Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Driven Movie Night: Pas percuma filem Hobbs & Shaw

    Driven Movie Night: Pas percuma filem <em>Hobbs & Shaw</em>

    Siri filem Fast & Furious kembali lagi ke layar perak dengan lanjutan terbarunya, Hobbs & Shaw yang dibintangi oleh Dwayne Johnson dan Jason Statham. Kembara terbaru ini membawa kedua-dua mereka mengelilingi dunia, dan anda boleh ikut serta menontonnya secara percuma dengan peraduan Driven Movie Night.

    Sejak awal pertembungan Luke Hobbs (Dwayne), yang merupakan seorang agen Perkhidmatan Keselamatan Diplomatik AS bersama penjenayah terkenal Deckard Shaw (John) juga seorang bekas anggota tentera elit British di dalam Furious 7 pada 2015, suasanan di antara keduanya sentiasa tegang.

    Tetapi, selepas Brixton Lore (Idris Elba) muncul, seorang anarkis yang mula mengawal ancaman bio yang boleh mengubah nasib kemanusiaan selamanya, dan disertai pula oleh agen M16 yang berpaling tadah dibawakan oleh Vanessa Kirby yang kebetulan adik kepada Shaw, kedua-dua musuh itu terpaksa bekerja sama untuk menentang musuh baru yang menjengkelkan itu.

    Hobbs & Shaw akan mula ditayangkan di panggung pada 1 Ogos ini, tetapi anda berpeluang untuk menontonnya lebih awal pada Rabu, 31 Julai, 9.15 pm di GSC Mid Valley. Kami ingin memberikan lima pasang pas masuk percuma – 10 tiket keseluruhannya – ehsan dari United International Pictures Malaysia.

    Anda hanya perlu menonton sedutan filem ini dan jawab dua soalan mudah. Sertai peraduan ini untuk menonton Hobbs & Shaw secara percuma bersama kami!

    *Tarikh tutup peraduan ialah pada 23 Julai 2019. Pemenang akan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Rabu, 24 Julai 2019. Keputusan adalah muktamad, sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan akan berlangsung pada Rabu, 31 Julai 2019, 9.15pm di GSC Mid Valley. Pemenang perlu menuntut tiket mereka di lokasi berkenaan sejam sebelum tayangan. Oleh kerana lokasi tayangan, peraduan ini terbuka untuk mereka yang berada di Lembah Kelang sahaja.

     
     
  • Hennessey Goliath 6×6 – keluaran terhad 24 unit saja

    Hennessey Goliath 6×6 – keluaran terhad 24 unit saja

    Syarikat pengubah suai dari Amerika Syarikat iaitu Hennessey Performance (HPE) selalu tidak menghampakan dengan hasil kerja mereka. Goliath 6×6 ini adalah contoh terbaru dan unit produksi pertamanya akan diserah kepada pemilik ladang kentang terbesar di Wisconsin, Bob Berrard.

    Model ini menggunakan asas daripada trak pikap Chevrolet Silverado Trail Boss Z71, dan ia telah menerima ubah suai menyeluruh yang ekstrem termasuk tambahan gandar, roda dan set brek. Disebabkan ia sudah mempunyai dua gandar di belakang, suspensi serta ruang barangan juga perlu diubah. Tidak cukup dengan itu, ia ditinggikan lagi lapan inci dan menggunakan rim 20 inci yang dibalut tayar offroad 37 inci.

    Untuk melengkapkan penampilannya, trak ganas ini dipasang dengan pelekat grafik khas, bersama rollbar, lampu LED dan bampar rekaan sendiri Hennessey. Untuk bahagian dalam pula, nama model ini disulam pada penyandar tempat duduk, mengingatkan penggunanya mereka sedang naik sebuah model yang istimewa.

    Untuk enjin model contoh di dalam gambar ini yang menggunakan unit V8 6.2 liter dengan kuasa 420 hp dan 624 Nm tork secara terus dari kilang, ia hanya diusik sedikit sahaja, iaitu dengan perubahan salur udara serta sistem ekzos stainless steel. Itu sahaja sudah menambah 30 hp lagi. Selain daripada itu, HPE juga ada menawarkan pakej HPE700 Supercharged, yang datang dengan sistem supercharger 2.9 liter, dan menawarkan kuasa sebanyak 705 hp, ataupun naik taraf enjin lain untuk menghasilkan 808 hp.

