Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Honda Jazz 2020 – pelbagai pilihan aksesori di Jepun

    Honda Jazz 2020 – pelbagai pilihan aksesori di Jepun

    Honda Jazz generasi keempat kini sudah pun mula dijual di Jepun, dan sekarang pengeluar itu menunjukkan pula barisan aksesori yang ditawarkan untuk hatchback tersebut. Barangan ini ditawarkan melalui Honda Access, dan merangkumi pelbagai bahagian seperti penggayaan, kemudahan serta sokongan pemanduan, dan bergantung kepada varian.

    Untuk varian asas Home, barangan yang disediakan sebagai pilihan adalah seperti hiasan pada gril dan lampu kabus, rim 15 inci berwarna putih, serta kemasan hitam pada suis tepi pintu dan balutan tempat duduk. Bagi varian Ness pula, aksesorinya termasuk lampu LED di bawah lampu kabus, gril lebih sporty, skirting di keliling kereta, spoiler bumbung, lencana hitam dan rim 16 inci rekaan “snowflake“.

    Varian Crosstar yang mempunyai gaya lebih seperti crossover pula didatangkan dengan pilihan aksesori seperti lampu kabus LED, pelekat hiasan pada pintu dan but, kemasan di bahagian bawah kenderaan, rak bumbung dan pelindung lantai but.

    Pergi kepada varian paling tinggi iaitu Luxe, pelanggan boleh memilih beberapa barangan seperti lampu hiasan pada pemegang pintu, tempat letak barangan dan kaki, filem kalis calar pada beberapa bahagian penting seperti ruang masuk but dan tepi pintu, serta penutup ruang simpanan barang.

    Semua varian Jazz ini boleh dipasangkan dengan aksesori seperti sistem infotainmen Premium Internavi sembilan inci, kotak simpanan di konsol tengah (beberapa bentuk berbeza), perakam video DRH-204VD yang boleh dipilih untuk mempunyai pelbagai sambungan termasuk bahagian belakang dan kemasan pelbagai warna.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    Dua minggu lalu Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa Accord generasi baharu baharu sudahpun boleh ditempah, manakala semalam telah disahkan bahawa Civic facelift akan dilancarkan di sini pada hari Rabu nanti, 26 Februari.

    Dan hari ini, pembaca kami Zuhafiz Ramli telah mengirimkan gambar yang sempat dirakamkannya, menunjukkan kedua-dua model berkenaan di bawa menggunakan sebuah lori pengangkut yang sedang merangkak dalam kesesakan jalan raya. Ini bermaksud, kemungkinan besar kedua-duanya akan diluncurkan dalam pasaran dalam masa yang hampir sama.

    Untuk Civic, ia sudah disahkan selain dari menerima rupa yang sama seperti model facelift yang telah pun dilancarkan di Thailand pada 2018, ia kini turut menerima pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, terdiri sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    Ia juga akan hadir dengan kamera LaneWatch, iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic baharu ini juga akan menerima penderia parkir hadapan serta ciri-ciri lain terus akan dibekalkan, antaranya pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.

    Untuk kelengkapan lain, Civic masih dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, enam-beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudut dan juga cagak Isofix tempat duduk kanak-kanak.

    Tiada perubahan dari segi penawaran varian di mana ia akan kekal dengan tiga pilihan iaitu versi asas 1.8 S, 1.5 TC dan model tertinggi 1.5 TC-P. Ia juga bakal dikuasakan dengan unit janakuasa sama iaitu dua pilihan enjin – 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter empat silinder 1.5 liter berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya juga masih menerima kotak gear CVT.

    SPYSHOT: Honda Civic facelift dan Accord generasi baharu dilihat dibawa menggunakan lori pengangkut

    Untuk Accord pula, model generasi ke-10 ini hanya akan ditawarkan dalam satu varian sahaja seperti Indonesia, di jana oleh enjin 1.5 L VTEC Turbo. Apa yang menarik, enjin pada Accord ini walaupun pada asasnya adalah sama seperti pada Civic dan CR-V, namun versi pasaran Malaysia ini ditala bagi menghasilkan kuasa lebih besar, malah lebih besar dari versi di Thai mahupun Indonesia.

    Menurut apa yang diumumkan oleh Honda Malaysia sebelum ini, Accord akan bernafas dengan bekalan kuasa 201 PS/260 Nm. Untuk rekod, enjin sama pada CR-V dan Accord pasaran lain hanya menghasilkan 190 PS/243 Nm, atau 11 PS dan 17 Nm kurang berkuasa.

    Untuk kelengkapan lain, Accord akan dibekalkan dengan lampu utama dan lampu belakang LED, Sistem Bantuan Parkir Pintar dengan Bantuan Brek (belakang), sistem kamera 360° pelbagai-pandanga bersama Honda LaneWatch, pakej Honda Sensing, enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan penderia parkir hadapan/belakang dan versi Malaysia turut diberikan rim aloi 18-inci.

