Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton R3 diperhebatkan lagi dengan kehadiran 3 pelumba wanita – bantu kejuaraan dalam S1K 2019

    Proton R3 diperhebatkan lagi dengan kehadiran 3 pelumba wanita – bantu kejuaraan dalam S1K 2019

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, pasukan Proton R3 telah pun berjaya menawan podium dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1K) bagi edisi 2019, merangkul tempat pertama dan kedua. Dalam perlumbaan tersebut, Proton Iriz R3 yang dipandu oleh Farique Hairuman a.k.a Wak Tempe bersama Mitchell Cheah berjaya menjadi juara keseluruhan dan juga kategori tertinggi M Production.

    Dengan kemenangan ini, Proton Iriz R3 dan Farique Hairuman berjaya mengekalkan kejuaraan untuk tahun kedua berturut-turut dan tahun ketiga berturut-turut untuk pasukan Proton R3 send

    Proton yang berbangga dengan kejayaan ini mengesahkan apa yang paling memberi kejutan sewaktu perlumbaan sebenarnya adalah pencapaian dari pasukan terakhir pelumba R3. Pasukan tersebut terdiri daripada tiga pelumba wanita yang memandu Proton Saga iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Nurul Husna, mendapat tempat ketujuh, merekodkan pencapaian terbaik daripada barisan pelumba wanita dan itu telah membuktikan keberanian dan kecekalan mereka menempuh satu perlumbaan yang mencabar.

    Ketiga-tiga pelumba wanita pasukan Proton R3 ini bukanlah nama baharu dalam sukan permotoran, sebaliknya masing-masing memiliki pengalaman berlumba dan bersaing dengan pelumba lelaki. Justeru, kehadiran mereka di litar, bukannya sekadar menambahkan seri malahan turut memberikan persaingan sengit buat semua pelumba.

    Meskipun mereka baru sahaja terlibat dengan R3 dan bekerjasama antara satu sama lain, kepantasan pemanduan ketiga-tiga mereka terbukti menonjol semasa sesi latihan, menetapkan masa yang meletakkan mereka di kedudukan lapan teratas secara konsisten. Walau bagaimanapun, terdapat masalah teknikal pada sesi kelayakan, yang memerlukan mereka bermula di belakang garisan kelas M-Pengeluaran.

    Memulakan perlumbaan di kedudukan ke-26 tidak sesekali mematahkan semangat mereka di mana ketiga-tiga mereka telah memandu dengan penuh berkemahiran dan kesabaran yang tinggi melalui strategi yang diatur ketika di dalam litar. Oleh itu, tidak hairanlah semasa Leona melepasi garisan penamat selepas sembilan jam mengharungi cabaran, mereka akhirnya layak meraih kedudukan ketujuh.

    “Perlumbaan S1K ini memberikan pengalaman bermakna dan luar biasa bagi saya. Saya kagum apabila dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh meskipun berada di garisan ke-26 pada awal perlumbaan tetapi ini semua adalah disebabkan kepantasan Proton Saga serta gabungan kerjasama dari kami. Secara jujur, sekiranya kami diberi peluang sekali lagi, saya rasa kami mampu untuk berdiri di atas podium,” kata Faye Kusairi.

    Proton R3 diperhebatkan lagi dengan kehadiran 3 pelumba wanita – bantu kejuaraan dalam S1K 2019

    Gary Lee, Ketua Pasukan Proton R3 pula berkata, “Barisan pelumba wanita kami mempamerkan prestasi mantap dan kemahiran pemanduan yang baik untuk kembali berada di posisi hadapan. Ia adalah pencapaian hebat untuk berada di tempat ketujuh dalam perlumbaan S1K yang sangat mencabar dan ini merupakan penamat terbaik yang pernah dicapai pada perlumbaan yang melibatkan pelumba-pelumba wanita.

    Untuk S1K 2019, selain mengekalkan Iriz sebagai jentera lumba, Proton turut mempertaruhkan dua buah model Saga termasuklah satu daripadannya Saga 2019 yang telah membuktikan keupayaannya untuk menjadi kereta litar yang pantas. Kitaran tempoh pembangunannya yang singkat, dilancarkan pada 6 Ogos 2019, bermakna pasukan R3 perlu berhadapan dengan cabaran besar untuk mempersiapkan model tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, namun hasilnya membuktikan bahawa Saga amat sesuai untuk sukan permotoran.

    “Saga terbaharu ini telah dipertingkat sepenuhnya dan dengan tempoh masa yang sangat singkat, hasilnya sangat mengagumkan. Oleh itu, ini membuktikan prestasi hebat Proton Saga dalam pelbagai kegunaan, dari kereta harian, kepada kereta keluarga serta turut mampu bersaing dalam perlumbaan terbesar di Malaysia, menjadikan model ini benar-benar sesuai untuk rakyat di Malaysia,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

     
     
  • Enjin SkyActiv-X Mazda – permintaan melebihi jangkaan walaupun dijual pada harga lebih mahal

    Enjin SkyActiv-X Mazda – permintaan melebihi jangkaan walaupun dijual pada harga lebih mahal

    Kita di Malaysia tidak menerima Mazda 3 dengan enjin SkyActiv-X – mungkin disebabkan harga; model dengan enjin 2.0L SkyActiv-G sahaja sudah mencecah RM160k, ia mungkin jauh lebih tinggi jika dipadankan enjin jauh lebih canggih tersebut dan harganya mungkin tidak masuk akal untuk sebuah kereta segmen-C. Bukan kita sahaja, malah pasaran yang besar seperti Amerika juga tidak menerima enjin berkenaan.

    Namun untuk pasaran yang telah pun menerima enjin SkyActiv-X tersebut seperti Jepun dan Eropah, lain pula ceritanya. Menurut Mazda, mereka menerima permintaan luar jangkaan terhadap enjin ini. Di kedua-dua pasaran berkenaan, enjin SkyActiv-X bukan sahaja diberikan pada hatchback dan sedan Mazda 3, malah ia turut menjana versi crossover model berkenaan iaitu Mazda CX-30.

    “Sejak kami lancarkan enjin ini, kami terima respon yang menyakinkan: 60 peratus dari tempahan Mazda 3 sekarang adalah model yang dijana enjin SkyActiv-X, serta 45 peratus tempahan untuk crossover Mazda CX-30,” kata CEO Mazda Eropah Yasuhiro Aoyama kepada Automotive News Europe.

    Di Eropah, model dengan enjin SkyActiv-X ini juga dijual pada harga jauh lebih mahal dari model lain. Di Jerman misalnya, Mazda 3 yang dijana enjin 2.0L SkyActiv-G dijual pada harga bermula 23,290 euro (RM107k), manakala Mazda 3 dengan enjin 2.0L SkyActiv-X pula dijual pada harga bermula 26,790 euro (RM123k).