    Harga permulaan Goliath 6×6 ini adalah USD375,000 (RM1,542,637), dan ia termasuk dengan kenderaan asas yang akan diubah suai untuk menjadikannya istimewa. Kenderaan ini juga boleh dibeli oleh sesiapa sahaja dari mana-mana negara tetapi pengeluaran cuma terhad kepada 24 unit sahaja.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan Jun 2019 turun hingga 30%

    MAA: Jualan kenderaan Jun 2019 turun hingga 30%

    Laporan terbaru oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jumlah jualan kenderaan bagi bulan Jun 2019 telah turut sebanyak 30% berbanding bulan Mei, dan kurang 34% berbanding tempoh sama tahun lalu. TIV semasa bagi bulan yang sama bagaimanapun naik 2.8% dari 2018.

    Data berkenaan memaklumkan keseluruhannya cuma 42,526 kenderaan yang terjual sepanjang Jun 2019. Jika dibandingkan dengan Mei, sebanyak 60,780 unit kenderaan telah dicatatkan terjual. Perbezaan ini melibatkan sebanyak 18,254 unit kenderaan.

    Angka lebih rendah dicatatkan jika membandingkannya dengan tempoh sama tahun lalu, yang menyaksikan sebanyak 64,465 unit kenderaan terjual. Perbezaan itu diterjemahkan kepada 34% penyusutan, atau 21,939 unit. Ini bagaimanapun jelas disumbangkan oleh tempoh tanpa cukai GST yang bermula pada Jun 2018.

    Bagi Julai 2019 pula, MAA optimis ia akan memberikan angka yang lebih baik berbanding Jun lalu, walaupun dijangkakan masih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali lagi disebabkan tempoh cuti cukai yang berlangsung.

     
     
  • Proton hadiahkan SUV X70 kepada YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

    Proton hadiahkan SUV X70 kepada YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

    Pada 16 Julai lalu, Proton berbesar hati menyampaikan seunit SUV X70 kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

    Berita ini telah dikongsikan sendiri oleh Proton menerusi laman Facebook rasmi mereka beberapa jam yang lalu. Proton memilih varian tertinggi X70 Premium 2WD dalam rona putih untuk dihadiahkan khas kepada DYMM Seri Paduka Baginda.

    Menurut Proton, majlis penyampaian serba ringkas itu disempurnakan oleh Datuk Seri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton dan turut diiiringi beberapa pengurus kanan syarikat pengeluar kereta nasional tersebut. Malahan DYMM Seri Paduka Baginda juga turut meluangkan masa melihat dengan lebih dekat SUV tersebut bersama pengurusan Kanan PROTON selain diberikan penerangan serba ringkas mengenainya.

    Sejak dilancarkan pada 12 Disember tahun lalu, sehingga kini, X70 telah diangkat sebagai SUV segmen-C yang paling laris di pasaran. Ia bukan sahaja mendominasi pasaran SUV di Malaysia, malah turut menjadi penyumbang tertinggi dalam angka jualan bagi Proton dalam tempoh enam bulan pertama 2019.

    Malah X70 juga bakal dipasarkan di sini sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) dan dipasang di kilang Proton di Tanjung Malim. Unit CKD berkenaan dijangka akan dilancarkan pada penghujung tahun ini dengan menawarkan harga yang lebih kompetitif berbanding unit CBU yang dibawa masuk dari China.

    Buat masa ini, barisan X70 yang terdiri daripada varian asas Standard 2WD dijual pada harga RM99,800, manakala varian Executive 2WD berharga RM109,800, varian Executive AWD berharga RM115,800 dan varian tertinggi Premium 2WD berharga RM123,800. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan, tanpa insuran, termasuk waranti lima-tahun/150,000 km.

     
     
  • GIIAS 2019: Toyota Supra A90 dilancarkan di Indonesia – 3.0L turbo 6-silinder sebaris, harga hampir RM600k

    GIIAS 2019: Toyota Supra A90 dilancarkan di Indonesia – 3.0L turbo 6-silinder sebaris, harga hampir RM600k

    Toyota Supra A90 telah pun dipertontonkan di Thailand pada Mac lalu sebelum ia memasuki pasaran negara ASEAN. Beberapa hari lalu pula, ia dilancarkan di Filipina dan hari ini tiba pula giliran Indonesia untuk menerima kemasukan jentera sport ini. Ia dilancarkan sempena Gaikindo Indonesia International Auto Show 2019. Untuk Malaysia, UMW Toyota Motor telah memaklumkan Supra A90, juga akan tiba di negara kita pada tahun ini juga.

