Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Polis tutup lapan jalan di Kajang mulai 8 April; ada 10 lokasi sekatan jalan raya dilaksana sepanjang PKP

    Polis tutup lapan jalan di Kajang mulai 8 April; ada 10 lokasi sekatan jalan raya dilaksana sepanjang PKP

    Untuk anda yang berada di Kajang, ini ada makluman daripada polis daerah berkenaan yang bakal
    melaksanakan penutupan lapan jalan di beberapa lokasi dan menambah lokasi sekatan jalan raya bermula 8 April ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussoff, penutupan kekal melibatkan lapan jalan berkenaan adalah bagi mengehadkan perjalanan orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan fasa dua bagi membendung penularan wabak COVID-19.

    Laluan terbabit ialah Jalan Sungai Chua-Susur Terowong KTM, Jalan Reko-MRT, Jalan Cheras- Jalan Timur (depan Masjid Jamek Kajang), Jalan Semenyih-Jalan Low Ti Kok, susur turun ke Jalan TTDI Grove 2/1 dari arah Persiaran Saujana Impian, Jalan TTDI Grove 1/1, Persiaran Saujana Impian-Jalan Melor 1, Jalan Sungai Kantan dari arah Desa Jenaris dan dari arah Persiaran Saujana Impian serta sempadan Bandar Seri Putra- Nilai 3.

    Polis tutup lapan jalan di Kajang mulai 8 April; ada 10 lokasi sekatan jalan raya dilaksana sepanjang PKP

    Bagaimana pun, terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan iaitu dari arah Persiaran Saujana Impian dan Lebuhraya Grand Saga bolehlah melalui Jalan Cheras ke Kajang. Sementara yang datang dari arah Sungai Chua boleh melalui Lebuhraya SILK untuk ke Lebuhraya Grand Saga ke Jalan Cheras Kajang.

    Selain itu, orang ramai yang datang dari Jalan Reko boleh melalui Lebuhraya SILK, Jalan Bukit ke Pekan Kajang, Jalan Low Ti Kok, Jalan Timur melalui Jalan Cempaka Kuning, Cempaka Putih, Pekan Kajang dan laluan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Mahkamah Kajang, MPKJ, dan Kajang Plaza Medical Centre adalah melalui Jalan Timur dan Cempaka Kuning.

    Ahmad Dzaffir turut memaklumkan, pasukannya akan menambah tiga sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu KM1 Lebuhraya Besraya (hala ke UPM), Sungai Ramal Dalam (hala ke Putrajaya), dan Jalan Cheras Batu 14 (depan KPJ Kajang–hala ke Kajang) bermula tengah malam 8 April ini.

    Ia sebagai penambahan kepada tujuh lokasi sekatan jalan raya yang telah dilaksanakan iaitu di Lebuhraya Grand Saga (hala ke Kuala Lumpur), Plaza Tol Kajang, Plaza Tol Bangi, Plaza Tol Bandar Sri Putra, Plaza Tol Kajang Selatan (LEKAS), Batu 21 Sungai Lui, Hulu Langat, dan SJR Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

     
     
  • Geely sumbang ventilator untuk hospital di M’sia; Kumpulan Albukhary beri bantuan kewangan, material

    Geely sumbang ventilator untuk hospital di M’sia; Kumpulan Albukhary beri bantuan kewangan, material

    Kumpulan Albukhary telah pun tampil memberikan bantuan berupa wang tunai, kelengkapan perubatan, kenderaan, dan keperluan lain sebagai cara untuk membantu memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19, laporan The Malaysian Reserve.

    Usaha kumpulan itu diselaraskan melalui Yayasan Amal Li Shufu (LSCF) di China untuk menyumbang bantuan kepada pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia. Kumpulan Albukhary turut berkata beberapa bantuan telah dikeluarkan dan digunakan mulai minggu lalu. Li Shufu adalah pengerusi dan pengasas Geely.

    Hubungan Kumpulan Albukhary dengan Geely – rakan kongsi strategik Proton – membolehkan sumber kelengkapan perubatan utama disalurkan ke hospital di Malaysia, katanya. LSCF dan Geely adalah pengedar ventilator yang dihantar kepada hospital-hospital di seluruh negara, yang dijangka tiba bulan ini. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan, sumbangan tersebut termasuklah beberapa peralatan pelindungan lain.

