Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Volkswagen T1 e-Bulli – ‘Bas Samba’ elektrik 1966

    Volkswagen T1 e-Bulli – ‘Bas Samba’ elektrik 1966

    Volkswagen Commercial Vehicles telah menerap penggayaan bagi “Bas Samba” versi moden termasuk memberikan kenderaan elektrik yang diberi nama T1 e-Bulli tersebut dengan penjana kuasa dan senibina daripada teknologi terkini. Kalau ikut sejarah silamnya, van pengangkut Bulli agak popular pada tahun sekitar 60an dan 70an. Jadi dengan binaan versi baharu ini, ia seakan mengembalikan semula model ikonik ini untuk generasi kini.

    Sentuhan retro masih jelas kelihatan pada rekaan luarannya, namun masih diberikan penggayaan kontemporari dan moden, termasuk dengan lampu utama LED bulat yang ditambah baik untuk pandangan pada waktu malam, selain terus mengekalkan nilai estetika T1. Sentuhan yang hampir sama juga dibawa ke bahagian kabin, termasuk rekaan speedometer yang berdasarkan ciri asalnya, begitu juga dengan pemilih gear untuk transmidi automatik dengan ciri iluminasi LED. Konsol yang dipasang di siling pula menampilkan tablet sebagai paparan informasi termasuk fungsi kenderaan.

    Perincian teknikalnya masih belum didedahkan. Walau bagaimana pun, kemungkinan besar van Bulli ini akan menggunakan platform yang sama seperti yang direncana pada model konsep I.D. Buzz Difahamkan e-Bulli ini akan diperkenalkan di Techno Classica 2020 di Essen, Jerman, pada bulan ini, di mana ia juga akan menampilkan banyak model elektrik yang lain.

    Telah disahkan akan dilancarkan pada 2022, I.D. Buzz yang menggunakan platform MEB untuk varian penumpang dan pengangkut kargo, dengan padanan motor elektrik 201 hp yang menawarkan jumlah keseluruhan kuasa sebanyak 369 hp menerusi gandar hadapan dan belakang, bersama bateri 111 kWh yang menawarkan jarak pacuan hingga 600 km mengikut kitaran NEDC. Larasan pacuan roda-belakang dengan kuasa 268 hp dari janaan bateri 83 kWh juga ditawarkan sebagai pilihan.

    GALERI: Model konsep Volkswagen I.D. Buzz

     
     
  • Toyota laburkan US$426 juta dalam Pony.ai China

    Toyota laburkan US$426 juta dalam Pony.ai China

    Toyota kini melabur dalam jumlah yang besar ke atas Pony.ai, sebuah syarikat pemanduan autonomous China sebagai sebahagian daripada lanjutan kerjasama niaga yang dibentuk Ogos lalu, ketika kedua-dua syarikat bersetuju memulakan program pemanduan autonomous bersama di China. Dana terbaru ini, yang mencecah US$462 juta; ini menjadikan nilai semasa Pony.ai melebihi US$3 bilion.

    Kedua-dua syarikat dijangka untuk meneruskan usaha mereka di dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomous dan pelaksanaan perkhidmatan mobiliti. Selain daripada melanjutkan kesepaduan sistem Pony.ai pada kenderaan Toyota, kerjasama itu juga akan meneroka kemungkinan di dalam lapangan perkhidmatan mobiliti.

    Perniagaan start-up dari China itu ditubuhkan pada 2016, dan telah menguji perkhidmatan Robotaxi sejak penghujung 2018 di Guangzhou dan mendakwa mereka menjadi yang pertama di China yang menawarkan perkhidmatan kereta pandu sendiri kepada umum di sana.

    November tahun lalu, syarikat itu juga melancarkan perkhidmatan Robotaxi di Amerika Syarikat. Perkhidmatan ulung itu, yang dipanggil BotRide, dimulakan di Irvine, California menggunakan Hyundai Kona Electric yang dipasangkan sensor dan perisian pemanduan autonomous Pony.ai. Satu lagi program sama turut diumumkan baru-baru ini untuk dijalankan di Fremont.

     
     
  • Alfa Romeo tunjuk Giulia GTA baharu menerusi video

    Walau pun penganjuran Geneva Motor Show 2020 terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak coronovirus, namun masih banyak pengeluar kereta yang mahu memperkenalkan model baharu masing-masing mengikut perancangan asal untuk acara berkenaan. Ini termasuklah Alfa Romeo yang telah bersedia untuk mendedahkan versi Giulia yang lebih hot, dengan nama gelaran Giulia GTA.

