Search in Bahasa Malaysia:

  • Mazda CX-5 2017 bakal diperkenalkan 16 Nov ini

    mazda_cx5_debut

    Lima tahun lalu, Mazda CX-5 diperkenalkan di Hiroshima, yang juga buat pertama kalinya mengaplikasikan gaya rekaan Kodo ciptaan Mazda sendiri. Setengah dekad berlalu, model SUV lima-tempat duduk ini akan dilahirkan dengan generasi baharu yang bakal dipamerkan di Los Angeles Auto Show 2016 pada 16 November ini, membawakan evolusi yang lebih terkini.

    Mazda juga telah menyebarkan imej teaser yang menunjukkan sisi profil CX-5 2017 ini. Walau pun kelihatan agak samar-samar, kerangka CX-5 generasi baharu ini kelihatan lebih mantap berbanding sebelumnya, termasuk menampilkan garisan bumbung yang lebih rendah. Pada bahagian hadapannya, ia juga kelihatan dipadankan dengan lampu utama yang lebih langsing, termasuk gril krom di bawah lampu tersebut, seperti mana yang kelihatan pada imej spyshot yang pernah kami paparkan.

    Selain itu, jelas kelihatan garisan karakter dari dapra hadapan kini melunjur ke bawah merintangi bahagian pintu, baharu daripada Mazda. Malah ia juga didatangkan dengan krom yang lebih tebal pada bahagian beltline yang melunjur ke atas.

    Enjin SkyActiv-D generasi seterusnya juga dijangka akan ditawarkan, termasuk enjin 2.5 liter SkyActiv-G turbo petrol pada Mazda CX-9. Selebihnya, CX-5 ini nanti mungkin akan dilengkapi teknologi baharu G-Vectoring Control, serta Traffic Sign Recognition dan Advanced Smart City Brake Support dengan pengesan pejalan kaki; semua ciri ini ditampilkan pertama kali pada Mazda 3 versi wajah baharu.

    SPYSHOT: Mazda CX-5 2017

     
     
  • Kawasaki perkenal Z1000 R untuk pasaran 2017

    hi_17my_z1000-r-edition_angle21-bm

    Dalam keadaan asalnya, Kawasaki Z1000 yang menggunakan enjin empat silinder sebaris 1,043 cc dan berkemampuan menghasilkan kuasa sebanyak 142 ps sudah cukup mengujakan dan bagi pasaran tahun 2017, Kawasaki memperkenalkan Z1000 R- dinaik taraf dengan beberapa kelengkapan prestasi.

    Disebabkan enjin asalnya masih lagi dipercayai, ia ditala semula supaya dapat menepati tahap emisi Euro 4 dan memberikan penyampaian kuasa yang lebih lancar.

    Kawasaki ingin menjadikan tunggangan Z1000 R 2017 lebih mantap, dan dengan itu, mereka memperkenalkan penyerap hentak Ohlins S46DR1S dengan pelarasan pra beban di belakang, manakala fork hadapan pula ditala semula supaya lebih responsif.

    Prestasi brek juga ditingkatkan dengan penggunaan unit Brembo M50 bersama cakera terapung 310 mm di hadapan, sementara bendalir brek pula melalui hos salutan besi.

    Penampilan motosikal ini tidak banyak berbeza dengan Z1000 sebelum ini, cuma ia menggunakan pelekat serta pilihan warna baru iaitu Metallic Spark Black dan Metallic Graphite Grey. Tempat duduk juga mempunyai sulaman logo Z, iaitu nama keluarga motosikal ini.

    Harga bagi Kawasaki Z1000 R 2017 masih belum diketahui dan ia dijangka membuat penampilan semasa pameran motosikal EICMA di Itali bulan hadapan. Di Malaysia, Z1000 dijual pada harga RM76,900.

     
     
  • Uber dan Grab dibenarkan ambil penumpang di sekitar Sunway Putra Mall – tiada ‘kontrak’ eksklusif teksi

    big-blue-taxi-01-850x579-bm

    Sunway Putra Mall menyanggah dakwaan pengendali teksi bahawa mereka ada hak untuk menghalang pemandu Uber dan Grab daripada mengambil penumpang dipremis itu kononnya ada “kontrak” eksklusif di antara kedua-dua pihak. Dalam laporan The Sun, pengendali premis berkenaan menyatakan bahawa mereka tidak terikat secara eksklusif dengan mana-mana penyedia pengangkutan awam.

    Pihak pengurusan premis berkenaan juga menjelaskan semua pengunjung bebas untuk menggunakan mana-mana khidmat pengangkutan yang mereka inginkan ketika di sana.