     
     
  • Hyundai, Kia bangunkan ICT Connected Shift System – transmisi tukar gear sendiri mengikut keadaan jalan

    Hyundai, Kia bangunkan ICT Connected Shift System – transmisi tukar gear sendiri mengikut keadaan jalan

    Hyundai dan Kia telah mengumumkan pembangunan satu sistem yang digelar sebagai Information and Communication Technology (ICT) Connected Shift System, di mana menurut mereka, boleh menukar kepada gear yang paling optima secara automatik selepas mengenal pasti keadaan jalan dan trafik di hadapan.

    Menurut dua syarikat tersebut, teknologi penjangka yang pertama di dunia ini nanti akan dipasang pada kenderaan mereka, dan semasa pembangunannya, sekitar 40 paten utama telah difailkan di Korea Selatan dan beberapa negara lain.

    ICT Connected Shift System menggunakan informasi masa sebenar yang didapati daripada kamera di kenderaan, sensor radar dan navigasi 3D dengan peta jalan yang lengkap. Dengan semua input ini, unit pengawal transmisi akan menjangka keadaan penukaran gear yang optima untuk situasi pemanduan masa sebenar melalui algoritma pintar buatan dan seterusnya menukar gear.

    Hyundai, Kia bangunkan ICT Connected Shift System – transmisi tukar gear sendiri mengikut keadaan jalan

    Sebagai contoh, apabila sistem ini menjangka kenderaan perlu diperlahankan dalam jarak yang panjang, tetapi radar tidak mengesan sebarang perubahan laju yang luar biasa pada kenderaan hadapan, ia akan menukar gear kepada neutral buat sementara untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

    Semasa ujian di jalan yang banyak liku pula, syarikat ini mendapati kekerapan penukaran gear dapat dikurangkan sehingga 43% jika dibandingkan dengan kereta yang tidak mempunyai sistem tersebut. Ia juga mengurangkan kekerapa penggunaan brek sehingga 11%, sekaligus mengurangkan keletihan dan kelusuhan sistem brek.

    Dalam senario lain, sekiranya kenderaan hendak memasuki lebuh raya, di mana pecutan pantas diperlukan, sistem tersebut akan menukar mod pemanduan kepada Sport secara automatik bagi memudahkan kenderaan masuk ke dalam trafik yang sudah sedia laju. Lepas sudah sekata dengan trafik, ia akan tukar kepada mod biasa semula.

     
     
  • Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

    Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

    Kami lihat sendiri prototaip Honda S2000 20th Anniversary di Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu dan tertanya-tanya apa rancangan Honda terhadapnya. Dan kini ia terjawab – pembuat aksesori rasmi Honda dan juga pemilik jenama Modulo iaitu Honda Access telah mengumumkan bahawa akseori prototaip berkenaan secara rasmi akan dijual dalam pasaran Jepun bermula 26 Jun ini.

    Untuk pasaran luar Jepun, anda perlu menunggu lebih lama kerana tempahannya hanya akan dibuka pada Februari 2021, dan hanya ditawarkan dalam jumlah yang terhad. Ia juga akan dihasilkan secara eksklusif, di mana akan dibuat berdasarkan tempahan, oleh itu pembeli hanya akan menerima aksesori mereka empat bulan selepas ditempah.

    Kit untuk versi produksi ini boleh dikatakan hampir sama dengan versi prototaip yang didedahkan sebelum ini – menampilkan bampar hadapan berbeza – dengan muncung yang lebih panjang (24 mm lebih panjang dari biasa), bersama liang udara yang direka dengan bentuk trapezoid berharga 96,800 yen (RM3,662).

    Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

    Bahagian lain masih lagi sama, kecuali satu lip spoiler berwarna hitam dipasang pada penutup but belakang berharga 46,200 yen (RM1,748), dan juga strake pada hujung belakang bendul sisi berharga 33,000 yen (RM1,248). Kesemua komponen luaran ini datang dengan kemasan akhir hanya cat primer, membolehkan pembeli memadankan dengan warna badan sedia ada kereta masing-masing.

    Manakala pada bahagian kabin, kit aksesori ini terdiri dari karpet kaki (kemasan merah atau hitam) berharga 30,800 yen (RM1,165) menampilkan logo S2000 20th Anniversary dan juga lampu LED pada ruang kaki setiap kali pintu dibuka berharga 13,200 yen (RM500).

    Selain itu, Honda Access turut menawarkan penutup bumbung dengan logo 20th Anniversary, dan juga penutup pemain audio dengan logo sama berharga 8,800 yen (RM333), tetapi komponen kedua berkenaan hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit.

