Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Ferrari SP3JC – unit tunggal dibina dari asas F12tdf

    Ferrari SP3JC – unit tunggal dibina dari asas F12tdf

    Ferrari SP3JC. Memang asing nama ini, begitu juga dengan kereta dan jalan ceritanya. Ini merupakan satu-satunya model yang dihasilkan oleh Ferrari, khusus untuk seorang pelanggan penting yang menempah kereta ini. Ia hanya dihasilkan sekali sahaja, berdasarkan model F12tdf dan merupakan hasil pembangunan selama dua tahun antara program Tailor Made Ferrri dengan pelanggan berkenaan.

    SP3JC mempamerkan imej “kenderaan bumbung terbuka” yang berlainan, dengan mengimbau kembali model-model V12 Spider pada era 50an dan 60an, serta yang lebih moden seperti 550 Barchetta. Ia menampilkan rekaan badan yang dibuat semula – dengan apron depan yang tampil lebih “jinak” berbanding pada F12tdf. Bonet juga hasil rekaan baru, dengan bukaan berkaca untuk menampakkan enjinnya.

    Bahagian belakang menampilkan perubahan yang lebih ketara. Dengan ketiadaan bumbung, dua penghadang kecil diperbuat daripada gentian karbon ada sebagai perlindungan untuk penumpang. Ini bersekali dengan dua “terowong” yang dilanjutkan ke belakang; sebuah imej yang sinonim dengan kereta sport klasik. Tiada langsung jejak F12tdf yang masih tersisa melainkan empat corong hujung ekzosnya.

    Ferrari SP3JC – unit tunggal dibina dari asas F12tdf

    Gabungan warna dan coraknya pula datang dari minat pemiliknya terhadap seni popular. Warna asas putih Bianco Italia digandingkan dengan biru Azzuro Met pada bahagian depan dengan warna kuning Giallo Modena untuk selebihnya. Skim warna ini turut dicerminkan pada ruang dalaman.

    Bagi enjin, ia mengguna unit 6.3 liter V12, menghasilkan 780 PS (10 PS lebih tinggi berbanding F12tdf) pada 8,500 rpm. Bagaimanapun, perincian prestasi lainnya masih belum didedahkan; tork pada model asalnya ialah pada 705 Nm. F12tdf memberi bacaan 0-100 km/j 2.9 saat dengan kelajuan maksimum 340 km/j. Mantap?

     
     
  • Kia Soul 2020 tampilkan model turbo 201 hp dan EV

    Kia Soul 2020 tampilkan model turbo 201 hp dan EV

    Kia menawarkan model Soul di Amerika Syarikat, bagi memeriahkan lagi pasaran kereta kompak boxy di sana, bersaing dengan Scion xB dan Nissan Cube. Soul generasi ketiga ini hadir dengan rekaan yang lebih menyerlah dan tersendiri.

    Pada bahagian hadapannya, Soul menampilkan rekaan lampu utama terpisah, dengan pilihan LED penuh, bersama unit yang lebih nipis. Lampu nyalaan siang melintang dan indikator di posisikan di bawah, dengan gril “tiger nose” yang besar.

    Pandangan sisi kini lebih kemas tanpa corong udara palsu pada roda hadapan, kini hanya garisan karakter berbentuk anak panah pada fender. Beltline yang melunjur ke atas kini terbentang di C-pillar bersama imej “bumbung terapung”, sementara bumbung juga kini ditampilkan dengan pemegang baharu untuk roof rack.

    Kia Soul 2020 tampilkan model turbo 201 hp dan EV

    Di bahagian belakang, lampu menegak sebelum ini kini berbentuk boomerang, sementara cermin belakang sedikit ke hadapan dan warna badan “island” masih dikekalkan. Baharu untuk model tahun 2020 ialah varian GT-Line dengan ciri lebih agresid pada bahagian hadapan dan belakang, kemasan merah pada luaran, cermin hitam berkilat dan roda aloi 18-inci, sementara X-Line baharu pula menerima body cladding, overfender dan rel bumbung yang kelihatan dengan gaya off-road – sama seperti Picanto X-Line.

    Kia berkata Soul diinspirasikan oleh muzik sejak originalnya pada 2009, dan kali ini perekanya melukiskan inspirasi daripada “bunyi dari pandangan emosi”, dengan elemen inspirasi akustik pada setiap sudut dari tempat duduk hingga panel pintu. Ia juga menampilkan sistem pencahayaan ambien dengan warna yang boleh ditetapkan dan “mood” termasuk “Hey! Yo!”, “Party Time” dan “Romance”.

    Lain-lain ciri termasuklah pembesar suara tweeter pada papan pemuka, fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, serta skrin sesentuh tengah 10.25-inci, paparan utama lapan-inci, 10-pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 640-watt, kawalan suhu automatik dwi-zon, dan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Varian GT-Line turut menerima roda stereng leper di bawah.

    Kia Soul 2020 tampilkan model turbo 201 hp dan EV

    Sedikit panjang berbanding sebelum ini, Soul juga mempunyai pakej yang lebih baik bagi meningkatkan kebolehaksesan ke dalam ruang kabin, dengan bukaan pintu hadapan yang lebih besar, dan tailgate yang lebih lebar dan rendah bagi memudahkan tugas memasuk dan mengeluarkan kargo, pemegang tailgate yang “lebih mudah digenggam” dan juga dua tahap lantai but untuk mudah memuatkan barangan yang lebih tinggi.

    Untuk aspek keselamatan, ia turut telah ditambahbaik termasuk mempertingkatkan penggunaan Keluli Ketahanan Tingga Termasju (AHSS), komponen hot-stamped dan pelekat struktur bagi memperkukuhkan lagi struktur badannya. Kia menjangkakan Soul boleh mencapai kedudukan yang tertinggi daripada Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) dan National Traffic Highway Safety Administration (NHTSA) di Amerika Syarikat.

    Sebagai tambahan, Soul juga didatangkan dengan sistem bantuan keselamatan Kia Drive Wise, termasuk Pengelak Pelanggarab Hadapan (FCA) dengan pengesan pejalan kaki, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Tukar Lorong (LCA), Amaran Kepekaan Pemandu (DAW), Amaran Pelanggaran titik Buta (BCW), Amaran Pelanggaran Lintasan Belakang (RCW), Kawalan Kelajuan Pintar (SCC) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA).

