Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Geely Icon – gambar awal SUV versi produksi didedah

    Geely Icon – gambar awal SUV versi produksi didedah

    Adakah anda masih ingat dengan model Geely Concept Icon yang ditunjukkan tahun lepas? Ia adalah sebuah SUV futuristik yagn sepatutnya membawa Geely ke tahap baru, tetapi sejak ditunjukkan, tiada sebarang berita mengenainya. Itu tidak bermakna Geely melupakannya terus, sebaliknya mereka bekerja keras untuk menukarnya kepada realiti.

    Impak visual kereta versi produksi ini masih sama seperti model konsep, dengan rekaan yang begitu minimalis. Sudah pasti, rimnya adalah lain, cermin sisi lebih besar dan mempunyai bingkai tingkap, tetapi rekaan keseluruhan kebanyakannya masih sama.

    Paling menyerlah mungkin adalah bahagian hadapan. Lampu utama sebenarnya adalah yang berada di bawah, dengan kedudukan menegak dan di tengahnya terdapat gril “expanding cosmos” yang sudah menjadi tanda unik model Geely, tetapi lebih lebar dan besar. Jalur lampu nipis di atas mungkin adalah DRL, dan garisannya bersambung pada seluruh bahagian depan, serta hingga ke pintu.

    Geely Icon – gambar awal SUV versi produksi didedah

    Kemudiannya di belakang juga mempunyai garis yang selari, bermula dari lekuk tayar dan bersambung sehinggalah ke pintu but. Kenderaan ini banyak menggunakan bentuk petak dan lurus, dan ia juga boleh dilihat pada bahagian-bahagian lain seperti pembuka pintu, lampu penunjuk arah dan juga lampu belakang.

    Keseluruhan bahagian bumbung serta tiang tingkap kenderaan ini diwarnakan hitam untuk menghasilkan visual seperti bumbung yang terapung. Untuk pintu, jika model konsep menggunakan jenis terbuka secara suicide, model produksi ini pula boleh dibuka seperti biasa.

    Bahagian dalam juga masih mempunyai rekaan asas yang sama seperti model konsep. Ia masih menggunakan papan pemuka bertingkat, serta konsol tengah yang tinggi dan mempunyai pemegang untuk penumpang. Di bawahnya boleh diletakkan sedikit barang, dan kelihatan juga seperti terdapat pengecas tanpa wayar di situ. Dua skrin digunakan untuk paparan infotainmen dan instrumen, sementara warna dua tona coklat dan putih menjadikannya lebih menyerlah.

    Tiada perincian teknikal yang didedahkan, tapi ada laporan yang mengatakan Icon ini sebenarnya menggunakan asas daripada Binyue dan dibina atas platform B-segment Modular Architecture (BMA). Sepatutnya, ia berukuran 4,350 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,615 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Ini adalah 20 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan enam milimeter lebih tinggi berbanding Binyue.

    Hanya satu enjin saja yang dikatakan sudah disahkan bakal digunakan pada Icon, iaitu unit empat silinder 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 174 hp dan 255 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

     
     
  • Hasil kajian mekanisme subsidi petrol untuk golongan M40 diumumkan tahun depan – Lim Guan Eng

    Hasil kajian mekanisme subsidi petrol untuk golongan M40 diumumkan tahun depan – Lim Guan Eng

    Selepas pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap agihan bagi subsidi petrol bersasar bukan hanya kepada kumpulan B40 dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), tetapi turut melibatkan kelompok berpendapatan pertengahan M40 sekali.

    Ia berikutan pengumuman yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai kelompok yang tidak tergolong di dalam B40 juga turut boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH. Agihan kad berkenaan akan dijalankan secara berperingkat tahun depan.

    Susulan daripada itu, Lim berkata, kerajaan akan mengumumkan hasil kajian mengenai mekanisme subsidi petrol bagi golongan M40 pada tahun hadapan.

    “Kerajaan masih dalam peringkat meneliti mekanisme tersebut. Di mana kajian membabitkan M40 itu dijangka siap pada Mac dan kita akan membuat pengumuman selepas itu,” katanya menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama.

    Menurut Menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifuddin Nasution pula, kementeriannya akan membincangkan secara lanjut perkara itu dengan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan bagi merangka mekanisme untuk mengenal pasti hanya mereka yang benar-benar layak dapat menikmati manfaat itu.

     
     
  • Tun Mahathir akui pandu kereta merupakan aktiviti yang cukup digemari – paling laju cecah 180 km/j

    Tun Mahathir akui pandu kereta merupakan aktiviti yang cukup digemari – paling laju cecah 180 km/j

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kereta memang cukup sinonim. Buah ideanya dalam wujudnya Proton sejak 34 tahun yang lalu merupakan satu bukti yang cukup nyata tentang kecintaannya terhadap dunia automotif. Tak hairanlah, dalam usia lebih 90 tahun ini, beliau masih dilihat sering memandu kereta.

    Dalam temubual secara eksklusif dengan Geng Pagi Hot di saluran radio Hot FM yang disiarkan pagi tadi, Tun Mahathir mengakui memandu kereta merupakan aktiviti yang paling digemari dan menyeronokkan apatah lagi jika dapat memecut laju.

