Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Volkswagen Golf GTI Mk8 didedah – 245 PS, 370 Nm

    Volkswagen Golf GTI Mk8 didedah – 245 PS, 370 Nm

    Selepas pengenalan Volkswagen Golf mK8 di peringkat dunia pada Nov 2019, sudah pasti versi yang lebih mantap dengan prestasi yang lebih tinggi iaitu GTI pula menyusul.

    Untuk bahagian luarannya, tidak banyak perbezaan radikal antara versi GTI dengan model standard Golf. Rekaan asasnya masih dibawa menerusi pakej R-Line. Ini termasuklah corong pengambilan udara yang rendah dengan bingkai garisan hitam, memberikan imej GTI ini kurang agresif daripada pandangan hadapan, tetapi konsisten dengan lampu dan gril yang nampak luas. Skirt sisinya juga lebih ke dalam dan bahagian belakangnya diserikan dengan diffuser pada bampar.

    Ciri spesifik bagi versi GTI termasuklah jaluran kemasan hitam nipis yang merentasi bahagian gril dan lampu utama LED standard, hinggalah merentangi “ekornya”. Buat pertama kalinya, Mk8 ini didatangkan dengan jaluran iluminasi yang menyertai lampu nyalaan siang (DRL) untuk membentuk grafik melintang tunggal, sementara corong ‘sarang lebah’ yang ditawarkan sebagai pilihan dengan lima lampu kabus LED pada setiap sisi, hingga menampakkan bentuk-X.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 didedah – 245 PS, 370 Nm

    Jaluran merah tersebut terus bersambung ke fender hadapan dihiasi dengan lencana GTI yang direka semula yang turut dipaparkan pada gril. Secara standard, ia turut didatangkan dengan roda aloi unik “Richmond” 17-inci, serta pilihan 18- dan 19-inci. Selain itu, imejnya turut diserikan dengan padanan spoiler belakang, lencana GTI yang dipasang di bahagian tengah pintu belakang serta sepasang corong ekzos bulat.

    Beberapa pertambahan ciri turut diberikan di bahagian dalam, termasuklah dengan roda stereng tiga-jejari leper di bawah dengan kemasan merah pada jejari dan terdapat lencana GTI. Tempat duduk sport masih diberikan dengan paten tartan – kini dengan rekaan “Scalepaper” baharu – serta menampilkan jaluran merah di sekeliling perehat kepala. Model dengan transmisi manual turut menerima tombol gear gaya-bola golf, juga dengan rekaan baharu.

    Senarai kit standard untuk pasaran Eropah termasuklah paparan instrumen Kokpit Digital 10.25-inci dengan grafik unik, skrin sesentuh 10-inci untuk sistem navigasi, sistem pencahayaan ambien 30-warna, pedal keluli tahan karat, kemasukan tanpa kunci, brek kecemasan sendiri, bantuan kekal lorong dan car-to-x (vehicle-to-vehicle and vehicle-to-infrastructure) communication.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 didedah – 245 PS, 370 Nm

    Di bawah bonetnya, GTI terus dikuasakan oleh enjin EA888 petrol 2.0 liter pengecas turbo, dengan hamburan output 245 PS dan tork 370 Nm – meningkat ke 15 PS dan 20 Nm berbanding enjin Mk7.5 GTI dan turut hadir dengan versi Performance Pack. Kotak gear manual enam-kelajuan didatangkan secara standard, dan pembeli juga boleh memilih transmisi dwi-klac DSG tujuh-kelajuan dengan talaan unik.

    Bahagian casis juga diberi keutamaan, dengan padanan suspensi topang MacPherson untuk hadapan dan multilink di belakang, XDS electronic differential lock dan larasan suspensi sport dengan mengurangkan 10 mm ketinggian kenderaan berbanding Golf standard. Ciri baharu untuk Mk8 ini termasuk Vehicle Dynamic Manager iaitu sistem kawalan dinamik pemanduan yang mengkoordinasikan operasi bagi sistem XDS dan pilihan untuk peredam adaptif DCC.

     
     
  • Range Rover Sport kereta paling banyak dicuri tanpa gunakan kunci di UK – berdasarkan data oleh Tracker

    Range Rover Sport kereta paling banyak dicuri tanpa gunakan kunci di UK – berdasarkan data oleh Tracker

    Biasanya bila disebut tentang curi kereta, gambaran yang muncul adalah pencuri mengumpil tempat kunci, memotong wayar atau mempunyai kunci pendua. Tapi, zaman dah berubah, dan sekarang pencuri boleh menggunakan alat elektronik sahaja untuk membuka dan melarikan kereta yang menggunakan sistem tanpa kunci.

    Melalui data yang dikeluarkan oleh penyedia khidmat pengesan lokasi kenderaan di United Kingdom, iaitu Tracker, mereka mendapati 92% kereta curi yang berjaya ditemui kembali telah dilarikan tanpa menggunakan kunci. Jumlah ini meningkat 26% berbanding empat tahun yang lalu.

    Kereta paling banyak dicuri tanpa menggunakan kunci ini adalah Range Rover Sport, diikuti oleh BMW X5, Mercedes-Benz E-Class, Range Rover Vogue, Land Rover Discovery, BMW X6 dan Range Rover Evoque. Kereta paling mahal yang dicuri dengan cara ini, dan dapat ditemui kembali oleh Tracker adalah Range Rover SV Autobiography bernilai £150,000 (RM820k).

    Range Rover Sport kereta paling banyak dicuri tanpa gunakan kunci di UK – berdasarkan data oleh Tracker

    “Data kami telah mendedahkan pencurian kenderaan tanpa kunci terus meningkat, dengan sembilan daripada 10 kereta curi yang dapat kami temui kembali telah dilarikan dengan cara ini. Pencuri telah menyalah gunakan teknologi tanpa kunci dengan menggunakan kelengkapan canggih, yang boleh mencuri isyarat kunci pemilik dan menggunakannya untuk membuka pintu dan menghidupkan enjin,” kata ketua perhubungan polis Tracker, Clive Wain.

    Sama seperti kebanyakan negara maju lain, kenderaan yang dicuri di UK biasanya dicuri berdasarkan permintaan dan dihantar ke negara luar seperti Timur Eropah dan Afrika Utara. Bagi mengelakkan menjadi mangsa, Tracker mencadangkan pemilik memasang sistem pengesan kenderaan, serta kunci tradisional lain seperti kunci stereng dan kunci roda.