    Kia Soul 2020 tampilkan model turbo 201 hp dan EV

    Di bawah bonetnya, Soul dipadankan dengan enjin 2.0 liter Nu naturally-aspirated empat-silinder daripada Cerato baharu dengan hamburan 147 PS dan tork 179 Nm, bersama transmisi manual enam-kelajuan atay CVT yang Kia gelarkannya sebagai Intelligent Variable Transmission (IVT) – yang turut diambil dari Cerato.

    GT-Line juga hadir dengan pilihan enjin 1.6 liter pengecas turbo dan suntikan terus yang mampu menghasilkan 201 hp dan 264 Nm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Model ini turut dilengkapi dengan brek yang lebih besar, larasan suspensi talaan sport dan corong ekzos berkembar di tengah.

    Dan akhir sekali, ia turut menawarkan model Soul EV, dengan motor elektrik 201 hp/395 Nm dan bateri polimer lithium-ion sejukan-cecair 64 kWh serba baharu, dengan Sistem Pengecasan (CCS) DC pantas standard. Ia juga didatangkan dengan sistem brek regenetif pintar, yang boleh dilaras menerusi pedal roda stereng dan juga larasan automatik apabila ada tekanan brek berdasarkan pengesan kenderaan di hadapan.

    GALERI: Kia Soul 2020

    GALERI: Kia Soul EV 2020

     
     
  • Mercedes-AMG GT diperbaharui – rupa dan teknologi dipertingkat, dapat tambahan model terhad GT R Pro

    Mercedes-AMG GT diperbaharui – rupa dan teknologi dipertingkat, dapat tambahan model terhad GT R Pro

    Untuk acara Los Angeles Auto Show tahun ini, Mercedes-AMG telah memperbaharui keseluruhan barisan model GT, dengan termasuk pengenalan satu model baru edisi terhad GT R Pro. Model ini dibina berdasarkan pengalaman syarikat itu menghasilkan AMG GT3 dan AMG GT4, dengan peningkatan pada bahagian suspensi, barang serba ringan, aerodinamik serta penampilan.

    Sama seperti GT R biasa, GT R Pro ini didatangkan dengan suspensi jenis coilover yang boleh dilaras untuk pra beban spring, mampatan serta lantunan. Untuk melarasnya, anda tidak perlu membawa peralatan yang banyak kerana boleh dilakukan melalui sistem klik dengan tombol pelarasan pada penyerap itu sendiri.

    Untuk pelarasan lain, kedua-dua gandar juga mempunyai torsion bar yang boleh dilaras. Di depan ia dibuat daripada gentian karbon manakala unit belakang adalah daripada besi bulat. Perbezaan lain model ini adalah ia dipasang dengan Uniball spherical bearing pada wishbone gandar belakang, talaan semula pada tapak enjin dan transmisi dinamik serta panel penutup bahagian bawah kenderaan gentian karbon.

    Untuk pasaran selain Amerika Syarikat, Canada dan China, GT R Pro akan didatangkan terus dengan Track Package, yang termasuk roll cage besi, tali pinggang lumba four-point dan pemadam api dalam kenderaan. Kereta yang tidak datang dengan Track Package ini akan dipasang dengan kemasan trim gentian karbon dan pendakap but.

    Sama juga untuk bahagian brek, Track Package akan memberikan sistem brek seramik berprestasi tinggi dengan angkup yang diwarnakan hitam, serta tempat duduk bucket AMG. Model yang tidak datang dengan Track Package ini hanya menggunakan tempat duduk AMG Performance biasa.

    Untuk lebih lagi gaya inspirasi lumba, kereta ini didatangkan terus dengan Carbon Package, dan anda boleh mendapatkan jalur perlumbaan pada badan kenderaan. Di bahagian lain terdapat rim AMG Performance warna kelabu titanium dan corak berpetak di keliling logo R.

    Untuk mengetahui perbezaan aerodinamik model ini dengan GT R biasa, anda perlu memerhatikannya dengan rapi. Antaranya adalah pada sirip gentian karbon di penjuru bampar, lip hadapan, keliling roda dan juga di bahagian bawah bampar belakang. Semuanya berfungsi baik untuk aerodinamik dan menjadikan GT R Pro ini berjaya mencatat masa lebih pantas berbanding GT R di Litar Nürburgring.

    Mercedes-AMG GT diperbaharui – rupa dan teknologi dipertingkat, dapat tambahan model terhad GT R Pro

    Selain pengenalan model baru GT R Pro ini, Mercedes-AMG turut memperbaharui barisan model GT yang lain, dan kebanyakan cirinya datang daripada model empat pintu GT 4-Door Coupe lebih baru yang diperkenalkan di Geneva awal tahun ini.

    Pada bahagian luar, lampu LED kenderaan ini telah direka semula untuk dimasukkan dengan lampu siang gaya baru, serta sistem pemantul cahaya tiga kelongsong. Lampu belakang pula nampak lebih garang dengan bahagian dalam yang berwarna gelap.

    Selain daripada itu, bahagian belakang GT, GT S dan GT C turut mendapat kemasan hitam pada diffuser, dan susun atur muncung ekzos yang baru. Untuk GT biasa, ia menggunakan dua muncung ekzos bulat, sementara GT C menggunakan bentuk dua trapezoid manakala GT R masih mengekalkan muncung di tengah bersama dua lagi yang kecil pada diffuser.

    Mercedes-AMG GT diperbaharui – rupa dan teknologi dipertingkat, dapat tambahan model terhad GT R Pro

    Perubahan kecil lain melibatkan model GT dan GT S, di mana ia diberikan dengan kemasan warna hitam di bahagian bawah pintu, serta rim baru yang juga berwarna hitam. Turut disediakan sebagai pilihan (termasuk untuk GT C) adalah rim dengan rekaan 10 cabang dan berwarna kelabu titanium atau hitam.

    Masuk ke dalam, anda akan dapat melihat panel instrumen 12.3 inci yang diambil daripada GT 4-Door Coupe dan skrin infotainmen 10.25 inci baru sama seperti C-Class baru. Untuk interaksi yang lebih baik dengan skrin ini, ia sekarang menggunakan roda stereng prestasi AMG yang baru, diambil daripada C 63, siap dengan Touch Control.

    Untuk mereka yang kerap ke litar, anda akan menghargai pengumpul data AMG Track Pace yang sekarang didatangkan standard untuk sistem infotainmen COMAND Online pada semua model GT. Dengannya, anda boleh menganalisa prstasi di litar kerana ia dapat merekod lebih 80 set data spesifik kenderaan dalam masa 10 kali bagi setiap saat dan mencatat masa pusingan.

