Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Imej Hyundai i20 generasi ketiga bocor sebelum didedahkan secara rasmi di Geneva bulan depan

    Imej Hyundai i20 generasi ketiga bocor sebelum didedahkan secara rasmi di Geneva bulan depan

    Hyundai telah mendedahkan lakaran model generasi ketiga i20 awal bulan ini, sebagai teaser sebelum membuat kemunculan sulungnya di Geneva Motor Show bulan hadapan. Walau bagaimanapun, imej sebenar bahagian luaran hatchback segmen-B ini nampaknya sudah bocor terlebih dahulu di internet.

    Kecuali ruang roda yang lebih kecil, perincian lain pada kereta ini nampaknya seiras dengan lakaran yang disiarkan tempoh hari. Berbanding model sedia ada, i20 generasi seterusnya ini tampil dengan rekaan lebih agresif seiring dengan rekaan signatur terbaharu mereka yang digelar “Sensuous Sportiness.”

    Muka hatchback ini nampak lebih dengan gril Cascading baharu, diapit rapat oleh lampu utama yang tajam. Kemasan lampu kabus juga direka bersegi seakan untuk mengaut aliran udara dari hadapan. Bayangan sisi badan juga nampak lebih sporty dengan bumbung landai kebelakang bersama garis bahu yang menyerlah dari fender hadapan hingga bawah tiang-C di belakang. Turut boleh dilihat, penutup pengisi bahan api model ini diletakkan di bawah sisi lampu belakang, seakan rekaan pada Ford Focus.

    Bahagian belakang hatchback ini turut menerima rekaan selari dengan mukanya. Lampu belakang direka agresif dengan bentuk bersegi, dan ia kelihatan bersambung dengan kemasan sekeliling cermin belakang, yang direka seakan spoiler serta mempunyai elemen seperti sirip pada sebelah sisi.

    Imej Hyundai i20 generasi ketiga bocor sebelum didedahkan secara rasmi di Geneva bulan depan

    Namun lagi sekali, set gambar ini tidak disertakan sekali dengan imej pada bahagian kabin. Menurut Hyundai dalam pengumuman sebelum ini, papan pemuka hatchback tersebut akan menampilkan bilah melintang yang “mewakili lebar muka hadapan dan liang udara tersorok rapi,” bersama pelbagai teknologi terkini termasuk dua skrin bersaiz 10.25-inci.

    Juga, masih lagi belum sebarang petunjuk berkenaan unit janakuasa yang akan menggerakkan model generasi baharu ini. Walau bagaimanapun, dalam berberapa laporan ada menyebut bahawa i20 generasi ketiga akan hadir dengan barisan enjin terdiri dari pilihan 1.0 liter tiga silinder turbo T-GDI dan juga unit 1.2 liter empat silinder NA.

    Sebelum ini juga jenama Korea tersebut telah di lihat menguji versi berprestasi tinggi Hyundai N yang diinspirasikan dari jentera lumba i20 WRC, tetapi dalam badan model generasi sedia ada, dikhabarkan akan dijana enjin 1.6 liter turbo empat silinder menghasilkan 200 hp.

    GALERI: Imej spyshot Hyundai i20 generasi ketiga

     
     
  • Honda City 1.0L VTEC Turbo RS NKGarage – merecik!

    Honda City 1.0L VTEC Turbo RS NKGarage – merecik!

    Pembuat komponen berasaskan material gentian karbon dari Thailand, NKGarage telah mendedahkan kit badan lengkap untuk Honda City RS generasi terbaharu, dan ia sudahpun mula boleh dibeli. Seperti produk-produk mereka sebelum ini, kit penggayaan luaran lengkap untuk City GN1 ini semuanya diperbuat dari bahan ringan tersebut.

    Kit berkenaan terdiri dari lip spoiler hadapan berharga 8,900 baht (RM1,182), skirt sisi berharga 14,000 baht (RM1,860), lip spoiler bampar belakang berharga 6,000 baht (RM797), penutup bonet hadapan berharga 15,000 baht (RM1,993), sirip vortex generator berharga 8,500 baht (RM1,129), penutup cermin sisi berharga 3,500 baht (RM465) dan juga spoiler but belakang berharga 6,500 baht (RM863).

    Unit demo NKGarage ini ditambah lagi dengan berberapa aksesori yang menaikkan lagi rupa agresifnya. Antaranya ialah sistem ekzos lengkap dari satu lagi jenama yang berasal dari Thailand iaitu JTCtitanium, sistem brek dengan cakera berliang bersama angkup lebih besar dari Endless, set rim 15-inci Volk Racing TE37 bersama tayar Toyo Proxes R888 R bersaiz 195/50R15, suspensi yang merendahkan lagi badan kereta serta sepasang tempat duduk hadapan Recaro Sporster CS berwarna merah.

    Seperti model generasi sebelum ini, City generasi baharu ini dihasilkan oleh Honda Thailand, dan negara tersebut menjadi pasaran pertama menerimanya, didedahkan buat pertama kali pada November tahun lalu. Bagi membolehkan model ini bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 dan menerima insentif potongan cukai istimewa di Thailand, ia diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

    Honda City 1.0L VTEC Turbo RS NKGarage – merecik!

    Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

    Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

    Empat varian City ditawarkan dalam pasaran Thailand iaitu versi paling paling asas S, V, SV dan buat pertama kali ia diperkenalkan dalam varian yang paling sporty – City RS, tetapi kesemuanya dijana oleh enjin yang sama.

    Kita di Malaysia mungkin akan menerima model ini tidak lama lagi, kerana unit ujiannya sudah pun kelihatan diuji di Lebuhraya Persekutuan minggu lalu. Namun, masih lagi sukar untuk diagak adakah pasaran Malaysia turut akan menerima enjin turbo yang sama atau kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC NA seperti model generasi sedia ada.

    Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

     
     
  • Pagani Imola – 827 hp, 1,100 Nm tork, harga RM22 juta

    Pagani Imola – 827 hp, 1,100 Nm tork, harga RM22 juta

    Dalam diam Pagani telah menghasilkan sebuah hypercar yang hanya akan dibuat sebanyak lima unit tetapi semuanya telah habis dijual pada harga lima juta Euro. Ia dipanggil sebagai Pagani Imola, dan nama ini diambil daripada litar di mana kereta ini banyak menghabiskan masa untuk pembangunan.

    Menurut Pagani, kereta ini telah melalui ujian pengesahan yang paling teruk pernah dibuat oleh syarikat, termasuk dibelasah sehingga 16,000 km pada kelajuan lumba, bersamaan dengan tiga kali jarak perlumbaan 24 Hours of Le Mans.

    “Kami tak boleh cakap ini adalah sebuah kereta yang elegan. Kami mahukan kereta yang cekap, dan seperti yang boleh dijangka, jika anda lihat pada kereta lumba F1, ia membawa kami kepada rekaan dengan ciri aerodinamik tambahan. Jadi walaupun rekaan ini mungkin mengganggu pandangan kepada garis badan serta estetik kenderaan, ia sebenarnya dapat membantu memperbaiki catatan masa dalam litar, pemanduan dan keselamatan,” kata ketua pereka dan pengasas Pagani, Horacio Pagani.

    Sistem aerodinamik aktif pada Imola sebenarnya adalah sama seperti kereta jalanan pertama yang menggunakan teknologi ini, iaitu Huayra, dengan empat winglet padanya boleh bergerak mengikut keadaan pemanduan, termasuk waktu membrek. Geometri suspensi pula terdiri daripada unit double wishbone pada semua roda, spring helical dan penyerap kawalan elektronik.

    Bahagian monocoque tengah yang sama seperti Imola dan Roadster BC, dibuat daripada bahan komposit Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62 turut digunakan pada Imola, untuk mengurangkan lagi berat sambil meningkatkan ketegarannya. Pergi lagi satu tahap ke atas pada aspek pengurangan berat ini, Pagani menggunakan cat Acquarello Light, yang lima kilogram lebih ringan berbanding cat biasa. Berat keseluruhannya cuma 1,246 kg.

    Pagani Imola dipacu oleh enjin V12 6.0 liter oleh AMG, dengan kuasa sebanyak 827 hp dan 1,100 Nm tork dihantar ke gandar belakang melalui transmisi AMT transverse tujuh kelajuan dengan differential elektro mekanikal. Brek pula adalah unit cakera seramik karbon Brembo bersaiz 398 mm di hadapan dan 380 mm di belakang, dengan sistem penyejukan yang ditambah baik.

     
     
  • Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

    Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

    Acara perhimpunan kereta bagi memungut dana amal, Drive4Paul Malaysia 2019 telah pun berakhir pada 13 Oktober tahun lalu. Tapi berapa sebenarnya jumlah dana yang dikutip pada acara berkenaan? Hari ini pengasas Retro Havoc Malaysia, Rosli Mohamad Said yang menganjurkan acara ini dengan kerjasama 1048Style Japan telah mengumumkan secara rasmi bahawa kutipan yang berjaya mereka capai adalah RM148,935!

    Menurut Rosli yang lebih senang disapa dengan nama Alie Kuoppa, jumlah ini secara tidak langsung telah memecahkan rekod yang dikutip ketika acara Drive4Paul Japan yang diadakan pada tahun 2018, yang mencatatkan kutipan sekitar RM127k.

    Segala dana yang diterima ini dikutip dalam bentuk yuran pendaftaran, tapak-tapak foodtruck, pelbagai cenderamata rasmi yang dijual sepanjang acara tersebut berlangsung dan juga pelbagai lagi sumber. Seperti yang dilakukan oleh Drive4Paul Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Jepun sebelum ini, dana yang dikutip ini akan diserahkan sepenuhnya kepada badan amal tanpa sokongan kerajaan, Reach Out World Wide (ROWW).

    Drive4Paul Malaysia 2019 catat kutipan rasmi RM148,935, pecah rekod kutipan Drive4Paul Japan

    Alie juga turut menyatakan bahawa jumlah ini hanya boleh diumumkan hari ini setelah segala dana dari penaja dan peniaga pada acara berkenaan telah sepenuhnya diserahkan kepada ROWW pada 10 Februari lalu.

    ROWW telah diasaskan oleh pelakon utama saga filem Fast & Furious, Paul Walker (yang memegang watak sebagai Brian O’Conner), dan badan ini ditubuhkan bagi membolehkan dia melakukan kerja-kerja amal dengan fokus kepada membantu mangsa-mangsa bencana alam di seluruh dunia seperti gempa bumi yang berlaku di Chile dan Haiti, puting beliung yang melanda Alabama dan ribut taufan di Filipina.

    Walaupun Paul Walker telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 20 November 2013, ROWW masih lagi wujud dan meneruskan kerja-kerja amal mereka. Justeru, acara Drive4Paul ini telah dianjurkan secara global sebagai salah satu cara untuk mengumpulkan dana, dalam masa yang sama ia diadakan bagi memperingati mendiang pengasasnya itu.

    Drive4Paul Malaysia dengan jayanya telah dilangsungkan bermula pada hari Sabtu 12 Oktober 2019 dengan perhimpunan di hangar bekas Lapangan Terbang TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia), dihadiri sejumlah 420 kereta ubahsuai dan eksotik, serta berberapa kereta-kereta replika filem FnF yang pernah dipandu Brian O’Conner, yang bukan sahaja dari Malaysia, malah terdapat juga peserta yang datang dari Thailand.