     
     
  • Mitsubishi Xpander 2020 terima kemaskini rupa dan kelengkapan di Indonesia, harga dari RM65,504

    Mitsubishi Xpander 2020 terima kemaskini rupa dan kelengkapan di Indonesia, harga dari RM65,504

    Mitsubishi Xpander kini telah diberikan sedikit kemaskini estetika bagi pasaran Indonesia. MPV berkenaan, atau lebih kerap dirujuk sebagai Low Multi-Purpose Vehicle (LMPV) kini menerapkan penampilan baru merangkum semua varian yang ditawarkan, termasuk GLX, GLS, Exceed, Sport dan Ultimate.

    Luarannya, Xpander menerima sedikit perubahan pada gril Dynamic Shield yang digunakan, kini dengan logo Mitsubishi yang lebih besar dan lengkung baru di tengahnya, serta penggunaan hon baru bagi semua varian.

    Perbezaan antara varian pula, GLS dan Exceed ditawarkan dengan kemasan gril hitam berkilat, sementara dari Exceed ke atas, ia kini dilengkapi dengan rim 16-inci dwi-tona, lampu utama LED, antena “shark fin” serta penyah-kabus dan sensor belakang. Bagi varian Sport, kini terdapat kamera undur dan gril krom, begitu juga dengan gril varian Ultimate.

    Mitsubishi Xpander 2020 terima kemaskini rupa dan kelengkapan di Indonesia, harga dari RM65,504

    Bahagian dalam pula, corak baru dikenakan pada kerusinya seperti yang ditawarkan pada varian Exceed dan Ultimate, sementara Sport menerima tempat duduk hitam dengan corak baru. Kemasan warna perak pada Sport serta kemasan kayu pada Exceed dan Ultimate juga telah menerima rekaan baru. Skrin sentuh tujuh-inci pada head unit serta enam pembesar suara kini ada pada Sport dan Ultimate. Selebihnya kabin kekal sama.

    Bagi unit penjanaan kuasa pula, ia masih kekal sama dengan penggunaan enjin 4A91 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 104 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear manual lima-kelajuan atay automatik empat-kelajuan pacuan roda depan. Harga bagi Xpander yang dikemaskini berkenaan bermula dari 215.8 juta Rupiah (RM65,504) dan varian paling tinggi 272.1 juta Rupiah (RM82,593).

     
     
  • Hyundai sedia tentukan lokasi baharu kilang sistem sel bahan api hidrogen – mungkin luar Korea Selatan?

    Hyundai sedia tentukan lokasi baharu kilang sistem sel bahan api hidrogen – mungkin luar Korea Selatan?

    Hyundai Motor Co telah bersedia untuk menentukan lokasi baharu bagi kilang sistem sel bahan api hidrogen tahun ini, yang mungkin kekal memilih Korea Selatan atau pun negara lain bakal jadi pilihan.

    “Kilang baharu ini disasarkan berkeupayaan mengeluarkan lebih daripada 100,000 sistem sel bahan api setahun, termasuk dengan fuel-cell stack dan unit kawalan kuasa, bermula sekitar tahun 2024,” ujar Jeon Soon-il, eksekutif Hyundai Motor Group bagi divisi sel bahan api, dalam persidangan di Tokyo, semalam. Walau bagaimana pun, beliau enggan mendedahkan negara mana yang telah disenarai pendekkan.

    Laporan Reuters turut menyebut, buat masa ini, kapasiti pengeluaran bagi sistem sel bahan api Hyundai adalah sekitar 12,000 sistem.

    “Kilang baharu di Chungju, Korea Selatan, pula mampu mengeluarkan sekitar 40,000 sistem setahun, yang akan mula beroperasi pada hujung Jun ini, dua tahun setengah lebih awal berbanding tarikh yang dijadualkan,” ujar Jeon lagi.

    Walau bagaimana pun, jurucakap bagi Hyundai Mobis, unit yang mengendalikan sistem sel bahan api Hyundai Motor Group, pula enggan mendedahkan sebarang perancangan mengenai produksi sistem sel bahan api hidrogen baharu ini. Tetapi beliau mengesahkan syarikat tersebut sedang mempertimbangkan kilang komponen kenderaan mesra alam sekitar baharu, namun enggan mendedahkan perincian lanjut mengenainya.

     
     
  • Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

    Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

    Selepas pengumuman operasinya bakal berakhir sepenuhnya hujung tahun ini minggu lalu, jenama automotif dari Australia iaitu Holden mengumumkan stok-stok akhir dalam inventori mereka akan dijual dengan harga diskaun istimewa. Ini menyebabkan stok-stok berkenaan dijual dengan laju, dan dijangka kesemuanya akan habis dalam masa seminggu, lapor CarAdvice.

    Dengan diskaun yang menyebabkan harga sesetengah model jatuh hingga hampir separuh dari harga asal, jualan di bilik pameran Holden dengan pelanggan paling tinggi mencatatkan angka tiga kali ganda dari biasa pada minggu ini, dan stok yang tinggal semakin berkurangan, lapor portal dari Australia berkenaan.

    “Ini seakan tahun 1990’an kembali. Jika kami boleh jual kereta seperti ini sebelum ini, kami mungkin tidak perlu tutup,” kata salah satu pengedar Holden di bandar Melbourne.

    Ketika prestasi jenama tersebut masih lagi baik sebelum ini, pengedar Holden yang berjaya mampu menjual sekitar 100 hingga 150 unit kenderaan sebulan. Namun sekitar dua tahun kebelakangan ini, mereka hanya mampu menjual sekitar 20 hingga 50 unit kenderaan sebulan sahaja.

    Dalam jualan penghabisan stok ini, diskaun yang diberikan memang ‘gila’. Antara yang menjadi perhatian adalah trak pikap Holden Colorado (Chevrolet Colorado pada pasaran Malaysia) yang dijual pada harga antara AUD13,000 hingga AUD17,500 atau sekitar RM36k hingga RM48k.

    Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

    Manakala untuk sedan besar Holden Commodore pula, diskaun yang diberikan adalah dengan potongan harga AUD7,500 dari asal atau sekitar RM21k lebih murah dari harga sedia ada.

    Walau bagaimanapun, ada sebahagian kecil pengedar yang tidak menawarkan diskaun yang begitu banyak, kerana mereka merancang untuk beroperasi selama yang mungkin sebelum Holden ditutup sepenuhnya.

