Baby boy in car seat

Semalam satu lagi insiden yang mengakibatkan kematian seorang bayi perempuan berusia 12 bulan selepas ditinggalkan lebih lima jam dalam kereta milik bapanya. Kejadian ini berlaku di Kulai, Johor dan menurut laporan polis yang dibuat bapa bayi itu pada 9.30 pagi, isterinya meletakkan anak mereka di bahagian tempat duduk belakang kereta untuk dihantar ke rumah pengasuh yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, lelaki terbabit tidak menyedari bayinya berada di tempat duduk belakang kenderaan miliknya, dan terus ke tempat kerja. Pada jam 3 petang, dia menerima panggilan daripada pengasuh anaknya yang bertanyakan mengenai bayi berkenaan yang tidak dihantar ke rumah pengasuh seperti kebiasaannya. Lelaki terbabit terus bergegas ke keretanya dan mendapati anaknya sudah meninggal dunia, laporan Harian Metro.

Menurut Razak, kes ini diklasifikasikan sebagai pengabaian kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian tang disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ini bukanlah kejadian pertama berlaku di negara kita. Pada 6 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, Pulau Pinang.

Dua hari selepas kejadian tersebut, ada lagi seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami insiden yang sama dan kejadian tersebut berlaku di Batu Gajah, Melaka.

Pada 21 Ogos 2014, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas ditinggalkan oleh bapanya di dalam kenderaan secara tidak sengaja selama lebih lapan jam, kejadian ini berlaku di Kuala Nerang, Kedah.

Ya, ia telah banyak kali berlaku, namun terdapat segelintir ibu bapa yang masih tidak mengambil iktibar di sebalik kejadian ini walau pun atas alasan “tidak tersengaja”. Namun, ada ibu bapa yang “sengaja” meninggalkan anak kecil tanpa pengawasan di dalam kenderaan dengan alasan “sekejap saja”, “enjin hidup, aircond pasang” dan macam-macam lagi.

Tetapi bagaimana sekiranya tiba-tiba pintu terkunci secara automatik dari dalam kenderaan? Hendak pulang ke rumah mengambil kunci simpanan, takut mengambil masa yang lama dan bimbang pula keselamatan si kecil.

“Pecahkan saja cermin tingkap!” atau “Umpil saja pintu!”, pasti ada yang memberi cadangan sebegini.

Atau… panggil saja bomba!

Seorang rakan penulis bercerita, satu kejadian pernah berlaku di Shah Alam beberapa tahun lepas. Seorang ibu enggan cermin keretanya dipecahkan, biar pun anak kecilnya terperangkap di dalam kereta mewah milik suaminya. Alasan, bimbang dimarahi si suami dan dia sanggup balik ke rumah di Klang untuk mengambil kunci simpanan. Namun atas desakan orang ramai yang berada di situ, seorang polis bantuan sebuah bank berdekatan bertindak memecahkan cermin sisi bahagian pemandu memandangkan si kecil mula meraung di dalam kereta.

Persoalannya, adakah si ibu bimbang dimarahi suami kerana memecahkan cermin tingkap kenderaannya tanpa memikirkan keselamatan anaknya sendiri?

Sedar atau tidak, insiden sebegini sebenarnya mampu mengancam nyawa anak-anak anda. Jika terperangkap dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan, ia boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami sesak nafas dan strok haba (heat stroke) akibat kekurangan oksiden dan kepanasan melampau.

Video di atas menunjukkan lakonan semula insiden yang pernah terjadi di luar negara. Ia adalah bagi kempen keselamatan anak-anak kecil dan peringatan kepada para ibu bapa agar tidak membiarkan anak-anak kecil bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan.

Jadi, untuk golongan ibu bapa, sila ambik berat mengenai perkara ini. Usah abaikan keselamatan dan nyawa anak-anak anda.

Apa yang paling penting ialah jangan sesekali meninggalkan bayi dan kanak-kanak kecil sendirian tanpa pengawasan penumpang dewasa atau kanak-kanak yang sudah mampu berdikari, tidak kira di mana sahaja termasuk di ruang parkir, stesen minyak, kedai dan sebagainya.

Walau pun mungkin anda membuka sedikit cermin tingkap untuk aliran udara atau pun membiarkan enjin kenderaan hidup dengan penghawa dingin terpasang, atau pun dengan alasan, “sekejap saja!”, tindakan anda itu mampu mengundang padah. Ingat, malang tidak berbau!

Selain itu, jadikan sebagai tabiat untuk memeriksa bahagian tempat duduk belakang sebelum anda mengunci pintu dan meninggalkan kenderaan anda.

Malah, untuk golongan masyarakat pula, kepekaan dan keprihatinan anda juga amat wajar diperlukan. Keselamatan dan pelindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua pihak.

Jika anda terlihat ada bayi atau kanak-kanak kecil bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan, sila perhatikan keadaannya. Jika bayi atau kanak-kanak terbiar tanpa pengawasan dengan keadaan enjin kenderaan yang dimatikan (sudah pasti penghawa dingin juga tidak dihidupkan), sila dapatkan bantuan segera.

Seandainya ibu atau bapa bayi atau kanak-kanak terbabit tidak datang dengan kadar segera, sila hubungi pihak berkuasa, sama ada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam atau agensi keselamatan lain untuk tindakan lanjut.

Sekiranya didapati bayi atau kanak-kanak terbabit mungkin mengalami simptom strok haba seperti kulit bertukar kemerah-merahan (apa yang anda lihat dan ia mungkin membahayakan nyawa si kecil itu), mungkin tindakan anda memecahkan/mengumpil cermin tingkap kenderaan terbabit ‘harus dimaafkan’ kerana ia bertujuan untuk menyelamatkan nyawanya. Itu pun sekiranya bantuan kecemasan mungkin lambat tiba, namun disarankan anda mendapatkan bantuan polis peronda atau penguatkuasa berhampiran.

Namun sekiranya anda terlihat ada si kecil yang bersendirian di dalam kenderaan dengan enjin hidup dan penghawa dingin berfungsi, dinasihatkan agar anda berada berhampiran kenderaan terbabit untuk memantau keadaan bayi atau kanak-kanak tersebut sehinggalah ibu atau bapanya tiba.

Waima, meninggalkan si kecil dalam keadaan ini memang merbahaya dan mampu mengancam keselamatanya sendiri. Jadi sebagai seorang dewasa, walau pun anda mungkin tidak mengenali si kecil atau ibu bapa terbabit, apa salahnya anda bersikap prihatin memantau keadaan tersebut. Manalah tau, bimbang ada perkara yang tidak diingini berlaku pula.

Menurut pakar perubatan, antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. Selain itu, tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.

Di mana suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Ingat, jika ia membabitkan keselamatan dan nyawa, tiada kompromi mengenainya! Elakkan kecuaian dan jadilah seorang masyarakat yang prihatin!