    Geely sumbang ventilator untuk hospital di M’sia; Kumpulan Albukhary beri bantuan kewangan, material

    Dua syarikat di antara Kumpulan Albukhary iaitu DRB-Hicom dan MMC Corp juga telah menyalurkan bantuan kewangan sejumlah RM2 juta kepada Tabung COVID-19 kendalian kerajaan Malaysia. Menurut Malaysian Reserve, sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Mac lalu.

    “Beberapa syarikat dalam Kumpulan Albukhary telah tampil menyediakan pelbagai bantuan, termasuk peralatan perubatan (ventilator, peralatan perlindungan peribadi dan sebagainya) kepada Kementerian Kesihatan (KKM), serta makanan kepada hospital kerajaan, barisan hadapan media dan pelajar universiti,” ujar Kumpulan Albukhary.

    Sebagai tambahan, Kumpulan Albukhary turut meminjamkan 50 unit SUV Proton X70 kepada KKM sebagai pengangkutan petugas-petugas kementerian terbabit, dan dron kepada angkatan tentera untuk memantau dan pengawasan, tambah kenyataan kumpulan itu lagi.

     
     
  • Kadar ingkar PKP naik 51% semalam, orang ramai anggap “cuti ahad” keluar tanpa alasan – menteri

    Kadar ingkar PKP naik 51% semalam, orang ramai anggap “cuti ahad” keluar tanpa alasan – menteri

    Seramai 554 individu ditahan di sekatan jalan raya dan rondaan oleh pihak polis pada Ahad (5 April) dan ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak 51 peratus, dedah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media sebentar tadi, lapor Astro Awani.

    Menurutnya, orang ramai menganggap hari minggu sebagai hari cuti dan mengambil kesempatan untuk keluar tanpa alasan kukuh.

    “Semalam hari Ahad dan mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk keluar pada hari minggu. Saya berharap semua bercuti setiap hari dan bukan pada hari minggu sahaja. Tolong jangan ambil kesempatan untuk keluar beramai-ramai pada hari minggu,” katanya pada sidang media tadi.

    Sehubungan itu, Ismail berkata tindakan dan pemeriksaan yang lebih tegas dikenakan pihak polis kerana masih lagi ramai yang melanggar arahan PKP ini. Tindakan tegas polis ini juga didorong oleh peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

    Kadar ingkar PKP naik 51% semalam, orang ramai anggap “cuti ahad” keluar tanpa alasan – menteri

    “Tindakan keras oleh polis telah bermula. Oleh itu, jangan langar perintah dan arahan di bawah PKP yang dikeluarkan. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas kepada mereka yang masih tetap mengingkari arahan PKP,” tegas beliau.

    Ismail juga memmaklumkan bahawa pada Ahad lalu pihak polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sebanyak 743 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 293,051 kenderaan. Sebanyak 25,818 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan 4,822 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

    Sehingga semalam, sebanyak 3,662 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 61-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

    Hari ini masuk hari ke-20 PKP berlangsung, dan jika rantaian ini masih berleluasa, tempoh yang dijadualkan akan tamat pada 14 April ini mungkin akan dilanjutkan lagi. Kalau tak nak ia disambung, ayuh bantu barisan hadapan negara untuk menjayakan perperangan terhadap Covid-19 ini dengan duduk di rumah, dan tidak sewenang-wenangnya keluar untuk urusan remeh-temeh!

     
     
  • Jaminan kenderaan Proton tidak terjejas sebab PKP – lanjutan 1,000 km bagi waranti yang sepatutnya tamat

    Jaminan kenderaan Proton tidak terjejas sebab PKP – lanjutan 1,000 km bagi waranti yang sepatutnya tamat

    Proton hari ini mengumumkan bahawa jaminan bagi kenderaan keluaran syarikat itu yang sepatutnya tamat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diumumkan oleh kerajaan akan dilanjutkan sebanyak 1,000 km atau 30 hari selepas tempoh berkenaan berakhir kelak (atau yang mana dahulu).

    Perkara ini mencerminkan sokongan kepada langkah yang diambil oleh kerajaan berkaitan PKP dan juga bagi mengurangkan beban serta kerisauan pemilik serta pelanggan Proton terhadap kenderaan mereka.

    Berikutan penutupan semua pusat servis Proton sepanjang tempoh PKP, jaminan sedia ada bagi setiap kenderaan masih sah dan boleh digunakan meskipun kenderaan tersebut telah melepasi tempoh servis yang sepatutnya. Pelanggan dinasihatkan untuk menyelenggara kenderaan mereka dalam tempoh 30 hari selepas hari terakhir PKP bagi memastikan waranti kenderaan mereka kekal aktif.

