Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Geely Binyue PHEV bakal dilancar – mungkinkah akan diambil oleh Proton sebagai hibrid pertama mereka?

    Geely Binyue PHEV bakal dilancar – mungkinkah akan diambil oleh Proton sebagai hibrid pertama mereka?

    Apa yang anda lihat ini adalah Geely Binyue PHEV, iaitu versi plug-in hybrid bagi SUV segmen B yang sebelum ini telah dilancarkan di China dengan enjin petrol. Menurut media di sana, Binyue PHEV ini dijangka diperkenalkan untuk pasaran sana hujung bulan ini ataupun awal Jun nanti.

    Melalui imej ini anda boleh melihat kenderaan tersebut disambung kepada pengecas dan masuk kepada kenderaan di fender hadapan sebelah kiri. Selain bentuk bawah bampar dan lambang PHEV di belakang, bahagian lain semuanya kelihatan sama seperti Binyue versi enjin biasa. Ini termasuk juga bumbung hitam dan rim 18 inci itu.

    Bahagian dalam yang menurut Geely mendapat inspirasi daripada kokpit pesawat udara juga masih dikekalkan untuk model PHEV ini, tetapi pada bahagian konsol tengah terdapat tambahan tombol yang boleh dipusing untuk memilih mod pemanduan sama ada EV penuh atau Hybrid.

    Setakat ini berita yang tersebar mengatakan Binyue PHEV akan menggunakan padanan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor elektrik, pek bateri dan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Dengan kuasa yang dijangka mencecah 255 hp dan 415 Nm tork, SUV kompak ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan kalau menggunakan mod elektrik sahaja, ia boleh pergi sehingga 60 km.

    Binyue dibina atas platform modular BMA yang dibangunkan bersama dengan Volvo, dan versi enjin biasa ditawarkan dengan pilihan enjin empat-silinder 1.5 liter turbo suntikan bahan api terus bersama padanan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan, ataupun enjin 1.0 liter turbo dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan. Kuasanya masing-masing adalah 174 hp/255 Nm dan 134 hp/205 Nm.

    Binyue ini sudah tentu sedang dipersiapkan untuk pasaran kita, dan unit ujian sudah pun ditemui atas jalan sejak beberapa bulan yang lepas. Memandangkan sekarang sudah ada versi PHEV di tempat asalnya, mungkinkah nanti Proton akan membawanya ke sini untuk menjadikan ia sebagai kenderaan hibrid pertama mereka?

    GALERI: Geely Binyue

     
     
  • PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

    PANDU UJI: Nissan X-Trail 2019 – mampu menandingi penawaran dari jenama pesaing atau sebaliknya?

    Ketika ini, jika anda memang mengintai untuk memiliki sebuah SUV, pastinya Nissan X-Trail 2019 juga turut berada di dalam senarai untuk dipertimbangkan. Sejak dipertontonkan pada Mac lalu (dan kemudiannya dilancarkan dan mula dijual pada April 2019), telah banyak maklumat berkaitan model ini yang sudah dilaporkan.

    Sekiranya anda belum sempat meneliti dengan terperinci berkaitan SUV facelift terbaru daripada Nissan ini, kami sendiri telah menyediakan kandungan yang agak komprehensif mengenai model ini yang boleh anda capai terus. Antaranya ketika ia mula-mula dipertontonkan di Malaysia, perbezaan antara model lama dengan yang baru serta penawaran serta perbezaan spesifikasi antara varian yang ada kini.

    Bagi yang lebih gemar mendapatkan maklumat melalui medium video pula, jangan risau. Kami juga telah mempersiapkan beberapa siri video berkaitan Nissan X-Trail 2019 ini untuk anda. Antaranya, tinjauan awal dengan tumpuan kepada model hibrid, video berkenaan Nissan Intelligent Mobility, prestasi pecutan antara varian yang ada, perbezaan penawaran antara varian serta sesi pandu uji ringkas.

    Jadi, untuk laporan ini, kita hanya akan memberi tumpuan kepada pengalaman pemanduan tiga varian yang sempat kami cuba setakat ini; semua varian kecuali model 2.0L 2WD yang paling asas, yang mana dalam laporan ini bolehlah diwakilkan kepada versi 2.0L 2WD Mid. Tetapi, sebelum itu, elok kita tinjau dulu arah tuju jangka masa terdekat ini yang sedang dirancang oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan untuk pasaran Malaysia.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Tesla jangka bahan galian utama untuk bateri kereta elektrik mungkin terjejas akibat permintaan meningkat

    Tesla jangka bahan galian utama untuk bateri kereta elektrik mungkin terjejas akibat permintaan meningkat

    Trend automotif buat masa sekarang, pengeluar-pengeluar kenderaan kini nampaknya sedang aktif untuk beralih dari enjin yang dijana oleh bahan api fosil kepada penggunaan kuasa elektrik kerana undang-undang emisi yang semakin ketat diperkenalkan oleh negara-negara maju. Dengan perkembangan ini, pembuat kereta elektrik sepenuhnya dari Amerika Syarikat, Tesla menjangkakan bekalan bahan galian utama bagi pembinaan kereta jenis tersebut mungkin akan terjejas kerana permintaan yang terlalu tinggi, lapor Reuters.