    Perhimpunan tersebut turut diserikan dengan penampilan adik kepada Paul iaitu Cody Walker, yang kini meneruskan kerja-kerja mendiang abangnya itu di ROWW. Selain perhimpunan, pelbagai aktiviti lain seperti ‘taxi ride’ kereta drift serta persembahan-persembahan pentas turut berlangsung pada hari tersebut.

    Selain dari menjadi acara Drive4Paul pertama yang dilangsungkan di Asia Tenggara, Drive4Paul Malaysia juga merupakan yang pertama dalam siri acara tersebut mendapat kerjasama kerajaan tempatan setelah menerima sokongan dari Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia (MARii), Tourism Malaysia dan juga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

    Acara ini diteruskan pada 13 Oktober dengan konvoi peserta dari Hotel EQ di Kuala Lumpur ke Putrajaya, dan kemudian bergerak ke Litar Antarabangsa Sepang. Drive4Paul secara rasmi ditutup pada malam berkenaan dengan sesi ‘parade’ di dalam litar berkenaan oleh kesemua kereta peserta yang berdaftar.

    GALERI: Drive4Paul Malaysia 2019

     
     
  • Siri nombor plat UUM – bidaan dibuka hingga 1 Mac

    Siri nombor plat UUM – bidaan dibuka hingga 1 Mac

    Satu lagi universiti awam, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengumumkan siri plat nombor khas dan tempahannya sudah dibuka mulai 16 Feb hingga 1 Mac 2020. Bidaan itu melibatkan siri “UUM 1′ hingga “UUM 9999′.

    Bidaan untuk nombor biasa bermula dari RM500, sementara nombor popular bermula dari RM1,000 hingga RM2,000. Bagi nombor utama (1-10) pula bermula dari RM30,000. Difahamkan UUM 1 hingga 6 telah pun diambil, jadi tinggal baki empat lagi nombor utama yang tinggal iaitu 7 hingga 10.

    UUM merupakan universiti ke-empat yang menawarkan jualan siri nombor plat khas ini. Pada Julai tahun lalu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya mendapat kebenaran untuk menjual plat “UMT”, dan bulan lalu pula, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut mendapat kebenaran yang sama. kesemuanya menawarkan plat dari “1” hingga “9999”.

    Siri nombor plat UUM – bidaan dibuka hingga 1 Mac

    Klik untuk besarkan

    Pada Disember 2019, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengumumkan nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian. Katanya, dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan sahaja.

    Menurut laporan sebelum ini, universiti awam perlu membayar RM500,000 untuk 10,000 pendaftaran, dan perlu menjual nombor plat terbabit dalam tempoh tiga tahun atau ia harus dikembalikan kepada JPJ.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

    Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

    Hujan yang turun sekejap tidak mampu meredakan cuaca panas terik selama dua hari di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang tidak menjadi penghalang untuk acara Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival dan siri perlumbaan Vios Challenge Pusingan ketiga bagi musim ketiga berlangsung dengan gamat, terutama pada hari Ahad yang menyaksikan lebih ramai pengunjung dan penonton hadir untuk memberi sokongan.

    Seperti biasanya TGR, pelbagai pameran dan aturcara yang disediakan untuk seisi keluarga; antara yang banyak menarik perhatian ialah aksi drift oleh Toyo Tires, dewan pameran dan permainan e-sukan serta kemuncak pada petang Sabtu, persembahan pentas selama kira-kira 45 minit oleh band Hujan.

    Namun, tumpuan utama TGR sepanjang tiga musim ia dianjurkan ini tentulah di litar jalanan yang disediakan; pertembungan sengit antara pelumba-pelumba bagi Vios Challenge, dan tidak lupa, yang turut menampilkan kelas khas Promotional untuk selebriti-selebriti tempatan yang turut menunjukkan kemahiran berlumba.

    Toyota Gazoo Racing Festival di Stadium Batu Kawan penuh dengan aksi mendebarkan dari dalam litar

    Sejak Sabtu lagi litar Batu Kawan menjadi “hangat” dengan banyak kejadian dan perkembangan menarik. Semua ini tidak menunggu lama untuk mengambil tempat; sejak pusingan kelayakan, telah banyak saingan sengit dan perlanggaran yang berlaku. Misalnya, bagi kelas Promotional, Shafiq Kyle yang terlanggar tembok serta jentera Ain Edruce yang kemalangan dalam perlumbaan pusingan pertama dan menyaksikan sebiji tayarnya tercabut dan bergolek di dalam litar antara yang mencuri tumpuan.

    Bagi kelas Super Sporting dan Sporting pula, saingannya lebih sengit. Tengku Djan Ley yang mengungguli perlumbaan pertama pada hari Sabtu bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan sekadar mengutip mata untuk perlumbaan kedua. Ini kerana sebagai juara perlumbaan pertama itu, beliau perlu memulakan perlumbaan dikotak terakhir dengan tambahan beban 55 kg.

    Tidak cukup dengan itu, seawal perlumbaan kedua pula Djan terlanggar pula tembok; selepas penukaran tayar belakang sebelah kanan, beliau berusaha untuk menamatkan perlumbaan untuk mendapatkan juga mata. Di depan, Freddie Ng yang bermula dari kotak pertama agak selesa dari awal perlumbaan untuk mengekalkan kedudukan itu walaupun turut dicabar oleh William Ho dan Boy Wong yang mengikut rapat di belakang.