    Enjin Mazda SkyActiv-X berkenaan sebelum ini dikhabarkan akan menggunakan konsep Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang berfungsi dengan meledakkan pembakaran campuran udara-petrol dengan hanya menggunakan mampatan tinggi, tanpa percikan permulaan dari palam pencucuh.

    Namun setelah ia didedahkan, enjin tersebut sebenarnya menggunakan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) – berfungsi hampir sama dengan HCCI, tetapi masih menggunakan palam pencucuh bagi membolehkan pemasaan pembakaran dikawal dan memaksimakan tempoh pencucuhan mampatan, serta memastikan peralihan yang lancar antara pencucuhan percikan dan mampatan.

    Enjin SkyActiv-X Mazda – permintaan melebihi jangkaan walaupun dijual pada harga lebih mahal

    Secara ringkas, enjin ini sebenarnya lebih mirip kepada enjin diesel dengan strok yang lebih panjang dan menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (16.3:1!) dan mampu menolak pergerakkan piston lebih kuat bagi menghasilkan tork yang lebih besar, tetapi beroperasi dengan petrol.

    Ini membolehkan enjin 2.0L SkyActiv-X pada Mazda 3 dan CX-30 menghasilkan kuasa 180 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 224 pada takat 3,000 rpm, serta beroperasi antara 20% hingga lebih 30% lebih cekap dan emisi CO2 pula dapat dikurangkan sekitar 5 peratus hingga 10 peratus berbanding enjin SkyActiv-G biasa.

    Pada pasaran Eropah, model-model yang dijana enjin SkyActiv-X ini juga dibekalkan standard dengan sistem hibrid ringkas 24-volt Mazda M Hybrid, membolehkan ia mencapai bacaan emisi CO2 serendah 122 hingga 157 gram untuk setiap kilometer, berdasarkan ujian WLTP Eropah yang lebih ketat.

     
     
  • Honda Accord 2019 dilancarkan di Australia – 1.5L VTEC Turbo, 2.0L i-MMD hybrid, bermula dari RM136k

    Honda Accord 2019 dilancarkan di Australia – 1.5L VTEC Turbo, 2.0L i-MMD hybrid, bermula dari RM136k

    Generasi ke-10 bagi Honda Accord kini telah mula dijual di Australia, dengan hanya satu tingkat kemasan ditawarkan, iaitu VTi-LX, tetapi dengan pilihan dua sistem janaan kuasa. Harga pula bermula dari AU$47,990 (RM135,697) bagi versi 1.5 liter turbocas empat-silinder, sementara model hibrid pula pada harga AU$50,490 (RM142,774).

    Jika dibandingkan dengan Accord yang dijual di Thailand, yang turut hadir dengan pilihan sistem janaan kuasa yang sama, harga di pasaran Australia lebih murah; harga permulaan di Thailand ialah 1,475,000 baht (RM203,658).

    Enjin VTEC Turbo yang lebih kecil itu menjana 188 hp pada 5,500 rpm dan 260 Nm tork dari 1,600 hingga 5,000 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi CVT yang menyalurkan kuasa ke roda depan. Unit ini memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 6.5 liter bagi setiap 100 km, dengan sisa karbon pada kadar 149 gram per km.

    Honda Accord 2019 dilancarkan di Australia – 1.5L VTEC Turbo, 2.0L i-MMD hybrid, bermula dari RM136k

    Bagi sistem hibrid pula, ia merupakan generasi ketiga Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) oleh Honda, yang menggunakan sistem hibrid dua motor yang melibatkan unit enjin NA 2.0 liter empat-silinder dengan e-CVT serta dua motor elektrik. Output keseluruhan sistem ini menghasilkan 212 hp dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan 315 Nm tork dari sifar hingga 2,000 rpm. Penggunaan bahan api gabungan pula 4.3 liter bagi setiap 100 km, dengan pembebasan CO2 98 g/km.

    Kelengkapan standard yang ada antaranya termasuklah lampu utama, lampu kabus, lampu belakang dan DRL yang semuanya dari jenis LED, kawalan pendingin hawa dwi-zon dengan corong penumpang belakang, sunroof elektrik, Eco Assist dan mod Econ, kemasan kulit hitam, kerusi depan elektrik (8-cara untuk pemandu, 4-cara untuk penumpang), Active Noise Control serta Apple CarPlay dan Android Auto.

    Lain-lian, rim 18-inci aloi digunakan, paparan pelbagai maklumat khas untuk model hibrid, head-up display, sensor parkir depan dan belakang, penghidup enjin jarak jauh, sistem tanpa kunci dan sistem bunyi premium 452-watt dengan 10 pembesar suara.

    Honda Accord 2019 dilancarkan di Australia – 1.5L VTEC Turbo, 2.0L i-MMD hybrid, bermula dari RM136k

    Ciri keselamatan dan alat bantu memandu yang tersedia pula termasuk enam beg udara, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, EBD, ABS, BA, sistem tinjauan tekanan tayar, LaneWatch, lampu belokan aktif, bantuan parkir pintar dengan sistem brek menghindari perlanggaran di belakang.

    Accord ini juga hadir dengan ciri Honda Sensing, antaranya termasuk Forward Collision Warning, Collision Mitigation Braking System, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist System, Road Departure Mitigation System, Adaptive Cruise Control dengan Low Speed Follow dan High Beam Support System. Pembeli di Australia boleh memilih lima warna luaran; Platinum White, Lunar Silver, Modern Steel, Crystal Black dan Passion Red – yang terakhir ini bagaimanapun khusus untuk model hibrid sahaja.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Modenas Kriss 110 2019 – RM3,377

    Modenas telah menggunakan nama Kriss pada motosikal mereka sejak tahun 1996 lagi, dan sehingga kini, beberapa versi telah pun diperkenalkan, dengan kapasiti enjin 100, 110 dan 120 cc. Kini memasuki tahun 2019, Modenas telah melancarkan model baru yang dinamakan secara ringkas sebagai Kriss 110 2019.

    Walaupun Kriss terawal dulu pernah dibangunkan dengan kerjasama Kawasaki, sekarang Kriss baru menggunakan asas daripada motosikal Zongshen dari China, termasuklah enjin yang merupakan unit satu silinder empat lejang 110 cc, bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 6.6 hp pada 8,000 rpm dan 6.7 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Harga jualannya di Malaysia adalah RM3,377, dan antara kelengkapan lainnya adalah tangki bahan api 4.2 liter, brek dram depan dan belakang, dua penyerap hentak di belakang dan rim sport 17 inci. Pilihan warna pula kesemuanya ada empat.