    Di Indonesia, Supra generasi kelima – menggunakan asas sama dengan BMW Z4 G29 – ditawarkan dengan enjin paling berkuasa 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo dengan hamburan kuasa 340 PS dan 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Enjin B58 BMW tersebut dipadankan dengan transmisi automatik konvensional ZF lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang. Pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 4.3 saat.

    Untuk pasaran negara lain, terdapat dua lagi pilihan enjin yang ditawarkan. Di Jepun, barisan A90 bermula dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder berkuasa 197 PS dan tork 320 Nm dari 1,450 hingga 4,200 rpm. Enjin yang sama juga ditawarkan dengan talaan kuasa yang lebih tinggi, mampu menghamburkan output sehingga 258 PS dan 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Ia boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j, masing-masing dengan catatan 6.5 saat dan 5.2 saat.

    Bagi pasaran Indonesia, harga rasminya masih belum diumumkan. Menurut Toyota Astra Motor, harganya mungkin sekitar Rp 2 miliar (RM589,869). Jadi, kalau ia tiba di Malaysia kelak, jangan pula mengharapkan harganya lebih rendah berbanding itu, BMW Z4 sDrive30i (258 PS/400 Nm) pun berharga RM457k. Tak sabar pulak nak tunggu Supra A90 ini tiba di Malaysia!

    GALERI: Toyota Supra untuk pasaran Jepun

     
     
  • GALERI: W213 Mercedes-Benz E200 SportStyle Avantgarde 2019 – varian permulaan berharga RM330k

    GALERI: W213 Mercedes-Benz E200 SportStyle Avantgarde 2019 – varian permulaan berharga RM330k

    Pada bulan Mac lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan barisan E-Class W213 baru untuk pasaran tempatan tetapi varian E 200 SportStyle Avantgarde masih belum ada di pusat pameran. Sekarang, ia sudah tiba dan kami bawakan kepada anda galerinya. Varian permulaan bagi E-Class ini dijual pada harga RM329,888 tidak termasuk insurans.

    Kuasa penggerak model ini datang daripada enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter M264, yang digabungkan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic, menghasilkan 194 hp (197 PS) pada 5,500 rpm dan 320 Nm tork dari 1,650 hingga 4,000 rpm yang dihantar kepada roda belakang.

    Untuk kelengkapan, E 200 datang dengan pakej Avantgarde, dan bahagian luarnya ditingkatkan lagi dengan pakej SportStyle. Perincian pakej ini termasuk kemasan krom bawah bampar dan kemasan krom gelap berkilat pada bampar belakang. Barangan bahagian luar lain yang diberikan standard adalah rim 18 inci, lampu utama LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist dan kamera undur.

    Masuk ke dalam, tempat duduk dan beberapa bahagian lain dibalut dengan kulit Artico, serta terdapat kemasan aluminium carbon-grain dan kayu liang terbuka di konsol tengah. Anda juga akan menerima sistem kawalan suhu Thermatic, dua panel paparan 12.3 inci, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan lampu suasana.

    Untuk bahagian infotainmen, terdapat unit Audio 20 yang disokong dengan Android Auto dan Apple CarPlay, dan ia boleh dikawal menggunakan pad sesentuh yang diletakkan di konsol tengah atau pad Touch Control pada stereng yang dibalut dengan kulit Nappa. Pada ciri keselamatan, ia dilengkapi Blind Spot Assist, Active Brake Assist and Active Parking Assist.

     
     
  • Perodua bekerjasama dengan Daihatsu tingkatkan penglibatan pembekal tempatan untuk pasaran global

    Perodua bekerjasama dengan Daihatsu tingkatkan penglibatan pembekal tempatan untuk pasaran global

    Perodua memaklumkan, ketika ini syarikat berkenaan sedang bekerjasama dengan Daihatsu untuk membangunkan rangkaian pembekal komponen untuk membuka peluang kepada mereka membekalkan komponen mereka untuk kegunaan kenderaan Daihatsu dan seterusnya menembusi pasaran luar pula. Ini merupakan usaha Perodua untuk membantu mengembangkan lagi indsutri automotif sokongan negara ini.