    Walaupun banyak pembaharuan yang diberi, enjin model ini masih sama, iaitu unit V8 4.0 liter biturbo M178. Pada model GT, ia mampu menghasilkan 476 PS dan 630 Nm tork, manakala GT S dan GT C mampu menghasilkan masing-masing 522 PS/670 Nm dan 557 PS/680 Nm tork. GT R dan GT R Pro pula mempunyai kuasa yang sama iaitu 585 PS dan 700 Nm tork. Kesemua model ini menggunakan transmisi AMG Speedshift DCT tujuh kelajuan klac berkembar transaxle.

    Program AMG Dynamic Select pada model GT masih lagi sama iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport Plus, Race dan Individual, tetapi ia ditambah dengan satu lagi program dipanggil AMG Dynamics. Dengannya, AMG memberitahu ia dapat menguruskan Electronic Stability Programme lebih baik untuk setiap mod yang dipilih (Basic, Advanced, Pro atau Master).

    GALERI: Mercedes-AMG GT


    GALERI: Mercedes-AMG GT C Roadster

    GALERI: Mercedes-AMG GT R

    GALERI: Mercedes-AMG GT R Pro

     
     
  • Honda HR-V Sport tampil di Eropah – 1.5L VTEC Turbo

    Honda HR-V Sport tampil di Eropah – 1.5L VTEC Turbo

    Awal tahun ini, Honda telah mengumumkan HR-V akan diberi peningkatan untuk model tahun 2019 di Eropah, di mana ia turut ditawarkan dengan pilihan enjin baharu dari Civic dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Ia kini ditampilkan pada HR-V Sport, varian baharu yang agak sedikit berbeza berbanding model biasa HR-V.

    HR-V Sport ini menerima unit 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder, yang dipadankan sama ada dengan transmisi manual enam-kelajuan atau CVT. Dengan manual, kuasa kuadanya mampu mencapai sehingga 182 PS pada 5,500 rpm dan pada 6,000 rpm dengan CVT.

    Pilihan manual juga menerima tork yang tertinggi iaitu 240 Nm dari 1,900 hingga 5,000 rpm, sementara CVT pula mampu mencecah 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm. Di Malaysia, Honda HR-V dijanakan oleh enjin 1.8 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan 142 PS dan tork 172 Nm, bagi perbandingan.

    Honda HR-V Sport tampil di Eropah – 1.5L VTEC Turbo

    Honda berkata model baharu (dan sporty) ini disasarkan untuk mereka yang mahukan pengalaman pemanduan dinamik, dan juga HR-V Sport ini juga menerima teknologi ‘Performance Damper’. Pada dasarnya, crossover ini didatangkan dengan palang olengan adaptif di hadapan dan belakang untuk mengatasi pergerakan sisi dan kilasan yang relatif melalui casis untuk memastikan ia lebih rata melalui selekoh dan meningkatkan kestabilan.

    Sistem stereng ‘rack-and-pinion’ bantuan kuasa elektrik nisbah boleh laras juga adalah salah satu keunikan pada model baharu ini, dan ia didakwa mampu memberikan respon yang lebih optimum pada setiap sudut stereng.

    Honda HR-V Sport tampil di Eropah – 1.5L VTEC Turbo

    Bagi perubahan mekanikal, HR-V Sport menerima panel krom hitam berkilat untuk ‘Solid Wing Face’, dengan kemasan honeycomb hitam pada gril hadapan dan sekeliling lampu kabus. Lain-lain semakan pada penggayaan termasuk splitter hadapan yang nipis, skirt sisi, pemegang gerbang roda dan bampar belakang yang lebih agresif – semuanya dengan kemasan hitam.

    Model ini turut didatangkan perumah cermin sisi hitam, dua paip ekzos, roda aloi 18-inci dengan rekaan unik, lampu utama LED, kemasan tailgate krom hitam dan smoked taillight. Untuk bahagian dalamannya, tempat duduk tampil dengan skema warna hitam dan merah gelap, bersama lining bumbung hitam. Produksi bagi HR-V Sport ini dijangka bermula Disember 2018, dengan pelanggan pertama bakal menerimanya pada musim bunga 2019.

     
     
  • Toyota Land Cruiser G40 FJ Company – badan dan casis klasik, padat dengan sistem dan teknologi terkini

    Toyota Land Cruiser G40 FJ Company – badan dan casis klasik, padat dengan sistem dan teknologi terkini

    Toyota Land Cruiser G40 Heritage

    Rata-rata daripada kita tahu bahawa Toyota mempunyai model lagenda AE86 yang walaupun sudah berusia hampir 40-tahun, keseronokkan memandunya masih lagi sukar ditandingi banyak jentera-jentera baharu. Sebenarnya Toyota mempunyai sebuah lagi model sedemikian, tetapi dari dunia berbeza – Toyota Land Cruiser generasi ketiga FJ40/BJ40.

    Land Cruiser ini walaupun ada yang sudah berusia hampir 50-tahun, anda boleh lihat kebolehan luar biasanya dalam acara-acara 4×4 ekstrem seperti Borneo Safari. Dengan sudut approach dan berlepas yang cukup tinggi, Land Cruiser ini boleh dikatakan mampu meredah apa sahaja bentuk permukaan bumi dan sering mendahului jentera-jentera yang jauh lebih moden. Ini membuatkan FJ40/BJ40 mempunyai permintaan yang sangat tinggi dan harganya juga tidak masuk akal.

    FJ40 yang anda lihat kali ini adalah model-model yang direstorasi semula dan dijual seolah-olah ia baru keluar dari kilang oleh syarikat FJ Company dari Amerika Syarikat. Ia digelar sebagai Toyota land Cruiser G40, dihasilkan dari casis dan badan asli Land Cruiser FJ40 dan FJ43 keluaran tahun 1970 hingga 1983 yang dibaik pulih sepenuhnya, namun ia dibekalkan dengan sistem mekanikal dan elektronik yang lebih moden.

