuh warna badan berbeza ditawarkan termasuk putih, perak, hitam, merah, emas, kelabu dan juga warna ungu istimewa.

    Untuk rekod, bagi model standard Boyue pasaran China, ia ditawarkan dalam empat varian, dijual pada harga bermula RMB88,800 (RM53,496) hingga RMB119,800 (RM72,172).

    GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020

     
     
  • BMW 545e xDrive G30 2021 – PHEV BMW paling pantas dengan 394 PS, 600 Nm, 0-100 km/j 3.4 saat

    BMW 545e xDrive G30 2021 – PHEV BMW paling pantas dengan 394 PS, 600 Nm, 0-100 km/j 3.4 saat

    Model i8 sudah diberhentikan pengeluarannya, dan sekarang BMW mempunyai model plug-in hybrid paling pantas iaitu 545e xDrive G30. Kewujudan model ini sudah diperkenalkan bersama 5 Series facelift secara ringkas, dan kini beberapa lagi perinciannya didedah.

    Penggerak 545e xDrive ini adalah enjin petrol enam silinder sebaris 3.0 liter berkemampuan 286 PS yang dipadankan bersama motor elektrik 80 kW (109 PS), untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 394 PS. Tork maksima adalah 600 Nm, sementara transmisi pula adalah unit Steptronic lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke semua roda.

    Tetapan plug-in hybrid ini sebenarnya adalah sama seperti yang digunakan pada 745Le LCI dan perbezaannya cuma pada catatan masa pecutan di mana 545e mampu melakukan 0-100 kmj dalam masa 4.7 saat sementara 745 Le yang lebih besar mencatat 5.1 saat. Laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Saiz bateri 545e ini adalah sama seperti 530e, iaitu 12 kWh dan menurut BMW ia boleh memberi jarak gerak antara 54 hingga 57 km menggunakan elektrik sahaja. Model ini juga mendapat fungsi BMW eDrive Zone secara standard, di mana ia boleh mengesan kawasan yang memerlukan emisi rendah melalui GPS, seterusnya melaras kenderaan kepada mod EV.

    Selain daripada itu, BMW juga memberitahu mereka akan terus membangunkan model yang menggunakan enjin petrol dan diesel, dengan sasaran menggabungkannya bersama sistem hibrid ringkas 48 volt demi mengurangkan emisi. Kereta elektrik penuh masih lagi bukan pilihan utama pembeli, jadi penggerak dengan tambahan kuasa elektrik ini akan dilancar secara berperingkat dalam masa beberapa tahun.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace 2020 akan dilancar di M’sia 12 Ogos ini – 7-tempat duduk, R-Line & Highline

    Volkswagen Tiguan Allspace 2020 akan dilancar di M’sia 12 Ogos ini – 7-tempat duduk, R-Line & Highline

    Di samping pelancaran Volkswagen Passat R-Line dan Arteon R-Line pada 12 Ogos ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) juga akan memperkenalkan Tiguan Allspace buat pertama kalinya. SUV tujuh-tempat duduk ini ditawarkan dengan dua kemasan iaitu Highline dan R-Line.

    Sebenarnya Tiguan Allspace dibangunkan untuk memenuhi permintaan pelanggan di Amerika Syarikat. Ia memiliki dimensi 215 mm lebih panjang iaitu pada 4,701 mm dan menawarkan lebih 57% kapasiti kargo. Jarak rodanya pula dilebarkan sebanyak 106 mm (2,787 mm) dan barisan tempat duduk kedua pula boleh digelangsar sehingga 178 mm.

    Dengan kedudukan semua tujuh tempat duduk dalam keadaan menegak, Tiguan Allspace menawarkan 230 liter ruang kargo, tetapi jika barisan tempat duduk ketiga dibaringkan, ia boleh meningkat sehingga 700 liter. Dan jika barisan tempat duduk kedua juga dibaringkan, secara keseluruhannya boleh mencapai 1,775 liter bagi ruang but.