    Pemilik jenama Holden, General Motors (GM) minggu lalu mengumumkan bahawa mereka akan menutup sepenuhnya jenama Australia ini pada penghujung tahun ini kerana GM kini telah membuat keputusan untuk tidak lagi menghasilkan kereta-kereta dengan pemanduan sebelah kanan.

    Model-model yang dijual oleh Holden buat masa sekarang sebenarnya adalah versi rebadge dalam pemanduan sebelah kanan dari jenama di bawah GM yang lain dan ia tidak lagi dibuat di kilang Holden Australia, setelah operasi CKD jenama tersebut ditutup sepenuhnya tiga tahun lalu.

    Sebahagian dari bilik pameran Holden sedia ada akan ditukar menjadi jaringan pengedar General Motors Specialty Vehicles (GMSV), iaitu sub-jenama yang akan menjual model-model GM dari Amerika Syarikat yang diubahsuai dari pemanduan sebelah kiri. Walau bagaimanapun, seramai 200 orang staf Holden akan terus berkerja selama 10-tahun bagi meneruskan khidmat servis dan waranti terhadap unit-unit kenderaan terakhir yang telah dijual kepada pelanggan.

    Stok akhir Holden di Australia bakal habis dalam masa seminggu – pikap Colorado dijual serendah RM36k!

    Holden telah diasaskan oleh James Alexander Holden pada 1856, tetapi ketika itu syarikat tersebut merupakan pengeluar bagi produk-produk kulit dan pelana. Ia terus berkembang sebagai pembuat side car untuk motosikal dan membuat kerangka badan kereta pada tahun 1905, dan kemudian membekalkan kereta tram untuk Melbourne pada era 20’an.

    Pada tahun 1924, Holden mula menjadi pengedar kenderaan dari Amerika, General Motors di Australia. Manakala pada 1931, General Motors dan Holden digabungkan bagi membentuk General Motors-Holden’s Limited (GM-H). Holden mula mengeksport keretanya ke New Zealand pada tahun 1953 dan syarikat tersebut benar-benar menyerlah pada tahun 1958 apabila 40 peratus dari keseluruhan kereta di Australia adalah dari Holden.

    Detik kejatuhan Holden benar-benar dapat dilihat pada era Y2K apabila bahagian pasarannya jatuh 15% pada tahun 2006, setelah pelaburan sebanyak $400 juta di buat pada kilang enjin V6 miliknya yang terletak di Port Melbourne (kilang tersebut telah ditutup sepenuhnya pada 2016).

    Kedudukan Holden semakin meruncing ketika era Krisis Kewangan Dunia yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan jualan eksportnya, seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat tersebut. Akhirnya, VF Commodore yang dilancarkan pada tahun 2013 disahkan sebagai Commodore terakhir yang akan dihasilkan di Australia.

     
     
  • Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

    Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

    Mercedes-Benz telah menunjukkan versi paling ganas bagi crossover kompak GLA, iaitu Mercedes-AMG GLA 45 4Matic+ dan Mercedes-AMG GLA 45 S 4Matic+. Menggunakan asas daripada GLA H247 yang dibina atas platform MFA2, versi AMG ini dipacu oleh enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter sama seperti Mercedes-AMG A 45 dan A 45 S.

    Enjin M139 1,991 cc ini mampu menghasilkan kuasa 387 hp pada 6,500 rpm dan 480 Nm tork antara 4,750 rpm hingga 5,000 rpm bagi GLA 45, dan 421 hp pada 6,750 rpm dan 500 Nm tork antara 5,000 rpm hingga 5,250 rpm pada GLA 45 S. Kedua-dua versi menggunakan transmisi klac berkembar AMG Speedshift DCT 8G serta sistem pacuan semua roda variable 4Matic+ AMG Performance.

    Dengan padanan ini, GLA 45 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, dengan laju maksimum 250 km/j, manakala GLA 45 S pula mampu melakukan pecutan sama dalam masa 4.3 saat dan laju maksimum 270 km/j. Tahap penggunaan bahan api bercampur bagi GLA 45 berada pada 9.2 l/100 km manakala GLA 45 S pula 9.3 l/100 km.

    Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

    Sama seperti A45 W177 dan CLA45 C118, GLA 45 ini juga menggunakan sistem AMG Torque Control, yang boleh membahagikan kuasa berbeza bukan sahaja antara roda depan dan belakang, tetapi juga antara roda kiri dan kanan. Enjin model 45 ini juga telah dipusingkan 180 darjah berbanding model 35 bagi menjadikan salur intake dan ekzos lebih pendek.

    Dengan kuasa yang lebih tinggi ini, Mercedes-AMG telah memperkuatkan badan GLA 45 dengan barangan seperti plet aluminium bawah enjin, serta pendakap hadapan dan belakang di bawah kereta. Selain membantu meningkatkan ketegaran, ia juga dapat mengurangkan pergerakan badan apabila berhadapan pecutan atau membrek dengan kuat.

    Untuk suspensi, bahagian hadapan menggunakan tetapan MacPherson sementara di belakang pula menggunakan sambungan four-link. Tiga tahap kekerasan penyerap ditawarkan melalui sistem adaptif AMG Ride Control dan ia boleh dilaras secara automatik dan berasingan antara semua empat penyerap yang ada.

    Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

    Model asas GLA 45 menggunakan tetapan brek cakera berliang 350 mm x 34 mm dan angkup empat piston di hadapan, serta cakera 330 mm x 22 mm bersama angkup satu piston di belakang (angkup warna kelabu), manakala GLA 45 S serta GLA 45 dengan pakej AMG Dynamic Plus datang dengan cakera 360 mm x 36 mm serta angkup enam piston di hadapan (berwarna merah). Rim GLA 45 bersaiz 19 inci manakala GLA 45 S pula 20 inci; unit 21 inci disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Stereng model ini menggunakan unit elektromekanikal yang sensitif terhadap kelajuan dan mempunyai nisbah boleh ubah. Ia boleh menjadi berat atau lebih ringan, bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih (semuanya ada enam mod bagi GLA 45 S iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan Race). Perubahan mod ini juga berhubung dengan parameter enjin, transmisi, ekzos, stereng serta suspensi.