    Toyota Land Cruiser G40 FJ Company – badan dan casis klasik, padat dengan sistem dan teknologi terkini

    Toyota Land Cruiser G40 Expedition

    FJ Company menghasilkan tiga model berbeza yang boleh anda pilih berdasarkan keperluan iaitu G40 Heritage, G40 Expedition dan juga G40 Signature. Kesemua model ini dihasilkan dengan tangan, manakala enjin dan transmisi asal diganti dengan enjin 4.0 liter V6 1GR-FE (dibekalkan baru oleh Toyota sendiri, menghasilkan sekitar 240 hp/370 Nm pada Toyota FJ Cruiser moden), digandingkan bersama kotak gear lima-kelajuan manual.

    Kesemua model juga dibekalkan standard dengan bukan sahaja sistem brek ABS, malah turut diberikan Kawalan Kestabilan Elektronik dan Traction Control! Pemandu juga tidak perlu turun dari kereta untuk mengunci gandar hadapan bagi mengaktifkan sistem 4WD kerana G40 ini diberikan hub pengunci automatik. Kabin juga jauh lebih selesa kerana semua varian dilengkapkan dengan penghawa dingin dari Vintage Air.

    Untuk model G40 Heritage, ia dihasilkan dengan rupa hampir sama dengan model asal FJ40. Pada bahagian luaran, lampu sealed beam kaca asal ditukar dengan lampu yang menggunakan mentol halogen H4 yang boleh ditukar sekiranya terbakar, lampu kabus retro, serta rim 16-inci FJCO Heritage dengan penutup hub. Bahagian dalaman pula menerima tempat duduk bucket Toyota serta sistem audio yang menyokong hubungan Bluetooth.

    Bagi G40 Expedition pula, ia diberikan lebih kelengkapan untuk ekspedisi off-road. Model ini menerima differential lock untuk gandar hadapan dan belakang, bampar hadapan Expedition lengkap dengan winch dari Warn, gril berbentuk segi empat, lampu hadapan LED, sepasang lampu kabus enam-inci dari PIAA dan juga rim 16-inci FJCO Expedition.

    Toyota Land Cruiser G40 Signature

    Pada bahagian kabin pula, model Expedition ini menerima tempat duduk sport dari Corbeau, konsol tengah dari Tuffy dan juga balutan-balutan vinyl adalah dari gred marin.

    Manakala untuk model G40 Signature, ia hadir dengan tambahan penyerap hentak dari King, bampar hadapan Baja Design bersama lampu kabus LED bina dalam, rim 16-inci Evo Corse, serta cermin sisi Signature yang dihasilkan dengan mesin CNC. Bahagian dalam model tertinggi ini pula diberikan upholsteri kulit, tempat duduk Recaro, sistem hiburan premium dengan hubungan Apple CarPlay, konsol tengah Signature serta pelbagai lagi aksesori Signature yang dihasilkan dengan mesin CNC.

    Keputusan pilihan warna badan, warna upholsteri dalaman dan opsyen bumbung keras atau soft-top boleh dibuat sendiri oleh pembeli bagi kesemua model yang ditawarkan. Toyota Land Cruiser G40 dari FJ Company ini dijual pada harga bermula USD160,000 (RM670k) untuk model Heritage, USD170,000 (RM712k) untuk model Expedition dan USD200,000 (RM838k) untuk model Signature.

     
     
  • Porsche 911 GT2 RS Clubsport diperkenal di Los Angeles – untuk kegunaan litar sahaja, terhad 200 unit

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport diperkenal di Los Angeles – untuk kegunaan litar sahaja, terhad 200 unit

    Selain model 911 generasi baru 992, Porsche juga turut mendedahkan satu lagi model 911 di Los Angeles Auto Show 2018, tetapi menggunakan asas 911 generasi 991 sebelum ini. Ia dipanggil sebagai 911 GT2 RS Clubsport, dan sebenarnya adalah 911 GT2 RS versi kegunaan litar sahaja.

    Secara mekanikalnya, kereta lumba ini menggunakan enjin dan transmisi yang sama dengan 911 GT2 RS biasa iaitu unit enam silinder sebaris 3.8 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan 700 PS dan 750 Nm tork, dipadankan bersama kotak gear PDK tujuh kelajuan. Kuasa disampaikan ke roda belakang, dan untuk model Clubsport ini, cengkamannya adalah lebih kerana menggunakan tayar 310 mm lebar.

    Pada bahagian brek, Clubsport ini mendapat angkup aluminium monobloc enam piston jenis lumba di hadapan manakala di belakang ia menggunakan angkup empat piston sama seperti GT2 RS. Walaubagaimanapun, cakeranya masih menggunakan besi dan berukuran 390 mm di hadapan dan 380 mm di belakang.

    Porsche 911 GT2 RS Clubsport diperkenal di Los Angeles – untuk kegunaan litar sahaja, terhad 200 unit

    Memandangkan ini adalah sebuah kereta untuk kegunaan litar sahaja, Porsche telah membuka barangan di dalam dan meninggalkan apa yang perlu sahaja, menjadikan beratnya sekarang 1,390 kg. Turut dipasang adalah kelengkapan lumba lain seperti roll cage penuh, stereng lumba dari 911 GT3 RS, tempat duduk bucket dengan tali pinggang six-point, Cosworth ICD dan tangki bahan api keselamatan FT3 115 liter.

    Walaupun begitu, kereta ini tidak kosong sepenuhnya. Ia masih lagi mempunyai pendingin hawa serta sistem lain seperti Porsche Stability Management (PSM), Traction Control dan ABS, tetapi boleh ditutup sepenuhnya. Anda juga boleh melihat keistimewaan lain model ini pada bahagian luar dengan adanya sayap belakang, bumbung serta hud depan dan belakang yang dibuat daripada gentian karbon CFRP.

    Harganya sudah tentu tidak murah. Porsche 911 GT2 RS Clubsport dijual pada harga 405,000 euros (RM1,924,053) dan dikeluarkan cuma 200 unit sahaja. Tempahan sudah pun dibuka tetapi penghantaran kepada pemilik hanya akan bermula bulan Mei 2019.

     
     
  • Petronas perkenalkan Setel e-wallet – bayaran tanpa tunai dan program kesetiaan dalam satu aplikasi

    Petronas perkenalkan Setel e-wallet – bayaran tanpa tunai dan program kesetiaan dalam satu aplikasi

    Pengusaha minyak nampaknya bergerak semakin pantas ke arah bayaran tanpa tunai dirangkaian runcit mereka. Petronas misalnya tidak ketinggalan untuk memperkenalkan aplikasi pintar Setel e-wallet, ketika pameran di KLIMS 2018.