    Menurut Tesla, bahan-bahan galian utama seperti nikel, tembaga dan juga material-material bagi menghasilkan komponen dalam bateri kereta elektrik ini akan terjejas bukan hanya disebabkan permintaannya yang semakin banyak, malah pelaburan yang kurang sektor-sektor perlombongan untuk komoditi berkenaan turut bakal menimbulkan masalah pada masa hadapan.

    Pengurus pembekalan global untuk logam bateri Tesla, Sarah Maryssael berkata ketika persidangan industri minggu lalu, syarikatnya mungkin akan berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan bahan-bahan galian pada masa hadapan.

    Tesla agak jarang memberikan pandangan mereka terhadap industri logam dikhalayak umum. Syarikat berkenaan melontarkan pandangan mereka ini pada persidangan tertutup antara pelombong, pengawal selia dan penggubal undang-undang, kerana ia berkisar cabaran pembekalan jangka masa panjang yang mungkin akan berlaku terhadap bahan-bahan tersebut.

    Tesla jangka bahan galian utama untuk bateri kereta elektrik mungkin terjejas akibat permintaan meningkat

    Industri tembaga telah mengalami kemerosotan berberapa tahun kebelakangan ini kerena kekurangan pelaburan, dan kini terpaksa merangkak untuk membina lombong-lombong baharu bagi menambah bekalan tembaga. Pengeluar tembaga terbesar dunia, Freeport-McMoRan kini sedang mengembangkan operasi mereka di Amerika Syarikat dan Indonesia.

    Situasi ini walau bagaimanapun tidak akan meningkat secara signifikant, kerana bahan-bahan berkenaan bukan sahaja menjadi rebutan dalam sektor automotif, malah ia juga diperlukan dalam industri lain. Sistem rumah pintar seperti termostat Nest dari Alphabet dan penolong peribadi Alexa dari Amazon dijangka akan bertumbuh secara cepat dan ia memerlukan sebanyak 1.5 juta tan tembaga menjelang 2030, berbanding hanya 38,000 tan sekarang.

    Menurut Maryssael, Tesla akan fokus terhadap nikel untuk produksi bateri mereka dan akan mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan kobalt untuk membuat katod bateri. Buat masa ini, kebanyakkan bekalan kobalt mereka diterima dari Republik Demokratik Congo, dan proses mengekstrak bahan tersebut menyebabkan ia tidak popular untuk digunakan dalam industri bateri. Tesla juga kini melihat potensi yang besar untuk bekerjasama dengan pelombong di Australia dan Amerika Syarikat.

     
     
  • Renault Kangoo Z.E Concept – petunjuk generasi baru

    Renault Kangoo Z.E Concept – petunjuk generasi baru

    Lebih 10 tahun yang dulu, Renault Malaysia ada menjual model Kangoo generasi pertama. Kami masih ingat ia adalah antara van kecil yang mempunyai pengendalian baik waktu itu, tapi sayangnya sekarang tiada model baru dipasarkan di Malaysia sedangkan di pasaran dunia Kangoo ini sudah memasuki generasi kedua dan mungkin akan masuk generasi ketiga tidak lama lagi.

    Untuk memberikan petunjuk awal kepada orang ramai bagaimana rupa Kangoo masa hadapan, Renault telah mendedahkan sebuah model konsep yang dinamakan sebagai Kangoo Z.E Concept. Dalam kenyataan yang dikeluarkan, ia dijangka dapat diperkenalkan untuk pasaran menjelang tahun 2020.

    Model konsep ini dianggap sebagai sebuah bengkel bergerak dan dipacu oleh motor elektrik. Muka hadapannya berbeza berbanding Kangoo sebelum ini, dan rekaan baru ini adalah dikongsi bersama dengan kenderaan komersial terbaru lain Renault. Kemudiannya, ia juga banyak menggunakan rekaan seperti kereta biasa.

    Renault Kangoo Z.E Concept – petunjuk generasi baru

    Ini antaranya boleh dilihat pada bahagian tepi, di mana Kangoo Z.E Concept ini mempunyai banyak lekuk termasuk pada pintu serta keliling roda. Walaupun begitu, Renault memberitahu, rekaan seperti ini tidak mengganggu luas ruang di bahagian dalamnya.

    Tiada sebarang perincian teknikal yang disiarkan untuk model konsep ini, tetapi kalau melihat kepada Kangoo Z.E elektrik yang dijual sekarang di Eropah, ia menggunakan motor elektrik 44 kW yang mampu menghasilkan sehingga 226 Nm tork. Motor ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 22 kWh dan boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 170 km.

     
     
  • Chevrolet Tahoe RST 2019 – SUV yang boleh drift

    Jika anda mahu lakukan aksi drift, SUV tentunya bukanlah sebuah kenderaan yang perlu dipilih. Bukan hanya kerana ianya lebih berat dari kereta, malah dengan tayar yang besar dan juga titik graviti yang tinggi tentu menyukarkan aksi berkenaan untuk dibuat.

    Namun pelumba drift professional dari Jordan, Ahmad Daham membuktikan dengan kemahiran bersama SUV yang betul, aksi drift masih boleh dilakukan walaupun dengan kenderaan sedemikian. Oleh itu, beliau memandu Chevrolet Tahoe RST, dan melakukan aksi drift di litar Yas Marina, Dubai.