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kemampuan pembekal atau vendor tempatan Perodua semakin membanggakan kini, dengan dua daripada pembekal syarikat itu telah terpilih untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian pembekal global untuk Daihatsu. Dari segi daya saing, pembekal tempatan berada sama tahap dengan pembekal-pembekal dari Indonesia. Mengulas lanjut tentang perkara ini, beliau memaklumkan, dua pembekal yang terpilih itu terlibat di dalam penyediaan komponen berkaitan elektronik untuk Daihatsu.

    Keperluan pasaran tempatan yang menerima semakin banyak permintaan juga menyumbang kepada keperluan agar pembekal-pembekal Perodua meningkatkan tahap operasi dan kualiti komponen yang dikeluarkan dan memberi kesan langsung kepada kitaran sistem automotif keseluruhannya. “Bagi enam bulan pertama 2019, Perodua membuat pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion,” jelas beliau.

    Perodua bekerjasama dengan Daihatsu tingkatkan penglibatan pembekal tempatan untuk pasaran global

    Jumalah itu mewakili peningkatan 17.4% bagi tempoh sama tahun lalu. Dengan sasaran jualan tahunan yang dinaikkan untuk tempoh penuh tahun ini, pembelian komponen juga dijangka akan meningkat kepada RM5.4 bilion, 12.5% lebih tinggi berbanding RM4.8 bilion yang dicatat pada 2018. Hal ini dijangka akan berkembang lebih lagi pada tahun 2020 kepada nilai RM6 bilion.

    Perodua juga telah menjalinkan kerjasama di dalam aktiviti pembangunan pembekal, termasuk membangunkan R&D untuk pembekal serta syarikat usaha sama. Sebagai contoh, usaha sama antara Azman Hamzah Plastik dan Sakamoto Industry untuk pengeluaran tangki minyak plastik, serta Autokeen dan H-One Co untuk pengeluaran bahagian pembuatan pada 2017 dan tidak ketinggalan antara Suria dan Namicoh untuk tujuan sama, yang bermula tahun ini.

     
     
  • GIIAS 2019: Daihatsu HY Fun Concept muncul pertama kali – MPV hibrid yang akan gantikan Avanza/Xenia?

    GIIAS 2019: Daihatsu HY Fun Concept muncul pertama kali – MPV hibrid yang akan gantikan Avanza/Xenia?

    Pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2019 mula dibuka hari ini untuk media, dan wakil kami Danny Tan membuat liputan dari sana. Jadi, model konsep pertama yang akan ditinjau ialah Daihatsu HY Fun Concept, yang singkap sebentar kain penutupnya untuk Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla pagi tadi dan akan diperkenalkan secara rasmi petang ini.

    Model ini menampilkan rekaan sebuah MPV futuristik dengan sistem janaan hibrid, memberi gambaran kepada langkah seterusnya yang akan diambil oleh Daihatsu kelak. Memandangkan Daihatsu di Indonesia (dan Perodua di sini) menjual kenderaan mampu milik untuk pasaran meluas, maka teknologi eco yang digambarkan ini tentulah akan menjadi lebih realistik pada harga yang boleh dicapai ramai orang.

    Jika dilihat, perkembangan ini juga selari dengan perkongsian yang dilakukan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad semalam bahawa Perodua juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan hibrid, dan bukannya terus kepada kenderaan elektrik. Jadi, pilihan paling ideal untuk teknologi eco seterusnya tentulah hibrid.

    GIIAS 2019: Daihatsu HY Fun Concept muncul pertama kali – MPV hibrid yang akan gantikan Avanza/Xenia?

    Daihatsu HY Fun Concept ini menempatkan enam-tempat duduk dalam tiga barisan serta permainan maya untuk penumpang. Iras sebenar kenderaan ini boleh dilihat dipinjam daripada Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia. Maka, bolehlah dikira model ini sebagai petunjuk kepada kenderaan generasi baru yang sedang dinilai oleh Daihatsu.

    Menggunakan asas Daihatsu New Global Architecture (DNGA), MPV ini tampil dengan rekaan lebih kemas dan “tajam”, dengan garis bumbung yang rendah dan panel badan beralun – lari daripada rekaan serba ringkas yang ada pada Avanza/Xenia ketika ini. Boleh bayangkan model yang akan terhasil daripada rekaan konsep ini nanti?