    Pelanggan juga dinasihatkan untuk menghubungi pusat servis PROTON bagi membuat temu janji dalam tempoh 15 hari selepas hari terakhir PKP nanti. Selain itu, sementara menanti tempoh PKP tamat, Proton juga menyarankan agar pemilik untuk melakukan penyelenggaraan ringkas terhadap kenderaan mereka.

    Jika ada sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian khidmat pelanggan Proton di 1800-88-8398 atau emel kepada [email protected].

     
     
  • Dua pemandu F1 McLaren, staf lain setuju dipotong gaji secara sukarela kerana pandemik Covid-19

    Dua pemandu F1 McLaren, staf lain setuju dipotong gaji secara sukarela kerana pandemik Covid-19

    Pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini bukan hanya menjejaskan pendapat Mak Cik Kiah dan juga artis-artis di Malaysia. Pendapatan untuk pasukan lumba profesional juga nampaknya turut terjejas. Dengan lapan perlumbaan awal musim ditangguhkan atau dibatalkan terus, pasukan dari British iaitu McLaren kini berhadapan dengan masalah kewangan.

    Bagi membantu pasukan mengharungi keadaan sukar ini, dua pemandu utama pasukan tersebut, Carlos Sainz dan Lando Norris bersetuju dipotong gaji secara sukarela, lapor Motorsport.com. Bukan hanya dua bintang utama ini, gaji staf lain termasuk CEO pasukan, Zak Brown dan juga senior-senior pengurusan turut dipotong, manakala sebahagian staf telah dicutikan buat sementara waktu.

    Dua pemandu F1 McLaren, staf lain setuju dipotong gaji secara sukarela kerana pandemik Covid-19

    “McLaren Group kini telah mencutikan berberapa orang pekerja sebagai sebahagian langkah dari pelbagai cara untuk mengurangkan kos kerana impak dari pandemik Covid-19 terhadap perniagaan. Langkah ini diambil bagi menumpukan usaha untuk mengekalkan pekerjaan dalam masa pendek bagi memastikan pekerja kami dapat bekerja semula secara sepenuh masa apabila ekonomi pulih kelak,” kata jurucakap McLaren kepada portal berkenaan.

    Dalam masa yang sama, pihak pengendali F1 masih berharap musim ini dapat diteruskan. Kini mereka sedang berbincang untuk mengadakan satu format ‘superseason’ di mana pusingan akhir akan berjalan pada bulan Januari tahun hadapan.

     
     
  • Nissan kurangkan pengeluaran di Thailand akibat Covid-19, satu kilang ditutup dan satu lagi beroperasi

    Nissan kurangkan pengeluaran di Thailand akibat Covid-19, satu kilang ditutup dan satu lagi beroperasi

    Pandemik Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia kini memberikan kesan kepada pelbagai perniagaan, dan Nissan telah membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah pengeluaran produk mereka di Thailand.

    Salah satu kilang mereka yang terletak di Samut Prakan telah ditutup buat sementara waktu sehingga 3 Mei 2020, sementara satu lagi kilang masih lagi dibuka, tetapi dengan jumlah pengeluaran yang dilaras semula untuk mengikuti permintaan pengguna.

    Menurut laporan Bangkok Post, siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Nissan juga menyatakan pelarasan semula turut akan dibuat pada operasi lain yang berkaitan, termasuk pemasangan enjin dan kelengkapan lain. Di Thailand, Nissan mempunyai lima anak syarikat yang termasuk dua pusat pengeluaran, serta 180 pusat pameran dan servis. Pada masa ini, pekerja pejabat juga sudah diarahkan bekerja dari rumah.

    Nissan kurangkan pengeluaran di Thailand akibat Covid-19, satu kilang ditutup dan satu lagi beroperasi

    “Matlamat kami adalah untuk menyambung operasi perniagaan seperti biasa secepat mungkin, tetapi dengan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja, keluarga serta masyarakat Thailand sebagai keutamaan,” kata presiden Nissan Thailand, Ramesh Narasimhan.

    Beliau menambah, Nissan sedang mempertingkatkan usaha untuk melindungi pekerja, pelanggan serta komuniti semasa penularan wabak ini, dan yakin bekalan produk mereka mencukupi bagi permintaan sekarang. Rangkaian pengedaran jenama ini juga masih dibuka di seluruh Thailand.