    Bagi penjana kuasanya, Tiguan bersaiz besar ini masih menggunakan enjin yang sama seperti model lima-tempat duduk iaitu unit 1.4 liter empat-silinder TSI, menawarkan 150 PS dan tork 250 Nm. Dijangkakan ia dipadankan dengan kotak gear dwi-klac DSG (kering) enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan – jika konfigurasi ini, ia sama dengan spesifikasi yang negara jiran kita Indonesia terima. Untuk prestasinya, pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam 9.5 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 202 km/j.

    Untuk kelengkapannya, dijangka ia menerima Active Info Display digital sepenuhnya, lampu utama dan lampu belakang LED, unit utara Discover 9.2-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit dan kemungkinan besar roda Auckland 19-inci yang dibaluti tayar 235/50.

    Sebagai pengetahuan, Tiguan Highline lima-tempat duduk ditawarkan pada harga RM166,560, tetapi kini dengan potongan cukai jualan, ia menjadi RM162,108. Merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang VW di Pekan, Pahang, dan kemungkinan besar Allspace juga terhasil dalam unit CKD.

    Jika anda bercadang untuk melihat Tiguan, Arteon dan Passat R-Line secara lebih dekat, kunjungi Volkswagen Tour yang bakal berlangsung di pusat membeli-belah 1 Utama pada 12 hingga 16 Ogos ini.

     
     
  • Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Kurang sebulan selepas Toyota Corolla Cross diperkenalkan di Thailand, SUV segmen C berkenaan kini dilancarkan pula untuk pasaran Indonesia. Hanya ada dua varian untuk pasaran di sana – satu petrol dan satu hibrid – dengan senarai kelengkapan yang sama antara keduanya.

    Harga bagi model petrolnya ialah 457.8 juta rupiah (RM131,200) dan 497.8 juta rupiah (RM142,700) bagi versi hibrid. Ini tidak jauh beza daripada harganya untuk pasaran Thailand; di sana ia dijual pada harga bermula 989,000 baht (RM133,000)

    Unit janaan kuasanya menggunakan enjin 1.8 liter. Bagi versi petrol, unit 2ZR-FE Dual VVT-i NA empat-silindernya menghasilkan sebanyak 140 PS pada 6,400 rpm dan 172 Nm pada 4,000 rpm, dan digandingkan dengan transmisi CVT.

    Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Versi hibrid pula menggunakan unit kitaran Atkinson pada unit 2ZR-FXE, menghasilkan sebanyak 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm pada 3,600 rpm. Ini disertai juga oleh motor elektrik yang menyediakan output 72 PS dan 163 Nm – menjadikan output keseluruhannya 122 PS.

    SUV kompak ini juga mempunyai radius pusingan 5.2 meter. Dari segi dimensi, ia memiliki 4,460 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi dan jarak antara roda pula ialah 2,640 mm. Ia dibangun menggunakan platform TNGA (GA-C) dan dibangunkan denan pendekatan “Corolla Meets SUV” – menggunakan kelangsungan nama dari model sedan popular Corolla.

    Ruang dalaman untuk penumpang dan barangan adalah luas. Rekaan dalaman pula banyak menggunakan elemen visual bersegi. Kemasan krom menghiasi garis melintang di sepanjang papan pemuka dan bersambung ke corong pendingin hawa, di tengah terletak sebuah skrin multimedia terapung yang jelas dan kawalan zon pendingin hawa digital yang ringkas.

    Toyota Corolla Cross kini diperkenalkan di Indonesia pula — 1.8L petrol dan hibrid, RM131,200 – RM142,700

    Kelengkapan standard termasuk lampu utama dan lampu kabus LED, rim aloi 18-inci dua tona, sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan pendingin dua zon, bumbung berkuasa, skrin infotainmen boleh sentuh dan kamera undur.