    Masuk ke bahagian dalam, sistem infotainmen MBUX yang digunakan mendapat visual khas AMG, dengan pilihan paparan Classic, Sport atau Supersport. Menu AMG yang terdapat dalam sistem itu boleh memaparkan penunjuk kelajuan gear, warm-up, set-up, meter G, Racetimer dan data enjin.

    Mercedes-AMG GLA45, GLA45 S didedah – 421 hp

    Ia diberikan sebagai tambahan kepada fungsi kawalan suara ‘Hey Mercedes’ yang boleh digunakan untuk sistem infotainmen dan beberapa sistem lain. Perisian AMG Track Pace diberikan terus pada GLA 45 S, manakala untuk GLA 45, ia disediakan sebagai pilihan tambahan. Dengannya, pemilik boleh memerhati prestasi dalam litar termasuk pecutan, laju dan pelbagai lagi.

    Selain membaca serta menyimpan ukuran pecutan dan kadar kenderaan diperlahankan, AMG Track Pace juga boleh mengesan sekiranya kenderaan telah keluar dari litar atau mengambil jalan singkat dengan menggunakan data GPS, pecutan, kadar pusingan stereng serta kelajuan roda. Fungsi MBUX Augmented Reality pula boleh menunjukkan garis lumba yang ideal pada skrin atau head-up display.

    Pada model standard, ia menggunakan kemasan balutan kombinasi kulit sintetik Artico dan gentian Dinamica, sementara model GLA 45 S pula menggunakan balutan kulit Nappa pada roda stereng dan Dinamica dengan jahitan kontras di bahagian lain.

     
     
  • Proton rai pemenang peraduan Servis & Menang

    Proton rai pemenang peraduan Servis & Menang

    Seorang pemilik Proton Iriz, Azrul Firdaus Ramli, jurutera jaminan kualiti, telah terpilih sebagai pemenang utama peraduan Servis & Menang Proton. Dengan menghantar Iriz miliknya untuk diselenggara di Pusat Servis Kecemerlangan Proton yang terletak di Subang Jaya, beliau telah berjaya membawa pulang sebuah Proton Saga Premium AT baharu.

    Peraduan Servis & Menang ini dianjurkan bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pemilik kereta Proton yang menghantar kereta mereka untuk diservis secara tetap dan bagi mengetengahkan lagi pusat-pusat servis Syarikat yang diiktiraf. Peraduan yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 15 November 2019 ini turut menerima kerjasama daripada Petronas.

    Lebih daripada 125,000 pelanggan telah menghantar kereta mereka dalam tempoh peraduan tersebut dan peserta yang layak dikehendaki memuat naik gambar kereta mereka di Facebook dan disertakan dengan keterangan gambar yang kreatif. Kemudian, pihak pengurusan Proton telah memilih pemenang berdasarkan kreativiti mereka.

    Proton rai pemenang peraduan Servis & Menang

    “Hubungan antara sebuah jenama automotif dan pelanggannya bermula daripada penjualan sebuah kereta. Dalam tempoh kitaran pemilikan selama lima tahun, pelanggan akan kembali untuk melakukan servis atas pelbagai sebab dan ini dilihat sebagai peluang untuk PROTON menonjolkan pengalaman jenamanya yang premium.

    “Strategi ini telah mendorong Syarikat untuk melabur dalam rangkaian 3S/4S yang komprehensif dan dalam pada masa yang sama membantu memastikan kereta- kereta dijaga dengan baik oleh juruteknik terlatih, yang mana akan meningkatkan nilai Syarikat dalam jangka masa panjang,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Setakat ini, Proton telah mempunyai sebanyak 121 cawangan, iaitu jumlah yang dijangka akan meningkat dengan sasaran sebanyak 150 cawangan menjelang akhir tahun ini.

     
     
  • Mitsubishi Triton catat rekod jualan positif Januari – pegangan pasaran 22.8%, tertinggi dalam 10 tahun

    Mitsubishi Triton catat rekod jualan positif Januari – pegangan pasaran 22.8%, tertinggi dalam 10 tahun

    Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) ketika ini secara umumnya hanya bergantung kepada sebuah model utama sahaja dalam pasaran tempetan; trak pikap Triton menjadi model yang kian mendapat perhatian pembeli berbanding model-modelnya yang lain.

    Dan, setakat data jualan yang ditunjukkan bagi bulan Januari 2020, Triton bukanlah calang-calang ayam tambatan untuk jenama Jepun itu. Buat pertama kalinya dalam tempoh 10 tahun, kadar pegangan pasaran Mitsubishi mencatatkan rekod baru pada kadar 22.8% bagi Januari lalu.

    Mitsubishi Triton menjadi satu-satunya model dalam segmennya yang mampu mencatatkan pertumbuhan positif dan membantu memperluas jualan keseluruhan jenama berkenaan dengan kenaikan 1.6% dari April 2019 hingga Januari 2020 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Kalendar kewangan MMM ialah dari April 2019 hingga Mac 2020.

    “Kami bangga kerana mampu menutup tahun 2019 dan memulakan tahun 2020 dengan positif. Triton berjaya mendapat sambutan pelanggan di Malaysia dengan DNA sebagai sebuah trak pikap dengan pengendalian terbaik. Kami komited untuk terus memberikan yang terbaik kepada semua pelanggan kami,” jelas CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Di dalam perkembangan sama, Triton double-cab melonjak ke kedudukan pertama dalam segmen trak pikap di empat kawasan dan negeri, termasuk Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Kedah.

     
     
  • Mercedes-Benz akan mulakan pengeluaran model elektrik penuh EQC di Thailand pada tahun 2021

    Mercedes-Benz akan mulakan pengeluaran model elektrik penuh EQC di Thailand pada tahun 2021

    Pada tahun hadapan, Mercedes-Benz akan memulakan pengeluaran kenderaan elektrik di Thailand, bermula dengan model SUV EQC. Keputusan ini dibuat selepas pengeluar Jerman itu membuat persetujuan dengan Lembaga Pelaburan Thailand (BoI) untuk mengimport sejumlah EQC terlebih dahulu untuk jualan tahun ini. EQC dijangka muncul di Bangkok Motor Show bulan depan dan dibuka untuk tempahan pada waktu itu.

    Menurut laporan Bangkok Post sebelum ini, Mercedes-Benz telah menunda pengenalan EQC di Thailand pada tahun 2019 kerana BoI masih belum meluluskan rancangan untuk mengimport sehingga 600 unit model itu, sebelum operasi CKD dimulakan.