    Jelas, dengan kuasa enjin V8 6.2 liter menjana 420 hp memacu roda belakang, SUV berkenaan tidak ada masalah bagi melakukan drift. Tambahan pula dengan suspensi yang ditala untuk pemanduan berprestasi tinggi bersama rim bersaiz 22-inci dibaluti tayar berprestasi tinggi, Tahoe RST berkenaan nampak begitu stabil ketika menggelangsar.

    Chevrolet Tahoe RST merupakan varian paling berkuasa model tersebut. Walaupun lencana RST tersebut bermaksud “Rally Sport Truck”, namun pengendalian SUV ini adalah ditala untuk prestasi di atas permukaan tar, dan bukannya bagi pemanduan off-road.

     
     
  • BMW 8 Series Gran Coupe – versi 4-pintu muncul dalam teaser, jangka diperkenalkan pada Jun ini

    BMW 8 Series Gran Coupe – versi 4-pintu muncul dalam teaser, jangka diperkenalkan pada Jun ini

    BMW 8 Series bakal menerima ahli baharu selepas 8 Series Coupe dan 8 Series Convertible. BMW 8 Series Gran Coupe, versi empat-pintu, dijangka bakal merancakkan lagi persaingan dalam segmen coupe mewah.

    BMW menggambarkan 8 Series Gran Coupe ini sebagai “kereta sport empat-pintu yang miliki keanggunan sempurna, dengan dalaman yang melambangkan kemewahan moden.” Ia kini dalam peringkat terakhir pembangunannya untuk siri produksi, dan dijangka akan diperkenalkan dalam majlis BMW Group #NextGen di Munich pada 25 Jun ini. Manakala pelancaran untuk pasaran dijadualkan berlangsung pada September hadapan.

    Versi Gran Coupe bagi 8 Series ini bukanlah sukar untuk diimaginasikan, dan kita boleh melihatnya menerusi imej teaser di atas. Apa yang menariknya, coupe ini memiliki garisan bumbung yang anggun dengan spoiler belakangnya seperti ducktail – ia agak mirip dengan coupe dua-pintu.

    BMW 8 Series Gran Coupe – versi 4-pintu muncul dalam teaser, jangka diperkenalkan pada Jun ini

    BMW 8 Series Coupe

    Namun 8 Series Gran Coupe ini juga memiliki jarak roda yang lebih panjang berbanding Coupe, dan BMW memaklumkan, ia memiliki “ruang tempat duduk belakang yang lebih mengagumkan” dan “keselesaan pengendalian yang dipertingkatkan”.

    “8 Series Gran Coupe baharu ini melengkapkan lagi prestasi yang menakjubkan dengan reka bentuk penuh emosi dan ruang belakang yang luas. Ia memiliki karakteristik yang tersendiri termasuk bahagian hadapan yang menjadi tarikan utama. Perkadaran yang penuh tegap dengan garisan berdinamik bersatu bagi mewujudkan aura sport yang begitu eksklusif,” tambah BMW lagi.

    Versi ini turut dijangka menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Coupe/Convertible. Di mana 8 Series ditawarkan dengan varian 840d xDrive (3.0L diesel enam-silinder, 320 hp, 680 Nm) atau M850i xDrive (4.4L V8 petrol, 530 PS, 730 Nm).

    GALERI: BMW 8 Series di Malaysia

     
     
  • Laluan basikal dari Taman Melati ke Kampung Baru dijangka siap sepenuhnya pada 2020 – DBKL

    Laluan basikal dari Taman Melati ke Kampung Baru dijangka siap sepenuhnya pada 2020 – DBKL

    Laluan basikal di sekitar ibu kota Kuala Lumpur diperluaskan dengan laluan baharu dari Taman Melati, Setapak ke Kampung Baru dijangka siap sepenuhnya pada 2020. Menurut Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd, usaha berkenaan dibuat untuk memberi keselesaan kepada pengguna khususnya mereka yang beriadah melalui kawasan tersebut.

    “Kita dapati Sungai Bunus mempunyai jalan teratur yang boleh ditambah baik untuk laluan basikal, pejalan kaki dan beriadah. Jika mahu berbasikal ke tempat kerja sekalipun, ia tidak mengambil masa lama, hanya 20 minit ke sini (Sungai Bunus) dari Taman Melati.

    “Jadi mereka tidak perlu membawa kenderaan ke tempat kerja, sebaliknya hanya berbasikal, ia sekali gus dapat merendahkan penggunaan karbon monoksida, dan pada masa sama, ia juga dapat meningkatkan kesedaran pentingnya menjaga kebersihan sungai,” katanya kepada Bernama tanpa menjelaskan maklumat selanjutnya.

    Beliau berkata DBKL dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut merancang menjadikan taman Sungai Bunus sebagai sebahagian daripada Taman Titiwangsa yang dapat menghubungkan terus ke Taman Kejiranan Ayer Panas, Setapak.

     
     
  • Proton lancar pusat 3S baharu di Seremban

    Proton lancar pusat 3S baharu di Seremban

    Proton telah melancarkan pusat 3S terbaharunya, yang terletak di Taman Perindustrian Galla, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini. Dioperasikan oleh Setia Auto Drive Sdn Bhd (Setia Auto Drive), pusat 3S yang mempamerkan warna Identiti Korporat (CI) syarikat baharu dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PRroton, dan Dato’ Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan.