    “Saya suka bawa kereta. Sekarang ini cuma itu saja kegiatan boleh saya lakukan. Ia semacam menghiburkan diri saya. Sekarang, hujung minggu memang saya bawa kereta. Seronok bawa kereta walaupun waktu malam kadang sakit kaki sikit. Tapi bawa kereta satu hiburan kepada saya. Kadang-kadang dengan isteri. Kalau dengan isteri, saya padu perlahan, ” ceritanya yang turut dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tun Mahathir akui pandu kereta merupakan aktiviti yang cukup digemari – paling laju cecah 180 km/j

    Tambahnya lagi, paling laju yang pernah dipandu ialah mencecah 180 km/j. “Maju Expressway masa itu belum dibuka tapi boleh diakses, tidak ada kereta lain, maka saya bawa laju,” katanya yang turut berkata, memandu bukan satu yang luar biasa bagi dirinya kerana beliau pada waktu belajar di Singapura pada tahun 1950-an sudah biasa memandu dari negara itu ke Alor Setar, Kedah.

    “Saya biasa bawa kereta dari Singapura ke Alor Setar. Kereta buruk, saya bawa sendiri. Saya beli di Singapura, masa itu belajar. Saya beli kereta itu bumbungnya kain. Saya bawa dari Singapura ke Kuala Lumpur kemudian ke Alor Setar,” ujarnya lagi.

    Tun Mahathir turut berkata, oleh kerana sudah terbiasa memandu jarak jauh, ia membuatkan dirinya tidak kekok memandu apa jua jenis kenderaan dan berani memecut dengan kelajuan yang agak ekstrem.

    Sambungnya lagi, “Setiap kali Proton keluar kereta baharu, mereka akan beri saya saya cuba. Saya sudah bawa semua jenis kereta Proton tapi kadang-kadang jenis lain saya cuba juga.”

     
     
  • Toyota dedah Copen GR Sport dalam bentuk produksi

    Toyota dedah Copen GR Sport dalam bentuk produksi

    Kami telah melihat sendiri model konsep Daihatsu Copen yang diberi sentuhan oleh sayap perlumbaan Toyota – Gazoo Racing (GR) – ini ketika berlangsung Tokyo Auto Salon 2019 januari lalu, dan kini kei-roadster tersebut telahpun didedahkan dalam bentuk produksi, tanpa sebarang perubahan, digelar sebagai Copen GR Sport.

    Tiada sebarang perubahan untuk kuasa pada Copen GR Sport ini, di mana ia masih dijana enjin tiga-silinder 660 cc dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 64 PS dan tork maksima 92 Nm – tiada pengubahsuaian boleh dilakukan sekiranya ia mahu terus dijual sebagai K-Car. Walau pun ia sebuah roadster, Copen masih lagi memacu roda hadapan dengan pilihan sama ada kotak gear CVT automatik (dengan nisbah maya tujuh-kelajuan) atau transmisi manual lima-kelajuan.

    Dengan lencana GR Sport, sudah tentu ada talaan prestasi diberikan kepada Copen ini. Badan kereta yang kecil ini dipenuhi pelbagai bar pengukuh di bawahnya – bar bawah hadapan di tambah, manakala bar bawah tengah pula menerima rekaan semula. Badan yang lebih tegap ini kemudiannya disesuaikan dengan talaan semula pada sistem suspensi.

    Toyota dedah Copen GR Sport dalam bentuk produksi

    Copen GR Sport menerima set penyerap hentak baharu yang direka khas untuknya, bersama set spring gegelung berwarna merah yang menurut Gazoo Racing akan memberikan “pemanduan yang selesa dengan pergerakan melentur”. Stereng berkuasa elektrik pada model istimewa ini juga ditala semula bagi melengkapkan karekteristik baharunya. Sama ada model CVT atau manual, Copen GR diberikan unit LSD sebagai ‘senjata’ standard.

    Seperti yang disebut tadi, rupa Copen GR Sport versi produksi ini adalah sama sepenuhnya dengan Copen GR Sport Concept yang muncul di TAS 2019. Jadi ia masih tampil dengan muka sama dengan versi Copen Robe serta mengenakan gril “Functional Matrix” seperti model-model talaan GR yang lain, bersama bampar baharu yang menurut Toyota ia mempunyai kesan aerodinamik yang lebih baik.

    Bahagian belakang Copen ini juga lebih agresif dari model standard, dengan diberikan kemasan berwarna hitam yang agak besar pada bampar belakang, berbentuk seperti diffuser serta turut menempatkan dua tip ekzos. Rim BBS kemasan gelap 16-inci dibaluti tayar 165/50R16 yang anda lihat ini juga adalah ciri standard, dan rupa keseluruhannya dilengkapkan dengan berberapa emblem GR dilekatkan pada tempat sepatutnya.

    Bahagian kabin Copen GR Sport ini juga dipenuhi pelbagai ‘jajan’ yang begitu mengujakan. Ia hadir standard dengan tempat duduk bucket Recaro dan juga roda stereng balutan kulit dari Momo – kedua-duanya dengan logo GR, dan tidak boleh dibeli dari pengedar barangan aftermarket.