    GTA (Gran Turismo Alleggerita) merupakan nama plat bagi salah satu ikon dalam sejarah syarikat berkenaan, dan pertama kali digunakan pada tahun 1965 menerusi Giulia Sprint GTA yang dikeluarkan dengan jumlah terhad – hanya 500 unit – bagi tujuan perlumbaan.

    Ada laporan menyatakan model ini akan dipacukan oleh enjin 2.9 liter pengecas turbo V6 dengan hamburan kuasa 620 hp, lebih prestasi berbanding model biasa Giulia Quadrifoglio (503 hp/600 Nm). Selain lonjakan kuasa, dijangkan model ini turut menerima pengurangan berat dan juga peningkatan aerodinamik.

    Giulia GTA bukanlah satu-satunya model yang akan diperkenalkan oleh ALfa Romeo, malah model untuk kegunaan trak – GTAm – juga akan ditampilkan di peringkat global. Model tersebut dikatakan telah mengurangkan beberapa cirinya termasuk kalis bunyi dan tempat duduk belakang juga ‘disingkirkan’ untuk pengurangan berat, sementara aerodinamik dan kerangka badannya ditambahbaik.

     
     
  • BMW F900R, F900XR dilancar di M’sia – dari RM62.5k

    BMW F900R, F900XR dilancar di M’sia – dari RM62.5k

    Pertama kali didedahkan waktu pameran EICMA 2019 hujung tahun lalu, kini model F900R dan F900XR sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan masing-masing RM62,500 dan RM69,500 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberi adalah selama tiga tahun bersama program bantuan tepi jalan tiga tahun.

    Kedua-dua F900 XR dan F900 R menggunakan enjin sama, iaitu unit dua silinder selari 895 cc, yang sebenarnya adalah enjin yang dipertingkat daripada enjin 853 cc pada F850 GS. Enjin baru ini mampu menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,750 rpm dan 92 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan penunggang boleh memilih mod tunggangan Rain dan Road.

    Walaupun dua motosikal ini berkongsi banyak ciri yang sama, keduanya mempunyai karekter yang berbeza di mana F900 XR adalah sebuah motosikal sport touring manakala F900 R pula adalah sebuah roadster naked. Pada F900 XR anda boleh melihat ia menyediakan keadaan tunggangan yang lebih tegak serta panel badan yang disesuaikan untuk perjalanan jauh termasuk penghadang angin hadapan yang boleh dilaras.

    F900 R pula mempunyai panel badan yang lebih minimum dan bahagian belakang yang lebih kurus. Kedua-duanya menggunakan tangki bahan api plastik, dengan kapasiti masing-masing 13 liter untuk F900 R dan 15.5 liter untuk F900 XR.

    Bahagian lain yang berbeza adalah suspensi, di mana F900 XR menggunakan fork USD hadapan dengan jarak gerak 170 mm di hadapan dan monoshock 172 mm di belakang sementara F900 R pula menggunakan suspensi dengan jarak gerak 135 mm di hadapan dan 142 mm di belakang. Dalam keadaan standard ia tidak boleh dilaras, tetapi pemilik diberikan pilihan suspensi pelarasan elektronik Dynamic ESA sebagai tambahan.

    BMW F900R, F900XR dilancar di M’sia – dari RM62.5k

    Barangan lain yang datang secara standard pada dua model ini adalah semua lampu jenis LED, skrin TFT 6.5 inci dengan ciri BMW Connectivity dengan BMW Motorrad Multi-Controller, brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan, Automatic Stability Control (ASC) serta brek ABS.

    Ciri tambahan yang dijual berasingan pula termasuk Adaptive Cornering Light, Keyless Ride, Shift Assistant Pro, Intelligent Emergency Call, Intelligent Emergency Call, Riding Mode Pro, yang memberikan dua lagi tambahan mod tunggangan serta sistem Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro, Dynamic Brake Control (DBC) dan Engine Drag Torque Control (MSR).

    GALERI: BMW F 900 XR 2020

    GALERI: BMW F 900 R 2020

     
     
  • VinFast kini intai aset Holden di Australia

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    Minggu lalu, jenama automotif dari Australia, Holden disahkan bakal ditutup sepenuhnya oleh pemiliknya iaitu General Motors pada hujung tahun ini. Hal ini nampaknya menarik perhatian nama baharu dalam industri iaitu Vinfast yang berasal dari Vietnam untuk mengambil alih aset-aset Holden yang bakal ditinggalkan di Australia, menurut laporan carsales.com.au.

    Disember lalu, Vinfast berpindah ke Port Melbourne bagi memulakan operasi mereka di Australia, dan lokasi tersebut sebenarnya adalah hampir dengan ibu pejabat Holden, serta mereka juga sebenarnya sudahpun menerima berberapa ratus orang bekas jurutera Holden untuk bekerja.