    Dengan kos pelaburan hampir RM3 juta, cawangan Setia Auto Drive ini berada di lokasi yang strategik, boleh dilalui dari lebuh raya PLUS yang hanya berjarak pemanduan selama 5 minit dari Plaza Tol Bandar Ainsdale dan keluar dari Seremban-Labu.

    Cawangan ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Wi-Fi percuma, ruang untuk mengecas komputer riba dan ruang menunggu yang selesa. Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, ia turut dilengkapi dengan enam petak penyelenggaraan, enam servis pengangkat, sembilan kakitangan jualan yang berdedikasi dan lapan kakitangan servis.

    “Saya sangat berpuas hati untuk menjadi sebahagian daripada jenama ini. Selain daripada merupakan kereta kebangsaan, saya bangga kerana model baharu dari Proton dapat memberi manfaat dan menambahbaik kehidupan pelanggan melalui ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat dan teknologi terkini yang boleh didapati di dalam kereta-kereta Proton,” kata Dato’ Yap Kat Boon, Pengarah Setia Auto Drive Sdn Bhd dalam majlis pelancaran.

    Untuk rekod, sehingga kini, Proton telah mempunyai 79 cawangan 3S/4S di seluruh negara untuk memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman jualan dan servis yang optimum. Cawangan-cawangan ini telah dinaiktaraf dalam memastikan ia selari dengan keperluan identiti korporat terkini. Malahan Proton juga merupakan syarikat automotif nombor 1 dengan cawangan 3S/4S terbesar di seluruh negara.

    “Di Proton, pelanggan adalah keutamaan kami. Kami ingin mereka berkunjung ke mana-mana cawangan PROTON dan menikmati tahap kepuasan pelanggan yang terbaik. Dengan 79 cawangan yang beroperasi sebagai 3S/4S, kami akan dapat memenuhi kesemua keperluan pelanggan di bawah satu bumbung,” kata Dr Li.

     
     
  • Alex Yoong mahu lahirkan pelumba pro sebenar dari permainan video menerusi eRacing Grand Prix SEA

    Alex Yoong mahu lahirkan pelumba pro sebenar dari permainan video menerusi eRacing Grand Prix SEA

    Axle Motorsport bakal membawa siri perlumbaan dalam permainan video, e-Racing Grand Prix ke Asia Tenggara tahun ini, dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah untuk edisi sulungnya yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Jun ini.

    Menurut pengasas Axle Motorsport dan juga bekas pemandu Formula 1 negara, Alex Yoong, beliau mendapat inspirasi bagi memperkenalkan eRacing Grand Prix SEA ini menerusi kejohanan sama yang dianjurkan di Hong Kong tahun lalu. Ia bukan sekadar perlumbaan permainan video, tetapi Alex menyatakan bahawa beliau akan melahirkan pelumba profesional sebenar menerusi acara ini.

    40 peserta teratas dalam perlumbaan ini akan mendapat latihan daripada jurulatih pelumba profesional. Ia akan dilangsungkan di Malaysia sebelum ke Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand. Pemenang di setiap Grand Prix akan dilatih dan mendapat tempat bagi Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) sebagai asas untuk menjadi pelumba kereta profesional sebenar.

    “eRacing Grand Prix SEA adalah platform terbaik kepada para pelumba alam maya membuktikan bahawa mereka boleh menjadi jaguh di dalam sukan permotoran,” kata Alex.

    “Peningkatan ketara eSports di rantau ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk eRacing menjadi antara permainan video terbesar di dunia. Untuk rekod, eSports telah diiktiraf apabila pernah disenaraikan di dalam Sukan Asia. Saya harap permainan video akan dikenali sebagai sukan selepas ini,” tambahnya lagi.

    Axle Motorsport juga menjadi rakan strategik bagi industri permotoran di rantau ini untuk membimbing industri eRacing daripada permainan video ke sukan permotoran sebenar. Ia juga adalah satu inisiatif serantau untuk membantu para pelumba yang berbakat menjadi bintang pada masa hadapan untuk sukan permotoran.

    Boleh ke pelumba dari permainan video Play Station ini menjadi pelumba profesional sebenar? Kami telah menunjukkan tiga contoh terbaik pelumba alam maya yang telah pun berlumba secara profesional di dunia nyata pada artikel di PAUTAN INI.

     
     
  • Harga minyak bagi 4-10 Mei – RON97 turun 1 sen

    Harga minyak bagi 4-10 Mei – RON97 turun 1 sen

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan, bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Mei 2019, harga runcit bagi petrol RON97 turun sebanyak 1 sen seliter iaitu daripada RM2.81 seliter pada minggu sebelum ini, menjadi RM2.80 seliter. Harga baharu tersebut efektif bermula 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan.