    Versi hibrid menerima kemasan biru pada lampu utama, kerusi pemandu larasan enam-arah dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek serta kawalan kestabilan. Pakej Toyota Safety Sense yang ditawarkan untuk pasaran Thailand bagaimanapun tidak disertakan untuk pasaran Indonesia.

     
     
  • VW Arteon, Passat R-Line 2020 dilancar 12 Ogos ini

    VW Arteon, Passat R-Line 2020 dilancar 12 Ogos ini

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia telah pun mengesahkan model Arteon R-Line dan Passat R-Line bakal dilancarkan di negara ini pada 12 Ogos 2020. Kedua-dua model terbabit juga akan dipertontonkan dalam acara Volkswagen Tour, yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 Ogos ini di Pusat Membeli-Belah 1 Utama.

    Bagi Arteon R-Line yang pernah dikesan awal tahun ini di Rompin, Pahang, model pemasangan tempatan (CKD) ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TSI berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm.

    Kuasa akan disampaikan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan dan sistem AWD 4Motion VW, bersama sistem differential lock elektronik XDS.

    Antara kelengkapan yang dijangka untuk model ini termasuklah roda Montevideo 19-inci, tailgate berkuasa, Active Info Display digital sepenuihnya, sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dengan kawalan pergerakan dan ketersambungan tanpa wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit dan sistem bunyi dengan lapan-pembesar suara standard.

    VW Arteon, Passat R-Line 2020 dilancar 12 Ogos ini

    Bagi Passat R-Line pula, dijangka menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih bergaya, berkemungkinan turut menampilkan dua corong ekzos palsu. Logo R-Line turut ditampilkan, dengan padanan roda Verona 19-inci, iaitu satu-inci lebih besar berbanding unit Liverpool yang dipadankan pada 2.0 TSI Elegance.

    Tiada perincian mengenai penjana kuasanya, namun ia dijangkakan masih sama dengan Passat Elegance iaitu unit 2.0 liter empat-silinder TSI dengan 190 PS dan tork 320 Nm. Di mana ia adalah kurang 30 PS dan 30 Nm berbanding varian 2.0 Highline.

    Bagi memastikan harganya kompetitif, Passat R-Line ini mungkin tidak ditawarkan dengan sistem pacuan semua-roda Volkswagen 4Motion. Ia akan mengekalkan pacuan roda-hadapan, dan didatangkan dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan klac-kering DQ318 secara standard. Tidak juga dinyatakan adakah ia akan ditawarkan dengan Dynamic Chassis Control (DCC) atau pun XDS electronic differential lock.

    Bagi ciri lain, dijangkakan ia akan menampilkan lampu utama LED IQ Light, lampu kabus LED, dan lampu belakang LED. Selain itu, ciri lain termasuklah roda stereng tiga-jejari balutan kulit dengan lencana R-Line, kluster instrumen digital yang dipertingkatkan serta sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dengan Wireless App Connect dan upholstery kulit.

    Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan kawalan suhu automatik tiga-zon, tiga port USB-C, dan sistem bunyi standard dengan lapan-speaker seperti mana Passat Elegance. Perincian lanjut mengenai kedua-dua model yang bakal dilancarkan ini akan didedahkan pada hari pelancarannya, termasuklah harga jualannya.

    GALERI: Volkswagen Arteon (spesifikasi Singapura)

     
     
  • Spoon hasilkan turbo besar bagi membolehkan Honda Civic 1.5L VTEC Turbo anda jana 275 PS dan 414 Nm!

    Spoon hasilkan turbo besar bagi membolehkan Honda Civic 1.5L VTEC Turbo anda jana 275 PS dan 414 Nm!

    Tahun lalu, penala Honda dari Jepun iaitu Spoon Sport mengumumkan bahawa kereta demo untuk Civic Hatchback FK7 1.5L VTEC turbo mereka menghasilkan kuasa 200 PS dengan hanya penggunaan kotak komputer Hondata FlashPro, tanpa mengusik mana-mana komponen lain termasuk pengecas turbo.