    Panel meter juga lebih istimewa dari biasa di mana ia diberikan pencahayaan dan jarum berwarna merah, lengkap dengan logo GR. Secara keseluruhan, kabin Copen ini dimonopoli oleh warna hitam, manakala papan pemuka diberikan kemasan gabungan hitam berkilat dan elemen gentian karbon.

    Macam biasa, model-model K-Car istimewa ini dihasilkan hanya untuk pasaran domestik Jepun (JDM). Model dengan kotak gear CVT auto akan dijual pada harga 2.38 juta yen (RM92,088), manakala versi manual beoleh dibeli dengan harga 2.435 juta yen (RM94,221). Roadster comel ini boleh dipilih dalam lapan pilihan warna, dan pembeli perlu mencari jurujual Toyota, dan bukan Daihatsu untuk mendapatkannya.

    GALERI: Copen GR Sport Concept di Tokyo Auto Salon 2019

     
     
  • VIDEO: Modenas Kriss 110 dan Pulsar NS160 di M’sia – kapcai 110 cc RM3,377 dan naked 160 cc RM7,577

    Apabila 2019 sudah hampir berakhir, barulah Modenas muncul dengan model baru untuk tahun ini. Syarikat itu melancarkan sebuah kapcai baru yang menggunakan nama sudah dikenali iaitu Kriss 110, serta sebuah model naked yang dihasilkan dengan kerjasama syarikat Bajaj dari India, iaitu Pulsar NS160.

    Dalam video ini kami cuba tunjukkan kepada anda apa yang ditawarkan pada kedua-dua model tersebut. Kriss 110 digerakkan oleh enjin empat lejang 110 cc satu silinder, bersama padanan kotak gear empat kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 6.6 hp pada 8,000 rpm dan 6.7 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Enjin ini sebenarnya adalah daripada syarikat Zongshen dari China, sementara badannya melibatkan rekaan yang dibangunkan sendiri oleh Modenas. Antara kelengkapan lainnya adalah tangki bahan api 4.2 liter, brek dram depan dan belakang, dua penyerap hentak di belakang dan rim sport 17 inci. Harga jualannya adalah RM3,377 tidak termasuk insurans.

    Pulsar NS160 pula dikuasakan oleh enjin satu silinder OHC suntikan bahan api Twin Spark DTS-i 160 cc, yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 14.7 hp pada 8,500 rpm dan 13.99 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Walaupun disediakan sebagai pilihan yang lebih mampu milik berbanding NS200, NS160 ini masih datang dengan kelengkapan yang menarik seperti brek cakera depan (300 mm) dan belakang (230 mm), fork teleskopik hadapan, monoshock Nitrox di belakang, tangki bahan api 12 liter dan rim 17 inci yang dibalut tayar MRF 80/100 di hadapan dan 110/80 di belakang. Harganya adalah RM7,577.

    GALERI: Modenas Kriss 110 2019

    GALERI: Modenas Pulsar NS160 2019

     
     
  • Nascar akan guna sistem hibrid pada tahun 2022?

    Nascar akan guna sistem hibrid pada tahun 2022?

    Dalam banyak-banyak perlumbaan di seluruh dunia, Nascar adalah antara perlumbaan yang agak ‘old school‘ dari segi teknologi kerana peminatnya masih mahu sensasi asli perlumbaan tersebut. Kereta-kereta lumba ‘stock car‘ berkenaan hanya bertukar dari sistem karburator kepada sistem suntikan bahan api elektronik pada tahun 2012, dan sehingga kini enjin-enjin V8 dalam perlumbaan tersebut masih menggunakan sistem injap jenis pushrod dengan aci sesondol di sebelah blok enjin dan bukan pada kepala silinder.

    Ini ada satu berita yang agak mengejutkan dari Nascar – dalam laporan TechCrunch, naib presiden senior Nascar untuk pembangunan perlumbaan, John Probst menyatakan bahawa perlumbaan tersebut akan menampilkan teknologi hibrid seawal tahun 2022.

    “Kami telah mengembara ke seluruh dunia untuk melawat badan kelulusan lain dan tidak menafikan hakikat bahawa dunia akan menuju lebih kepada teknologi hibrid,” kata Probst.

    “Kami berusaha untuk kearah hibrid penuh. Saya tidak tahu di mana selebihnya untuk kami dalam jangka masa panjang, tetapi beberapa bentuk teknologi hibrid sudah ada dalam pemerhatian kami… selepas 2021. Tidak ada yang disahkan sepenuhnya sehingga ia tiba di litar lumba. Oleh itu, teknologi hibrid mungkin akan berada pada kereta lumba kami pada 2022, jika semua rancangan berjalan mengikut jadual sepatutnya,” jelas Probst.

    Nascar akan guna sistem hibrid pada tahun 2022?

    Langkah seterusnya akan diambil setelah Nascar mengumumkan undang-undang baharu untuk kereta lumba generasi seterusnya pada 2021. “Cuba untuk melakukan semuanya dalam satu masa mungkin agak berat,” katanya lagi.