    Bukan sekadar komponen kosmetik, barisan aksesori kali ini juga turut tampil dengan set suspensi sport berharga 170,500 yen (RM6,454). Ia bukan sahaja akan merendahkan S2000 anda 10 mm dari tinggi asal, malah turut boleh dilaras dalam lima peringkat menerusi tombol pelaras pada penyerap hentak hadapan. Ia bukan hanya pilihan komponen paling mahal, malah set suspensi ini juga adalah yang paling terhad kerana hanya dihasilkan 500 set.

    Jika anda pemilik S2000 versi facelift dengan kod casis AP2, anda agak bertuah kerana kesemua aksesori ini dapat dipadankan tanpa masalah. Manakala untuk versi asal AP1, kecuali bampar, suspensi dan penutup pemain audio, perkakasan lain yang ditawarkan masih boleh dipadankan.

    GALERI: Honda S2000 20th Anniversary Prototype di Tokyo Auto Salon 2020

     
     
  • Nissan gantung operasi kilang di China hingga 10 Mac akibat COVID-19 – Malaysia juga mungkin terjejas

    Nissan gantung operasi kilang di China hingga 10 Mac akibat COVID-19 – Malaysia juga mungkin terjejas

    Lagi satu pengeluar automotif gergasi dari Jepun, Nissan Motor Co, kini berdepan dengan gangguan operasi pengeluaran disebabkan kekurangan bekalan komponen dan gangguan rantaian bekalan akibat penularan COVID-19. Menurut Nissan, ia akan terus menutup kilangnya di Xianyang, Hubei dan Zhengzhou, Henan selepas 24 Februari ini, tarikh sepatutnya ia meneruskan semula operasi.

    Agensi berita Bloomberg turut melaporkan, penangguhan itu disebabkan arahan terkini kerajaan oleh pihak berkuasa Hubei, yang meminta firma terus menutup operasi sehingga 10 Mac. Ia disebabkan isu pengeluaran di peringkat pembekal yang menjejaskan pengeluaran kenderaan.

    Nissan turut berkata, semua kilang pengeluarannya dilaporkan akan mengalami gangguan termasuk kemudahannya di Amerika Syarikat. Selama ini Nissan telah mendapat bekalan untuk lebih 800 bahagian komponen kenderaan dari kilang pengeluar di Hubei.

    Malahan kekurangan bahagian komponen itu menyebabkan beberapa pengeluaran kereta Nissan di Jepun terus digantung selepas 23 Februari, diikuti oleh kilangnya di Malaysia. Kekurangan komponen itu juga berkemungkinan akan menyebabkan kilang pengeluaran Nissan di Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Mexico, Rusia dan Sepanyol juga terpaksa menghentikan pengeluaran.

    Sebelum ini, Nissan telah menutup sebahagian daripada barisan pengeluarannya di Kyushu, barat daya Jepun, pada 14 dan 17 Februari lalu, dan juga telah menghentikan pengeluaran sepenuhnya pada 24 Februari 2020.

     
     
  • Volvo S90, V90 facelift 2020 diberi sedikit naik taraf

    Volvo S90, V90 facelift 2020 diberi sedikit naik taraf

    Bagi tahun 2020 ini, Volvo telah memberikan sedikit pembaharuan kepada model S90 dan V90. Pada bahagian depan, model standard mendapat bahagian bawah bampar yang direka semula, bersama bukaan udara rekaan baru, kemasan jalur halus serta lampu kabus yang lebih kecil.

    Model Inscription yang lebih tinggi pula menerima jalur krom sepanjang bahagian bawah bampar hadapan, sementara varian R-Design yang lebih sporty serta V90 Cross Country mendapat rekaan bampar hadapan dan belakang yang baru.

    Volvo juga telah melenyapkan corong ekzos pada bampar model ini, dan mungkin muncung ekzos sebenarnya menghala ke bawah. Akhir sekali, semua model diberikan lampu belakang tiga dimensi yang direka semula, dengan grafik berbentuk C – V90 wagon juga menampilkan penunjuk arah sequential.

    Pada bahagian dalam, perubahan yang diberi cuma pada tombol gear kristal Orrefors untuk varian Inscription, Advanced Air Cleaner dengan penapis PM 2.5, serta sistem bunyi Bowers & Wilkins yang dipertingkat, bersama amplifier, sistem pelenyap bunyi aktif dan tetapan jazz club baru.

    Selain daripada itu, model ini juga sekarang datang dengan sistem hibrid ringkas 48 volt sama seperti XC90 dan XC60, yang dipadankan bersama enjin petrol B4 197 hp/300 Nm, B5 250 hp/350 Nm dan B6 300 hp/420 Nm tork. Volvo juga mengumumkan bahawa sistem hibrid ringkas kini sudah boleh didapati untuk semua model yang ditawarkan oleh mereka.