    BoI memberitahu, Mercedes-Benz telah mengemukakan permohonan untuk satu projek pemasangan kenderaan plug-in hybrid yang berjumlah 607 juta baht (Rm80.7 juta), serta projek EV penuh bernilai 342 juta baht (RM45.5 juta) di kilang mereka di Samut Prakan. Syarat yang ditetapkan oleh BoI menyatakan pembuat EV tersebut dibenarkan mengimport kenderaan tanpa emisi dengan pengecualian duti import yang boleh menjadi sehingga 80% daripada harga yang diisytihar.

    Presiden dan CEO Mercedes-Benz Thailand, Roland Folger memberitahu, syarikat kini sedang bekerja sama dengan BoI untuk mengimport kumpulan pertama EQC sebanyak 250 unit. “Kami mahu mengimport sebanyak yang boleh. Pengguna kenderaan di Thailand boleh menikmati pengalaman menggunakan kenderaan tanpa emisi di bawah skim cukai ini,” kata beliau sambil mengusulkan manfaat untuk EV seperti letak kereta percuma, tiada tol di lebuh raya dan akses kepada lorong bas.

    EQC digerakkan oleh dua motor elektrik, iaitu satu untuk gandar hadapan dan satu lagi untuk gandar belakang, manakala kuasa pula datang daripada bateri lithium ion 80 kWh. Hasil gabungan dua motor ini mampu menawarkan kuasa 300 kW (atau 402 hp) dan 765 Nm tork, manakala jarak gerak dengan sekali cas pula boleh mencecah sehingga 450 km.

     
     
  • Honda City Hatchback 2021 – imej render dihasilkan

    Honda City Hatchback 2021 – imej render dihasilkan

    Minggu lalu, tersebar gambar paten Honda Civic hatchback di internet, dan sekarang pakar manipulatif digital kita, Theophilus Chin telah menghasilkan satu lagi karyanya, bagi memudahkan kita untuk membayangkan model tersebut dengan lebih realistik. Memandangkan Honda Jazz genrasi baharu kini dihasilkan lebih “perisa Eropah dan Jepun” yang nampaknya agak tidak selari dengan selera Asia Tenggara, ada harapan sebenarnya kita di sini akan menerima City hatchback bagi menggantikan Jazz.

    City hatchback berkenaan menampilkan muka seiras dengan versi sedan yang didedahkan buat pertama kali di Thailand lewat tahun lalu. Begitu juga dengan bahagian sisi, ia nampaknya menampilkan garisan badan dan bahu serta bentuk cermin tingkap.

    Apa yang jelas berbeza adalah pada bahagian bumbung belakang yang direka lebih rendah, manakala penutup but digantikan dengan pintu tailgate yang boleh dibuka sekali bersama cermin belakang. Lampu belakang model hatchback ini dihasilkan dengan bentuk yang hampir sama dengan versi sedan membuatkan ia seakan Mercedes-Benz A-Class W177 jika dilihat sekali lalu.

    Belum ada maklumat berkenaan dimensi untuk City Hatchback ini. Tetapi berdasarkan rupanya, ia mungkin akan menampilkan jarak roda, lebar dan juntaian hadapan yang sama seperti versi sedan. Berbeza dengan Jazz, walaupun ia menggunakan platform yang sama, Honda memberikan jarak roda, tinggi bumbung dan juntaian hadapan yang berbeza dari City bagi mendapatkan rupa yang lebih tersendiri.

    Honda City Hatchback 2021 – imej render dihasilkan

    Buat masa sekarang, City generasi kelima ini baru masuk kepasaran Thailand, dijana oleh enjin 1.0 liter tiga-silinder VTEC Turbo berkuasa 122 PS/173 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu roda hadapan.

    Selepas ini, model sedan tersebut mungkin akan menerima versi janaan hibrid dengan sistem i-MMD dari Honda Jazz e:HEV generasi terkini, menggabungkan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC dengan dua buah motor elektrik dan juga transmisi nisbah tunggal tetap.

    Kesemua jenis unit janakuasa yang akan diberikan pada model sedan secara teorinya tidak ada masalah untuk hadir pada versi hatchback.

    Sebelum ini, “City hatchback” sebenarnya sudahpun wujud dipasaran China – digelar Honda Geinia, dihasilkan oleh Dongfeng Honda. Walaupun masih lagi belum jelas adakah ia akan mengambil tugas Jazz untuk pasaran Asia Tenggara, kehadirannya ke sini adalah tidak mustahil kerana Toyota juga mengambil jalan seperti ini dengan menjual hatchback Yaris yang dihasilkan terus dari sedan Vios, berbeza dengan Yaris yang dipasarkan di Jepun dan Eropah.

    Anda bagaimana? Masih lebih suka Honda Fit/Jazz generasi baharu yang nampak lebih ‘lembut’ berbanding generasi GK sedia ada, atau berharap City Hatchback ini dipasarkan di Malaysia?

     
     
  • Hyundai i30 2020 – imej depan baru; ciri keselamatan, ketersambungan dinaiktaraf; pilihan mild hybrid

    Hyundai i30 2020 – imej depan baru; ciri keselamatan, ketersambungan dinaiktaraf; pilihan <em>mild hybrid</em>

    Hyundai telah menyebarkan imej dan perincian untuk model facelift i30 yang bakal diperkenalkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2020 bulan hadapan. Pencabar bagi hatchback Volkswagen Golf segmen-C ini menerima imej hadapan baharu, selain ciri ketersambungan yang dipertingkatkan dan pilihan enjin mild hybrid 48-voltan. Peningkatan sebelum ini dibuat pada hujung 2018.

    Model 2020 ini boleh dikatakan melibatkan peningkatan yang paling ketara, termasuk menampilkan gril yang lebih lebar dengan paten 3D yang sekaligus menyerlahkan gaya hadapannya. Digandingkan dengan lampu utama yang lebih nipis dengan pilihan reflektor berteknologi LED dan lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk-V.

    Di belakangnya, hatchback lima-pintu i30 ini turut menerima rekaan bampar baharu dengan meningkatkan lagi prestasi aerodinamiknya. Turut ditampilkan lampu kombinasi belakang LED berbentuk-V untuk menyuaipadankan dengan DRL hadapan. Roda aloi potongan berlian baharu 17- atau 16-inci turut diberikan sebagai pilihan.