    Boleh didapati melalui Apple App Store dan Google Play Store, perkhidmatan terbaru ini boleh digunakan di lebih 40 stesen Petronas di Lembah Klang, dengan angka ini dijangka terus meningkat kepada 600 premis menjelang Jun 2019. Ia juga disasarkan untuk dilanjutkan ke seluruh negara menjelang hujung tahun depan.

    Berbeza daripada kaedah pembayaran elektronik Petron yang menggunakan platform WeChat Pay, sistem milik Petronas ini direka untuk penggunaan bersepadu terus kepada pam minyak – disifatkan yang pertama di Asia Tenggara.

    Aplikasi ini membolehkan pelanggan untuk membeli bahan api hanya melalui beberapa sentuhan pada skrin, dari dalam kereta mereka. Dan, bermula Januari nanti, pengguna boleh menggunakannya untuk membeli barang di kedai Mesra pula. Ia juga dihubungkan terus dengan program kesetiaan Kad Mesra.

    “Mengepam minyak tidak sepatutnya menyusahkan. Ketika ini, anda perlu ke kaunter, beratur panjang, RM200 dicagarkan dari kad kredit anda serta memerlukan kad lain untuk mengumpul mata program kesetiaan ada,” jelas ketua Setel, Iskandar Ezzahuddin. “Setel akan meringkaskan semua proses ini dalam satu penyelesaian mudah,” tambahnya.

    Pengarah Urusan dan CEO, Petronas Dagangan, Datuk Sri Syed Zainal Syed Mohd Tahir berkata; “Petronas telah berusaha untuk mewujudkan pengalaman baru bagi pelanggan ketika berurusan dengan perniagaan runcit kami dengan memanfaatkan teknologi digital. Setel membolehkan perkara ini dicapai dan memudahkan pengguna. Kami berbangga untuk menjadi yang pertama menawarkan perkhidmatan seperti ini di Malaysia,” ujarnya.

     
     
  • Nismo hasilkan semula alat ganti untuk Nissan Skyline GT-R R33 dan R34 dalam program Heritage Parts

    Nismo hasilkan semula alat ganti untuk Nissan Skyline GT-R R33 dan R34 dalam program Heritage Parts

    Tahun lalu Nissan Motorsport International atau Nismo telah melancarkan program Nismo Heritage Parts iaitu program untuk menghasilkan semula alat-alat ganti untuk model-model lagenda berprestasi tinggi Nissan bagi memudahkan pemilik melakukan proses restorasi semula kereta mereka.

    Program tersebut dimulakan dengan penghasilan semula komponen-komponen untuk Nissan Skyline GT-R R32, dan atas sambutan yang menggalakkan, Nismo telah mengumumkan bahawa program berkenaan akan diteruskan untuk Skyline GT-R R33 dan R34 pula.

    Langkah ini diumumkan pada Nismo Festival yang berlangsung hujung minggu lalu, di mana Nismo turut mempamerkan berberapa contoh komponen dan menyenaraikan kesemua alat ganti yang akan dibuat semula.

    Antara komponen yang akan dihasilkan semula untuk R33 dan R34 adalah komponen-komponen untuk bahagian luaran, janakuasa, elektrikal dan pelbagai lagi komponen mekanikal. Nismo turut menambah senarai alat ganti untuk R32 – yang terdiri dari bukan sahaja untuk prestasi pemanduan serta memudahkan pemilik menjalani pemeriksaan penguatkuasa, malah turut menghasilkan semula komponen yang semakin sukar dicari seperti getah pintu dan suis-suis tingkap.

    Jumlah keseluruhan alat ganti yang dihasilkan semula ini adalah sebanyak 160 komponen, menjadikan program Heritage Parts Nismo ini sebagai penyedia alat ganti terbesar untuk R32, R33 dan R34 di Jepun.

    Program ini dimulakan pada tahun lalu dengan katalog yang menyediakan hampir 80 komponen untuk Skyline GT-R R32. Dengan respon yang begitu positif dari pemilik dan permintaan untuk menambah lagi jumlah alat ganti serta model, maka terhasillah apa yang diumumkan oleh Nismo buat masa sekarang.

     
     
  • Beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup Sabtu ini sempena Piala AFF Suzuki 2018

    Beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil bakal ditutup Sabtu ini sempena Piala AFF Suzuki 2018

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis Zulkefly Yahya, telah memaklumkan beberapa jalan di sekitar Stadium Bukit Jalil akan ditutup dan dilencongkan susulan perlawanan peringkat separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

    Menurut laporan Bernama, jalan-jalan yang terlibat adalah Lebuh Raya KESAS susur ke Jalan Merah Caga bagi kedua-dua arah, Jalan Barat ke Jalan Merah Caga, dan Puchong Link ke Jalan Barat dari kedua-dua arah.

    Zulkefly berkata, dijangkakan seramai 80,000 peminat bola sepak akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu.

    “Memandangkan jumlah parkir yang terhad di sekitar Bukit Jalil, pengguna dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium berkenaan atau berkongsi kenderaan. Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan sesuka hati bagi mengelakkan berlaku halangan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas. Tindakan saman termasuk menunda kenderaan akan diambil kepada pengguna yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya yang turut meminta orang ramai mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

     
     
  • Petron sedia khidmat bayar tanpa tunai WeChat Pay

    Petron sedia khidmat bayar tanpa tunai WeChat Pay

    Petron hari ini dengan kerjasama WeChat Pay Malaysia telah melancarkan satu kerjasama strategik untuk membolehkan pengguna membayar sebarang urusan pembelian menggunakan aplikasi WeChat Pay yang terdapat di telefon bimbit.

    Walaupun mempunyai lebih 600 stesen di seluruh negara, Petron memulakan servis ini di 200 stesen terpilih terlebih dahulu dan akan diteruskan secara berperingkat selepas itu. Untuk melihat stesen mana yang menyediakan servis pembayaran tanpa tunai dengan WeChat Pay ini, orang ramai boleh melihat kepada papan tanda kecil yang diletakkan di kaunter pembayaran.

    Di China, pembayaran menggunakan WeChat Pay ini cukup popular, dan ia dilihat semakin mendapat sambutan di kalangan pengguna Malaysia. Ini kerana aplikasi tersebut dianggap selamat dan mempunyai sistem keselamatan yang boleh dipercayai, dan semestinya, memudahkan pengguna.