    Dengan teknologi hibrid yang memadankan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik memerlukan perlumbaan ini diadakan pada litar lebih pendek dan juga lebih banyak selekoh yang memerlukan pedal brek di tekan. Ini kerana jika ianya dilangsungkan pada litar ringkas berbentuk oval seperti perlumbaan Nascar Daytona 500, pemandu jarang sekali untuk menekan brek, sekaligus sistem regenerative braking yang akan mengecas semula bateri hibrid tidak dapat digunakan.

    “Kami perlu membuat penyelidikan untuk semua ni, tetapi saya rasa ada berberapa pilihan lain sebagai pengantaraan dan litar kami boleh diteroka,” kata Probst dengan merujuk litar yang sesuai dengan panjang jarak 1.5 batu atau kurang.

    Nascar juga mungkin mahu menjadikan sistem hibrid berkenaan berfungsi seakan sistem KERS pada Formula 1, yang akan memberikan kuasa tambahan dari motor elektrik dengan satu sentuhan butang.

    “Adakah kuasanya dilepaskan secara automatik dalam pra-strategi yang telah dirangka? Adakah ia akan dilepaskan dengan cara menekan butang yang akan memberikan kuasa tambahan kepada pemandu untuk mula memintas atau menyudahkan pintasan? Ini semua adalah perkara yang perlu kami lihat.

    Nascar akan guna sistem hibrid pada tahun 2022?

    “Saya rasa anda boleh…gunakan enjin untuk memulihkan kuasa. Jadi pemandu diberikan kuasa tambahan, dalam masa yang sama dia tahu bahawa dia sedang mengecaj semula kuasa bateri bagi digunakan secara strategik selepas itu dalam perlumbaan tersebut,” tambah Probst.

    Walau bagaimanapun, Nascar juga mungkin akan mengguna pakai sistem hibrid dari kereta produksi biasa yang telahpun digunakan oleh pengeluar-pengeluar yang bertanding dalam siri berkenaan iaitu Ford, Chevrolet dan Toyota.

    Menurut pengurus Ford Performance untuk Nascar, Pat DiMarco, perkara ini amat menarik perhatian pihak mereka. “Sebagai pengeluar OEM, Nascar kini sedang melihat kepada hibrid untuk masa hadapan menarik perhatian kami. Dahulu…ketika kami menghasilkan enjin untuk berlumba dan ambil komponen yang sama untuk dipadankan terus kepada kereta produksi, banyak perkara seperti itu sudah tiada lagi,” jelasnya.

    Bekas juara Nascar dan kini masih berlumba dalam siri tersebut, Brad Keselowski turut menyokong hibrid digunakan dalam Nascar. “Saya peminat teknologi,” katanya kepada TechCrunch.

    “Pertama, ia akan memberikan sukan ini potensi prestasi lebih dari kereta dan, kedua, ia membuatkan Nascar releven kepada pasaran – kerana tiada siapa yang akan membangunkan teknologi dengan bersungguh atau lebih cepat dalam sukan permotoran berbanding kami,” tambah Keselowski lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz panggil semula lebih 500k model diesel – pembebasan gas tidak menepati peraturan

    Mercedes-Benz panggil semula lebih 500k model diesel – pembebasan gas tidak menepati peraturan

    Daimler telah pun mengeluarkan pengumuman bahawa mereka akan memanggil semula ratusan ribu model Mercedes-Benz yang menggunakan enjin diesel, kerana masalah emisi. Walaubagaimanapun, ini hanyalah untuk model yang dikuasakan oleh enjin OM651.

    Jumlah sebenar kenderaan yang terlibat masih belum didedahkan, tetapi syarikat itu menganggar angkanya sekitar “enam angka pertengahan”. Ini termasuklah 260,000 unit van Sprinter generasi sebelum ini (pengeluaran berakhir tahun 2016). Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan penguasa Stuttgart dan Daimler, Mercedes-Benz telah didapati menjual sekitar 684,000 buah kenderaan yang tidak menepati peraturan pembebasan gas nitrogen dioksida.

    Organisasi yang mengarahkan Daimler untuk mengeluarkan panggilan semula ini, iaitu pengawal selia trafik jalan raya Jerman (KBA), telah memberitahu bahawa van Sprinter mungkin mempunyai perisian pengurusan enjin yang tidak dibenarkan. “Pelanggan Mercedes-Benz akan diberitahu secara bertulis tentang langkah yang perlu dilakukan sekiranya kenderaan mereka terlibat, dan kemas kini perisian boleh dilakukan,” kata mereka.

     
     
  • Renault Captur Trophy dalam imej RS bakal diperkenal

    Renault Captur Trophy dalam imej RS bakal diperkenal

    Biasanya, imej RS hanya digunakan untuk model-model prestasi oleh Renault Sport. Tetapi, lain ceritanya di Malaysia, kerana model Captur pula kini diberikan sentuhan kosmetik yang sama oleh TC Euro Cars – dan yang anda lihat ini ialah Renault Captur Trophy, edisi terbaru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

    Paling ketara ialah warna oren yang digunakan. Dan, bersekali dengan warna Liquid Yellow, ia merupakan warna yang sangat sinonim dengan model-model Renault Sport yang pernah ada sebelum ini. Lihat Megane RS dalam warna Tonic Orange di sebelahnya, anda akan dapat lihat kemiripan itu. Namun pada Captur Trophy, warnanya dikenali sebagai Trophy Orange yang unik.