    Hyundai i30 2020 – imej depan baru; ciri keselamatan, ketersambungan dinaiktaraf; pilihan <em>mild hybrid</em>

    Selain hatchback dan fastback, ia turut didatangkan dengan pilihan wagon inspirasi daripada i30 N. Kesemua imej yang dipertontonkan ini adalah dengan kemasan N Line dalam warna baharu Sunset Red. Lain pilihan warna termasuklah dua warna baharu iaitu Dark Night dan Silky Bronze melengkapkan lagi enam warna sedia ada.

    Dengan rekaan semula yang lebih segar, N Line kelihatan lebih sporty dan kini ditampilkan dengan gril tengah di bawah yang lebih besar mendominasi bahagian bampar. Bukaan sisinya menampilkan wings ala terarpung yang menambahbaik aerodinamik. Selain itu, ia turut digandingkan dengan lip berwarna perak yang lebih nipis dan juga lencana N Line pada gril.

    Bampar belakang N Line baharu diletakkan pada diffuser yang lebar, begitu juga dengan kedudukan lampu kabus yang diposisikan semula memfokuskan pusat graviti yang dekat dengan permukaan bawah. Kemasan yang disemak semula termasuklah dengan roda baharu 17- atau 18-inci turut diberikan sebagai pilihan.

    Sebagai tambahan, N Line hatchback dan fastback turut menampilkan talaan yang dipertingkatkan bagi suspensi dan stereng dalam kombinasi dengan pilihan enjin 1.5 T-GDi (160 PS) dan 1.6 diesel (136 PS) untuk pengendalian yang lebih dinamik.

    Di dalamnya, perubahan yang dilakukan agak terhad dengan corong udara yang lebih moden dan diperkemaskan. Tiga warna kemasan dalaman telah ditambah – Pewter Gray, Ebony Brown dan Charcoal Gray. Sebelum ini hanya ada warna hitam sahaja. Tempat duduk pula sama dengan balutan fabrik, kulit atau pun kombinasi kedua-duanya. Versi N Line juga menerima jahitan jingga dan logo N pada tombol gear dan juga roda stereng.

    Model facelift i30 turut menerima kluster digital tujuh-inci baharu dan skrin sesentuh navigasi 10.25-inci. Ia juga menerima ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, dan akan memiliki phone mirroring tanpa wayar dan juga pengecas. Selain itu, ia turut menampilkan servis ketersambungan Hyundai Bluelink, dengan langganan percuma selama lima-tahun sebagai salah satu pilihan bagi navigasi.

    Hyundai i30 2020 – imej depan baru; ciri keselamatan, ketersambungan dinaiktaraf; pilihan <em>mild hybrid</em>

    Pakej keselamatan Hyundai SmartSense juga ditambahbaik. Lane Following Assist secara automatiknya akan melaras stereng untuk membantu kenderaan kekal di lorong. Sementara sistem Bantuan Elak Pelanggaran Belakang pula akan mengaktifkan brek untuk mengelak pelanggaranbila kenderaan berundur.Ciri keselamatan baharu termasuklah Leading Vehicle Departure Alert yang akan memberikan amaran kepada pemandu jika kenderaan di hadapan mula bergerak dan kenderaan yang dipandu pula masih berhenti.

    Sistem Pengesan Titik Buta belakang juga telah ditambahbaik. Kini dengan Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, ia boleh mengaktifkan brek untuk mengelakkan pelanggaran. Begitu juga dengan Front Collision-Avoidance Assistance yang turut ditambahn baik bagi mengesan basikal di atas jalan raya. Ciri keselamatan baharu pada i30 ini juga termasuk eCall yang merangkumi servis kecemasan apabila penderia beg udara tercetus. Lain-lain ciri yang dikekalkan termasuklah FCA dengan pengesan pejalan kaki, Amaran Perhatian pemandu, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Pengehad Kelajuan Pintar dan Bantuan Kekal Lorong.

    Hyundai i30 2020 – imej depan baru; ciri keselamatan, ketersambungan dinaiktaraf; pilihan <em>mild hybrid</em>

    Akhir sekali, barisan penjana kuasanya juga dipertingkatkan, malah diperbanyakkan variasinya. Ia dimulakan dengan enjin petrol 1.5 liter NA baharu dengan dua port suntikan dan 110 PS, yang didatangkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Selain itu, enjin 1.0 liter T-GDi dengan 120 PS yang kini dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, sebagai tambahan kepada 6MT sebelum ini. Enjin ini juga diberikan pilihan teknologi mild hybrid 48-voltan, dipadankan dengan Intelligent Manual Transmission (iMT) enam-kelajuan.

    iMT diasingkan dari transmisi selepas pemandu melepaskan pendikit. Ia membolehkan kereta memasuki dua tahap bagi peluncuran, bergantung pada keadaan. Dengan tahap pertama, enjin dalam keadaan melahu. Untuk tahap kedua pula, enjin akan dimatikan sementara untuk penjimatan bahan api. Pilihan hibrid juga ditawarkan dengan DCT tujuh-kelajuan.

    Untuk penjana kuasa diesel pula, enjin paling asas 1.6L dengan 115 PS bersama pilihan manual enam-kelajuan atau DCT tujuh-kelajuan. Selain itu, enjin pertengahan 1.6L pula didatangkan secara standard dengan sistem mild hybrid 48V. Pilihan kotak gear sama ada iMT enam-kelajuan atau DCT tujuh-kelajuan. Manakala enjin tertinggi pula, unit baharu 1.5 litet T-GDI dengan 160 PS, juga dengan teknologi mild hybrid, bersama pilihan sama ada iMT atau DCT.

    GALERI: Hyundai i30 Hatchback 2020

    GALERI: Hyundai i30 Wagon 2020

    GALERI: Hyundai i30 Fastback 2020

     
     
  • Honda Accord 2020 dilancar di M’sia – bermula RM186k, 1.5L Turbo, 201 PS/260 Nm, Honda Sensing

    Honda Accord 2020 dilancar di M’sia – bermula RM186k, 1.5L Turbo, 201 PS/260 Nm, Honda Sensing

    Selepas tempahannya di buka minggu lalu, Honda Malaysia telah mendedahkan kepada umum model Accord generesi ke-10 untuk pasaran tempatan, serentak dengan kemunculan rasmi Honda Civic facelift hari ini.