    “Australia merupakan pasaran automobil yang membangun yang mempunyai pembekal dan kemahiran sedia ada yang VinFast mahukan. VinFast Engineering Australia adalah bertanggungjawab untuk pembangunan produk untuk model-model akan datang kami,” kata timbalan CEO VinFast, Jim DeLuca.

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    Jenama Vietnam berkenaan dilaporkan berminat untuk mengambil alih fasiliti rekaan dan kejuruteraan yang bakal ditutup oleh GM kerana penutupan Holden, termasuk pusat ujian Lang Lang. “Kami sekarang ini sedang berusaha bersama rakan perniagaan untuk membuat penggayaan kenderaan dan validasi. Kami berminat dengan mana-mana jenis intergrasi vertikal yang akan membuatkan kami lebih efisien dan perniagaan lebih efektif kos,” respon DeLuca.

    Menurut laporan ini lagi, VinFast kini sudahpun mengambil bekas eksekutif-eksekutif Holden untuk bekerja, termasuk naib presiden pembuatan global, Shaun Calvert yang pernah bekerja di Holden dan GM antara 2001 hingga 2017.

    Bekas staf senior Holden lain yang kini turut telah menyertai VinFast termasuk veteran Holden dan GM selama 25-tahun Kevin Yardley, dan ketua integrasi casis dan janakuasa Joe Sawyer yang telah berkhidmat di Holden selama 23-tahun. Dikhabarkan buat masa ini masih ada lagi 800 orang yang masih bekerja bersama Holden termasuk beratus orang staf kejuruteraan dan rekaan, jadi VinFast masih boleh mendapatkan lebih banyak tenaga mahir.

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    “Kami ada ramai rakan sekerja Australia di kilang kami di Vietnam yang telahpun menyertai kami sejak kami mulakan projek ini. Mereka merupakan bahagian yang penting dalam keluarga kami dan menyumbangkan kejayaan untuk syarikat kami,” kata DeLuca.

    VinFast adalah sebahagian dari syarikat swasta terbesar di Vietnam iaitu Vingroup yang mempunyai aset mencecah US$35 bilion (RM148 bilion). Ia dimiliki oleh rakyat Vietnam dengan latar belakang pendidikan di Russia iaitu Pham Nhat Vuong, dan konglomerat ini turut terlibat dalam perniagaan hartanah, industri kesihatan, peruncitan dan juga taman tema.

    VinFast mensasarkan untuk menjadi pengeluar kereta elektrik dan mempunyai misi bagi mengeksport kereta dengan teknologi tersebut ke Amerika Syarikat pada tahun 2021. Untuk projek ini, Vuong menanam modal sebanyak US$2 bilion (RM8.45 bilion) dari poketnya sendiri bagi mencapai sasaran tersebut.

    VinFast kini intai aset Holden di Australia

    “Sasaran utama kami adalah untuk menghasilkan jenama antarabangsa. Ia halatuju yang sangat susah dan kami perlu mencurahkan banyak usaha. Tetapi hanya ada satu jalan di hadapan,” kata Vuong pada Disember lalu.

    “Kami mempunyai keinginan untuk menghasilkan jenama Vietnam yang mempunyai reputasi berkelas dunia. Cabaran terbesar kami adalah produk Vietnam tidak mempunyai jenama antarabangsa. Di mata ramai rakan antarabangsa, Vietnam masih negara yang miskin dan terkebelakang. Kami perlu mencari jalan untuk memasarkan dan membuktikan bahawa produk kami mewakili dinamik dan pembangunan Vietnam yang kini telah mencapai standard tertinggi di dunia,” tambahnya lagi.

    Buat masa sekarang, VinFast mempunyai dua model premium iaitu sedan mewah LUX A2.0 dan SUV mewah LUX SA2.0 pada pasaran domestik mereka, masing-masing dihasilkan bersasaskan sedan BMW 5 Series F10 dan SUV BMW X5 F15, dan rekaannya menerima sentuhan firma dari Itali iaitu Pininfarina.

    Selain model mewah ini, Vinfast turut menghasilkan hatchback kompak yang direbadge dari Chevrolet Spark, diberi nama VinFast Fadil.

    GALERI: VinFast LUX A2.0

    GALERI: VinFast LUX SA2.0

    GALERI: VinFast Fadil

     
     
  • Harga minyak 29 Feb-6 Mac: RON97 naik, diesel turun

    Harga minyak 29 Feb-6 Mac: RON97 naik, diesel turun

    Untuk minggu bertarikh 29 Februari hingga 6 Mac 2020, harga runcit bagi petrol RON 97 dilaporkan akan naik sebanyak dua sen iaitu menjadi RM2.40 seliter berbanding RM2.38 seliter pada minggu sebelum itu.