     
     
  • Kenaikkan harga kereta Honda tidak akan jejaskan industri automotif, kata Kementerian Kewangan

    Kenaikkan harga kereta Honda tidak akan jejaskan industri automotif, kata Kementerian Kewangan

    Memberi respon terhadap kenaikan harga kereta-kereta baharu Honda yang dikatakan kerana penilaian semula terhadap “customised insentive” bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) oleh kerajaan minggu lalu, Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa ia tidak melibatkan situasi semasa industri automotif negara, lapor Bernama.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh MoF, kerajaan sentiasa memastikan dasar-dasar percukaian ke atas industri pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan merencatkan perkembangan perniagaan dan meningkatkan harga pasaran kenderaan CKD.

    “Rakyat akan sentiasa mendapat manfaat langsung daripada insentif cukai yang dinikmati oleh pengeluar kenderaan CKD melalui harga jualan yang kompetitif serta manfaat tidak langsung melalui peluang-peluang ekonomi yang wujud, selaras dengan hasrat di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan semalam.

    “Syarikat perlu mematuhi semakan audit dan menepati dasar serta insentif pengecualian duti/cukai yang sedia ada supaya tidak menimbulkan persoalan dan bertindak adil kepada semua syarikat yang mematuhi asas yang sama dan kriteria yang betul,” sebut kenyataan itu lagi.

    Kementerian itu berkata tiada perubahan terhadap dasar pengecualian duti eksais atau insentif tersuai di bawah ‘Industrial Linkage’ Programme’ malah keseluruhan industri automotif tempatan tetap stabil.

    “Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif selaku pihak yang menilai dan mengesyorkan kelulusan insentif syarikat masih mengguna pakai kaedah penilaian yang sama tanpa sebarang perubahan. Justeru, kadar pengecualian duti eksais yang dinikmati syarikat Honda pada masa ini adalah wajar dan sepadan dengan tahap lokalisasi sebenar yang telah dicapai oleh syarikat,” jelas MoF dalam kenyataan tersebut.

    Laporan ini menyebut bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh MoF berkenaan adalah bagi mengulas siaran media yang dibuat oleh syarikat Honda Malaysia pada 21, Februari iaitu Jumaat lalu yang memaklumkan peningkatan harga jualan sebanyak lima peratus hingga sembilan peratus bagi beberapa model dan varian kenderaan keluarannya mulai tarikh berkenaan.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

    PANDU UJI: Mazda CX-30 taruhan imej terkini SUV crossover – prestasi terletak pada skala sederhana

    Memasuki tahun 2020, semakin banyak pilihan model kenderaan utiliti sukan (SUV) di pasaran Malaysia. Sama ada SUV berkapasiti tujuh- atau lima-tempat duduk, dengan pelbagai penawaran ciri yang mengikut kehendak semasa.

    Ini termasuklah dengan pengenalan Mazda CX-30 yang menjadi model SUV pertama yang dilancarkan untuk tahun 2020. SUV Crossover yang diasaskan dari Mazda 3 ini diposisikan di tengah antara model CX-5 dan CX3. Sekaligus memberikan pilihan untuk anda; sekiranya mahukan SUV yang bersaiz besar, boleh pilih CX-5, kalau hendak yang bersaiz sederhana, CX-30 lebih sesuai dan bagi yang inginkan SUV crossover yang agak kecil, bolehlah memilih CX-3.

    Untuk pasaran Malaysia, CX-30 ditawarkan dengan tiga varian; 2.0 G SkyActiv-G 2WD dan 2.0 G High SkyActiv-G 2WD yang dijanakan unit petrol, manakala model tertinggi 1.8 D High SkyActiv-D 2WD dipadankan dengan enjin diesel.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Civic facelift akan dilancarkan 26 Februari ini – dilengkapi Honda Sensing bersama gaya disegarkan

    Honda Civic facelift akan dilancarkan 26 Februari ini – dilengkapi Honda Sensing bersama gaya disegarkan

    Akhirnya, Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa versi facelift untuk Honda Civic generasi ke-10 akan dilancarkan pada Rabu ini, 26 Februari 2020, selepas tempahan yang telah pun dibuka dan diprebiu buat pertama kali pada September tahun lalu.

    Dari segi rupa, model kemaskini tersebut akan menerima rupa seakan sama dengan Civic facelift pasaran Thai yang telahpun dilancarkan hujung tahun 2018. Ia diberikan kemasan baharu pada bampar hadapan tanpa kemasan liang Udara palsu, kemasan baharu pada bampar belakang – model tertinggi 1.5 TC-P bakal dilengkapi dengan gril kemasan hitam, spoiler lebih besar dan juga set rim 18-inci baharu.

    Versi lebih segar ini masih hadir dengan tiga varian iaitu selain model penuh 1.5 TC-P, ia hadir dengan pilihan versi pertengahan 1.5 TC dan juga model asas 1.8 S. Tiada perubahan ditampilkan pada unit janakuasa, di mana ia masih dijana oleh dua pilihan enjin – 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter empat silinder 1.5 liter berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya juga masih menerima kotak gear CVT.