    Baru-baru ini, pengasas Big Blue Taxi Service, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata syarikatnya akan menghalang pemandu aplikasi perkongsian kenderaan itu daripada mengambil penumpang di lokasi berkenaan, termasuk beberapa lagi tempat seperti di Publika, Hotel Ritz Carlton, KLCC dan Hotel JW Marriot.

    Beliau mendakwa syarikatnya mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana mempunyai “kontrak” khas dengan semua pemilik atau pengurus bangunan yang dinyatakan.

    “Di bawah kontrak berkenaan, teksi Big Blue dibenarkan untuk mengambil penumpang dari lokasi berkenaan (di jalan persendirian). Sementara mereka yang beroperasi secara tidak sah atau tidak menepati mana-mana peraturan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah dilarang memasuki kawasan dan mengambil penumpang, walaupun mereka sudah ada tempahan daripada penumpang,” jelas beliau.

     
     
  • Honda Malaysia pindahkan hab pertukaran beg udara Takata untuk bahagian utara ke Juru, Pulau Pinang

    honda-malaysia-mh

    Honda Malaysia telah mengumumkan akan memindahkan hab pertukaran bag udara Takata bagi bahagian utara ke Pulau Pinang supaya ia lebih mudah diakses oleh pelanggan yang terlibat.

    Hab baharu tersebut bertempat di Fella Design Sdn. Bhd. (Cawangan Juru) yang beralamat di No. 1264-A-G, Jalan Perusahaan, Kawasan Perusahaan Perai, 13600, Perai, Penang, atau sebelah Petron Juru. Atau pun anda boleh mencarinya menerusi aplikas Waze dengan menaip “Honda Northern Hub PUD”.

    Hab bahru ini telah pun memulakan operasi sejak 20 Oktober lalu, sementara hab sedia ada yang terletak di sebelah SMJK Convert Dato’ Keramat, Pulau Pinang akan ditamatkan mulai 28 Oktober ini.

    Bagi hab pertukaran di bahagian sentral dan selatan, ia masih dikekalkan. Honda Malaysia telah membuka tiga hab bagi tujuan pertukaran beg udara ini yang beroperasi setiap hari kecuali cuti umum. Hab ini akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5.50 petang setiap hari, kecuali untuk hujung minggu sehingga 5 petang sahaja. Ketiga-tiga hab ini akan terus beroperasi sehingga hujung tahun ini (31 Disember 2016).

    Honda Malaysia Central and Mobile Hubs Location and Operating Ho

    Klik untuk besarkan

    Sementara itu, Hab Bergerak pula akan melanjutkan operasinya di pusat membeli-belah terpilih di bahagian sentral sehingga 31 Disember ini. Hab terbabit akan beroperasi pada Sabtu dan Ahad dari jam 10 pagi hingga 7 malam.

    Sepanjang 1 Ogos hingga 25 Oktober lalu, Honda Malaysia telah menggantikan lebih 92,700 unit beg udara Takata yang terbabit, dengan hampir 13,000 unit (atau 14%) daripadanya dilakukan di hab sementara.

    Hingga ke tarikh ini, terdapat 6% lagi beg udara Takata yang masih belum diganti di bahagian utara, dengan jumlah masing-masing sebanyak 6% dan 18% untuk selatan dan sentral.

    Honda Malaysia Central and Mobile Hubs Location and Operating Ho

    Klik untuk besarkan

    Para pelanggan Honda yang terlibat digesa untuk membuat temujanji bagi menukar beg udara kenderaan masing-masing di mana-mana pusat pengedar bertauliah Honda, hab servis pertukaran mahu pun hab bergerak. Malah Honda Malaysia mengesahkan kini telah memiliki sepenuhnya stok beg udara baharu bagi tempat duduk pemandu.

    Manakala bagi beg udara tempat duduk penumpang hadapan pula, setakat ini sebanyak 55% stok telah tersedia menjelang Disember 2016. Surat makluman untuk pelanggan terbabit akan dihantar.

    Para pelanggan yang terlibat boleh menyemak status kenderaan masing-masing menerusi www.productrecall.honda.com.my atau pun terus menghubungi call Honda Malaysia di talian bebas tol 1-800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pusat pengedar Honda bertauliah.

     
     
  • JPJ Kelantan sita 64 kenderaan klon sejak 9 bulan lalu

    Cloned-cars-

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan memaklumkan pihaknya telah berjaya menyita 64 pelbagai kenderaan klon sepanjang Januari hingga September tahun ini.