    Kami berpeluang menguji sendiri Kriss baru ini, dan pendapat kami ada dinyatakan dalam video di atas. Kami mungkin ada pendapat sendiri, tapi bagaimana pula dengan anda? Nampak berbaloi tak motosikal ni?

     
     
  • ULASAN VIDEO: Porsche Macan facelift – dari RM455k

    Porsche Macan pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2014, dan sejak itu, catatan jualannya terus meningkat dan menjadi model paling popular bagi jenama itu. Kini, model generasi pertama tersebut diberikan facelift, dan sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan bermula RM455,000.

    Antara peningkatannya adalah lampu utama dan lampu belakang LED, bampar yang direka semula, sistem Porsche Communication Management (PCM) yang datang dengan skrin sesentuh 10.9 inci terbaru (menggantikan unit 7.2 inci sebelum ini), dan corong pendingin hawa yang direka semula.

    Buat kali pertamanya juga, Macan sekarang datang secara standard dengan Premium Package, yang memberikan tempat duduk hadapan boleh laras 14 arah dengan fungsi memori, Power Steering Plus Park Assist, cermin malap sendiri, sistem bunyi Bose serta lampu suasana.

    Di bawah bonet, ia dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris 2.0L turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar PDK tujuh kelajuan, untuk menghantar kuasa 252 PS dan 370 Nm tork kepada semua tayar. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 255 km/j. Apa rasa memandu kenderaan ini? Tonton video ini.

     
     
  • Proton & MEM – bagaimana mereka bermula dan menjadi juara dunia dalam percubaan pertama!

    Proton & MEM – bagaimana mereka bermula dan menjadi juara dunia dalam percubaan pertama!

    Kami dah siarkan artikel berkenaan kenapa Mellors Elliot Motorsport (MEM) memilih Proton Iriz untuk projek R5 mereka, mengapa jentera berkenaan guna enjin 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evo X, dan apa kaitan projek tersebut dengan Proton di Malaysia.

    Tapi, pernahkah anda tahu bagaimana hubungan MEM dan Proton ini terjalin, dan tahukah anda kita sebenarnya telah pun mempunyai seorang Juara Dunia dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) ketika kerajaan berusaha untuk melahirkan seorang pemandu Formula 1 satu ketika dulu? Jadi dalam kesempatan menemuramah sendiri pengasas MEM, Chris Mellors bulan lalu, saya turut berkesempatan untuk mengorek kisah-kisah lagenda ini dari beliau sendiri.

    Saya tak tahu anda bagaimana, tapi saya sendiri ketika era 80’an dan 90’an, sebagai seorang kanak-kanak yang begitu sukakan kereta, nama ‘Proton’ adalah satu kebanggaan kerana ia adalah pengeluar automotif tempatan; perasaan ini mungkin sama jika anda sukakan bola sepak, dan berbangga dengan pasukan Harimau Malaya.

    Tidak seperti zaman sekarang, pada era tersebut pemasaran jenama automotif masih lagi berpegang pada ungkapan “menang perlumbaan pada hari Ahad, kereta akan laris dijual pada hari Isnin.” Ketika itu pelbagai jentera Proton aktif berlumba di Litar Shah Alam dan Pasir Gudang, tetapi sebagai jenama yang mempunyai hubungan rapat dengan Mitsubishi dan badan penalanya, Ralli Art, Proton sangat menyerlah dalam disiplin rali dan ia ditunjangi oleh Petronas Eon Racing Team (PERT).

    Proton & MEM – bagaimana mereka bermula dan menjadi juara dunia dalam percubaan pertama!

    Saya ingat lagi betapa berbunga-bunganya hati melihat Proton Saga, Wira 1.8 “tiang gol”, dan juga ‘Wira’ Lancer Evolution III dengan logo Proton di gril hadapan bersama livery putih-biru-merah ‘Petronas Dagangan’ pada badan jentera-jentera tersebut setiap kali stesen TV swasta tempatan menyiarkan highlights Kejuaraan Rali Malaysia pada era berkenaan. Malah kotak alat tulis saya yang di ‘custom’ dari kotak pita VHS turut diselitkan logo PERT yang dikerat dari akhbar.

    Kenal Karamjit Singh? Rasanya bintang utama PERT yang dikenali dengan nama ‘The Flying Sikh’ ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Era 90’an Karamjit dan PERT boleh dikatakan mendominasi kejuaraan rali dalam Malaysia dan kemudian menjadi juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) buat pertama kali pada tahun 2001.

    Menyedari potensi yang ada pada Karam, Proton PERT berhasrat untuk membawanya pergi lebih jauh – matlamat mereka untuk menguasai kategori Produksi dalam WRC (PWRC) dengan menggunakan jentera dari kelas Group N, iaitu kategori yang sama taraf dengan WRC2 buat masa sekarang. Dan ketika inilah penglibatan MEM bermula.

    Menurut Chris, penglibatannya dengan Proton bermula dengan Mitsubishi. Pada tahun 1997 Chris terlibat dengan program pembangunan jentera WRC Mitsubishi yang dihasilkan oleh Ralli Art Jepun untuk dijual kepada pasukan-pasukan persendirian yang berminat.

    Proton & MEM – bagaimana mereka bermula dan menjadi juara dunia dalam percubaan pertama!

    Untuk bertanding diperingkat dunia, pengalaman yang dimiliki oleh Proton PERT yang sebelum ini hanya bertanding di peringkat Asia Pasifik sahaja tidak mencukupi. Ketika itu, PWRC didominasi oleh pasukan-pasukan dari Eropah seperti Ralli Art Itali. Jadi ketika Proton mengutarakan projek mereka untuk ke WRC kepada Mitsubishi dan bertanyakan siapa rakan teknikal yang paling sesuai, nama MEM telah disyorkan kepada mereka.

    Chris mula menjalinkan hubungan dengan pasukan Proton PERT pada tahun 2001, dan melihat sendiri bagaimana pasukan berkenaan bekerja dalam berberapa pusingan APRC, antaranya di Rali Thailand 2001. Chris juga mendedahkan, Proton merancang projek ini untuk berjalan selama tiga tahun bermula 2002 – tahun pertama hanya sebagai pengenalan, tahun kedua cuba untuk mendapatkan keputusan lebih baik, dan kemudian cubaan untuk memenangi gelaran juara dunia hanya dirancang pada tahun ketiga.