    Namun harga runcit bagi petrol RON 95 kekal seperti minggu sebelumnya iaitu RM2.08 seliter.

    Manakala harga diesel pula turun sebanyak satu sen, menjadi RM2.13 seliter untuk Euro 2 dan RM2.23 bagi Euro 5. Kesemua harga baharu yang diumumkan ini adalah efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Dengan harga runcit bagi kedua-dua produk bahan api ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan bagi tempoh 29 Februari hingga 6 Mac 2020 adalah berjumlah RM6.12 juta.

     
     
  • UMW Toyota tidak merancang untuk menaikkan harga model CKD di Malaysia buat masa ini – Presiden

    UMW Toyota tidak merancang untuk menaikkan harga model CKD di Malaysia buat masa ini – Presiden

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan pihaknya tiada rancangan untuk menaikkan harga bagi semua model Toyota pemasangan tempatan (CKD) buat masa ini. Barisan model CKD bagi Toyota di pasaran Malaysia termasuklah Yaris, Vios, Rush, Hilux, Fortuner, Innova dan Hiace.

    “Faktor-faktor seperti kadar tukaran mata wang asing dan semakan cukai memang boleh menjejaskan harga, tetapi buat masa ini, kami sentiasa cuba untuk mengekalkan kestabilan harga dengan menyerap (kos) peningkatan sebanyak mungkin,” ujar Ravindran K selaku Presiden UMWT.

    Pada awal tahun ini, Kementerian Kewangan memberikan jaminan bahawa jika ada model CKD terjejas oleh peningkatan harga akibat kaedah telus menerusi Nilai Pasaran Terbuka, kenaikan itu akan diserap atau dikecualikan sepenuhnya oleh kementerian terbabit sepanjang 2020.

    Berdasarkan apa yang termaktub di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah digazetkan pada 31 Disember 2019, kenderaan pemasangan tempatan (CKD) akan dikenakan lebih banyak cukai. Ini adalah disebabkan kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka (open market value, OMV) bagi kenderaan telah berubah.

    OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Terdapat beberapa komponen yang menentukan OMV, dan ini termasuk kos bagi pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan dan pentadbiran.

    Gazet berkenaan menambah komponen-komponen baru ke dalam pengiraan OMV. Di bawah peraturan baru ini, nilai yang dimasukkan untuk mengenalpasti duti-duti terlibat akan mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang terlibat di dalam pengilangan sesebuah kenderaan, tetapi juga jualannya.

     
     
  • Microletta – skuter letrik tiga tayar, boleh cecah 80 km/j

    Microletta – skuter letrik tiga tayar, boleh cecah 80 km/j

    Syarikat yang berpusat di Switzerland, iaitu Micro Mobility Systems telah memperkenalkan produk terbaru mereka yang merupakan sebuah motosikal elektrik dengan dua roda di hadapan, dinamakan sebagai Microletta. Kebanyakan produk lain syarikat ini adalah skuter jenis berdiri, dan paling besar adalah kereta elektrik Microlino.

    Melihat kepada rekaannya, Microletta seperti skuter kanak-kanak, tetapi mempunyai saiz seperti motosikal dan mempunyai tempat duduk. Kemudiannya, ia juga seperti mendapat banyak inspirasi rekaan daripada motosikal Itali seperti Vespa dan Lambretta.

    Keunikan utama model ini adalah penggunaan dua roda di hadapan, yang dikatakan mampu memberi lebih keyakinan kepada penunggang. Walaupun dengan tetapan sebegitu, bahagian badan motosikal ini masih boleh condong untuk mengambil selekoh seperti motosikal biasa. Dalam laman web rasmi pengeluar juga dinyatakan ia boleh ditunggang oleh sesiapa sahaja yang mempunyai lesen memandu kereta.

    Microletta – skuter letrik tiga tayar, boleh cecah 80 km/j

    Microletta akan didedah secara rasmi semasa Geneva Motor Show bulan hadapan, dan spesifikasi lengkapnya masih belum disiarkan. Apa yang diberitahu, ia mempunyai laju maksimum 80 km/j, dua pek bateri yang boleh dibawa keluar dan waktu mengecas empat jam.

    Mereka yang berada di Eropah dan berminat dengan Microletta sudah boleh menempahnya secara percuma di laman web, dan harga jualannya adalah 4,900 euro (RM22,800). Boleh tahan tinggi juga harganya, kan?