    Perlumbaan paling menarik pada Ahad ialah milik kelas Sporting. Dengan jumlah jentera lumba paling banyak di antara kelas-kelas yang dipertandingkan, perlumbaan mereka tidak menunggu lama sebelum perlanggaran besar berlaku selepas sebuah jentera hilang kawalan dan menghentam tembok. Oleh kerana jarak yang dekat dan litar yang sempit, ia dalam sekelip mata menjadi perlanggaran bertindan melibatkan hampir enam kereta.

    Tidak cukup dengan itu, kereta keselamatan terpaksa keluar sebanyak dua kali disepanjang perlumbaan, membuatkan jarak yang ada di antara pelumba-pelumba dirapatkan semua dan sekali gus mempengaruhi bagaimana perlumbaan itu berakhir. Tom Goh yang berada di hadapan sejak kotak mula kerap berhasil menjarakkan dirinya daripada Haji Sutan dan juga Bradley Benedict.

    Tetapi, dengan kereta keselamatan terpaksa keluar, ini memberikan kesukaran kepada Tom; di dua selekoh pusingan terakhir, Bradley berhasil memintasnya dalam satu aksi getir dan berisiko. Pelumba yang paling banyak menunjukkan kesungguhan tentulah Bradley sendiri. Dari kedudukan keempat, beliau berjaya memintas antaranya Haji Sutan – yang memulakan perlumbaan di petak kedua -untuk akhirnya muncul juara.

    Bagi kategori Promotional pula, perlumbaan pada Ahad menjadi antara yang memuaskan bagi tiga pelumba yang berjaya menduduki podium. Shukri Yahaya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee mengungguli saingan, memintas beberapa pelumba lain yang memulakan perlumbaan di petak-petak hadapan. Janna Nick bagaimanapun tidak dapat menghabiskan perlumbaan selepas terlibat dalam satu perlanggaran bersama Shafiq Kyle.

    Apa pun, TGR Musim ke-3 ini masih berbaki dua lagi perlumbaan di satu lagi lokasi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan menjadi perlumbaan kemuncak bagi menentukan juara bagi musim ini. Jumpa di Sepang pula nanti.

     
     
  • Harley-Davidson Electra Glide Standard – RM132,400

    Harley-Davidson Electra Glide Standard – RM132,400

    Semasa Harley-Davidson Malaysia mengeluarkan senarai harga model tahun 2020 pasaran Malaysia hujung tahun lalu – yang menunjukkan penurunan sehingga RM40k – model Electra Glide Standard sudah ada dalam senarai, dengan harga RM132,400. Cumanya waktu itu, tiada satu pun unit model tersebut yang boleh dilihat di pusat pameran.

    Kini ia sudah tiba bersama stok untuk jualan umum, dan H-D Malaysia mengadakan satu tontonan khas untuk para media di Petaling Jaya. Electra Glide Standard adalah model Touring H-D yang paling mampu milik sekarang dan kelengkapannya lebih ringkas jika dibandingkan dengan Street Glide Special yang dijual pada harga RM169,400.

    Dalam keadaan sebegitu, Electra Glide Standard memberikan peluang kepada pemilik untuk mengubah suai motosikal dan memasangnya dengan aksesori yang bersesuaian mengikut cita rasa. Seperti yang diketahui, pilihan aksesori untuk motosikal Harley-Davidson adalah sangat banyak termasuklah warna keseluruhan badan.

    Walaupun dipanggil sebagai sebuah model asas, Electra Glide Standard masih mempunyai kemasan krom di beberapa bahagian, fairing ikonik untuk model ini serta rim aluminium 17 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Suspensi dan brek (Brembo) model ini masih sama seperti versi yang lebih tinggi, dan datang dengan sistem ABS serta cruise control.

    Electra Glide Standard dikuasakan oleh enjin Milwaukee-Eight 107 yang berkapasiti 1,746 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan tork sehingga 150 Nm pada 3,250 rpm. Berat keseluruhan model ini adalah 372 kg (termasuk bendalir) dan datang dengan tangki bahan api 22.7 liter.

     
     
  • Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Kia Sorento generasi ke-empat telah pun dikesan baru-baru ini, menampakkan imej luaran SUV tiga-barisan tempat duduk ini. Terbaru, Kia telah pun mendedahkan pula foto rasmi SUV ini, termasuklah untuk bahagian kabinnya.

    Penggayaan yang lebih ranggi dipertaruhkan berbanding dengan imej konvesional pada model semasa. Malahan model baharu ini lebih kelihatan mantap dengan garisan badan yang lebih menjol, serta bahagian belakang juga lebih menyerlah.

    Pada bahagian hadapan, gril “tiger nose” yang sudah menjadi identiti kenderaan Kia turut digunakan pada Sorento, dengan hanya terdapat jalur krom yang nipis di atasnya manakala lampu pula menggunakan unit LED projector yang berbentuk nipis, bersama jalur lampu DRL di bawahnya.

    Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Malah kelihatan bonjolan yang jelas atas bonet SUV ini, yang sekaligus menjadikannya nampak lebih garang manakala bampar pula mempunyai lampu kabus yang diletakkan rendah manakala di penjuru terdapat bukaan udara menegak.

    Untuk bahagian profil sisi, kelihatan juga garisan yang merintangi bahagian hadapan hingga ke belakang, termasuk fillet krom pada fender dan pintu. Pada pintu belakang pula ditampilkan “sirip jerung” krom, sementara cermin pintu pula diasingkan daripada tiang-A untuk imej yang lebih premium.