    Untuk WRC, Proton PERT tidak lagi menggunakan Evo VI dengan nombor pendaftaran Selangor BFN 6556 atau PROTON 1784, tetapi sebuah Evo VI baharu yang dihasilkan oleh MEM di UK dengan nombor pendaftaran WU02 FXB. Jentera ini diberi kelengkapan yang lebih bersesuaian dengan SS WRC yang biasanya lebih jauh dan mencabar, antaranya tangki petrol bersaiz jauh lebih besar dengan pam berkembar dan juga suspensi rekaan MEM sendiri.

    Proton & MEM – bagaimana mereka bermula dan menjadi juara dunia dalam percubaan pertama!

    Chris menjelaskan bahawa,’senjata’ mereka ketika itu bukan Evo VI berkenaan semata-mata. ‘Ace’ mereka sebenarnya adalah Karam dan juruarahnya ketika itu, Allen Oh. Menurutnya, Karamjit mempunyai gaya pemanduan yang sangat berbeza dari pemandu lain – dia tidak melakukan aksi liar ketika masuk ke selekoh seperti pemandu-pemandu dari Finland, tetapi lebih pintar dengan bergantung lebih kepada cengkaman bahagian hadapan kereta, dan ia terbukti jauh lebih pantas.

    Ketika ujian pertama untuk pusingan WRC pertama mereka iaitu di Rali Cyprus 2002 (mereka tidak mengambil bahagian dalam dua pusingan terawal iaitu di Sweden dan Perancis), Karamjit dan MEM sebenarnya masih lagi ragu-ragu dengan kebolehan antara mereka. Tetapi setelah ujian tersebut berjalan, jurutera pasukan mengakui kehebatan Karam, dan Karam juga yakin dengan jentera yang dihasilkan oleh MEM berkenaan.

    Dalam ujian tersebut, Karamjit membuat kejutan pertama dan amaran awalnya untuk pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman dalam kategori Group N WRC – dia mencatatkan masa terpantas dengan beza 10-saat berbanding pemandu di tempat kedua. Kemudian, kemunculan sulung Proton PERT-MEM di kancah WRC dalam Rali Cyprus 2002 tersebut diakhiri dengan kemenangan pertama mereka dan mengutip 10-mata penuh!

    Pusingan seterusnya berlangsung di Argentina, di mana Karamjit berjaya mengutip empat-mata lagi setelah menamatkan rali tersebut di tempat ketiga.

    Proton & MEM – bagaimana mereka bermula dan menjadi juara dunia dalam percubaan pertama!

    Antara kemenangan paling manis berlaku pada pusingan kelima PWRC 2002 iaitu di Rali Safari, Kenya. Rali Safari terkenal sebagai pusingan yang paling lasak dalam WRC – ia berlangsung pada permukaan muka bumi yang cukup mencabar gabungan permukaan batu kerikil, ‘kolam’ lumpur, sungai yang dalam, malah turut perlu mengelak haiwan-haiwan liar yang berkeliaran seperti gajah dan zirafah.

    Anda boleh perhatikan, setiap kereta yang menyertai Rali Safari ini, ia akan diberikan talaan suspensi dengan jarak kelegaan tanah paling tinggi, diberikan pelindung tambahan pada gril hadapan serta diberikan unit snorkel bagi memastikan enjin tidak mati ketika perlu ‘menyelam’ menyeberangi sungai.

    Karamjit berjaya menghabiskan keseluruhan SS pada Rali Safari 2002. Bukan sahaja habis, mereka berjaya menjadi juara kategori Group N untuk memungut 10-mata penuh, meninggalkan pemandu di tempat kedua setengah jam di belakang, serta menduduki tangga ke-10 secara keseluruhan!

    Tahun 2002 juga merupakan tahun pertama Karamjit berlumba dalam pusingan WRC paling laju di dunia iaitu Rali Finland. Walaupun tidak berjaya menjadi juara, cubaan pertamanya tersebut tetap berakhir dengan podium tempat ketiga.

    Pada pusingan seterusnya iaitu di Rali New Zealand, pasukan tersebut tidak berjaya menamatkan perlumbaan. Dan dalam pusingan terakhir untuk musim 2002 yang berlangsung di Australia, Karamjit sekali lagi berjaya memperolehi podium tempat ketiga dan disahkan sebagai Juara Dunia WRC untuk kategori PWRC/Group N!

    Ini bermakna mereka tidak perlu menunggu sehingga tiga tahun untuk bergelar juara dunia seperti sasaran awal yang dibuat, kerana telah berjaya membawa pulang kejayaan hanya pada tahun pertama. Karamjit Singh juga adalah orang Asia pertama yang memperolehi gelaran tersebut.

    Dalam tahun yang sama juga sebenarnya Karamjit bukan sahaja memenangi gelaran juara WRC, dia juga berjaya mempertahankan gelaran juara untuk APRC 2002. Karamjit terus berlumba dengan Evo VI tersebut pada musim seterusnya, kemudian sekali lagi berjaya bergelar juara APRC pada tahun 2004 dengan Evo VII juga dihasilkan oleh MEM.

    Hubungan Proton-MEM diteruskan lagi selepas itu dengan Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC) bermula tahun 2009 hingga 2011, S-WRC pada tahun 2012 dan Kejohanan Rali Asia Pacific (APRC) pada tahun 2010 hingga 2012. Kejayaan terbesar yang dicatatkan oleh Neo S2000 ini adalah pada APRC musim 2011 apabila pemandu mereka Alister McRae (adik kepada lagenda WRC mendiang Colin McRae) dinobatkan sebagai juara keseluruhan, tempat kedua keseluruhan juga disandang pemandu Proton Motorsport Chris Atkinson (bekas pemandu Subaru World Rally Team), dan secara tidak langsung Proton Motorsport juga dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar.

     
     
  • Harga minyak 30 November-6 Disember – RON97 kekal

    Harga minyak 30 November-6 Disember – RON97 kekal

    Bagi minggu bertarikh 30 November hingga 6 Disember 2019, harga runcit petrol RON 97 dikekalkan sama seperti minggu lalu dan dijual RM2.66 seliter. Manakala harga runcit petrol RON 95 masih kekal pada paras RM2.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel yang juga masih kekal pada paras RM2.18 seliter untuk Euro 2 dan RM2.28 seliter bagi Euro 5.

    Kementerian Kewangan memaklumkan, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya masing-masing adalah RM2.36 dan RM2.29 seliter. Tiada perubahan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95, manakala terdapat kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.27 seliter minggu lalu.

    Harga minyak 30 November-6 Disember – RON97 kekal

    Bagaimanapun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat. Dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk ini, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 23 hingga 29 November ini berjumlah RM115.70 juta.

     
     
  • Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

    Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

    Ketika Thailand Motor Expo 2019, Toyota Motor Thailand telah mempamerkan versi kemasikini bagi model Yaris dan Yaris Ativ (versi sedan) untuk pasaran di sana. Ia melibatkan beberapa kemaskini diberikan, walaupun dari sudut penggayaan tidak banyak berubah.