     
     
  • Volkswagen lancarkan kempen servis “Welcome Back”

    Volkswagen lancarkan kempen servis “Welcome Back”

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini melancarkan kempen “Welcome Back” di bawah usaha Volkswagen Care sedia ada dan mensasarkan pemilik kenderaan Volkswagen yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Syarikat itu menggesa pelanggan terlibat untuk mendaftar dan membuat tempahan untuk temujanji servis kenderaan mereka melalui laman web, yang kemudiannya akan disusuli oleh petugas bagi menetapkan perincian lanjut.

    VPCM memaklumkan temujanji berkenaan mesti dibuat dalam tempoh 30 hari selepas PKP ditamatkan. Semua pelanggan yang mendaftar dalam tempoh ini turut akan menerima cenderahati. Mereka yang tidak menuntut servis penyelenggaraan percuma atau bukan ahli Volkswagen Care Plus (VCP) layak untuk mendapat baucar tambahan bernilai RM50 bagi minyak enjin.

    Selain itu, VPCM juga mencadangkan mereka yang memasuki tahun kelima pemilikan kenderaan untuk mendaftar di dalam program yang disediakan untuk mebolehkan mereka menikmati manfaat yang disediakan. Ini termasuklah tiga baucar servis 20%, bantuan tepi jalan selama dua tahun dan pakej ganti bateri di lokasi 24 jam.

    Bagi jaminan pula, Volkswagen akan terus memberikan jaminan pelindungan bagi kenderaan yang tidak dapat mengikut jadual servis yang sepatutnya sepanjang PKP ini. Bagi yang berkenaan, anda boleh klik di sini untuk menempah temujanji “Welcome Back”, dan ketahui cara memuat turun aplikasi Volkswagen Care.

     
     
  • PLUS nasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya pastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi

    PLUS nasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya pastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi

    Untuk pengguna Jambatan Pulau Pinang yang harus membuat perjalanan atas urusan penting sahaja, diminta untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi. Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), sebarang transaksi tambah nilai menerusi pembantu khidmat pelanggan tidak lagi dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

    “Kami menggesa pelanggan lebuhraya supaya sentiasa memastikan mereka mempunyai baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi. Bagi memudahkan mereka menambah nilai, pelanggan boleh berbuat demikian di pusat-pusat menambah nilai yang lain seperti mesin ATM, kedai serbaneka serta stesen minyak yang terdapat di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Prai. Kiosk Layan Diri turut disediakan di lokasi-lokasi terpilih sepanjang lebuhraya PLUS,” kata CEO PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.

    Walau bagaimana pun, PLUS amat memahami kesukaran sesetengah pemandu untuk membuat tambah nilai di lokasi-lokasi lain selain plaza tol. Namun demikian, langkah untuk memberhentikan perkhidmatan menambah nilai di lorong tol sepanjang PKP ini perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di kalangan pelanggan dan juga pembantu khidmat pelanggan.

    “Paling utama, langkah terbaik membendung penularan COVID-19 adalah dengan duduk di rumah dan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial. Dengan memastikan kad Touch ‘n Go sentiasa mempunyai baki yang mencukupi untuk transaksi tol, ia dapat mengelakkan interaksi langsung bersama pembantu khidmat pelanggan dan pada masa yang sama, memastikan penjarakkan sosial dapat dilakukan,” jelas Zakaria.

     
     
  • Hyundai promosikan social distancing untuk bendung Covid-19 dengan logo yang telah diubah secara kreatif

    Tahukah anda loga ‘H’ senget pembuat automotif Korea ini bukan sekadar bermaksud ‘Hyundai’ semata-mata? Jika anda lihat dengan teliti, ia sebenarnya adalah bayang dua orang yang sedang bersalam – yang kiri mewakili pekerja syarikat, manakala di kanan pula adalah pelanggan yang berpuas hati.

    Namun bagi mempromosikan penjarakkan sosial (social distancing) bagi membendung penularan Covid-19 yang sedang mengancam dunia sekarang, Hyundai menghasilkan logo memaparkan kedua-dua bayangan tersebut tidak lagi bersalam. Bukan itu sahaja, logo itu juga dihasilkan dalam bentuk memaparkan kedua-dua tangan itu dibasuh bagi mengingatkan orang ramai agar selalu membasuhkan tangan, untuk memastikan mereka tidak terjangkit dengan Coronavirus ini.