    Manakala harga runcit bagi petrol RON 95 dan diesel pula masih kekal seperti minggu-minggu sebelum ini. Di mana harga runcit bagi petrol RON 95 masih pada paras RM2.08 seliter, manakala untuk diesel Euro 2M juga kekal pada harga RM2.18 seliter, dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

    Menurut kementerian terbabit, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit bagi petrol dan diesel sepatutnya naik masing-masing 1 sen dan 2 sen. Iaitu petrol RON95 sepatutnya menjadi RM2.50 seliter dan diesel pula RM2.47 seliter. Namun kerajaan memutuskan untuk menstabilkan harga runcit bagi bahan api berkenaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Anggaran tanggungan subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 4 hingga 10 Mei 2019 adalah berjumlah RM130.45 juta

     
     
  • Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Mercedes-AMG GT Coupe empat-pintu akhirnya mendarat di Malaysia secara rasmi hari ini. Dilancarkan di Litar antarabangsa Sepang, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hanya menawarkan 3 varian untuk badan coupe besar berkenaan iaitu Mercedes-AMG GT 43 4Matic+, 53 4Matic+ dan model paling berkuasa 63 S 4Matic+. Anda boleh memiliki model ini dengan harga atas jalan tanpa insuran masing-masing bermula RM 1,098,888, RM 1,298,888 dan RM 1,798,888.

    Mercedes-AMG GT Coupe empat-pintu ini sebenarnya diasaskan dari model CLS, dan model asasnya berkongsi unit janakuasa yang hampir sama. Model 43 4Matic+ dijana oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris menghasilkan kuasa 367 hp dan tork maksima 500 Nm.

    Mercedes-AMG GT 53 4Matic+ juga menerima enjin yang sama tetapi ditala bagi menghasilkan 429 hp (435 PS) pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 1,800 hingga 5,800 rpm. Ia juga menerima motor starter-alternator EQ Boost berkuasa 22 PS/250 Nm (sebahagian dari sistem elektrikal 48 V kereta ini)

    Model paling liar ini dijana oleh enjin 4.0 liter V8 bersama dua pengecas turbo jenis twin-scroll menghasilkan kuasa 630 hp (639 PS) bermula 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Enjin tersebut turut diberikan sistem nyah-aktif silinder untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Kesemua enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Ini membolehkan model 43 4Matic+ memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.9 saat, 53 4Matic+ pula 4.5 saat dan 63 S 4Matic+ pula hanya 3.2 saat. Manakala untuk kelajuan maksima, model paling asas boleh mencapai 270 km/j, model pertengahan pula 285 km/j, manakala versi paling liar pula mampu ‘terbang rendah’ pada kelajuan 315 km/j.

    Kesemua versi enjin ini hadir dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+. Ia berfungsi sama seperti sistem pada E 63, yang turut diberikan mod Drift, dimana kesemua tork dialirkan pada gandar belakang sahaja. Dalam larasan biasa, tork juga akan dialirkan lebih kepada roda belakang, namun pembahagian kuasa tersebut akan dilakukan secara bervariasi mengikut keadaan.

    Unit LSD pada gandar belakang diberikan secara standard pada model AMG GT 63 S bersama sistem stereng aktif pada gandar belakang, yang akan menghalakan roda belakang kearah bertentangan dengan roda hadapan pada kelajuan lebih dari 100 km/j bagi meningkatkan ketangkasannya.

    Bagi membolehkan kuasa kereta ini diberhentikan dengan cepat, ia hadir eksklusif dengan sistem brek berprestasi tinggi AMG – diberikan cakera kompaun berdiameter besar, angkup enam-silinder pada bahagian hadapan serta silinder-tunggal di belakang. Model S ini juga diberikan angkup berwarna kuning berbanding model 63 biasa diberikan angkup berwarna merah.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Model coupe empat-pintu ini turut akan diberikan sistem stereng sport AMG sensitif-kelajuan, dengan bantuan kuasa bervariasi bergantung pada mod pemanduan yang dipilih – Comfort, Sport dan Sport+. Kesemua mod ini dihubungkan kepada mod transmisi AMG Dynamic Select, namun jika anda tidak selesa dengan gabungan mod yang disediakan, anda boleh melaras sendiri menerusi mod Individual.

    Enam program pemanduan telah disediakan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual – diletakkan di bawah program AMG Dynamic. Ia turut ditambah dengan fungsi ketangkasa – Basic, Advanced, Pro dan Master – yang diatur dari larasan bermula berorientasikan keselamatan hingga dinamik tertinggi.

    Dari segi rupa, imej model dua-pintu masih jelas diterapkan pada model AMG GT empat-pintu ini. Elemen rekaan tersebut termasuk penggunaan gril Panamerica, Sayap Jet di hadapan, panel udara, potongan badan yang hampir serupa dan juga lampu belakang tirus.

    Mercedes-AMG GT Coupe 4-pintu dilancarkan di M’sia – 63 S, 53 dan 43 4Matic+, RM1.1 juta – RM1.8 juta

    Walau bagaimanapun, model empat-pintu ini diberikan bonet hadapan yang lebih pendek serta bumbung lebih tinggi berbanding versi dua-pintu bagi mendapatkan kabin yang lebih besar. Ia juga diberikan lampu hadapan lebih tajam yang lebih menyerupai model CLS.

    Khas untuk model dengan enjin V8 ini, ia diberikan liang kemasukan udara hadapan dengan elemen tiga-tingkat, bersama diffuser lebih agresif dan juga kemasan tip ekzos berbentuk trapezoid.