    Renault Captur Trophy juga akan dipasangkan tambahan spoiler pada bampar depan dan belakang, sementara di sisi ada pelekat petak hitam-putih. Motif bendera garis penamat ini juga biasa kita lihat pada model-model RS.

    Renault Captur Trophy dalam imej RS bakal diperkenal

    Jelasnya, semangat lumba dan litar ingin disuntik pada Captur, walaupun hanya sebagai hiasan dan bagi menaikkan seri imej semata-mata; lihat juga rekaan diffuser di belakang. Bagaimanapun, kit badan ini khabarnya masih dalam proses kemaskini, dan mungkin berlainan dari versi sebenar yang akan dikenakan pada unit untuk dijual nanti.

    Captur Trophy menggunakan mekanikal yang sama dengan versi kemaskini terbarunya, yang antara lain datang dengan unit enjin piawaian Euro 6, 1.2 liter TCe 120 pengecas turbo empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 120 PS dan 205 Nm tork dari 2,000 rpm – 15 Nm lebih berbanding yang lama. Ia kemudiannya dipadankan dengan kotak gear automatik Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan, kini dengan ciri Auto Start, serta bacaan penggunaan minyak 5.9 liter bagi setiap 100 km bagi kitaran NEDC.

    Renault Captur Trophy dalam imej RS bakal diperkenal

    Kit standard lain termasuklah sistem multimedia MediaNav dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi dan sambungan AUX, USB dan Bluetooth, kamera undur, kemasukan tanpa kunci, butang push start, pengunci pintu auto, lampu utama dan bilah pengelap cermin auto. Bagi aspek keselamatannya pula, ia dilengkapi dengan empat beg udara, ESC dan bantuan mula mendaki.

    Renault Captur Trophy dijangka akan diletakkan tanda harga yang sama dengan Captur+ pada RM107,980 atas jalan tidak termasuk insurans. Kereta yang anda lihat ini mungkin tidak akan serupa sepenuhnya dengan unit sebenar yang akan dilancarkan nanti.

     
     
  • BMW panggil semula lebih 250k kereta di AS termasuk Supra dan Cullinan kerana masalah tetapan paparan

    BMW panggil semula lebih 250k kereta di AS termasuk Supra dan Cullinan kerana masalah tetapan paparan

    BMW telah mengumumkan panggilan semula terhadap lebih 250,000 unit kenderaan yang dijual di Amerika Syarikat kerana ia dikesan mempunyai masalah pada tetapan paparan. Bagi model-model terkini BMW, pemandu boleh mematikan fungsi kamera undur ketika kereta mengundur, jika mereka mahu. Namun timbul masalah ia mungkin akan terus dinyahaktif apabila gear undur digunakan sekali lagi selepas itu, dengan kamera undur terus tidak memaparkan visual setelah gear undur dipilih.

    Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat, isu ini mungkin boleh meningkatkan risiko berlakunya kemalangan serta tidak mematuhi piawaian keselamatan persekutuan. Buat masa sekarang, BMW memanggil semula pelbagai model yang dibuat bermula tahun 2018, dan ia turut membabitkan model-model jenama lain yang turut dibuat oleh BMW iaitu Rolls-Royce Phantom dan Cullinan, serta Toyota GR Supra A90.

    Model-model BMW lain yang turut terlibat dalam panggilan semula ini termasuk BMW 5 Series G30 2018 (540d, 530i, 540i, M550i xDrive, M5, 530e), BMW 640i x-Drive GT, barisan SUV X3, X4, X5 dan X6, BMW 7 Series, BMW 8 Series 2018-2019, BMW 3 Series G20, dan juga kembar Supra iaitu Z4 G29.

    Pemilik model yang terjejas akan dihubungi oleh pusat-pusat servis BMW, Rolls-Royce atau Toyota, dan selepas itu perlu menghantar kereta mereka untuk diperiksa, kemudian perisian kamera undur berkenaan akan dikemaskini secara percuma. Panggilan semula ini dijangka akan bermula pada 19 November 2019.

    Setakat ini, kereta-kereta yang terjejas hanya untuk pasaran Amerika Syarikat, dan pemilik boleh memeriksa sama ada kereta mereka terlibat atau tidak dengan memasukkan nombor pengenalan identiti kenderaan 17-digit (nombor VIN/casis) ke laman web NHTSA.

    Sebelum ini BMW turut telah memanggil semula tujuh-unit Toyota GR Supra A90 di Amerika Syarikat yang dikesan mempunyai masalah cagak tali pinggang keledar sebelah pemandu yang tidak dikimpal mengikut spesifikasi, dan semua kereta terlibat diganti terus dengan unit-unit baharu.

     
     
  • Porsche Taycan 4S – kuasa 571 PS, jarak gerak 463 km

    Porsche Taycan 4S – kuasa 571 PS, jarak gerak 463 km

    Model elektrik penuh pertama Porsche iaitu Taycan kini mendapat satu lagi varian iaitu Taycan 4S. Ia diletakkan di bawah model Taycan Turbo S dan Taycan Turbo, sebagai model permulaan. Ia ditawarkan dengan dua spesifikasi bateri iaitu Performance dan Performance Plus.