    Petron sedia khidmat bayar tanpa tunai WeChat Pay

    Dalam aplikasi WeChat Pay itu, pengguna perlu mengaktifkannya terlebih dahulu, dan kemudiannya memasukkan kredit dalam jumlah yang dimahukan menggunakan kad bank. Selepas aplikasi tersebut sudah mempunyai kredit, barulah anda boleh menggunakannya untuk membayar di tempat yang mempunyai servis ini. Untuk membayar, anda cuma perlu mengimbas kod bar di kaunter.

    Tiada sebarang cas tambahan yang dikenakan dengan melakukan pembayaran menggunakan WeChat Pay ini, dan ia boleh dimuat turun secara percuma pada platform Android dan juga iOS. Ia juga telah didaftarkan sebagai pengeluar wang elektronik yang sah dengan Bank Negara.

     
     
  • Audi e-Tron buat penampilan sulung di LA Auto Show – EV dengan 582 hp, masuk pasaran menjelang 2020

    Audi e-Tron buat penampilan sulung di LA Auto Show – EV dengan 582 hp, masuk pasaran menjelang 2020

    Dynamic Photo
    Colour: kinetic dust

    Menurut Audi, barisan model e-tron yang dihasilkannya merupakan bahagian penting bagi kelangsungan masa depan jenama itu. SUV e-tron telah diperkenalkan September lalu, yang akan diikuti pula oleh versi Sportback. Tetapi ada sebuah lagi lebih menarik, model konsep Audi e-tron GT.

    Diperkenalkan ketika LA Auto Show 2018, versi produksi kereta ini akan memasuki pasaran pada tahun 2020. Model e-tron GT ni menerapkan rekaan coupe empat pintu, dengan ukuran dimensi 4.96 meter panjang, 1.96 meter lebar, 1.38 meter tinggi serta jarak antara roda 2.9 meter. Rekaan yang ditampilkan nampak menarik radikal, menggabungkan sentuhan gran turismo klasik dengan garis bumbung curam.

    Rekaan luar disertai dengan gril kerangka tunggal Audi, fender lebih besar, rim 22-inci dengan tayar 285/30 serta warna khas “Kinetic Dust”. Rekaan keseluruhannya menerapkan aspek aerodinamik – bukaan laluan udara, diffuser di belakang antara contohnya.

    Audi e-Tron buat penampilan sulung di LA Auto Show – EV dengan 582 hp, masuk pasaran menjelang 2020

    Static Photo
    Colour: kinetic dust

    Sistem lampu pula menggunakan teknologi LED matriks dengan lampu tinggi laser. Jalur lampu yang melintang dari satu hujung ke hujung yang satu lagi yang membuatkan penampilan kereta ini berbeza – dengan lampu LED pada unit utama di bahagian belakang. Dan, menurut Audi, teknologi yang ada pada kereta ini dibangunkan dengan kerjasama rapat dari Porsche.

    Di dalam, pendekatan rekaan yang lebih ringkas digunakan. Stereng dalam bentuk hexagon, paparan digital sepenuhnya juga menjadi antara ciri utama yang ingin ditonjolkan oleh Audi dengan kereta konsep ini. Tiada tombol gear konvensional kelihatan – butang-butang menjadi perantara bagi fungsi pemanduan seperti parkir, undur, neutral dan pandu.

    Tiada material berasaskan haiwan yang digunakan pada ruang dalamannya, yang digunakan semuanya sintetik; misalnya kulit pada tempat duduk, fabrik dari kitar semula, material gentian mikro, karpet daripada benang Econyl serta gentian yang dikitar semula dari jala ikan.

    Audi e-Tron buat penampilan sulung di LA Auto Show – EV dengan 582 hp, masuk pasaran menjelang 2020

    Static Photo
    Colour: kinetic dust

    Walaupun nampak agresif dan sporty, e-tron GT ini sebenarnya direka dengan mengambil kira praktikaliti penggunaan seharian – ada empat tempat duduk dan dua ruang barangan; 100 liter di depan dan 450 liter di belakang.

    Bagi sistem janaan kuasa, e-Tron GT mempunyai motor di gandar depan dan belakang, memberikan cengkaman quattro dan torque vectoring. Motor ini menyalurkan 582 hp, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.5 saat atau 0-200 km/j dalam masa 12 saat.

    Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 240 km/j, manakala jarak paling jauh yang boleh pergi pula 400 km, mengikut piawaian WLTP. Motor berkenaan mendapatkan kuasanya dari bateri lithium-ion 90 kWh yang ditempatkan pada lantai badan kereta ini untuk mendapatkan titik graviti yang lebih rendah – setanding model R8.

    Untuk mengecas bateri, itu boleh dilakukan melalui regenerative braking, dengen keberkesanan kaedah ini pada kereta ini ditingkatkan kepada 30%, bergantung kepada mod operasi. Sehingga 0.3 g, kereta ini memulihkan tenaganya hanya melalui motor elektrik, tanpa menggunakan brek konvensional – ini meliputi 90% daripada keseluruhan situasi memperlahankan kenderaan.

    Cas cara biasa merupakan pilihan yang paling pantas, dengan sistem pengecas 800-volt, ia memerlukan masa sekitar 20 minit untuk cecah 80% penuh, atau bersamaan 320 km. Pilihan lain boleh juga menggunakan sumber voltan yang lebih rendah, atau dengan cara tanpa wayar “induction charging” – dalam satu malam dengan output pengecas 11 kW.

    Menjelang tahun 2025, Audi merangcang untuk melancarkan 20 model, dengan 12 daripada merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya.

     
     
  • Nissan Murano facelift 2019 didedah – tampil rupa lebih segar, tambahan pelbagai teknologi baharu

    Nissan Murano <em>facelift</em> 2019 didedah – tampil rupa lebih segar, tambahan pelbagai teknologi baharu

    Ketika berlangsungnya Los Angeles Motor Show 2018, Nissan telah mendedahkan SUV Murano generasi ketiga versi facelift, yang menampilkan sedikit perubahan pada rupa luaran dan dalaman, serta dikemaskini dengan berberapa teknologi.

    Pada bahagian muka, Murano facelift ini menampilkan gril V-Motion yang lebih tajam bersama elemen sarang lebah di bahagian tengah, manakala liang udara pula di reka dengan elemen segi tiga, yang turut menempatkan lampu kabus LED baharu. Kluster lampu hadapan masih lagi sama, tetapi grafik dan susun atur LED pada bahagian dalam menerima rekaan semula.