    Perubahan terbesar untuk model ini adalah dari segi kelengkapan keselamatan kerana kini diberikan sistem penuh bantuan pemanduan Honda Sensing, yang terdiri dari sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

    Ia juga akan hadir dengan kamera LaneWatch, iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic baharu ini juga akan menerima penderia parkir hadapan serta ciri-ciri lain terus akan dibekalkan, antaranya pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.

    Untuk kelengkapan lain, Civic masih dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, enam-beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudut dan juga cagak Isofix tempat duduk kanak-kanak.

    Walau bagaimanapun, misteri paling besar iaitu harga untuk Honda Civic facelift ini masih belum diumumkan. Untuk model sedia ada, ia dijual pada harga bermula RM108,165 hingga RM128,631. Untuk mengetahui segalanya tentang Civic ini, pastikan anda cakna dengan laporan pelancarannya dari kami pada hari Rabu nanti.

     
     
  • Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Selepas muncul di Tokyo Auto Salon 2020, kemudian diperkenalkan di Amerika Syarikat bulan ini, kini pasaran Eropah pula menerima Honda Civic Type R FK8 facelift 2020 secara rasmi. Selain dari model Limited Edition yang hanya di hasilkan sebanyak 100 unit untuk pasaran benua berkenaan dan juga versi standard GT, pelanggan di sana juga diberikan pilihan Type R Sport Line yang lebih minimalis.

    Untuk model GT, ia menampilkan rupa yang sama seperti versi Amerika Syarikat – diberikan rekaan baharu pada gril hadapan yang menampilkan perumah lampu kabus serta gril atas dan bawah baharu ini memberikan aliran udara yang lebih banyak bagi menyejukkan enjin. Model ini juga kini boleh dipilih dengan tambahan warna biru baharu yang digelar Racing Blue (Boost Blue di Amerika).

    Untuk bahagian mekanikal, perisian kawalan untuk sistem penyerap hentak adaptif Type R ini telah diprogramkan semula bagi membolehkan ia membuat penilaian terhadap permukaan jalan dengan lebih pantas. Set bushing pada lengan-B suspensi belakang pula telah dikeraskan lagi bagi memberikan beban sisi 8% lebih baik, seterusnya menghasilkan karekter toe-in lebih bagus ketika mengambil selekoh.

    Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Pada suspensi hadapan pula, ia turut menerima set bushing baharu bersama sambungan bebola yang direka semula bagi mengurangkan geseran, membolehkan pemandu mendapat rasa stereng yang lebih tajam, seterusnya memberikan kawalan yang lebih baik.

    Honda turut menambahbaik sistem brek pada FK8 2020 ini dengan memadankan cakera hadapan jenis two-piece bersama pad brek baharu, yang direka bagi memberikan keberkesanan brek yang lebih baik pada kelajuan tinggi, serta mengurangkan risiko untuk berlakunya fenomena brake fade.

    Tingkat taraf pada bahagian brek ini turut mengurangkan berat sebanyak 2.5 kg, dan memberikan respon pedal brek yang lebih pantas – sekitar 15 mm kurang sebelum brek dilepaskan.

    Honda Civic Type R facelift 2020 dilancarkan di Eropah dengan varian Sport Line tanpa spoiler bersaiz besar

    Dalam kabin, penambah baikkan yang diberi turut sama seperti model di Amerika Syarikat, termasuk roda stereng yang dibaluti Alcantara, tombol gear yang direka semula serta tuil short shifter yang diberikan berat pengimbang 90 gram bagi memberikan rasa tukaran gear yang lebih baik dan tepat.

    Untuk lebih selesa, Civic Type R ini juga hadir dengan Kawalan Bunyi Aktif, yang akan mengawal bunyi dalam kabin bergantung pada mod pemanduan yang di pilih. Tiga mod pemanduan pada model ini – Comfort, Sport dan +R masih lagi tidak berubah.

    Model kemaskini ini juga datang dengan sistem datalogger prestasi yang digelar sebagai Honda LogR. Menerusi sistem ini, pemandu dapat memantau dan merekod pelbagai parameter prestasi menerusi aplikasi telefon pintar dan juga komputer onboard bersama pelbagai penderia.

    Tiga mod ditawarkan pada sistem LogR ini, dan ia turut memaparkan Performance Monitor yang memberikan bacaan masa sebenar seperti meter-G, posisi gear, suhu bendalir penyejuk dan minyak pelincir enjin, tekanan atmosfera serta suhu udara kemasukan.

    Log Mod dalam sistem ini menggunakan GPS bagi memantau dan mengenalpasti kedudukan kereta dan penderia dalaman akan mengumpulkan data ketika memecut, membrek, kadar daya-G ketika mengambil selekoh, dan pelbagai parameter lain ketika di litar.