     
     
  • Honda ADV 150 didedah di GIIAS 2019 – banyak pengaruh rekaan dan ciri seperti X-ADV 750

    Honda ADV 150 didedah di GIIAS 2019 – banyak pengaruh rekaan dan ciri seperti X-ADV 750

    Bukan sekadar khabar angin lagi, akhirnya model skuter terbaru daripada Honda telah dipertontonkan buat kali pertama di dunia semasa pameran GIIAS 2019 di Indonesia. Ia menggunakan nama ADV 150, cuma kekurangan satu huruf berbanding ‘abangnya’ X-ADV 750.

    Rakan sekerja kami yang berada di sana telah berjaya mendapatkan galeri motosikal baru yang bakal memberi saingan sengit kepada Yamaha Aerox (dipanggil NVX155 di negara kita) ini, namun spesifikasinya masih belum diterima. Daripada namanya, kita boleh mengetahui skuter baru ini mempunyai kapasiti enjin sekitar 150 cc.

    Seperti yang boleh dilihat, ADV 150 membawa konsep rekaan tinggi seperti X-ADV 750, dan kesemua lampunya kelihatan seperti unit LED dengan terdapat jalur lampu siang seperti kening di hadapan. Sebagai sebuah skuter yang lebih kecil, ciri lasaknya turut dikurangkan sedikit tetapi masih kekal menarik dalam segmennya.

    Sebagai contoh, rim ADV 150 ini menggunakan jenis aloi yang bersaiz 14 inci dengan tayar bersaiz 110/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tiada penghadang tangan, pelindung angin hadapannya lebih rendah dan fork hadapan adalah jenis teleskopik.

    Namun jika dibandingkan dengan skuter lain dalam segmennya, ADV 150 ini masih cukup menarik bukan sahaja kerana rekaannya tetapi juga ciri seperti brek cakera depan dan belakang dengan angkup Nissin, suspensi Showa dengan tabung di belakang, brek ABS, tempat duduk luas serta panel meter LCD yang mirip seperti X-ADV 750.

    Kami akan menambah perincian spesifikasi apabila ia sudah diterima nanti, tapi jangkaannya, ADV 150 ini menggunakan enjin yang sama seperti Vario iaitu unit satu siilnder 149.3 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan mampu menghasilkan 12.9 hp pada 8,500 rpm serta 13.4 Nm tork pada 5,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik V-Matic. Ia juga kelihatan mempunyai ciri Idling Stop dengan suis di bahagian kanan pemegang.

     
     
  • Nissan Serena C27 facelift tampil muka lebih menonjol

    Nissan Serena C27 facelift tampil muka lebih menonjol

    Nissan Serena C27 masih terasa seperti baru di negara kita, dengan dilancarkan pada bulan Mei tahun lalu. Walaubagaimanapun, Nissan di Jepun telah mendedahkan kepada orang ramai versi facelift bagi MPV ini di laman web mereka, dalam dua varian yang mempunyai perubahan rekaan jelas.

    Model pertama berwarna merah menggunakan rekaan lebih santai, menampilkan gril V-Motion yang lebih kemas dengan jalur krom melintang nipis, dan rekaan bersilang dalam gril itu kelihatan lebih berdimensi berbanding model sebelumnya. Bucu krom pada gril itu kini bersambung dengan jalur krom pada lampu utama, menjadikan ia kelihatan lebih rapat.

    Selain daripada itu, bahagian bawah gril ini juga turut berubah, dengan tiada lagi jalur V krom besar, dan membuatkan bampar seperti terpisah. Hujung bampar turut diubah dengan bukaan udara berbentuk C dan kelihatan tiada lampu kabus pada versi ini, menunjukkan ia mungkin varian asas.

    Nissan Serena C27 facelift tampil muka lebih menonjol

    Tapi kami tahu, anda sebenarnya mahu bercakap tentang versi yang menggunakan gril krom besar itu kan? Berdasarkan apa yang boleh ditemui dalam laman web, gril yang mempunyai tujuh jalur putus-putus itu dipasang terus dari kilang dan mungkin untuk varian yang lebih mahal seperti Serena e-Power. Ini adalah kali pertama gril V-Motion diberi sentuhan menonjol sebegitu.

    Grafik lampu utama varian ini juga kelihatan serba baru, dengan kombinasi unit projector dan reflector, bersama lebih banyak kemasan krom. Varian ini juga mempunyai lampu kabus dengan kemasan hitam berkilat di keliling serta hujung bamparnya. Perubahan lain adalah termasuk bampar belakang, lampu belakang serta rekaan rim yang diubah.