    Pilihan rim 18- dan 20-inci baharu ditawarkan bagi memberikan imej yang lebih segar pada bahagian sisi. Manakala di belakang, Murano dilengkapkan dengan lampu LED baharu. SUV ini juga diberikan tiga pilihan warna badan baharu yang ditambah iaitu Sunset Drift Chromaflair, Mocha Almond Pearl dan Deep Blue Pearl.

    Nissan Murano <em>facelift</em> 2019 didedah – tampil rupa lebih segar, tambahan pelbagai teknologi baharu

    Model tertinggi Platinum menerima upholsteri kulit semi-aniline pada bahagian kabin, bersama elemen jahitan seperti berlian diserlahkan pada tempat duduk. Ia turut diadun dengan kemasan kayu gelap, dan juga jalur serlahan berwarna perak pada tempat duduk, konsol tengah dan perehat tangan.

    Manakala varian yang lebih rendah iaitu S, SV dan SL diberikan kemasan sama ada kemasan metalik atau pun kayu berwarna cerah. Varian SL dan keatas menerima sistem infotaimen NissanConnect yang menawarkan sistem navigasi pintu-ke-pintu, dan kini menampilkan grafik bangunan tiga dimensi serta imej satelit, bersama informasi trafik premium dan kemampuan carian POI. Fungsi Apple CarPlay dan Android Auto pula adalah standard untuk semua varian.

    Untuk keselamatan pula, Murano 2019 menerima sistem Amaran Pintu Belakang dan sistem Intelligent Driver Alertness. Kabin belakang kini diberikan beg udara tambahan pada bahagian sisi, manakala pemandu pula dilindungi dengan beg udara tambahan untuk lutut. Sistem bantuan pemanduan Safety Shield 360 ditawarkan sebagai opsyen, menawarkan fungsi brek kecemasan automatik, pengesan pejalan kaki, amaran titik buta dan lintasan trafik belakang, amaran keluar laluan, bantuan lampu tinggi dan brek automatik belakang.

    Dua kemasan baharu ditambah dalam barisan model Murano 2019. Pertama adalah SV Premium Package yang hadir dengan moonroof panaromik berkuasa elektrik, monitor pandangan sekeliling pintar, sistem bunyi premium Bose dengan 11 pembesar suara dan banyak lagi. Satu lagi adalah SL Technology Package yang disertakan dengan pakej Safety Shield 360, pengenal tanda arahan trafik dan juga moonroof panaromik berkuasa.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan untuk Nissan Murano facelift 2019 ini. Ia masih dijana enjin petrol 3.5 liter NA V6 berkuasa 263 PS dan tork maksima 325 Nm. Kuasa dialirkan ken kotak gear CVT automatik Xtronic, manakala sistem pacuan semua roda pula ditawarkan sebagai opsyen. SUV ini akan mula dijual di Amerika bermula Disember 2019.

     
     
  • AD: Tips penting penjagaan tayar dengan Bridgestone

    AD: Tips penting penjagaan tayar dengan Bridgestone

    Musim cuti panjang sudah tiba. Anda juga mungkin akan mengambil peluang ini untuk berkunjung ke destinasi kegemaran dalam negara bersama keluarga. Biasanya, perjalanan seperti ini akan mengambil masa berjam-jam untuk memandu merentasi beratus, malah ada yang beribu kilometer.

    Selain persediaan fizikal dan mental, adalah sangat penting untuk memastikan kenderaan anda berada dalam keadaan mekanikal terbaik. Tetapi, apa yang lebih penting ialah keadaan tayar kenderaan itu sendiri, kerana ia satu-satunya komponen yang bersentuhan dengan permukaan jalan. Ingat, sentuhan sebenar antara permukaan jalan dan tayar hanyalah sebesar sekeping poskad, jadi penjagaannya tidak boleh diambil mudah.

    Malahan, tayar memberikan empat fungsi kritikal; ia menampung berat keseluruhan sesebuah kereta (yang boleh saja mencecah satu tan dengan penumpang seisi keluar, termasuk bagi saiz Perodua Axia), menyerap gegaran permukaan jalan, menyediakan cengkaman dan daya brek serta mengekalkan pergerakkan arah pemanduan. Jadi, sebelum anda mulakan perjalanan, ini ada beberapa tips penjagaan tayar kenderaan yang mudah, dikongsikan oleh Bridgestone.

    Pertama sekali, tekanan tayar. Anda tahu tak yang tayar secara umumnya akan kehilangan tekanan di dalamnya kira-kira 10 hingga 20 kPa dalam sebulan? Sebab inilah anda perlu memeriksa tekanan tayar kereta anda setiap bulan atau sekerap yang mungkin, dan lakukannya ketika keadaan tayar masih sejuk (perjalanan lama dan jauh akan meningkatkan suhu tayar akibat geseran permukaan dengan jalan dan meningkatkan tekanan di dalamnya) untuk mendapatkan bacaan kPa yang tepat.

    AD: Tips penting penjagaan tayar dengan Bridgestone

    Ketika mengisi angin tayar, rujuk juga cadangan tekanan oleh pengeluar pada bahagian dalam pintu pemandu. Jika kereta anda datang dengan tayar ganti, jangan lupa untuk periksa dan isi udaranya sekali. Jika anda mendapti tayar anda kehilangan udara lebih cepat dan kerap daripada yang sepatutnya, hantar untuk pemeriksaan kebocoran, atau gunakan air sabun pada bahagian injapnya untuk mengesan kalau-kalau ada kebocoran.

    Bridgestone mencadangkan penggunaan gas nitrogen berbanding angin biasa, kerana ia jarang bocor dan memperbaiki kadar penggunaan minyak dan kendalian stereng. Memang sedikit mewah, tapi tak ada masalah sekiranya anda ingin gunakan nitrogen; masing-masing ada kelebihan tersendiri.

    Lebih penting ialah tahap dan keadaan bunga tayar. Kita tahu adalah sangat bahaya untuk memandu dengan keadaan tayar yang botak, tetapi ramai yang masih mengambil ringan tentang perkara ini. Memandu dengan tayar botak hanya akan membahayakan nyawa anda dan keluarga, terutama sekali ketika musim hujan – misalnya situasi aquaplaning dan sebagainya.