    Manakala untuk mod Auto Score, ia akan memantau kelakuan pemandu ketika mengambil input pemanduan untuk pecutan, nyah-pecut, membelok, dan ketika di jalan lurus. Dengan segala parameter berkenaan, komputer akan mengumpulkan markah dan pemandu boleh membandingkan keputusan mereka dengan markah pemandu profesional yang sudahpun dicatatkan pada aplikasi tersebut.

    Mod Auto Score ini sebenarnya bukan untuk mendapatkan catatan lap lebih pantas, sebaliknya ia akan membantu pemandu untuk memandu dengan lebih lancar, bagi memperbaiki kemahiran pemanduan setiap hari.

    Manakala untuk versi Sport Line, ia dihasilkan untuk mereka yang mahukan sebuah Type R dengan rupa yang lebih matang. Justeru, spoiler ‘tiang-gol’ bersaiz besar pada model GT ditukar dengan spoiler yang jauh lebih kecil. Model ini juga tidak datang dengan rim 20-inci, sebaliknya diberikan rim 19-inci dibaluti tayar Michelin Pilot Sports 4S.

    Pada bahagian dalaman, tempat duduk bucket merah pada model biasa digantikan dengan unit yang berwarna hitam, tetapi masih dengan serlahan benang merah. Perincian lain seperti roda stereng Alcantara masih kekal pada model ini. Ia turut menerima tambahan penebat bunyi pada bahagian but dan pintu tailgate bagi meningkatkan keselesaannya.

    Honda Civic Type R GT dan Sport Line 2020 ini akan mula dijual di Jerman bermula musim bunga tahun ini. Tak banyak beza untuk harga bagi kedua-duanya di mana model standard GT dijual pada harga 41,990 euro (RM190k), manakala versi Sport Line yang lebih ringkas berharga 41,490 euro (RM188k).

    Honda Civic Type R Sport Line 2020

    Honda Civic Type R facelift 2020 pasaran Eropah

     
     
  • Harga minyak 22-28 Feb: RON97, RON95 naik 2 sen

    Harga minyak 22-28 Feb: RON97, RON95 naik 2 sen

    Berita yang tak berapa seronok didengar. Harga bahan api petrol RON97 dan RON95 untuk minggu bertarikh 22 hingga 28 Feb 2020 dilaporkan mengalami kenaikan harga masing-masing 2 sen seliter.

    Ini bermakna harga runcit petrol RON97 naik RM2.36 seliter kepada RM2.38 seliter, manakala RON95 pula bakal menjadi RM2.08 seliter berbanding RM2.06 seliter sebelum minggu tersebut. Manakala harga runcit bagi diesel pula kekal pada RM2.14 seliter untuk Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.24 seliter. Kesemua harga baharu yang disebut ini efektif pada 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Menurut Kementerian Kewangan, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.08 seliter dan RM2.14 seliter masing-masing. Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.06 seliter manakala diesel berada pada paras yang sama RM2.14 seliter.

    Justeru, harga runcit bagi bagi petrol RON95 dinaikkan pada paras RM2.08 seliter dan harga runcit bagi diesel dikekalkan pada harga RM2.14 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

    Namun apabila harga pasaran dunia naik dan demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi.

     
     
  • Harga Honda Jazz, City dan CR-V naik hingga 9.25%

    Harga Honda Jazz, City dan CR-V naik hingga 9.25%

    Bermula 21 Februari 2020, Honda Malaysia mengumumkan penyelarasan harga terbaru bagi beberapa model terpilih keluarannya yang menyaksikan peningkatan harga antara dari 5% hingga 9%, bergantung kepada varian dan model.

    Kenaikan harga yang dijangkakan ini adalah berikutan penilaian semula terhada “customised insentive” bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) oleh kerajaan terhadap syarikat berkenaan. Perkara ini adalah berlainan sama sekali daripada peraturan penilaia eksais yang diumumkan sebelum ini yang dijangka tidak akan memberi kesan kepada harga kenderaan.

    Penyelarasan harga baru ini akan dilakukan ke atas semua 100 pengedar Honda seluruh negara. Tiga model yang terkesan dengan penyelaras harga terbaru ini ialah Honda Jazz, City dan CR-V.

    Harga Honda Jazz, City dan CR-V naik hingga 9.25%

    Bagi model kompak B-segmen Honda Jazz, kenaikan paling tingggi (berdasarkan harga di Semenanjung) ialah bagi varian S dengan kenaikan sebanyak 7.2% berbanding tahun 2019. Ia kini dijual pada harga RM75,300 berbanding RM70,242 – perbezaan sebanyak RM5,058. Varian E dan V juga menyaksikan peningkatan harga dengan jumlah yang hampir sama; masing-masing dijual pada harga RM81,400 dan RM88,700.

    Honda City varian paling asas S pula mencatatkan peningkatan dengan peratusan paling besar bagi model berkenaan, naik 6.32% atau RM4,664 menjadikan harga jualannya kini ialah RM78,500. Varian E dan V juga mencatatkan peningkatan harga pada nilai RM yang hampir sama, dengan masing-masing kini dijual pada harga RM84,600 dan RM91,600.