    Dengan pengenalan terbaru ini, unit enjin 3NR-FE 1.2 liter NA empat silinder petrol sebelum ini tidak lagi digunakan. Ia digantikan dengan unit 3NR-FKE bagi membolehkan model dalam segmen B itu menepati piawaian di bawah Peraturan Kereta Eco Fasa 2 yang diperkenalkan di sana – untuk mencapai penjimatan bahan api yang lebih baik serta kurang pembebasan sisa pembakaran enjin.

    Dengan kadar penggunaan minyak 23.3 km/l, Yaris dan Yaris Ativ menepati keperluan untuk tidak melebihi bacaan 23.25 km/l (4.3 liter bagi setiap 100 km). Enjin berkenaan mempunyai kapasiti yang sama, dengan ciri Dual VVT-iE (sistem Variable Valve Timing-intelligent dengan motor elektrik) yang menggantikan Dual VVT-i (Variable Valve Timing-intelligent).

    Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

    Ia unit enjin yang mempunyai nisbah mampatan 13.5:1 berbanding 11.5:1. Kuasa juga ada pertambahan, dengan enjin yang serasi untuk penggunaan gasohol E20 ini mampu menghasilkan 92 PS pada 6,000 rpm dan 109 Nm pada 4,400 rpm (unit 3NR-FE menghasilkan 86 PS dan 108 Nm). Enjin berkenaan juga datang dengan ciri Start/Stop ketika melahu sebagai ciri standard, dan digandingkan dengan Super CVT-i.

    Dari sudut penawaran varian, kini cuma ada tiga – Entry, Mid dan High – berbanding lima sebelum ini (J Eco, J, E, G dan S). Ciri keselamatan standard termasuk VSC, kawalan cengkaman, ABS, EBD, BA dan bantuan mula mendaki. Yaris Ativ juga menerima tujuh beg udara, manakala bagi Yaris hanya ada dua beg udara sahaja.

    Bagi varian Entry, ia hadir dengan kelengkapan seperti lampu utama halogen, rim besi 15-inci, kerusi fabrik, stereng dan tombol gear dari urethane, head unit standard, dua pembesar suara serta pendingin hawa manual. Varian ini dijual pada harga 529,000 baht (RM73,010) bagi Yaris Ativ, manakala 539,000 baht (RM74,390) bagi Yaris.

    Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

    Varian Mid pula ada tambahan aksesori kedap bunyi di bawah bonetnya, kerusi pemandu dengan larasan ketinggian, sun visor, kluster instrumen Optitron dengan paparan pelbagai maklumat, skrin sentuh utama 6.7-inci, tambahan dua lagi pembesar suara, pendingin hawa automatik, rim 15-inci aloi dan kamera undur. Bagi kedua-dua model, varian ini 50,000 baht (RM6,900) lebih mahal berbanding Entry; bermula dari 579,000 baht (RM79,911) bagi Yaris Ativ dan 589,000 baht (RM81,298) bagi Yaris hatchback.

    Varian paling tinggi, High pula diletakkan tanda harga yang sama bagi kedua-dua model iaitu 649,000 baht (RM89,583). Ini melibatkan pertambahan seperti lampu utama projektor dengan DRL LED, lampu kabus depan, perakam video digital di depan dan belakang, kerusi balutan kulit, stereng dan tombol gear balutan kulit, paparan maklumat 4.2-inci pada kluster Optitron, sistem tanpa kunci serta tambahan dua lagi pembesar suara – enam semuanya.

    Toyota Yaris, Yaris Ativ 2020 di Thailand Motor Expo

    Turut ditawarkan ialah aksesori Yaris Cross dengan penggayaan ala SUV, dengan tambahan harga 35,000 baht (RM4,831) bagi pakej lengkapnya. Antaranya termasuk bampar depan dan belakang hitam serta skirting warna perak dengan skid plate, kit sisi badan hitam, bumbung hitam, rim aloi 16-inci dua tona, serta ketinggian badan yang dinaikkan sebanyak 30 mm.

    Kereta merah yang dipaparkan ini pula dikenali sebagai GT Edition, dengan tambahan pakej aksesori bernilai 7,000 baht (RM966) bagi kit badan lengkap. Yaris didatangkan dalam tujuh warna; Super White, Silver Metallic, Grey Metallic, Attitude Black Mica, Red Mica Metallic, Orange Metallic dan Citrus Mica Metallic. Sementara Yaris Ativ pula dalam enam pilihan – tanpa Orange Metallic dan Citrus Mica Metallic, tetapi dengan satu warna lain Dark Blue Mica Metallic.

    Toyota Yaris Ativ GT Edition 2020

     
     
  • Thai Motor Expo: Mazda 2 facelift dilancar dengan pilihan enjin 1.3L petrol dan 1.5L diesel, tujuh varian

    Thai Motor Expo: Mazda 2 facelift dilancar dengan pilihan enjin 1.3L petrol dan 1.5L diesel, tujuh varian

    Acara Thailand Motor Expo yang sedang berlangsung sekarang menyaksikan pasaran negara itu menerima Mazda 2 facelift untuk kedua-dua bentuk badan sedan dan hatchback. Kedua-dua versi Mazda 2 ini berkongsi perubahan gaya sama, yang kebanyakannya seperti mendapat inspirasi daripada Mazda 6.

    Di bahagian hadapan, antara yang berubah adalah gril krom lebih tebal dengan bahagian dalam mesh, bampar lebih ringkas dengan bukaan udara di penjuru yang lebih nipis dan mempunyai kemasan krom, serta lampu yang lebih tajam.

    Jalur bukaan udara yang nipis juga digunakan pada bampar belakang, bersama bahagian bawah yang mempunyai kemasan plastik hitam matte, tempat nombor plet yang diletakkan pada bahagian atas serta grafik lampu baru. Model Sedan pula mendapat bampar yang lebih agresif serta bahagian dalam gril yang mempunyai jalur krom di atas.

    Untuk pasaran Thailand, Mazda 2 ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu empat silinder petrol SkyActiv-G 1.3 liter NA berkuasa 93 PS pada 5,800 rpm dan 123 Nm tork pada 4,000 rpm, dan empat silinder diesel turbo SkyActiv-D 1.5 liter berkuasa 105 PS pada 4,000 rpm dan 250 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm. Kedua-duanya datang dengan transmisi automatik enam kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Pada aspek penggunaan bahan api, enjin petrol mampu memberi catatan 23.3 km/l manakala enjin diesel mencatat 26.3 km/l. Melalui catatan ini, Mazda 2 dapat menepati kategori Eco Car Fasa 2 di negara itu. Kedua-dua enjin juga dilengkapi dengan sistem idle i-Stop, penjanaan semula kuasa brek i-ELOOP, pemilih mod pemanduan dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).