     
     
  • Citroen Ami – kereta elektrik comel dengan kuasa 8 hp

    Citroen Ami – kereta elektrik comel dengan kuasa 8 hp

    Bulan lepas, Citroen ada mengeluarkan teaser sebuah kenderaan elektrik baru, dan sekarang kita sudah dapat melihat bagaimana bentuk sebenarnya. Inilah dia, Citroen Ami yang merupakan kenderaan elektrik dua tempat duduk versi produksi yang akan bersaing dengan Renault Twizy dan diletakkan dalam kategori quadricycle di Perancis.

    Ukurannya cuma 2,400 mm panjang, 1,390 mm lebar dan 1,520 mm tinggi, dengan berat cuma 485 kg. Radius pusingannya pula cuma 7.2 meter, sekaligus menjadikan ia sangat sesuai untuk kegunaan dalam bandar. Sebagai perbandingan saiz, Ami ini lebih kecil daripada Smart EQ Fortwo.

    Tidak seperti kebanyakan kereta moden yang mempunyai rekaan futuristik, Ami pula menggunakan rekaan yang masih lagi pelik, tapi unik. Bahagian depan dan belakang kelihatan seakan sama, sementara 50% daripada panel badan adalah cermin, termasuklah bumbung panoramik. Tingkap tepi pula boleh dibuka dengan menolak ke atas seperti kereta klasik 2CV.

    Citroen Ami – kereta elektrik comel dengan kuasa 8 hp

    Kalau anda rasa rekaan depan dan belakangnya sudah cukup pelik, tengok pula cara pintu dibuka. Pintu sebelah penumpang dibuka seperti biasa manakala pintu pemandu pula dibuka secara suicide. Sedikit lagi perbezaan yang boleh dilihat antara bahagian belakang dan depan selain lampu berlainan warna adalah cermin belakang yang lebih terkeluar dan di tepinya terdapat kemasan bergaris. Jika mahukan lebih kelainan, Citroen juga ada menawarkan pakej Pop atau Vibe yang memberikan sama ada spoiler bumbung, pelekat grafik atau rel bumbung.

    Bahagian dalam Ami juga agak menarik dengan papan pemuka yang mempunyai bahagian atas rata, dan dibuat seperti tempat letak barangan. Di bahagian tengah, anda cuma boleh melihat tiga butang dan satu soket USB sahaja kerana kelengkapan kereta ini agak ringkas.

    Hanya ada sistem pendingin hawa, sementara sistem audio tidak disediakan. Untuk muzik atau navigasi, pemilik perlu bergantung kepada telefon pintar dan tempat letak khas disediakan di situ. Pembesar suara pada kenderaan juga tiada.

    Untuk penggerak, Ami menggunakan motor elektrik 6 kW (8 hp) yang boleh memacunya sehingga kelajuan maksimum 45 km/j dan ia mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 5.5 kWh. Apabila disambung kepada soket 220 volt biasa, bateri ini boleh dicas penuh dalam masa tiga jam dan boleh dipandu sehingga jarak 70 km. Kabel pengecasnya tersembunyi di tepi pintu. Untuk informasi berkenaan kereta, pemandu boleh menggunakan aplikasi My Citroen.

    Dengan termasuk dalam kategori quadricycle, Ami boleh digunakan tanpa lesen memandu di Eropah, dengan umur bermula dari 16 tahun (14 tahun di Perancis). Anda juga sama ada boleh membelinya terus pada harga 6,000 euro (RM27,890) atau sewa untuk jangka masa panjang dengan bayaran pendahuluan 2,644 euro (RM12,290) dan bayaran bulanan 19.99 euro (RM93) bagi tempoh kontrak 48 bulan. Satu lagi pilihan menggunakannya adalah secara perkongsian Free2Move dengan bayaran bulanan 9.90 euro (RM46) dan 0.26 euro bagi setiap minit (RM1.21/min).

     
     
  • BMW 2 Series Gran Coupe F44 dilancarkan di Thailand – 218i M Sport; 1.5L turbo tiga-silinder; RM315,567

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 dilancarkan di Thailand – 218i M Sport; 1.5L turbo tiga-silinder; RM315,567

    BMW 2 Series Gran Coupe F44 yang pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Oktober 2019, telah pun dilancarkan di pasaran Thailand. Coupe empat-pintu ini ditawarkan dengan varian tunggal 218i M Sport dengan harga 2.369 juta baht, atau RM315,567.

    Varian 218i M Sport ini menampilkan enjin B38 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 140 PS (138 hp) dari 4,600 hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm dari 1,480 hingga 4,200 rpm.

    Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, dengan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa sekitar 8.7 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 215 km/j. Bagi penggunaan bahan apinya, 218i ini dianggar menggunakan sekitar 5.9 l/100 km (kombinasi), sementara emisi bagi CO2 pula pada 136 g/km (kombinasi).