    Masuk ke dalam, bahagian kabin nampak seperti tidak disentuh. Gambar yang anda lihat ini adalah Serena e-Power, iaitu model yang datang dengan penukar gear elektronik unik, brek parkir elektro-mekanikal (Serena biasa menggunakan brek parkir di kaki), butang pemula enjin warna biru serta Brake-Hold Assist automatik.

    Nissan Serena C27 facelift tampil muka lebih menonjol

    Laman web Nissan Jepun juga menunjukkan beberapa pilihan warna bahagian dalam. Model yang menggunakan balutan fabrik disediakan dengan tiga skema warna – kelabu dan hitam, hitam dan burgundy, serta beige. Kulit premium berwarna hitam digunakan untuk varian paling mahal.

    Selain daripada itu, tiada perubahan yang dapat dilihat. Serena ini masih dikuasakan oleh enjin sama seperti pada model sekarang iaitu unit petrol empat silinder 2.0 liter MR20DD serta petrol tiga silinder HR12DE untuk Serena e-Power. Enjin 2.0 liter dipadankan bersama transmisi Xtronic CVT dan mampu menghasilkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Untuk bahagian keselamatan, Serena baru ini akan mendapat pakej Nissan Intelligent Mobility, dengan tambahan ciri Adaptive Cruise Control dengan brek kecemasan pintar, lampu utama LED adaptif, Rear Cross Traffic Alert, dan brek kecemasan sekiranya tersalah tekan pedal.

     
     
  • Mazda 2 facelift 2019 didedahkan – wajah baharu iras Mazda 6, ciri pemanduan turut dipertingkatkan

    Mazda 2 facelift 2019 didedahkan – wajah baharu iras Mazda 6, ciri pemanduan turut dipertingkatkan

    Imej Mazda 2 facelift 2019 yang bocor semalam bukanlah cerita fantasi, sebaliknya realiti yang memberikan gambaran bagi model baharu berkenaan. Secara teknikalnya, ia merupakan peningkatan kali kedua bagi model segmen-B itu, dan ternyata dengan imej baharu yang ditampilkan menggambarkan ia telah diberi penambahbaikan yang lebih komprehensif.

    Dijadual bakal dijual di Jepun pada 12 September ini, model berkenaan diberikan sentuhan baharu bagi bahagian wajah hadapannya yang ternyata seiras dengan Mazda 6 facelift. Gril dengan lingkaran krom yang lebih tebal dan disambung pula pada lampu utama.

    Lampu LED standard juga telah direka semula, menjadi lebih langsing dan tajam. Buat pertama kali bagi Mazda 2, ia menerima lampu utama LED adaptif sebagai pilihan, dengan membenarkan pemandu mengawal sudut lampu tinggi untuk mengelakkan pengguna jalan raya lain silau. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED di sekeliling projektor.

    Mazda 2 facelift 2019 didedahkan – wajah baharu iras Mazda 6, ciri pemanduan turut dipertingkatkan

    Corong udara yang lebih rendah dan langsing dan juga chrome fillet juga diadaptasikan dari model Mazda 6. Jaluran krom merentasi bahagian belakang kereta, malah turut menampilkan grafik lampu belakang baharu. Roda 16-inci pelbagai-jejari baharu juga melengkapkan lagi gaya Mazda 2 2019 ini.

    Perubahan minimum diberikan untuk bahagian dalaman, dengan pilihan warna dan kemasan yang dipertingkatkan. Selain itu, sistem infotainmen Mazda Connect kini berkeupayaan menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, dan Mazda berkata penebat bunyi kenderaan juga telah dipertingkatkan untuk membuatkan kabin lebih senyap.

    Mazda 2 2019 ini juga menerima sentuhan binaan SkyActiv-Vehicle Architecture baharu termasuk mereka semula tempat duduk bagi mempertingkatkan posisi tubuh dan keselesaan. Suspensi juga telah disemak semula untuk keselesaan pemanduan, walau pun tidak dinyatakan secara terperinci apa yang diubah. Turut ditambah ialah G-Vectoring Control-Plus (GVC Plus) yang dipertingkatkan, serta menambah kuasa brek tangan untuk mengekalkan kestabilan kenderaan terutamanya bila keluar dari selekoh.

    Mazda 2 facelift 2019 didedahkan – wajah baharu iras Mazda 6, ciri pemanduan turut dipertingkatkan

    Salah satu perubahan terbesar ialah melibatkan aspek keselamatan dengan kehadiran Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi stop/go, walau pun tanpa brek tangan elektrik membuatkan pemandu masih perlu menekan pedal brek bila diperlukan. Malah Sistem Bantuan Kekal-Lorong (LAS) turut ditawarkan secara pilihan.