    Masuk ke kabin pula, ia direka seakan gabungan AMG GT (pada bahagian bawah) dan juga CLS untuk bahagian utama papan pemuka. Dua paparan HD bersaiz 12.3 setiap satu diberikan sebagai paparan instrumentasi pemandu sebagai sebahagian sistem Widescreen Cockpit. Pemandu juga boleh memilih tema berbeza iaitu Classic dan Sport. Satu lagi tema baharu iaitu Supersport turut ditampilkan pada model ini yang memaparkan informasi spesifik AMG.

    Ia juga turut diberikan roda stereng berprestsi AMG yang hadir bersama butang Touch Control, manakala pada bahagian pemuka utama terdapat pad kawalan sesentuh baharu untuk mengawal sistem infotainmen COMAND. Model empat pintu ini diberikan suis-suis kawalan empat segi, berbanding elemen lebih bulat pada model dua-pintu.

    Model ini juga direka dengan lebih praktikal, menawarkan tiga, empat atau lima tempat duduk, bergantung konfigurasi yang boleh dipilih oleh pembeli. Penumpang belakang turut menerima skrin pad sesentuh bersepadu dengan konsol antara tempat duduk (hanya untuk varian High-Class), yang membolehkan mereka melihat data dynamism menerusi menu AMG, serta mengawal lampu suasana, sistem penghawa dingin serta pemanas tempat duduk.

    Mercedes-AMG mendakwa model ini mempunyai kapasiti but 395 liter, dan boleh dibesarkan lagi sehingga 1,324 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Ruang mengisi yang lebar turut memudahkan pengguna untuk meletak atau mengeluarkan barang pada bahagian tersebut, dan turut dilengkapi dengan pembuka but tanpa sentuhan yang boleh diaktifkan dengan hanya menggerakkan kaki anda di bawah bampar belakang,

    Ciri lain yang turut diberikan adalah termasuk AMG Track Pace yang direka bagi memberikan telemetri diatas litar sebanyak yang mungkin. Ia juga disertakkan dengan pewangi kabin bina-dalam dioperasi dengan kawalan keselesaan Energizing, yang sememangnya telah dilengkapi pada kebanyakkan model Mercedes-Benz.

    GALERI: Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ Coupe empat-pintu

     
     
  • Mercedes-AMG C 63 S Sedan, Coupé facelift rasmi di M’sia – V8 4.0L, 510 PS/700 Nm, bermula RM770k

    Selepas Mercedes-AMG 63 S dari versi SUV GLC dan GLC Coupe mendarat di Malaysia hujung tahun lalu, kini tiba pula masa untuk versi sedan dan Coupe Mercedes-AMG C 63 S facelift menerjah pasaran Malaysia secara rasmi. Didedahkan di Litar Antarabangsa Sepang bersama Mercedes-AMG GT 63 S 4Matic+ pagi ini, Sedan dan Coupe berkenaan masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM768,888 dan RM820,888.

    Kedua-dua C 63 S ini masih dijana oleh enjin M177 V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar, berkuasa 510 PS (503 hp) bermula 5,500 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 700 Nm bermula 2,500 hingga 5,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G bagi menggantikan transmisi tujuh-kelajuan sebelum ini.

    Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda belakang, di mana LSD elektronik dipadankan pada gandar belakang secara standard. Padanan kesemua ini membolehkan model Coupe yang lebih ringan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, manakala sedan pula 4.0 saat. Namun kedua-dua model ini mampu mencatatkan kelajuan maksima yang sama iaitu 290 km/j.

    Sistem ekzos AMG Performance juga hadir sebagai standard, bagi membolehkan anda melaras dan memaksimakan ngauman enjin V8 berkenaan. Untuk suspensi pula, pasangan C 63 S ini dilengkapkan dengan AMG Ride Control yang terdiri dari penyerap hentak adaptif yang dikawal secara elektronik dan juga spring gegelung , bersama cagak enjin (mounting) jenis dinamik.

    Karekter pemanduan model ini masih boleh dilaras menerusi sistem AMG Dynamic Select. Enam mod pemanduan boleh dipilih oleh pemandu iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual.

    Namun sistem berkenaan kini telah dikemaskini dengan penambahan AMG Dynamics, iaitu “kawalan pengendalian yang dibina bersepadu” berfungsi bersama Program Kestabilan Elektronik (ESP) bagi memperhalusi talaan pembahagian tork kepada gandar belakang. Empat larasan diberikan iaitu Basic, Advanced, Pro dan Master, kesemua ini bergantung pada mod AMG Dynamic Select yang dipilih pemandu.

    Kedua-dua model ini turut menerima AMG Traction Control, iaitu sistem yang sama diperkenalkan buat pertama kali pada AMG GT R. Sistem ini hanya akan berfungsi sekiranya anda mematikan terus sistem ESP, dan ia membolehkan anda mengawal jumlah traction pada gandar belakang dalam lima larasan berbeza.

    AMG Track Pace juga diberikan secara standard, dengan menawarkan lebih 80 data spesifik yang direkodkan sepuluh kali setiap saat, membolehkan anda meneliti kembali setiap aspek seperti kelajuan, pecutan dan sebagainya ketika memandu di litar.