    Untuk kelengkapannya, kereta spesifikasi Thailand ini didatangkan dengan pakej M Sport termasuk bampar yang sporty, kemasan krom pada gril, dan suspensi M Sport. Ia juga menampilkan lampu utama dan lampu belakang LED, roda aloi jejari-berkembar style 819 M 18-inci, pakej BMW Individual high-gloss Shadow Line dan bumbung matahari panoramik.

    Di dalamnya, Gran Coupe didatangkan dengan BMW Individual anthracite headliner, kemasan dalaman Illuminated Boston, kulit upholstery Dakota dengan rona hitam, roda stereng M Sport, tempat duduk larasan kuasa (dengan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu) dan kawalan suhu dwi-zon.

    Tidak seperti model yang pernah dipamerkan di Singapore Motor Show baru-baru ini, model spesifikasi Thailand didatangkan dengan sistem BMW Live Cockpit Plus (paparan instrumen separa-digital, paparan utama 8.8-inci) berbanding model spesifikasi tinggi dengan pelarasan BMW Live Cockpit Professional (paparan kluster instrumen 12.3-inci dan paparan utama 10.25-inci dengan BMW Operating System 7.0).

     
     
  • PLUS diiktiraf dengan Pensijilan ISO 39001:2012 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya

    PLUS diiktiraf dengan Pensijilan ISO 39001:2012 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah pun menerima Pensijilan ISO 39001:2012 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya (RTSMS) oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). Sekaligus menjadikannya sebagai lebuhraya pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut.

    Ia diterima selepas pencapaiannya di peringkat antarabangsa sebagai lebuh raya Asia Pasifik pertama yang memenangi Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael pada Disember tahun lalu.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail telah menerima pensijilan tersebut daripada Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Alice Lau Kiong Yieng sempena program OSH Unity and Sustainability yang diadakan baru-baru ini.

    Sebagai syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia yang memberi perkhidmatan kepada 1.7 juta pelanggan setiap hari termasuk 4,000 pekerja lebuh raya, PLUS telah mengambil pendekatan 3E iaitu Engineering (Kejuruteraan), Enforcement (Penguatkuasaan) dan Education (Pendidikan) dalam menguruskan keselamatan di lebuh rayanya sejak tahun 2017.

    PLUS diiktiraf dengan Pensijilan ISO 39001:2012 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya

    Bukan itu sahaja, PLUS juga telah menjalankan beberapa inisiatif jangka pendek dan jangka panjang bagi meningkatkan keselamatan lebuh raya bagi mengurangkan kemalangan dengan menggunakan penarafan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (iRAP) sebagai penanda aras untuk penambahbaikan lebuh rayanya.

    Bagi mencegah dari berlakunya kesilapan manusia terutamanya di kalangan pekerja lebuh raya, PLUS dengan kerjasama NIOSH telah melaksanakan program Pasport Keselamatan Operasi Lebuh Raya (EOSP) yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan para pekerja. Pengiktirafan EOSP ini adalah wajib bagi semua pekerja yang bertugas di atas lebuh raya PLUS sebelum mereka boleh memasuki zon kerja masing-masing.

    Di samping itu, kerjasama strategik antara PLUS dan pihak-pihak berkuasa juga amat penting untuk meningkatkan penguatkuasaan dan keselamatan di lebuh raya PLUS sehingga berjaya mencatatkan kadar kemalangan terendah (iaitu 2.4%) berbanding dengan jalan dan lebuh raya lain di seluruh negara. PLUS juga sedang memanfaatkan penggunaan teknologi moden untuk memantapkan operasi dan perkhidmatan lebuh raya melalui transformasi digital yang merangkumi kenderaan peronda lebuh raya, pemodenan pusat pemantauan trafik dan meningkatkan keupayaan digital kakitangannya.

     
     
  • Proton Saga di Pakistan akan guna enjin kapasiti lebih kecil; 1,299 cc, untuk nilai cukai yang lebih rendah

    Proton Saga di Pakistan akan guna enjin kapasiti lebih kecil; 1,299 cc, untuk nilai cukai yang lebih rendah

    Semalam kita sudah tengok Al-Haj Automotive yang telah pun mendapat hak sebagai pengedar Proton tunggal di Pakistan sedang menguji X70 untuk dipasarkan di negara berkenaan. Sebenarnya, sebelum SUV segmen-C tersebut masuk ke pasaran, pelanggan di Pakistan bakal ditawarkan dahulu dengan sedan mampu milik Proton Saga yang akan dilancarkan lebih awal.