    Mazda 2 2019 ini masih dijanakan oleh enjin petrol yang sama iaitu 1.3 liter suntikan-terus SkyActiv-G (93 PS/123 Nm) dan juga 1.5 liter SkyActiv-D turbodiesel (105 PS/250 Nm), dengan sistem i-Eloop yang sebelum ini ditawarkan untuk varian diesel, kini didatangkan secara pilihan untuk varian petrol juga.

     
     
  • Honda CR-V Mugen di M’sia – 300 unit, dari RM153k

    Honda CR-V Mugen di M’sia – 300 unit, dari RM153k

    SUV lima-tempat duduk Honda CR-V Mugen Edisi Terhad kini mula dijual untuk pasaran Malaysia. Hanya terhad kepada 300 unit, ia berdasarkan varian 1.5L Turbo 2WD dan dijual pada harga RM152,900 bagi warna luaran Passion Red Pearl, atau RM153,300 bagi warna White Orchid Pearl – harga atas jalan tanpa insurans.

    Honda CR-V Mugen Concept sebenarnya pernah dipamerkan dua kali di Malaysia sebelum ini, pertama ketika KLIMS 2018 dan kali kedua ketika Malaysia Autoshow 2019. Walaupun dalam penampilan kedua itu model berkenaan menggunakan rim 19-inci MDR dari Mugen, versi yang dijual ini bagaimanapun menggunakan rim 18-inci dari versi standard.

    Seperti model konsep berkenaan, bahagian bawah bampar kini juga diberikan warna badan, sama juga pada bahagian bawah bampar belakang. Kemasan gril juga ada perbezaan. Tidak lupa, lencana Mugen turut menghiasi versi ini.

    Bahagian dalam pula kekal dengan kemasan warna hitam serta perincian kayu, sama seperti versi stadnard. Sensor parkir empat penjuru dan pengilap cermin automatik juga kekal sama ditawarkan. Lain-lain kelengkapan standard adalah termasuk lampu utama, DRL dan lampu kabus jeins LED, paddle shifter, skrin LCD TFT berwarna, sistem pendingin hawa dua-zon serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Dari sudut keselamatan, ia hadir dengan enam beg udara, VSA dan bantuan mula mendaki, auto brake hold dan cagak Isofix di belakang. Enjin 1.5 liter turbo berkenaan menghasilkan 193 PS pada 5,600 rpm dan 243 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm yang disalurkan melalui transmisi CVT ke roda depan.

     
     
  • Peugeot 3008 1.6 THP buatan Gurun ke Filipina

    Peugeot 3008 1.6 THP buatan Gurun ke Filipina

    Naza Automotive Manufacturing (NAM) mengumumkan telah memulakan operasi eksport serantau. Malah kumpulan pertama model Peugeot 3008 yang dipasang di kilangnya di Gurun, Kedah, sedang dalam perjalanan ke Filipina dan dijangka tiba pada penghujung bulan ini.

    Peugeot 3008 untuk pasaran Malaysia pada masa ini adalah unit import sepenuhnya, dengan menawarkan dua varian – Active THP dan Allure THP. Kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol 1.6 liter THP 165 S&S pengecas turbo empat-silinder, yang mampu memberikan output sejumlah 165 hp dan tork 240 Nm, dengan dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

    Filipina merupakan negara ASEAN pertama yang menerima kenderaan yang diproduksikan oleh NAM di bawah AFTA, ujar Noël, CEO Naza Automotive Manufacturing, sambil menambah lebih banyak kereta yang akan dieksport ke lain-lain negara ASEAN dalam masa terdekat ini.

    Peugeot 3008 1.6 THP buatan Gurun ke Filipina

    Groupe PSA dan Naza Corporation Holdings telah memeterai perjanjian perkongsian jualan dan kerjasama untuk operasi kilang NAM di Gurun, menjadikannya hab pembuatan pertama di rantau ini bagi pengeluar kereta Perancis tersebut. Menerusi perjanjian itu, Groupe PSA mempunyai pegangan saham sebanyak 56%.