    Taycan 4S yang menggunakan pek bateri Performance mempunyai kapasiti 79.2 kWh, untuk menghasilkan kuasa 530 PS dan penggunaan kuasa 24.6 kWh/100 km sementara bateri Performance Plus pula menawarkan kuasa 571 PS dan penggunaan kuasa 25.6 kWh/100 km. Jarak gerak yang ditawarkan pula adalah 407 km untuk Performance dan 463 km untuk Performance Plus.

    Catatan ini sekaligus menjadikan Taycan 4S sebagai varian Taycan yang menawarkan jarak gerak paling jauh, dengan kapasiti mengecas pula terletak pada 225 kW untuk Performance dan 270 kW untuk Performance Plus. Prestasi kedua-dua varian ini adalah sama iaitu 4.0 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan laju maksimum 250 km/j.

    Porsche Taycan 4S – kuasa 571 PS, jarak gerak 463 km

    Sama seperti varian Turbo dan Turbo S yang diperkenalkan sebelum ini, kedua-dua versi Taycan 4S adalah menggunakan pacuan semua roda, dengan terdapat motor pemacu di setiap gandar dan gandar belakang mempunyai transmisi dua kelajuan.

    Kecekapan daya rintangan angin Taycan 4S adalah sama dengan Taycan Turbo, iaitu 0.22 dan ini mungkin kerana badannya tidak berubah banyak, kecuali kemasan pada bawah bampar, rear diffuser dan side sill yang diwarnakan hitam.

    Dalam keadaan standard Taycan 4S datang dengan rim Taycan Aero 19 inci dengan di sebaliknya terdapat cakera brek cast iron yang berukuran 360 mm serta angkup enam piston di hadapan dan cakera 358 mm serta angkup empat piston di belakang. Sama seperti Taycan Turbo dan Turbo S, Taycan 4S ini juga datang terus dengan suspensi udara adaptif yang dipadankan bersama sistem elektronik Porsche Active Suspension Management (PASM).

    Porsche Taycan 4S – kuasa 571 PS, jarak gerak 463 km

    Pada bahagian dalam, kebanyakan bahagian Taycan 4S dibalut dengan kulit campuran, termasuk tempat duduk pemandu yang boleh dilaras secara elektrik lapan arah. Sama seperti Taycan Turbo dan Turbo S, Taycan 4 S ini juga ada ditawarkan dengan kemasan bebas kulit, bagi pencinta haiwan dan diganti dengan bahan kitar semula.

    Papan pemuka Taycan 4S adalah sama sahaja seperti Taycan Turbo dan Turbo S, berserta panel instrumen digital penuh di hadapan pemandu dan panel paparan infotainmen 10.9 inci di bahagian tengah. Di bawah sedikit terdapat panel sesentuh 8.4 inci untuk mengawal fungsi pendingin hawa.

    Porsche Taycan ditawarkan di Eropah dengan harga 105,607 Euro (RM487,993), dan dijangka tiba di wakil pengedar menjelang Januari 2020.

     
     
  • Honda City generasi seterusnya dengan enjin 1.0 liter VTEC Turbo akan muncul di Thailand November ini

    Honda City generasi seterusnya dengan enjin 1.0 liter VTEC Turbo akan muncul di Thailand November ini

    Honda Jazz/Fit generasi baharu sudahpun disahkan oleh Honda bakal muncul di Tokyo Motor Show 2019 yang akan berlangsung minggu hadapan. Satu lagi berita baik yang baru diterima, kembar sedan Jazz iaitu City turut akan membuat kemunculan dalam masa terdekat, dan ia akan membuat penampilan berhampiran dengan kita – Thailand.

    Menurut laporan portal negara berkenaan, Headlightmag, Honda City tersebut akan dilancarkan pada November ini untuk pasaran tersebut. Apa yang sangat menarik lagi adalah Honda akan meletakkan City dalam saingan kereta Eco Thai Fasa kedua dengan memadankan enjin tiga-silinder VTEC Turbo bersama kotak gear CVT!

    Tiada sebarang perincian lagi berkenaan enjin yang bakal dipadankan tersebut, namun jika di baca kriteria yang diperlukan dalam undang-undang kereta Eco Thai Fasa Kedua berkenaan, ia perlulah dihasilkan dengan spesifikasi seperti memenuhi standard emisi Euro 5, emisi CO2 di bahawa 100 g/km, dan juga penggunaan bahan api tidak melebihi 4.3 liter untuk 100 km (23.25 km/l), serta kesemua varian perlu dilengkapi ABS/EBD/BA/VSA secara standard.

    Honda City generasi seterusnya dengan enjin 1.0 liter VTEC Turbo akan muncul di Thailand November ini

    Selain dari enjin turbo ini (ia sebenarnya telah pun digunakan oleh Civic di Eropah dan China), City juga bakal menerima varian yang dijana sistem hibrid Intelligent Multi-mode Drive (i-MMD) dengan dua motor elektrik sama seperti Jazz generasi selepas ini.