    Terbaharu, kereta demo berkenaan kini telah pun menghasilkan 275 PS dan tork maksima 414 Nm dengan pengunaan pengecas turbo baharu yang lebih besar. Pengecas turbo Spoon yang dihasilkan bersama Mitsubishi Heavy Industri (MHI) ini mempunyai diameter kipas turbin 40 mm (standard hanya 37 mm) dan kipas pemampat pula berdiameter 49 mm (standard hanya 46 mm).

    Menurut Spoon, bagi mendapatkan kuasa sedemikian, pengecas turbo tersebut perlu dipadankan sekali dengan kotak komputer Hondata Flashpro. Ia juga boleh dipasangkan terus pada enjin L15 turbo dan bermaksud bukan sahaja untuk model hatchback FK7, malah sesuai untuk model sedan FC1.

    Walaubagaimanapun, Spoon memberi amaran sistem klac standard untuk kotak gear manual enam-kelajuan tidak dapat bertahan dengan kuasa 102 PS lebih besar dari asal ini. Spoon juga tidak memberitahu sama ada ia sesuai atau tidak dengan kotak gear CVT untuk model transmisi automatik seperti Civic FC pasaran Malaysia. Pengecas turbo lebih besar ini juga tidak murah – di Jepun, ia dijual pada harga 250,000 yen atau sekitar RM10k.

     
     
  • Hyundai akan guna nama Ioniq untuk cabang jenama baru kenderaan elektrik, tiga model sudah dirancang

    Hyundai akan guna nama Ioniq untuk cabang jenama baru kenderaan elektrik, tiga model sudah dirancang

    Anda mungkin tahu, sebelum ini Hyundai mempunyai model liftback yang dinamakan sebagai Ioniq dan ditawarkan kepada pasaran dalam versi hibrid, plug-in hybrid serta elektrik penuh. Kini, pengeluar dari Korea itu membuat pengumuman akan mengambil nama Ioniq tersebut, dan digunakan sebagai satu jenama baru khas untuk barisan kereta elektrik.

    Ini bukanlah kali pertama Hyundai melakukan sesuatu seperti itu kerana sebelum ini mereka juga sudah mengambil nama Genesis dan digunakan sebagai satu jenama untuk cabang kenderaan mewah mereka. “Jenama Ioniq akan mengubah paradigma pengalaman pelanggan EV,” kata timbalan presiden eksekutif dan ketua pegawai pemasaran Hyundai Motor Company, Wonhong Cho.

    Selain memberitahu berkenaan cabang jenama baru itu, Hyundai juga mendedahkan tiga model akan datang yang bakal dibina atas platform Electric Global Modular Platform (E-GMP). Platform khas untuk kenderaan elektrik ini dikata mampu “memberikan kemampuan pengecasan pantas dan jarak gerak yang jauh,” sambil menyediakan “ruang tamu pintar” di bahagian dalam.

    Hyundai akan guna nama Ioniq untuk cabang jenama baru kenderaan elektrik, tiga model sudah dirancang

    Mengikut perancangan, model pertama yang akan menggunakan jenama baru Ioniq ini adalah Ioniq 5, sebuah crossover yang akan diperkenalkan pada tahun 2021 dengan rekaan seperti 45 Concept. Ia kemudiannya akan diikuti oleh sedan Ioniq 6 pada tahun 2022 (berasaskan daripada Prophecy Concept) dan SUV Ioniq 7 pada tahun 2024.

    Hyundai memberitahu, rekaan model Ioniq akan mempunyai tema sama iaitu “Nilai Abadi,” dengan turut diterapkan bersama rekaan inspirasi daripada model-model sebelum ini. Syarikat itu turut memberitahu nombor genap akan digunakan untuk model sedan manakala nombor ganjil untuk crossover dan SUV.