    Menurut Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa, majoriti pemilik kenderaan yang dirampas adalah penjawat awam. Katanya lagi, jumlah kes tersebut, sebanyak 24 kes didakwa di mahkamah dan pemiliknya dikenakan denda berjumlah RM258,700 manakala 40 kes lagi dalam perbicaraan, laporan Bernama.

    “Ditawarkan harga yang murah mendorong mereka sanggup memiliki kenderaan klon termasuk daripada jenama mewah, biar pun menyedari ia salah di sisi undang-undang. Ada kenderaan yang ditawarkan semurah antara RM20,000 hingga RM30,000 berbanding harga sebenarnya mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya kepada pihak media semalam.

    Katanya lagi, penjawat awam yang ditahan kebanyakannya memberikan alasan tidak mengetahui memiliki kenderaan klon adalah satu kesalahan bagi mengelak dikenakan tindakan.

    “Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat dengan datang terus ke JPJ jika menghadapi situasi seperti itu. Ini kerana jika kereta ditahan, pemilik akan mengalami kerugian berlipat kali ganda,” katanya.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika mahu membeli kereta mewah yang dijual secara langsung dengan harga murah.

     
     
  • PLUS tawar rebat 20% bagi ETC sempena Deepavali – saran pengguna lebuhraya ikut TTA yang dikeluarkan

    toll plaza plus

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan rebat 20% bagi pembayaran menggunakan sistem transaksi secara elektronik (ETC) bagi semua pengguna rangkaian lebuh raya PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) sempena cuti perayaan Deepavali yang bakal berlangsung esok.

    Menurut Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Pengguna Kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi) yang membayar tol menggunakan sistem elektronik iaitu menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go dan SmartTAG berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20% pada 29 Oktober (Sabtu) bersempena dengan Hari Deepavali. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari tersebut.”

    Menurut Noorizah, pada tarikh tersebut, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 20% tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch ‘n Go atau kad PLUSMiles masing-masing (dalam bentuk tambah nilai) apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh 3 bulan iaitu di antara 15 November 2016 sehingga 14 Februari 2017 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

    Pemberian rebat tol oleh PLUS ini merupakan salah satu daripada langkah PLUS meraikan sambutan Hari Deepavali yang akan datang. Selain itu, ia adalah di antara strategi PLUS menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan lebih pantas.

    “Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” jelas Noorizah.

    Walau bagaimanapun, rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

    tta_deepavali_2016_bm

    Dalam masa yang sama, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan yang menuju destinasi berlainan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya dan seterusnya menyebabkan kesesakan.

    Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS sempena perayaan Deepavali, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis dan Kedah disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 10 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) dinasihatkan memasuki lebuh raya di antara jam 10 pagi hingga 6 petang.

    “Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Pulau Pinang dan Perak (Utara dan Tengah) tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke Perlis dan Kedah di lebuh raya. Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke utara lebih lancar. Begitu juga untuk perjalanan ke pelbagai destinasi di selatan,” jelas Noorizah.

    PLUS turut menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak tujuh (7) peratus kepada 1.5 juta kenderaan setiap hari di antara 27 Oktober hingga 1 November 2016 bersempena perayaan Deepavali berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

     
     
  • UMW Toyota panggil semula Vios, Altis, Yaris, Alphard di M’sia – tukar inflator, termasuk bagi model import

    2009-toyota-vios-trd-sportivo

    Susulan daripada panggilan semula besar-besaran yang dilakukan oleh Toyota Motor Corp (TMC) bagi menggantikan inflator beg udara Takata yang melibatkan jutaan kenderaan di seluruh dunia, pengedar tempatan, UMW Toyota Motor (UMWT) turut mengumumkan panggilan semula bagi pemilik kenderaan terlibat di Malaysia.

    Dan ini juga merupakan aktiviti besar-besaran; ia melibatkan penggantian inflator bagi sistem beg udara bahagian pemandu dan/atau penumpang bagi beberapa model utama. Antaranya ialah Vios, Corolla Altis, Yaris dan Alphard yang dikilangkan antara Oktober 2007 hingga Disember 2011.

    UMWT menyatakan sejumlah 80,000 unit kenderaan jenama itu terlibat. Angka itu bagaimanapun hanya termasuk kenderaan yang diedarkan oleh pengedar rasmi sahaja. Kempen terbaharu ini adalah lanjutan kepada kempen sebelumnya yang memberi kesan terhadap hampir semua jenama pengeluar utama Jepun. Ia juga merupakan panggilan semula terbesar dalam sejarah industri automotif setakat ini.