    Untuk rupa pula, Sedan dan Coupe ini menerima perubahan pada muka dengan pemadanan gril Panamericana baharu bersama sentuhan semula pada apron hadapan. Di belakang pula, bampar kedua-dua model berkenaan kini diberikan diffuser yang lebih agresif.

    Mercedes-AMG C 63 S Sedan, Coupé facelift rasmi di M’sia – V8 4.0L, 510 PS/700 Nm, bermula RM770k

    Kedua-dua model ini juga menerima kelengkapan luaran yang sama terdiri dari pakej AMG Night, pakej AMG Exterior Carbon-Fibre, angkup brek berwarna merah, lip spoiler AMG dan lampu hadapan Multibeam LED bersama Adapative Highbeam Assist Plus. Apa yang berbeza adalah pada rim – kedua-duanya diberikan rim AMG forged bersaiz 19-inci, tetapi Sedan menerima jejari bersilang, manakala Coupe pula dipadankan dengan rim lima jejari berkembar.

    Pada bahagian kabin, penyegaran kedua-dua C 63 S ini adalah sama seperti C-Class standard, termasuk paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.3-inci, dan juga paparan sistem infotaimen COMAND ONLINE bersaiz 10.25-inci bersama sistem bunyi surround dari Burmester.

    Kelengkapan standard lain yang turut dipadankan pada Sedan dan Coupe ini termasuk roda stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa/gentian mikro Dinamica, tempat duduk AMG Performance larasan berkuasa dengan sokongan lumbar dan fungsi memori, pad sesentuh, paparan Head-up, lampu suansana dan juga kawalan keselesaan Energizing.

    Model sedan diberikan upholsteri dengan tema putih mutiara/hitam, manakala Coupe pula menerima gabungan warna red pepper/hitam – kedua-duanya dengan material sama iaitu kulit Nappa. Model Sedan diberikan sistem pendingin hawa automatik Thermotronic dengan liang udara belakang, tetapi untuk Coupe hanya hadir dengan sistem Thermatic.

    Bagi sistem keselamatan pula, Mercedes-AMG C 63 S Sedan dan Coupe ini dilengkapkan dengan pakej Driving Assistance, iaitu sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari Pilot Distance Distronic (cruise control adaptif dengan fungsi stop & go), Bantuan Kekal Laluan Aktif (pemanduan separa-automatik), Bantuan Titik Buta Aktif dan sistem brek kecemasan automatik. Bantuan Parkir Aktif bersama Parktronic, Keyless-Go dan Akses Tanpa Sentuhan juga diberikan secara standard.

    GALERI: Mercedes-AMG C 63 S Sedan facelift 2019

    GALERI: Mercedes-AMG C 63 S Coupe facelift 2019

     
     
  • Ducati keluarkan skuter elektrik dengan syarikat China

    Ducati keluarkan skuter elektrik dengan syarikat China

    Sebuah syarikat pengeluar motosikal dan skuter elektrik dari China iaitu VMoto mendedahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Ducati untuk mengeluarkan model skuter elektrik. Model yang akan menjadi produk rasmi di bawah lesen Ducati ini akan diedar dan dijual menggunakan rangkaian VMoto sedia ada tetapi Ducati akan mengendalikan aspek pemasaran.

    “Ini adalah satu perjanjian yang mengghairahkan bagi VMoto dan kami teruja Ducati – terkenal sebagai pengeluar motosikal Itali berkualiti tinggi – telah bersetuju untuk menggabungkan reputasi premium serta jenama mereka dengan kenderaan elektrik kami,” kata pengarah urusan VMoto, Charles Chen.

    Model yang ditunjukkan oleh VMoto untuk dijenamakan sebagai Ducati ini adalah CUx 2019, tetapi ia nanti akan dijadikan lebih mewah dan juga dijual pada harga lebih tinggi. Sekarang ini dalam pasaran, CUx 2019 dijual di bawah jenama Super SOCO, iaitu sebuah anak syarikat kepada VMoto.

    CUx mendapat kuasa daripada bateri berkapasiti 60 V/32 Ah, digerakkan oleh motor elektrik Bosch 2700 watt, dan ia mampu memberi perjalanan sehingga 75 km. VMoto menyatakan teknologi bateri pada CUx ini sama seperti Tesla Model S, dan baterinya boleh dicabut untuk dicas (tiga jam setengah untuk penuh dengan pengecasan pantas).

    Kelengkapan lain yang ada pada CUx ini adalah termasuk sistem tanpa kunci, lampu LED depan dan belakang, pengecas USB, meter jenis digital dan satu yang istimewa, kamera binaan dalam pada bahagian hadapan yang boleh merekod video HD dan disambung kepada telefon pintar menggunakan wifi.

     
     
  • Kadar insurans bagi pemandu berhemah dengan rekod baik akan dikurangkan sebagai ganjaran – Menteri

    Kadar insurans bagi pemandu berhemah dengan rekod baik akan dikurangkan sebagai ganjaran – Menteri

    Kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan pemain dalam industri insurans untuk memberikan kadar premium insurans yang lebih rendah kepada pemandu berhemah yang mempunyai rekod baik. Ini adalah usaha untuk mengubah tabiat pemanduan di jalanraya, seperti yang didedahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam.