     
     
  • Jalan susur masuk Bangi-Kajang di Persimpangan Bertingkat Kajang ditutup mulai 10-18 Ogos – PLUS

    Jalan susur masuk Bangi-Kajang di Persimpangan Bertingkat Kajang ditutup mulai 10-18 Ogos – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan jalan susur masuk Bangi ke Kajang di Persimpangan Bertingkat Kajang di Lebuhraya Utara-Selatan, akan ditutup kepada semua kenderaan mulai hari ini, 10 hingga 18 Ogos 2020, bermula jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaran memotong pokok-pokok besar menggunakan jentera khas dapat dijalankan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.

    Sehubungan dengan itu, pengguna lebuh raya dari arah Selatan/Bangi yang ingin menuju ke Kajang, dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dengan keluar dari lebuh raya menggunakan Plaza Tol Bangi atau Plaza Tol UPM.

    PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut supaya merancang perjalanan, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi semua papan tanda dan arahan yang disediakan oleh pihak PLUS.

     
     
  • 2 kampung di Kuala Sanglang, Perlis laksana TEMCO

    2 kampung di Kuala Sanglang, Perlis laksana TEMCO

    Kerajaan negeri Perlis melalui Jawatankuasa Keselamatan Negeri telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Secara Bersasar (TEMCO) di dua kampung di Sanglang, bermula 10 malam semalam (8 Ogos) hingga 4 September nanti, lapor Astro Awani.

    Perlaksanaan perintah TEMCO tersebut akan melibatkan Kampung Kuala Sanglang dan juga Kampung Tanah Timbul, dan ia dilaksanakan selepas mendapat pandangan dan nasihat dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 termasuk 10 kes baharu pada Jumaat.

    Kerajaan mengingatkan penduduk di kedua-dua kampung terbabit agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada. Sekatan jalan raya (SJR) turut akan dilaksanakan di laluan keluar masuk ke kawasan TEMCO dan orang awam di luar kawasan terbabit tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti keluar masuk kecuali pihak yang terlibat dengan perkhidmatan perlu (essential services).

    Dalam perkembangan sama, penduduk di kawasan TEMCO turut disarankan untuk mematuhi arahan kuarantin wajib di rumah selepas selesai menjalani ujian saringan COVID-19.

    Sepanjang perintah TEMCO ini, hanya Ketua Isi Rumah dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi mendapatkan barangan keperluan harian sepanjang tempoh kuarantin sementara menunggu keseluruhan ahli keluarga menerima arahan pelepasan (release order). Arahan pelepasan terbabit akan hanya diberikan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis selepas ujian saringan Covid-19 didapati negatif.

    Kerajaan negeri Perlis turut memberitahu bahawa pihaknya akan sentiasa menunjukkan komitmen dalam menyalurkan bantuan ke dua kawasan yang terlibat dalam meringankan bebanan penduduk.

     
     
  • Spoon Sport hasilkan pelitup muka, hanya RM28

    Spoon Sport hasilkan pelitup muka, hanya RM28

    Sebelum ini, pembuat tempat duduk perlumbaan dari Jepun iaitu Bride telah menghasilkan pelitup muka edisi terhad untuk mencegah penularan Covid-19 berharga RM132. Kini, penala untuk jenama Honda iaitu Spoon Sport turut menghasilkan produk yang sama.

    Menurut Spoon, pelitup muka yang “sesuai digunakan pada semua acara, perlumbaan dan perjumpaan” keluaran mereka ini dihasilkan dari material polyester yang sejuk ketika dipakai dan ia boleh dibasuh serta boleh digunakan berulang kali

    Tidak seperti produk yang dihasilkan secara edisi terhad oleh Bride, pelitup muka dari Spoon ini tidak dinyatakan akan dihasilkan dalam jumlah tertentu, dan ia dijual pada harga yang sangat berpatutan iaitu hanya 700 yen atau sekitar RM28.

    Pelitup muka ini boleh dibeli secara dalam talian di laman web rasmi mereka, namun malangnya Spoon turut menyatakan bahawa mereka tidak menyediakan khidmat penghantaran untuk pelanggan dari luar Jepun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024