    Hyundai bukan sahaja telah menghentikan banyak operasi kilang mereka untuk membendung wabak Covid-19 ini dari terus merebak, bahkan mereka juga adalah jenama pertama di Amerika Syarikat yang menawarkan Insuran Perlindungan Kehilangan Pekerjaan yang menyaksikan jenama tersebut menyerap bayaran bulanan selama enam-bulan untuk kereta pelanggannya yang kehilangan pekerjaan kerana pandemik Covid-19 ini.

    Selain dari Hyundai, jenama lain turut melakukan perkara sama – Volkswagen misalnya mengasingkan huruf ‘V’ dan ‘W’ dalam logo mereka, manakala Audi pula menjarakkan empat gelung yang sebelum ini saling bersentuhan.

     
     
  • BMW R18 2020 – bentuk klasik, boxer paling berkuasa

    BMW R18 2020 – bentuk klasik, boxer paling berkuasa

    Model cruiser terbaru daripada BMW Motorrad ini mulanya ditunjukkan sebagai sebuah konsep pertengahan tahun lepas, tapi apa yang anda saksikan ini pula adalah versi produksi untuk pasaran. Rekaan motosikal ini banyak mengambil inspirasi daripada model lama terutamanya R 5, dan digabungkan dengan teknologi moden.

    Tetapan enjin boxer penyejukan udara sama seperti R 5 turut digunakan pada R18, tetapi istimewanya, ia adalah unit boxer paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW, dengan kapasiti 1,802 cc dan kuasa 91 hp pada 4,750 rpm serta tork 150 Nm antara 2,000 hingga 4,000 rpm. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui sistem syaf.

    Suspensi hadapan motosikal ini masih lagi menggunakan fork biasa berdiameter 49 mm, tetapi ia ditutup dengan kelongsong khas untuk menjadikannya lebih kemas manakala di belakang juga terdapat lengan ayun dan monoshock yang tersembunyi di bawah tempat duduk, meskipun jika diperhati dari tepi ia nampak seperti kerangka rigid.

    BMW tidak mahu penunggang motosikal ini terganggu dengan pelbagai teknologi moden dan mahukan mereka lebih menikmati tunggangan, jadi tidak banyak kelengkapan canggih padanya. Walaubagaimanapun, ia masih dipasang dengan Automatic Stability Control (ASC), Engine Drag Torque Control (MSR) serta tiga mod tunggangan iaitu Rain, Roll dan Rock. Hill Start Control dan bantuan undur pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Selain daripada keadaan standard, BMW Motorrad juga menyediakan pelbagai pilihan aksesori untuk R18 ini, untuk menjadikannya lebih sesuai dengan kemahuan pemilik seperti pemegang yang lebih tinggi, tempat duduk, kemasan enjin, ekzos dan pelbagai lagi.

    GALERI: Aksesori BMW R18 2020

    GALERI: BMW R5

     
     
  • Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    Seperti yang sedia maklum, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan bantuan anggota tentera memperhebatkan lagi penguatkuasaan termasuk melakukan sekatan jalan raya di kebanyakan lokasi.

    Walau bagaimana pun, masih terdapat banyak kenderaan di jalan raya walau pun kerajaan menggesa agar orang ramai duduk sahaja di rumah melainkan untuk membeli bekalan makanan, keperluan mustahan dan juga ubat-ubatan. Tapi ada juga yang ingkar akan larangan ini, selamba sahaja keluar dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah termasuk nak siram bunga di pejabat, nak hantar resepi kat kawan dan macam-macam lagi.

    Dan yang tak boleh diterima dek akal, bila ramai juga yang mencemuh dan menyalahkan polis dan tentera bila tersekat dalam kesesakan lalu lintas akibat sekatan jalan raya. Ini termasuklah seorang wanita yang menjerit dengan kata-kata kesat terhadap anggota polis di satu lokasi sekatan jalan raya baru-baru ini dan hasilnya, dia ditahan reman dan telah dihadapkan di mahkamah.

    Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    Ini pula peringatan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang menyeru agar orang ramai berhenti menyalahkan anggota polis ekoran berlaku kesesakan lalu lintas ketika sekatan jalan raya, kerana tugas pasukan keselamatan itu adalah bagi memastikan individu berkenaan tidak keluar rumah tanpa alasan munasabah semasa tempoh PKP.