    Sementara itu, Honda CR-V pula menyaksikan peningkatan kadar peratusan dan nilai yang paling banyak. Varian paling asas misalnya, varian 2.0 2WD naik sebanyak RM12,792 dengan peratusan kenaikan 9.25%, kini dijual pada harga RM151,100. Tiga lagi varian juga dikenakan kenaikan dengan angka RM yang hampir sama, dengan harga baru bagi varian-varian terlibat seperti berikut; 1.5TC 2WD (RM163,700), 1.5TC 4WD (RM169,500) dan 1.5TC-P 2WD (RM175,900).

     
     
  • UMW Toyota alu-alukan NAP 2020 – CKD model hibrid

    UMW Toyota alu-alukan NAP 2020 – CKD model hibrid

    Selepas pelancaran Polisi Automotif Negara 2020 pagi tadi, beberapa syarikat kenderaan telah mengeluarkan kenyataan rasmi termasuk UMW Toyota Motor. Presiden syarikat, Ravindran K berkata, beliau senang hati kerajaan telah menyediakan ‘pelan yang diperbaharui’, dan bakal memberi “nilai hebat” kepada perancangan masa hadapan mereka.

    Salah satu fokus utama NAP 2020 adalah berkenaan Next Generation Vehicles (NxGV), yang mana akan diberi sokongan oleh UMWT apabila spesifikasi serta jangkaannya lebih jelas. Syarikat ini juga berharap kerajaan dapat terus memberikan insentif untuk tempoh masa yang mencukupi, supaya boleh menyokong pelaburan yang telah dibuat dan memberi pulangan yang berbaloi.

    “Kami percaya kilang di Bukit Raja dilengkapi dengan teknologi, tenaga kerja mahir dan kapasiti yang cukup untuk bergerak selari dengan visi kerajaan untuk membangunkan industri negara kepada Industry Revolution 4.0 (IR 4.0),” kata Ravindran.

    Beliau juga memberitahu UMWT sedang merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model hibrid CKD pada masa hadapan sambil menambah, “kami menyeru kerajaan untuk memberi sokongan dengan meningkatkan insentif yang diberi, untuk memajukan lagi pasaran hibrid di Malaysia.”

    Naib pengerusi UMWT, Akio Takeyama pula berkata, “kami sentiasa berterima kasih kepada kementerian dan agensi untuk bimbingan, sokongan serta kerjasama yang diberi, dan kami pasti akan melakukan bahagian kami untuk membantu membangunkan bukan sahaja industri automotif Malaysia, tetapi juga untuk memberi semula kepada masyarakat.”

     
     
  • Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Ramai yang tahu Polestar adalah jenama talaan untuk Volvo, namun ia kini telah “dibebaskan” dan fokus kepada penghasilan kereta sport sebenar dengan janakuasa elektrifikasi. Persoalannya, adakah jenama ini akan di bawa ke Malaysia secara rasmi pada masa akan datang?

    Ketika perasmian pusat 3S terbesar Volvo Cars Malaysia (VCM) iaitu Volvo Ara Damansara milik Sime Darby Swedish Auto semalam, kami sempat bertanya kepada pengarah urusan VCM, En. Nalin Jain berkenaan perkara ini. Beliau mendedahkan, pihaknya memang sudah mula membincangkan untuk membawa Polestar ke Malaysia, tetapi buat masa ini mereka masih belum memuktamadkan apa-apa keputusan.

    Setelah sah dipisahkan dari Volvo pada September 2017, Polestar telah mendedahkan model produksi pertamanya yang digelar Polestar 1. Coupe ini dihasilkan dari Scalable Platform Architecture (SPA) sama seperti sedan Volvo S90 bersama unit janakuasa plug-in hybrid menyerupai sistem T8 Twin Engine pada model-model Volvo – dengan enjin petrol suapan turbo dan supercharger memacu roda hadapan, dan dua buah motor elektrik bersama set gear planetari bebas pada kedua-duanya – dapat dikawal menerusi sistem agihan Torque Vectoring.

    Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Gabungan kesemua keseluruhan unit janakuasa tersebut akan menghasilkan 600 hp dan tork maksima gergasi 1,000 Nm., manakala sebahagian besar badan kereta ini pula dibina dengan material polimer diperkukuh gentian karbon (carbon-fibre reinforced plastic atau CFRP) membolehkan ia mencapai pengurangan berat sehingga 230 kg.

    Walau bagaimanapun, sekira Polestar jadi untuk dijual di Malaysia, kita mungkin akan menerima Polestar 2 iaitu sedan sport empat-pintu elektrik sepenuhnya yang dihasilkan dari model konsep Volvo 40.2. Direka bagi memberikan saingan terus kepada Telsa Model 3, Polestar 2 ini dijana oleh motor elektrik sepenuhnya dengan kuasa 408 hp dan tork maksima 660 Nm.