    Kedua-dua versi Mazda 2 facelift ini juga mempunyai pilihan varian yang sama iaitu 1.3 E, 1.3 C, 1.3 S, 1.3 S Leather dan 1.3 SP untuk model petrol serta XD dan XDL untuk enjin diesel. Walaubagaimanapun, model hatchback mendapat tambahan nama “Sports” untuk semua varian.

    Thai Motor Expo: Mazda 2 facelift dilancar dengan pilihan enjin 1.3L petrol dan 1.5L diesel, tujuh varian

    Model permulaan 1.3 E berharga 546,000 baht (RM75,366) mendapat kelengkapan seperti lampu LED projector, rim 15 inci, DRL mentol, tempat duduk fabrik, pendingin hawa kawalan manual, head unit standard dengan empat pembesar suara, pemula enjin tanpa kunci, dua beg udara, kawalan cengkaman, ABS, EBD, BA, DSC dan Hill Start Assist.

    Varian 1.3 C berharga 602,000 baht (RM83,106) pula ditambah dengan sistem masuk tanpa kunci, pengesan undur, sistem infotainmen Mazda Connect dengan sokongan Apple CarPlay, dua lagi pembesar suara, fungsi navigasi dan pendingin hawa automatik.

    Seterusnya, varian 1.3 S berharga 627,000 baht (RM86,539) diberikan dengan DRL LED, cermin sisi boleh lipat elektronik, cruise control, head-up display serta roda stereng dan tombol gear yang dibalut kulit. Varian 1.3 S yang berharga 648,000 baht (RM89,426) barulah datang dengan tempat duduk kulit.

    Varian petrol paling tinggi, 1.3 SP yang berharga 690,000 baht (RM95,203) datang dengan rim 16 inci, pemerhati 360 darjah, pemerhati titik buta. Rear Cross Traffic Alert, pengesan jarak hadapan dan pedal penukar gear di stereng.

    Varian XD diesel yang berharga 782,000 baht (RM107,932) berkongsi senarai kelengkapan sama seperti 1.3 S Leather, manakala XDL yang berharga 799,000 baht (RM110,307) mempunyai senarai kelengkapan sama seperti 1.3 SP. Keseluruhannya ada lapan pilihan warna untuk Mazda 2 facelift ini dan pelbagai lagi aksesori yang ditawarkan.

    GALERI: Mazda 2 Hatchback XD Sports 2020 (Thailand)

    GALERI: Mazda 2 Sedan XDL 2020 (Thailand)

     
     
  • Thai Motor Expo 2019: Nissan GT-R 50th Anniversary Edition – R35 istimewa menyerlah dalam Bayside Blue

    Thai Motor Expo 2019: Nissan GT-R 50th Anniversary Edition – R35 istimewa menyerlah dalam <em>Bayside Blue</em>

    Tengok foto Nissan GT-R 50th Anniversary Edition yang sedang dipertontonkan di Thai Motor Expo 2019 ni memang bikin meledak jiwa raga. Pembikinan model R35 istimewa ini adalah sempena dengan ulang tahun GT-R yang ke-50 tahun ini, ia pertama kali dipertontonkan di peringkat global di New York International Auto Show yang lalu.

    Model edisi istimewa ini ditawarkan dengan tiga skim warna luaran yang mengetengahkan dua-tona, yang masing-masingnya mewakili livery GT-R dari Japan GP Series. Pilihan warna tersebut ialah Pearl White dengan jaluran merah dan Super Silver dengan jaluran putih.

    Dan yang paling memukau pandangan sudah pasti gabungan dua-tona warna Bayside (Wangan) Blue yang pernah digunakan pada model R34. Untuk memastikan warna biru terang kelihatan dengan sorotan menarik dan bayang-bayang yang mendalam, satu proses rawatan empat lapisan, dua kali proses haba digunakan. Ini dilengkapi dengan jalur lumba putih, bersama dengan kemasan biru pada jejari roda 20-inci.

    Perkataan “50th Anniversary” pula tertera di bahagian belakang menerusi pelekat putih, dan terdapat metal emblem khas diletakkan di bawah perkataan GT-R.

    Pada bahagian kabin, GT-R edisi istimewa ini menerima skema warna kelabu gelap dengan serlahan kelabu lebih cerah. Roda stereng, tombol penukar gear tempat duduk pelapik bumbung dan juga pelindung cahaya matahari diberikan serlahan jahitan unik, dan sebahagiannya turut hadir dengan kemasan Alcantara. Plak istimewa “50th Anniversary” dilekatkan di belakang tuil penukar gear.

    Walau bagaimana pun, ia masih menggunakan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 565 hp dan tork maksima 633 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac-berkembar automatik enam-kelajuan, mengalirkan kuasa ke kesemua roda menerusi sistem AWD Attesa ETS. Enjin VR38DETT ini dipasang di fasiliti Nissan di Tochigi oleh sepasukan jurutera khas, dengan nama mereka tertera pada bahagian tersebut – unit yang anda lihat menerusi foto ini mengabadikan nama jurutera Izumi Shioya.

    GALERI: Nissan GT-R 50th Anniversary Edition di Thai Motor Expo 2019

     
     
  • Didi Resources Sdn Bhd pengedar rasmi baru Vespa

    Didi Resources Sdn Bhd pengedar rasmi baru Vespa

    Selepas Naza Premira Sdn Bhd mengumumkan pelepasan hak mereka sebagai pengedar rasmi motosikal Vespa di Malaysia, kini Piaggio Group mengumumkan pelantikan wakil syarikat baru yang bakal mengambil alih tugas tersebut bermula 1 Januari 2020, iaitu Didi Resources Sdn Bhd.

    Dengan pelantikan ini, semua jenama yang berada di bawah Piaggio Group iaitu Moto Guzzi, Aprilia dan Vespa juga akan berada di bawah syarikat sama di Malaysia, dan satu konsep kedai yang dipanggil sebagai Motoplex akan dibuka dengan menawarkan servis, aksesori, pameran serta khidmat selepas jualan untuk semua jenama ini.

    “Dengan semua jenama Piaggio Group berada bawah satu bumbung yang dipanggil sebagai konsep Motoplex, kami dapat menawarkan rangkaian yang lebih luas untuk bakal pelanggan yang mencari pengalaman dua roda Itali, disokong oleh gaya, teknologi, prestasi serta warisan. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Didi Resources untuk membawa jenama ini lebih tinggi,” kata pengerusi dan pengarah kanan Piaggio Vietnam, Gianluca Fiume.