    Bahagian belakang menunjukkan rekaan yang lebih radikal, dengan lekuk-lekuk unik pada pintu but, empat jalur lampu yang menegak (sedikit seperti Ford Mustang), hiasan krom dan bukaan udara hiasan pada bahagian bawah bampar, spoiler bumbung serta tulisan Sorento yang dijarakkan.

    Kia Sorento 2021: Imej rasmi pertama didedahkan

    Menerusi foto bahagian dalamannya, kelihatan papan pemuka melintang yang seakan ‘meminjam’ gaya Mercedes-Benz. Kelihatan panel paparan besar, yang turut menjadi perumah skrin sesentuh tengah 10.25-inci, dan juga paparan instrumen digital 12.3-inci. Malah turut ditampilkan lapan corong udara menegak, konsol tengah yang lebih tinggi dan juga pemilih rotary gear seakan Jaguar.

    Buat masa ini, tiada sebarang perincian teknikal dibongkarkan. Walau bagaimana pun Sorento ini mungkin menggunakan enjin Kia yang biasa, termasuk 2.0 liter dan 2.5 liter turbo naturally-aspirated dan juga unit 2.0 liter dan 2.2 liter turbodiesel. Perincian penuhnya akan didedahkan pada 3 Mac ini dalam penganjuran Geneva Motor Show.

     
     
  • Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Tiga tahun lalu, jenama automotif keluaran Australia, Holden telah menghentikan operasi produksinya di negara berkenaan, dengan produk-produk mereka akan dibuat dan diimport dari kilang-kilang General Motors (GM) di negara lain. Hari ini satu lagi berita duka untuk jenama tersebut diumumkan – GM sah akan menghentikan seluruh operasi Holden pada hujung tahun ini, lapor CarAdvice.

    Keputusan ini diambil kerana GM telah membuat keputusan untuk tidak lagi menghasilkan kereta-kereta dengan pemanduan sebelah kanan. Model-model yang dijual oleh Holden buat masa sekarang sebenarnya adalah versi rebadge dalam pemanduan sebelah kanan dari jenama di bawah GM yang lain; Holden Commodore ZB misalnya, adalah diasaskan dari Opel Insignia.

    Serentak dengan langkah ini, GM turut akan menutup studio rekaan di Melbourne, dan juga litar ujian Lang Lang yang terletak pinggir Melbourne. Dengan langkah ini juga sekitar 600 hingga 800 staf akan kehilangan pekerjaan mereka, namun seramai 200 orang akan terus berkerja selama 10-tahun bagi meneruskan khidmat servis dan waranti terhadap unit-unit kenderaan terakhir yang telah dijual kepada pelanggan.

    Sebahagian dari bilik pameran Holden sedia ada akan ditukar menjadi jaringan pengedar General Motors Specialty Vehicles (GMSV), iaitu sub-jenama yang akan menjual model-model GM dari Amerika Syarikat yang diubahsuai dari pemanduan sebelah kiri.

    Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Buat masa sekarang GM telah pun menjual Chevrolet Corvette C8 di bilik pameran Holden bersama SUV GMC Acadia serta Chevrolet Equinox dengan logo Holden. Chevrolet Camaro dan Silverado juga telah dibawa ke Australia dan kini dijual di 65 dari 204 pengedar Holden di negara berkenaan.

    “Niat kami adalah untuk memulihkan jenama…tiada kesalahan akan dituding kepada pasukan tempatan. Keputusan (berkenaan Holden) ini adalah semuanya kerana keutamaan pelaburan,” kata seorang yang berpangkat tinggi dalam GM kepada CarAdvice.

    GM mencatatkan prestasi yang lembab di negara-negara pemanduan sebelah kanan lain dalam tiga tahun kebelakangan ini, dan telah pun angkat kaki dari pasaran seperti UK, Jepun, India dan Afrika Selatan. Mereka masih lagi beroperasi di Thailand, Australia dan New Zealand, namun menurut GM sudah tidak akan mendatangkan keuntungan untuk membangunkan kereta baharu bagi pasaran-pasaran kecil seperti ini. Buat masa sekarang, 75 peratus pasaran automotif dunia menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri.

    Holden telah diasaskan oleh James Alexander Holden pada 1856, tetapi ketika itu syarikat tersebut merupakan pengeluar bagi produk-produk kulit dan pelana. Ia terus berkembang sebagai pembuat side car untuk motosikal dan membuat kerangka badan kereta pada tahun 1905, dan kemudian membekalkan kereta tram untuk Melbourne pada era 20’an.

    Holden sah akan ‘berkubur’ hujung tahun ini

    Pada tahun 1924, Holden mula menjadi pengedar kenderaan dari Amerika, General Motors di Australia. Manakala pada 1931, General Motors dan Holden digabungkan bagi membentuk General Motors-Holden’s Limited (GM-H). Holden mula mengeksport keretanya ke New Zealand pada tahun 1953 dan syarikat tersebut benar-benar menyerlah pada tahun 1958 apabila 40 peratus dari keseluruhan kereta di Australia adalah dari Holden.

    Detik kejatuhan Holden benar-benar dapat dilihat pada era Y2K apabila bahagian pasarannya jatuh 15% pada tahun 2006, setelah pelaburan sebanyak $400 juta di buat pada kilang enjin V6 miliknya yang terletak di Port Melbourne (kilang tersebut telah ditutup sepenuhnya pada 2016).

    Kedudukan Holden semakin meruncing ketika era Krisis Kewangan Dunia yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan jualan eksportnya, seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat tersebut. Akhirnya, VF Commodore yang dilancarkan pada tahun 2013 disahkan sebagai Commodore terakhir yang akan dihasilkan di Australia.