    Masalah berkenaan disebabkan oleh penyusutan bahan dorongan (propellant degradation) selepas terdedah dalam jangka masa lama terhadap kelembapan udara dan suhu. Inflator berkenaan mengandungi bahan daripada ammonium nitrate yang berupaya menyebabkan keretakan pada modul berkenaan. Jika ini terjadi, serbihan logam akan menembusi bahagian beg udara ketika ia menggelembung dan akan terhambur ke dalam kabin, mampu menyebabkan kecederaan atau kematian.

    2010-toyota-corolla-altis

    UMWT menyatakan bahawa syarikat induknya TMC kini sedang berusaha mendapatkan alat ganti terlibat bagi panggilan semula ini. Sebaik sahaja ia diperoleh, UMWT akan maklumkan pemilik, meminta agar mereka membawa kenderaan terlibat ke pusat servis bertauliah Toyota untuk penukaran berkenaan, yang mengambil masa satu hingga tiga jam. Semua kos akan ditanggung oleh UMWT.

    Syarikat itu juga sedia maklum bahawa segelintir daripada pemilik kenderaan terlibat bukanlah pemilik pertama yang berdaftar dengan UMWT dan tidak dapat dihubungi. Dalam kes ini, mereka perlu menghubungi pusat servis Toyota atau memaklumkan ke talian Toyota Freephone di 1800-8-TOYOTA (869682). Toyota juga kini sedang dalam proses mengemaskini pangkalan data VIN dan pemilik boleh memeriksa nombor VIN kenderaan mereka di laman khas berkenaan.

    Bagaimana pula dengan model Toyota yang bukan dibawa masuk melalui pengedar rasminya? Merujuk kepada model-model grey import yang mungkin terlibat sama, terutama bagi pemilik model Alphard dan Vellfire yang dikilangkan dalam tempoh sama (Oktober 2007 dan Disember 2011), mereka juga akan turut dilindungi serta terlibat dalam kempen ini. Namun, keutamaan akan diberikan kepada pelanggan UMW Toyota terlebih dahulu.

     
     
  • Hyundai Grandeur 2017 – set gambar awal dikeluarkan

    hyundai-grandeur-2017-bm

    Selepas menyiarkan beberapa imej teaser bagi Hyundai Grandeur 2017 beberapa hari lepas, syarikat itu akhirnya mengeluarkan gambar sebenarnya. Grandeur 2017 adalah sebuah sedan generasi keenam dan menggunakan nama Azera di beberapa negara. Ia akan mula dijual di Korea Selatan bulan depan.

    Jelas, model baru ini nampak lebih mewah, dengan bahagian hadapan yang dipanjangkan dan garisan lebih rapi. Pada bahagian hadapan juga, lampu utama LED berbentuk trapezoid seakan diambil daripada BMW 5 Series G30 manakala gril pula membawa gaya korporat, seperti yang pertama kali dilihat pada i30.

    Pada bahagian tepi pula terdapat ‘garisan bahu’ yang panjang, dari lampu hadapan hingga ke pintu belakang, dan diteruskan oleh lengkuk tayar belakang. Lampu belakang kiri dan kanan pula bersambung di bahagian tengah.

    Di dalam, papan pemuka yang digunakan mempunyai beberapa lapis, atas berwarna gelap sementara separuh lagi di bawahnya berwarna coklat. Menurut Hyundai, teknologi cat dan bahan yang diperkaya menimbulkan rasa premium moden apabila berada di dalam Grandeur 2017.

    Setakat ini masih belum dinyatakan pilihan enjin yang akan diguna pada Grandeur 2017, tetapi ia pasti tidak akan lari jauh daripada yang terdapat pada Grandeur sekarang. Dalam barisan kenderaan Hyundai, model ini terletak di antara Sonata dan Genesis.

    Bagi Grandeur yang ada di pasaran sekarang, ia ditawarkan dalam dua pilihan enjin Theta empat silinder 2.4 liter (MPI dan GDi), dan dua unit Lambda V6 – 3.0 liter dan 3.3 liter. Turut disediakan adalah varian hibrid yang menggunakan enjin 2.4 liter MPI bersaa motor elektrik 3.0 liter.