    Ia juga kini akan ditawarkan dengan hanya satu pilihan enjin, tetapi hadir dalam dua varian iaitu 1.5 TC dan 1.5 TC-P. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM185,900 untuk model asas, dan RM195,900 untuk versi tertinggi TC-P. Empat warna ditawarkan untuk model generasi baharu ini iaitu Crystal Black Pearl, Silver Metallic Lunar, Metallic Steel Modern dan Platinum White Pearl.

    Model generasi baharu ini ditawarkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder yang pada asasnya sama seperti pada Civic dan juga CR-V. Walau bagaimanapun, Accord pasaran Malaysia ini menerima talaan kuasa yang lebih besar iaitu 201 PS dan tork maksima 260 Nm.

    Ini bermaksud, ia bukan sahaja lebih berkuasa dari Civic (173 PS/174 Nm), malah turut menjana lebih kuasa dari CR-V dan Accord pasaran lain di Asia Tenggara (193 PS/243 Nm) dengan lebihan 11 PS dan 17 Nm. Kuasa yang dihasilkan ini dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik Earth Dreams. Padanan ini membolehkan Accord menerima pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia.

    Honda Accord 2020 dilancar di M’sia – bermula RM186k, 1.5L Turbo, 201 PS/260 Nm, Honda Sensing

    Bagi anda yang tertanya-tanya berkenaan saiz, ia dihasilkan dengan dimensi 4,920 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,451 mm tinggi dan jarak roda 2,830 mm. Ini bermakna ia 10 mm lebih pendek, tetapi 10 mm lebih rendah dan lebih lebar membolehkan pusat gravitinya juga 10 mm lebih rendah dari sebelum ini. Jarak roda yang 55 mm lebih jauh pula membolehkan penumpang belakang menerima ruang kaki 48 mm lebih besar.

    Kedua-dua varian pasaran Malaysia ini hadir standard dengan lampu hadapan dan belakang LED-penuh, tip ekzos berkembar dengan kemasan krom, sistem kunci pintar dengan fungsi penghidup enjin kawalan jauh dan sistem pengunci automatik walk away.

    Pada bahagian dalaman, kedua-duanya hadir dengan paparan meter dengan skrin TFT 7-inci, butang penghidup enjin, upholsteri kulit hitam bersama tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala dengan fungsi memori, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik empat-hala dengan suis bahu, pengecas telefon pintar tanpa wayar, pedal penukar gear dan pendingin hawa automatik dua-zon

    Sistem infotainmen untuk kedua-dua varian juga adalah sama, terdiri dari skrin Advanced Display Audio 8-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta 10-pembesar suara dengan subwoofer.

    Bagi sistem keselamatan pula, semua varian Accord dilengkapi enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan penderia parkir hadapan/belakang bersama kamera parkir pelbagai sudut, brek parkir elektrik dengan fungsi Brake Hold serta Pemantau Tumpuan Pemandu.

    Bagi model 1.5 TC-P, Accord diberikan pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang terdiri dari sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Model tertinggi ini juga diberikan tambahan sistem parkir separa-automatik Smart Parking Assist dengan Brake Assist di belakang, pemantau lintasan trafik belakang, kamera pemantau 360-darjah dan juga kamera Honda LaneWatch.

    GALERI: Honda Accord 1.5 TC-P 2020

    GALERI: Gambar rasmi Honda Accord 2020

     
     
  • Honda Civic 2020 diperkenalkan secara rasmi di M’sia – dengan Honda Sensing, harga bermula RM113,600

    Honda Civic 2020 diperkenalkan secara rasmi di M’sia – dengan Honda Sensing, harga bermula RM113,600

    Honda Malaysia kini dengan rasminya memperkenalkan Honda Civic facelift 2020 untuk pasaran tempatan. Model generasi ke-10 FD itu membuat penampilan sulungnya hari ini selepas lima bulan dibuka untuk tempahan – kelewatan itu adalah berkaitan penetapan harga.

    Bagi penawaran terbaru ini, Honda Civic 2020 didatangkan dalam tiga varian dengan harga masing-masing seperti berikut: Civic 1.8S (RM113,600); Civic 1.5 TC (RM129,600); dan Civic 1.5 TC-P (RM139,600). Berbanding harga sebelum ini, ada kenaikan harga sebanyak RM5,435 bagi varian 1.8S, naik RM8,745 bagi 1.5 TC dan naik sebanyak RM10,969 bagi 1.5 TC-P.

    Kemaskini pertengahan hayat bagi Civic ini melibatkan sedikit perubahan penggayaan dan penampilan luarannya. Wajah depannya kini menampilkan elemen kemasan hitam berkilat “wing” pada rekaan grilnya yang menggantikan kemasan krom sebelum ini. Bahagian bawah bampar depan pula kini diberikan kemasan hitam melintang.

    Di belakang, terdapat juga unsur kemasan baru pada bampar, dengan spoiler yang sama seperti sebelumnya. Selain itu, rim 18-inci terdahulu turut digunakan, tetapi hanya bagi varian 1.5 TC-P, yang merupakan penawaran varian tertinggi. Varian pertengahan diwakili oleh 1.5 TC dan yang paling asas, 1.8 S.

    Tiada perubahan dari segi output bagi kedua-dua enjin berkenaan. Unit L15B7 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder menghasilkan 173 PS dan 220 Nm, manakala unit 1.8 liter SOHC empat-silinder pula menjana 141 PS dan 174 Nm. Kedua-dua enjin ini dilengkapi dengan transmisi CVT, yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    Pertambahan terbaru pada Civic 2020 ini ialah penawaran pakej keselamatan dan teknologi bantuan pemandu Honda Sensing, dengan Civic terbaru ini menjadi model CKD ketiga Honda yang dilengkapi dengan ciri berkenaan selepas CR-V dan Accord.

    Ciri berkenaan terdiri daripadanya antaranya Kawalan Melayar Adaptif (ACC) dengan Mengikut Dalam Kelajuan Rendah (LSF), Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Menghindar Perlanggaran (CMBS), Sistem Pengekalan Lorong (LKAS), Penghindaran Pertukaran Laluan (RDM) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDW).