    Katanya, orang ramai seharusnya mematuhi setiap arahan PKP yang dikuatkuasakan bagi membataskan pergerakan keluar rumah individu dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.

    “Kami terpaksa membuat sekatan jalan raya di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19, selain mengehadkan pergerakan keluar rumah orang ramai. Saya menasihatkan orang ramai yang tidak tersenarai dalam sektor perkhidmatan perlu untuk memahami arahan PKP, dan perlu melalui sekatan jalan raya,” katanya menerusi laporan Bernama.

    Tambahnya lagi, sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas semasa sekatan jalan raya, orang awam diminta bersabar kerana pihaknya tidak mahu terlepas pandang jika ada individu tidak berkenaan keluar dari rumah.

    Henti salahkan polis buat sekatan jalan raya – KPN

    “Orang ramai jangan merungut dengan isu remeh seperti berlaku kesesakan lalu lintas sekitar 10 hingga 15 minit di lebuh raya mahupun di pusat bandar.

    “Saya minta mereka fikirkan keadaan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan Kuala Lumpur sebelum PKP dilaksanakan… jangan begitu manja dengan menyalahkan sekatan jalan raya,” katanya yang turut menyuarakan kekesalan apabila ada anggotanya turut menerima cacian daripada orang ramai kerana melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara.

    Walau bagaimana pun, beliau yang turun sendiri ke ke lapangan untuk melihat anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya dan menasihatkan mereka supaya bersabar dan bekerja dengan profesional.

    “Alhamdulillah mereka menunjukkan kesabaran yang tinggi dalam menangani isu ini (menerima cacian). Orang ramai kena ingat bahawa anak buah saya, pihak tentera dan lain-lain pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya seluruh negara juga mudah terdedah dengan risiko COVID-19,” katanya.

     
     
  • Nissan Almera 2020 dengan kit Drive68 – meleleh!

    Nissan Almera 2020 dengan kit Drive68 – meleleh!

    Itu hari kita tengok penangan pembuat kit badan Thailand NKGarage memberikan sentuhan yang ‘merecik’ terhadap Honda City 2020. Kali ini satu lagi pembuat kit dari negara tersebut iaitu Ter Studio, menghasilkan rekaan yang ‘meleleh’ kepada satu lagi sedan segmen-B generasi baharu iaitu Nissan Almera 2020.

    Kit badan yang diberikan pada Almera ini adalah dari siri Drive68, yang hadir lengkap dengan spoiler bawah dan kemasan sekeliling lampu kabus pada bampar hadapan, skirt sisi, kemasan diffuser lebih agresif bersama perumah tip ekzos palsu pada bampar belakang dan juga spoiler jenis ekor itik pada penutup but.

    Rekaan asas Almera generasi baharu ini sememangnya jauh lebih sporty dari generasi sebelumnya. Di Thailand, Almera mengikut jejak langkah City untuk masuk ke segmen Kereta Eco Thai Fasa 2, jadi ia perlu dijana oleh enjin HRA0 1.0 liter tiga-silinder dengan pengecas turbo, yang menghasilkan kuasa 100 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 152 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm.

    Nissan Almera 2020 dengan kit Drive68 – meleleh!

    Walau bagaimanapun, tiada transmisi manual ditawarkan, di mana kesemua model diberikan kotak gear Xtronic CVT automatik dengan sistem D-Step Logic.

    Sebelum ini, kelibat Almera ini sudah pun dilihat sedang diuji di Malaysia, dan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sudah pun mengesahkan bahawa Almera generasi baharu ini akan tiba di pasaran tempatana pada tahun ini. Ok, setakat ini mana pilihan anda, Almera atau City?

    GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

    GALERI: Foto rasmi Nissan Almera 2020

     
     
  • Isu hukuman penjara pesalah PKP akan dibincang; jangan ganggu tugas pihak berkuasa – Ismail Sabri

    Isu hukuman penjara pesalah PKP akan dibincang; jangan ganggu tugas pihak berkuasa – Ismail Sabri

    Ada sesetengah pihak menganggap hukuman penjara yang dikenakan terhadap pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya golongan remaja adalah tidak wajar. Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) antara yang merayu kepada kerajaan supaya mempertimbangkan hukuman perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah muda, bukannya penjara.

    Bagaimana pun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak berkuasa mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana tiada khidmat masyarakat boleh dijalankan sepanjang tempoh PKP, laporan MalaysiaKini.