     
     
  • Lexus UX boleh ditempah – tiga varian, dari RM244k

    Lexus UX boleh ditempah – tiga varian, dari RM244k

    Selepas menyiarkan teaser dalam laman media sosial mereka, Lexus Malaysia hari ini akhirnya membuka tempahan untuk model UX, yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu UX 200 Urban, UX 200 Luxury dan UX 200 F Sport. Harganya masing-masing adalah RM243,888, RM283,888 dan RM299,888.

    UX adalah model yang akan bersaing dengan BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA. Badannya adalah lebih kecil daripada model NX, dengan ukuran 4,496 mm panjang, lebar 1,840 mm, tinggi 1,520 mm, jarak roda 2,639 mm dan dibina atas platform Global Architecture – Compact (GA-C), iaitu platform Toyota New Global Architecture (TNGA) sama seperti C-HR, tetapi versi Lexus.

    Malaysia menerima model UX 200, yang bermaksud ia digerakkan oleh enjin empat silinder petrol NA 2.0 liter Dynamic Force, bersama padanan transmisi automatik 10 kelajuan Direct Shift, untuk menghasilkan kuasa 169 hp pada 6,600 rpm dan 205 Nm tork pada 4,800 rpm.

    Untuk senarai kelengkapan, UX 200 Urban datang dengan lampu utama LED projector bersama DRL, lampu belakang LED, rim 17 inci, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula, panel instrumen TFT LCD tujuh inci, tiga mod pemanduan (Eco, Normal dan Sport), sistem pengecas tanpa wayar serta pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang.

    Ia juga datang dengan sistem audio Lexus Premium dengan enam pembesar suara, skrin infotainmen tujuh inci, interface Remote Touch, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, balutan kulit Nuluxe, kemasan balutan hitam dan tempat duduk hadapan larasan kuasa.

    Pergi kepada varian Luxury (seperti dalam gambar), ia datang dengan rim 18 inci, pengelap cermin automatik, pintu but bukaan kuasa dengan operasi tanpa tangan, pelarasan roda stereng elektrik, kemasan metalik dan ‘Japanese paper grain’, skrin infotainmen 10.3 inci, dua lagi tambahan pembesar suara serta fungsi memori untuk tempat duduk hadapan.

    Lexus UX boleh ditempah – tiga varian, dari RM244k

    Varian paling tinggi F-Sport diberikan dengan rim 18 inci dan gril hadapan khas F Sport, kemasan metalik dan kulit, penukar gear di stereng, panel instrumen lapan inci dengan gegelung meter yang boleh bergerak, head-up display, dua lagi tambahan mod pemanduan (Sport+ dan Custom), tempat duduk F Sport serta pedal aluminium.

    Pada bahagian keselamatan, semua varian UX datang dengan lapan beg udara, cagak ISOFIX, Active Cornering Assist, ABS, EBD, BA, VSC, Traction Control, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta pengesan jarak hadapan dan belakang.

    Ia juga hadir dengan pakej Lexus Safety System+ (LSS+) yang termasuk Front Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA) dan Adaptive High-beam System (AHS). Sistem tambahan lain seperti Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Panoramic View Monitor hanya ada pada varian Luxury and F Sport.

     
     
  • Proton buka pusat 3S baharu di Puchong

    Proton buka pusat 3S baharu di Puchong

    Proton telah pun membuka sebuah lagi pusat 3S baharu yang terletak di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Selangor, baru-baru ini sebagai memenuhi keperluan para pelanggannya di sekitar kawasan tersebut. Dikendalikan oleh Lesydear Automobile Sdn Bhd (Lesydear Auto), pusat 3S ini dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, dan turut dihadiri oleh Exco Negeri Selangor, Ng Sze Han dan pengurusan Proton sendiri.

    Pusat 3S yang menelan kos pelaburan sebanyak RM2.5 juga ini memiliki enam petak penyelenggara dan empat mesin pengangkat serta mampu memuatkan sehingga 5 unit kenderaan dalam ruang pameran. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan coffee bar, port pengecas laptop dan WiFi percuma untuk kegunaan pada pelanggannya.

    “Selain menawarkan produk yang bagus, kekuatan syarikat ini juga terletak pada rangkaian. Ini antara sebabnya Proton turut memfokuskan pembangunan rangkaian dan menaiktaraf cawangan. Kini, kami telah menjual 100,821 kereta pada 2019 dan menduduki tangga kedua dalam carta jualan di seluruh negara,” ujar Dato’ Radzaif Mohamed, timbalan CEO Proton.

    Setakat ini, Proton memiliki jumlah rangkaian pusat 3S dan 4S terbesar di seluruh negara iaitu mencecah 120 cawangan.

     
     
  • Hukuman penjara 20 tahun dan denda hingga RM100,000 menanti pemandu mabuk – Lim

    Hukuman penjara 20 tahun dan denda hingga RM100,000 menanti pemandu mabuk – Lim

    Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata, kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman terhadap kesalahan itu dengan hukuman penjara bagi pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian akan ditingkatkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini. Bukan itu sahaja, pesalah terbabit juga berhadapan dengan hukuman denda sehingga RM100,000.

    “Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi iaitu antara yang tertinggi di dunia.

    “Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguh pun kadar sebenarnya sudah menurun tetapi kita harap kita dapat mengurangkan kadar itu. Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 korban nyawa berlaku hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya,” katanya selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian Ahad lepas di Pulau Pinang.

    Hukuman penjara 20 tahun dan denda hingga RM100,000 menanti pemandu mabuk – Lim

    Buat masa ini, Seksyen 41 Akta 333 telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

    Malah mereka yang disabitkan di bawah Seksyen 41 juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang tiga tahun dan lima tahun bagi Seksyen 44.