    Menurut laman CarSpiritPK, Pakistan akan menerima Saga dengan enjin yang lebih kecil dari pasaran Malaysia iaitu 1,299 cc. Ini kerana jika menggunakan enjin S4PE 1.3L VVT dengan kapasiti 1,332 cc seperti pasaran Malaysia, Saga akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana ia sebenarnya sudah melebihi sesaran 1.3 liter.

    Walau bagaimanapun, enjin yang bakal menjana Saga Pakistan berkenaan masih belum jelas. Ada kemungkinan Proton mungkin akan menurun kapasiti enjin sedia ada menggunakan sleeve silinder, omboh serta konfigurasi aci engkol dan rod penghubung yang berlainan sebagai pilihan untuk mendapatkan sesaran enjin yang diperlukan.

    Namun menerusi carian kami, Geely sendiri sebenarnya memang mempunyai enjin dengan kapasiti ‘ngam-ngam’ 1,299 cc, dikenali dengan kod 4G13. Jangan keliru dengan enjin 4G13 yang pernah digunakan oleh Proton sebelum ini, kerana Geely memang menggunakan kaedah kod enjin yang hampir sama dengan Mitsubishi untuk menamakan enjin mereka.

    Proton Saga di Pakistan akan guna enjin kapasiti lebih kecil; 1,299 cc, untuk nilai cukai yang lebih rendah

    Enjin pada Proton X70/Geely Boyue misalnya, ia diberikan kod 4G18 yang bermaksud 4-silinder, petrol (G untuk gasolin) dan 1.8 liter (kod nombor hujung pada enjin Mitsubishi lebih sinonim dengan varian berbanding sesaran).

    Bagi enjin 4G13 Geely berkenaan, ia telah dihasilkan dalam dua versi iaitu versi NA menjana 87 hp dan tork maksima 120 Nm (enjin 1.3 S4PE VVT menjana 95 PS/120 Nm), dan juga versi turbo 4G13T berkuasa 127 hp/185 Nm.

    Menurut laman tersebut lagi, penghasilan enjin 1,299 cc tersebut akan lengkap dan bersedia untuk diproduksi secara besar-besaran pada bulan Mei tahun ini. Saga terlebih dahulu akan dihantar ke Pakistan sebagai model CBU dari Malaysia, dan akan dilancarkan pada lewat tahun ini bersama X70.

    Manakala model CKD yang dibuat di kilang Al-Haj di Karachi akan masuk ke pasaran Pakistan pada tahun 2021. Proton dilihat sangat serius dengan pasaran Pakistan kerana mereka tidak menghantar model yang sudah siap ke sana, sebaliknya model-model berkenaan diolah semula bagi bersesuaian dengan dinamik pasaran serta kehendak pelanggan di negara tersebut.

     
     
  • Zero SR/S – motosikal elektrik sports berkuasa 110 hp

    Zero SR/S – motosikal elektrik sports berkuasa 110 hp

    Pengeluar motosikal elektrik yang sudah beroperasi lebih 14 tahun di Santa Cruz, California, iaitu Zero Motorcycles telah memperkenalkan model terbaru mereka, dinamakan sebagai Zero SR/S. Ia adalah sebuah model berbentuk sports dengan fairing penuh dan menggunakan asas sama seperti SR/F yang pernah dilancarkan sebelum ini.

    Menurut Zero, penggunaan fairing ini dapat memperbaiki ciri aerodinamik motosikal, sekaligus membantu mendapatkan jarak gerak yang lebih jauh. Bagi penggunaan dalam bandar, ia boleh bergerak sehingga 259 km manakala di lebuh raya, dengan laju maksimum yang dihadkan kepada 200 km/j, ia boleh pergi sehingga 132 km.

    Zero SR/S digerakkan oleh motor elektrik Z-Force 75-10, yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion berkapasiti 14.4 kWh, dan mampu menghasilkan 110 hp pada 5,000 rpm dan 190 Nm tork sebaik pendikit dipulas. Sekiranya mahukan jarak gerak lebih jauh, pemilik boleh menambah pek bateri Power Tank 3.6 kWh, sekaligus menaikkan jaraknya menjadi 323 km dalam bandar dan 166 km atas lebuh raya.

    Waktu mengecas SR/S bergantung kepada jumlah modul pengecas Level 2 yang berada pada motosikal, di mana jika menggunakan satu modul, ia akan mengambil masa empat jam untuk mencecah tahap 95%, dari kosong, manakala bila menggunakan dua modul, waktunya dipendekkan sehingga separuh. Jika terdapat tiga modul, waktu mengecas cuma lebih sedikit daripada satu jam.