    Untuk Jazz/Fit, berdasarkan unit ujian yang dijumpai sedang diuji, model generasi baharu berkenaan menampil muka yang lebih comel dan lembut berbanding model GK sedia ada yang sememangnya nampak lebih garang. City baharu ini juga mungkin akan menerapkan rupa yang lebih ‘mesra’, dan illustrasi yang anda lihat adalah bayangan City baharu yang dihasilkan pada 2018, diinspirasikan dari Honda Insight generasi baharu.

    Honda City generasi sedia ada merupakan antara sedan segmen-B yang begitu popular di Malaysia, dilancarkan pada 2014 (versi facelift muncul pada 2017). Jadi jika model Turbo ini diperkenalkan di Malaysia, adakah ia akan menerima permintaan yang tinggi seperti abangnya, Honda Civic 1.5 VTEC Turbo?

     
     
  • 13 kementerian kumpul 2,081 saman trafik, tunggakan cecah RM0.43j dari 1999-2018 – Laporan Audit

    13 kementerian kumpul 2,081 saman trafik, tunggakan cecah RM0.43j dari 1999-2018 – Laporan Audit

    Mungkin berita ini boleh menjadi kontroversi kelak apabila Laporan Ketua Audit Negara 2018 mengesahkan sebanyak 13 kementerian mempunyai 2,081 notis kesalahan lalu lintas/saman berjumlah RM0.43 juta yang tertunggak sejak 1999 hingga 2018.

    Berita Harian melaporkan antara punca berlakunya saman tertunggak ialah surat peringatan tidak dikeluarkan ketua jabatan kepada pemandu/pegawai pengguna kenderaan, pemandu/pegawai pengguna tidak dapat dikesan dan tiada tindakan pemantauan diambil kementerian bagi menyelesaikan kes saman tertunggak.

    Didapati Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempunyai bilangan saman tertunggak tertinggi, iaitu mencecah 1,210 saman berjumlah RM249,730 dari 1999 hingga 2018, diikuti Kementerian Kewangan dengan 333 saman berjumlah RM69,585. Manakala Kementerian Belia dan Sukan mempunyai saman sebanyak 135 saman berjumlah RM29,250 dari 2006 hingga 2017 dan Kementerian Pertahanan pula memiliki 146 saman, berjumlah RM28,370 dari 2003 hingga 2018.

    13 kementerian kumpul 2,081 saman trafik, tunggakan cecah RM0.43j dari 1999-2018 – Laporan Audit

    Pekeliling Perbendaharaan Malaysia menyatakan ketua jabatan hendaklah memberi peringatan bertulis kepada pemandu/pegawai pengguna bagi menyelesaikan saman tertunggak.

    “Jika pemandu/pegawai pengguna tidak menyelesaikan saman tertunggak selepas diberi peringatan bertulis dalam tempoh sebulan oleh ketua jabatan, tindakan seterusnya seperti potongan gaji hendaklah dilaksanakan,” katanya.

    Selain itu, Buku Log Kenderaan bagi 16 kementerian tidak dikemas kini, kerana penyelenggaraan Buku Log perlu dilakukan bagi tujuan pemantauan pergerakan kenderaan jabatan dan memastikan tiada sebarang penyalahgunaan.

    Maknanya sejak 20 tahun dahulu, memang tiada sebarang tindakan terhadap kementerian yang memiliki jumlah saman yang agak besar ini? Apa komen anda? Kongsikan bersama kami.

     
     
  • Keputusan untuk RTS Johor Bahru-Singapura bakal diumumkan menjelang hujung Okt ini – Loke

    Keputusan untuk RTS Johor Bahru-Singapura bakal diumumkan menjelang hujung Okt ini – Loke

    Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pembinaan projek laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura akan diteruskan.

    Walau bagaimana pun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa ini tiada maklumat lanjut mengenai projek terbabit kerana cara pelaksanaannya hanya akan diputuskan di Kabinet dalam masa terdekat ini.

    “Dalam Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guang Eng sudah menyatakan hasrat kerajaan untuk meneruskan RTS. Itu petanda awal sokongan kerajaan terhadap projek ini tetapi saya tidak boleh beri maklumat lanjut sebab ia akan dibawa dan diputuskan dari segi cara pelaksanaan di Kabinet dalam seminggu dua ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Keputusan untuk RTS Johor Bahru-Singapura bakal diumumkan menjelang hujung Okt ini – Loke

    Menurut Loke lagi, selepas diluluskan Kabinet, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan memandangkan projek tersebut melibatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

    “Selepas itu, kita (kerajaan pusat) yakin bahawa satu pengumuman rasmi akan dapat dibuat menjelang akhir bulan ini. Kita komited dengan tarikh akhir 31 Oktober, maka, satu pengumuman rasmi dapat dibuat menjelang tarikh itu,” katanya sambil menambah beliau juga akan mencadangkan kepada Khaw supaya pengumuman terbabit dilakukan di bandar raya ini.

    Sebelum ini, Malaysia dan Singapura secara rasmi menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menangguh pembinaan RTS sehingga 30 September tahun ini. Malah Loke juga dilaporkan berkata, Malaysia akan membayar balik sebanyak RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai 2019, sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat daripada penggantungan selama enam bulan.