    Kebanyakan tayar moden datang dengan petunjuk kehausan tayar, yang akan kelihatan apabila penggunaan tayar mencecah 1.6 mm. Pada tahap ini, permukaan tayar lebih cenderung untuk menunjukkan kesan kerosakan seperti retak dan benjolan, yang boleh mendorong kepada tayar pecah. Memandu dalam keadaan tayar botak pula mengurangkan tahap cengkaman pada jalan, serta memerlukan jarak brek yang lebih jauh. Jadi, jangan main-main dengan tayar botak, jadi beri perhatian.

    Jalan paling selamat ialah untuk anda menggantikan tayar yang sudah botak itu. Jika ada kekangan kewangan, kami cadangkan agar anda membeli sepasang tayar baru (lebih elok dari jenis dan jenama yang sama) dan pasangkan untuk roda belakang. Ini memberikan kawalan yang lebih baik ketika brek kecemasan atau ketika jalan licin. Kebarangkalian untuk hilang kawalan dalam keadaan basah juga berkurangan. Tidak kisahlah sama ada kereta anda merupakan pacuan roda depan atau belakang, ia tetap akan memberi kelebihan.

    Satu lagi langkah pencegahan yang baik adalah dengan menghantar kereta anda untuk melakukan jajaran dan imbangan. Ini akan memastikan roda dan gandar kereta anda sejajar ketika dipandu, serta mengelakkan kehausan tayar yang tidak sekata. Juga, jangan sekali-kali mengacukkan jenis tayar yang anda gunakan, walaupun dari jenama yang sama. Ini kerana, setiap tayar direka untuk memberikan prestasi yang berbeza. Sentiasa pastikan bahawa keempat-empat tayar anda adalah dari jenis dan jenama yang sama.

    Selain itu, kami juga menggesa anda untuk memeriksa lampu-lampu pada kereta anda. Ini termasuk lampu utama di depan, lampu isyarat serta lampu brek belakang; pastikan semuanya berfungsi dengan baik. Dan satu lagi, jangan lupa periksa tahap bahan api. Tayar dengan tekanan yang betul akan membolehkan anda jimat 3% bagi kadar penggunaan minyak. Untuk jangka panjang, ini akan menjadi suatu angka yang besar, tentunya.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan penyelenggaraan tayar dan tips pemanduan selamat, klik di sini. Selamat bercuti semua, dan sentiasa pandu dengan cermat!

     
     
  • Honda Accord generasi baharu tiba di ASEAN – di prebiu di Thailand, bakal dilancarkan tahun hadapan

    Honda Accord generasi baharu tiba di ASEAN – di prebiu di Thailand, bakal dilancarkan tahun hadapan

    Honda Accord generasi ke-10 telah didedahkan lebih setahun yang lalu di Amerika Syarikat, namun kehadirannya di rantau ini masih menjadi tanda tanya. Ketika Honda Civic facelift di perkenalkan di Thai Motor Expo, Bangkok, Honda nampaknya membawa sekali Accord berkenaan untuk diprebiu buat pertama kali di ASEAN.

    Difahamkan bahawa Accord tersebut bakal dilancarkan di Thailand awal tahun hadapan dan ia hadir dengan rupa luaran yang sama seperti model pasaran Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, kesemua cermin tingkat digelapkan dan sukar untuk diketahui apa kelengkapan yang akan diterima pada rantau ini.

    Honda Thailand mengesahkan bahawa mereka akan menawarkan Accord yang dijana enjin turbo dan juga pilihan janakuasa hibrid dengan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Ia juga akan dipadankan dengan sistem keselamatan dan bantuan pemanduan Honda Sensing, yang terdiri dari Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Departure Warning, Road Departure Mitigation dan Adaptive Cruise Control bersama Low-Speed Follow – sama seperti apa yang ditawarkan pada CR-V.

    Tiada perincian berkenaan enjin turbo yang akan dibawa, namun untuk pasaran Amerika Syarikat, Accord digerakkan dengan dua pilihan enjin – 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 192 hp/260 Nm, dan juga 2.0 liter VTEC Turbo yang diambil dari Civic Type R menjana 252 hp/370 Nm. Manakala untuk versi hibrid pula, sistem i-MMD dengan dua motor elektrik berkuasa 181 hp/315 Nm akan digandingkan dengan enjin 2.0 liter i-VTEC kitaran Atkinson menjana 143 hp/173 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp.

    GALERI:Honda Accord generasi ke-10 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Polis UK agresif tentang penjenayah bermotosikal – keluarkan video sanggup langgar, cetus kontroversi

    Polis UK agresif tentang penjenayah bermotosikal – keluarkan video sanggup langgar, cetus kontroversi

    Malaysia bukan satu-satunya negara yang mempunyai masalah dengan jenayah bermotosikal. Di United Kingdom, keadaannya juga sama teruk, sehinggakan bukan setakat kecurian motosikal, penjenayah ini juga sanggup menyamun dan memberhentikan penunggang atas jalan untuk merampas motosikal.

    Walaupun jumlah kes sudah berkurangan tahun ini, ia masih lagi tinggi dan pihak polis di sana telah membuat keputusan mengambil langkah yang lebih agresif. Dalam satu tweet yang dikeluarkan oleh Metropolitan Police, mereka menyatakan sanggup untuk melanggar penjenayah ini dan ia digelar sebagai satu “sentuhan taktikal”.

    Tambah komandan Amanda Pearson, semasa pegawai menggunakan taktik ini, mereka akan menilai risiko kepada penunggang, orang awam dan juga diri sendiri. Kata beliau, mesejnya juga jelas – “kami boleh, kami akan dan kami memang sentiasa mensasarkan penjenayah bermotosikal ini dalam setiap peluang.”

    Kebanyakan polis di negara lain tidak mahu mengambil tindakan agresif seperti ini kerana takut mencederakan atau menyebabkan kematian penjenayah tersebut, dan apa yang dilakukan, mereka mengikut sehinggalah penjenayah tersebut terkandas atau berhenti.

    Metropolitan Police UK turut menyiarkan kompilasi video anggota mereka melanggar penjenayah bermotosikal ini, dan kemudiannya sekarang, ia telah mencetuskan pelbagai kontroversi. Namun setakat ini, mereka masih tetap dengan pendirian agresif tersebut.

    Kami mahu tahu, apa pendapat anda dengan langkah sebegini oleh pihak penguatkuasa? Kalau betul-betul penjenayah tersebut telah dicam, kita mungkin boleh berterima kasih dengan langkah ini, tapi kalau terkena pula kepada suspek yang salah (mungkin pakaian dan motosikal sama) bagaimana?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Mar 28, 2024