    Zero SR/S boleh didapati dalam dua versi iaitu versi asas yang menggunakan pengecas pantas 3.3 kW berharga USD 19,995 (RM84,264) manakala satu lagi versi yang menggunakan pengecas pantas 6 kWh dijual pada harga USD 21,995 (RM92,693).

     
     
  • Barisan Ford Ranger XLT ditawarkan promosi hebat mulai 1 Mac-31 Mei 2020 – diskaun hingga RM9k

    Barisan Ford Ranger XLT ditawarkan promosi hebat mulai 1 Mac-31 Mei 2020 – diskaun hingga RM9k

    Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah mengumumkan penawaran diskaun untuk model pertengahan Ranger XLT dengan kempen promosi hebat, mulai 1 Mac hingga 31 Mei ini.

    Model paling murah dalam senarai, XLT yang digandingkan dengan enjin 2.2 liter Puma turbodiesel (160 PS/385 Nm), menerima penjimatan paling tinggi sehingga RM9,000. Sementara XLT Edisi Istimewa pula dengan diskaun sebanyak RM8,000. Bagi varian XLT+ yang hadir sebagai versi turbo-tunggal (180 PS/420 Nm) dengan enjin baharu 2.0 liter Panther pula ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM7,188.

    Untuk pengetahuan, XLT berharga RM109,888 dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan RM116,888 bagi versi automatik. Manakala varian XLT Edisi Istimewa yang hadir dengan pelekat badan geomatrik, fender flare, penutup belakang serta skrin sesentuh infotainmen sembilan-inci, yang hanya didatangkan dengan varian automatik, ditawarkan dengan harga RM120,888.

    Bagi varian XLT+, ia menerima ciri termasuk lampu utama xenon dengan lampu nyalaan siang LED, roda aloi 18-inci, Easy Lift tailgate, sistem infotainmen SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, kemasukan tanpa kunci, dan kulit upholstery. Ia didatangkan secara eksklusif dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dan ditawarkan dengan harga RM124,888. Kesemua harga yang disebut ini adalah sebelum diskaun.

    GALERI: Ford Ranger 2.2L XLT Automatik 4X4

    GALERI: Ford Ranger 2.0L XLT+ Automatik

    GALERI: Ford Ranger 2.2L XLT Edisi Istimewa

     
     
  • Pemandu e-hailing kecewa tidak terima bantuan one-off RM600 seperti yang diterima pemandu teksi

    Pemandu e-hailing kecewa tidak terima bantuan <em>one-off</em> RM600 seperti yang diterima pemandu teksi

    Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) meluahkan kekecewaan mereka kerana tidak menerima bantuan one-off sebanyak RM600 seperti yang diterima pemandu teksi dalam Pakej Perangsang Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

    Perkara ini dinyatakan oleh pengerusi MeHDA, Daryl Chong dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam. Menurutnya, para pemandu e-hailing berasa amat kecewa kerana tidak dianggap sebagai pihak yang bergantung kepada industri pelancongan, seterusnya tidak termasuk dalam golongan yang menerima bantuan kewangan tersebut.

    Persatuan berkenaan berpendapat bahawa pemadu e-hailing juga patut tergolong sebagai penerima bantuan khas ini kerana mereka juga berkhidmat untuk para pelancong selain penumpang lain di seluruh negara, sama seperti pemandu teksi.

    “Impak negatif ke atas industri pelancongan ini turut dirasai oleh banyak perniagaan lain yang berkaitan dengan pelancongan dan peruncitan. Kecenderungan penumpang untuk tidak keluar jika tidak perlu kerana penularan wabak Covid-19 ini terus menjejaskan pendapatan pemandu e-hailing berikutan kurang penumpang pelancong mahupun orang tempatan, sama untuk kalangan pemandu teksi,” tulis kenyataan berkenaan.

    Menurut Daryl lagi, sekiranya pemandu e-hailing tertakluk kepada peraturan yang sama untuk beroperasi serupa dengan pemandu teksi seperti mendapatkan lesen PSV dan menjalani pemeriksaan Puspakom, mereka tidak sepatutnya diketepikan apabila kerajaan menghulurkan bantuan kewangan kepada pemandu teksi.

    MeHDA turut menggesa pihak kerajaan untuk menimbang semula keputusan ini dan memasukkan pemandu e- hailing dalam pakej rangsangan ekonomi ini.

    Semalam Perdana Menteri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibuat khas bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan. Pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar tersenarai dalam penerima bantuan secara one-off RM600 ini sebagai bantuan kepada individu yang terkesan kerana kadar ketibaan pelancong yang berkurangan telah memberi impak negatif kepada pihak-pihak yang yang bergantung kepada industri pelancongan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024