    Honda Civic 2020 diperkenalkan secara rasmi di M’sia – dengan Honda Sensing, harga bermula RM113,600

    Turut disertakan sekali ialah ciri Auto High-Beam (AHB) serta sistem kamera sisi LaneWatch. Lain-lain ciri termasuk enam beg udara, sensor parkir depan, bantuan kestabilan kenderaan (VSA), ABS, EBD, bantuan brek, Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan kamera undur.

    Antara kelengkapan baru yang turut diperkenalkan dengan Civic 2020 ini ialah sensor parkir depan, penggilap cermin automatik dan kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40 (sebelum ini penyandar kekal).

    Varian 1.5 TC kini akan dilengkapi dengan lampu LED dan lampu kabus (sebelum ini lampu halogen) serta LaneWatch. Bagi 1.5 TC-P pula, selain daripada Honda Sensing dan rim 18-inci, ia menjadi satu-satunya varian yang datang dengan gril hitam dan spoiler belakang sebagai ciri standard.

    GALERI: Honda Civic 1.8S 2020

    GALERI: Honda Civic 1.5 TC Modulo 2020

    GALERI: Honda Civic 1.5 TC-P 2020

     
     
  • Polestar Precept Concept – sedan elektrik gaya baharu

    Polestar Precept Concept – sedan elektrik gaya baharu

    Sebelum ini rekaan kenderaan Polestar kelihatan banyak mempunyai persamaan dengan rekaan syarikat induknya iaitu Volvo. Tapi kini, melalui model konsep terbaru mereka yang dinamakan sebagai Precept Concept, ia seperti sudah menemui identiti sendiri.

    Walaubagaimanapun, tanda unik seperti lampu Thor’s Hammer masih digunakan, namun Polestar menjadikannya unik dengan memisahkan bahagian atas dan bawah. Gril biasa diganti dengan panel SmartZone yang menempatkan pengesan radar dan kamera definisi tinggi untuk sistem bantuan pemandu. Semua sensor ini dijadikan sebagai sebahagian daripada rekaan kenderaan, dan disebabkan itu juga anda boleh melihat jelas pod LIDAR di atas bumbung.

    Untuk bahagian bonet, Polestar menggunakan lekuk hampir seperti Ferrari 488 Pista, di mana ia dapat meningkatkan aliran udara atas bonet dan mempertingkat ciri aerodinamik, sekaligus membantu memberikan jarak gerak yang lebih jauh (kereta ini menggunakan kuasa elektrik).

    Polestar Precept Concept – sedan elektrik gaya baharu

    Precept adalah sebuah kereta yang agak panjang, dengan ukuran jarak roda 3.1 meter. Ia bukan sahaja membantu memberikan ruang untuk bateri yang terletak di bawah lantai, tetapi juga menghasilkan rupa yang menarik apabila digabungkan dengan garis bumbung seperti coupe.

    Antara ciri rekaan unik lain yang terdapat pada Precept adalah seperti kamera menggantikan cermin sisi, bukaan pintu suicide, tingkap tanpa kerangka dan b-pillar, tiada cermin belakang (pandangan belakang datang daripada kamera) dan bumbung yang keseluruhannya dibuat daripada cermin.

    Bahagian dalam melibatkan rekaan yang ringkas dan kemas, dengan papan pemuka yang nipis, tetapi di tengahnya terdapat skrin sesentuh 15 inci menegak yang agak besar untuk sistem infotainmen dan panel instrumen 12.5 inci di hadapan pemandu. Teknologi pengesan mata akan membantu melaras informasi yang dipaparkan antara dua skrin ini, bergantung kepada penglihatan pemandu, manakala skrin di tengah juga boleh dikawal dengan pergerakan tangan (tanpa sentuhan).

    Polestar Precept Concept – sedan elektrik gaya baharu

    Empat tempat duduk berasingan disediakan dalam Precept, dan di tengahnya terdapat perehat tangan yang mempunyai tombol kawalan audio. Kemasan emas yang sudah menjadi tanda unik jenama ini dapat dilihat pada tali pinggang keledar serta angkup brek.

    Sebagai sebuah syarikat yang mementingkan aspek mesra alam, Polestar menggunakan bahan komposit Bcomp pada beberapa bahagian seperti panel pintu dan bahagian belakang tempat duduk, dan ia memberikan pengurangan berat sebanyak 50% dan menyumbang kepada pengurangan sebanyak 80% terhadap pembaziran plastik.

    Permukaan tempat duduk pula dikait secara 3D daripada plastik kitar semula, manakala bahagian tepi tempat duduk dan penyandar kepala dibuat daripada gabus kitar semula. Karpet adalah daripada jaring menangkap ikan kitar semula. Memandangkan ini adalah kereta konsep, perincian teknikal lain tidak didedah.

     
     
  • Alfa Romeo tayang teaser model baharu untuk Geneva

    Geneva Motor Show 2020 bakal menyemarakkan lagi industri automotif global, dengan itu, Alfa Romeo turut mengambil kesempatan untuk mempamerkan model baharunya dalam acara berprestij itu. Demi menambahkan debaran sebelum tirai Geneva bermula, pengeluar kereta Itali itu telah pun menayangkan teaser untuk model misterinya buat pertama kali menerusi laman Facebook rasmi mereka.

    Walau bagaimana pun, tiada perincian lanjut diberikan. Namun begitu, ada beberapa laporan mengatakan model ini lebih ‘panas’ berbanding Giulia Quadrifoglio. Termasuk memiliki hamburan kuasa 620 hp dan akan menjadi model yang lebih ringan hasil inisiatif pengurangan beratnya.

    Mungkinkah ia juga menggunakan plat nama GTA, atau juga dikenali sebagai Gran Turismo Alleggerita (alleggerita bermakna ringan dalam bahasa Itali), pertama kali dilihat pada tahun 1965 menerusi model Giulia Sprint GTA yang hanya dikeluarkan dengan unit terhad sebanyak 500 unit sahaja untuk tujuan perlumbaan dan homogalasi.

    Kemungkinan yang lain ialah pengenalan bagi model kereta sport baharu GTV dan 8C yang tersenarai dalam rancangan syarikat terbabit pada tahun 2018. Walau bagaimana pun, penggabungan antara Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan PSA Group membuatkan rancangan terbabit terpaksa ditangguhkan selama-lamanya. Buat masa ini, teka-teki untuk model misteri yang bakal muncul di Geneva masih belum ada jawapanya. Kena tunggu ia diperkenalkan bulan hadapanlah jawabnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024