    “Kenderaan dan jalanraya yang lebih selamat adalah sangat penting, tetapi pemanduan selamat oleh pemandu juga menjadi kunci utamanya. Sebab itu kementerian sedang giat untuk memupuk dan mempromosi budaya jalan raya dan pemanduan yang lebih selamat,” ujar Anthony ketika majlus pelancaran kempen Drive for Life oleh Bosch Automotive Aftermarket Malaysia.

    “Sebab itu saya sendiri sangat yakin cara ini boleh jadi sangat berkesan. Bagi pemandu dengan tabiat pemanduan yang buruk, kita perlu kenakan hukuman. Sudah tentu ini akan menjadikan saya kurang popular dalam sesetengah kalangan pemandu – orang mengkritik kementerian kerana melaksanakan tindakan keras dalam penguatkuasaan – tetapi bagi saya, ini soal kepentingan negara, dan kita perlu bersedia untuk membuat keputusan yang betul. Penguatkuasaan perlu ketat dan adil,” tambah beliau.

    “Perlu ada satu cara atau skim untuk memberikan kelebihan kepada pemandu-pemandu yang berhemah dan patuh di jalanraya. Harapnya dengan cara ini, lebih ramai pemandu mengubah sikap mereka ketika memandu. Usaha ini yang kami ingin laksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi,” jelas Anthony.

    Kadar insurans bagi pemandu berhemah dengan rekod baik akan dikurangkan sebagai ganjaran – Menteri

    Skim kelebihan ganjaran ini adalah “menang-menang” antara pengguna dan juga industri insurans. “Saya telah berbincang dengan beberapa pihak berkepentingan, termasuk syarikat insurans, untuk mewujudkan satu kaedah bagaimana kita boleh memberi ganjaran kepada pemandu yang baik da berhemah. Sebagai contoh, sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang saman trafik, ganjaran bagaimana yang wajar diberikan oleh syarikat-syarikat insurans; mungkin dalam bentuk penguranga kadar premium insurans.

    “Ini situasi menang-menang keranan sekiranya kita mampu melahirkan generasi pemandu yang berhemah di jalanraya, industri dan syarikat insurans juga akan mendapat manfaat kerana tidak perlu membayar tuntutan insurans dalam jumlah yang besar kerana kurangnya kemalangan.”

    Bagi kerajaan, habuannya bukanlah dalam bentuk wang ringgit. “Kerajaan hanya ingin melihat jumlah kemalangan dapat dikurangkan, sekaligus menjadikan jalanraya kita lebih selamat,” ujar beliau. Kerajaan ketika ini dalam fasa akhir perbincangan dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) serta pemain-pemain utama insurans automotif untuk menentukan ganjaran yang akan diberikan itu.

    Industri insurans kenderaan sedang menjalani fasa liberalisasi ketika ini, dijadualkan berlangsung sepenuhnya pada 2019. Berbeza dengan tarif tetap yang dikenakan dulu, syarikat insurans kini bebas untuk meletakkan harga dan tahap perlindungan, dan kadar premium itu nanti turut akan ditentukan oleh profil risiko pengguna itu sendiri. Cara ini sudah diamalkan di banyak negara; pengguna dengan rekod baik, misalnya dengan JPJ atau PDRM, akan tergolong dalam kelompok berisiko rendah.

     
     
  • Moto Guzzi V85 TT ditemui sedang diuji di Malaysia

    Moto Guzzi V85 TT ditemui sedang diuji di Malaysia

    Model terbaru daripada Moto Guzzi, yang ditunjukkan kepada awam buat pertama kali Oktober tahun lalu iaitu V85 TT, kini sudah ditemui atas jalan di Petaling Jaya oleh pembaca kami, Ilyas. Bukan satu, tapi dua unit V85 TT ini ditemui waktu berhenti di lampu isyarat, dan kedua-duanya menggunakan pelekat camouflage.

    Tekaan kami, model yang masih belum dilancarkan ini menuju ke pusat pameran Moto Guzzi yang berada berhampiran, dan ia mungkin memberi tanda pelancaran yang semakin hampir. V85 TT dibangunkan untuk kegunaan jelajah/kembara dan rekaannya menandakan perubahan berbanding rekaan klasik yang banyak digunakan sebelum ini.

    Sumber kuasa motosikal ini datang daripada enjin 850 cc v-twin 90 darjah penyejukan udara baru dan boleh menghasilkan sehingga 80 hp. Menurut Moto Guzzi, motosikal ini akan menjadi platform bagi penghasilan beberapa model baru lain pada masa hadapan yang “disasarkan untuk pelbagai jenis pengguna, karekter yang kuat, prestasi yang bagus dan gaya unik Moto Guzzi”.

    Melalui model yang didedah sebelum ini, ia dilihat dilengkapi dengan suspensi yang tinggi (fork USD di depan dan monoshock Ohlins di belakang), rim spoked (tayar Metzeler untuk yang berwarna kelabu dan tayar Karoo yang lebih kasar untuk model warna kuning/merah/putih), set brek berkembar Brembo di hadapan dan meter digital berwarna.

    Antara kelengkapan lain yang berada pada V85 TT ini adalah termasuk tiga mod tunggangan (road, rain dan offroad), brek ABS, sistem kawalan cengkaman, tangki bahan api 21 liter, lengan ayun aluminium, kerangka tiub besi, rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Mar 28, 2024