     
     
  • Dana RM20j daripada kerajaan bukan untuk ‘kereta terbang’, super drone – Kem.Pembangunan Usahawan

    Dana RM20j daripada kerajaan bukan untuk ‘kereta terbang’, super drone – Kem.Pembangunan Usahawan

    Susulan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), meluluskan pelaburan sejumlah RM20 juta dalam syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB) untuk membangunkan projek ‘kereta terbang’ atau super drone, ini pula kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan.

    Menurut kementerian di bawah pimpinan menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, menjelaskan peruntukan yang disediakan oleh MIGHT itu tiada kaitan dengan pembangunan kedua-dua projek terbabit. Tambahnya lagi, peruntukan dana itu adalah bagi membangunkan inovasi dan penyelidikan serta pembangunan Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP), dengan DreamEdge dan MIGHT dilantik sebagai peneraju NNCP.

    “Projek (super drone) diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan. Ia tidak membabitkan peruntukan daripada kerajaan dan oleh itu tidak dibawa ke peringkat Majlis Pembangunan Negara (MPN) atau Mesyuarat Jemaah Menteri kerana tidak memerlukan keputusan kerajaan,” menurut kenyataan itu seperti yang disiarkan oleh Bernama.

    Dana RM20j daripada kerajaan bukan untuk ‘kereta terbang’, super drone – Kem.Pembangunan Usahawan

    Sehubungan itu, tiada keperluan untuknya menjalankan audit kewangan dan harta intelek ke atas syarikat Aerodyne Group yang melaksanakan projek super drone kerana ia bukan perolehan kerajaan.

    “Projek ini tidak membabitkan peruntukan kementerian dan kementerian tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti dirancang. Kementerian Pembangunan Usahawan mengambil maklum rumusan dan cadangan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) berkaitan mobiliti udara.

    “Pihak kementerian sedang menyediakan maklum balas yang lengkap. Maklumat yang dikemukakan oleh kementerian ini adalah berdasarkan maklumat yang berada dalam kementerian. Maklumat tindakan agensi lain akan dilihat kembali oleh kementerian,” kata kenyataan itu.

     
     
  • Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

    Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

    Honda City baharu menjadi sedan segmen-B yang hangat diperkatakan dalam beberapa hari ini selepas ia dilancarkan di pasaran Thailand. Walau pun sebelum itu, Nissan terlebih dahulu mendedahkan model Almera 2020, yang diolah dengan imej yang lebih berdinamik dengan kepelbagaian teknologi menarik.

    Malah Nissan Thailand juga mengambil kesempatan dalam penganjuran Thai Motor Expo 2019 yang sedang berlangsung untuk mempamerkan Almera 2020. Seperti mana City, Almera baharu turut digandingkan dengan penjana kuasa 1.0 liter turbo, kapasiti enjin yang diturunkan tetapi masih memiliki ledakan kuasa yang menguja, bagi memenuhi piawaian kereta eco Phase 2 yang ditetapkan oleh kerajaan negara tersebut, yang menetapkan kereta terbabit perlu memiliki sekurang-kurangnya 23.3 km/l bagi penjimatan ekonomi, maksimum 100 g/km bagi emisi CO2 dan sesuai menggunakan Euro 5 (kereta eko bagi Phase 1: 20 km/l, 120 g/km, Euro 4).

    Menggantikan enjin terdahulu 1.2L (tidak seperti City, Almera sentiasa menjadi kereta eko di Thailand) dengan 79 hp/106 Nm kepada unit 1.0 liter tiga-silinder DOHC turbo bersama hamburan kuasa 100 hp dan tork 152 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm (enjin 1.0L untuk City dengan 122 PS/173 Nm).

    Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

    Enjin HRA0 mempunyai pemampatan yang dikawal oleh motor DC dan menampilkan teknologi cermin salutan yang membantu mengurangkan dan menyingkirkan haba. Ia turut dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT dengan mod D-Step Logic dan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

    Memandangkan tidak ada keperluan sedemikian untuk seluruh ASEAN, dan Malaysia, yang memungkinkan kita akan mendapat enjin berteknologi tinggi atau enjin 1.5L naturally-aspirated HR empat-silinder, atau versi 1.6L yang kuasanya sama seperti Versa (kereta yang sama, nama yang lain) di Amerika Utara.

    Bercerita mengenai Versa, sedan segmen-B ini pertama kali diperkenalkan pada April lalu di Amerika Syarikat. Ia merupakan model serba baharu yang menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) sama seperti March baharu dan Renault Clio.

    Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

    Almera baharu juga memiliki imej yang lebih dinamik berbanding model terdahulu. Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah. Beralih ke sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

    Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

    Sedan ini berukuran 4,495 mm panjang dan 1,740 mm lebar, dengan jarak roda 2,620 mm. Berbanding pesaingnya, Honda City 2020 dengan 4,553 mm panjang, 1,748 mm lebar dan jarak rodanya 2,589 mm. Ini bermakna, Almera memiliki ukuran keseluruhan yang lebih pendek sebanyak 58 mm dan 8 mm lebih sempit, tetapi 31 mm jarak roda yang lebih panjang. Walau bagaimana pun, kedua-dua model berkenaan masih menawarkan ruang dalaman yang luas.

    Thai Motor Expo 2019: Nissan Almera 1.0L Turbo 2020

    Di dalamnya juga mengalami perubahan yang agak besar, ini termasuklah dengan papan pemuka “Gliding Wing” baharu seperti mana model crossover Kicks. Rekaan yang lebih moden juga diserapkan termasuk pada panel meter digital (tachometer digital dan paparan pelbagai info tujuh-inci, speedometer analog), unit utama skrin sesentuh lapan-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan panel pemuka hadapan dengan balutan kulit sintetik bersama jahitan dan warna kontras seperti gaya Mazda 2.

    Nissan juga melakukan kejutan dengan menawarkan teknologi bantuan pemandu dan keselamatan aktif untuk Almera 2020 ini termasuk brek kecemasan sendiri, bantuan titik buta, RCTA dan paparan pandangan sekelilung untuk varian tertinggi. Ini bermakna penawaran aspek keselamatan yang ada pada Almera adalah lebih daripada apa yang City dapat, walau pun model tertinggi City tidak juga menerima Honda Sensing.

    Untuk pasaran Thai, Almera ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Radiant Red, Monarch Orange, Storm White, Black Star, Gun Metallic, dan Brilliant Silver. Ia dijual pada harga bermula 499,000 baht (RM69,585) untuk varian paling rendah S hingga 639,000 baht (RM87,799) bagi versi tertinggi VL.