    Perkara ini turut mendapat perhatian kerajaan, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan isu hukuman penjara terhadap pesalah PKP akan dibincangkan antara Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara, dalam masa terdekat.

    “Mesyuarat Jawatankuas Khas Menteri-Menteri mengenai PKP bersetuju supaya pihak Peguam Negara, PDRM dan Jabatan Penjara untuk membincangkan isu ini supaya dapat diselesaikan segera,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Isu hukuman penjara pesalah PKP akan dibincang; jangan ganggu tugas pihak berkuasa – Ismail Sabri

    Dalam masa yang sama, beliau turut memberi peringatan agar jangan sesekali orang awam cuba mengganggu tugas atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap petugas keselamatan.

    “Tolong beri kerjasama kepada pihak polis. Jangan cuba untuk menghalang tugas mereka atau memaki hamun. Seperti yang saya katakana bahawa ‘mood’ dari segi penguatkuasaan pihak polis telah berubah daripada menasihat kepada tegas dan kini keras,” tegasnya lagi.

    Baru-baru ini, Jabatan Penjara turut meminta mahkamah supaya berhenti menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar PKP, memandangkan langkah itu akan menyebabkan kesesakan di penjara, selain menjadi punca penularan wabak COVID-19 di dalam penjara.

    Susulan itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menggesa pegawai kehakiman untuk mengambil pertimbangan, berhubung masalah risiko penularan wabak COVID-19 sekiranya pesalah dipenjarakan. Beliau turut mencadangkan supaya pesalah pelanggaran PKP dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat, tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.

     
     
  • Dorna beri bantuan kewangan kepada pasukan satelit MotoGP serta semua pasukan Moto2 dan Moto3

    Dorna beri bantuan kewangan kepada pasukan satelit MotoGP serta semua pasukan Moto2 dan Moto3

    Pandemik Covid 19 yang sedang melanda sekarang turut memberi kesan kepada pendapatan pasukan-pasukan sukan permotoran termasuklah yang terlibat dalam MotoGP. Melihat kepada perkara ini, Dorna Sports telah bersetuju untuk memberi bantuan kepada pasukan satelit MotoGP serta semua pasukan Moto2 dan Moto3.

    Pemberian bantuan ini turut mendapat persetujuan daripada FIM serta dua pemegang saham utama iaitu Bridgepoint Capital dan CPP Investments. Jumlah sebenar bantuan yang diberi tidak diumum tetapi semua pasukan Moto2 dan Moto3 telah menerimanya manakala untuk pasukan satelit MotoGP, ia akan diberi pada bulan April, Mei dan Jun.

    Bantuan ini tetap akan diberikan tanpa mengambil kira sama ada perlumbaan masih ditangguh ataupun sudah boleh dilaksanakan pada masa hadapan. Setakat ini juga kita masih belum tahu bila perlumbaan seterusnya siri MotoGP musim 2020 akan berjalan kerana satu demi satu pusingan telah ditangguh.

    Dorna berharap bantuan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada kewangan pasukan, dan mereka dapat terus memastikan kewujudan dalam siri perlumbaan ini. Langkah-langkah bantuan lain juga sedang diambil kira.

     
     
  • Selangor benarkan bengkel & kedai alat ganti di buka dari 9 pagi hingga 4 petang sepanjang tempoh PKP

    Selangor benarkan bengkel & kedai alat ganti di buka dari 9 pagi hingga 4 petang sepanjang tempoh PKP

    Kerajaan negeri Selangor telah membenarkan bengkel-bengkel kenderaan dan juga kedai-kedai alat ganti beroperasi mulai jam 9 pagi sehingga 4 petang setiap hari, bagi tujuan kecemasan sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua, lapor Berita Harian.

    Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, dan menjelaskan bahawa langkah ini dibuat kerana barisan hadapan dan mereka yang terbabit dalam ‘essential services’ masih perlu keluar bekerja setiap hari.

    “Kebenaran ini adalah untuk tujuan kecemasan di mana masalah kereta dapat dibaiki demi keselamatan rakyat, terutamanya mereka yang perlu bekerja dalam tempoh PKP ini yang menghadapi masalah kenderaan”, katanya.

    “Tetapi semua individu, dalam apa juga situasi perlu mematuhi jarak sosial 1 meter apabila berada di tempat awam seperti itu. Bagi yang tiada keperluan untuk keluar, duduk di rumah sahaja bagi membantu mengekang penularan wabak COVID-19,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024