    Kereta ini datang secara standard dengan transmisi automatik enam kelajuan, tetapi bagi model baru, kotak gear automatik lapan kelajuan seperti yang terdapat pada Kia Cadenza generasi kedua dijangka digunakan.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz W213 E 200 – penanda aras baharu segmen sedan mewah eksekutif

    mercedesbenz_w213_e200_ext-6

    E-Class merupakan model yang paling penting dalam barisan kenderaan keluaran Mercedes-Benz. Walaupun ia bukan model yang diletakkan dalam kelas entry-level di mana ada lagi model yang berada dibawahnya dengan harga yang lebih murah seperti C-Class, B-Class dan A-Class, E-Class merupakan model paling laris Mercedes-Benz dalam sejarah, di mana sehingga tahun 2015, sebanyak 13 juta unit model berkenaan telah terjual.

    Sebagai antara model yang terbaik dalam kelasnya juga, E-Class tidak terlepas dari saingan oleh musuh tradisi. Untuk segmen setaranya, E-Class dilihat berhadapan ‘pertarungan sengit’ dari model keluaran jenama senegaranya iaitu BMW 5 Series. Mercedes-Benz E-Class generasi sebelum ini iaitu model W212 disaingi hebat oleh BMW 5 Series F10 dan tahun ini merupakan penamat bagi saingan untuk kedua-dua jentera berkenaan apabila produksi model-model ini ditamatkan.

    Mercedes terlebih dahulu memperkenalkan senjata mereka untuk saingan peringkat seterusnya dengan memperkenalkan generasi terbaharu E-Class W213 pada Detroit Motor Show Januari lalu, manakala BMW 5 Series G30 baharu sahaja diperkenalkan awal bulan ini dan hanya akan dipasarkan bermula Februari 2017.

    E-Class W213 ini mula menerjah masuk ke pasaran Malaysia Jun lalu, dilancarkan hanya selepas lima bulan diperkenalkan untuk peringkat global. Mercedes-Benz akan membawa model ini dalam versi CKD tahun hadapan, dan buat masa sekarang, hanya unit CBU yang diimport sepenuhnya dibawa masuk ke Malaysia dalam varian E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde dan E 250 Exclusive. Model E 300 AMG line CBU pula bakal tiba di Malaysia pada November ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Barisan Volkswagen Golf dikurangkan kerana potongan kos, pilih model yang lebih inovatif – laporan

    VW Golf R400 2

    Selepas Volkswagen mendedahkan model Golf facelift sedia untuk membuat penampilan secara rasmi November ini, terdapat ura-ura menyatakan ia bakal ditawarkan dengan beberapa varian. Buat masa ini Mk7 Golf ditawarkan dalam bentuk hatchback, estate, convertible, Alltrack dan SUV. Walau bagaimana pun, dikatakan, barisan Golf kali ini akan dikurangkan kerana syarikat tersebut mahu mengurangkan kos, laporan Autocar.

    Malahan turut dikhabarkan varian convertible juga akan dihentikan jualannya di United Kingdom, iaitu salah satu pasaran terbuka yang begitu sinonim dengan kereta jenis bumbung terbuka ini. Walau bagaimana pun, Volkswagen dikatakan akan menggantikannya dengan varian yang lebih relevan.

    “Kami perlu meneliti model Golf yang akan datang serta varian yang ditawarkan, kerana kami perlu mempertimbangkan soal penjimatan kos. Justeru, kami perlukan model yang lebih kukuh dan lebih inovatif,” ujar pengerusi Herbert Diess.

    Spy-Shots of Cars

    Imej rendering bagi model Mk7 Volkswagen Golf Cabriolet

    Dies turut berkata, platform MQB bagi barisan Golf agak tinggi, justeru beliau akan meminta para juruteranya untuk mengurangkan kos perbelanjaan. Di samping pengurangan kos, Dies turut mendesak margin yang lebih besar dengan kos perlaburan bernilai £1.5 billion (RM7.66 billion) yang dibelanjakan oleh syarikat untuk platform MQB baharu, dalam masa yang sama cuba mengekalkan keuntungan syarikat.

    Satu lagi cabaran yang dihadapi oleh Diess ialah berhadapan dengan kerja di sebalik pembikinan Golf. “Salah satu cabaran terbesar yang kami masih hadapi ialah berurusan dengan kesatuan baharu. Saya sendiri sedang mencari produktiviti tertinggi dan menstruktur semula rantaian bekalan bagi berhadapan dengan teknologi baharu. Kami berharap segala yang dirancang ini mampu berjalan dengan berkesan menjelang tahun 2020,” ujarnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.08 (0.00)
RON 97 RM2.68 (-0.02)
RON 100 RM3.20
VPR RM3.42
DIESEL
EURO 2M RM2.18 (0.00)
EURO 5 RM2.28 (0.00)
Last Updated 18 May 2019