    Walau bagaimana pun, varian asas S tidak didatangkan dengan radio mahu pun penutup untuk roda keluli – didatangkan dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan dua beg udara.

    Sementara varian EL berharga 559,000 baht (RM76,842) pula hadir dengan roda aloi, butang pada stereng, in-glass antenna dan kemasukan tanpa kunci/butang penghidup enjin. Lebih penting, ia turut ditawarkan dengan Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar dan Brek Kecemasan Pintar (AEB). Bagi varian V pula, ciri tambahan yang diberikan termasuklah lampu utama dan DRL LED, lampu signal untuk kedua-dua cermin sisi, pendingin hawa automatik, panel digital part-digital dan Paparan Pandangan Sekeliling Pintar dengan Pengesan Objek Bergerak.

    Untuk varian tertinggi VL pula menerima lampu kabus LED dan beg udara tirai (kesemuanya berjumlah enam unit, lain-lain varian hanya dua unit sahaja), amaran titik buta, dan RCTA.

    GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

    GALERI: Foto rasmi Nissan Almera 2020

     
     
  • Ford Ranger Raptor, Focus ST wagon kereta polis UK

    Ford Ranger Raptor, Focus ST wagon kereta polis UK

    Lain macam citarasa polis di UK. Dalam tambahan terbaru bagi kenderaan rasmi yang digunakan oleh pihak polis, bagi tujuan yang pelbagai, Ford Ranger Raptor dan juga Focus ST wagon turut dipilih untuk digunakan sebagai kereta peronda.

    Kedua-dua model kenderaan terbabit kini sedang dicuba di serata UK, dengan pihak polis South Wales menjadi antara yang pertama untuk menerima unit Ranger Raptor mereka. Kemasan dan penampilan unit polis ini sangat menonjol; kedua-duanya merupakan produk daripada bahagian persediaan kenderaan khas Ford sendiri yang berpusat di Essex. Antara kelengkapan wajib ialah siren dan lampu kecemasan yang dapat dilihat dipasang pada unit-unit berkenaan.

    Bagaimanapun, dari segi mekanikal, Ranger Raptor dan Focus ST wagon polis ini sama sahaja dengan versi biasa. Trak pikap menggunakan enjin 2.0 liter EcoBlue bi-turbo empat-silinder diesel, dengan janaan 213 PS dan 500 Nm tork. Kotak gear Getrag 10R80 10-kelajuan menjadi padanannya.

    Ford Ranger Raptor, Focus ST wagon kereta polis UK

    Tidak lupa juga suspensi Fox Racing Shox, tayar all-terrain BF Goodrich 33-inci dan jarak kelegaan tanah yang luas masih dikekalkan. Lain-lain angka untuk kegunaan off-road ialah seperti sudut 32.5 darjah bagi bahagian depannya, dengan sudut laluan dan perlepasan 24 darjah. Kedalaman air yang boleh dilepasi pula ialah 850 mm.

    Bagi Focus ST wagon pula, ia menggunakan enjin 2.3 liter EcoBoost twin-scroll turbocas dengan janaan 276 hp pada 5,500 rpm dan 420 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Transmisi manual enam-kelajuan adalah standard, tetapi kotak gear automatik tujuh-kelajuan turut ditawarkan. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 5.8 saat bagi versi manual.

     
     
  • Projek ‘kereta terbang’ terima suntikan dana RM20 juta daripada kerajaan menerusi MIGHT – laporan PAC

    Projek ‘kereta terbang’ terima suntikan dana RM20 juta daripada kerajaan menerusi MIGHT – laporan PAC

    Sebelum ini memang sudah ada desas-desus yang menyatakan projek ‘kereta terbang’ yang mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pembangunan Usahawan menerima dana khas daripada kerajaan. Walau bagaimana pun, menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, menafikan dan menyatakan projek kereta terbang adalah inisiatif swasta serta tidak menggunakan dana kerajaan.

    Namun demikian, berbeza dengan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), meluluskan pelaburan itu dalam syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB), menurut artikel yang disiarkan oleh Berita Harian.

    Laporan PAC menyebut, “Walaupun Menteri Pembangunan Usahawan (Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof) menyatakan projek kereta terbang adalah inisiatif swasta dan tidak gunakan dana kerajaan, PAC mendapati MIGHT meluluskan pelaburan dalam AVSB sebanyak RM20 juta. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengesahkan dana itu telah disalurkan oleh VTSB (VentureTech Sdn Bhd – subsidiari milik penuh MIGHT) kepada AVSB pada 1 November 2019.”

    Tambah PAC lagi, Mohd Redzuan didapati mengumumkan projek itu terlalu awal tanpa perancangan teliti serta tidak memaklumkannya kepada Kabinet, selain mendapati ia adalah projek swasta, bukan projek nasional seperti diuar-uarkannya. Selain itu, Mohd Redzuan juga mempromosikan AVSB secara terbuka sejak Februari lalu, sedangkan kerajaan belum melaksanakan pematuhan piawaian kewangan, hak milik intelek, kepakaran dan kapasiti membangunkan kereta terbang terhadap syarikat berkenaan.

    Projek ‘kereta terbang’ terima suntikan dana RM20 juta daripada kerajaan menerusi MIGHT – laporan PAC

    PAC turut mendapati AVSB membangunkan prototaip di Jepun kerana negara itu memiliki ekosistem dan kemudahan membina kereta terbang, sedangkan Mohd Redzuan memaklumkan syarikat itu menggunakan teknologi tempatan.

    “Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta MIGHT juga tidak dirujuk langsung dalam menentukan hala tuju pembangunan mobiliti udara, dan tiada undang-undang sedia ada berkaitan kawal selia dan penggunaan kereta terbang di Malaysia,” jelas laporan itu.

    Sehubungan itu, PAC mengemukakan enam syor penambahbaikan, antaranya meminta Jabatan Akauntan Negara (JAN) mengaudit pelaburan RM20 juta itu, selain menggesa VTSB memantau perbelanjaan dibuat AVSB bagi memastikan dana berkenaan digunakan bagi tujuan ia diluluskan, dan bukan untuk projek kereta terbang.

    Selain itu, sesuatu projek perlu dikaji dan dirancang secara teliti sebelum dihebahkan kepada umum bagi mengelak persepsi negatif dan kritikan masyarakat. Kementerian Pembangunan Usahawan turut dinasihatkan mewujudkan kerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi lain, serta membuat pematuhan piawaian yang lengkap sebelum membuat pengumuman dan keputusan.

    “Kertas Kabinet yang lengkap dan sempurna perlu disedia dan dibentang dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapat kelulusan bagi perkara membabitkan kepentingan rakyat dan negara,” jelas PAC.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 18, 2024