    Peugeot 3008 merupakan model berasaskan EMP2 pertama yang diproduksi di kilang Gurun, dan bakal disertai oleh Peugeot 5008 1.6 THP, bersama dengan 3008 pemasangan tempatan. Ini membuatkan kilang terbabit disasarkan mampu menghasilkan sejumlah lebih 4,000 unit menjelang tahun 2023 untuk dieksport ke Filipina, menurut Noël. Bagi pasaran Filipina, model-model terbabit akan melibatkan unit pemanduan sebelah kiri.

    Sehingga Februari lalu, kilang NAM mempunyai 450 orang tenaga kerja dan kapasiti pengeluarannya boleh mencecah 50,000 unit setahun. Dengan aktiviti eksport PSA untuk rantau ini, jumlah yang disasarkan oleh NAM adalah 18,000 unit bagi tahun ini dan 21,000 unit pada 2020.

     
     
  • Perodua sasar naikkan jumlah eksport sebanyak 50%

    Perodua sasar naikkan jumlah eksport sebanyak 50%

    Dalam taklimat media yang disampaikan semalam, Perodua turut memberi tumpuan terhadap rancangan eksport syarikat itu untuk masa hadapan. Tahun lalu, sejumlah 2,184 unit kenderaan telah berjaya dieksport. Untuk tahun ini, sasaran pertumbuhan yang ingin dicapai ialah sebanyak 50%, dengan jumlah berkenaan meningkat kepada 3,270 unit untuk dihantar ke pasaran luar.

    Sebahagian besar jumlah eksport ini akan ke Indonesia, yang ketika ini merupakan pasaran eksport terbesar untuk Perodua melalui model Myvi, yang dijenamakan semula sebagai Daihatsu Sirion di sana. Jumlah eksport bagi tempoh separuh pertama ke negara itu setakat ini telah meningkat 72% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan 1,030 unit telah dihantar. Sasarannya, 2,170 unit akan dihantar ke Indonesia tahun ini.

    Eksport ke Sri Lanka juga meningkat, dengan 344 unit kenderaan telah dihantar ke sana bagi enam bulan pertama 2019, berbanding 212 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Brunei dan Singapura juga catatkan kenaikan, terutama selepas pengenalan Myvi pada April lalu. Lain-lain negara yang turut menjadi pasaran eksport bagi Perodua ketika ini ialah Fiji dan Mauritius. Jun lalu, Axia pula mula dipasarkan ke Seychelles, dengan empat varian ditawarkan di negara kepulauan Afrika itu.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Mazda 3 2019 di M’sia – dari RM140k

    Mazda 3 2019 terkini sudahpun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Dibawa masuk sebagai model CBU dari Jepun, terdapat tiga varian yang ditawarkan; 1.5L, 2.0 High dan 2.0L High Plus. Ini kemudiannya diikuti pula dengan penawaran dua jenis rekabentuk, hatcback dan sedan, dengan varian 2.0L High hanya ada untuk versi sedan sahaja.

    Bagi model 1.5 liter, ia menggunakan enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G yang menghasilkan 114 hp dan tork maksima 150 Nm. Manakala model 2.0 liter pula dikuasakan oleh enjin empat-silinder tanpa turbo SkyActiv-G, dengan janaan 162 hp dan tork maksimum 210 Nm.

    Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyActiv-Drive pacuan roda hadapan. Malah semua model juga dilengkapi dengan G-Vectoring Control (GVC). Untuk paling varian asas 1.5 liter, ia menawarkan bagi versi sedan dan hatchback, dengan harga atas jalan RM139,620 tanpa insurans. Ia dilengkapi dengan lampu utama projektor LED dengan lampu nyalaan siang jenis-mentol, lampu belakang LED dan roda aloi 16-inci.

    Kabin dalamannya pula dilengkapi pendingin hawa zon-tunggal manual, paparan kluster instrumen digital TFT-LCD tujuh-inci, paparan tengah 8.8-inci yang disambung pada sistem infotainmen Mazda Connect dengan lapan pembesar suara, kemasan tempat duduk fabrik, head-up display, papan pemuka dan panel dalaman pintu dengan kemasan sentuhan lembut dan juga tempat duduk hadapan larasan manual.

    Model asas ini juga disediakan fungsi seperti cruise control, brek parkir elektronik lengkap dengan sistem brake hold dan juga mod pemanduan Sport yang akan menajamkan lagi respon pendikit dan menala semula karakter transmisi automatik. Selanjutnya, untuk mengetahui lebih mendalam tentang perbezaan penawaran pada Mazda 3 2019 ini, tonton video yang kami sediakan ini.

    Mazda 3 2.0L High Plus Hatchback 2019

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024