    Di bawah peruntukan Seksyen 44, mana-mana orang yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat berada di bawah pengaruh alkohol, apabila disabitkan, hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000. Selain itu, lesen memandu pesalah dan yang sedang dalam proses pertuduhan juga, akan digantung berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan dibacakan pertama kali.

     
     
  • VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

    Pernah tertanya-tanya, berapa banyak kos untuk selenggara atau servis trak pikap? Sama macam kereta sedan atau SUV? Tak perlu susah-susah, duduk bertenang dan tonton video yang disediakan ini kalau anda berminat nak tahu lanjut berkaitan hal berkenaan.

    Dalam video ini, kami pertemukan tiga model paling laris jualannya bagi tahun 2019. Model mana lagi kalau bukan Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger. Semua model ini tidak perlukan pengenalan panjang. Baik bagi mereka yang inginkan sebuah trak pikap untuk keperluan perniagaan mahupun sebagai kenderaan harian, tiga model ini bukanlah asing – masing-masing dengan kelebihan dan kekurangan sendiri.

    Dan, untuk video ini, kita hanya akan beri tumpuan kepada kos selenggara atau servis mereka sahaja, bagi tempoh lima-tahun pemilikan atau 100,000 km. Kami juga memilih varian tertinggi untuk semua model iaitu Toyota Hilux 2.8L (RM140,088), Mitsubishi Triton Adventure X 2.4L (RM137,900) dan Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo (RM144,888). Semua model ini adalah dari versi transmisi automatik, dan dipadankan dengan sistem 4WD.

    VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

    Ada beberapa perkara yang anda perlu tahu; senggang waktu bagi servis berjadual ketiga-tiga model ini tidak sama. Triton dan Ranger hanya perlu diservis setiap 10,000 km (dengan minyak enjin sintetik sepenuhnya), manakala Hilux pula lebih kerap, iaitu setiap 5,000 km (dengan minyak enjin mineral).

    Penukaran minyak gear juga berbeza; pada Hilux ia perlu diganti setiap 80,000 km, Triton pula pada 100,000 km. Untuk Ranger yang dilengkapi kotak gear dengan 10-kelajuan pula, anda tidak akan jumpa dalam jadual lima-tahun pertama kerana ia hanya perlu ditukar setiap 250,000 km, dengan kos penukaran RM721.10.

    Jadi berdasarkan jadual yang kami buat di atas berdasarkan jadual rasmi yang diterbit oleh setiap pengeluar, Triton menampilkan jumlah keseluruhan yang paling rendah antara ketiga-tiganya dengan jumlah RM5,903, diikuti oleh Toyota Hilux 2.8L dengan kos RM6,427. Manakala untuk Ford Ranger 2.0L Bi-Turbo pula, kos sebanyak RM7,347 perlu dikeluarkan dalam tempoh berkenaan walaupun tanpa kos menukar minyak gear.

    Tetapi kena juga ambil maklum, perbandingan ini juga hanya tertumpu kepada penyelengaraan semata-mata, tidak termasuk kos pemilikan lain seperti cukai jalan – pemilik Ford Ranger 2.0L tentunya membayar premium yang jauh lebih rendah dari pemilik Toyota Hilux 2.8L.

    Dari segi tempoh jaminan pula, Triton ada kelebihan; Mitsubishi Motors Malaysia memberikan waranti pengeluar selama lima-tahun/200,000 km, berbanding Hilux dengan lima-tahun/150,000 km dan Ford Ranger pula adalah tiga tahun/100,000 km.

    Semasa menghimpunkan semua data ini, berberapa perkara telah menarik perhatian kami. Jadual yang disediakan oleh Mitsubishi adalah yang paling komprehensif berbanding semua kerana ia menyenaraikan setiap servis yang perlu dibuat dan komponen yang perlu ditukar pada setiap poin.

    VIDEO: Perbandingan kos servis Mitsubishi Triton, Toyota Hilux dan Ford Ranger – mana paling murah?

    Harga yang disenaraikan untuk Triton sentiasa lebih tinggi dari Hilux (ada dua sesi perbezaan mencecah RM1,000), tetapi anda juga perlu ingat yang Hilux perlu dihantar servis satu kali ganda lebih banyak berbanding Triton, dan Hilux juga mempunyai satu sesi yang mencecah RM1,247 iaitu pada 80,000 km yang termasuk kos menukar ATF.

    Pemilik Ford Ranger mungkin tidak terasa perbezaan harga antara servis kerana setiap sesi tersebut boleh dikata pada purata hampir sama iaitu antara RM571 hingga RM928. Manakala pemilik Hilux perlu lebih peka untuk kos servis seterusnya kerana ada servis yang perlu anda bayar dengan harga serendah RM117, dan ada servis yang mencecah RM1,247 – mungkin akan menjadi kejutan untuk anda jika tidak bersedia.

    Semua perincian yang didedahkan ini adalah berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh pengeluar sendiri. Jika anda mahukan perincian lebih teliti, anda boleh menghubungi pusat servis bertauliah setiap jenama tersebut. Jika anda tertanya-tanya kos selenggara antara tiga trak pikap ini yang mana paling murah, data yang kami kumpulkan ini menunjukkan Mitsubishi Triton adalah pemenangnya – tambahan pula ia dilindungi waranti yang paling lama.

     
     
  • Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Baru setahun diperkenalkan secara rasmi, Toyota telahpun mengumumkan versi tingkat taraf untuk kereta sport flagship mereka iaitu GR Supra A90. Dikenali dengan versi 2021, model yang dikemaskini dengan peingkatan kuasa yang agak besar dan talaan semula pada casis ini telah disahkan akan masuk ke pasaran Amerika Syarikat. Bukan iu sahaja, versi ini turut akan ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0 liter empat-silinder dan model edisi terhad.