    Pada bulan lalu, Malaysia memohon tempoh lanjutan sehingga 31 Oktober ini untuk keputusan terhadap projek yang akan mengatasi kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang-alik antara keduda-dua negara itu setiap hari.

     
     
  • KTM siar teaser model naked baru – Super Duke 2020?

    Sementara jenama Jepun seperti Kawasaki, Yamaha dan Honda memilih untuk memperkenalkan model baru mereka di Tokyo Motorshow dalam masa beberapa minggu lagi, pengeluar Eropah pula ada yang memilih pameran motosikal EICMA yang akan berlangsung awal bulan hadapan. Ini termasuklah KTM.

    Syarikat dari Austria ini telah mengeluarkan teaser sebuah model Duke baru, dengan menunjukkan proses pemasangan di kilang. Bentuk penuh motosikal tersebut tidak dapat dilihat, dan hanya akan didedah pada 5 November, tetapi anda boleh menyaksikan beberapa kelengkapan yang sedang dipasang.

    Antaranya termasuk panel gentian karbon, kerangka warna oren, suspensi belakang boleh laras sepenuhnya, lengan ayun single sided, brek Brembo serta rim lebar yang tertulis #getduked. Sudah jelas ini adalah model baru naked daripada KTM kerana menggunakan tema Duke, dan ia bukanlah model kapasiti rendah.

    KTM siar teaser model naked baru – Super Duke 2020?

    Walaupun banyak khabar angin tentang model Duke lain, ramai menjangkakan model dalam video ini adalah Super Duke kerana ditunjukkan dengan kelengkapan prestasi tinggi seperti lengan ayun single sided, panel badan gentian karbon serta suspensi boleh laras sepenuhnya.

    Super Duke 1290 sekarang menggunakan enjin dua silinder V 1,301 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa hingga 174 hp dan 141 Nm tork. Digelar sebagai The Beast, model ini juga datang dengan kelengkapan elektronik seperti Motorcycle Traction Control (MTC) dengan Cornering ABS, Supermoto Mode, tiga mod tunggangan, Cruise Control, sistem pemerhati tekanan angin tayar (TPMS) dan sistem tanpa kunci.

     
     
  • Nissan Nikaijaya Resource KL pengedar ETCM pertama di Malaysia terap Nissan Retail Concept (NRC)

    Nissan Nikaijaya Resource KL pengedar ETCM pertama di Malaysia terap Nissan Retail Concept (NRC)

    ????????????????????????????????????

    Setelah diumumkan di Jepun pada tahun lalu, kini konsep baharu fasiliti pengedar Nissan yang akan digunakan di seluruh dunia digelar Nissan Retail Concept (NRC) telah tiba di Malaysia secara rasmi, dan Nikaijaya Resource (KL) Sdn Bhd merupakan pengedar pertama Nissan di Malaysia yang menggunakan konsep tersebut.

    Menurut wakil Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), NRC yang yang mengadaptasi elemen seperti dinding kaca bersama bumbung berwarna perak serta latar belakang logo Nissan yang ikonik bakal memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.

    Bilik pameran yang terletak hanya 700 meter dari Plaza Tol Damansara ini mempunyai keluasan 6,556 kaki persegi dan mampu untuk mempamerkan sehingga lima model Nissan baharu dalam satu-satu masa. Direka dengan konsep ‘Nissan Drive’, ia dilengkapi dengan ruang jualan dan rundingan, serta mempunyai kemudahan lain seperti ruang parkir yang mencukupi untuk pelanggan dan barisan kenderaan pandu uji, ruang rehat pelangan yang moden seperti sebuah kafe, wifi percuma dan juga sudut kanak-kanak.

    “Nissan Retail Concept (NRC) mengadaptasi cara terbaru persekitaran perniagaan kami. Ia membuktikan komitmen kami dalam memberikan pengalaman berkualiti tinggi kepada pelanggan sebaik sahaja mereka sampai di bilik pameran. Kami akan terus mengembang dan meningkatkan rangkaian bilik pameran Nissan demi memastikan mereka mempunyai akses lebih baik dalam usaha memenuhi permintaan yang kian meningkatkan terhadap kenderaan jenama Nissan,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan.

    Nissan Nikaijaya Resource beroperasi setiap hari. Dari Isnin hingga Jumaat ia akan dibuka dari 9.30 pagi hingga 6.30 petang. Pada hari Sabtu ia juga dibuka bermula 9.30 pagi tetapi ditutup sedikit lebih awal iaitu pada 6.00 petang. Manakala pada hari Ahad dan cuti umum, ia akan beroperasi dari 9.30 pagi hingga 5 petang.

    Bilik pameran berkenaan akan mengadakan Karnival Pandu Uji Nissan bermula 19 hingga 20 Oktober ini. Sepanjang karnival tersebut, anda berpeluang untuk memandu uji kereta elektrik sepenuhnya Nissan Leaf serta akan dihidangkan dengan pelbagai tawaran menarik ke atas model-model Nissan serta aktiviti pelbagai aktiviti lain untuk seisi keluarga.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024