    Namun selari dengan aspirasi Volvo Car untuk mencapai status karbon neutral pada tahun 2040, En. Nalin menjelaskan syarikatnya kini sedang serius untuk membawa Volvo XC40 Recharge ke Malaysia. Model Recharge ini adalah versi dengan unit janakuasa elektrik sepenuhnya SUV kompak Volvo XC40, yang kini dijual dalam pasaran tempatan dengan versi T5 AWD R-Design dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 252 hp/350 Nm.

    Volvo Cars Malaysia sedang rancang bawa Polestar dan SUV XC40 Recharge ke pasaran tempatan

    Untuk XC40 Recharge, ia gerakkan dengan dua motor elektrik – satu untuk setiap gandar – dan mampu menghasilkan 402 hp (408 PS atau 300 kW) dan tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan SUV elektrik ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

    Kedua-dua motor tersebut menerima bekalan kuasa dari bateri lithium ion 78 kWh, membolehkan ia bergerak sejauh 400 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. Sekiranya bateri tersebut habis, ia akan mengambil masa selama 7.5 jam untuk dicas penuh, menggunakan sambungan AC Type 2 dan pengecas three-phase 11 kW.

    Ia juga diberikan sistem pengecas DC sehingga 150 kW dengan sambungan CCS, di mana ia cuma akan mengambil masa 40 minit untuk dicas dari kosong ke 80% – soket pengecas terletak di sebelah kiri kenderaan.

    Selain dari berusaha untuk memperkenalkan model-model lebih mesra alam ini, VCM turut mula menjalankan aktiviti bagi mencapai sasaran karbon neutral berkenaan. Kini, semua jaringan pengedar Volvo di Malaysia tidak lagi menggunakan bahan plastik dan juga brosur yang dicetak di atas kertas, sebaliknya menggunakan tablet bagi menyampaikan maklumat (Volvo menggelarnya sebagai Jurujual Digital Senyap) dan juga pinggan-mangkuk yang boleh diguna semula. “Kemampanan bermula dengan kita”, tegas En Nalin.

     
     
  • Perodua sokong penuh matlamat NAP 2020; teruskan usaha memperkasakan industri auto tempatan

    Perodua sokong penuh matlamat NAP 2020; teruskan usaha memperkasakan industri auto tempatan

    Susulan dengan pelancaran Dasar Automotif Nasional(NAP) 2020 oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pagi tadi, Perodua menyatakan sokongan penuh mengenai keseluruhan perancangan dan matlamat dalam merintis pertumbuhan industri automotif negara bagi tempoh sepuluh tahun ke hadapan, hingga tahun 2030 kelak.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad, NAP 2020 yang diumumkan ini memperlihatkan konsistensi dalam dasar kerajaan untuk membawa ekosistem automotif Malaysia ke peringkat seterusnya. Ini dapat dilihat dengan sokongan berterusan terhadap lokalisasi komponen yang merupakan tulang belakang industri automotif negara.

    “Sepanjang dekad yang lalu, Perodua telah membeli komponen berjumlah RM43.5 bilion daripada pembekal tempatan – dengan RM5.4 bilion pada tahun lepas sahaja – dan tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan hampir RM6 bilion untuk membeli komponen automotif tempatan.

    “Sejumlah pembelian ini mengekalkan dan memperkasakan ekosistem automotif Malaysia, sekaligus menyumbang kepada ekonomi, pekerjaan dan pembangunan negara,” ujarnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

    Perodua sokong penuh matlamat NAP 2020; teruskan usaha memperkasakan industri auto tempatan

    Mengenai komitmen kerajaan untuk meneruskan program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), katanya, Perodua merupakan pengeluar EEV pertama dan terbesar di Malaysia. Setakat ini, Perodua telah menghasilkan dan menjual lebih 800,000 EEV.

    Seterusnya,Perodua turut menyatakan sokongan terhadap Industri 4.0 yang menjadi salah satu daripada tiga arah tuju utama NAP 2020. Ia merangkumi penggabungan teknologi, khususnya penggabungan teknologi komunikasi dengan automotif. Zainal berkata, pihaknya telah pun membuka langkah di dalam bidang ini untuk produk-produk keluaran syarikat tersebut.

    “Mengenai teknologi autonomi pula, Perodua, dengan bimbingan rakan teknikal dan teknologi, Daihatsu Motor Company of Japan, telah pun membuka langkah dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) dan yang paling penting, kami telah menjadikannya mampu dimiliki orang ramai.

    Teknologi ini akan ditambahbaik sejajar dengan matlamat kami untuk memberikan mobiliti kepada rakyat Malaysia yang lebih selamat dan menawarkan nilai yang lebih baik,” ujarnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024