    Untuk versi yang paling berkuasa, ia masih kekal dijana oleh enjin petrol turbo BMW B58 3.0 liter enam-silinder sebaris. Namun ia telah menerima talaan semula bagi menghasilkan 382 hp dan tork maksima 499 Nm, atau 47 hp lebih berkuasa dari versi asal.

    Bagi mengekstrak 14% kuasa lebih banyak ini, enjin tersebut telah diolah semula pada berberapa bahagian dan bukan sekadar talaan semula pada kotak komputer enjin. Toyota telah menggantikan set omboh asal dengan unit rekaan baharu yang mampu merendahkan nisbah mampatan dalam kebuk pembakaran dari 11:1 kepada 10.2:1, bagi meningkat boost dari pengecas turbo. Kemudian, manifold ekzos juga ditelah direka semula untuk melengkapkan sentuhan semula ini.

    Enjin tersebut masih dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF, dan Toyota menjangkakan pecutan 0-60 bsj (96 km/h) akan dapat dicapai hanya dalam masa 3.9 saat, berbanding 4.1 saat pada versi sedia ada.

    Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Model dengan enjin lebih berkuasa ini turut menerima talaan lebih baik pada casis. Ia kini diberikan pendakap aluminium hadapan baharu bagi meningkatkan ketegaran sisi, serta penyerap hentak yang ditala semula dan diberikan bump stop yang mendapat rekaan lebih baik.

    Sistem stereng berkuasa elektrik, sistem suspensi adaptif, kawalan kestabilan elektronik dan LSD aktif pada gandar belakang turut diprogramkan semula bagi dipadankan dengan sistem mekanikal yang mendapat komponen baharu, membolehkan Supra 2021 lebih stabil ketika berubah arah dalam kelajuan tinggi.

    Selain itu, GR Supra 2021 ini turut menerima kelengkapan lebih baik seperti sistem bunyi JBL dengan 12-pembesar suara, skrin utama 8.8-inci bagi menggantikan skrin 6.5-inci sebelum ini, Apple Carplay dengan fungsi tanpa wayar, dan servis hubungan dan kecemasan kawalan jauh.

    Bagi model 2.0 liter empat-slinder turbo pula, ia akan dijana oleh enjin BMW B48 yang sama dengan versi pasaran Jepun, menghasilkan 255 hp bermula 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm yang dapat dicapai seawal 1,550 hingga 4,400 rpm.

    Toyota GR Supra 2021 didedah – kini berkuasa 382 hp!

    Versi ini turut dipadankan dengan kotak gear auto lapan-kelajuan ZF yang sama, membolehkan model yang 90 kg lebih ringan tersebut memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam masa 5.0 saat dan mencatatkan penggunaan bahan api lebih rendah.

    Selain dari enjin yang lebih kecil, pengurangan berat berkenaan turut dicapai menerusi set brek yang lebih kecil, tiada lagi penggunaan sistem differential dan suspensi aktif, tempat duduk manual, serta hanya 4-pembesar suara.

    Untuk kelengkapan keselamatan, GR Supra baharu ini menerima pakej Keselamatan dan Teknologi dengan sistem yang lebih banyak. Ia termasuk sistem cruise control adaptif yang berfungsi dalam semua kelajuan, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan juga penderia parkir dengan brek kecemasan automatik,

    Istimewa untuk model 2021 pasaran Amerika ini juga, ia akan diperkenalkan dalam versi edisi terhad A91, yang dihasilkan hanya 1,000 unit. Model ini hadir hanya dalam dua pilihan warna iaitu Nocturnal (hitam) dan Refraction (biru).

    Berbanding model biasa, versi A91 Edition ini akan menerima penutup cermin sisi gentian karbon, spoiler lip pada but belakang, jalur pelekat badan pada tiang-C dan juga rim dalam kemasan hitam matte, bersama angkup brek hadapan berwarna merah dengan tulisan “Supra” (juga hadir pada model 3.0L Premium).

    Dalam kabin , GR Supra A91 Edition diberikan upholsteri Alcantara hitam dan karpet but khas, serta unit kunci yang diberikan bekas kulit istimewa.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Feb: Petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing 2 sen, diesel naik 6 sen

    Harga minyak 15-21 Feb: Petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing 2 sen, diesel naik 6 sen

    Kalau minggu ini, harga runcit bagi petrol RON 97, RON 95 dan diesel dilaporkan turun. Tetapi tidak bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Feb 2020, di mana ketiga-tiga bahan api tersebut dilaporkan mengalami kenaikan harga runcit.

    Harga runcit bagi RON 97 naik sebanyak 2 sen iaitu daripada RM2.34 seliter menjadi RM2.36 seliter. Manakala bagi RON 95 pula, juga naik 2 sen seliter iaitu daripada RM2.04 seliter, menjadi RM2.06 seliter.

    Untuk diesel pula, ia naik sebanyak 6 sen seliter iaitu daripada RM2.08 seliter, menjadi RM2.14 seliter untuk Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.24 seliter berbanding RM2.18 seliter pada minggu sebelumnya. Semua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini hingga Jumaat hadapan.

    Harga minyak 15-21 Feb: Petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing 2 sen, diesel naik 6 sen

    Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.06 seliter dan RM2.14 seliter masing-masing. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.04 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.08 seliter, tetapi masih di bawah had harga yang ditetapkan iaitu RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.

    Justeru, harga runcit bagi kedua-dua produk dinaikkan pada paras RM2.06 seliter dan RM2.14 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

    Namun apabila harga pasaran dunia naik dan demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Mar 28, 2024